Monday, January 6, 2014

Pernyataan Sikap WADAH: Isu ‘Rampasan’ Bible Oleh JAIS

WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA
Pernyataan Sikap: Isnin, 6 Januari 2014.
Isu ‘Rampasan’ Bible Oleh JAIS

Akhir-akhir ini berbangkit berbagai isu mengenai Islam vis-à-vis agama-agama lain, termasuk isu Kalimah Allah dan terbaharu isu rampasan lebih 300 naskhah kitab Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Isu-isu ini bukan sahaja menimbulkan rasa ketidakselesaan masyarakat tetapi juga telah menjejaskan keharmonian hidup antara kaum dan agama. Satu tindakan segera dan berani diperlukan bagi menilai secara menyeluruh sikap dan pendekatan yang digunakan selama ini dalam menangani isu-isu sensitif yang melibatkan hubungan antara kaum dan agama. Satu solusi perlu dirumus bagi membendung berkembangnya kebencian dan dendam yang mungkin membawa masyarakat ke kancah masalah yang lebih besar. Atau kalau dibiarkan ia akan bertukar menjadi ‘bom jangka’ yang boleh meletus bila-bila masa lalu memusnahkan seluruh apa yang telah kita capai selama ini.

Semua pihak menerima hakikat bahawa isu-isu berkaitan hubungan antara agama dan kaum adalah isu-isu yang amat sensitif. Menanganinya memerlukan kebijaksanaan tersendiri. Mereka yang tulus ingin mencari penyelesaian bagi masalah ini harus menghadapinya dengan ‘kepala yang dingin’, kesabaran dan sikap berhati-hati yang luar biasa. Namun kita dapati dalam kes JAIS dan Bible Society of Malaysia, ada aspek-aspek yang perlu disemak kembali. Apakah kesan baik-buruk telah diperhitungkan semasak masaknya sebelum tindakan diambil atau hanya satu tindakan melulu?

Apakah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan terbit dari akal yang rasional atau hasil dari rasa dendam dan kemarahan? Apakah kita telah bertindak dengan penuh bijaksana seperti yang dituntut oleh Islam? Kata kunci di sini ialah ‘kebijaksanaan’. Sekiranya tindakan tidak dibuat secara bijaksana, maka ketegangan dan konflik akan bertambah parah dan cita-cita perpaduan akan tinggal menjadi impian dan angan-angan. Sementara kekecohan yang timbul dari tindakan-tindakan yang tidak bijaksana akan hanya menyumbang kepada menebalnya prejudis masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam sendiri.

Dalam konteks ini, WADAH bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini (Isnin, 6 Januari) bahawa perlunya semua pihak ‘bertenang dan bersikap matang’, perlunya ‘mengenepikan emosi’ dalam menangani kemelut ini. Namun mengulang-ulangi retorik seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah selagi tiada kesungguhan ditunjukkan pemerintah dan pihak pihak yang berkuasa agama (termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan), MPPN, para cendiakawan dan pimpinan masyarakat bagi mengatasi masalah yang crucial ini.

Kenapa tidak diusahakan secara sungguh-sungguh mencari titik persefahaman di antara pelbagai kaum dan agama yang ada? Apakah tidak ada hal-hal yang boleh dipersetujui dan disepakati? Tidakkah ada yang boleh dipelajari dari semangat ‘kalimatin sawaa’ (Q 3:64) anjuran al-Quran? Tidakkah semua pihak menginginkan hidup bersama yang tenang dan aman? Sekiranya kita memilih untuk duduk bersama dengan hati yang tulus, bermusyawarah dan berdialog dengan dada yang lapang terbuka pasti banyak perbedaan dan salahfaham dapat dirungkai. Sikap saling memahami dan kesediaan untuk bertolak ansur yang terbina dari sesi-sesi seperti ini pasti akan memberi kesan positif yang tidak ternilai kepada semua pihak.

Walaupun undang-undang, enakmen dan peraturan boleh digunakan untuk ‘mengatasi’ masalah, di sebalik musyawarah dan dialog, namun penyelesaian yang menyeluruh dan lebih abadi tidak akan dapat dicapai menerusi penguatkuasaan undang-undang.

WADAH mengalu-alukan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN), yang dalam sidang hari ini (Isnin, 6 Januari 2013) turut menyentuh isu tindakan JAIS tersebut. Bagaimanapun WADAH berpandangan MPPN wajar menyediakan agenda bertindak yang lebih konkrit, realistik dan menyeluruh dari sekadar ‘mengecam dan menyatakan penyesalan’ atas apa yang berlaku. Wacana dan muzakarah yang melibatkan kumpulan pakar dan para ilmuwan perlu disegerakan dan dibuat secara bersungguh-sungguh bagi mencari formula yang berkesan dan boleh diterima oleh semua pihak. Oleh kerana isu-isu sensitif kebanyakannya berkaitan dengan Islam dan agama-agama lain, maka wajar Majlis ini merujuk lebih banyak kepada para ilmuwan Islam yang berwibawa bagi mendapatkan pandangan yang tepat.

WADAH ingin menganjurkan MPPN mempelajari bagaimana lebih 400 tahun, la convivencia iaitu konsep hidup bersama dalam aman dan harmoni antara Muslim, Kristian dan Yahudi dapat dipertahankan di Andalusia. Kenapa kita tidak mengambil model yang unprecedented ini sebagai tanda aras (benchmark) yang ingin dicapai?

WADAH berpandangan tindakan-tindakan yang bersifat provokatif oleh mana-mana pihak mestilah dihindarkan sama sekali. Rampasan kitab-kitab Bible, tindakan pihak penguatkuasa agama JAIS memasuki premis BSM dan reaksi dokongan kumpulan-kumpulan tertentu, telah diintrepretasi sebagai tindakan provokatif. Namun kita juga tidak dapat menerima tindakan yang bersifat provokatif penganut agama Kristian melaung-laungkan kalimat ‘Bapak Tuhan Allah, Bapak Tuhan Allah’. Demikian juga gambaran salah yang diberi seolah-olah The Bible Society of Malaysia sebagai sebuah gereja sedangkan ia hanyalah sebuah rumah persatuan. Reaksi beremosi tiga Adun Damansara Utama, Bukit Gasing dan Kampung Tunku bagi meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 adalah juga tindakan provokatif yang tidak sepatutnya berbangkit.

WADAH juga menggesa pihak pemerintah perlu mengambil langkah tegas bagi mengatasi kekeliruan dalam masyarakat ekoran percanggahan dan kekaburan yang terdapat dalam ketetapan, keputusan mahkamah dan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan. Antara Penyelesaian 10 Perkara yang dipersetujui kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dengan keputusan-keputusan mahkamah dan juga perintah sultan. Selagi percanggahan-percanggahan ini tidak diselesaikan, masing masing merasa mereka mempunyai hujjah bagi mempertahan pendirian masing-masing - yang saling bercanggah. Tindakan ini akan menjurus kepada melebarnya jurang syak wasangka antara satu sama lain yang akhirnya akan membawa petaka.

Sekian.

ABDUL HALIM ISMAIL
Setiausaha Agung.

Sekretariat Wadah Pusat
No 23A-2-2A, Tgk 2, Jalan Medan PB 2A, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan Tel 603-8920 2142 / Faks 603-8912 2346 / Mel-e : wadahpusat@gmail.com / http:www.wadah.org.my


No comments:

Post a Comment