Saturday, April 26, 2014

DR SIDDIQ FADIL: POLITIK FIR`AUN: KEZALIMAN DEMI SURVIVAL KEKUASAAN


POLITIK FIR`AUN: KEZALIMAN DEMI SURVIVAL KEKUASAAN (Memahami ayat-ayat 23 – 31 surah  al- Mu’min)

23. Dan sungguh, Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami dan Keterangan yang nyata,

24. kepada Fir`aun, Haman dan Qarun; lalu mereka berkata, “(Musa) itu seorang  pesihir dan pendusta.”

25. Maka ketika dia (Musa) datang kepada mereka membawa kebenaran dari Kami, mereka berkata, “bunuhlah anak-anak laki-laki dari orang yang beriman bersama dia dan biarkan hidup perempuan-perempuan mereka .” Namun tipu daya orang-orang kafir itu sia-sia belaka.
26. Dan Fir`aun berkata (kepada pembesar-pembesarnya), “Biar aku yang membunuh Musa dan suruh dia memohon kepada Tuhan-nya. Sesungguhnya aku khuatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerusakan di bumi.”

27. Dan (Musa) berkata, “Sesungguhnya aku berlindung kepada Tukan-ku dan Tuhan-mu dari setiap orang yang menyombongkan diri yang tidak beriman kepada hari perhitungan.”

28. Dan seseorang yang beriman di antara keluarga Fir`aun yang menyembunyikan imannya berkata, “Apakah kamu akan membunuh seseorang kerana dia berkata, ‘Tuhan-ku adalah Allah ’, padahal sungguh, dia telah datang kepadamu dengan membawa bukti-bukti yang nyata dari Tuhan-mu. Dan jika dia seorang pendusta maka dialah yang akan menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika dia seorang yang benar, nescaya sebahagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang melampaui batas dan pendusta.

29. Wahai kaumku! Pada hari ini kerajaan ada padamu dengan berkuasa di bumi, tetapi siapa yang akan menolong kita dari azab Allah jika (azab itu) menimpa kita?” Fir`aun berkata, “Aku hanya mengemukakan kepadamu , apa yang aku  pandang baik; dan aku hanya menunjukkan kepadamu jalan yang benar.”

30. Dan orang yang beriman itu berkata, “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku khuatir kamu akan ditimpa (bencana) seperti kehancuran golongan yang bersekutu.

31. (yakni) seperti kebiasaan, kaum Nuh, `Ad, Thamud, dan orang-orang yang datang setelah mereka. Padahal Allah tidak menghendaki kezaliman terhadap hamba-hamba-Nya.


Huraian Maksud ayat:

Musa `a.s. diutus untuk menyampaikan mesej kebenaran dan keadilan kepada penguasa Mesir, Fir`aun dan dua orang kuatnya - Haman (politikus pengampu) dan Qarun (kapitalis kroni). Ayat-ayat surah al-Mu’min di atas mengungkapkan pertembungan dua kekuatan: Musa `a.s. dengan kekuatan mukjizat, hujah dan bukti kukuh;  berhadapan dengan Fir`aun dan para pendukungnya (Haman dan Qarun) dengan kekuatan  pemerintahan teror ( reign of terror ) - membunuh, memfitnah, mencaci-maki dan melakukan pelbagai provokasi biadab. Ayat 24 menyebut secara khusus tiga nama pelaku utama pemerintahan teror zaman itu, atas dasar bahawa merekalah biang keladi sebenarnya, sedang yang lain-lain hanya mengikut dan mendukung. Pada diri mereka terjelma ciri-ciri perwatakan para  penguasa zalim sepanjang zaman, iaitu keengganan mendengar nasihat, hujah dan  pemikiran rasional; sebaliknya sangat bernafsu menggunakan kekerasan -  pembunuhan dan penderaan. Mereka tidak hanya melakukan character assassination dengan memfitnah Musa `a.s., mencemarkan nama baiknya dan melabelnya sebagai pesihir dan pendusta; malah telah membuat ketetapan membunuh anak-anak lelaki mereka yang beriman dengan Musa `a.s. Ini adalah kali kedua mereka melakukan pembunuhan massa. Kali pertama mereka lakukan menjelang kelahiran Musa `a.s., tetapi tindakan gila itu ternyata sia-sia. Musa `a.s. tetap lahir, membesar dan hidup sempurna sebagai rasul dan pahlawan  penggugat kezaliman penguasa dan wira pembebasan rakyat kecil.

Sementara itu jumlah kaum Bani Isra’il tetap bertambah dan keupayaan mereka terus meningkat. Dan tindakan gila kali kedua ini pun tetap akan sia-sia. Justeru, apabila Tuhan mengatakan “…tipu daya orang-orang kafir itu sia-sia belaka.”, bererti itulah kesudahan muktamadnya. Kali ini mereka lebih gila lagi dengan membuat ketetapan tambahan, iaitu untuk menghabisi Musa `a.s. sendiri. Fir`aun menyatakan tekad dan komitmen peribadinya untuk dia sendiri yang membunuh Musa (`a.s.). Ayat 26 membayangkan seperti ada dalam kalangan orang kelilingnya yang tidak bersetuju dengan idea pembunuhan Musa `a.s. kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan akan menjadikan Musa (`a.s.) seorang wira. Orang sombong seperti Fir`aun memang tidak pernah senang dengan  pendapat yang berbeza. Kerana itu ia tetap berdegil dengan ketetapannya, “…biar aku  yang membunuh Musa ”, sambil bercakap besar “…suruh dia (Musa) memohon (bantuan) dari Tuhan-nya!”. Memang pada zahirnya cakap besar Fir`aun itu membawa erti meremehkan do’a Musa `a.s. kepada Tuhan-nya, tetapi di sebalik kata-kata sombong itu tersirat rasa takut andainya Musa `a.s. benar-benar berdo`a memohon  pertolongan Tuhan-nya.

Rasa takut pada diri Fir`aun sendiri dan orang-orang kelilingnya memang suatu yang sangat mungkin, kerana sebelumnya mereka telah sama-sama menyaksikan bagaimana Tuhan telah memenangkan Musa `a.s. dalam  perlawanannya dengan ahli-ahli sihir Fir`aun Memang dasar orang sombong, dalam rasa takut-takut itu, dendam dan geramnya tidak  pernah padam. Fir`aun tidak memakai akal sihat, tetapi bertindak mengikut emosi. Yang lebih penting bagi Fir`aun, Musa (`a.s.) harus mati demi survival diri dan kekuasaannya! Tetapi kepada rakyat massa Fir`aun berdalih bahawa ketetapan membunuh itu semata-mata demi “kepentingan agama, bangsa dan negara”. Dalih rekaan itulah yang disebut  pada ayat 26, “… sesungguhnya aku khuatir dia akan menukar agamamu dan menimbulkan kerusakan di bumi.“ Yang dikhuatiri oleh Fir`aun itu sebenarnya ialah  perubahan dalam kalangan rakyat yang akan meninggalkan agama negara yang menyembah dan memberhalakan Fir`aun, dan seterusnya beralih kepada agama baru menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Jika ini terjadi bererti Fir`aun tidak lagi dipatuhi dan dipuja sebagai tuhan. Selain itu Fir`aun juga bimbang dengan sokongan rakyat (Bani Israil) yang terus meningkat terhadap Musa `a.s., dan ini tentunya akan menggugat kekuasaan Fir`aun yang zalim dan teror itu.

Dengan kata lain, apa yang disebut sebagai “demi kelangsungan agama dan kestabilan negara” itu pada hakikatnya adalah “mempertahankan kebatilan dan kezaliman” Fir`aun sendiri. Demikianlah politik Fir`aun yang menggunakan strategi menakut-nakutkan rakyat dengan pelbagai ancaman: kerosakan agama, huru-hara, rusuhan kaum dan sebagainya. Yang menjadi sasaran selain Musa `a.s. sendiri, ialah generasi muda pengikutnya. Fir`aun ternyata sangat takut dengan kekuatan generasi muda pro-Musa yang terus  bertambah dan akan sampai masanya mereka menjadi kekuatan politik penggugat yang mengancam survival kekuasaannya. Untuk menghindari kemungkinan yang menakutkan itu, langkah yang dirasakan paling berkesan ialah “bunuh!”. Setiap anak muda yang lelaki dan bersikap “jantan” dilihat sebagai ancaman. Pemerintahan Fir`aun membiarkan wanita-wanita kaum beriman untuk terus hidup, tetapi bukan atas dasar kemanusiaan. Sebaliknya mereka mempunyai rencana lain yang tidak kurang jahat dan khianatnya iaitu untuk menghina dan mengeksploitasi mereka dengan menjadikan mereka pekerja-pekerja murah dan perempuan-perempuan penghibur. Dengan demikian tidak hanya kekuatannya dilumpuhkan, tetapi maruah, harga diri dan kehormatannya  juga dijatuhkan. Apabila itu berlaku tamatlah riwayat satu bangsa.

Dalam konteks ayat-ayat al-Mu’minun ini telah berlaku divine intervention, usaha jahat Fir`aun, pengampu-pengampu dan kroni-kroninya gagal menghabisi kaum mukminin dan Bani Israil. Ternyata Fir`aun yang mengerahkan seluruh jentera kekuasaan terornya gagal menindak Musa `a.s. sebagaimana yang diinginkan, kerana Musa `a.s. mendapat  perlindungan Kuasa Yang Maha Perkasa, “…sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhan-ku dan Tuhan-mu dari setiap orang yang menyombongkan diri yang tidak beriman dengan hari perhitungan.“ - ayat 27. Yang diminta oleh Musa `a.s. adalah  perlindungan Allah, bukan hanya dari kezaliman Fir`aun semata-mata, tetapi dari kezaliman semua orang yang angkuh dan bongkak dengan kekuasaannya (…min kulli mutakabbir…). Ini bererti bahawa penguasa mutakabbir yang angkuh dan leluasa melakukan kezaliman bukan hanya Fir`aun seorang, tetapi ramai lagi yang sebulu dengannya, bezanya hanya lokasi dan zamannya, juga gred atau besar kecilnya. Wajar diperhatikan bahawa kata mutakabbir (orang yang menyombongkan diri) pada ayat tersebut diikuti ungkapan la yu’minu biyawmi ‘l-hisab (tidak beriman dengan hari perhitungan). Ini bererti bahawa apabila sikap menyombongkan diri itu dikombinasikan dengan sikap tidak percaya dengan hari pembalasan, maka tidak ada lagi had yang membatasi keleluasaan melakukan kezaliman. Justeru, yang menyebabkan seseorang  bersikap angkuh dan zalim ialah ketidak-percayaannya kepada hari perhitungan dan  pembalasan ukhrawi.

Apabila Tuhan menghendaki, hidayah iman boleh sampai kepada siapa sahaja dan di mana sahaja. Demikianlah yang terjadi seperti yang diisyaratkan dalam ayat 28. Salah seorang kerabat dekat Fir`aun sendiri rupa-rupa secara diam-diam telah beriman. Memang dia menyembunyikan imannya, tetapi kerana dorongan imannya ia berusaha dengan caranya sendiri untuk menggagalkan rencana pembunuhan Musa `a.s., iaitu dengan berhujah, menasihati dan mengingatkan risiko buruk rencana jahat tersebut. Ia mempertanyakan apa kesalahan Musa `a.s.? Kalau sekadar mengatakan “Tuhan-ku adalah Allah”, ia bukan kesalahan yang mewajarkan hukuman bunuh. Andainya Musa `a.s. berbohong dengan dakwaan kerasulannya, beliau sendirilah yang akan menanggung laknat kebohongannya. Tetapi jika beliau benar, apa lagi setelah beliau membuktikannya dengan memperlihatkan kepada umum bukti (mukjizat) yang dibawanya, maka risiko menzaliminya sangat buruk. Tuhan akan menimpakan azab kebinasaan, sekurang-kurangnya sebahagian daripada azab yang diancamkannya (bencana duniawi). Tuhan tidak akan menolongnya jika ia memang seorang pelampau,  penjahat dan pendusta, malah Tuhan sendirilah yang akan membinasakannya, dan kalian tidak perlu bersusah payah membunuhnya. Tetapi jika beliau (Musa `a.s.) benar Tuhan  pasti menolongnya, sebagaimana yang terbukti dari mukjizat yang telahpun diperlihatkannya. Dengan bersikap seolah-olah seperti “orang dalam”, orang yang telah beriman itu membayangkan suatu senario buruk masa depan pemerintahan Fir`aun.

Beliau mengingatkan Fir`aun dan pendukung-pendukungnya yang disebut sebagai  ya qawmi (wahai kaumku) itu agar jangan bongkak dengan kekuasaan. Memang sekarang kamu memegang kuasa pemerintahan yang membolehkan kamu bertindak leluasa di bumi, kamu memiliki segala jentera kerajaan dan menguasai semua media propaganda, kamu  boleh berbuat apa sahaja untuk menindas dan mendera Bani Isra’il; tetapi ingat! Apabila Allah menimpakan bencana (ba’si ‘Llah), tidak akan ada yang dapat menyelamatkan kamu, termasuk kekuasaan yang sekarang di tangan kamu. Segala kekuatan - tentera, polis, mahkamah, media, pesihir dan bomoh - yang selama ini kamu boleh kerahkan untuk melaksanakan kemahuan kamu, ketika itu tidak akan mampu  berbuat apa-apa. Kekuasaan sebagai amanah seharusnya tidak disalahgunakan untuk  bertindak sewenang-wenang!. Orang (beriman) ini menggunakan kata  faman yansuruna (maka siapa yang akan menolong kita) dan kata in ja’ana (jika datang menimpa kita). Kata “kita” dipakainya untuk memberikan kesan seolah-olah beliau adalah bahagian daripada mereka, yang sama-sama prihatin terhadap untung nasib kerajaan Fir`aun. Fir`aun dengan kesombongannya yang memang sudah mendarah-daging, tidak bersedia mendengar nasihat. Pandangan dan peringatan “orang dalam” tersebut ditolaknya dengan membuat kenyataan-kenyataan bohong yang memperlihatkan seolah-olah ia lebih jujur dan lebih prihatin terhadap kaumnya berbanding orang yang telah menasihatinya itu.

Kebohongan pertama Fir`aun ialah ketika mendakwa bahawa tindakanannya semata-mata demi kepentingan negara dan rakyat. Kononnya itulah  pandangan ikhlasnya. Kebohongannya yang kedua ialah ketika ia mendakwa bahawa  jalan yang dipilihnya itu adalah jalan yang benar, tepat dan selamat untuk diikuti oleh rakyat. Demikianlah ayat 29 menyerlahkan perilaku hipokrit yang amat menjijikkan. Orang sejahat Fir`aun ada ketikanya berlagak seperti orang baik-baik yang berbuat segalanya semata-mata demi rakyat dan negara. Sebuah konspirasi jahat dan curang telah dikemas begitu rupa, lalu diperagakan sebagai pakej penyelamat nasib rakyat.

Meskipun nasihatnya ditolak, tetapi orang beriman itu tidak pernah give up atau putus asa. Ayat 30 dan 31 mencatatkan usahanya yang terterusan dengan meminta Fir`aun  belajar dari sejarah. Apa yang telah terjadi kepada kaum-kaum yang bersekutu menentang rasul utusan Allah, seperti kaum Nuh, kaum `Ad dan kaum Thamud yang semuanya telah dibinasakan oleh Allah s.w.t., dan tidak ada siapa pun dan apa pun yang dapat menyelamatkan mereka. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Ertinya, Allah tidak membinasakan sesuatu kaum tanpa sebab dan justifikasi yang sah. Mereka yang telah dibinasakan itu, semuanya adalah kaum yang melakukan kejahatan  besar - menolak rasul, mendustakannya, mengingkarinya dan menyakitinya.



TM70 26042014

No comments:

Post a Comment