Sunday, December 15, 2013

Siyasah Syar'iyyah: Umar al Tilmisani: Menyingkap Lembaran Ikhwan Muslimin


Seawal  sejak 1980'an, Ikhwan Muslimin telahpun menggunakan istilah-istilah politik kontemporari dan membahaskan naratif seperti: hak asasi (huquq), kebebasan (hurriyya), perlembagaan (al-dustur), kedaulatan undang-undang (siyada al-qanun), demokrasi, kewajipan penjawat menteri (al-mas’uliyya al-wizara), pembangkang (al-mu‘arada), dan parti pemerintah (hizb al-hakim).

Istilah dan konsep ini tidak menggantikan tetapi lebih menyerikan istilah-istilah Qur'ani yang digunakan seperti: keadilan (‘adl), shura, kezaliman (zulm) dan fitnah. Ikhwan tetap meletakkan keimanan sebagai latar asas politik Islam. Konsep-konsep ini memperkayakan dan melebarkan kefahaman serta membolehkan partisipasi langsung dalam landskap politik semasa.

Anjakan besar partisipasi politik semasa telah dirintis oleh Umar al-Tilmisani (1904-1986), yang menggantikan Hasan al-Hudaybi selaku Murshid al Am setelah pemergiannya pada 1973. Umar al-Tilmisani mengorak langkah bagi penyertaan Ikhwan pada pilihanraya Mesir  1984 melalui pakatan bersama  parti neo-Wafd, dan kemudiannya Parti Buruh  pada 1987.  Tulisan al Tilmisani mencerminkan pengenalan istilah-istilah baru dan pentafsiran semula konsep-konsep sedia ada. Al-Tilmisani, dengan tegas dan penuh berhemah menolak keganasan atau sebarang sokongan kepada pengganas. Dia mengutuk keras keganasan (irhab), dan menegaskan bahawa jihad adalah perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan memastikan kebaikan. Menurutnya, jihad adalah memperjuangkan agama, termasuk menghulurkan wang dan harta  serta mengorbankan masa untuk manfaat umat Islam. Konsep ini dikembangkan lagi dengan penekanan kepada penyebaran risalah pendidikan Islam - da'wa, tarbiya dan ta'lim.

Al-Tilmisani tetap teguh berikrar sepertimana menurut pesanan Hasan al-Banna bahawa  Islam adalah sistem hidup yang lengkap (al-nizam al-shamil). Ini terserlah dengan ungkapan Tilmisani iaitu Islam adalah ‘agama dan negara, Qur’an dan senjata, ibadah dan muamalah'. Ringkasnya, 'Islam adalah segala-galanya dalam kehidupan'. Ikhwan pula adalah berperanan sebagai pembawa pencerahan baru dan pencerdasan umat. Politik kekal diolah dengan kacamata moral. Fasad dan korupsi akan dibenteras dengan pematuhan kepada agama yang sebenar (al-din al-sahih). Dia menekankan bahawa jika kerajaan menunaikan tanggungjawab dan obligasi Islami, keimanan akan meratai dan akan membawa kepada penyelesaian segala permasalahan.  

Al-Tilmisani menunjukkan kefahaman tinggi terhadap tasamuh dan toleransi menangani perbedaan (ikhtilaf). Dia telah menuruti pendekatan berhikmah al-Hudaybi sebelumnya. Al-Tilmisani menerima kehadiran permasalahan perbedaan pendapat, kepercayaan dan ideologi (khilafat), dengan mengatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada fitrah manusia. Namun, dia cermat dan berhati-hati dalam menangani isu perbedaan pendapat, dengan meraikan kehadiran perbedaan sedia ada di antara madhhab asalkan tidak membawa kepada perpecahan (tamziq). Tilmisani menerima kewujudan perbedaan di kalangan pelbagai jama'ah Islam (jama‘at), kesemuanya katanya harus dihormati dan dihargai. Tilmisani melanjutkan toleransi dan saling hormat menghormati ini kepada parti-parti politik. Walaubagaimanapun, dia menegur mereka kerana persengketaan sengit (fitna) dalaman parti-parti dan perbuatan tindak tanduk amalan real politik bagi menghancurkan pihak lawan dan saingan. Dia menasihati mereka agar kembali semula kepada idealisme, kepada rujukan Kitabullah.

Keterbukaan terhadap kepelbagaian dan sifat inklusif adalah realisasi bahawa dunia kini banyak berdasarkan percambahan kepelbagaian pendapat dan pandangan. Tilmisani  menyeru supaya ahli-ahli Ikhwan menguasai kompetensi dan ketangkasan media baru dan TV. Al-Tilmisani juga meminta ahli-ahli Ikhwan membincang dan berwacana dengan objektif dan rasional bersama pihak lawan, pihak oposisi dan saingan, kerana tiada sesiapa yang maksum dan membetulkan kesilapan adalah perihal normal.  Tilmisani berkata dengan jelas bahawa Ikhwan Muslimin ‘tidak memonopoli Islam’.

Dengan membukakan ruang seluasnya untuk berpolitik, al-Tilmisani secara eksplisit menyuarakan hak untuk mengkritik pemerintah sebagai hak berpolitik.  Dia berkata, ‘Sadat (presiden Mesir ketika itu) adalah ketua eksekutif, kehakiman dan legislatif.' Dengan kata lain, keseluruhan kuasa negara Mesir berpunca daripada Sadat sehingga dia menggelarkan dirinya sebagai ketua keluarga rakyat Mesir. Kejahatan inilah menurut al-Tilmisani puncanya tidak berputus-putus krisis demi krisis kewangan, bekalan makanan, kebejatan moral, masalah sosial dan akhirnya persoalan aqidah.  Tilmisani berkata, ‘kita mesti menjauhi diri kita daripada punca kejahatan ini'. Sebagai mengimbangi kuasa eksekutif sebegini al-Tilmisani menganjurkan istilah baru, seperti ‘warganegara' (al-muwatin) dan 'hak asasi', yang menunjukkan keberanian yang belum dilakukan oleh pihak sebelumnya.  Dia berkata: ‘pertamanya kita percaya bahawa setiap warganegara mempunyai hak (untuk mengkritik pemerintah atau parti pemerintah)’. Dia menekankan lagi bahawa 'ini  adalah tugas mereka (sebagai warganegara)'. Tilmisani menyambut baik pembebasan tahanan-tahanan politik dan ruang untuk 'mengkritik apa sahaja yang disiarkan di akhbar dan di parti-parti politik'.

Al-Timisani berhujah bahawa keputusan-keputusan politik hanya sepatutnya dibuat berdasarkan amalan seperti ‘perdebatan, wacana, perbincangan, pembuktian, hujah, rundingan, dan mendengar pendapat majoriti dan minoriti'. Dia menekankan pentingnya kehadiran pemimpin yang adil yang membuat keputusan berpengetahuan dan bijak. Dia menyatakan juga, ‘satu ciri penting politik dalam Islam adalah kebebasan bersuara pada ucapan, percetakan dan media'. Dia perhalusi lagi konsep kebebasan bersuara dengan merujuk kepada nasiha, yang seharusnya berbentuk kritik yang membina, teguran yang beradab (al-naqd al-muhadhdhab). Tilmisani menerima konsep oposisi atau pembangkang politik (mu‘arada), dengan syarat mematuhi adab-adabnya.

Perbahasan dan wacana istilah-istilah baru ini masih berasaskan hasrat untuk kembali kepada konsep komprehensif (shumuliyya) seperti disarankan Hasan al-Banna dan berdasarkan kepada keimanan. Tilmisani menolak anggapan bahawa Ikhwan adalah suatu arus politik. Sebaliknya Ikhwan adalah persaudaraan komuniti Islam yang ingin menegakkan hukum Allah swt. Apabila prinsip-prinsip asasi dan hukum-hukum Allah swt dilanggari maka umat Islam perlu bersuara. Kezaliman, penyeksaan, penderaan dan korupsi mesti dikutuk. Kerana itu dia bersetuju (presiden) Nasser dikutuk sebagai penzalim. Dia menentang perjanjian  Camp David Accords 1978, kerana merugikan umat dan ‘menyalahi agama kita'. Bagi Tilmisani, tidak wajar berlaku pemisahan di antara agama dan politik kerana ‘jika masjid bukan tempat membicarakan perihal kehidupan, termasuk politik, apakah nilai risalah ini?'.  Dia menambah lagi, 'bagaimana si alim ingin menjalankan tugasnya sebagai memberi panduan dan petunjuk (irshad)?' Jika al Qur'an menyelar para penzalim (zalimun) secara terang-terangan, maka 'bagaimana politik dan agama hendak dipisahkan, jika dituruti kehendak regim pemerintah?'

Tilmisani menyindir sikap partisan yang negatif dengan menggelar 'akhbar-akhbar partisan kerajaan' (suhuf hukumiyya hizbiyya)'. Dia mengkritik parti-parti politik yang tidak menjalankan pemerintahan demi kepentingan negara. Namun, dia memuji pemimpin-pemimpin parti-parti lain yang mempunyai  hakikat berpolitik ‘political realism’  dan pendekatan tersusun. Dia memberi penghargaan kepada mereka yang demokrat, ahli politik berpengalaman dan berkesan.

Al-Tilmisani pernah ditawarkan menjadi senator, anggota Majlis al-Shura (Senate) Mesir, tetapi dia menolaknya.


‘Umar al-Tilmisani, Dhikraya, la mudhakkirat , terjemahan Indonesia, 1985

THE MUSLIM BROTHERHOOD AND THE POLITICAL: AN EXERCISE IN AMBIGUITY, Roel Meijer

No comments:

Post a Comment