Wednesday, January 1, 2014

UMAR TILMISANI: Mewaspadai Jolokan Upah di Jalan Da’wah: Menyingkap Lembaran Ikhwan al Muslimin



"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam. (Asy-Syu'araa' 26:109)


Umar Tilmisani pernah hadir pertemuan dengan Perdana Mesir pada zaman Anwar Sadat. Setelah mereka mengadakan perbualan ringan, tiba-tiba perbicaraannya beralih kepada hal kewangan. Tilmisani agak terperanjat apabila si Perdana Menteri menyebut bahawa kerajaan mendokong semua akhbar dan majalah yang ada di Mesir terutama Ad Da’wah (terbitan Ikhwan) sebagai majalah Islam. Umar menangkap maksud yang diisyaratkan oleh orang yang menjawat jawatan tinggi ini. Tilmisani lekas berkata kepadanya dalam bahasa Arab pasar, “ Wahai tuan, berhati-hatilah. Jangan sekali-kali ajak saya membincang perkara ini.”

Pada suatu ketika, Tilmisani diundang ke forum agama di pejabat sebuah penerbit majalah agama. Ketika dia ke bilik rehat, seorang karyawan majalah itu menghulurkan kertas tuntutan imbuhan untuk Umar tandatangan. Tilmisani bertanya, “Apa ini and untuk apa?” Karyawan itu menjawab, “Ini adalah imbuhan ke atas kehadiran tuan ke program ini.” Tilmisani berkata, “Kalaulah saya tahu program da’wah ke jalan Allah ini diberi imbuhan, sudah tentu saya tidak akan hadir.”  Karyawan itu menjelaskan, “Tapi ini bayaran untuk transport.” Tilmisani menjawab, “Saya ada kenderaan.” Karyawan itu terus berkata, “Tapi semua orang menerima seperti ini.” Tilmisani menjawab, “Saya tidak sama seperti mereka. Saya bekerja semata-mata untuk mendapat keridhaan Allah.”

Sewaktu menunaikan haji ke Baitullah, Tilmisani dibawa berjumpa seorang tokoh pembesar Saudi di Jeddah. Dia menyambut baik pelawaan untuk berbincang berkenaan da’wah. Tetapi tokoh itu membincangkan da’wah Islam dan majalah ad Da’wah yang pada masa itu belum diterbitkan kembali. Dia menunjukkan minatnya untuk membantu menerbitkannya semula. Umar memahami keinginannya dan dengan pintas memotong percakapan itu. Tilmisani berkata, “Saya diundang sebagai dai’ bukan pemungut pajakan. Jika saya tahu tuan ingin berbincang masalah kewangan majalah dengan saya, saya tidak akan hadiri pertemuan ini.

Umar Tilmisani berpegang teguh kepada kebebasan sebagai penerbit. Dia berpandukan hadith Rasulullah s.a.w. ‘Bersikap cukuplah daripada setiap orang nescaya engkau akan menjadi pemimpinnya.’

Tilmisani pernah berkunjung ke sebuah negara Arab dalam rangka pembukaan acara musim kebudayaan – mausim thaqafi. Setelah dia berceramah di 10 buah tempat, dia didatangi oleh seorang pegawai yang membawa amplop (sampul) mengandungi wang 25,000 dirham. Umar bertanya, “Apa ini?”. Pegawai itu tersalah tanggap dan menyangka bahawa Tilmisani bermaksudkan jumlah wang itu tidak mencukupi baginya. Pegawai itu terus berkata, “Orang lain hanya menerima separuh daripada jumlah bayaran tuan!” Tilmisani menjawab, “Kita sungguh berbeda. Saya tidak ingin kepada imbuhan ke atas pidato yang saya sampaikan di jalan Allah. Kalau bayaran ini memang ingin diserahkan, serahkan saja kepada para mujahidin Afghanistan (yang berjuang menentang pencerobohan Soviet pada masa itu).”

Beberapa buah akhbar meminta Tilmisani menulis secara rutin dengan menawarkannya upah bayaran. Dia menolaknya atas alasan dia bukan wartwan dan dia berpendirian bahawa tulisan para dai’ lebih baik tidak diberi imbuhan demi menjaga kehormatan dirinya dan keikhlasan dalam berda’wah. Dia percaya Allah swt lebih mengetahui niat dan tujuan makhluknya.

Tilmisani ada menceritakan bahawa Imam Syahid Hasan al Banna mentarbiyahkan mereka dalam Ikhwan supaya bersikap zuhud terhadap dunia, supaya jangan terlalu terpikat dengan keindahannya kerana apa yang di sisi Allah swt itu lebih baik dan lebih kekal. Itulah sebabnya Ikhwan tidak memiliki kekayaan besar kecuali sebatas kemampuan anggotanya menyumbang. Memang di kalangan Ikhwan ada orang yang kaya kerana jumlah dana mencukupi untuk keperluan dan berbagai projek kebajikan yang ada.

Tilmisani mengenangkan bahawa saat-saat bersama Ikhwan dan melaksana, memikirkan dan memajukan da’wah adalah saat-saat paling berbahagia. Dia berkata, “Kehidupan kami penuh dengan rasa cinta, kasih sayang dan toleransi.” Waktu bekerjanya di pejabat Ikhwan sehingga selesai solat Isya dan ini dilakukannya tanpa upah.

Bagi Tilmisani, banyak orang mengira harta kekayaan adalah segala-galanya. Dia tidak menolak bahawa tanggapan begini mengandungi kebenaran sepertimana hadith Rasulullah s.a.w. ‘Sebaik-baik harta yang halal adalah di tangan orang salih’ dan ‘Apabila kamu meninggalkan waris kamu dalam keadaan kaya maka itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam kekurangan sehingga menjadi beban kepada manusia.’ Tetapi Tilmisani sedar bahawa manusialah yang membuat harta dan bukan harta yang membuat manusia.

Imam Syahid Hasan al Banna telah mendidik mereka supaya mencari nafkah tanpa mengorbankan harga diri. Mereka sedar adakalanya orang yang ingin mencari harta, bersedia melakukan apa saja kerja, meskipun kerja itu bertentangan dengan jiwa manusia mu’min yang mulia. Tilmisani percaya Allah swt telah melindungi para anggota Ikhwan daripada kesulitan begini. Ikhwan menjalani kerja dalam rangka menghindari da’wah daripada terjebak dalam sasaran aksi berkompromi dan tawar menawar. Ikhwan tekad berda’wah ke jalan Allah swt demi mengharapkan keridhaanNya.

Tilmisani menceritakan kisah dia bermusafir menaiki keretapi bersama Imam Syahid Hasan al Banna. Pada waktu itu dia baru bersama Imam al Banna dan baru bersama Ikhwan. Apabila Umar mempunyai wang untuk membayar tiket untuk mereka, dia akan membeli tiket gerabak kelas kedua kerana telah biasa dan lebih selesa. Tetapi apabila kantungnya kosong, Imam al Banna akan membeli tiket gerabak kelas ketiga. Tilmisani pun merendahkan kepalanya ke bawah agar tidak dilihat oleh orang lain menaiki kelas ketiga. Imam al Banna hanya tersenyum melihat Tilmisani diliputi perasaan malu. Tetapi setelah berpuluh kali menumpang keretapi kelas ketiga, dia tidak lagi berasa malu atau resah gelisah. Itulah sentuhan tarbiyah yang indah.



(Rujukan: Dhikrayaat laa Mudhakiraat, terjemahan Indonesia Bukan Sekadar Kenangan, Umar Tilmisani, Murshid al Am ketiga Ikhwan al Muslimin)

No comments:

Post a Comment