Wednesday, April 16, 2014

MENGHADAPI TIPUDAYA DAN MUSLIHAT: TAKDIR ALLAH: UMAR TILMISANI: MENYINGKAP LEMBARAN IKHWAN MUSLIMIN


Pada zaman pimpinan Ustadh Hasan al Hudhaibi dan selepasnya, wujud beberapa pertubuhan “jamaah Islam” yang menyerang Ikhwan dengan begitu sengit. Ada jamaah yang kehadirannya semata-mata khusus untuk memomokkan Ikhwan. Mereka menuduh Ikhwan hanya tahu membaca al Qur’an dan tidak lebih daripada itu serta mendakwa Ikhwan telah jauh menyimpang daripada medan jihad. Maka ahli-ahli Ikhwan datang mengadu kepada Umar Tilmisani. Tilmisani menjawab, “Kita bersyukur dan memuji Allah swt kerana mereka telah mengingatkan kita tentang amalan kita membaca al Qur’an. Pada al Qur’an terdapat konsep agama dan negara, jihad dan perdamaian. Oleh itu, ini bukan tuduhan walaupun mereka tidak mengerti. Ini kritik yang jujur yang mahu melihat sesuatu yang belum beres pada diri kita.”

Walaupun begitu jelek perlakuan jamaah ini terhadap Ikhwan, pimpinan Ikhwan masih membela mereka apabila berhadapan persoalan hukum shariah oleh pihak lain. Ikhwan bersama menegakkan hukum walaupun mereka ini sanggup mengkafirkan Ikhwan.

Ini kerana menurut Tilmisani, Ikhwan mempunyai hadaf dan tujuan yang jelas sasarannya. Ikhwan tidak begitu pedulikan kesulitan-kesulitan yang menemani jalan dakwah. Mereka tidak terlalu acuh terhadap rintangan dan ranjau yang menghaalang jalan kejayaan dan kemuliaan yang diyakini.

Setelah fitnah, hasutan, teror dan serangan pihak regim, kini didirikan pula “jamaah-jamaah” yang memakai jenama Islam serta mempunyai mantel wajah baru. Berlakulah kaum Muslimin menyerang kaum Muslimin, sedangkan musuh-musuh menunggu kehancuran umat! Namun Allah swt telah menjauhkan Ikhwan daripada fenomena saling hina menghina dan murtad memurtad ini. Akhirnya “jamaah-jamaah” ini menghilang diri, pupus lenyap dengan sebahagian anggotanya yang keluar kembali pula untuk menyerang pertubuhan lamanya. Demikianlah manusia memperolehi kembali apa yang telah tersembunyi sekian lama.

Pada saat itu dakwah Ikhwan berkembang luas di dalam Mesir dan di luar negara. Tilmisani dan anggota Ikhwan berkesempatan menghadiri persidangan-persidangan di Eropah, Amerika dan Asia. Tilmisani merasai dan terkesan dengan kejayaan program-program berkenaan dan melihat ketinggian semangat dakwah di kalangan pemuda-pemudi serta betapa cintanya mereka kepada Ikhwan Muslimin. Ribuan telah hadir muktamar-muktamar ini dan ikatan ukhuwwah bertambah erat.

Kemudian Ikhwan dituduh pula berlatih senjata di Yaman dan negara German. Padahal memang orang Yaman sudah terbiasa membawa senjata api atas pundak mereka secara terbuka kerana adat kebiasaan lazim mereka. Anggota Ikhwan berkunjung ke Yaman untuk mencari peluang pekerjaan dan memperbaiki ekonomi hidup. Tetapi apabila mereka kembali ke Mesir mereka dihadapkan dengan pendakwaan liar. Mengenai tuduhan latihan senjata Ikhwan di German, pihak berkuasa German sendiri tegas menolak kemungkinan itu dengan sistem undang-undang dan kehakiman yang ketat mereka.

Menurut Tilmisani, regim-regim dan penguasa-penguasa negara Islam gemar untuk menuduh Ikhwan merancang konspirasi dan keganasan. Padahal mereka tahu bahawa Ikhwan tegas menolak sebarang bentuk keganasan. Oleh itu, pihak keselamatan negara dan perisik akan tertumpu kepada pergerakan Ikhwan. Sehingga ada penguasa yang mendakwa Ikhwan lebih berbahaya daripada Zionisme. Itulah mungkin sebabnya kenapa dunia moden tidak memprotes apabila anggota Ikhwan didera dan disiksa. Menurut Tilmisani, dunia diam seribu bahasa tanpa kecaman atau keprihatinan tentang kejadian buruk yang menimpa Ikhwan.

Penulis akhbar memberi komentar bahawa Ikhwan tidak pernah  meminta perlindungan negara-negara lain. Tilmisani menjelaskan bahawa mereka hanya meminta daripada Allah yang Maha Kuasa lagi Maha agong.
Apabila Ja’far Nimeiry, Presiden Sudan ketika itu mengisytiharkan akan menerapkan Shariah islam, Umar Tilmisani berasa gembira dan Ikhwan memberikan sokongan walaupun banyak perkara pada keputusan Nimeiry itu meragukan. Memang dikatakan polisi shariah  ini untuk memperkukuhkan kedudukan politik Nimeiry yang autokrat itu. Namun Tilmisani masih mengharapkan tindakan seterusnya akan membetulkan kesalahan-kesalahan Nimeiry.

Namun, Nimeiry menggelar Ikhwan Muslimin sebagai ‘Ikhwan syayatin’, padahal penasihat dan penyokong program “Islamisasi”nya terdiri daripada Ikhwan. Tilmisani hairan bagaimana penguasa-penguasa Islam seperti ini sangat membencikan Ikhwan. Namun, bagi Tilmisani perbuatan Nimeiry terkait dengan niat dan tentang itu diserahkan sepenuhnya kepada Allah swt yang mampu menghijab di antara manusia dengan hatinya dan mengetahui segala yang tersembunyi.

Setelah Ikhwan berganding bahu dan membantu Free Officers Gamal Naseer, perhubungan semakin kendur dan renggang. Apabila Ikhwan membantah perjanjian Inggeris dan Naseer pada 1954, bermulalah tekanan dan saat-saat hari yang penuh kesulitan. Apabila ditanya, Tilmisani berkata. “Ke mana kita hendak melarikan diri daripada takdir Allah yang ada pada lingkaran pengetahuanNya. Rupa-rupanya syahid telah menanti sebahagian daripada pimpinan dan anggota Ikhwan. Pimpinan Ikhwan tidak tertipu tetapi inilah takdir Allah!”

Tilmisani mengingatkan tentang seerah Rasulullah s.a.w. Beberapa orang Arab Badawi yang sakit memasuki kota Madinah. Apabila mereka telah sembuh, mereka memohon agar Rasulullah s.a.w. mengutuskan beberapa orang ahli al Qur’an ke kampung mereka untuk mengajar. Tetapi dalam perjalanan para ahli al Qur’an ke kampung itu di luar Madinah, mereka diserang dan dibunuh. Rasulullah s.a.w. sangat sedih dengan kejadian tersebut. Tetapi tiada siapa pun mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. yang sentiasa dibimbing wahyu telah melakukan kesalahan atau tertipu. Itulah takdir Allah swt.

Oleh itu, menurut Tilmisani perbincangan tentang kepintaran, kelicikan atau penipuan perlu dijauhkan kerana selama mana manusia mengerahkan ikhtiarnya dengan penuh kesungguhan, dia tidak dituntut dari segi hasilnya. Tidak ada sesiapa yang tahu apa akan diperolehinya keesokan hari. Allah swt lebih mengetahui.

Menurut Tilmisani, orang-orang yang bertindak keluar daripada Ikhwan pun akan mempunyai getaran perasaan yang seolah memaksa dirinya memperingati kebaikan-kebaikan yang diperolehinya sewaktu bergabung dengan Ikhwan. Mereka ingin kembali ke pangkuan jamaah yang telah mendidik dan dia tidak akan lupa kemanisan dan nikmat intima’ bersama Ikhwan. Perilaku dan tindakannya akan mempamerkan hasil tarbiyah Ikhwan. Meskipun dia bersumpah bahawa dia bukan Ikhwan tetapi tidak ada seorang pun akan mempercayainya. Tilmisani berkata, mereka inilah yang diperlakukan oleh Naseer sehingga mereka memuja, menjilat dan mendokong Naseer.


Tilmisani menceritakan kisah Mahatma Gandhi. Pada Januari 1931, Gandhi telah dibebaskan daripada penjara. Gandhi yang sepi dan berpakaian hampir telanjang itu telah berkata kepada Inggeris - se buah kuasa besar pada zaman itu, “Berambus kamu dari negeri kami!” Gandhi ditahan dan disiksa tetapi kemenangan berhasil juga ditangannya. Pembebasan dan kemenangan Gandhi meyakinkan Tilmisani bahawa orang yang berjuang di jalan kebenaran dan bersabar terhadap segala ujian yang menimpanya akan memetik dan mencapai cita-cita dan harapannya, apapun agamanya. Tilmisani mengungkapkan, “Alangkah baiknya jika kita memetik hikmah daripada setiap pelajaran di mana pun ia berada.”


No comments:

Post a Comment