Tuesday, December 17, 2013

Kemampanan Jalan Da'wah dan Islah: Mustafa Mashhur : Menyingkap Lembaran Ikhwan Muslimin


Mustafa Mashhur dilantik menjadi Murshid al Am Ikhwan Muslimin pada 1996, setelah lama berada di kalangan pimpinan kanan pergerakan itu. Dia telah beberapa kali dipenjarakan kerana penglibatan dalam perjuangan gerakan Islam merengkok selama 19 tahun di dalam tahanan regim Mesir era mehnah. Mashhur menganggap sistem pilihanraya sebagai satu peluang, saluran atau wadah sah di sisi undang-undang negara bagi melaksanakan da'wah dan islah. Dalam karyanya, Daripada Gerakan Islam kepada Rakyat Mesir, Mustafa Mashhur mengolah banyak daripada masalah-masalah akibat dasar infitah -penswastaan - yang dimulakan oleh (presiden) Sadat dan diteruskan pula di bawah Mubarak, di antaranya korupsi ekonomi dan politik, inflasi, pengangguran, serta perdamaian dengan Israel yang kaku dan tidak menguntungkan Mesir.

Di bawah kepimpinan Mashhur, Ikhwan melaungkan slogan, ‘Islam adalah penyelesaian' (al-islam huwa al-hall) untuk pilihanraya 1987.  Slogan ini menyakitkan hati Mubarak  dan sangat menjengkelkan regimnya hingga kesudahannya. Mashhur mencanangkan konsep ini dengan pelbagai ungkapan bermakna seperti penyelesaian politik lahir daripada ‘intima - kebersamaan dengan Islam’, ‘kembali kepada agama', ‘menerima kebenaran yang membawa kejayaan' dan melaksana 'prinsip-prinsip Islam' (mabadi’ al-islam). Pada kesemua ini, iman adalah intipatinya dan matlamat politik akan hanya dirangkul melalui kesabaran (sabr), dayatahan (tahammul) dan kebijaksanaan (hikma).

Wacana yang dibawa oleh Mustafa Mashhur menggariskan tentang permasalahan politik dengan kritikan tajam menamakannya sebagai penyakit (‘ilal/da’), kegeringan (amrad), kebejatan moral (inhilal) dan korupsi (fasad). Bagi sekalian penyakit-penyakit ini, dia meyakini bahawa Islam sahajalah penawar yang mujarab. Daripada segi psikologi, Islam boleh mengubati ‘kekalahan psikologi' (al-hazima al-nafsiyya) dan membina 'sahsiah yang kuat' serta memulihkan perasaan yang kurang bertanggungjawab. Pada sudut ini, program Mustafa Mashhur pertama sekali adalah pemugaran dan pensucian akhlak.  Dia berpendapat bahawa sebuah negara sepatutnya berusaha dan menyeru kepada mengembalikan iman, kerana iman yang sahih dan mantap akan membebaskan individu daripada penyakit dan kegeringan demikian. Dengan menggamamkan sebahagian pemerhati, Mashhur menyarankan kepada kerajaan supaya memberikan lebih perhatian kepada tarbiyah berbandingkan dengan pendidikan formal (ta‘lim). Dia berhujah bahawa pengislahan dan pensucian ruh (arwah) dan jiwa (nufus) itu lebih utama daripada pengajaran ilmu pengetahuan, kerana keutamaan pendidikan formal selama ini merupakan kesan warisan legasi imperialisme Barat. Dia mencabar kebergantungan sepenuhnya kepada rasionalisme (‘aql)  dan dia menyalahkan keadaan kekeliruan dan kecamukan pemikiran (khalal) kepada campur aduk idea dan nilai Islam dan Barat.

Apabila Mashhur menerima konsep-konsep seperti ‘kehendak rakyat' (irada al-sha‘b) dan 'kebebasan' dan sokongan kepada idea ‘perwakilan rakyat', atau menghormati 'pendapat orang lain', konsep-konsep ini sentiasa diiringi istilah dan pedoman Islam, memberikannya pencerahan. Mashhur beranggapan Ikhwan adalah lebih kepada suatu pergerakan sosial yang lebar berbanding sebuah parti politik. Dia berkata bahawa aktiviti sosial Ikhwan adalah ‘mencari keridhaan Allah dengan memanfaatkan manusia' dan dia menganggap bahawa legitimasi penerimaan masyarakat (al-shar‘iyya al-ijtima‘iyya) lebih utama daripada legitimasi politik. Ini dapat dilihat kepada dokongannya kepada konsep hisba - akauntabiliti sosial.


Sebagai Murshid al Am Ikhwan, Mustafa Mashhur tidak terkecuali daripada terkena tohmahan dan sering diburuk-burukkan kerana ketegasan pendiriannya pada prinsip-prinsip tanpa berkompromi walaupun dituduh sebagai konservatif atau golongan lama - old guard. 

No comments:

Post a Comment