Wednesday, January 1, 2014

Wasatiyyah Menerapkan Syari'at: Umar Tilmisani: Menyingkap Lembaran Ikhwan al Muslimin


Tilmisani menulis bahawa memang konspirasi dirancang untuk menghancurkan Ikhwan dan telah dikerahkan segala daya upaya untuk menghambat usaha ke jalan Allah swt. Namun, kehancuran seorang da'i bukan kerana dia diusir mahupun kerana kelemahannya dieksploitasi. Kehancuran da'i terjadi apabila dia mula meragui janji-janji Allah atau dia mulai meninggalkan ikrar yang telah diucapkan ketika berbai'at untuk tetap setia mengibarkan panji-panji Allah swt. Bai'at ini akan sentiasa diabadikan dan direalisasikan. Tetapi bai'at ini bukan untuk penentangan sesiapa dan bukan untuk mewujudkan regimentasi. Dengan bai'at berjuang di jalan Allah, tiada yang menggentarkannya dan tiada penguasa boleh mengancamnya. 'Dan tidaklah kamu menghendaki sesuatu kecuali seizin Allah'

Ikhwan berkeyakinan bahawa aqidah perlu dibela berhadapan dengan orang yang cuba menistakan dan menodainya. Ikhwan mengerahkan kekuatannya hanya untuk tujuan pertahanan bukan untuk menindas. Tidak patut ada orang yang masih mengkritik Muslim yang bangkit mempertahankan diri, negeri dan aqidahnya.

Pimpinan Ikhwan tidak pernah mengarahkan para mahasiswanya untuk menyerang pihak lain yang berbeda pandangan dengannya. Tetapi Sadat, dan pemimpin negara sebelumnya, telah mengarahkan pengikut-pengikut mereka di kampus-kampus untuk memojokkan dan menganiayai anggota Ikhwan. Arahan ini menyebabkan mereka berani menyerang mahasiswa yang kesalahannya hanyalah kerana dia mengajak kepada mengamalkan agama.

Musuh-musuh Ikhwan sengaja mengambil ungkapan-ungkapan ucapan Imam Syahid Hasan al Banna secara terputus dan terpisah daripada konteks bagi membayangkan posisi seolah-olah ekstremis. Padahal da'wah Ikhwan mengajak untuk mengamalkan ajaran al Qur'an dan Sunnah dengan menempuh cara-cara moderat - wasatiyyah. Adalah mustahil apabila Ikhwan berpegang teguh kepada prinsip wasatiyyah untuk mengajak ke arah kaedah kekerasan dan teror.

Ucapan Imam al Banna bersifat simbolik dan kiasan metafora - isti'arah atau majazi, sesuai dengan diktum menurut ilmu balaghah. Ini bermaksud memang Ikhwan berseteru dengan semua orang yang melangggar ajaran al Qur'an tetapi Ikhwan adalah seteru dalam bentuk perlawanan pena, lisan dan ikhtiar. Ikhwan tidak memilik dan tidak ingin memiliki meriam dan pesawat untuk bertempur dengan polis, tentera dan pemerintah.

Imam al Banna mengajak untuk mengamalkan syari'at Allah dalam segala aspek kehidupan sehingga tiada suatu tindakan yang menyimpang daripadanya. Syari'at Allah mengecam habis-habisan kediktatoran lalu bagaimana mereka sanggup menuduh Imam al Banna ingin menerapkan 'kediktatoran Islam'.

'Maka barangsiapa ingin (beriman) sila beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) sila memilih jalan kafir.' AI-Kahfi: 29

'Adakah kamu ingin memaksa manusia sehingga mereka menjadi beriman semuanya?'  Yunus: 99

Sukar untuk seorang Muslim menerima penggabungan  kediktatoran yang diperlakukan oleh orang-orang jahat dengan prinsip syura Islam yang menghendaki kesucian dan kebersihan.

Begitulah musuh-musuh Islam terus menerus mengutarakan isu-isu dan khabar-khabar dusta. Mereka ingin merosakkan citra gerakan Ikhwan kerana timbul rasa gementar dan takut di kalangan mereka sehingga mereka (musuh-musuh) tidak dapat berehat, sentiasa menimbulkan kebimbangan dan kebingungan dalam fikiran mereka.

Ikhwan tidak pernah mendakwa sebagai satu-satunya pemilik ajaran Islam. Ikhwan hanyalah sebahagian daripada para da'i yang ada tetapi rasa tenteram di hati mereka kerana berada di jalan kebenaran. Ikhwan menyeru dengan suara lantang bahawa mereka mengajak untuk kembali ke pangkuan ajaran Islam yang sahih. Ikhwan mendukung sepenuhnya sesiapa saja yang mengajak ke jalan ini dan Ikhwan tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi pemimpin mereka. Ikhwan gembira melihat parti-parti politik yang berkempen mengumumkan program utama mereka adalah penerapan syari'at Islam. Dengan laungan demikian pun, akhbar parti-parti itu masih tidak berhenti mencerca Ikhwan. Hanya masa yang mendatang akan menentukan samada ini cuma kempen pilihanraya atau janji yang akan direalisasi. Pada akhirnya orang akan tahu siapa yang jujur dan bersungguh-sungguh memperjuangkan Islam dan siapa yang hanya menyebut Islam di kala mereka memerlukan dukungan rakyat.

Begitulah sikap Ikhwan terhadap seluruh umat manusia kerana Ikhwan tidak ingin menjadi pihak yang memulakan lahirnya kejahatan.  Apabila Ikhwan diserang dan dizalimi tanpa alasan jelas dan tanpa hak, maka Ikhwan berhak mempertahankan diri dalam batasan yang dibenarkan syari'at. Tetapi Ikhwan tidak akan bertindak merambang terburu-buru sehingga masyarakat menjadi korban. Ikhwan mengikut saranan Imam Syahid Hasan al Banna, "Kami akan meminta pertolongan melalui panah-panah takdir dan do'a-do'a menjelang subuh."

Inilah senjata paling ampuh tetapi kebanyakan manusia tidak memahaminya. Orang yang benar-benar beriman adalah mereka yang apabila ayat-ayat Allah disebutkan, akan tekulai ke bawah untuk bersujud, hatinya gementar, sambil mensucikan keagongan Allah dan takdirNya. Mereka tidak ingin berlaku sombong di hadapanNya.

Pada Mei 1938, majalah An Nadzir terbit mengumumkan permulaan perjuangan politik Ikhwan al Muslimin. Akhirnya semua orang mengakui Ikhwan berjuang atas kapasiti politik, bukan teroris atau pelampau. Tiada yang lebih pendek akal dari mereka yang  menuduh Ikhwan akan melancarkan perang dengan senjata meriam dan pesawat tempur melawan sekalian bangsa-bangsa yang ada di dunia ini. Adakah orang yang berakal boleh membayangkan Ikhwan memerangi Amerika dan Rusia, pemilik kekuatan material dan ketenteraan terbesar? Padahal Ikhwan hanya ingin mengajak dan menyampaikan risalah dengan memanfaatkan sarana dunia yang beragam.

Oleh itu, bagaimana dengan hukuman yang dikenakan kepada Ikhwan selama ini? Ini jelas menunjukkan kefanatikan membabi buta pihak yang menuduh. Ikhwan hanya mengharapkan sikap dan pertimbangan yang adil. Apabila pemeriksaan dan penyemakan dilakukan tanpa pilih kasih, bukti-bukti dikemukakan dan pengakuan-pengakuan meluncur tanpa pemaksaan atau penyiksaan, maka orang bebas mengajukan fakta dan hujah, bagi menegakkan kebenaran.

Sesungguhnya Allah swt tidak suka dan tidak senang dengan ucapan dan tindakan orang yang suka melakukan kerosakan (mufsidin), 'Allah menguasai mereka dari segala penjuru.' 'Cukuplah Allah sebagai Pelindung.' 'Cukuplah Allah sebagai Penolong.'

Ikhwan menegaskan bahawa mereka adalah tentera dan pendukung bagi setiap pihak yang berinisiatif menerapkan syari'at Allah secara rasional ('aql) dan seimbang (tawazun). Ikhwan telah bertekad akan selalu menilai dengan kritis bermuhasabah segala langkah mereka supaya tidak terjebak dalam ketergesa-gesaan atau semangat yang bersifat sesaat.


(Rujukan: Dhikrayaat laa Mudhakiraat, terjemahan Indonesia Bukan Sekadar Kenangan, Umar Tilmisani, Murshid al Am ketiga Ikhwan al Muslimin)


No comments:

Post a Comment