Saturday, May 17, 2014

UMAR TILMISANI: IKTIBAR SIFAT DAN KEZALIMAN DIKTATOR: MENYINGKAP LEMBARAN IKHWAN MUSLIMIN


Gamal Abd Nasser pernah mengumpulkan siaran akhbar-akhbar dan majalah-majalah yang mengandungi kritikan-kritikan terhadap regim penguasa-penguasa Arab yang menentang perlaksanaan syariat Islam. Hampir keseluruhan makalah-makalah yang dikumpulkan adalah karya-karya tulisan anggota Ikhwan. Nasser sengaja melakukan usaha itu bertujuan bagi menghasut semua penguasa-penguasa negara Arab supaya bersamanya dalam memerangi dan menindas Ikhwan. Dia belum berpuashati dengan tindakan yang telah dia lakukan selama itu terhadap anggota Ikhwan di Mesir. Nasser berhasrat supaya semua regim penguasa Arab mencontohi teladannya termasuk melakukan penyiksaan, pembunuhan dan pengusiran. Nasser telah menyeru dan menagajak mereka ke arah itu dalam ucapannya kepada pemimpin dan raja-raja Arab di persidangan Rabat. Di Moscow, Nasser dengan penuh bangga mengisytiharkan kepada pendokongan penganjur utamanya regim Soviet bahawa dia berhasil menahan seramai 20,000 anggota Ikhwan pada suatu malam sahaja.

Namun, Umar Tilmisani masih mendoakan Nasser dan orang-orang Muslim yang bersekongkol dengan tindakan kejamnya supaya mendapat rahmat dan pengampunan Allah swt. Pesanan Tilmisani kepada umat Islam, “Janganlah sampai kamu hanya mampu melaknat orang-orang zalim, tetapi fikirkanlah bagaimana untuk berupaya memberhentikan kezalimannya itu.”

Tilmisani mengingatkan bahawa dulu Nasser seorang pemimpin revolusi yang amat menentang kezaliman Raja Farouk kerana membencikan penyalahgunaan kemewahannya, contohnya dia benci apabila Raja Farouk gemar memperagakan perahu layar – royal yacht – dalam menghabiskan masa-masa hiburannya. Tetapi apabila Nasser pula berada di kerusi kekuasaan, dia pula wewenang mempamerkan royal yacht itu dengan menjelajah dari Mesir hingga ke benua negeri-negeri Eropah. Dia berlayar bersama kaum keluarga dan kerabatnya.

Pada zaman diktator Nasser, orang-orang yang taat membuta tuli diberi keutamaan walaupun pada umumnya mereka ini diketahui bodoh. Orang-orang tolol tetapi patuh lebih dihargai daripada para pakar segenap bidang. Tilmisani membayangkan betapa sedih dan pilu perasaan saudara mara kerabat keluarga Ikhwan yang terpenjara dan disiksa apabila seorang alim Al Azhar mengampu memberi puji-pujian ke atas “keadilan” dan “kasih sayang” pemerintahan Nasser.

Namun bukan semua ilmuwan tidak berani berterus terang. Tilmisani menceritakan tentang pertemuan Nasser dengan Ustaz Munir Dallah, apabila Nasser berkata, “Aku ingin memiliki sebuah pemerintahan yang sifatnya terkendali secara elektrik dan automatik. Jika aku tekan satu butang, maka seluruh rakyat akan bangkit. Jika aku tekan butang lain, mereka pun semuanya duduk.” Ustaz Munir menjawab, “Demi Allah ini adalah gagasan yang baik wahai Tuan. Tetapi, kamu seolah-olah ingin memerintah sendiri dan keinginan kamu ini mustahil akan terjadi.” Nasser terdiam tetapi marah lalu menyimpan dendam ke atas Ustaz Munir hingga dipenjarakan dan disiksakannya.

Nasser telah melakukan kezaliman yang tidak diduga boleh dilakukan oleh seorang makhluk bernama manusia. Pada hakikatnya, Nasser tidak dapat imbalan kebaikan atau ganjaran apa pun daripada perlakuannya itu. Tilmisani berkata, “Sungguh Allah swt akan memudahkan pekerjaan hambaNya sesuai menurut dengan bakat yang ada padanya.”




(Rujukan: Dhikrayaat laa Mudhakiraat, terjemahan Indonesia Bukan Sekadar Kenangan, Umar Tilmisani, Murshid al Am ketiga Ikhwan al Muslimin)


No comments:

Post a Comment