Monday, December 30, 2013

Tidakkah Mereka Mengambil Pengajaran? - Umar Tilmisani: Menyingkap Lembaran Ikhwan Muslimin


Pada 1948 beribu-ribu anggota Ikhwan ditangkap dan ditahan di merata penjara di Mesir oleh Raja Farouk. Waktu itu sebelum revolusi kudeta tentera pimpinan Jamal Abdul Nasser dan Najib. Bagi Umar Tilmisani, penjara mujahidin bukanlah kenikmatan yang harus dibangga-banggakan untuk generasi masa depan. Tetapi penjara adalah pengorbanan yang hanya akan dihayati oleh mereka yang mengenal erti kehormatan, kebebasan dan keimanan.

Semasa Umar Tilmisani sedang merengkok di penjara Jabal Al Thur, dia telah dibawa secara rahsia ke istana Perdana Menteri waktu itu, Ibrahim Abdul Hadi. Ibrahim terkenal sebagai pelopor kekejaman dan seni penyiksaan yang bakal diikuti oleh orang-orang sesudahnya. Pada ketika itu, suasana di istana itu kelihatan pegawai-pegawai Ibrahim begitu cemas dan dalam keadaan kelam kabut.

Umar di bawa masuk ke kamar dan duduk berhadapan dengan Ibrahim. Umar memberi ucapan salam. Ibrahim tidak menjawab salamnya. Ketua interogasi bernama Umar Hussein berada di belakang Tilmisani sedang mengacukan pistol. Keadaan ini membuatkan Tilmisani terfikir akan "kemungkinan syahid di kamar ini saja".

Ibrahim terus bertanya, "Ya Umar! Aku ingin bertanya tiga soalan. Jika kamu jawab, maka aku akan bebaskan kamu beserta semua anggota Ikhwan yang ditahan. Jika tidak, semua dosa-dosa mereka akan berada di atas pundak kamu kerana kamu ahli maktab irshad - kepimpinan Ikhwan."

"Di mana letaknya gudang-gudang senjata Ikhwan? Di mana pusat pengiriman senjata itu? Siapa pimpinan nidzam khas (unit para militer)?"

Tilmisani menjawab dengan jujur bahawa dia tidak tahu dan dia dihantar semula ke penjara, kali ini dihumban ke penjara Haiktasib. Umar Tilmisani menghabiskan masa selama 18 tahun di penjara era Raja Farouk, Gamal Nasser dan Anwar Sadat.

Pada saat itu lagi Ikhwan telah menjadi sasaran kebencian dan momokan semata-mata kerana Ikhwan membuka fikiran pemuda-pemuda untuk berubah dan beralih daripada kebobrokan, kerosakan dan manipulasi licik yang sedang membaham Mesir.

Raja Farouk telah memecat perdana menterinya Ibrahim Abdul Hadi yang jatuh bersama konco-konconya. Tetapi orang kemudiannya tidak mempelajari apa-apa pengajaran pun daripada peristiwa ini.

Pada ketika itu Tilmisani berkata, "kami anggota Ikhwan al Muslimin mengkritik dan menyerang tindak tanduk autokrat Raja Farouk. Tetapi para penulis dan antek-antek berlumba-lumba memuji Farouk, dengan memberinya gelaran 'murabbi utama, jurutera utama dan pemimpin utama'. Mereka melakukan ini tanpa segan silu tanpa rasa malu."

Apabila terjadi kudeta dan Raja Farouk digulingkan, maka mereka semua beralih menyokong revolusi. Pena-pena and antek-antek yang dulu menjilat-jilat bertukar menjadi taring-taring yang merobek-robek tubuh badan Raja Farouk.

Kemudian Gamal Nasser menuduh Ikhwan sebagai "anti revolusi". Perselisihan Ikhwan dan Nasser membuatkan antek-antek dan taring-taring ganas yang sama menjadikan Ikhwan mangsa. Ikhwan dilanda mehnah yang sungguh berat. Nasser dengan angkuh mengadakan pula pesta-pesta perayaan menandakan ini semua.

Padahal apabila berlaku Revolusi 23 Julai, itulah saat perubahan negara Mesir yang telah menawarkan impian dan harapan. Revolusi berjalan dengan lancar dengan tanpa ada keributan dan kekacauan. Rakyat Mesir menyambut dengan penuh gembira dan amat bangga dengan perwira-perwira dan tentera revolusi. Semua menanti-nantikan tertubuhnya kabinet bagi memulakan pemerintahan baru. Nasser bermula dengan membebaskan orang-orang terpenjara di kalangan Ikhwan dan juga Misr al Fatah. Rakyat riang ria menyambut tindakan ini. Orang tahu bahawa revolusi itu adalah hasil kerjasama dan pakatan di antara Ikhwan dan Perwira Merdeka angkatan tentera. Rakyat tahu Ikhwan mahu negara kembali kepada kegemilangan Mesir pada waktu kejayaan umat Islam. Mereka tahu Ikhwan mengotakan kata-kata mereka dan bukan sebuah gerakan yang menabur janji palsu. Namun Nasser tetap memusihi, menfitnah dan memenjarakan anggota Ikhwan. Tidak ada yang mengambil pengajaran ini.

Apabila Nasser meninggal dunia, yang pertama menyerangnya adalah pena-pena dan antek-antek yang sama yang dahulunya menyanjung Nasser setinggi langit.

Pada pemerintahan Anwar Sadat, pena-pena dan antek-antek yang sama bersenandung di hadapannya. Sadat dipuji dan dipuja dengan disanjung kepahlawanannya. Saat itu juga, Ikhwan sedang mengalami penderitaan yang hebat. Sebenarnya, Sadat mempunyai kesempatan besar untuk membuat perubahan dengan mengambil pengajaran dan menyedari hakikat oportunis yang hanya pandai memuji penguasa dan menyerang musuhnya. Tetapi Sadat tidak mahu belajar dan akhirnya terjadilah apa yang terjadi. Kemudian, pena-pena itu menyerang Sadat pula.


Tidak ada yang mengambil pengajaran ini.



(Rujukan: Dhikrayaat laa Mudhakiraat, terjemahan Indonesia Bukan Sekadar Kenangan, Umar Tilmisani, Murshid al Am ketiga Ikhwan al Muslimin)



No comments:

Post a Comment