Sunday, January 5, 2014

Rahmat ke Seluruh Alam





Pada suatu ketika dahulu masyarakat Islam tempatan digemparkan dengan mitos air sakti - holy water. Air sihir ini didakwa boleh memurtadkan dengan mencabut kalimah shahadah daripada orang Islam jika meminumnya. Kemudian cemas dengan tersebar luas khabar-khabar yang menakutkan tentang Kristianisasi dan riddah menyebabkan guru-guru di sekolah termasuk sekolah aliran agama menjalankan pemeriksaan mengejut  ke atas murid -murid perempuan bagi mengesan tatu dan rantai-rantai salib pada badan mereka. Maka bergemalah program, penerangan, syarahan dan ceramah tentang ancaman Kristianisasi dan riddah ke atas umat di merata forum. Seruan mengambil tema defensif dan semacam menganjurkan mentaliti orang terkepung - siege mentality serta menguatkan lagi kompleks inferioriti, mencerminkan penerapan psikologi kekalahan.

Sememangnya riddah atau gejala murtad itu sesuatu yang serious dan dipandang berat oleh seluruh umat. Namun standard penyelidikan - 'fatabayyanu',  kesahihan dan respon berdasarkan fakta yang tepat amatlah penting demi memastikan keadilan dan kebenaran serta keberkesanan tindakan. Begitu juga dengan bentuk kefahaman serta tuntasnya cara menangani cabaran dan pencerahan misi umat.

Apabila ditanya kepada Puan Animah Ferrar, pendakwah terkenal dan juga bekas penganut Katholik tentang  keajaiban holy water, dia menafikan kesahihannya malah mengatakan orang Katholik sendiri tidak pernah mengaitkan apa-apa kuasa kepada air tersebut. Ikrar shahadah yang diucapkan dengan  lisan, yang tersemat dihati dan dibuktikan dengan amal tidak bisa mati akibat curahan air.

Mesej yang sepatutnya disampaikan kepada murid-murid sekolah terutama sekolah aliran agama adalah supaya membina keyakinan dan kompetensi sebagai pemuda-pemudi Islam cerah dan cerdas. Pelajar Islam sepatutnya mempunyai ketrampilan, kekuatan, jatidiri dan kesepaduan ilmu yang tinggi bagi mendepani permasalahan dan isu semasa. Mereka sewajarnya mempunyai misi membawa risalah Islam dengan menyakinkan, merasa kaya dengan keIslaman dan keimanan yang mereka miliki serta kemampuan mengolah dan berhujah atas kebenaran agama menurut tahap mereka. Mereka perlu mampu bersedia dan berinteraksi dengan bermakna dengan non-Muslim, menyampai penerangan dan menyebarluaskan kefahaman yang tepat, dan berkebolehan berhujah dengan penuh kepintaran dan kebijaksanaan. Mereka perlu bersedia dengan berpegang kepada prinsip Islam serta idealisme perjuangan untuk bersikap inklusif, menyedari latar kemajmukan masyarakat dan mengartikulasi perihal kewarganegaraan yang menghasratkan maruah dan kehormatan. Mereka mempunyai misi menebarkan rahmat ke seluruh alam.


Berikut beberapa cebisan contoh pencerahan dan pengolahan tentang perhubungan umat Islam pada catatan sejarah dan interaksi dengan orang Kristian dan ahli Kitab:-

Sepanjang sejarah Islam, layanan umat Islam terhadap orang bukan Islam adalah contoh teladan terunggul, termasuk ketika di dalam suasana peperangan. Khalifah pertama Abu Bakr Siddiq r.a. telah mengirim pasukan  tentera ke Syria untuk memerangi tentera Rum yang telah bertindak agresif. Semasa Abu Bakr memberikan kata-kata semangat kepada tentera Islam, dia telah berpesan kepada mereka supaya memelihara dan melindungi rahib-rahib Kristian yang berada di biara-biara mereka kerana mereka hanya menjadi abid-abid dan membiarkan sahaja golongan ini.

Pada pembukaan kota Bayt al Maqdis - Jerusalem, Umar al Khattab r.a. mengisytiharkan perlindungan dan kebebasan kepada orang Kristian di bandar suci tersebut. Walaupun orang Islam telah datang sebagai tentera penakluk yang menang, mereka tidak dibenarkan menghina atau memandang rendah kepada penduduk di situ. Apabila Umar memasuki kota itu, dia datang dengan penuh tawadu' dan tidak menetapkan peraturan kasar atau syarat-syarat keras ke atas penduduk yang majoritinya Kristian. Sebaliknya, Umar membawa perjanjian yang menjaminkan kebebasan dan keselamatan mereka daripada sebarang bentuk penindasan.  Berikut ini adalah sebahagian daripada perjanjian tersebut:-

"Ini pengistiharan daripada Umar, Amirul Mu'minin, memberikan jaminan keamanan kepada penduduk kota ini. Kami menjaminkan keselamatan diri mereka, gereja-gereja mereka, dan salib-salib mereka... gereja-gereja mereka tidak akan ditutup ataupun dimusnahkan. Tidak ada sesuatu pun akan dirampas atau diambil daripada mereka ataupun salib-salib mereka. Mereka tidak akan dipaksa meninggalkan agama mereka dan tidak seorang pun akan dizalimi."

Semasa pemerintahannya, Umar telah mengarahkan Bayt al Mal - perbendaharaan membantu seorang Yahudi yang tua dan buta kerana kedaifan. Dia juga menyediakan tanah, peruntukan dan makanan kepada komuniti kusta Kristian di Syria. Demikian Umar mengangkat ruh Islam ke tahap universal lebih 1400 tahun yang lalu.

Perjuangan dizinkan menentang kezaliman dan penganiayaan. Perjuangan ini tidak khusus kepada Islam dan umat Islam sahaja tetapi semua berhak untuk beribadah kepada Allah swt.  Dr Siddiq Fadzil menjelaskan: "Peperangan bagi umat mukminin adalah murni demi prinsip asasi bahawa `aqidah wajib dilindungi dan dipertahankan. Kebebasan `aqidah dan kebebasan ibadah adalah prinsip yang kudus dan kerananya harus sentiasa dihormati dan didaulatkan. Segala bentuk pencabulan terhadap prinsip tersebut harus dilawan, termasuk dengan perlawanan bersenjata di medan perang. “Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentu telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut Nama Allah…(22:40)”. Demikianlah cara Allah mencegah pencabulan terhadap kesucian prinsip kebebasan ber`aqidah dan beribadah (yang disimbolkan dengan tempat-tempat beribadat), dengan membangkitkan kaum mukminin memerangi golongan yang sewenang-wenang mencabul prinsip tersebut. Hanya perang yang dapat menyelamatkan tempat-tempat ibadat (sawami`, biya`, salawat dan masajid) dari kehancuran. Nama Allah yang banyak disebut di dalamnya tidak lagi dapat menginsafkan golongan manusia pengganas, dan tidak lagi dapat mencegah mereka dari kebiadaban menghancurkan rumah-rumah ibadat."

Presiden pertama Republik Bosnia Herzegovina al marhum Aliya Izetbegovic berkata apabila diajukan soalan wartawan tentang toleransi agama: “Saya akan berterus terang: ini bukan hanya khabar angin. Sifat kembali kepada pegangan kepercayaan agama adalah suatu fenomena universal  yang berlaku di mana saja komunisme telah menindas dan menyekat agama secara kejam selama 50 atau 70 tahun. Wujud Islamisasi di Bosnia, seperti anda katakan, tetapi samalah seperti wujudnya Kristianisasi, dalam bentuk pemugaran semula minat keagamaan di kalangan orang Katholik Bosnia dan Kristian Ortodoks. Tetapi Kristianisasi tidak dipandang serong oleh Eropah yang Kristian, yang tidak sensitif terhadap fenomena ini, sesuatu yang saya memahami dan saya tidak menaruh dendam."

"Tetapi saya mesti membetulkan anda tentang suatu perkara: toleransi saya bukan berasal daripada saya orang Eropah bahkan ia kerana saya orang Muslim. Jika saya bertoleransi, pertamanya dan paling utama adalah sebagai seorang Muslim, hanya kemudiannya sebagai seorang Eropah. Eropah mempunyai angan-angan yang memperdayakan terlalu mengagungkan dirinya dan ia masih belum dapat membebaskan dirinya, walaupun didedahkan fakta-fakta yang nyata."

 "Sewaktu peperangan di Bosnia, sebagai contoh, beratus-ratus buah masjid dan ada juga gereja-gereja yang  telah dimusnahkan. Semuanya dimusnahkan oleh orang (Serb) ‘Eropah’, tidak satu pun oleh Muslim Bosnia. Dahulu pihak berkuasa Islam Turki bukanlah pemerintah yang lemah lembut, tetapi semua orang Kristian dan semua mercu tanda serta warisan penting bersejarah mereka kekal selamat selama 500 tahun di bawah pemerintahan Turki. Ini adalah hakikat dan kenyataan. Gereja-gereja biara rahib masyhur di bukit bukau Fruska Gora, tidak jauh dari Belgrad, kekal sepanjang 300 tahun di bawah pemerintahan Turki tetapi tidak tahan 3 tahun pun di bawah pemerintahan ‘Eropah’. Gereja-gereja bersejarah ini dibakar oleh tentera German semasa Perang Dunia ke 2."

Sejarah juga mencatatkan:-

The Prophet s.aw. sent a message to the monks of Saint Catherine in Mount Sinai:
   "This is a message written by Muhammad ibn Abdullah, as a covenant to those who adopt Christianity, far and near, we are behind them. Verily, I defend them by myself, the servants, the helpers, and my followers, because Christians are my citizens; and by Allah! I hold out against anything that displeases them. No compulsion is to be on them. Neither are their judges to be changed from their jobs, nor their monks from their monasteries. No one is to destroy a house of their religion, to damage it, or to carry anything from it to the Muslims' houses. Should anyone take any of these, he would spoil God's covenant and disobey His Prophet. Verily, they (Christians) are my allies and have my secure charter against all that they hate. No one is to force them to travel or to oblige them to fight. The Muslims are to fight for them. If a female Christian is married to a Muslim, this is not to take place without her own wish. She is not to be prevented from going to her church to pray. Their churches are to be respected. They are neither to be prevented from repairing them nor the sacredness of their covenants. No one of the nation is to disobey this covenant till the Day of Judgment and the end of the world."


No comments:

Post a Comment