Sunday, August 16, 2015

DR SIDDIQ FADZIL: FIQH MALAYSIA





NUNJI’15

FIQH AL-WAQI`:  TEKS DAN KONTEKS
DALAM PEMBINAAN  FIQH MALAYSIA

Siddiq Fadzil


Mukadimah

Minat penulis untuk merenung idea fiqh Malaysia (Melayu) diilhamkan oleh sebuah buku berjudul  Fiqh Indonesia – Penggagas dan Gagasannya oleh Nourouzzaman Shiddiqi yang terbit pada tahun 1977.  Buku tersebut mengungkapkan gagasan Muhammad Hasbi ash-Shiddieqy tentang fiqh Indonesia yang didefinisikannya sebagai  “fiqh yang ditetapkan sesuai dengan keperibadian Indonesia,  sesuai dengan tabiat dan watak Indonesia.”    Beliau tidak senang dengan budaya bertaqlid kepada  fiqh Hijazi, fiqh Misri atau fiqh Hindi kerana “lain lubuk lain ikannya, lain padang lain belalangnya.”  (Shiddiqi, N. 1977:230-231).


Hukum dan Perubahan

Kata-kata dari khazanah  tradisional  wisdom kepujanggaan bangsa yang dipetik oleh ash-Shiddieqy  di atas membayangkan  kesedaran Melayu  tentang  al-waqi` atau realiti yang berubah  dan berbeza  mengikut tempat.   Perubahan dan perbezaan waqi` inilah yang menghasilkan perbezaan  fatwa dan seterusnya perbezaan fiqh.  Justeru  al-waqi`  merupakan salah satu komponen  penting dalam pembentukan fiqh (dialog tiga pihak:   nass-waqi`-mujtahid).    Nass sebagai asas dan premis dasar  perlu difahami mengikut kaedah dan cara pendekatan yang benar,  termasuk al-tafsir al-maslahiy dan seterusnya al-tatbiq al-maslahiy.      Syari`at memang berciri waqi`iy  -  objektif, realistik dan dinamik:  salihatun li al-tatbiq fi kulli zaman wa makan (sesuai dilaksanakan pada setiap zaman dan di setiap tempat)  dengan pengertian  pada setiap zaman dan setiap tempat  ada hukumnya sendiri yang sesuai dengan maslahahnya.   Bagaimanapun    salahiyyat al-Islam dapat diaktualisasikan apabila  prinsip taghayyur al-ahkam bi taghayyur al-zaman wa al-makan  (perubahan hukum kerana perubahan masa dan tempat)  dilaksanakan.  

Ramai kalangan ulama  ketika berbicara tentang perubahan dan perbezaan hukum kerana perubahan dan perbezaan masa dan tempat,    merujuk  kata-kata al-Qarafi dalam kitabnya al-furuq,   yang berupa  pesan-pesannya kepada para ahli fiqh  dan fatwa agar sentiasa mengambilkira realiti adat dan budaya lokal yang berbeza-beza dan berubah-rubah, “…jangan  membeku sepanjang hayatmu pada teks  yang tersurat dalam kitab-kitab kamu.   Apabila seseorang dari luar daerahmu datang meminta fatwa,  jangan kau paksakan ke atasnya `uruf negeri kamu,  tetapi tanyakan `uruf negerinya,  lalu fatwakanlah  dengan berasaskannya,  bukan dengan `uruf negerimu  atau dengan apa yang tertulis dalam kitab-kitab kamu.    Inilah yang benar dan jelas,   kerana membeku pada teks petikan (dari sumber-sumber masa lalu) adalah selamanya suatu kesesatan dalam agama,  di samping suatu kejahilan tentang tujuan para ulama Muslimin dan generasi  silam.”  (Al-Qaradawiy, Yusuf, 1997:98).     


Fiqh al-Waqi`

Demikianlah pendekatan  dan orientasi waqi`iy  yang harus diamalkan dengan mewaspadai  batasan-batasannya  agar terhindar dari ketelanjuran seperti yang terjadi kepada dua golongan ekstremis:    pertama,   golongan  yang berpegang dengan harfiyyat al-nass,   iaitu mereka yang memahami nass (wahyu dan turath)  secara harfi,  tanpa mempedulikan  konteks realiti yang dihadapi.      Kegagalan memahami dan menangani  waqi`  termasuk antara masalah besar  yang dialami oleh sebahagian daripada gerakan Islam kontemporari.     Demikian menurut pemerhatian  tokoh-tokoh seperti Dr. Hasan al-Turabiy dan Dr. al-Naggar.  Kedua,  golongan  yang hanya  menumpu pada waqi` sehingga mengenepikan sama sekali nass dan turath yang dianggap sudah tidak relevan lagi.   Segalanya telah berubah termasuk  nilai-nilai.   Aliran inilah yang diusung oleh Dr.Hasan Hanafi dan rakan-rakannya.

Memang sebenarnya fiqh adalah kontekstual.  Kerana itu teks dan konteks,  kedua-duanya perlu sama-sama difahami.  Memahami yang satu, tanpa yang lain tidak akan menghasilkan fiqh yang sebenar. Dalam kaitan inilah timbulnya keperluan mempelajari apa yang disebut  al-nazariyyat al-siyaqiyyah (teori konteks)Istilah  al-siyaq dalam pengertian  konteks  (con-text)   dengan makna teks lain yang beserta dengan sesuatu teks, adalah  bersifat multi-dimensi:   al-siyaq  al-zamaniy, al-makaniy dan al-imkaniy (konteks masa, tempat dan kemampuan).         

Memahami waqi`  dalam konteks masyarakat sekarang bukan suatu yang mudah.  Masyarakat hari ini sudah menjadi sedemikian kompleks dan  canggih sehingga untuk memahaminya diperlukan bantuan para ilmuwan berpengkhususan  dari pelbagai disiplin  -   sejarah, sosiologi, kebudayaan, ekonomi  dan lain-lain lagi.   Zaman sekarang adalah zaman pengkhususan.  Ijtihad tidak lagi dapat dilakukan sendirian,  sebaliknya ia harus dilakukan secara kolektif (jama`iy) dengan melibatkan pakar-pakar  dari pelbagai bidang yang berkaitan.  

Sumbangan  pelbagai disiplin ilmu  kepada pembentukan fiqh al-waqi`  jelas sangat penting kerana  yang dinamakan fiqh al-waqi`   adalah kefahaman yang mendalam  tentang serba-serbi yang menyangkut kehidupan nyata  sesebuah masyarakat   -    tamadunnya, sejarahnya,  kebudayaannya, wataknya, politiknya, ekonominya dan lain-lain sebagainya.    Kegagalan  memahami dan menghayati fiqh al-waqi`  yang sedemikian sifatnya itu  boleh menimbulkan  keadaan haru-biru  seperti yang paparkan oleh Dr.Yusuf al-Qaradawiy,  “Kita telah menyaksikan bagaimana para fuqaha’  kertas (fuqaha’ al-awraq)  berperang besar hanya kerana hal-hal yang sebenarnya boleh ditoleransi, atau kerana isu-isu yang boleh diperselisihkan atau ditangguhkan ke waktu yang lain,   dengan mengabaikan  isu-isu  besar yang menentukan hidup-mati dan untung nasib Islam keseluruhannya.  …”.(Bu`ud, Ahmad, 2006:73).

Ketika mengaplikasikan nass ke atas waqi` tertentu,  antara yang harus diperhitungkan adalah maslahah  dalam pengertian segala yang membawa manfaat dan menghindarkan mafsadah atau mudarat.   Maslahah adalah kata kunci dalam fiqh dan syari`at.  Justeru, ia merupakan  paksi  maqasid al-shari`ah.   Wacana maslahah dalam fiqh kontemporari banyak merujuk perbahasan Dr. Sa`id Ramadhan al-Butiy dalam kitabnya Dawabit al-Maslahah.   Dalam kitabnya yang terkenal itu al-Butiy  menyenaraikan sejumlah dawabit bagi  al-maslahah al-shar`iyyah:  ia harus tercakup dalam maqasid al-shari`ah,  tidak bertentangan dengan al-Kitab, tidak bertantangan dengan  al-Sunnah,  tidak bertentangan dengan al-qiyas,  dan tidak diatasi oleh maslahah lain yang lebih besar.  (Al-Butiy, M.S.R., 1986).  

Ternyata  mengaplikasikan nass ke atas waqi`  tidak semudah yang disangka  oleh kebanyakan orang.  Ia memerlukan kemahiran khusus,  termasuk ilmu yang disebut fiqh al-tanzil,  iatu ilmu tentang kaedah   pengaplikasian hukum atau nass dalam realiti tertentu (al-waqi`).   Yang harus dipastikan dalam proses pangaplikasian ini ialah terlaksananya maslahah yang menjadi tujuan terakhirnya.  Pendekatan sedemikian itulah yang dinamakan  al-tatbiq al-maslahiy (aplikasi berasaskan maslahah).   Dengan demikian  akan terlaksanalah tahap akhir dalam proses ini iaitu   tahqiq al-manat. 


Isu-isu al-waqi` al-Maliziy

Perubahan realiti paling pesat dan dinamik umumnya berlaku di ranah politik.    Untuk menangani perubahan dan perkembangan  sedemikian itulah  pentingnya fungsi al-siyasah al-shar`iyyah,   disiplin ilmu yang berpaksikan  tahqiq al-maslahah  dalam pelbagai konteks yang berbeza dan berubah.  Demikianlah yang namanya siyasah  dalam pengertian  pengurusan  hal-ehwal  rakyat  dengan cara yang membawa kebaikan kepada mereka (al-qiyam `ala tadbir shu’unihim bima yuslihuha).     Siyasah shar`iyyah seharusnya tumbuh sedinamik perkembangan politik itu sendiri,  kerana ilmu ini memang berintikan  ijtihad  tentang pengurusan hal-ehwal kenegaraan yang sentiasa berkembang dan berubah (al-ijtihad fi tasyir al-shu’un al-mutajaddidat al-mutaghayyirat li al-dawlat al-Islamiyyah).  (Fathiy `Uthman, 1979:26).  Malangnya  bidang ini tidak ditekuni secara yang memadai.   Akibatnya  turath siyasiy  kita agak  terbatas.   Pemikiran politik banyak membeku pada pemikiran  al-Ghazaliy, al-Mawardiy, Abu Ya`la, Abu Yusuf, Ibn Taymiyyah dan lain-lain.  Pemikiran mereka memang relevan untuk zaman masing-masing,   tetapi tidak semestinya demikian untuk zaman sekarang.  Kerana itu sangat beralasan apabila al-Raysuniy  menganjurkan  muraja`ah (penilaian semula)  terhadap kerelevanan turath siyasiy.  Penilaian semula tersebut dianggapnya  tidak hanya wajar,  malah wajib.  (Al-Raysuniy, 2014:13).

Dalam khazanah persuratan Melayu  terdapat karya-karya yang dikategorikan dalam genre  sastera undang-undang, sastera ketatanegaraan dan sastera kitab.  Dalam genre-genre tersebut   dapat ditemukan  karya-karya  fiqh al-siyasah  Melayu seperti  Safinat al-Hukkam (al-Tursani),  Thamarat al-Mahammah  (Raja Ali Haji)  dan lain-lain yang jumlahnya tidak banyak.  Meskipun  karya-karya fiqh al-Siyasah tersebut pada umumnya  banyak bersumberkan  kitab-kitab  turath siyasiy yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh ulama seperti al-Ghazaliy dan al-Mawardiy,    tetapi  terkesan juga adanya penyesuaian dengan realiti daerah Melayu.  Shaykh Jalaluddin al-Tursani  (ulama Aceh abad ke-18)  dalam kitabnya Safinat al-Hukkam fi Takhlis al-Khisam  mempertahankan sahnya pemerintahan para ratu di Aceh  (selama 59 tahun di bawah pemerintahan raja perempuan).  Al-Tursani membolehkan perempuan menjadi raja “kerana darurat”.   Ilmuwan Riau abad  ke-19M, Raja Ali Haji lewat karyanya  Thamarat al-Mahammah  memberikan makna baru kepada istilah raja dengan merujukkannya kepada istilah-istilah  dalam tradisi politik Islam:  khalifah, imam dan sultan.   Dengan demikian kata “raja”  dibersihkannya dari sebarang rujukan kepada konsep devaraja.   Transformasi makna telah menghasilkan perubahan konseptual  kepada  kata (raja) yang menjadi paksi  pemikiran politik Melayu tradisional setelah  dirujukkan kepada  nomenclature  politik Islam.

Perlembagaan negeri Terengganu 1911 (Itqan al-muluk bita`dil al-suluk)  memperlihatkan  eksperimen politik Melayu dalam mengaplikasikan prinsip shura dalam pemerintahan negeri.      Perlembagaan yang mendeklarasikan kerajaan negeri Terengganu sebagai hukumah Islamiyyah Malayuwiyyah  itu  membentuk institusi syuriyah yang dinamakan  Mesyuarat Kerajaan  dengan keanggotaannya terdiri daripada menteri-menteri, pegawai-pegawai tinggi kerajaan,  para ulama dan penghulu.  Mereka semua diberikan status keanggotaan  yang sama (setara jua di antara mereka itu), dan hak kebebasan bersuara sepenuhnya,  termasuk hak bersetuju atau tidak bersetuju dengan pendapat ahli-ahli lain.   Sebagai badan pemutus tertinggi,   cara membuat keputusan ialah dengan kesepakatan atau suara terbanyak. 

Ternyata  perlembagaan tersebut  cuba mengeksperimenkan `amaliyyat al-shura dalam konteks  pemerintahan Melayu-Terengganu.   Antara yang menarik  tentang perlembagaan ini ialah cara penyelesaiannya terhadap masalah  ilzamiyyat al-shura (sama ada keputusan syura mengikat atau tidak)  dengan mengantisipasikan  kemungkinan keputusan  Mesyuarat Kerajaan  tidak mendapat perkenan sultan.   Andainya kes seperti itu terjadi,  Mesyuarat Kerajaan harus bersidang semula untuk menyemak keputusan tersebut.    Sekiranya keadaan tidak berubah  (Mesyuarat tetap dengan keputusannya dan sultan tetap tidak memperkenan),   proses bersidang semula itu harus diulang hingga ke sidang  kali keempat.  Keputusan sidang terakhir itu  menjadi keputusan muktamad meskipun tidak mendapat perkenan sultan. 

Dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, perlembagaan menempati posisi istimewa.    Antara realiti kemalaysiaan  yang harus diperhitungkan dari segi fiqh al-waqi` ialah perlembagaan negara kerana ia dianggap memiliki kedaulatan  dan tidak dapat dipinda kecuali dengan persetujuan  dua pertiga ahli parlimen.    Pada suatu ketika ada pemimpin negara yang  membuat penegasan bahawa berdasarkan perlembagaannya Malaysia adalah sebuah negara sekular.     Pada ketika yang lain,   tanpa meminda perlembagaan yang ada,   seorang tokoh negara yang lain mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam.     Hakikatnya,  perlembagaan hanya menyebut Islam sebagai agama persekutuan,  tanpa menyebut Malaysia sebagai negara sekular atau negara Islam.     Ekoran dari itu ada yang berasa malang kerana  tidak disebut negara Islam,  di samping  ada pula yang berasa mujur kerana tidak disebut negara sekular.   Perlembagaan yang antara malang dan mujur itulah yang disifatkan oleh seorang ahli undang-undang sebagai perlembagaan yang non-committal.  Dalam keadaan sedemikian  tafsiran yang terpakai adalah tafsiran pihak yang lebih kuat.   Menyedari bahawa meminda perlembagaan adalah suatu yang sukar dilakukan, maka dari segi maslahah perjuangan Islam,   sebaiknya kita  tidak usah ikut-ikutan melabel Malaysia sebagai negara sekular,  kerana  kata sekular akan membawa banyak implikasi buruk.     Yang harus dilakukan ialah memanfaatkan segala ruang yang ada semaksumumnya,  di samping berusaha membina kekuatan.                              


Antara keunikan realiti kemalaysiaan ialah  kemajmukan  masyarakatnya.   Hingga ke hari ini mungkin  ada yang masih kalut dengan persoalan tentang status warga bukan-Muslim di negara ini,  dhimmiy atau harbiy.    Pengkategorian  dhimmiy-harbiy dilatari realiti sejarah yang kini sudah berubah.   Realiti baru yang kita hadapi ketika ini adalah al-muwatinun (warganegara), bukan lagi dhimmiy atau harbiy.    Hakikat inilah yang dibicarakan oleh Fahmiy Huwaidiy dalam bukunya   muwatinun la dhimmiyyun.  Dengan kata lain, pengkategorian  dhimmiy-harbiy yang sudah tidak relevan lagi.  Istilah dhimmiy pada hakikatnya bukanlah istilah yang buruk,  tetapi realitinya hari ini  warga bukan-Muslim  tidak dapat menerimanya kerana pada tanggapan mereka  istilah tersebut membawa pengertian warganegara kelas dua.    Mereka tidak pernah berasa sebagai kaum minoriti yang perlu dilindungi,  yang mereka rasakan adalah sebagai warganegara sepenuhnya.  Kerana itu  al-Qaradawiy dan sejumlah tokoh fuqaha’ lain menyarankan agar istilah dhimmiy digugurkan sahaja.  Apakah fiqh Islam masih ada pilihan selain mengiktiraf  status al-muwatanah al-kamilah  yang memang secara sah telah mereka nikmati sekarang?    Jika memang hanya itu pilihan yang ada, maka seterusnya harus ada road map ke arah  hidup bersama  (al-ta`ayush) [“coexistence" or "life in common”] dalam pengertian  sama-sama menikmati hak dan sama-sama memikul tanggungjawab atas prinsip lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna [They (non-Muslims) have the same rights as we Muslims do; they are liable to the same duties as we Muslims are] dengan mengambilkira  realiti sejarah dan budaya negara ini.      

Terkait dengan isu tersebut,   istilah dar al-harb juga harus dikaji semula.  Pembelahan dunia kepada  dar al-Islam-dar al-harb (dan dar al-`ahd)  memang ada justifikasinya pada zamannya.  Memang demikianlah realitinya ketika istilah-istilah tersebut diungkapkan sebagai hasil ijtihad fiqhi pada zaman tersebut.    Tetapi ketika pola hubungan antarabangsa berubah, dan dunia sudah menjadi sebuah desa buana (a global village)  pemakaian istilah dar al-harb dengan segala implikasi hukum-hakamnya tidak lagi membawa maslahah.  Ketika ini pelaksanaan Islam tidak lagi terbatas di negara-negara yang majoriti penduduknya Muslim,  tetapi di mana-mana di seluruh dunia, termasuk di negara-negara yang  penganut Islamnya minoriti.   Justeru,  di negara-negara tersebutlah tumbuhnya fiqh al-aqalliyyah  (fiqh minoriti),   sejenis fiqh kontekstual yang sesuai dengan realiti setempat dan realiti umat.   Melabel  negara-negara Barat  sebagai dar al-harb misalnya,  hanya akan mempertebal imej  “terror” dan “ganas”  Islam dan umatnya.   Justeru,  konsep tersebut  dapat pula  dieksploitasi untuk menjustifikasikan  tindakan-tindakan ganas golongan pelampau  Muslim di Barat.   Sudah waktunya  kembali kepada konsep asal    -     dar al-da`wah,  bukan dar al-harb,   kerana memang  hubungan asal dan aslinya adalah hubungan dakwah.   Perang  adalah kekecualian dari  prinsip asal   -   damai dan dakwah.     

Fiqh  tidak sekadar reaktif terhadap waqi`,    tetapi juga sebagai suatu kekuatan  social engineering  dalam pengertian  penggagasan dan pembinaan masyarakat.    Fiqh Islam harus mampu menyumbang  kepada  wawasan nasional    -   pembentukan bangsa Malaysia.   Kegagalan membina bangsa Malaysia  setelah hampir enam pulah  tahun merdeka   merupa aib nasional.  Hingga sekarang yang ada hanya warganegara  (Malaysia),  bukan bangsa (Malaysia).    Hingga ke saat ini kita masih berbicara  di sekitar isu hubungan antara  kaum,   tetapi tidak  secara serius membicarakan  isu pembentukan bangsa Malaysia.   Dalam kaitan ini wajar dipertimbangkan kemungkinan fiqh Malaysia  menawarkan  gagasan pembentukan bangsa berasaskan konsep ummah dalam pengertiannya yang inklusif   sebagaimana yang dipakai dalam Sahifah Madinah ketika merujuk  hubungan  antara warga Madinah  yang bersifat plural   -  Muslim, Yahudi dan lain-lain.   Sahifah Madinah memberikan sebuah kerangka pembentukan suatu ummah   -   ummah madaniyyah  -   berasaskan prinsip kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-tanawwu` fi itar al-wihdah).   Fiqh Islam memiliki  nilai dan dasar yang kuat untuk menjayakan gagasan pembentukan bangsa dalam pengertian ummah yang inklusif tersebut.  Justeru,  Islam memang selamanya bersikap positif terhadap kepelbagaian (ikhtilaf),   di samping memiliki nilai-nilai sejagat  yang dapat dikongsi oleh penganut-penganut agama lain.    Nilai-nilai dalam maqasid al-shari`ah yang terumus dalam al-kulliyat al-khamsa itu sebenarnya adalah nilai-nilai yang merentas agama dan kaum.  Kerana itu ia sangat berpotensi untuk  diangkat sebagai wadah penyatuan dan kesatuan.  Selain itu tidak ada halangan bagi fiqh Islami menerima asas-asas tambahan seperti Rukun Negara dan aspirasi nasional  lainnya  selama tidak bertentangan dengan syara`.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi,    Malaysia perlu membina fiqh demokrasi.     Justeru,  demokrasi adalah realiti baru dan kerananya  banyak masalah  yang berbangkit dari sistem ini yang tidak dapat  dijawab  dengan  kitab-kitab turath siyasiy.     Isu-isu yang harus dijawab memang sangat banyak,   mulai dari hukum demokrasi itu sendiri, menubuhkan parti,  berpindah parti,  melawan  parti kerajaan,  tahaluf siyasiy,  mengundi calon bukan-Muslim,  hinggalah ke masalah demonstrasi.   Akan banyak kejanggalannya apabila isu-isu tersebut  difatwakan  mengikut pendapat ulama zaman sebelum mengenal demokrasi.     Demonstrasi misalnya, adalah bahagian daripada demokrasi yang menjamin hak kebebasan berfikir dan bersuara,  berhimpun  dan berdemo.    Tidakkah janggal apabila demonstrasi membantah kenaikan harga barang atau menuntut  pilihan raya yang bersih difatwakan haram dan para demonstrannya dilabel sebagai bughah?       Selain menjadi bahagian daripada demokrasi,    demonstrasi aman  adalah suatu bentuk  hurriyyat al-ta`bir (kebebasan  menyatakan pendapat) dan suatu bentuk  haqq al-mu`aradah (hak pembangkangan).   Selain itu  jika diniatkan sebagai  usaha  memperjuangkan  maslahah dan menentang mafsadah,  demonstrasi aman (silmiyyah)  dapat menjadi suatu bentuk al-amr bi al-ma`ruf wa al-nahy `an al-munkar.     Dengan demikian  demonstrasi adalah sejenis amar ma`ruf nahi munkar  secara kolektif  dengan suara nyaring agar didengar dan berkesan (bisawtin masmu`).   Malaysia yang demokratik  tidak boleh memakai fiqh  negara monarki mutlak.

 


Khatimah

Fiqh sejatinya adalah suatu yang dinamik dan kontekstual.  Ia tidak boleh membeku sehingga tidak mampu menjawab persoalan zaman dan persekitarannya.    Kegagalan memberikan jawapan yang tuntas,  realistik dan meyakinkan akan menyebabkan orang lari  mencari jawapan yang lebih baik di tempat lain.  Di samping itu untuk menghindari kegagalan yang menimpa sebahagian gerakan Islam kontemporari akibat kegagalan memahami dan menangani realiti daerah operasinya,   gerakan Islam di Malaysia harus mampu mengakar kuat  pada fiqh al-waqi` di samping fiqh al-nass  dan cabang-cabang fiqh lainnya.  Di tengah realiti iklim politik dan sosio-budaya yang berbeza-beza,   gerakan Islam di sesebuah negara tidak boleh menjadi sekadar replika kepada gerakan  Islam di negara lain.  Yang lebih tahu tentang waqi` sesuatu tempat tidak lain adalah penduduknya sendiri.  Justeru  warga Makkah sendirilah yang lebih mengetahui segala lurah dan lembahnya.  



Rujukan

Al-Butiy,  Sa`id Ramadan. 1986.  Dawabit al-Maslahah fi al-Shari`at al-Islamiyyah.
                        Beirut:  Mu’assasat al-Risalah.

Al-Elwaniy, Taha Jabir. 2007.  Al-Siyaq:  al-Mafhum, al-Manhaj, al-Nazariyyah dlm.
                        AL-IHYA’,  November 2007.  Al-Rabat:  Al-Rabitah al-Muhammadiyyah
                        li al-`Ulama’.

Al-Qaradawiy, Yusuf. 1997. Shari`at al-Islam Salihatun li al-Tatbiq fi Kulli Zaman wa
                        Makan.  Kaherah: Maktabah Wahbah.

Al-Raysuniy, Ahmad.  2014.  Fiqh al-Thawrah:  Muraja`at fi al-Fiqh al-Siyasiy al-
                        Islamiy.  Kaherah: Dar al-Kalimah.

------------------------ 2014.  Al-Ijtihad:  al-Nass, al-Waqi`, al-Maslahah.  Kaherah: Dar
                        al-Kalimah.

Bu`ud, Ahmad. 2006.  Fiqh al-Waqi`:  Usul wa Dawabit.  Kaherah:  Dar al-Salam.

Shiddiqi, Nourouzzaman.  1977.  Fiqh Indonesia:  Penggagas dan Gagasannya.
                        Yogyakarta: Pustaka Pelajar.

Siddiq Fadzil. 2012.  Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat.  Kajang:
                        AKK, Kolej Dar al-Hikmah.

`Uthman, Fathiy.  1979.  Min Usul al-Fikr al-Siyasiy al-IslamiyBeirut:  Mu`assasat al-
                        Risalah.




KDH/IDE/WADAH:  15082015              

No comments:

Post a Comment