Thursday, April 16, 2015

MOHAMMAD KAMARUZZAMAN: KEMBALI KE PANGKUAN ALLAH SEBAGAI SHAHEED



Mohammad Kamaruzzaman, penolong setiausaha agong kanan parti pembangkang Jamaat-e-Islami Bangladesh, telah menjalani hukuman gantung di Dhaka Central Jail. Hukuman mati itu dijalankan pada jam 10.30 malam April 11 2015.

Kamaruzzaman, yang hanya baru berusia remaja pada tahun 1971, telah dijatuhkan hukuman mati setelah didakwa atas kesalahan jenayah perang semasa berlaku Perang Pembebasan Bangladesh 1971. Kamaruzzaman menafikan semua pertuduhan. Keluarganya dan para peguamnya menegaskan bahawa sewaktu perang tersebut berlaku dan sesudahnya, Kamaruzzaman tiada dan tidak pernah disabitkan dengan sebarang jenayah perang samada disemak pada kes-kes perbicaraan atau perundangan ataupun tercatat di sebarang lembaran sejarah. Mereka mengatakan bahawa tuduhan-tuduhan ke atasnya hanyalah direkacipta demi niat dan dorongan politik jahat.  

Keluarga Kamaruzzaman telah menziarahinya buat kali terakhir pada awal hari berkenaan. Sebaik saja lawatan perpisahan itu tamat, anak sulungnya Hasan Iqbal, menemui para wartawan. Apabila ditanya samada Kamaruzzaman akan memohon pengampunan presiden, Hasan Iqbal menjawab, ‘Presiden tidak mempunyai kuasa untuk mengambil atau memberikan nyawa kepada sesiapa pun. Ini terpulang kepada Allah yang Maha Kuasa. Tidak timbul soal memohon keampunan kepada orang kufur dan penipu.’ Hasan menambah lagi bahawa kedua-dua orang magistret serta menteri dalam negeri adalah pembohong belaka. Hasan menyanggah ura-ura itu dengan menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan dibuat bersama  Kamaruzzaman di penjara dan ini semua hanyalah lakonan drama tentang pengampunan semata-mata untuk mengambil kesempatan politik jelek.

Badan-badan antarabangsa membantah dan mengkritik perbicaraan Kamaruzzaman disebabkan kepincangan undang-undang dan proses ketidakadilan yang ketara. Dalam tempoh menunggu pelaksanaan hukuman mati, badan-badan antarabangsa dan tokoh-tokoh ternama telah meminta supaya dihentikan tindakan itu, kerana pelaksanaan hukuman mati adalah sesuatu yang sudah tiada jalan kembali. Mereka termasuklah Human Rights Watch, Amnesty International, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Lord Carlisle dan Lord Avebury daripada British House of Lords, Bar Human Rights Committee of England and Wales, Commonwealth Lawyers Association dan kerajaan US.

Setelah hukuman mati dijalankan, penguasa kanan polis, Forman Ali, daripada Dhaka Central Jail mengeluarkan kenyataan mengesahkan hukuman gantung ke atas Mohammad Kamaruzzaman dan jenazahnya bakal dikebumikan di Sherpur. Polis mengawal jenazah sepanjang perjalanan atas dasar keselamatan menurutnya.

Mayat Kamaruzzaman dibawa dengan sebuah ambulan bersama kawalan polis dari Dhaka Central Jail pada tengah malam untuk disemadikan di kampung halamannya Sherpur. Pengkebumiannya diadakan di laman tengah sebuah Rumah Anak Yatim di Mudipara, mukim Bajitkhali Union of Sherpur Sadar, rumah anak yatim yang telah didirikan oleh al marhum Mohammad Kamaruzzaman.  

Hukuman gantung ini menandakan “pembunuhan politik” kedua yang dikendalikan oleh apa yang dinamakan sebagai International Crimes Tribunal yang kian tercemar kewibawaannya. Pada 12 Disember2013 Abdul Quader Mollah, seorang lagi pemimpin Jamaat-e-Islami, telah menjalani hukum bunuh. Pelbagai badan antarabangsa juga meminta hukumannya dihentikan namun tidak dilayani kerajaan Bangladesh. Parti Jamaat e Islami mengisystiharkan hukuman ini sebagai “pembunuhan politik”.

Pihak berkuasa menyerahkan mayat Kamaruzzaman kepada keluarganya pada jam 4:30 petang. Abang sulungnya menerima jenazahnya bagi pihak keluarga.  

Solat janazahnya telah diimamkan anak saudaranya Maulana Abdul Hamid. Jenazahnya telah dikunjungi oleh kerabat kaum keluarga dan ramai orang dari segenap lapisan masyarakat sebagai tanda penghormatan terakhir, walaupun dikatakan pihak berkuasa kerajaan dan pentadbiran polis cuba melakukan angkara intimidasi dan mengadakan sekatan-sekatan rambang.

Kamaruzzaman telah menolak untuk memohon pengampunan presiden.

Kamaruzzaman telah berjalan ke arah tali gantung dengan tenang sambil membaca ayat-ayat al Quran. Kamaruzzaman bersabar, tabah dan berani berada di hadapan tali gantung. Tidak ada sebarang ketakutan dipamerkannya sewaktu menghampiri tali gantung. Dia tidak berasa resah gelisah. Sumber dalam penjara memaklumkan hal ini.

Sumber itu juga memberitahu bahawa Kamaruzzaman mendirikan solat Isha setelah mandi dan diikuti dengan solat nafal - sunat. Dia tekun membaca Quran sambil duduk di atas sejadah (jainamaz) sehinggalah detik dia dibawa ke tempat hukuman gantung.

Persediaan tempat huuman gantung dilakukan dekat dengan sel kurungannya. Pegawai-pegawai terlibat dengan hukuman itu mengambil tempat mereka masing-masing di sebelah tempat gantung.  Pada jam 9:15 malam pegawai-pegawai perubatan memeriksa kesihatan Kamaruzzaman di dalam sel. Pada jam 9:35 malam sepasukan 12 orang anggota komando mengambil tempat mereka di dalam sel Kamaruzzaman. Kemudian tiba acara tawba (pengucapan taubat). Kamaruzzaman berkata “Saya akan bertaubat sendiri.” Pegawai penguasa penjara berkeras mahu supaya Imam yang hadir mengendalikan lafaz tawba menurut peraturan.

Selepas ucapan tawba, Kamaruzzaman diiringi ke tempat hukum gantung pada jam 10:20 malam. Kamaruzzaman lantas berkata, “ Saya tidak bersalah. Saya dihukum gantung dengan tidak adil.” Dia mula berdu’a dan membaca ayat-ayat al Quran. Dalam keadaan dia berdu’a dan membaca ayat suci dia berjalan ke arah tempat gantung dengan tenang.

Di tempat gantung, pegawai penguasa penjara melepaskan sapu tangannya ke bawah sebagai isyarat kepada algojo si tukang bunuh. Hukuman gantung dilaksanakan.  

Kamaruzzaman telah shaheed dan kembali kepada Tuhannya Rabbul Jalil dengan dibunuh terkorban kerana kepimpinannya bersama jamaah gerakan Islam, atas prinsip perjuangannya, kecekalannya dan istiqamahnya di atas jalan dan suruhan Allah swt.  


Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang terbunuh di jalan Allah, (bahawa mereka) mati. Sebenarnya (mereka) hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.
Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali).
Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk
 (surah al baqarah 154-157)



(Dipadankan, disunting dan diterjemah bersumberkan emel melalui Dr Ahmad Totonji)



Nota Akhir:-


Jamaat e Islami  Bangladesh

Jamaat e Islami adalah pertubuhan Islam yang mencakupi pergerakan nasional, konvensional, agama, politik, kemasyarakatan dan kebudayaan.  Jamaat e Islami mengajak dan memperkasakan rakyat Bangladesh kepada jalan sunnah Rasulullah (SAW) melalui kesungguhan berdakwah dan organisasi  terbaik. Sebagai sebuah parti politik yang sah dan tulen, Jamaat komited kepada demokrasi dan politik akomodatif berpegang dan berpandukan prinsip-prinsip perjuangannya.


Program Empat Perkara  Jamaat:

Rancangan komprehensif bagi ilmu pengetahuan dan kefahaman pengajian Islam melalui dakwah: Pencerahan umat agar berpegang kepada ilmu pengetahuan sebenar al Quran and Sunnah melalui hujah yang meyakinkan dan menyedarkan serta membangkitkan sahsiah dan keberanian mereka supaya mengikuti ajaran Islam serta mengamalkannya.

Pertubuhan dan pergerakan yang utuh berorganisasi bagi pembinaan watak dan peribadi.  Melalui giat usaha, rencana dan latihan: Jamaat membangunkan dan memperkasakan rakyat agar mendirikan sebuah masyarakat Islam.

Program bernas dan realistik untuk kebajikan rakyat dan reformasi sosial. Melalui giat usaha reformasi sosial dan khidmat kepada masyarakat: Jamaat menyentuh hati rakyat dan mewakafkan diri agar masyarakat berpegang kepada nilai-nilai Islam.

Pergerakan politik dan demokratik yang sah bagi menubuhkan negara berkebajikan berpusatkan pembangunan insan dan urustadbir baik. Dengan giat usaha reformasi kerajaan: Jamaat berjuang secara demokratik dan secara telus bagi memajukan kepimpinan bertaqwa, amanah dan cekap di segenap aspek sistem pemerintahan supaya tertegak pentadbiran yang berintegriti dan bermaruah.

Jamaat bekerja untuk keamanan dan menolak keganasan.


No comments:

Post a Comment