Saturday, December 28, 2013

DR. SIDDIQ FADIL: MEWASPADAI TIPU-DAYA MUSUH-MUSUH DAKWAH: Tafsir Maudu'iyy siri 67

MEWASPADAI TIPU-DAYA MUSUH-MUSUH DAKWAH
Memahami Pesan-pesan Ilahi dalam surah al-Isra’:73-77


73. Dan mereka hampir memalingkan engkau (Muhammad) dari apa yang telah Kami Wahyukan kepadamu, agar engkau mengada-ada yang lain terhadap Kami; dan jika demikian tentu mereka menjadikan engkau sahabat yang setia.
74. Dan sekiranya Kami tidak memperteguh (hati)mu, nescaya engkau hampir sahaja condong sedikit kepada mereka,
75. jika demikian, tentu akan Kami Rasakan kepadamu (siksaan) berlipat ganda di dunia ini dan berlipat ganda setelah mati, dan engkau (Muhammad) tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.
76. Dan sungguh, mereka hampir membuatmu (Muhammad) gelisah di negeri (Mekah) kerana engkau harus keluar dari negeri itu, dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalanmu mereka tidak akan tinggal (di sana), melainkan sebentar sahaja.
77. (Yang demikian itu) merupakan ketetapan bagi para rasul Kami yang Kami Utus sebelum engkau, dan tidak akan engkau dapati perubahan atas ketetapan Kami.

Huraian Maksud Ayat:
Ayat-ayat di atas memang pada zahirnya ditujukan khusus kepada Rasulullah s.`a.w., tetapi mesej sebenarnya adalah umum dan inklusif. Ia adalah peringatan kepada seluruh para da`i sepanjang zaman agar sentiasa mewaspadai tipu-daya musuh-musuh dakwah yang seringkali memakai strategi kompromi. Mereka mengajak damai lewat formula saling mengakomodasi dengan agenda tersembunyi agar akhirnya Islam, agama wahyu ini menggugurkan sebahagian daripada ajaran yang diwahyukan Allah dan menerima faham asing yang tidak bersumberkan wahyu. Dengan demikian akan terciptalah “Islam” versi lain, iaitu “Islam” selera kaum musyrikin, kafirin dan `ilmaniyyin (sekularis). Sekali imbas mungkin tawaran mereka tampak menarik dan menggoda, menjanjikan pelbagai keuntungan materi duniawi, sedang yang diminta dari para pejuang Islam hanya “small concession”. Tetapi di situlah letak jebakannya, apa yang disebut “small concession” itu mungkin merosakkan seluruh ajaran Ilahi, apa lagi jika ia melibatkan soal `aqidah.

Dalam kes al-Rasul s.`a.w., Junjungan diminta memberikan “small concession” iaitu “hormatilah tuhan-tuhan sembahan mereka (berhala-berhala)” dengan imbalan “besar” - kekayaan dan kekuasaan. Andainya Rasulullah menerima tawaran kompromi sedemikian, seperti yang disebut pada ayat 73 (…la ‘ttakhadhuka khalila) tentunya mereka akan menyambut meriah dan mengalu-alukan penyertaan Rasulullah s.`a.w. ke dalam inner circle mereka sebagai sahabat dan kerabat akrab. Justeru mereka sebenarnya tidak membenci Muhammad s.`a.w. sebagai peribadi. Junjungan memang dikenal sebagai orang baik, berakhlak terpuji dan diterima umum. Yang mereka musuhi adalah agama (ajaran) yang dibawanya, yang mereka tidak senangi adalah penolakannya terhadap tuhan-tuhan dan agama warisan nenek-moyang mereka. Mereka tidak keberatan untuk bersahabat dan menjalin hubungan erat dengan Rasulullah s.`a.w. asalkan Junjungan bersedia untuk berkompromi. Tarikan untuk menerima kompromi memang cukup kuat kerana desakan yang bersungguh-sungguh dari pihak musyrikin Quraysh, dan keinginan yang kuat di pihak Rasulullah s.`a.w. untuk mengislamkan pembesar-pembesar Quraysh itu. Kalaulah tidak kerana suntikan kekuatan istimewa dari Allah s.w.t. bukan tidak mungkin Junjungan s.`a.w. melunak (sedikit) terhadap mereka.

Peringatan agar mewaspadai jebakan kompromi sedemikian disampaikan juga lewat ayat-ayat lain dalam surah al-Qalam. Dalam ayat 8 dan 9 surah tersebut Tuhan mengingatkan, “Maka janganlah engkau patuhi orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah). Mereka menginginkan agar engkau bersikap lunak maka mereka bersikap lunak (pula).” Yang pertama harus dingat ialah hakikat bahawa mereka adalah manusia pendusta (al-mukadhdhibin) yang tidak menghormati kebenaran dan tidak mempedulikan fakta. Mereka bukan jenis manusia yang memperhitungkan soal salah atau benar. Kerana itu mereka begitu mudah mengajak kompromi. Mereka berfikir bahawa kompromi `aqidah adalah jalan pintas yang pintar ke arah making the best of both worlds, tanpa memperhitungkan hakikat bahawa Islam dan jahiliah adalah dua dunia yang tidak ada titik temunya. Jurang antara keduanya terlalu lebar untuk dijambatani dengan sebuah formula rapuh - kompromi Islam-jahiliah.

Ketika menafsirkan ayat al-Qalam tersebut Sayyid Qutb mengatakan bahawa sebenarnya mereka bukanlah ashabu `aqidah atau penganut suatu `aqidah yang mengimaninya dengan yakin sebagai kebenaran. Pada zahirnya mereka seperti bermati-matian mempertahankan agama mereka dan memusuhi Rasulullah s.`a.w. dengan segala cara penderaan dan fitnah, tetapi pada hakikatnya mereka begitu goyah dalam beraqidah (jahiliah), hanya pura-pura bersikap sebagai penganut tegar, semata-mata kerana kesombongan tidak mahu tunduk dan tidak mahu menyerah kepada Muhammad s.`a.w. Kerana itu mereka bersedia untuk berkompromi asalkan ada formula face saving dalam pengertian air muka mereka terpelihara, mereka melunak kerana pihak lawan (Muhammad s.`a.w.) telah melunak.

Bagi umat ber`aqidah yang mengimaninya sebagai al-haqq (kebenaran), soal `aqidah tidak boleh diselesaikan dengan formula bisnes: menjual dan membeli. Dalam `aqidah tidak ada soal kecil-besar, yang ada hanya kesatuan dan kesepaduan yang utuh, tidak boleh dipecah-pecahkan, dikurangi atau ditambahi. `Aqidah harus dikemukakan seadanya dan seutuhnya - take it or leave it. Tidak ada ruang kemungkinan mengekalkan sebahagian, dan menggugurkan sebahagian yang lain. Demikianlah ketegasan sebagaimana yang diperlihatkan oleh al-Rasul s.`a.w. dalam soal agama, walhal Junjungan adalah manusia paling lunak, paling lembut dan paling bertolak-ansur dalam segala urusan kehidupan sosial hariannya. Tetapi dalam urusan agama, Junjungan begitu tegar menjunjung perintah “Maka janganlah engkau patuhi orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).” Senang atau susah, perintah tersebut tetap dipatuhi, meskipun dalam situasi yang sangat tertekan oleh penderaan kejam kaum Quraysh. Apa pun risikonya kebenaran tetap diucapkan di hadapan siapa sahaja, termasuk kepala-kepala teroris Musyrikin.

Demikianlah pola fikir musuh-musuh dakwah yang selalu memperlakukan agama seperti bisnes: tawar-menawar, memberi dan menerima untuk meraih keuntungan bersama (win-win). Tetapi pejuang-pejuang tulen di jalan Allah tidak mudah terjebak dalam tipu-daya jual-beli agama sedemikian kerana mereka dibekali kekuatan istimewa oleh Allah s.w.t., yang kerananya mereka mampu bersikap tegas dan tegar dalam menghadapi taktik dan strategi licik pihak lawan. Memang para da`i tidak boleh naïf ketika berhadapan dengan sepak terajang permainan lawan, dan tidak boleh berfikir simplistik, “apalah salahnya merelakan sedikit pengorbanan demi misi yang lebih besar!”. Musuh-musuh dakwah akan selalu mengeksploitasi kelemahan manusiawi para da`i (keinginan terhadap harta, pangkat dan hal-hal keduniaan lainnya) untuk memaksakan kompromi menurut syarat-syarat mereka. Tanpa suntikan kekuatan istimewa (tathbit) dari Allah s.w.t. memang besar sekali kemungkinan para da‟i (kerana kelemahan-kelemahan manusiawinya) tergiur dengan godaan-godaan duniawi. Jika Nabi s.`a.w. sendiri pun memerlukan tathbit (pemantapan/penguatan) dari Allah s.w.t. untuk selamat dari jebakan tersebut (ayat 74), orang lain tentu lebih memerlukannya lagi.

Dengan andaian kompromi sedemikian itu terjadi, seperti yang disebut pada ayat 75, Rasulullah s.`a.w. tidak akan terkecuali dari tanggungjawab menerima padah hukuman berganda duniawi-ukhrawi. Bagaimanapun itu hanyalah sekadar andaian, yang hakikatnya memang tidak mungkin terjadi kerana Allah melindungi dan memeliharanya dari tipu-daya manusia. Mesej ayat 75 itu sebenarnya ialah untuk menyatakan ketetapan hukuman Allah menggandakan balasan ke atas pemimpin yang menyeleweng. Pemimpin bukan orang awam, tetapi seorang yang diberikan kelebihan kurnia, kuasa dan tanggungjawab memandu umat ke arah kebenaran di samping menjadi teladan perilaku yang benar. Kerana itu penyalahgunaan kuasa dan tanggungjawab mewajarkannya menerima hukuman ganda, lebih berat daripada hukuman yang ditimpakan ke atas orang awam yang hanya menjadi pengikut. Demikianlah, status yang ditempati dan kurnia yang diperolehi turut menentukan berat ringannya hukuman apabila melanggar perintah Allah. Andainya Rasulullah s.`a.w. menyetujui kompromi yang tentunya membawa pelbagai keuntungan duniawi - kekayaan dan kekuasan, Tuhan mengingatkan bahawa seuntung mana pun dari segi duniawi, segalanya itu tidak akan dapat membantunya menyelamatkan diri dari hukuman-Nya. Siapa pun juga yang terusir dari ri`ayah – pemeliharaan Allah pasti akan binasa.

Sesuai dengan etika dialog, Rasulullah s.`a.w. memang bersedia mendengar formula kompromi yang sampaikan oleh wakil Quraysh, `Utbah ibn Rabi`ah (Abu ‘l-Walid). Sabdanya, “Bicaralah wahai Aba ‘l-Walid, saya sedia mendengarnya.”. Demikianlah mulianya akhlak Nabi s.`a.w. yang membiarkan Abu ‘l-Walid berbicara hingga selesai tanpa mengganggunya sekalipun segala yang dibicarakannya adalah nonsense semata-mata. Hanya setelah selesai, Rasulullah s.`a.w. bertanya, “Adakah anda sudah selesai wahai Aba ‘l-Walid?”. Apabila Abu ‘l-Walid menjawab, “Ia”, barulah Nabi s.`a.w. berkata, “Sekarang dengar, saya pula yang bicara”. Junjungan s.`a.w. menjawab tawaran kompromi `Utbah ibn Rabi`ah itu dengan membaca ayat-ayat dari surah Fussilat yang kandungannya jelas dan tegas menolak kompromi.

Usaha untuk berkompromi ternyata telah gagal. Kerana itu musyrikin Quraysh meningkatkan gangguan dan deraan mereka hingga ke tahap mahu mengusir Rasulullah s.`a.w. dari bumi Makkah (ayat 76). Tetapi Allah s.w.t. mempunyai takdir perancangan lain. Rasulullah s.`a.w. diperintahkan berhijrah ke Madinah. Pengusiran dalam erti kata yang sebenarnya tidak berlaku. Kerana itu kaum musyrikin Quraysh terselamat dari nasib kehancuran total dalam masa singkat setelah pengusiran. Hikmah Tuhan menetapkan bahawa kaum Quraysh tidak dihabisi hingga ke akar umbinya sebagaimana umat lain yang telah mengusir rasul mereka. Tuhan masih menghendaki sebahagian mereka akan beriman, dan Tuhan juga menghendaki agar nanti berlaku fathu - pembukaan Makkah atau pembebasan Makkah yang diikuti pengislaman beramai-ramai warganya. Andainya musyrikin Makkah benar-benar mengusir Rasulullah s.`a.w., tentunya mereka telah dibinasakan tidak lama selepas pengusiran, kerana memang demikianlah ketetapan sunnatu ‘Llah, undang-undang ketuhanan yang tidak pernah berubah (ayat 77). Justeru, mengusir rasul adalah jenayah berat yang mewajarkan hukuman pembinasaan. Bagaimanapun mereka tetap menerima hukuman kerana telah menganiaya Rasulullah s.`a.w. hingga hampir mengusirnya dari bumi Makkah. Tidak lama selepas Junjungan s.`a.w. berhijrah mereka hampir binasa sepenuhnya dalam peperangan Badr.

Rumusan Pengajaran
Mengulas isu tawaran kompromi dalam ayat-ayat al-Isra’ ini Sayyid Qutb mengatakan bahawa ia adalah taktik biasa golongan berkuasa (ashab al-sultan) dalam menghadapi para pejuang dakwah (ashab al-da`wat) sepanjang zaman. Mereka sentiasa melakukan percubaan memperdaya orang-orang dakwah agar menyimpang - walau sedikit - dari sikap tegar, istiqamah dan konsisten dalam dakwah, rela menerima penyelesaian “jalan tengah” demi imbalan habuan mewah. Menurut Sayyid Qutb, memang ada sebilangan kaum pendakwah yang benar-benar terpedaya kerana menganggap kompromi sebagai isu kecil, mereka tidak diminta meninggalkan dakwah seluruhnya, yang diminta hanya sedikit modifikasi untuk memungkinkan penemuan titik kesepakatan antara kedua pihak. Dalam proses ini mungkin syaitan ikut berperanan dengan membisikkan idea curang bahawa demi kejayaan dakwah, orang besar-besar, golongan berkuasa dan berpengaruh itu perlu ditarik, dan untuk itu tidak ada salahnya jika pihak pendakwah melakukan sedikit pengorbanan atau small concession.

Sayyid Qutb mengingatkan bahawa penyimpangan kecil di pangkal jalan itu akan berakhir dengan penyimpangan besar-besaran di hujung jalan. Orang-orang dakwah yang sedikit mengalah pada permulaannya, akan terus kalah hingga ke hujungnya kerana kesediaannya untuk mengalah dan menyerah itu semakin bertambah dari masa ke masa dengan bertambahnya habuan dan meningkatnya keinginan. Sementara itu di pihak lain, golongan berkuasa tidak berhenti-henti dengan tipu-dayanya. Sekali orang dakwah mengalah, hilanglah kehebatan dan kredibilitinya, dan ketika itu golongan berkuasa menjadi bertambah yakin bahawa mereka boleh mendesak dan mengasakkan kompromi demi kompromi yang berterusan sehingga akhirnya dakwah kehilangan segala-gala - esensi dan misi hakikinya. Dalam kaitan ini Sayyid Qutb mengingatkan bahawa kesediaan mengkompromikan dakwah untuk memenangi hati orang besar-besar yang berkuasa dan berpengaruh pada hakikat adalah gejala kekalahan psikologikal (al-hazimat al-nafsiyyah). Kejayaan dakwah tidak bergantung kepada dukungan orang besar-besar. Yang menentukan kejayaan dakwah adalah kuasa Tuhan yang sentiasa memberkati istiqamah dan keikhlasan amal perjuangan. Hanya kepada Allah Yang Maha Esa para da`i harus bergantung selamanya. Semoga Allah berkenan memperteguh dan memantapkan hati kita serta menyelamatkan kita dari segala tipu-daya.


TM67
27/12/2013


No comments:

Post a Comment