Thursday, April 10, 2014

MESIR: MENGABSAHKAN DIKTATOR DENGAN MENGHALALKAN PEMBUNUHAN



Pada kemuncak pergolakan politik El Salvador di Amerika Tengah, regim diktator berkuasa memilih  Salvador Option atas nasihat aktif perisekan US.  Mereka menggunakan cara endap tersembunyi dengan memobilisasikan skuad-skuad pasukan pembunuh rahsia (death squads) untuk mensasar dan membunuh serta menghapuskan pembangkang, saingan politik termasuk melakukan penculikan dan membuatkan makar supaya para penentang serta kaum keluarga mereka ghaib hilang tanpa dijumpai lagi daripada landskap politik dan lesap secara fizikal.

Algeria pada tahun 90’an, menyaksikan regim brutal menggunakan taktik eradicatuer – pembasmian. Ini bermakna mereka secara literal membasmikan pesaing politik Islamis, kepimpinan mereka, ahli-ahli segenap peringkat dan penyokong-penyokong parti Islamis. Mereka bermula dengan menarik dan memaksa parti FIS (yang sebenarnya telah berjaya memenangi pilihanraya) ke dalam kancah perang saudara berdarah yang merugikan. Kampung-kampung dan penempatan yang disyaki menyokong FIS diserang dan dilenyapkan. Pasukan keselamatan regim menyamar sebagai anggota militan ekstrem bagi menjalankan kerja skuad pembunuhan. Kekejaman mereka termasuk menggunakan taktik penyiksaaan dan penderaan tanpa peri kemanusiaan, taktik yang mereka pelajari dan warisi daripada penjajah jahat Perancis. Mereka mengganasi pejuang Islamis sehingga FIS tertewas dan pada masa yang sama menanamkan ketakutan dan kengerian kepada masyarakat dan penduduk am supaya tidak lagi menaruh simpati kepada FIS.

Assad di Syria pula terus melancarkan perang secara terbuka ke atas  penduduk awamnya yang hanya membantah dan menunjuk perasaan menentang regim korupnya. Assad menyerang secara besar-besaran ke atas pusat-pusat bandar dan penempatan orang ramai yang disyaki menyokong kebangkitan menentangnya. Assad dengan bala tentera serta senjata kimianya melakukan pembantaian kejam tanpa sebarang pertimbangan, dengan sengaja menggunakan senjata berat bagi membunuh beratus ribu nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.   

Regim kudeta Mesir ingin  mengabsahkan kewujudannya sebagai pemerintah dengan menyalahgunakan saluran undang-undang yang sangat cacat dan sangsi bagi membungkamkan lawan politiknya. Mesir telah merekayasa terror dengan menggembleng mahkamah untuk menjatuhkan hukuman bunuh sekaligus ke atas 529 orang aktivis dan penyokong Ikhwan Muslimin. Mesir juga sanggup dengan penuh licik dan durjana mendapatkan pengesahan luar biasa Mufti Besar Shawqi Allam untuk menandatangani watikah hukuman bagi menunjukkan bahawa hukuman itu direstui agama. 529 orang aktivis ini termasuk Murshid al Am Ikhwan Muslimin, Dr Muhammad Badie dihukum semata-mata kerana mereka memprotes penggulingan haram kerajaan yang telah sah dilantik secara demokratik. Orang-orang yang dihukum ini adalah terdiri daripada aktivis-aktivis sosial dan da’wah. Ikhwan Muslimin telah kesekian kalinya secara tegas dan terang menyatakan bahawa mereka telah memilih demokrasi sebagai wadah perjuangan politik dan mereka tegas menolak sebarang bentuk keganasan. Walaupun hakikat ini diketahui umum dan diterima semua pihak, namun regim General Assisi memilih jalan susurgalur Fir’aun, iaitu dengan cuba menghapuskan penentang yang bangkit secara total dan sepenuhnya, melalui membasmikan politikal Islam, membunuh kepimpinan dan  ahli Ikhwan dengan menggunakan “undang-undang” yang tempang.

Regim diktator Mesir nampaknya menceduk idea daripada peristiwa hukuman bunuh ke atas aktivis-aktivis Jamaat Islami Bangladesh, hukuman bunuh paling hina dan memalukan umat Islam seperti hukuman bunuh ke atas  pemimpin Jamaat Islami, Abd Qadir Mulla.

Seperti yang termaklum sepanjang sejarah perjuangan pembebasan dan kemerdekaan manusia pada zaman moden, US, Barat, Rusia and negara Cina mirip dan lazim memihak kepada regim-regim autokrat. Begitulah juga Jazirah Arab dan negara-negara Telok yang kaya raya dengan limpahan kemewahan minyak, seolah-olah tidak mempedulikan kesengsaraan dan kehilangan nyawa serta apa yang bakal berlaku kepada saudara seagama mereka. Mereka ini amat berpengaruh dan boleh memberikan kesan kepada proses tetapi mereka enggan demi memastikan pengekalan status kuo, kerana selagi tiada demokrasi bebas, tidak akan berlaku kebangkitan atau revolusi atau apa-apa pergerakan popular menuntut kebebasan atau gema maruah rakyat yang bakal mengancam cengkaman kuasa dan kelangsungan pemerintahan dinasti mereka.

Apakah tujuan dan hasrat di sebalik hukuman yang zalim dan tidak masuk akal itu? Dunia perlu sedar dan mengambil perhatian berat kerana perlaksanaan hukuman ini adalah serious. Memang ada di kalangan Islamis yang akan menyimpulkan bahawa sepanjang sejarah kini, Barat dan perikatannya bukan sahaja senyap sunyi malah bersyubahat dan berkomplot dalam penangkapan dan penahanan Islamis, penderaan dan penyiksaan, sehingga kepada pembunuhan.  Mungkin ini suatu niat jahat untuk menambahkan tarikan bagi mengangkatkan profil al-Qaeda di rantau itu. Mungkin juga hasrat mereka untuk mendorong serta memaksa Islamis dan politikal Islam memilih jalan keganasan seperti yang berlaku di Algeria, supaya dengan mudah politikal Islam dihapuskan sebagai “teroris” dan tidak perlu ditentangi sebagai saingan di pentas politik. Semuanya ini supaya para diktator dan dinasti Arab selamat dan Israel hidup aman tanpa gangguan. Hamas dan Gaza kemudian akan dikebulurkan hingga maut, dengan diperkecilkan keadaan sebagai “lubuk teroris”. Andaian ini berbunyi dahsyat dan sukar diterima atau dipercayai boleh terjadi tetapi itulah yang telah pernah berlaku dan regim-regim serta dinasti-dinasti  seperti inilah yang sanggup bertindak begitu kejam. Begitu jugalah dengan pendokong-pendokong mereka dari Barat  yang memang mempunyai banyak dosa kesan-kesan darah pada tangan-tangan mereka.

Suatu senario menyaksikan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah berganding bahu dengan Emiriyah, Saudi, Kuwait dan Bahrain bagi memujuk dan meyakinkan Islamis bahawa tekanan dan penindasan akan dihentikan sekiranya Islamis menerima pembaharuan dan “pengislahan” Ikhwan Muslimin. Ikhwan akan didorong supaya menerima hakikat, melentur menjadi lebih pragmatik, tanpa terlalu berideologi dan mereka menfokus kepada aktivisme kemasyarakatan, amal kebajikan dan lain-lain aktiviti sivil tanpa mengancam untuk menentang kerajaan Mesir atau bertanding di pilihanraya atas wadah politikal islam. Penjenamaan semula Ikhwan akan membuktikan bahawa ia tidak lagi menggugat kedudukan dan kepentingan Saudi, negara-negara Telok,  Israel and Barat di rantau itu. Aktivisme Islamnya akan berbentuk yang “diizinkan”.

Pada ruang lingkup dan medan ideologi, ilmuwan-ilmuwan di rantau itu termasuk Universiti Al-Azhar mungkin mengarahkan kefahaman Ikhwan supaya dimoderatkan kepada Islam “sederhana”, bukan lagi bersifat refomis islahiy dan tidak lagi politikal.  Autoriti agama dan ulama’ akan digunakan bagi memujuk Ikhwan supaya menjauhi berkonfrontasi atau menentang regim pemerintah yang direstui autoriti rasmi agama, walaupun regim itu zalim dan tidak sah.

Akhir sekali, elemen-elemen di dalam tubuh Ikhwan sendiri berpaling tadah, belot atau hampa berhadapan dengan tekanan, ketakutan dan ancaman – sekaligus memecah belah kesatuan politikal Islam dan meleburkan gagasannya.


Sesungguhnya babak hitam berulang lagi dalam sejarah Ikhwan Muslimin dan Mesir moden apabila idealis-idealis politik, intelektual, profesional dan aktivis sosial, orang-orang yang beriltizam untuk islah dan berjuang tanpa keganasan, dipaksa untuk sengsara, ada yang telah dibunuh, ada pula yang menunggu giliran untuk dibunuh beramai-ramai -  semata-mata bagi melanjutkan kelangsungan usia regim bebal Mesir yang usang dan korup – dengan restu dunia yang memejamkan matanya.


No comments:

Post a Comment