Friday, January 10, 2014

Anwar Ibrahim: Menggarap Kerangka Besar Idealisme Perjuangan (Bahagian 1)



Kita mempunyai pengalaman 15 tahun era Reformasi. Tetapi Reformasi telah bermula lebih awal dan lama daripada itu. Kita telah melalui suatu evolusi. Ia adalah satu kesinambungan perjuangan – bagi meletakkan asas kebangkitan baru rakyat.

Betapa pentingnya kita mengadakan siri-siri kuliah ilmiah kerana pengalaman kita menunjukkan bukan semua pendokong, penggerak Reformasi samada baik dalam Keadilan ataupun Pakatan, memahami serta menghayati sepenuhnya semangat perubahan ini.

Kita ada kerajaan-kerajaan negeri tetapi kita masih bergelut dengan pertembungan - juxtaposition di antara kepentingan perjuangan nasib rakyat dengan kepentingan-kepentingan kecil.

Perbandingan dengan UMNO/BN tidak cukup kerana BN/UNMO mewakili sistem yang bobrok dan rosak. Maka sistem kita, kalau kita ingin katakan kita lebih baik daripada BN, tidak mencukupi. Kita tidak tertegak kerana kita lebih baik daripada BN. Kita tertegak kerana kita menjanji, mengikrarkan pembaharuan dan reformasi.

Idealisme kita jelas terpampang sejak daripada awal – Pengisytiharan Permatang Pauh  mengungkapkan islah mastata’tu – menjana perubahan sedaya upaya sebaik mungkin. Ini suatu cabaran yang cukup besar.

Kita perlu bermula di sini dengan mengenepikan persoalan politik kepartaian dari segi pergelutan biasa. Kita perlu lihat kerangka besar idealisme perjuangan kita. Nasib orang yang bertempur di jalanan, orang yang dipukul, orang yang sengsara begitu lama. Itu tidak hanya menuntut kepada kuasa tetapi menuntut kepada perubahan. Tidak semua kita mampu melihat dan mengungkapnya dengan canggih,  istilah dan konsep.

Kalau kita tanya mereka, mereka mahu keadilan. Tetapi bagaimana hendak mengungkapkan dengan cerakinan yang begitu teratur, maka tidak semua akan mampu melakukan. Tetapi bagi generasi muda, bagi kepimpinan, ini perlu didekati. Apatah lagi kerana ada relevance di dalam pergelutan politik yang disinggung - pergelutan dalam kepimpinan PKR umpamanya.

Apa sebenarnya yang kita pertahankan? Apakah yang mahu dijadikan ciri sahsiah kepimpinan yang boleh ditonjolkan? Sebab itu, kita pohon semua bagi pengertian untuk menyingkap sebahagian daripada ungkapan di dalam gagasan Gelombang Kebangkitan Asia.

Ini kerana, hendak memimpin ini menuntut kepada sikap yang lebih tegas dan berani. Idealisme yang lebih baik. Ilmu yang lebih mendalam. Kalau ilmu kita itu mendatar. Pidato kita sepertimana menteri biasa, kita tidak akan mampu memimpin. Kalau pengucapan bahasa kita cukup hambar, kita tidak akan boleh menonjolkan diri kita lebih daripada yang lain. Kita tidak dapat mengangkat sebagai contoh atau teladan baik dari segi bahasa, sahsiah atau keperibadian. Apatah lagi konsep ilmu.

Sebab itu, kita pohon kalau pun bukan kesemuanya tetapi kita cuba menggarap, menanggapi, menilai dan menangkap maksud kerangka perjuangan yang lebih besar. Apa maksud kerangka yang lebih besar? Kalau tidak ada kerangka ini, kita akan terbawa dan terheret dengan tuntutan semasa. Apabila isu ekonomi besar – apakah isunya? Ia isu keadilan, isu pemerataan, isu economic justice – atau apa yang disebut oleh Professor John Rawls sebagai distributive justice – keadilan teragih.

Kalau kita tidak faham kerangka ini kita akan terbawa-bawa,  contohnya, kepada isu bagaimana dengan kepentingan Melayu – seolah-olah terheret kepada kancah perkauman. Bukan sahaja isu Melayu tetapi begitu juga Cina dan India, contohnya. Bagi sesetengah orang Cina, Dasar Ekonomi Melayu DEB hanya menguntungkan Melayu. Fahaman ini tidak tepat samasekali. Pemikiran begini sedikit sebanyak tersinggung daripada sudut perkauman dia. Dia tidak pernah memikirkan nasib miskin orang Melayu. Dia berfikir tentang pembelaan yang harus diberi kepada orang Cina. Kita juga dengar perkara sensitif perkauman dibawa oleh sesetengan tokoh India seolah-olah orang India sahaja yang dijijikkan. Apabila berbicara, kepentingan itu hanya isu survival orang India.

Dalam Keadilan, dalam Reformasi, pemikiran begini tidak boleh berlaku. Walaupun isu itu isu besar ekonomi, namun ia adalah isu keadilan. Dan keadilan itu tidak boleh terikat hanya dalam batas kaum. Kalau kita membicarakan ketidakadilan kepada Melayu, pembicaraan tentang ketidakadilan yang sama, peraturan hukum yang sama terpakai bagi orang Cina, Dayak, Kadazan dan India. Maka barulah kita membawa keadilan. Kalau ini yang dibawa, inilah kerangka besar.

How do you encapsulate the whole notion of justice when you become racist in your projections? Racism and justice is in a juxtaposition. Ada pertembungan di antara keduanya – perkauman dan keadilan – maka sebab itu, kita harus mula dengan apa yang disebutkan oelh Malek ben Nabi sebagai guiding ideas – gagasan pedoman.

Kalau tidak, contohnya, apa yang hangat diperbahaskan di Selangor sekarang – ribut dari cabang ke negeri, ke ranting, adalah persoalan perlantikan ahli-ahli majlis perbandaran. Ia seolah-olah memadamkan isu besar yang dihadapi rakyat – kemiskinan, kepapaan, harga barang yang meningkat dan tahap kefahaman yang remeh di kalangan rakyat.

Maka sebab itu, kita mulakan dengan merujuk dan berbicara tentang renaissance – kebangkitan. Tatkala kita menulis The Asian Renaissance, ada yang membangkitkan tentang asal usulnya istilah, merujuk kepada Florentine – Italian experience, kerana walaupun sains, teknologi dan keilmuannya baik tetapi ada kelemahannya. Ini disebut oleh Will Durant sebagai the moral release – iatu kebangkitan ilmu, kebangkitan teknologi dan kebangkitan sains tetapi meremehkan dan merendahkan kepentingan akhlak dan moral.

Sebab itu di dalam The Asian Renaissance, kita katakan: the revival of arts and sciences under the influence of classical models based on strong moral dan religious foundations. The religious roots of the Asian Renaissance cannot be ignored or put aside. It is a cultural resurgence dominated by a reflowering of art and literature, architecture and music, and the advancement of science and technology. European Renaissance hampir sama tetapi seperti dikatakan oleh sejarawan Will Durant, ia merosot akhlak dan moral kerana dianggap kebebasan itu tidak harus terikat dengan isu moral.


(Sedutan Ucapan Anwar Ibrahim yang disunting daripada The Asian Renaissance Course)


No comments:

Post a Comment