Sunday, December 21, 2014

Dr Siddiq Fadil – Peranan Murabbi dalam konteks Dakwah


Merenung kepada peri pentingnya peranan murabbi dalam konteks gerakan dakwah, kita cuba mengupasnya. Istilah ini agak baru dipakai oleh gerakan kerana sebelum ini kita guna istilah naqib.

Proses tarbiyyah itu sejak awal lagi diberi penekanan luar biasa oleh gerakan kita. Ini kerana sebelum itu sistem pendidikan kita dirosakkan oleh sistem sekular dan ini memerlukan pendidikan semula – re-educating. Keperluan mendidik diri kita semula kerana selama menjalani proses pendidikan diri yang ada sejak awal hingga akhir masih “ada yang tak kena”. Pendidikan agama pun tidak terkecuali kerana “ada yang tak kena”. Ada yang tidak ditampung dalam sistem itu, maka kita menggubal sistem dan silibus to reeducate ourselves.

Pertama sekali kita memulakan usrah – “kumpulan belajar bersama”. Tiada sheikh kepada kumpulan begini tetapi ada naqib. Ketua kumpulan belajar bersama ini digelar naqib. Ini lebih mudah, lebih mesra dan telah dimasyarakatkan. Tradisi gerakan meletakkan usrah itu sangat penting, tarbiyyah amat diutamakan. Sehingga ada di kalangan ahli-ahli yang kegiatannya hanyalah tarbiyyah dan tiada yang lain. Sedangkan tarbiyyah ibarat workshop atau bengkel untuk pembaikan dan penambahbaikan supaya keluar dan berprestasi. Dinamika usrah tidak harus semata-mata berusrah tanpa ada projek dakwah.

Dalam tradisi Islam dahulu tidak perlu kepada usrah, naqib dan sebagainya kerana telah cukup dengan belajar daripada sheikh-sheikh. Itulah cara para al Immah – Imam Shafie dan Imam al Ghazali umpamanya. Ketika itu orang mempunyai kesedaran tentang peranan sheikh dalam sistem pendidikan kerana kewibawaan terletak kepada para sheikhnya. Sheikh berperanan sentral dalam sistem pendidikan sehingga kewibawaan seseorang diukur daripada siapa sheikhnya – “kamu ambil ilmu ini daripada siapa”.

Sekarang langsung tidak ditanya hal ini dan telah berubah kerana sudah tidak peduli kepada gurunya. Apa yang dipentingkan hanyalah tempat mana dia graduan. Peranan guru diperlekehkan dan hanya universiti yang disebut. Isu tidak mempedulikan siapa pendidik hingga mereka yang berpemikiran berkecamuk pun  boleh menjadi guru. Kecemerlangan seseorang tidak lagi dirujuk kepada siapa gurunya dan guru hanya dianggap sebagai fasilitator. Seolah-olah teknologi pendidikan telah mengambil alih peranan pendidik. Ini adalah suatu yang absurd – peranan ini tidak mungkin diambil alih walau secanggih mana pun.

Contoh murabbi terunggul dan teragong ialah Rasulullah s.a.w. Al rasul al murabbi wajib diberi sorotan dengan penuh perhatian. Bagaimana baginda berjaya mencipta satu generasi al sahabah r.a.a. Perlu diteliti ciri-ciri, teknik-teknik dan pendekatan kemurabbiyan Rasulullah s.a.w. Dimensi al rasul al murabbi perlu dilihat dan dijadikan sumber renungan kita.

Kejayaannya sebagai  murabbi ada suatu yang luar biasa dan dianggap para ulama’ sebagai mukjizat – al ‘ijaz al tarbawiy. Para ulama’menganggap andainya Rasulullah s.a.w. tidak dikurniakan mukjizat lain maka keunggulan para sahabah yang dididiknya itu sudah cukup bagi bukti kenabiannya. Baginda bukan sekadar berjaya mendidik al sahabah, malah mendidik para murabbi dan orang yang tidak pernah melihat pun “mukjizat kependidikan” sepanjang zaman hingga ke hari ini. Para sahabah bukan cuma murid-murid, bukan hanya pengikut, bahkan dididik Rasulullah s.a.w. sebagai murabbi-murabbi sepanjang zaman. Malah kita hari ini pun mempelajari daripada fatawa para sahabah dan inspirasi keunggulan peribadi mereka.

Contohnya, riwayat kisah Umar al Khattab akan membuatkan kita terinspirasi. Dia selaku murabbi tidak perlu hadir bersama di kalangan kita – walaupun dengan jarak ruang dan masa – space and time distant – namun kita masih terinspirasi dengan peribadi dan kisah Umar al Khattab. Membaca riwayat para sahabah Rasulullah s.a.w. memberikan kita suntikan semangat yang bermakna.

Sebagaimana generasi silam memberikan perhatian, marilah kita membina tradisi baru walaupun naqib bukanlah sheikh tetapi naqib yang murabbi atau murabbi yang naqib. Tugas dan cabarannya berat untuk membina dan mempertingkat naqib. Peranannya bukanlah semata-mata memberi ilmu tetapi memimpin dan mempunyai tanggungjawab tarbawiy.

Kitab turath Burhan al Din al Zarnuji  Ta`lim al-Muta`allim fi Tariq al-Ta`allum – adalah warisan tradisi pendidikan Islam. Sekarang kitab ini dilupai dan diabaikan. Dahulu, kitab ini menjadi standard di madrasah, pondok dan pesantren. Barangkali kita harus berhimpun nanti untuk membedah buku ini yang mempunyai kekuatannya tersendiri yang tidak ada sekarang.

Kitab ini telah diterjemahkan di Barat – Instruction of the Student: The Method of Learning – memberi petunjuk bagaimana memilih guru bukan sebagai penyampai ilmu sahaja tetapi guru sebagai murabbi – pendidik ilmu dan pembentukan diri – islah al nafs. Pelajar menyerah diri kepada guru untuk memperbaiki dan menyempurnakan dirinya. Sekadar belajar dari Google bukanlah pendidikan. Saranannya supaya dipilih guru yang paling berilmu, paling wara’ dan paling senior sebagaimana Imam Abu Hanifah memilih Hammad bin AbuSulayman. Tidak dipilih dengan rambang tetapi dengan teliti, dengan tafakur dan renungan. Abu Hanifah berkata dia memilih yang berwibawa, penyantun dan penyabar.

Pemilihan seteliti itu adalah martabat wibawanya dan ulama’ silam sangat terkait dengan gurunya. Pengenalannya adalah kepada siapa gurunya dahulu. Imam Shafie memberi penghormatan kepada gurunya Imam Malik yang disebutnya sebagai ustadhi dalam kitab-kitabnya. Apa yang diperolehi daripada guru bukan sekadar ilmu sahaja tetapi watak peribadi yang menyeluruh. Tarbiyyah melalui keteladanan guru itulah yang telah berlaku dalam sejarah Islam. Guru membawa erti ilmu dan teladan.

Walaupun berat, kita tidak mempunyai pilihan lain, dengan azam sekuat dan seseriousnya. Kalau cuma sekadar ilmu pengetahuan yang kita harapkan, barangkali burung gagak pun boleh menjadi guru – sepertimana kisah Qabil belajar daripada aksi gagak bagaimana menguruskan mayat Habil. Dengan ertikata lain, kalau hanya ilmu boleh belajar daripada sesiapa sahaja. Tetapi konsep tarbiyyah bukan hanya ilmu bahkan keteladanan dan proses pembentukan keinsanan – to be a better human being.

Pendidikan itu adalah pengutuhan dan penyempurnaan insan. Tugas seorang murabbi bukan terbatas kepada penyampai ilmu tetapi membaiki diri insan – islah al nafs. Imam Hasan al Banna menyenaraikan 10 ciri-ciri murabbi:-

Qawiyy al jism – kesihatan tubuh badan
Matin al khuluq – kewibawaan moral, berakhlak tinggi
Muthaqqaf al fikr – keterbukaan minda, membudayakan ilmu
Qadir ‘ala al kasb – kemampuan menyara hidup, keusahawanan – enterprising spirit
Salim al aqidah – kejituan aqidah, kemurnian iman
Sahih al ‘ibadah – ketepatan beribadah, ibadat yang betul
Mujahid li nafsih – keupayaan mengawal nafsu, bermujahadah
Harithan ‘ala waqtih – peka terhadap masa, sensitif kepada waktu, tidak meleret tanpa kesedaran
Munazzam di shuúnih – tertib segala urusan, pengurusan tidak berselerak
Nafi ‘an li ghayrih – berbakti, bermanfaat kepada orang lain, berkhidmat kepada masyarakat






Catatan kasar persidangan meja bulat MAKTAB WAP KDH







No comments:

Post a Comment