Wednesday, December 18, 2013

Wasatiya dalam Menempuh Saat Getir: Hasan al Hudaybi: Menyingkap Lembaran Ikhwan Muslimin










Hasan al-Hudaybi telah menjadi Murshid  al Am al-Ikhwan al-Muslimun daripada1951 hinggalah kepada pemergiannya pada  1973. Hasan al-Hudaybi telah memenuhi satu jurang mencabar pada saat getir - sa'atul 'usrah dalam titik perjuangan gerakan Ikhwan.  Musuh-musuh  Ikhwan gemar untuk menggambarkan selepas Hasan al-Banna, gerakan itu menjadi lebih radikal. Terdapat banyak kesilapan pada naratif radikal ini. Adalah jelas bahawa gerakan Islam di kalangan pergerakan pelajar 70'an memilih untuk menganggotai Ikhwan kerana kejelasan dan kesederhanaannya serta menolak ekstremisme dan golongan pelampau. Ikhwan pada ketika itu giat mengkonsolidasikan gerak kerja dan tindakan untuk reformasi bertahap gradual.


Adalah penting bagi umat yang ingin pencerahan dan pencerdasan supaya mengkaji dan memahami period penting sejarah Ikhwan dan, dengan itu akan menghargai kehadirannya serta mengetahui sifat gerakan itu masakini. Dasar-dasar yang dibawa oleh Hudaybi dan kefahamannya tentang Islam sebagai panduan untuk politik dan masyarakat merupakan kunci bagi memahami kemunculan semula Ikhwan di khalayak Mesir pada 70'an dan perkembangan seterusnya, setelah bertahun-tahun lama ditindas, diusir dan dizalimi.

Buku Hudaybi Du'a la quda yang merupakan  kumpulan karya bersama rakan-rakan kanan Ikhwan menunjukkan bahawa Ikhwan dengan cermat dan penuh hikmah menggariskan pedoman dan penunjuk jalan bagi individu Muslim untuk berjihad demi Islam dan menegakkan keadilan sosial. Tetapi karya ini juga membawa pembacanya supaya menjauhi jalan-jalan ekstrem dan kegelinciran radikal.

Pada perbahasannya tentang persoalan 'siapa Muslim?', buku ini menuruti ajaran Islam yang ternyata bahawa barangsiapa yang mengucapkan shahadah secara zahir adalah seorang Muslim. Namun, Hudaybi menyatakan juga bahawa seorang Muslim yang ideal dan terbaik adalah, baik lelaki atau wanita, yang menyerahkan kehidupannya untuk perjuangan menyampaikan risalah Islam. Seorang Muslim disaran supaya mempunyai idealisme perjuangan Islam. Seruan Hudaybi untuk menyertai perjuangan secara aktif tidaklah bermaksud untuk menuduh mereka yang tidak menghayati kehidupan ideal itu adalah 'bukan Muslim'. Malah buku itu dengan terang menganjurkan umat supaya menjauhi perbuatan takfir - menglabel orang lain sebagai 'bukan Muslim'

Prinsip wasatiya - kesederhanaan Hudaybi jelas juga dampak pada sikap dan seruannya dalam menuntut pelaksanaan hukum  Shari'a. Ikhwan akur kepada keperluan dan keabsahan manusia di dalam perundungan dan penglibatan mereka dalam membuat dasar. Hudaybi dan rakan-rakanya dalam Ikhwan melihat kuasa politik bukan hakmilik mutlak mana-mana pihak tetapi harus datang daripada penerimaan, pemilihan dan perwakilan, daripada sokongan massa.

Hudaybi juga mempertahankan hak-hak anggota masyarakat untuk membangkang pihak berkuasa dengan bersandarkan perintah al Quran "menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran " (al-amr bil-ma'ruf wa'l-nahy 'an al-munkar). Dia menekankan supaya hak ini hendaklah dilaksana secara aman dan beradab, dan penggunaan kekerasan ditolak.

Wawasan wasatiya da'wah Islam ini yang bergabung dengan gema arus perdana pergerakan pelajar 70'an, yang dipengaruhi Hudaybi dan rakan-rakannya telah menghasilkan sosok Ikhwan Muslimin dengan kebangkitan semula organisasi yang lebih  mantap dan bertenaga.


Adalah disarankan kepada mereka yang berminat dengan gerakan Ikhwan untuk mengkaji dan melihat evolusi perkembangannya daripada masa Hasan al-Banna hingga ke sekarang, tanpa terikat dengan dogma atau gambaran stereotaip yang jumud. 

No comments:

Post a Comment