Monday, March 10, 2014

KESALAHAN SEBUAH JAMAAH



Deretan episod-episod hina selama 16 tahun - tuduhan jahat, pendakwaan, hukuman, penyebaran cerita dan video aib bertubi-tubi, siaran akhbar dan TV,  dan serangan peribadi bertalu-talu bukanlah bertujuan baik  ataupun jauh sekali mulia tetapi untuk semata-mata mengisytiharkan bahawa Anwar Ibrahim tidak layak menjadi pemimpin, menanam keraguan di kalangan rakyat,  sekaligus menjadikan ini isu politik partisan. Tuduhan ini dan segala fitnah seibaratnya tidak akan diangkat selagi matlamat realpolitik – politik mentah-  ini tidak tercapai walauapapun hujah agama, moral, legal, universal  atau peri kemanusiaan digunakan untuk menentang dan membantahnya.

Oleh itu, kenapalah ada pimpinan pergerakan pemisah jamaah islah dengan sebahagiannya berkelulusan Mesir masih ingin meranduk dan berlumpur di kubang jenayah dan dosa besar yang selayaknya menjadi kumbahan geng trio Datuk T, blogger psiko,  sang penibai, sang penghilai dan karakter buruk tak bermoral seumpamanya? Bukankah amsal daripada Sunnah  telah lama diingatkan supaya menjauhi tukang besi tetapi menghampiri penjual minyak wangi?  Kenapa mengambil saksi fasik sambil mendabik dada, mempromosikan orang tidak bermoral, berpakat dengan orang jahat dan menghalalkan matlamat yang jelek? Kenapa relakan rasuah, mendokong yang korup dan menjadi alat perasuah?  Matlamat realpolitik begini adalah semata-mata singkat, temporal, sementara dan di dunia saja. Kesannya dan balasannya adalah abada – selama-lamanya.


Jenayah - Peringatan Kesekian Kalinya

Adapun jenayah zina melibatkan kesalahan kehormatan, maruah dan peribadi individu. Oleh itu, sebelum pertuduhan boleh dibuat, empat saksi perlu dihadirkan supaya tiada pencabulan diri, penyelewengan undang-undang atau kezaliman berlaku kepada hak, kehormatan, maruah dan peribadi Muslim dan Musiimah. Tidak ada kompromi. Ini pegangan ahli fiqh salaf dan khalaf, mereka tidak menerima keterangan-keterangan lain kerana mereka masih mementingkan pemeliharaan  kemuliaan individu dan kesejahteraan masyarakat. Tidak boleh tuduhan melulu atau percubaan sebarang keraguan. Bukan boleh bermain dengan sumpah atau menggunakan circumstantial evidence. Inilah yang diterangkan dalam surah-surah  al hujurat dan al nur. Kita diingatkan supaya jangan menerima pemberitaan orang-orang fasik. Kita diingatkan supaya jangan tuduh menuduh, kata-mengata, umpat mengumpat dan tidak intip-mengintip. Kita diingatkan supaya meminta kehadiran empat orang saksi jika ada tuduhan zina dan jika tidak dapat dihadirkan, maka kita diperintah mengatakan bahawa ini tuduhan pembohongan yang besar dan nyata. Kemudian sesiapa yang menuduh dengan tiada saksi-saksi ini dikenakan hukuman qazaf. Hukumannya adalah sebatan bagi menunjukkan betapa besar dosa ini. Keterangan dan kesaksian mereka ditolak selama-lamanya menurut ulama kecuali bertaubat. Ini adalah ajaran Islam. Ini adalah shariah yang perlu ditegakkan dan didaulatkan.


Kesalahan Kumpulan Pemisah Jamaah Islah

Mereka memilih untuk menolak tujuan utama shariah, mereka mengabaikan pemeliharaan kehormatan manusia dan prinsip kemuliaan insan - karamah insaniyah. Mereka mengkhianati amanah da’wah, dengan mengabaikan prinsip kebenaran dan keadilan, malah mencanggahi seruan kebaikan dan pencegahan kemungkaran. Mereka mempertahankan kebatilan walaupun nyata fasad dan korup serta sekalian kefasikan yang dibawanya. Mereka menyumbang kepada fitnah besar, mentohmah pemimpin Islam dan perjuangan yang digalasnya. Mereka menundukkan ilmu, adab dan kefahaman yang mereka miliki kepada kehendak penguasa dan kekuasaan fana yang ada. Mereka menjadi model contoh ikutan kepada angkatan muda tulus yang bakal hilang kompas moral. Mereka berlaku zalim dengan memainkan bibit-bibit perkauman.


Isu sebenar

Isu sebenar adalah isu keadilan. Jika Anwar Ibrahim secara jujur dirasakan tidak sesuai atau layak diangkat sebagai pemmpin negara, maka gunakanlah segala hujah politik luhur dan strategi politik yang tinggi, adil dan saksama. Berpencaklah dan bertarunglah di pentas demokratik. Berdebatlah secara terbuka, beretika dan sihat dengannya tentang isu-isu kenegaraan, wawasan dan perancangan masa depan. Cubalah secara waras  dengan fakta bahaskan dasar-dasar, program-program dan pandangan-pandangannya tentang Islam, Melayu, pembangunan, ekonomi, pendidikan, keadilan, kemiskinan, nasib rakyat, integriti, penyatuan, perpaduan, masa depan negara, dasar luar dan lain-lain seluasnya. Kempen selebar mungkin, analisa setiap ucapannya, libatserta dan cabar - engage and challenge,  dan cubalah yakinkan penyokong-penyokongnya. Tetapi jika politik dan kuasa digunakan dengan cara yang tidak adil malah menzalimi peribadi yang baik maka inilah angkaranya sehingga fitnah yang jahat dan nyata pun ingin dipertahankan lalu panduan agama serta pendirian moral yang jelas juga dipertikaikan secara partisan yang serong dan sempit. Bayangkan masa depan negara dan nasib generasi era ini serta maruah warga pada masa depan jika politik mentah terus berkuasa.



Kita perlu sedar bahawa surah al nur juga mengingatkan berulang kali bahawa jika bukan kerana rahmat Allah swt ke atas kita semua nescaya telah lama diazab kerana fitnah besar sebegini.

No comments:

Post a Comment