Sunday, February 15, 2015

Sahabat Kita


Keadilan dan Mematuhi Syara’

Apa yang kita ketengahkan adalah isu pemenjaraan sahabat kita bukan tentang pensabitan kesalahannya. Kita mengenali sahabat kita sejak awal 60-an. Selama itulah dia telah ditekan ke penjara atas idealisme perjuangannya sehinggalah sekarang. Sosok sahabat kita sebenarnya telah lama cuba dipenjarakan oleh kezaliman sejak zaman perjuangannya di kampus lagi. Jadi setiap percubaan memenjarakannya adalah rantaian episod perjuangan sejak awal hinggalah sekarang. Cuma sekarang dia tidak lagi segagah dahulu. Sakit belakangnya sudah mula terasa. Sebab itu keluarganya memohon layanan sebagai seorang saingan politik bukan seperti seorang penjenayah tetapi tidak diendahkan.

Ramai kenalan-kenalannya telah mengkisahkan hubungan mereka dengannya sebagai sahabat, pengikut-pemimpin, murid-guru, staf-majikan – mereka menyatakan bahawa sahabat kita dikenali konsisten sebagai pejuang kebenaran dan keadilan sejak 1960-70an. Dia dikenali sebagai pemimpin yang diterima oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama, faktur pemersatu politik baru dengan prinsip dan idealisme, mempunyai pegangan prinsip moral dan akhlak yang tinggj, menjadi ikon dan harapan masa depan generasi muda, disegani, dihormati dan ditakuti oleh kawan dan lawan. Semoga penyaksian mereka sebagai murid, sahabat, pengikut dan staf dapat membantu meredakan tohmah dan fitnah yang melanda.

Jika ditanya mengapa kita tidak menerima hukumannya, kita katakan tidak mungkin atas kredibilitinya untuk sanggup melakukan nya, sedang kita sendiri yang jauh lebih rendah nilai perjuangan pun tidak sanggup melakukan perbuatan tersebut. Rakan karib seperjuangan mengulangi dengan tegas sebagai seorang Muslim, “Usah ditanya bila, dimana dan bagaimana dia melakukannya selagi tidak ada dakwaan secara syarie. Jika ditanya kepada saya, adakah saya percaya sahabat kita melakukannya? Jawapannya adalah tidak, kerana dia jauh lebih baik daripada saya..jauh lebih baik...sangat baik kerana kami telah lama bersahabat sehingga kini.”

Tidak ada keadilan undang-undang pada tuduhan berkenaan melainkan dengan kaedah hukum syarak, mendatangkan saksi yang dipercayai. Selagi tidak dibuktikan bersalah secara syarak, maka dia tidak bersalah. Mereka telah sanggup mendatangkan saksi-saksi palsu, maka layaklah bagi mereka gelaran fasik dan kesaksian mereka tidak diterima selama-lamanya. Prinsip perundangan adalah beban pembuktian kepada penuduh, bukan kepada yang dituduh.

Sesungguhnya ini adalah konspirasi golongan pengecut. Kebaculan dan kepengecutan mereka adalah kerana mereka tidak mampu menyaingi sahabat kita secara berdepan.

Inilah golongan al sufahaa’ السفهاء (orang-orang bodoh). Yang mereka pestakan itu ialah kebodohan mereka sendiri, meraikan keruntuhan sistem kehakiman. Sahabat kita berdepan dengan golongan al sufahaa’ yang berpesta dengan kehancuran semua institusi dan prinsip keadilan - iaitu prinsip perjuangan teras para rasul a.s.

Ketahuilah bahawa teras ajaran para Rasul a.s. adalah keadilan. Seperti firman Allah Surah Al-Hadid, 25:

"Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa"


Ada golongan السفهاء yang memutlakkan keputusan mahkamah. Padahal keputusan yang mutlak hanyalah mahkamah Allah s.w.t. di mahsyar nanti. Nabi s.a.w. sendiri tidak memutlakkan penghakimannya kerana kebimbangan tersilap dan masuk neraka.


Antaranya Nabi s.a.w. bersabda (mahfumnya) :

Aku mungkin sahaja tersilap dalam menentukan keputusan mengadili di antara kamu. Kerana mungkin yang seorang lebih bijak berkata-kata sehingga aku memberikan dia yang bukan haknya. Tetapi ingatlah sesiapa yang mengambil yang bukan haknya, maka kelak baginya azab yang pedih dihari pembalasan..."

Kepetahan hujah boleh menghalang keadilan seseorang dan inilah  peringatan Rasulullah SAW ketika baginda diminta untuk menghakimi pertikaian umatnya. Rasulullah s.a.w. mengingatkan dengan tegas bahawa, "Aku manusia biasa seperti kalian (innama ana basyar..).” Baginda juga mengingatkan bahawa akan ada kelak satu pihak yang lebih petah berbicara daripada pihak satu yang lain, dan jika kepetahan itu membuatkan hak seorang lagi dirampas secara tidak adil dan dizalimi, baginda telah mengingatkan bahawa orang itu telah mendapat qit'ah minan naar (sepotong api neraka).

Apa mesej baginda sebenarnya? Bahawa baginda tidak pernah memutlaqkan penghakiman yang dibuat dan mengingatkan dengan tegas bahawa baginda juga seorang manusia dan isu menzalimi orang lain ini memang neraka tempatnya.
Siapalah hakim mahkamah dunia berbanding Rasulullah saw?

Pada kes pertikaian seorang Yahudi vs Saidina Ali, oleh kerana tak dapat dibuktikan dengan jelas, maka perisai tersebut diputuskan menjadi milik Yahudi. Hukumannya bukan disebabkan saksi yang “credible”.

Dalam sejarah telah pernah berlaku kesalahan dalam menjatuhkan hukuman. Seorang Amir dihukum berpuasa berturut-turut. Padahal sepatutnya hukuman mengikut urutan pertama membebaskan hamba, kemudian bagi makan 60 orang miskin dan akhirnya barulah berpuasa dua bulan berturut-turut. Keputusan hukum ini dikritik dan disanggah oleh ramai ulama’ selepas itu.

Kebebasan sebelum Syariah   (الحُرِّية قبل الشريعة ) menunjukkan kebebasan adalah sangat penting dalam Islam. Dalam Islam kebebasan adalah segala-galanya; adalah berdosa besar kalau disekat kebebasan. Solat pun mesti di dalam keadaan bebas.


Siapa yang kalah dalam episod ini?

Dalam peristiwa Al-Ifk, adakah Sayidatina Aisyah r.a. yang kalah?

Turun ayat Quran, surah An-Nur, Ayat 11:
"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)"

Surah Al Nur mengingatkan tentang peristiwa Aishah RA yang difitnah dalam peristiwa fitnah paling dahsyat dalam sejarah Islam.

Barangkali kita akan bertanya siapakah yang menang dalam kes ini? Apakah Aisyah r.a. merasa kalah apabila difitnah. Adakah keluarga Rasulullah SAW menjadi kalah apabila menjadi sasaran fitnah? Tidak, Aisyah tidak pernah kalah malah seluruh keluarga khususnya Aisyah r.a. telah menuai pahala melalui peristiwa ini.

Ulama membahaskan apakah faedahnya bagi keluarga Rasulullah apabila lebih sebulan Aisyah r.a. terpaksa berhadapan dengan fitnah oleh golongan munafiq. Kesimpulannya, Aisyah r.a. sedang menanam benih-benih pahala dan ganjaran daripada Allah s.w.t. Itulah selayaknya kemuliaan dan darjat Sayidatina Áísyah r.a. di sisi Allah.

Para Ulama’ mengatakan bahawa di antara kebaikan peristiwa ini adalah:-

i) Sayidatina Aisyah r.a. sedang dan telah menuai pahala
ii) Telah terdedahnya belang mereka sendiri (membongkar muslihat munafiqin dan para konspirator) kepada seluruh dunia

Kisah ini juga mengajak kita sebagai mukmin untuk terus bersangka baik dengan seorang mukmin yang lain sebagaimana panduan Surah Al Nur. Dalam Surah tersebut kita sudah diajar untuk terus bersangka baik dengan bersikap " Zannal mu'minin wal mu'minaat bianfusihim khayra" (orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri) dan apabila sampai berita bohong itu hendaklah kita mengatakan" hadha ifkun mubin" (ini adalah tuduhan dusta yang nyata).

Semasa peristiwa tersebut, seluruh Madinah telah bergossip dan mengata tentang peribadi Aishah r.a. Ada suatu kisah perbualan suami isteri yang masyhur dan memperlihatkan bagaimana mereka menyikapi peristiwa ini. Ketika suaminya pulang ke rumah, suami telah bertanya kepada isterinya:-

S: Adakah kamu percaya Safwan Bin Mu'attal melakukannya?
I: Tidak, aku tidak percaya kerana Safwan lebih baik daripada kamu!

S: Bagaimana pula Aisyah, adakah kamu percaya dia melakukannya?
I: Tidak, kerana aku yakin Aisyah lebih baik daripada aku.

Oleh itu kita mesti bersangka baik bahawa sahabat kita tidak melakukan perbuatan yang keji itu. Itulah yang diajarkan kepada kita seperti diterangkan di dalam Surah An-Nur.

Mudah-mudahan sahabat kita sedang menuai pahala.


Jauhi Qazaf

Ini pula amaran bagi mereka yang terikut-ikut sama menuduh. Orang lain yang turut menuduh, maka mereka perlu membawa 4 orang saksi. Jika tidak, mereka terlibat dalam jenayah qazaf. Mereka ini pasti - confirmed  fasiq menurut Al-Quran. Kesaksian mereka tidak boleh diterima buat selama-lamanya.

Mereka yang suka benda buruk tersebar sepertimana digambarkan pada Surah An-Nur ayat 19:-

"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)"

Al Quran mengingatkan lagi tentang masyarakat yang turut meragui dan terus terusan percaya kepada fitnah itu kerana menyangka bahawa perkara itu kecil, padahal Allah s.w.t. telah beri amaran bahawa perkara itu adalah sangat besar dosanya. Sikap yang sepatutnya apabila mendengar berita sebegitu, segeralah berkata "tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini, Maha suci Engkau (Ya Allah) ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan" (Al Nur : 15)

Ambillah iktibar daripada Surah Al Nur dan bagaimana Allah s.w.t. mengingatkan kita sikap apabila berdepan dengan berita bohong. Allah s.w.t. mengingatkan supaya jangan kita sangka berita buruk itu buruk untuk kita, tetapi Allah s.w.t. telah berjanji, "bal hua kahyrul lakum" (bahkan ia baik untuk kamu).

Allah s.w.t. juga mengajar kita apabila mendengar berita bohong hendaklah kita mengucapkan " Ma yakunu lanaan natakallam bihaza, subhanaka haza buhtanun 'azim" (Tidak pantas bagi kita membicarakannya, Maha Suci Allah, ini adalah kebohongan yang besar).


Sumpah

Kenapa sahabat kita tidak bersumpah. Di dalam surah An-Nur, tidak disebut pun keperluan bersumpah. Sayidatina Aisyah r.a. juga tidak bersumpah dengan al-Quran pada peristiwa "Hadith Al-Ifk".  Ini menunjukkan di dalam sejarah Islam, pada peristiwa ifk, peristiwa fitnah terbesar di alami keluarga Nabi s.a.w., apabila Sayidatina Aishah r.a. difitnah membuat hubungan dengan Safwan r.a., dia tidak pernah bersumpah laknat.

Sahabat kita pernah bertanya kepada mufti samada perlu bersumpah atau tidak. Mufti menasihatkannya semasa itu bahawa sahabat kita adalah seorang pemimpin dan dia tidak sepatutnya mengikut orang jahil. Di dalam kes jenayah (melainkan kes tuduhan zina antara suami isteri...di dalam kes begini pun sumpah untuk fasakh dan bukannya utk menjatuhkan hukuman), sumpah bukanlah cara pembuktian yang diterima syarak. Begitulah pandangan ulama’ yang dihormati.


Apa pilihan kita?

Apa saja pilihan yang ada berusahalah. Jika pengampunan pemerintah sekalipun, boleh diusahakan dengan syarat tidak menjejaskan maruahnya kerana dia bukan orang yang bersalah.

Kita buatlah apa saja yang boleh membahagiakan sahabat kita kerana dia sudah lama menderita.

Perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran harus diteruskan, pencerahan dan pencerahan umat digiatkan agar  rakyat lebih faham.


Takdir dan Tangisan

Ada golongan yang khianati amanat al da’wah dan mereka yang berpemikiran serong menyeru dengan seolah-olah meraikan supaya diterima saja hukuman sebagai takdir keburukan. Apakah mereka semuanya telah menganut faham jabbariyah? Bukankan kita bergerak daripada qadr Allah kepada qadr Allah seperti disantuni oleh Úmar al Khattab r.a. sewaktu menangani wabak di Sham.

Ambillah iktibar kisah Nabi Yusuf a.s. memilih penjara daripada berada bebas di luar walaupun di tuduh dan di dakwa secara hina demi menjaga keimanan dan kehormatannya. Bacaannya adalah bukan kerana Tuhan menghinanya maka dihumban ke penjara kerana jika ini telahannya, sesungguhnya ini adalah bacaan yang dangkal.

Kita marah pun kerana menentang kezaliman dan inginkan keadilan. Kita sedih pun bukan tanda kecewa tetapi sebahagian rahmah kerana tangisan untuk sahabat adalah doa. Mesej bertulis seorang ‘alim yang juga sahabat karibnya kepada sahabat kita yang berada dalam penjara pada tahun-tahun terdahulu:

"Jangan dikesali qadr (takdir) Ilahi. Tangisan sahabatmu adalah doa."


Sekali lagi kita amati pesanan pimpinan bahawa dalam usia sahabat kita yang lanjut dan terpenjara, buatlah apa saja yang boleh dilakukan oleh para sahabat supaya membahagiakannya dalam apa cara sekalipun. 

Semoga Allah s.w.t. memberikan petunjuk dan pertolongannya.







No comments:

Post a Comment