Monday, December 22, 2014

Dr Siddiq Fadil - Dakwah datang dengan Rahmah



Kita hadir atas semangat bersama-sama melestarikian keunggulan tradisi ilmu gerakan Islam ini. Kekuatan berorganisasi dan paling kuat tradisi ilmu adalah gerakan Islam ini. Ini harus dipertahankan.  Tidak ada erti sahwah Islamiyyah - kebangkitan Islam tanpa sahwah ilmiah - without intellectual resurgence. Kebangkitan keilmuan adalah teras kebangkitan dakwah, kebangkitan Islam dan kelangsungan dakwah. Tidak boleh berkompromi kekuatan ini dalam apa cara sekalipun.

Dengan penuh tawaddu' kita adalah wadah yang membidani kebangkitan Islam di Malaysia kerana pada waktu itu tidak ada pun pertubuhan lain. Kompetensi kita adalah wahana bagi mempertahankan, melestarikan dan merealisasikan kebangkitan Islam. Keprihatinan - concern- kita haruslah kepada pembawa rahmatan lil alamin - misi besar penuh belas kasih sayang.

Adalah menyedihkan sekiranya kebangkitan ini hanya untuk bersumpah seranah, memaki hamun dan marah-marah. Sedangkan Islam sampai ke sini dengan wajah senyuman manis - datang ke rantau ini dengan penuh rahmah - Islam came to this region with smiling faces. Apabila kita berbicara begitu kepada seorang sarjana Barat, dia tersentuh lalu menjawab, "then, keep on smiling" - "teruskan dengan senyuman anda".

Bagaimana mungkin agama rahmah tiba-tiba menjadi acara agama marah-marah.

Kita mengambil tema rahmatan lil 'alamin demi kesetiaan kepada risalah islamiyyah. Bagaimana hendak diterjemahkannya kepada gagasan-gagasan yang realistik, itulah cabarannya. Berucap tentangnya memang senang tetapi masakan kita beku di takuk teori-teori Islamik tanpa gagasan realistik. Ini yang perlu dikejar dan dikerjakan.

Kita sangat prihatin terhadap toleransi dan harmoni di antara penganut agama. Kita anjurkan konsep bangsa Malaysia berasaskan sahifah Madinah. Kita manfaatkan kekuatan tradisi Islam dalam berdialog di antara agama. Rantau ini terkenal sebagai terkaya dari segi dialog ketamaddunan - richest in terms of civilizational dialogue. There is no other region where all great religions meet. Telah berlakulah dialog, bukan maksud dialog itu berforum tetapi interaksi dalam sejarah hingga terbentuk suatu hubungan antara kaum yang harmonis tetapi kekal dengan jati diri masing-masing.

Kita tolak idea peleburan - melting pot. Melting pot ibarat kawah besar di mana semua ramuan dimasukkan dan dimasak lebur dan habislah semua jati diri masing-masing. Di sini tidak berlaku begitu, apa yang berlaku mirip bineka tunggal ika - berpelbagai tetapi tetap bersatu atau apa yang disebutkan oleh Muhammad Imarah sebagai "kepelbagaian dalam bingkai kesatuan". Inilah yang kita promosikan sebagai dasar dan siapakah yang berani mengkonsepsikan idea ini.

Malaysia masih belum mempunyai banyak idea-idea pemikiran. Aktiviti politik berlambak tetapi pada gagasan besar politik, kita miskin sekali. Ada yang berani dengan idea-idea besar seperti Burhanuddin Helmi dan Anwar Ibrahim. Ada ramai yang lain yang berapi-api tetapi tanpa gagasan besar.

Burhanuddin Helmi telah mencadangkan sesuatu yang berani iaitu menjadikan semua orang satu rakyat dengan mengangkat Melayu sebagai istilah yang akomodatif, inklusif  dan menyatukan semua tanpa mengira negeri asal. Samada dipersetujui, realistik atau dipertikaikan, itu persoalan lain. Di sini terletak kecemerlangan idea dan keberanian politik. Jika kepimpinan tidak mempunyai idea lagi maka habislah kita. Kalau kita tidak lagi mampu menyumbang idea kepada umat, talkinkan saja, halas, tamat.

Kita telah sedar sejak awal lagi tentang realiti kemajmukan yang tidak boleh dinafikan. Mereka yang menafikannya samada sedang bermimpi atau ketinggalan dan masih belum realistik sehingga tidak menyedari kewarganegaraan yang majmuk.

Pada muktamar sanawi ABIM 1979 di UKM, Anwar Ibrahim telah menyampaikan ucapan dasar "Islam sebagai Penyelesaian Masyarakat Majmuk". Jika dilihat kepada ucapan dasar Muktamar Nasonal Wadah ke 6 dan yang terbaru, kita akan lihat perkembangan pemikiran kita dalam menangani pluraliti di Malaysia. Apa yang cuba kita lakukan adalah pengembangan ucapan Anwar Ibrahim pada 1979.

Ada yang berasa sangat alergik kepada pluralisme - suatu alahan yang keterlaluan. Walhal istilah pluraliti itu adalah zahir al ta'dud - kemajmukan. Pluralisme itu pula adalah bagaimana untuk menangani pluraliti - how to manage plurality. Ini bukan samasekali pluralisme John Hick (yang ingin cuba menyamakan semua agama). Profesor Emeritus Osman Bakar bertegas mengatakan bahawa tidak ada salahnya pada perkataan pluralisme asalkan maknanya jelas - "how we view and manage human plurality and diversity is what gives rise to pluralism". "There is such a  thing as Islamic pluralism and Islamic pluralism differs in many aspects from certain ideas or concepts of pluralism." Oleh itu, beradablah kita dengan tokoh seperti Profesor Osman Bakar yang berilmu dan komitted bertungkus lumus di dalam dunia keintelektualan hingga diiktiraf sebagai ilmuan antarabangsa.

Kita manfaatkan sejarah dialog di antara agama di rantau ini dan dunia Melayu mempunyai pengalaman yang kaya dalam suasana yang harmonis. Tetapi kenapa akhir-akhir ini seolah-olah ada yang terancam. Oleh itu realiti alam Melayu mesti diambil kira. Fiqh Indonesia, fiqh Malaysia harus dianggap sebagai sumbangan besar kepada umat Islam - semuanya harus dianggap khazanah pemikiran dunia Islam. Candi-candi Bodur-Bodur tidak diruntuhkan di Indonesia malah menjadi pusat ziarah pelancongan.

Oleh itu adakah kita berani untuk memajukan konsep bangsa Malaysia yang disebut sebagai suatu sasaran Wawasan 2020. Kitalah yang sendiri mengetahui realiti Malaysia. Setelah 60 tahun, Rustam A Sami mengatakan... Malaysia is a state without nation or a state with several competing nations. Seperti luahan puisi Usman Awang kerana sudah sekian lama belum tercapai idealisme bangsa itu. Bukanlah kita sahaja yang menginginkan gagasan ini malah ramai lagi.

Apabila kita gagaskan konsep bangsa Malaysia, kita tidak boleh lari daripada prinsip Islam dan kerana itu kita utarakan konsep sahifa Madinah - ummah siyasiyah, ummah wataniyyah bersama ummah dinniyah. Non muslim adalah ummah ma'al muslimin. Dengan acuan kita tersendiri.

Akhirnya, matlamatnya adalah supaya terlaksana al muwatanah al kamilah - full citizenship for all citizens. Sekiranya kita selaku yang digelar sebagai Islamis tidak berani memberi komitmen kepada kewarganegaraan penuh untuk semua, mereka tidak akan mahu lagi mendengar kita kerana idea golongan sekularis akan lebih menyakinkan. Tidak ada sesiapa yang rela dianggap warganegara kelas dua. Lahum ma lana wa `alayhim wa `alayhim ma `alayna- "mereka berhak tentang apa yang mereka dapat dan mereka menanggung apa yang kita tanggung".



Catatan kasar Tamrin WAP Mawaddah Resort Batu Kurau


No comments:

Post a Comment