Tuesday, March 11, 2014

DR SIDDIQ FADIL: DEMOKRASI YANG ISLAMIK DAN KOTAK SUARA


ESENSI DEMOKRASI

Dalam konteks Malaysia, kita tidak pernah menghadapi dilema tentang demokrasi. Sejak 1955, rakyat Malaysia sudah keluar mengundi tanpa merasa apa-apa dilema tentang sistem ini. Apa pilihan lain yang ada selain demokrasi? Umat Islam semakin mantap memahami bahawa tidak ada masalah untuk menerima demokrasi.

Dengan memahami jawharu dimukratiyya, the essence of democracy, esensi demokrasi adalah ketetapan suara rakyat – al sha’b masdarul sultah – rakyat sebagai sumber kekuasaan. Memang yang mengangkat pemimpin itu adalah rakyat. Kerelaan dan keridhaan rakyat adalah asasi dalam pemikiran politik Islam. Apatah lagi menyedari pemikiran politik Islam tidak beku, bentuk pemerintahan tidak beku, sementara demokrasi itu sendiri tidak punya definisi yang baku. Bentuk demokrasi boleh berbeda-beda,  bermacam-macam.  Pemikiran Islam boleh berkembang. Dinamika politik Islam dengan dinamika demokrasi boleh bertemu pada satu titik demokrasi yang Islamik.

Kita dapat kekuatan daripada Profesor Yusuf al Qaradawi yang mengendorse – memperakukan demokrasi sebagai kuasa rakyat untuk memilih pemimpin yang mereka mahu, memilih dan membentuk corak pemerintahan yang mereka sukai. Qaradawi menjustifikasikannya dengan contoh sebuah hadith tentang tiga jenis manusia yang tidak diangkat solatnya. Pertama adalah imam yang memimpin solat dalam keadaan para jemaah tidak menyukainya – tidak diangkat solatnya walau seinci pun dari kepala mereka.

Pemimpin yang tidak disukai oleh rakyat harus berhenti saja.


KEBEBASAN DAN MEDIA

Demokrasi tidak akan ada ertinya tanpa kebebasan sepenuhnya untuk memilih. Tidak kurang pentingnya adalah media. Media yang tidak bebas tidak membolehkan rakyat mengetahui realiti hakikat semasa dan maklumat yang sebenarnya. Ini malangnya berlaku kerana mainan media. Banyak negara mengamalkan demokrasi tetapi tanpa kebebasan media. Sepatutnya ada freedom of the press tetapi yang sering berlaku adalah freedom from the press. Pemerintah bebas daripada dikritik akhbar kerana akhbar yang mengkritik pemerintah akan pendek umurnya. Sebagai image maker media selalu mempamerkan citra palsu hingga yang ditampak bukan citra hakiki sebuah parti dan bukan wajah asli seseorang calon. Pemalsuan citra yang begitu berleluasa pasti akan mencederai demokrasi. Pemalsuan media akan menafikan hak rakyat untuk mendapat maklumat yang benar. Bagaimana mungkin demokrasi yang Islamik diharapkan tanpa maklumat benar dan lengkap tentang calon yang bertanding? Bagaimana mungkin rakyat hendak membuat pilihan yang tepat dengan penipuan kosmetik propaganda media?


PILIHANRAYA ADALAH KESAKSIAN

Sedangkan mengundi itu adalah kesaksian. Daripada perspektif Islam ia bukan hanya hak tetapi kewajipan syara’ kerana ini adalah satu kesaksian. Begitulah menurut Profesor al Qaradawi. Bagaimana hendak membuat kesaksian setelah dibingungkan dan disesatkan oleh media? Saksi mesti adil. Bagaimana hendak adil dan benar kalau tidak mengenali calon dan parti dengan tepat? Ketentuan syara’ adalah tidak boleh tidak mesti pergi mengundi.  “Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi….” – al Baqarah 282Begitulah pilihanraya sebagai fungsi kesaksian.
Untuk membolehkan rakyat memilih apa yang mereka sukai, mereka perlu mendapat fakta cukup dan benar.


JAWATAN DAN KELAYAKAN

Nabi Yusuf a.s. ketika menawarkan dirinya menjadi menteri khazanah bumi – khaza’inil ard. Nabi Yusuf a.s. meminta jawatan kerana dia memiliki integriti dan kepakaran. Dia memperkenalkan dirinya dengan kredentialnya inni hafizun ‘alim – “aku mampu menjaga harta negara dan perbendarahaan”. Menteri yang hafiz – berintegriti bermakna mampu menjamin tiada kehilangan dan ketirisan negara. Ayat 55 Surah Yusuf: “Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.”

Signifikan ayat ini adalah:-

1. tidak menjadi kesalahan untuk menawarkan diri memegang sesuatu jawatan
Ulama mengatakan adalah harus untuk menawarkan diri sekiranya orang yang menawarkan itu mampu menegakkan keadilan.

2. boleh menyebutkan kekuatan kualiti yang ada pada dirinya dengan syarat benar – bil haq – dan bukan berlebih-lebihan.

Pada konteks pilihanraya ataupun di luar pilihanraya, syaratnya adalah mesti benar, fakta yang betul.


KEDUDUKAN PEMBANGKANG

Di dalam sistem demokrasi wujud pemerintah dan pembangkang. Ini menimbulkan persoalan setengah pihak samada ada pembangkang di dalam sistem Islam. Lalu ada yang gopoh dan terburu-buru terutama kebelakangan ini untuk menyimpulkan bahawa pembangkang itu bughah - pemberontak.

Padahal dalam Islam ada haq al mu’aradah – hak untuk membangkang, hak untuk tidak bersetuju. Bukan membangkang semata-mata untuk membangkang. Not to oppose for the sake of opposing. Membangkang dalam konteks amar ma’ruf nahy mungkar – menganjur kebaikan dan mencegah kemungkaran, al musyarakah al siyasiyahpolitical participation. Al mu’aradah dalam konteks ingkarul mungkar.  Memang ada tempat bagi bangkangan termasuk hak untuk berdemonstrasi dalam konteks amar ma’ruf nahy mungkar.

Perihal yang diperselisihkan adalah samada aksi demonstrasi itu mengancam keselamatan dan ketenteraman. Tetapi kalau demonstrasi itu aman, duduk-duduk membuat bantahan, apa bahayanya? Apa alasan syara’ untuk mengharamkannya kalau ia berlaku dengan aman?

Apa erti semangat bersendirian kalau tidak disuarakan? Amar ma’ruf hendaklah dilakukan dengan jelas supaya didengari oleh semua,  ingkarul mungkar bi sawt al masmu’ – menolak kemungkaran dengan suara yang jelas kedengaran. Tiada alasan untuk menolak demonstrasi kalau begini.


BERCAKAP BENAR DI HADAPAN PENGUASA

Ulama silam telah lama melaksanakan amar ma’ruf nahy mungkar dengan bermacam kaedah dan cara. Adakalanya lembut dan adakalanya keras sesuai dengan konteks dan tempat masing-masing.

i. Itulah sebabnya apabila Imam al Ghazali apabila berhadapan dengan pemimpin yang mudah mendengar – a listening leader, menteri Fakhruddin Mulk, mendekatinya dengan baik, menganjurkan kepadanya supaya bersolat malam.

Kepada menteri yang mahu bersolat ini, Imam al Ghazali menasihatinya supaya bersolat dua raka’at pada malam dengan membaca doa ini ketika bersujud,
“Ya Tuhan, Raja yang tidak akan hilang KerajaanNya, kasihanilah raja ini yang segera akan kehilangan kerajaannya, sedarkan dia daripada kelalaian, berilah petunjuk kepadanya untuk memperbaiki rakyat…..”

ii. Tetapi kepada Sultan Saljuk, Sanjar Ibn Malik Shah, Imam al Ghazali berkata keras,
“Malang sekali tengkok kuda kamu hampir patah kerana dibebani kalung-kalung kamu yang mahal dan berat, sedangkan tengkok rakyat kamu hampir patah disebabkan menanggung bermacam-macam cukai yang kamu kenakan kepada mereka…”


TAHALLUF SIYASI – PAKATAN POLITIK

Pada konteks pemikiran politik Islam tahalluf siyasi tidak menjadi isu atau masalah. Asas-asas telah lama disiapkan oleh para fuqaha’. Dalam kitab al Mughni Muhtaj karya Asy Syarbini syarah Imam al Shafie, telah digariskan panduan berhubung dengannya. Menurut syarah Imam al Shafie, jika orang bukan Islam mempunyai fikiran yang baik dan amanah, mempunyai idea dan boleh dipercayai, dan dapat memberi pertolongan, bekerjasama, maka diperbolehkan. Ini menunjukkan pada kitab-kitab turath yang dikaji dan dibaca ulama’ tradisional sudah ada banyak rujukan, sudah ada pemikiran tentangnya dan tahalluf bukan lagi menjadi isu.

Selain itu adalah seerah Rasulullah s.a.w. dan pengalaman baginda sendiri di dalam hilful fudul – suatu pakatan sebelum kedatangan kerasulan. Rasulullah s.a.w. bersama-sama dalam suatu pakatan untuk menghalang kezaliman dan membela orang yang teraniaya. Apabila Nabi s.a.w. mengenangkan peristiwa itu, baginda berkata, “Andai aku dipanggil bersama dalam tahalluf seperti itu akan aku sambut…”


POLA PERTENTANGAN MAJORITI MINORITI

Mestikah harus ada dalam demokrasi Islam pertentangan  di antara majoriti dengan minoriti. Samada penguasaan majoriti ke atas minoriti ataupun kadang-kadang tekanan minoriti ke atas majoriti. Demokrasi Islam tidak beku di dalam bentuk pertentangan dan pertembungan di antara majoriti dan minoriti. Mungkin ada pilihan yang lain.

Rashid al Ghanoushi merintis al wifaq al wataniy – kesepakatan nasional - di mana tidak semestinya terperangkap di dalam tradisi konfrontasi. Barangkali eksperimen yang dilakukan oleh Muslim democrats parti En Nahdah pimpinannya dalam konteks politik Tunisia boleh dikaji.

Ghanoushi membuktikan bahawa parti Islamis tidak mahu berkuasa bersendirian – mereka mencari konsensus dengan parti-parti lain, di luar parti Islam. Bagi Ghanoushi, esensi demokrasi Islamik itu adalah “penggiliran kuasa yang aman.” Dia menerima prinsip itu dan dia telah membuktikannya. Dengan tindakan mengundur, dia berkata, “kita keluar daripada kekuasaan dan berada di dalam pemerintahan”. Tindakan ini memberikan ruang kepada kabinet baru terdiri daripada teknokrat untuk kendali pilihanraya dengan adil dan bebas daripada pengaruh parti pemerintah.

Seorang Muslim demokrat sanggup kalah andainya itulah kehendak rakyat. Dia tidak keberatan kalah kalau itu keputusan rakyat. Menyerah kuasa tidak ada masalah. Tetapi bukan kerana penipuan. Itu kita tidak dapat terima. Kita tidak terima dipaksa kalah kerana penipuan.


KEBERSIHAN MEKANISME PILIHANRAYA DAN BUDAYA POLITIK

Untuk menjayakan demokrasi elektoral memerlukan mekanisme pilihanraya bersih, cekap dan berkecuali. Mekanisme yang benar-benar mampu menggalas amanah oleh rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat.
Pimpinan yang naik mestilah yang terbaik. Bukan yang naik itu yang sakit dan bermasalah. Jika itu berlaku, itu mekanisme enjet-enjet semut, siapa sakit naik atas.

Dengan demikian, kemenangan yang diraih oleh calon atau oleh parti benar-benar jelmaan kemenangan rakyat. Semua pihak akan bergembira dengan keputusannya termasuk yang kalah kerana yang menang itu adalah demokrasi, yang menang itu nilai-nilai dan prinsipnya, yang menang itu rakyat.

Tetapi jika yang menang itu akibat wang, rasuah, kecurangan dan penipuan, itu amat mendukacitakan. Kita sangat prihatin dan merakamkan concern bahawa biaya pilihanraya terlalu mahal sehingga dana menjadi tumpuan pilihanraya. Pilihanraya mahal membuka ruang seluasnya untuk rasuah dan pelaburan pembiaya yang tidak sihat daripada pemilik dana, konglomerat, kapitalis, korporat dan cukong-cukong.  Apabila berlaku persekongkolan politik dan bisnes – kiamatlah moral politik. Moral politik tidak akan laku di tengah-tengah pasar jual beli undi.

Wang sudah menjadi bahasa politik bukan sekadar ekonomi lagi. Wang penentu party electability. Wang penentu pemenangnya. Wang dapat membeli segala-galanya.

Suara rakyat berlawan dengan wang, media, jentera dan segalanya. Pilihanraya menjadi kesempatan terbaik melabur dalam politik bagi mendapat peluang pulangan daripada projek dan kontrak kerajaan selepas pilihanraya.

Budaya politik rasuah ini akan akhirnya terbentuk kerajaan yang korup. Untuk melindungi kekuasaannya yang korup, institusi-institusi penegak undang-undang akan atau telahpun dilemahkan dan dilumpuhkan – kepolisan, peguam negara, badan kehakiman, badan pesuruhjaya pilihanraya, badan pencegah rasuah dan seumpamanya. Dengan demikian institusi-institusi ditransformasi daripada menjadi agen menegakkan keadilan dan ketertiban kepada agen pelindung korupsi dan penyelewengan. Berfungsi hanya untuk kelangsungan kuasa dan sistem yang korup.

Korupsi dan politik wang itu sarat seperti barah tetapi sukar untuk dibuktikan. Itulah sebabnya seorang tokoh Indonesia menyifatkan korupsi seperti “kentut” – baunya ada tetapi si pelakunya tidak mahu mengaku.


( Dr Siddiq Fadil, Presiden WADAH Pencerdasan Umat di Wacana Islam dan Demokrasi, Kajang)


No comments:

Post a Comment