Sunday, February 9, 2014

DR SIDDIQ FADIL: MENANGANI KONFLIK SESAMA MUKMIN: TAFSIR MAUDU’IY SIRI 68


DR SIDDIQ FADIL:  TAFSIR MAUDU’IY SIRI 68
MENANGANI KONFLIK SESAMA MUKMIN (Ayat 9 & 10 surah al-Hujurat)

9. Dan apabila ada dua golongan orang Mukmin yang berperang, maka damaikanlah
antara keduanya. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlakulah adil. Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.

10. Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.


Latar Penurunan Ayat:

Penurunan ayat 9 di atas dikaitkan dengan beberapa peristiwa, termasuk yang diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari, Muslim, ibn Jarir dan lain-lain dari Anas ibn Malik r.`a. , “Bahawa seseorang menyarankan agar Rasulullah s.`a.w. mendatangi `Abdullah ibn Ubay. Junjungan s.`a.w. pun berangkat dengan menaiki keldai, sedang kumpulan Muslimin yang lain berjalan kaki. Di suatu tempat (Ard Sabikhah), keldai yang dinaiki Rasulullah s.`a.w. kencing. `Abdullah ibn Ubay lalu berkata, “Menjauhlah engkau dari aku, demi Allah, bau busuk (kencing) keldaimu mengganggu aku‟. Kata-kata itu dijawab oleh `Abdullah ibn Rawahah, “Demi Allah, bau kencing keldainya lebih harum daripada kamu!‟. Kejadian berbalas-balas kata itu sudahnya berhujung dengan perkelahian antara penyokong-penyokong kedua belah pihak, mereka saling memukul dengan pelepah (tamar), tangan dan kasut (mujur tidak sampai menggunakan pedang)”, lalu turun ayat 9 surah al-Hujurat tersebut dan Rasulullah s.`a.w. pun segera mendamaikan mereka (catatan: `Abdullah ibn Rawahah dari suku Khazraj, sementara `Abdullah ibn Ubay dari suku Aus).


Huraian Maksud Ayat:

Mesej yang terungkap dalam ayat 9 di atas adalah suatu kaedah atau formula praktikal untuk memelihara keutuhan masyarakat Islam dari ancaman perpecahan akibat gejolak emosi dan dorongan nafsu yang tidak terkawal. Memang sesuai ayat ini ditempatkan berurutan dengan pesan tabayyun atau mendapatkan kepastian tentang berita fasiq demi menghindari kegopohan bertindak tanpa dasar bukti yang pasti. Bertindak terburu-buru kerana didorong rasa marah, sebelum melakukan tabayyun selalu berakibat buruk, memangsakan orang tidak bersalah, dan akhirnya membawa penyesalan. Formula memelihara keutuhan umat dalam ayat ini terumus pada kata islah, iaitu usaha pendamaian (antara pihak-pihak yang berkonflik) dengan didasari prinsip kebenaran dan keadilan menurut hukum Allah. Lewat ayat ini al-Qur‟an mengantisipasikan kemungkinan berlakunya perang antara dua golongan mukminin. Sifat mu’minin kedua-duanya masih tetap kekal, dengan kemungkinan salah satu golongan (mukmin) itu telah berlaku zalim ke atas yang lain, atau berkemungkinan juga kedua-duanya saling menzalimi. Apabila konflik sedemikian itu terjadi, kaum mukminin yang tidak terlibat, harus segera bertindak melakukan islah, mendamaikan kedua-dua pihak yang berkonflik itu. Sekiranya salah satu pihak berlaku zalim, enggan kembali kepada kebenaran; atau jika kedua-dua pihak sama-sama berlaku zalim, berkeras tidak mahu menerima perdamaian (sulh), tidak mahu menerima hukum Allah dalam isu yang dipertikaikan, maka seluruh umat mukminin yang lain harus memerangi golongan yang zalim sehingga mereka kembali kepada perintah dan ajaran Allah iaitu menghentikan permusuhan dan menerima ketetapan Allah dalam isu yang menjadi punca permusuhan. 

Apabila golongan yang zalim itu telah bersedia untuk menerima hukum Allah, proses islah harus dilaksanakan berasaskan prinsip keadilan yang murni dan disemangati ketaatan kepada Allah demi mencapai ridha-Nya. Perintah melakukan islah dan memerangi golongan yang zalim dalam ayat 9 ini terutamanya ditujukan kepada golongan penguasa (wulat al-umur). Merekalah yang seharusnya bertindak cepat mendamaikan dengan menasihati dan menyeru mereka kembali kepada hukum Allah, serta menyelesaikan masalah-masalah yang menjadi punca pertikaian. Kecepatan bertindak melaksanakan islah bertujuan untuk mengembalikan keadaan normal dalam masyarakat Islam iaitu damai. Bagi masyarakat Islam konflik adalah suatu kekecualian, bukan kebiasaan. Kata in (jika) pada pangkal ayat 9 tersebut mengisyaratkan bahawa konflik atau perang tidak seharusnya terjadi dalam kalangan sesama muslimin, dan jika terjadi juga ia adalah suatu kekecualian yang jarang berlaku. Kerana itu pula memerangi golongan mukminin yang berlaku zalim (allati tabghi) dilakukan seperlunya, boleh dengan menggunakan senjata (jika perlu), atau tanpa senjata. Yang penting adalah (al-fay’ah) mengembalikan mereka kepada hukum Allah, bukan menghabisi mereka. Justeru, mereka adalah al-mu’minin, bukan kafirin dan bukan mushrikin.

Peranan orang tengah dalam sebarang konflik memang sangat penting, dan ayat 9 ini pun sebenarnya ditujukan kepada mereka. Selain diperintahkan agar bertindak cepat melakukan islah, orang tengah juga diperingatkan agar berlaku adil, memberikan hak kepada yang berhak, bukan mengambil kesempatan untuk kepentingan diri - mencari publisiti atau keuntungan politik. Segalanya harus dilakukan dengan ikhlas semata-mata demi meraih ridha dan cinta Ilahi menerusi amal keadilan (sungguh, Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil). Pada ayat 10, perintah islah (mendamaikan pihak-pihak yang berkonflik) diulangi lagi dengan mengingatkan semangat yang mendasarinya, iaitu ukhuwwah imaniyyah dan taqwa kepada Allah. Persaudaraan kaum mukminin diasaskan pada perkongsian prinsip iman. Justeru, kepada prinsip yang dikongsi bersama itulah mereka harus kembali ketika bersengketa. Selain itu segala urusan yang menyangkut hubungan sesama mukmin harus berdasar pada taqwa, rasa takut kepada Allah yang membangkitkan ghairah mentaati perintah-Nya dan kewaspadaan terhadap larangan-Nya. Asas persaudaraan dan taqwa sedemikian itulah yang akan mendorong sikap adil, tidak berat sebelah, tidak pilih kasih dan tidak pandang bulu kerana semuanya adalah saudara yang harus sama-sama didamaikan dan diselamatkan daripada kezaliman. 

Jika ayat 9 mengantisipasikan konflik antara dua golongan mukminin (ta’ifatani min al-mu’minin), ayat 10 pula mengantisipasikan konflik antara dua individu mukmin (bayna akhawaykum). Konflik pada tahap antara dua individu juga harus segera didamaikan (fa ‘aslihu…) agar tidak melarat dan meningkat ke tahap yang lebih parah. Taqwa kepada Allah yang mendasari segala urusan perhubungan sesama mukmin ketika berkonflik dan ketika berdamai akan membawa harapan curahan rahmat dari Allah s.w.t. Ternyata mesej utama ayat 9 dan 10 surah al-Hujurat adalah islah (mendamaikan). Kata fa ‘aslihu…(maka damaikanlah…) disebut tiga kali pada dua ayat yang berurutan itu. Hukum al-Bughah Pada ayat 9 terdapat kata baghat dan tabghi yang seakar dengan kata baghy dan baghin. Kata al-baghyu selalu diertikan sebagai kezaliman atau melampaui batas, sementara pelakunya disebut baghin yang kata jamaknya ialah bughah (t). Kitab al-Muharar (al-Rafi`iy) memuatkan perbahasan tentang al-bughah yang diawali dengan ayat 9 surah al-Hujurat tersebut. Memang, seperti yang disebut oleh Muhammad Hamidullah (Muslim Conduct of State) ayat tersebutlah satu-satunya asas pijakan hukum bughah. Golongan al-bughah dalam definisi kaum fuqaha‟ seperti yang dirumuskan oleh Dr. Ibrahim ibn `Aliy Sandaqjiy (pentahqiq Kitab Qital ahl al-Baghy oleh al-Mawardiy) ialah mereka yang melawan imam (pemerintah) adil, yang ingkar mematuhinya dengan enggan melaksanakan kewajipan tanggungannya (al-mukhalif li al-imam al-`adil, al-kharij `an ta`atihi bi al-imtina` an ada’i ma wajaba `alayhi). Sementara itu M. Abdul Mujieb dkk dalam Kamus Istilah Fiqih memasukkan kata bughat dengan pengertian “Bentuk jamak dari kata mufrad baghin, artinya: seorang penentang atau pemberontak yang bersenjata. Bughat berarti: Orang-orang yang mengadakan perlawanan terhadap pemerintahan yang sah kerana terjadinya kesalahfahaman politik. Pihak pemerintah wajib memerangi mereka dengan syarat: (1) Mereka memiliki kekuatan yang memungkinkan mereka mengadakan perlawanan fisik yang dapat mengancam keamanan negara; (2) Bahwa mereka bersikap memusuhi pemerintah dan tidak mengakui lagi kekuasaan pemerintah yang sah; (3) Bahwa sebab utama pemberontakan kerana terjadinya salah faham tentang politik pemerintahan”.

Al-Shaykh Muhammad al-Khatib al-Sharbiniy dalam Mughni al-Muhtaj (sharah matan Minhaj al-Talibin oleh al-Nawawiy) mengatakan bahawa ayat 9 surah al-Hujurat tersebut memang tidak menyebut secara eksplisit tentang isu melawan al-imam (al-khuruj `ala al-imam), tetapi ia bersifat umum dan inklusif yang meliputi persoalan bughah. Jika umat diperintahkan perang terhadap kezaliman suatu kumpulan orang (mukmin) ke atas kumpulan orang (mukmin) yang lain, maka lebih-lebih lagilah jika mereka menzalimi (melawan) imam (ketua negara) yang sah. Ketika menghuraikan makna mukhalafat al-imam (melawan imam), al-Sharbiniy mengatakan bahawa ia terjadi dengan salah satu daripada dua perkara: pemberontakan terhadap diri imam itu sendiri, atau dengan keengganan tunduk patuh kepadanya. Tetapi boleh juga berlaku selain dengan dua cara tersebut, iaitu keengganan melaksanakan sesuatu hak tertentu (man’i haqqin) yang memang menjadi kewajipan mereka. Misalnya, golongan yang enggan membayar zakat (mani` al-zakah), yang diperangi oleh Abu Bakr al-Siddiq r.`a., walhal mereka tidak memberontak terhadap diri peribadi khalifah tersebut. Dalam huraian selanjutnya al-Sharbiniy menyatakan bahawa mereka yang melawan imam itu menjadi bughah jika mereka memenuhi tiga syarat. Pertama, mereka memiliki shawkah atau kekuatan (jumlah yang ramai dan senjata yang banyak) yang memungkinkan mereka melawan imam, dan memaksa imam menggembleng kekuatan (persenjataan, kewangan dan tenaga manusia) untuk menghadapi mereka. Kedua, mereka berpegang pada suatu ta’wil yang mereka yakini mengharuskan pemberontakan terhadap imam atau mengharuskan mereka tidak menunaikan sesuatu hak yang menjadi kewajipan mereka. Ta’wil dalam konteks ini disyaratkan bahawa ia adalah fasid, tetapi mereka yakini sebagai justifikasi yang mengharuskan mereka memberontak. Misalnya ta’wil golongan peserta perang Jamal dan Siffin yang memberontak terhadap Imam `Aliy k.w. bahawa beliau (`Aliy) tahu siapa pembunuh-pembunuh `Uthman r.`a. dan mampu mengambil tindakan ke atas mereka, tetapi tidak melakukannya. Demikian juga ta’wil golongan yang enggan membayar zakat (mani` al-zakah) kepada Abu Bakr r.`a., bahawa mereka tidak membayar zakat kecuali kepada orang yang do`anya (membawa) kedamaian jiwa bagi mereka, iaitu Nabi s.`a.w. (al-Tawbah:103). Ketiga, adanya muta`un fihim iaitu seorang pemimpin yang dipatuhi oleh semua warganya, kerana tidak mungkin tercapainya kekuatan (syawkah) tanpa pemimpin yang dipatuhi. Golongan bughah (yang memenuhi syarat-syarat tersebut) wajib diperangi untuk mengembalikan kesetiaan mereka kepada imam. Tetapi sebelum sampai ke tahap perang, ada satu proses yang wajib dilaksanakan lebih dahulu iaitu islah. Dalam kaitan ini al-Mawardiy dalam Kitab Qital Ahl al-Baghy (sebahagian daripada karya ensiklopediknya al-Hawiy al-Kabir) menyatakan, apabila syarat-syarat yang muktabar untuk memerangi mereka telah dipenuhi, al-imam tidak boleh memulai (perang) hingga setelah menanyakan mereka tentang sebab penentangan mereka. Jika mereka menyebut tentang sesuatu kezaliman, hendaklah ia dihentikan; jika mereka menyebut sesuatu shubhah atau kekeliruan, hendaklah ia dijelaskan sehingga nyata kebenaran di pihaknya, kerana Allah s.w.t. memerintahkan islah dahulu dan kemudiannya barulah perang.

Demikianlah tahapan proses yang harus dilalui, islah dahulu perang kemudian, dan tidak sebaliknya. Memang tidak siapa pun yang berhak mendahulukan apa yang dikemudiankan oleh Allah (taqdim ma akhkharahu ‘Llah). Dalam isu memerangi kaum bughah yang selalu menjadi rujukan adalah cara Sayyidina `Aliy k.w. menangani kaum bughah Khawarij. Sebelum memerangi mereka `Aliy k.w. lebih dahulu mengutus Ibn `Abbas r.`a. kepada kaum al-Khawarij di Nahrawan untuk meminta penjelasan tentang sebab penentangan mereka dan membetulkan kekeliruan ta’wil mereka. Ibn `Abbas r.`a. berkata, “`Ali ibn Abi Talib adalah sepupu Rasulullah s.`a.w. yang juga menantunya (suami puterinya). Kalian tahu kemuliaannya, lalu apa yang kalian tentang?” Mereka menjawab ada tiga isu yang menjadi punca penentangan mereka. Pertama, `Aliy (k.w.) bertahkim dalam urusan agama Allah sedang Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya sudah lebih daripada cukup (tidak memerlukan tahkim). Kedua, ketika memerangi lawannya, `Aliy (k.w.) hanya membunuh tetapi tidak mengambil harta rampasan dan tidak menawan wanita serta anak-anak mereka. Ketiga, `Aliy (k.w.) telah memadam namanya sebagai khalifah. Ibn `Abbas r.`a. menjawab ketiga-tiga isu tersebut dengan hujah-hujah al-Qur‟an dan al-Sunnah. Pertama, tentang isu tahkim dalam agama Allah, Ibn `Abbas menyebut bahawa Allah s.w.t. sendiri bertahkim dalam agama sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Nisa’ ayat 35, “Dan jika kamu khawatir terjadi persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang juru damai dari keluarga laki-laki, dan seorang juru damai dari keluarga perempuan.” Demikian juga firman-Nya dalam surah al-Ma’idah ayat 95, “…menurut putusan dua orang yang adil di antara kamu…”. Jika isu seekor arnab yang harganya cuma satu dirham diputuskan secara tahkim, apa lagi isu besar seperti ini. Kedua, tentang sikap `Aliy (k.w.) yang hanya membunuh, tetapi tidak menawan (wanita dan anak-anak), Ibn `Abbas berhujah bagaimana andainya (dalam perang Jamal) `Aishah r.`a. (isteri Nabi s.`a.w.) menjadi tawanan salah seorang dalam kalangan mereka, apa yang akan ia lakukan? Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman, “…dan tidak boleh (pula) kamu menikahi isteri-isterinya selama-lamanya setelah (Nabi wafat)…” - al-Ahzab:53. Dalam al-Majmu` Imam Nawawiy (sharah al-Muhadhdhab) ayat yang dibaca oleh Ibn `Abbas ialah, “…dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka…” – al-Ahzab:6. Ketiga, mengenai kesediaan `Aliy k.w. memadam namanya dari khilafah ketika menulis dokumen tahkim dengan Mu`awiyah, Ibn `Abbas r.`a. berhujah bahawa Rasulullah s.`a.w. juga telah memadam namanya dari nubuwwah dalam perundingannya dengan Suhayl ibn `Amr ketika menuliskan teks perjanjian al-Hudaybiyyah. Dengan penjelasan Ibn `Abbas r.`a. tersebut, sebahagian kaum Khawarij telah kembali kepada `Aliy, sementara sebahagian lagi (sekitar empat ribu orang) tetap berkeras tidak mahu kembali. Merekalah yang kemudiannya diperangi oleh Khalifah `Aliy ibn Abi Talib k.w.

Demikianlah cara yang benar dalam menangani isu golongan bughah, iaitu dengan mendahulukan pendekatan islah, dialog, debat dan tindakan korektif. Hanya setelah usaha islah gagal barulah boleh diambil tindakan ketenteraan (perang) dengan mematuhi aturan-aturan khusus memerangi kaum bughah yang berbeza daripada cara memerangi kaum musyrikin. Justeru, mereka (al-bughah) adalah kaum mukminin, dan mereka juga adalah saudara seiman seperti yang disebut oleh Sayyidina `Aliy k.w. tentang kaum Khawarij, bahawa mereka adalah ikhwanuna baghaw `alayna (saudara-saudara kita yang memberontak terhadap kita). Dr. Wahbah al-Zuhayliy dalam kitabnya al-`Uqubat al-Shar`iyyah wa al-Aqdiyat wa al-Shahadat mengatakan bahawa memerangi kaum bughah harus dengan maksud menginsafkan mereka, bukan membunuh mereka. Kerana itu mereka yang lari tidak boleh dibunuh, yang luka tidak boleh dihabisi, yang tertawan tidak boleh dibunuh, harta mereka tidak boleh diagih sebagai ghanimah, wanita dan anak-anak mereka tidak boleh dijadikan tawanan.


Para Demonstran dalam Sistem Demokrasi

Bagaimana pula kedudukan mereka yang berdemonstrasi membantah atau menyokong sesuatu isu dalam konteks sistem demokrasi? Bughah-kah mereka? Yang pertama harus dicatat ialah hakikat bahawa kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan hak untuk berbeza (membangkang) adalah bahagian daripada sistem demokrasi moden yang telah disepakati untuk diamalkan di negara ini. Jika rakyat turun ke lapangan membantah kenaikan harga barang keperluan, sebenarnya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, mereka hanya mengamalkan hak demokratik yang sah. Jika yang mereka tuntut hanya penurunan harga barang, bukan penurunan ketua negara, lalu apa kaitannya dengan bughah dan segala implikasinya termasuk penghalalan darah?

Yang jelas para demonstran tersebut tidak memenuhi persyaratan bughah. Mereka tidak bermaksud menjatuhkan pemerintah, mereka tidak memiliki kekuatan (shawkah), mereka tidak mengingkari tanggungjawab menunaikan zakat, membayar cukai dan mematuhi undang-undang; mereka juga tidak mempunyai imam atau pemimpin rasmi yang dipatuhi segala arahannya (muta’un fihim), yang ada hanya badan penganjur yang menyelaras proses demonstrasi selama beberapa jam; dan pemerintah pun tidak pula perlu menghadapi mereka dengan kekuatan ketenteraan bersenjata canggih. Selepas beberapa jam - setelah perasaan disuarakan - mereka bersurai sendiri secara aman, tanpa melakukan sebarang kerosakan yang bererti. Pada dasarnya mereka tetap menjadi rakyat yang normal, patuh dan bertanggungjawab.

Dilihat dari perspektif agama, demonstrasi aman untuk membantah kemungkaran seperti pemborosan dan pembaziran wang rakyat dapat dianggap sebahagian daripada jihad al-kalimah (jihad menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim). Dr. Subhiy `Abduh Sa`id dalam bukunya al-Hakim wa Usul al-Hukm fi al-Nizam al-Islamiy menyebut jihad al-kalimah dalam pengertian inkar al-lisan (menolak kemungkaran secara lisan) yang diucapkan di hadapan penguasa yang zalim adalah jenis jihad yang paling utama. Bantahan dalam pengertian inkar al-lisan menurut Dr.Subhiy harus dilakukan dengan kata-kata yang dapat didengar, dibaca atau dilihat (bi kalimatin masmu`atin aw maqru’atin aw mar’iyyah). Menurut beliau lagi inkar al-lisan (memprotes kemungkaran dengan suara lantang) sedemikian itu hukumnya wajib kifa’iy bagi orang awam, dan wajib `ayniy ke atas golongan al-khasah iaitu para mujtahidin dalam kalangan ulama dan pemikir Islam. Mereka tidak boleh membisu terhadap kemungkaran kerana kebisuan mereka akan ditafsirkan oleh masyarakat awam sebagai persetujuan dan penerimaan (terhadap kemungkaran). Demonstrasi yang diniati dan disemangati menolak kemungkaran adalah amar makruf-nahi munkar bi sawtin masmu` (dengan suara yang dapat didengar secara luas). Justeru, ia adalah suatu yang sah secara syara‟ dan undang-undang (shar’an wa qanunan).


TM68 8/2/14

Kolej Dar al Hikmah

No comments:

Post a Comment