Monday, January 13, 2014

Rashid Ghannouchi: Betulkah Politikal Islam Gagal?



Apa yang sebutkan sebagai political Islam - politikal Islam bukan berada dalam keruntuhan, tetapi ia sedang mengalami proses koreksi dan penyediaan ke arah fasa baru, pada masa depan, dengan urustadbir yang lebih baik.

Sebaik saja golongan Islamis menghadapi rintangan, atau dengan laporan pengurangan kiraan undi walau sedikit pun, maka muncullah pakar-pakar pemerhati Barat yang sering memantau perkembangan gerakan Islam, mereka tergesa-gesa mengumumkan kepada dunia bahawa politikal Islam telah gagal dan hancur lebur, dan telah ditamatkan riwayatnya. Pengisytiharan ini dihebahkan berulang kali pada forum-forum dan kenyataan-kenyataan mereka kepada pihak media yang menjemput mereka sebagai pakar tuntas dan dapatan yang muktamad.

Rakan-rakan seangkatan mereka di dunia Islam dan suara-suara media kita pun menggema dan mentalunkan kenyataan-kenyataan yang sama dengan persepsi bahawa ianya fakta yang sudah pasti tanpa keraguan.

Peristiwa-peristiwa di Mesir sejak beberapa bulan ini telah membekalkan bahan yang banyak untuk mereka berthesis, berseminar dan mendakwa, dengan cara sedemikian itu pakar-pakar ini dapat meningkatkan semula populariti mereka.

Betulkah dakwaan-dakwaan ini? Adakah apa yang dikenali sebagai politikal Islam sedang mengalami kemerosotan yang serious dan tenat, serta menuju kegagalan dan kematian? Atau adakah ia perihal beberapa jejak langkah kebelakang dan dalam pada itu sedang bersiap sedia untuk pelancaran baru, bagi bergerak maju ke hadapan. Rintangan-rintangan yang dihadapi itu hanyalah titik-titik kejatuhan sementara pada rajah  keluk peningkatan menyeluruh.

Istilah Pergerakan Islam lebih digemari oleh golongan Islamis sendiri, berbanding dengan terma politikal Islam.  Istilah ini merujuk kepada semua usaha dan tindakan menyebar dan menyampaikan Islam sebagai kalimah Allah s.w.t., agar mendekati satu cara hidup sempurna, dan risalah kebenaran Islam kepada sekalian manusia. Risalah ini, menurut perangkaan, adalah agama dan cara hidup yang terpantas berkembang kini, dan penganut-penganutnya adalah yang paling bersedia berkorban segala-galanya demi memperjuangkan dan melindungi agama ini.

Oleh itu landasan apa yang dikatakan kononnya sebagai politikal Islam (Pergerakan Islam) adalah wadah agama terbesar di dunia, dan teknik-teknik moden berkomunikasi telah mengupayakannya disebarkan dengan kadar yang laju dan lebar. Ini kerana Islam menghadapi rintangan yang kecil disebabkan wujudnya vakum kekosongan, kebimbangan eksistensial, dan kelemahan serta keruntuhan pengeram mesra zaman moden iaitu keluarga dan kerabat.

Ini berlaku pada masa di mana kerajaan-kerajaan sedang menuju ke arah mengabaikan tugas-tugas keprihatinan  rakyat, yang mengakibatkan keresahan dan pemencilan. Ini adalah satu kesan pertumbuhan sekularisasi dan ini menghambat manusia untuk mencari rahmah dan kemesraan di pusat-pusat dan organisasi-organisasi di mana keperluan jasmani dan rohani, individu dan kumpulan, beragama dan keduniaan, patriotik dan pengantarabangsaan dipadukan. Inilah apa yang orang tercari-cari dan mengesan pada Islam itu,  kesyumulan tasawurnya dan kesederhanaan ciri-cirinya.

Ini menerangkan kenapa banyak orang yang terdiri daripada pelbagai latar hidup dan budaya, masih tertarik kepada Islam, walaupun wujud serangan kebencian dan momokan yang dilancarkan ke atas Islam, pergerakannya dan penduduk minoritinya.

Gerakan Islam arus perdana, dengan mengenepikan elemen-elemen ekstremis di pinggiran yang hadir pada setiap ideologi dan bangsa, telah membentangkan Islam sebagai pelengkap segala kejayaan, pencapaian dan sumbangan pelbagai tamadun, bukan bertentangan dan berlawanan dengan segala pencapaian modenisasi, contohnya pendidikan untuk semua lelaki dan wanita, dan nilai keadilan, kesaksamaan, hak, dan kebebasan tanpa sebarang diskriminasi berasaskan kepercayaan, jantina, atau warna, bagi menjamin hak semua warganegara, kemanusiaan, termasuk kebebasan politik dan beragama, sepertimana amalan demokrasi moden.  Hak-hak ini dan kebebasan adalah kewajipan yang diberikan kepada manusia seperti disebutkan di dalam al Quran “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam” (al Qur’an, Al-Isra’:70)

Gerakan Islam, yang bergerak berdasarkan Islam sebagai agama fitrah, berusaha membawa penyelesaian kepada permasalahan masyarakat dan menyumbang kepada penyelesaian masalah manusia, memanfaatkan kebitaraan tamadun-tamadun lain yang padan dengan nilai-nilai Islam dan bertujuan memenuhi kepentingan manusia. Gerakan ini adalah paling dekat dengan jiwa rakyat dan menjadi jurubicara umat, menyuarakan nilai, konsep, dan bahasa, dan tarikan popularnya adalah tanpa tara tandingan, jika gerakan Islam menyelami dan memahami masalah rakyat dan mendekati mereka menurut latar faham dan intelektual umat itu.

Selama lebih setengah abad, gerakan-gerakan Islam telah dikenakan penganiayaan dan pembantaian secara berterusan, kezaliman yang jarang sekali terhenti lama bagi memulihkan dan mengembalikannya malah ditekan dan ditindas dengan lebih kejam lagi.

Penindasan yang berterusan dan bertalu-talu ini menyebabkan terjadi beberapa natijah, iaitu menerapkan legasi warisan aktivisme dan perjuangan di kalangan para Islamis yang mengerat ikatan persaudaraan mereka, juga kebersamaan berkongsi sejarah yang selama tiga generasi telah mereka  mengalaminya.

Penindasan brutal ini juga menatijahkan mereka mendapat simpati umat memberikan mereka kelebihan mengatasi pesaing politik yang lain, kerana orang menghargai dan mengingati pengorbanan mereka yang telah berjuang menentang kezaliman.

Lebih-lebih lagi pada hari ini, golongan Islamis berada pada posisi yang mulia dan teguh, kerana di samping ciri akrab mereka dengan kefahaman jiwa dan  budaya rakyat, Islamis – seperti di Mesir – berdiri tegak memperjuangkan nilai kemuliaan, mempertahankan kehendak pilihan  rakyat dan hak mengundi. Lagipun, Islamis menerajui revolusi aman yang gemilang bagi mempertahankan nilai revolusi, termasuk kebebasan media – kebebasan yang telah pelihara oleh mereka sewaktu memerintah tetapi dinodai oleh kudeta – juga memperjuangkan pluralisme politik dan perjuangan-perjuangan besar negara, termasuk isu Palestine. 

Sebagai perbandingan sebaliknya, liberalisme Mesir yang mengakar, termasuk parti Wafd, berada bersekongkol bersama puak anti – revolusi, memilih untuk bernaung di bawah kudeta tentera dan menyokong perintah tentera, membenarkan angkatan tentera dan kereta-kereta kebal mereka untuk menggilis peti-peti undi, merempuh kehendak rakyat, meragut nyawa-nyawa orang, menutup mulut media, mengisi penjara-penjara penuh dengan tahanan-tahanan politik dan melepaskan peluru tembakan hidup ke atas orang awam.

Salah satu daripada perjuangan agong Mesir, iaitu Palestin, ia telah diubah kepada pendakwaan jenayah, kerana presiden (Dr. Morsi) yang dipilih rakyat sedang dihadapkan pertuduhan oleh general kudeta, kerana didakwa bersubahat dengan Hamas, sebagai alasan yang tak masuk akal bagi melucutkannya dan bagi melayani kehendak Israel.

Bukankah sikap dan pendirian golongan elit “modernis” Mesir dan rakan-rakan seangkatan mereka di negara-negara Arab lain, yang bertepuk tangan menyambut baik kudeta ini sebenarnya “membunuh diri” mereka secara kolektif? Sikap ini amat berbeda dengan pendirian bermaruah Gerakan Islam yang menentang kezaliman ini, tanpa sebarang senjata kecualilah keimanan mereka.

Daripada aspek sejarah, strategik dan nasional, bolehkah kita anggap bahawa menyokong kudeta tentera yang brutal adalah suatu kemenangan bagi liberal, progresif atau sekular, dan bolehkah kita simpulkan bahawa apa yang terjadi adalah kekalahan dan penamat bagi  politikal Islam?

Kami yakin tanpa sebarang keraguan bahawa apa yang terjadi di Mesir bukan terkambuhnya politikal Islam, tetapi adalah terkambuhnya dan malang bagi apa saja tinggalan liberalisme sekular Arab dan nasionalisme, melainkan mereka sedar diri dan membetulkan posisi mereka.

Sementara itu, kudeta ini memberikan pelunag dan kesempatan untuk Gerakan Islam membuat semakan dan mengkoreksi kesilapan-kesilapan dalam urustadbir, menjadikan ia lebih terbuka kepada pembangkang di Mesir dan tempat-tempat lain, terutama di kala negara sedang melalui fasa transisi yang tidak mungkin boleh diurus oleh hanya satu parti atau satu trend sahaja, juga tidak patut perlembagaannya digubal oleh satu trend sahaja.

Gerakan Islam di Mesir dan negara-negara lain menyedari hakikat ini, menjadikannya lebih terbuka kepada semua suadaya-suadaya nasional dan memberikan ruang dan peluang untuk golongan-golongan lain ini bukan sahaja untuk berpartisipasi dan bersekutu dengan mereka, malah mereka boleh memperolehi posisi-posisi kepimpinan di dalam parti-parti Islamik, kerana Islam adalah warisan untuk dikongsikan bersama seluruh negara.

Walaupun Ikhwan al Muslimin Mesir menempuh nasib malang yang berulang di tangan pemerintah-pemerintah Mesir daripada Raja (Farouk) dan terutama sekali pada pemerintahan Abdel Nasser, ia masih tidak dapat menandingi, samada secara kuantitatif atau kualitatif, nasib mereka sedang hadapi di bawah cengkaman kuasa General Al-Sisi. Bilangan mangsa yang menjadi shuhada pada masa 60 tahun silam hanya seramai 60 orang, tetapi angka ini sebenarnya hanya sama dengan bilangan pertama shahid apabila bertemu dengan azab al Sisi di hadapan istana presiden. Kemudian, kita mula mendengar tentang ribuan pembunuhan, kecederaan, dan pemenjaraan, semuanya menandakan betapa lemahnya legitimasi keabsahan kudeta dan percubaan-percubaan semberononya untuk menongkat ketempangan ini melalui kekejaman dan penindasan keras protes-protes yang aman dan berani.

Perbedaan di antara kezaliman yang dirasai oleh Ikhwan di bawah regim Abdel Nasser dan kezaliman al Sisi adalah apa yang dilaksana untuk faedah rakyat, Nasser sekurang-kurangnya ada projek rakyat.

Kezaliman sekuriti dan politik Nasser telah ditutupi melalui projek-projek kebudayaan dan politik yang menarik, projek reform pertanian, pemerataan pendidikan, membangunkan Al-Azhar, pembebasan Palestine, penyatuan Arab, anti-imperialisme dan pergerakan negara berkecuali. Sebaliknya, tidak ada apa projek pun dibawa Al-Sisi untuk rakyat dan negaranya, melainkan hujah-hujah meleset bagi meneruskan penindasan brutal, sehingga ke tahap hina dan rendah dengan menuduh presiden yang sah (Dr Morsi) bersubahat dengan Hamas.

Pada zaman sekarang, kejahatan dan jenayah si penzalim semuanya terdedah kepada teropong dan penelitian mikroskop yang canggih dan terang, sesuatu yang tidak ada pada zaman purba firaun, di mana firaun melakukan jenayah secara senyap dan rahsia.  Begitulah Firaun pada zaman Nabi Musa a.s., yang dapat mengatakan, “Firaun berkata: Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan)” (al Quran, Ghafir: 29), dengan itu menitahkan kuasanya ke atas rakyatnya melalui kawalan maklumat.

Zaman silam itu telah lama berlalu, dan jenayah-jenayah para penzalim kini berlaku di depan mata kita, dan oleh itu Al-Sisi dan mereka yang seumpama dengannya tidak mempunyai masa depan pada zaman ini yang pantas saluran maklumatnya.

Kesimpulannya: Dengan mengambilkira apa yang tercatat di atas, saya nyatakan, dengan penuh keyakinan, bahawa politikal Islam tidak ditewaskan, samada di Mesir atau di tempat lain, kerana dunia idea-idea kini dipenuhi dengan nilai-nilai islam tidak seperti sebelumnya, sejak permodenan menceroboh masuk ke dunia kami dibawa oleh kereta-kereta kebal, dan mendominasikan golongan elit, memperosok Islam ke  sudut pinggiran, menjanjikan projek-projek hebat, yang kebanyakannya hampa dan hambar, gagal pada kacamata kebebasan, pembangunan, keadilan, perpaduan, mahupun pembebasan  Palestin. Aspirasi-aspirasi yang terencat ini membawa kepada pemikiran semula tentang Islam dan introspeksi dalaman bagi sebuah projek kebangkitan - renaissance yang berinteraksi dan menerimanya, bukan menolak, pencapaian pemodenan setelah menyemaikannya di atas ladang subur Islam.

Apa yang dinamakan sebagai politikal Islam bukan sedang merosot, tetapi di dalam proses membetulkan kesilapan-kesilapannya dan bersedia untuk fasa seterusnya, di masa depan untuk urustadbir terbaik. Ia tidak perlu menunggu berdekad-dekad lamanya bagi mendapat peluang sekali lagi, pada zaman yang bebas dan maklumat terbuka, dan mengharungi kudeta serta percubaan-percubaan kudeta yang gersang moral, budaya atau landasan politik.


Pergerakan politikal Islam mengakar dan merimbun di dalam masyarakat dan membawa nilai revolusi demokratik yang aman dan nilai demokrasi berpartisipasi, bukan autokrasi atau dominasi, menggandingkan dengan jayanya perkahwinan di antara nilai-nilai Islam dan pemodenan.

Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui..” (al Qur’an, Yusuf: 21)





No comments:

Post a Comment