Tuesday, February 9, 2016

BEBASKAN ANWAR IBRAHIM



SIARAN MEDIA ABIM
9 Februari 2016

ABIM TUNTUT PEMBEBASAN ANWAR IBRAHIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru rakyat Malaysia mengimbau semula pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang genap setahun pada 10 Februari 2016. Sesungguhnya peristiwa pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mantan Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Pembangkang merupakan peristiwa hitam yang tragis dalam sejarah politik dan perkembangan demokrasi negara yang kita cintai.

Anwar Ibrahim merupakan simbol dan lambang keberanian pemimpin yang sanggup mengambil segala risiko - hatta mengorbankan kebebasannya jasadnya - demi perjuangan membela hak rakyat dan menyanggah kezaliman elit pemerintah. Tampak semakin jelas, dalam situasi negara yang terus-terusan dilanda krisis kepimpinan dan integriti yang mencemar reputasi rakyat Malaysia seantero dunia, pemimpin berjiwa besar yang sanggup meletakkan kepentingan peribadi bagi menempuhi perit-jerih perjuangan bersama rakyat terbanyak semakin sukar dicari. Justeru amatlah malang; di kala negara memerlukan lonjakan gergasi untuk segera keluar dari kemelut sosio-politik dan ekonomi yang kian mencengkam, pemimpin pejuang rakyat yang komitmennya telah diuji dan kualiti kepimpinan telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dibiarkan mendekam di penjara selama 5 tahun.  

Anwar Ibrahim - tanpa ragu - merupakan seorang tahanan politik yang dipenjarakan secara arbitrari, yakni pemenjaraan salah yang dilakukan tanpa bersandarkan bukti yang kukuh.   Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Working Group on Arbitrary Detention – UNWGAD) telah sebulat suara mendapati Anwar dipenjarakan secara haram, dan melanggar undang-undang antarabangsa melalui Pendapat No. 22/2015;  Pemenjaraan Saudara (Anwar) Ibrahim adalah arbitrari. . . mengambil kira semua hal dalam kes tersebut, Kumpulan Kerja ini berpendapat bahawa jalan untuk membetulkan keadaan adalah untuk membebaskan Saudara (Anwar) Ibrahim dengan serta merta, dan memastikan hak-hak politik beliau yang dirampas oleh kerana pemenjaraan beliau ini dikembalikan”.  
Pemenjaraan politik bukanlah sesuatu yang baru lagi menghairankan. Dalam apa pun nama sistem dan istilahnya dalam liku-liku sejarah peradaban manusiawi, hakikatnya tetap sama -  bahawa wujud insan-insan tidak berdosa sepanjang zaman yang dihumbankan di balik jeriji dek pertuduhan palsu yang menjengkelkan dan dakwaan memualkan!  Hanya segelintir yang buta sejarah berani menafikan betapa undang-undang telah disalahgunakan oleh pemegang tampuk kekuasaan untuk memenjarakan secara zalim seteru politik dan para penentang yang lantang memperjuangkan prinsip kebenaran dan keadilan. Demikianlah juga, hanya pemerintah yang telah tercabut rasa kemanusiaannya laksana Al Sisi dan Sheikh Haseena yang tega memekakkan telinga dan memejamkan mata dan terus-terusan membelenggu musuh politik sementelahan dikutuk masyarakat bertamadun seantero dunia.   
Walaupun demikian, ABIM berkeyakinan majoriti rakyat Malaysia masih punya ketinggian akalbudi, naluri kesedaran yang mendalam dan dhamir yang suci untuk mengakui hakikat bahawa Anwar Ibrahim merupakan mangsa politik keji  konspirator yang sanggup menggunakan apa sahaja helah bagi mengaibkan dan merampas hak kebebasan seteru yang tidak dapat ditundukkan dalam gelanggang politik demoktratik secara budiman, adil dan saksama.  Pertuduhan dan sabitan kesalahan seksual ke atas beliau melalui kerahan dan sebaran propaganda lucah yang diarusperdanakan buat tontonan umum telah meninggalkan warisan memori yang memalukan khususnya buat generasi muda negara.  
ABIM menilai bahawa seluruh episod serangan yang jijik terhadap peribadi DSAI telah membiakkan budaya fitnah dalam masyarakat dan menyuburkan amalan Qazaf - menuduh wanita dan lelaki yang baik berzina atau liwat tanpa mendatangkan 4 orang saksi - yang amat dibenci oleh ajaran agama. Bahkan sebaliknya, penekanan terhadap pemeliharaan maruah (hifz ‘ird) dan kemulian insaniah yang digariskan dalam objektif pensyariatan Islam telah dilanggar dengan wewenangnya dalam siri serangan propaganda terhadap beliau. Sahsiah peribadi dan komitmen keislaman Anwar Ibrahim, yang diiktiraf oleh ulama-ulama’ muktabar dan cendiakawan Islam di pelbagai belahan dunia dari usia mudanya sewaktu memimpin gerakan Islam sehinggalah saat dan tika ini telah tercalar dan tercemar dengan tuduhan Qazaf yang dipropagandakan di peringkat nasional.
Marilah kita bersama-sama merenung dan menghayati mesej penting Syekh Yusuf Qaradhawi dalam surat umumnya kepada seluruh rakyat Malaysia pada 27 Oktober 2014 sewaktu Dato Seri Anwar Ibrahim melalui fasa-fasa terakhir kes perbicaraan beliau di Mahkamah Persekutuan.
“Dalam kaitan inilah, Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin besar.Dengan jejak sejarah perjuangan dan pengalamannya, kesabaran, ketahanan dan kegigihannya sejak muda hingga sekarang, seharusnya beliau dihormati dan dilayani selayaknya, sesuai dengan perjuangannya, dan tidak wajar sama sekali beliau dilempari tuduhan-tuduhan palsu yang tidak berasas”
Bersempena genap setahun penahanan Dato Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari 2016, ABIM dengan ini menuntut agar Dato Seri Anwar Ibrahim dibebaskan segera  secara sah menurut saluran perundangan dan dibersihkan dari segala sabitannya melalui semakan kehakiman yang sedang diusahakan oleh barisan peguam beliau. Sementara proses tersebut berlangsung, beliau haruslah diberikan segala haknya sebagai tahanan politik yang dijamin di bawah perundangan antarabangsa termasuklah hak bagi mendapatkan rawatan berterusan menurut pilihannya bagi mengubati kesakitan dan kecederaan beliau yang kini telahpun berusia 68 tahun.  ABIM turut menuntut agar hak untuk bertemu dengan peguam-peguam beliau yang dijamin oleh peruntukan undang-undang diberikan sepenuhnya tanpa sekatan-sekatan politik dan birokratik yang menjejaskan akses beliau terhadap nasihat perundangan yang selayaknya. Keluarga Dato Seri Anwar Ibrahim juga haruslah diberikan akses sepenuhnya untuk bersua, bertemu mata dan berkomunikasi tanpa sebarang halangan dengan beliau sewaktu di penjara.
Akhir sekali, jika ada satu pengajaran penting yang perlu kita insafi dari peristiwa pemenjaraan insan bernama Anwar Ibrahim ialah beliau mengajar setiap daripada rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan untuk menjadi berani – berani menyatakan keberanan dan keadilan, dan berani menguasai ketakutan yang membelenggu diri dari menyatakan dengan penuh lantang bangkangan terhadapan kebatilan dan kezaliman. Inilah mesej penting pemimpin pejuang rakyat seperti yang diungkapkan oleh pejuang pembebasan apartheid Nelson Mandela “I learned that courage was not the absence of fear, but the triumph over it. The brave man in not he who does not feel afraid, but he who conquers that fear”. 

Jika takut pada risiko, jangan bicara soal perjuangan!



MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Presiden


No comments:

Post a Comment