Thursday, February 4, 2016

al-Qaradawi: TINGGALKANLAH MESIR, AL SISI!


Pesan al-Qaradawi kepada As-Sisi dan kuncu-kuncunya “Tinggalkanlah Mesir”

التاريخ: 25 يناير2016
Tarikh: 25 Januari 2016


Dr Yusuf Qaradawi menyifatkan As-Sisi sebagai seorang munafik dan pendusta. Dia menyeru As-Sisi serta kuncu-kuncunya supaya meninggalkan Mesir demi rakyat negara itu.

Dr Yusuf Qaradawi menyampaikan ucapannya yang disiarkan pada petang Ahad bersempena peringatan kali kelima Revolusi 25 Januari Mesir. Dia menyifatkan Abdul Fattah as-Sisi sebagai Munafiq dan pendusta (Al-Munafiqul Kazzab). Dia secara tegas menuntut As-Sisi dan kuncu-kuncunya supaya meninggalkan Mesir dan menyeru kepada rakyat Mesir agar bangkit menentang kezaliman.

Dr Yusuf Qaradawi pada awalnya menyifatkan “Peringatan sempena Revolusi 25 Januari” adalah suatu perkara yang baik disambut manusia timur dan barat. Dia menambah, “Kita telah hidup sebelumnya dan selepasnya, dan kita telah melihat negara-negara arab bergolak berubah dan Segala Puji untuk Allah. Akan tetapi telah menjadi jelas kepada kita bahawa ummah ini tidak menguasai urusannya, kerana ada di sana kuasa terpendam yang juga berkepentingan ke atas urusan ini dan tidak suka ummah ini hidup dengan kestabilan dan kemuliaan. Kuasa ini juga tidak suka melihat ummah ini bebas menentukan bagi apa yang terbaik untuknya dan lepas melakukan apa yang mereka inginkan.”

Dia juga mengatakan, “Kita telah melihat negara ini (Mesir) dipandu ke arah haluan lain, dan kepada dunia lain walhal sepatutnya rakyat Mesirlah yang menentukan arah kehidupan mereka tanpa sebarang halangan ke atas mereka. Akan tetapi rampasan kuasa telah datang sekaligus mengubah kehidupan mereka keseluruhannya, menukar Mesir, nasib anak-anaknya dan hal-ehwalnya. Sedangkan Mesir telah diperjuangkan oleh kebangkitan yang suci. Dan kebangkitan ini telah diperjuangkan oleh pemuda-pemudinya, golongan tuanya, Islam dan Kristian. Setiap rakyat bangun memperjuangkan kebangkitan ini dan dengan kebangunan ini Mesir bergerak ke suatu arah.”

Dia turut mengatakan, “Rampasan kuasa yang kejam ini datang dan memusnahkan Mesir serta mensia-siakan apa yang telah dipertahankan oleh rakyatnya. Negara ini yang sebelumnya merdeka, namun kini rakyatnya tidak lagi boleh mengatakan ‘Ya atau Tidak’, dan tidak mampu untuk menentukan apa yang yang baik untuk diri sendiri.”

Shaykh Yusuf Qaradawi turut membantah, “Rampasan kuasa jahat dilakukan oleh Abdul Fattah as-Sisi, dia adalah seorang munafik dan pendusta dan talam dua muka serta mempunyai lidah bercabang (Al-munafiqul kazzab zul wajhain wa zul lisanain), dia telah menyumbat rakyat Mesir kesemuanya kepada keadaan malang sebelumnya. Dia telah menyentap hamparan dibawah  mereka dan mengheret mereka kepada kehidupan yang tiada padanya kebebasan bahkan tiada lagi sebarang denyutan.”

Presiden Kesatuan Uama Sedunia berkata lagi, “Setiap perkara di Mesir menjadi rosak dan buruk, akibat daripada revolusi balas (counter revolution) yang telah mencabut semua perihal Mesir, dan bertambahlah kesulitan dan kefasadan.”

“Justeru, apakah yang rakyat Mesir boleh lakukan?”

“Hendaklah mereka kembali beriman kepada Allah, dan iman itu membawa erti Ummah ini tidak mampu untuk bersabar keatas kezaliman dan fasad. Mesir mengalami kerugian berbilion Geneh Masri setiap hari.”

Al Qaradawi bertanya, “Kearah mana lagi mereka yang zalim ini mahukan rakyat Mesir pergi? Kearah destinasi gelap mana lagi? Adakah ada disana yang lebih gelap daripada apa yang dialami? Negara ini tidak tahu kemana lagi arah yang ia tuju, dan mereka yang menyertai dalam rampasan ini sedang membawa kita ke arah destinasi-destinasi yang bahaya dan membinasakan.”

“Mesir mempunyai ruang dan peluang bagi menjadi negara yang mulia setelah ketinggalan beberapa tahun yang lama, akan tetapi mereka yang zalim ini telah mensia-siakan peluang-peluang ini kesemuanya.”

Dr Yusuf Qaradawi turut menekankan bahawasanya Allah ta’ala tidak memberkati setiap amalan yang dilakukan oleh mereka yang melakukan rampasan kuasa ini, dan tiada kebaikan pada amalan mereka dan tidak memberi manfaat pada manusia.

Allah taala berfirman

"واستفتحوا وخاب كل جبار عنيد"،

Dan (rasul-rasul serta umatnya yang beriman) memohon pertolongan daripada Allah dan terkecewalah tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi bersikap degil.” (Ibrahim:15)


 وقال تعالى: "وعنت الوجوه للحي القيوم وقد خاب من حمل ظلما

Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman” (Ta Ha: 111)

Al Qaradawi berkata, “Bagi pembantu-pembantu As-Sisi yang zalim, Allah tidak akan membiarkan mereka selama-lamanya.  Allah ta’ala berfirman:-

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, kami timpakan keatas mereka secara mengejut dengan bala bencana maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)”  (al-An’am: 44)

“Maka apakah yang dikehendaki oleh puak-puak rampasan kuasa ini untuk Mesir kita?”

Dr Yusuf Qaradawi menyeru kepada As-Sisi dan mereka yang bersama-samanya, “Aku katakan kepada kamu, ‘Tinggalkanlah Mesir’, kasihanilah negara ini, kasihanilah yang berada di bumi nescaya yang berada di langit akan mengasihanimu, tinggalkanlah Mesir kepada penduduknya. Biarkanlah negara ini berpegang kepada haknya dan bekerjasama sesama mereka.”

“Sesungguhnya sebarang kerjasama meskipun sedikit akan memberi faedah sesama mereka.” Rasulullah s.a.w. bersabda “Orang beriman itu dengan orang beriman yang lain seperti bangunan yang menyokong satu sama lain” dan baginda s.a.w. juga bersabda “Orang islam itu bersaudara.”

“Tidak mungkin akan datang daripada mereka yang zalim ini sebarang kebaikan untuk negara ini buat selama-lamanya. Hendaklah mereka meninggalkan mesir, wahai as-Sisi dan wahai orang yang bersama dengan as-Sisi serta juga mereka yang tidak bersama-sama tetapi mengidamkan manfaat dan kebaikan untuk diri sendiri serta mengabaikan sebarang kebaikan untuk negara.”

 “Ini bukanlah kebaikan, ini adalah keburukan dan jika disingkapkan sebaliknya juga keburukan, ianya kehinaan dan jika disingkapkan sebaliknya juga penghinaan, ia adalah Jahannam dan jika disingkapkan sebaliknya adalah azab Allah” ".

“Kita mahukan Mesir hidup merdeka, bahagia dan kuat. Dan wajib keatas kita mendoakan kerahmatan bagi kebangkitan ini. Mendoakan kerahmatan ke atas syuhada kebangkitan ini dan bilangan besar yang turut termasuk dalam golongan-golongan syuhada, yang gugur sebelum dan selepas ‘Raba’ah’. Ke atas setiap orang di kalangan mereka kita katakan ‘Semoga Allah redha akan mereka dan mereka redha akanNya’.’’

Syaikh Yusuf al Qaradawi turut mengingatkan, “Bersama kita ribuan orang telah syahid, ada gugur syahid, ada yang diculik daripada rumahnya lalu dikembalikan ke rumahnya dalam keadaan sudah dibunuh, ada yang ditangkap dan tidak diketahui ke mana mereka dibawa dan apa yang telah dilakukan kepada mereka. Dan ramai lagi yang tidak diketahui kemana mereka telah pergi. Hendaklah kita mengingati mereka dan mendoakan kerahmatan untuk mereka.”

Allah ta’ala berfirman:-

ولا تحسبن الذي قتلوا في سبيل الله أمواتا

dan janganlah kamu menyangka mereka yang dibunuh di jalan Allah sebagai mati” (Ali Imran: 169)

“Kita mendoakan kerahmatan ke atas para syuhada ini dan bilangan mereka bukanlah sedikit, dan ada di antara mereka yang terkorban di dalam penjara-penjara yang kejam. Mereka terkorban kerana tidak mendapat bantuan kecemasan, khidmat perubatan dan tidak mendapat makanan mahupun sesuap, ribuan yang terkorban. Kita doakan agar mereka mendapat rahmat, dan kita menantikan balasan Allah ta’ala. Penguasa yang zalim ini tidak mengambil peduli tentang orang yang sakit dan tidak menghindari orang yang merayu-rayu meminta pertolongan serta mereka yang merengkok di Penjara ‘Aqrab dan selainnya.”

“Hati-hati kami bersama saudara-saudari kita, anak-anak perempuan kita yang antaranya dirogol di beberapa kawasan, di dalam penjara dan di luar penjara. Mereka yang dirogol antaranya pelajar-pelajar al-Azhar dan pelajar-pelajar universiti. Pemuda pemudi dibunuh dan diseksa. Kami bersimpati ke atas keluarga mereka dan setiap kita merupakan ahli keluarga mereka yang terbunuh. Kami bersimpati kepada pemuda-pemuda yang ditamatkan pembelajaran mereka tanpa sebarang hak. Dan kami menyeru pemuda-pemuda di setiap pelusuk  agar tidak takut kepada sesiapa pun melainkan Allah, hendaklah mereka bangkit menentang kezaliman ini.”

Allah taala berfirman:-

الذي يبلغون رسالات الله ويخشونه ولا يخشون أحدا إلا الله

Orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan makhluk-makhluknNya untuk membalas mereka)” (al Ahzab: 39)
 
 “Wahai pemuda-pemuda Mesir, bangkitlah, dan janganlah kamu berputus asa. Janganlah kamu menyerah diri kepada mereka yang zalim. Mereka itu akan tunduk rebah di hadapan kamu insya Allah, dan kebenaran akan menang, dan kebenaran akan mengatasi kebatilan, dan keadilan akan mengalahkan kezaliman, dan kebaikan akan menewaskan kejahatan dan ini merupakan ketetapan Allah (sunnatullah).”

Allah ta’ala berfirman:-

Dia menurunkan air(hujan) dari langit lalu membanjiri tanah-tanah lembah menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk manfaat makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi perumpamaan perbandingan tentang perkara yang benar dan salah. Adapun buih itu maka akan  hilang lenyaplah ia hanyut terbuang manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan” (al-Ra’d: 17)

“Allah s.w.t berkuasa untuk menolong kita tetapi dengan syarat kita hendaklah menolongNya. Dia tidak akan menolong kita jika kita tidak menolong agamaNya. Akan tetapi Allah akan bantu kita jika kita tolong agamaNya.”

Allah ta’ala berfirman:-

ولينصرن الله من ينصره إن الله قوي عزيز* الذين إن مكناهم في الأرض أقاموا الصلاة وآتوا الزكاة وأمروا بالمعروف ونهوا عن المنكر ولله عاقبة الأمور

“….dan Allah pasti menolong orang yang menolong agamaNya, sesungguhnya Allah maha Kuat lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah dibumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”  (al-Hajj: 40-41)

“Percayalah wahai saudara-saudara bahawa Allah bersama kamu dan tidak akan membiarkan kamu selama-lamanya. Aku memohon kepada orang Islam kesemuanya pada malam ini agar mereka berdoa kepada Allah yang Mulia, dan hendaklah mereka berdiri melakukan qiyam pada malam ini bagi yang mampu, melakukan solat subuh dan berdoa kepada Allah untuk menghukum orang yang zalim. Demi Allah tidak akan sesekali menjadi sia-sia doa-doa mereka  keatas orang yang zalim. Allahlah yang berupaya memakbulkan doa-doa ini.”

Shaykh Yusuf Qaradawi menutupkan ucapannya,

“Wahai Tuhan, musnahkanlah mereka yang zalim ini dengan azab yang dahsyat, dan janganlah kamu tinggalkan dari mereka walaupun sedikit.”







2 comments:

  1. Saya mempunyai pandangan yang berbeza...

    https://salmanbrahman.blogspot.my/2013/08/al-sisi-adalah-pemimpin-yang-sah.html?m=1

    ReplyDelete
  2. Saya mempunyai pandangan yang berbeza...

    https://salmanbrahman.blogspot.my/2013/08/al-sisi-adalah-pemimpin-yang-sah.html?m=1

    ReplyDelete