Tuesday, February 9, 2016

ANWAR IBRAHIM 365



Ketika kali pertama kami bersua di hulu Sungai Bambu, saya diseliputi rasa hiba dan sayu. Hiba melihat wajah dan tubuhnya yang cengkung dan sesekali dia menahan sakit. Sayu kerana di balik tekanan dan mehnah yang menimpa diri dan keluarganya, dia masih menyambut saya dengan senyuman. Aneh sekali sosok peribadi ini, dia yang bertanya khabar saya dengan ramah sedang saya sudah bergenang air mata menahan rempuhan ombak air mata.

Begitulah pertemuan kami dari sehari ke bulan berikutnya. Saya menyaksikan sebuah madrasah tarbiyyah di hulu Sungai Bambu ini. Pasaknya telah disediakan seawal beliau menjadi Presiden ABIM dan memimpin sebuah harakah Islamiyyah belia yang terkemuka. Rupanya ujian keluar-masuk tirai besi oleh sang tirani ini adalah sebuah proses uzlah yang luar biasa. Dari usianya muda sehingga kini, ujian datang bertimpa dan ketika itulah beliau keluar masuk penjara hanya untuk membuktikan betapa korupnya moral dan kebankrapan akhlaq sang tirani.

Saya tidak berminat dengan kisah politiknya. Kerana di mata saya, kekuatan peribadinya adalah luar biasa. Barangkali jika kita yang biasa-biasa ini, sudah pasti akan gila jika dtindas begini. Namun, sekali lagi saya menyaksikan sosok tubuh yang hanya dipenjara jasadnya tetapi tidak jiwa dan pemikirannya.

Seorang rakan dari Indonesia pernah berpesan kepada saya bahawa Anwar Ibrahim tidak akan mati walau dibunuh berkali-kali. Ini kerana pemikirannya sangat hidup dan sangat dekat dengan ummat. Maka, sekalipun dia menghuni sel di balik jeriji besi, pemikirannya mesti ditulis dan dicatat agar sentiasa segar. Teman saya menceritakan bahawa sejarah kelahiran kitab Fiqhud Dakwah, titipan Almarhum Pak Natsir, Putera teragung dari Indonesia adalah hasil pemikiran Almarhum Pak Natsir yang dicatat oleh anak muridnya ketika beliau dipenjara. Wallahi, Fiqhud Dakwah bukan kitab biasa, ia sangat luar biasa. Ia mutiara penjara dan telah melahirkan ribuan kader dakwah!

Berkerut-kerut dahi saya mencatat nama-nama tokoh yang beliau sebut dan kitab-kitab tersohor yang beliau tekuni. Ada ketikanya saya “stress” yang amat kerana saya langsung tidak boleh mengeja nama penulis mahupun kitabnya. Sudahnya, saya dengan rasa malu dan rendah diri meminta beliau menulis nama penulis dan nama kitabnya. Tepuk dahi. Sedang apabila pulang ke rumah, saya melihat deretan buku dan penulis yang sama di kutubkhanah keluarga. Tepuk dahi dua kali.

Tahun lepas sahaja beliau telah membaca lebih 500 buah buku. Itulah perbezaan utama kepimpinan dan kapasiti intelektual beliau berbanding dengan pimpinan negara yang lain. Malah beliau juga menggunakan perkataan “mengunyah” ketika membuat deskripsi bahan bacaan yang beliau telah selesai pembacaannya secara tuntas. Apabila beliau selesai “mengunyah” buku bermakna kita harus bersedia untuk berdebat dengan beliau tentang jalur pemikiran penulisan atau doktrin yang dibahaskan.

Perjalanan intelektual beliau sangat mengkhayalkan. Tidak mustahil tempoh beruzlah ini beliau akan melepasi bilangan 500 buah buku setahun sedang Al Quran pun beliau mampu khatam dalam tempoh minima 3 hari sehingga sebulan.

Makalah Paulo Reglus Neves Freire sangat segar apabila beliau membicarakannya semula dalam konteks pendidikan dan kemiskinan. Diasuhnya juga saya agar menekuni semua, maksud saya semua tanpa kecuali penulisan Dr Yusuf Al Qaradhawi tanpa cuai. Maksud beliau jika saya membaca teks dalam Bahasa Melayu, saya mesti membaca bersama teksnya yang asal di dalam Bahasa Arab dan merentas ke Bahasa Inggeris. Bingung saya dibuatnya. Teks yang sama tetapi saya harus ulang baca dalam bahasa yang berbeda. Ketika itulah baru saya mengerti dari mana beliau menjana keupayaan intelektualnya dan kefasihan multi-bahasanya.

Disiplin dalam budaya ilmu ini tiada kompromi. Pernah seorang rakan usrah beliau mengkisahkan bahawa di dalam unit usrah, beliau adalah pencatat yang tekun dan tegar. Jika mahu apa yang dibincangkan di dalam usrah, maka lihatlah catatan beliau. Ketika itu juga, saya terasa empangan mata saya hangat ketika melihat catatan-catatan kuliyyah beliau di Sungai Bambu. Tulisannya sedikit bergetar barangkali menahan sakit akibat kecederaan bahunya yang tidak tertanggung. Tetapi enggan mengalah mencatat.

Catatan-catatan nota itu barangkali adalah sebuah tesis kedoktoran yang sifatnya akademik tetapi mempunyai ruh pejuang.

Ia hidup dalam anugerah intelektual dan daya ketahanann jiwa yang terisi dengan sebuah budaya keilmuan harakiyy yang sekian lama dibugar di madrasah tarbiyyah ini. Saya kerap serba salah apabila beliau menegur penulisan tesis PhD bapak saya. Kelihatannya dia mendesak. Dalam dunia ini, selain penyelia tesis bapak saya, hanya beliau dan Almarhum Professor Ahmad Ibrahim sahaja yang telah khatam membaca tesis PhD bapak saya itu. Maka beliau mengulas dari satu topik ke satu topik sehinggalah sekecil-kecil nota kaki tesis tersebut dan bapa saya akur dengan keilmuannya tanpa bahas. Aneh sekali. Bapak sering mengungkapkan, “He knows better” sambil mengingatkan bahawa setiap daripada kita ini berhutang dengan sosok ini.

365 ini adalah mantra yang padu kerana 365 juga saya belajar memaknai sebuah pengorbanan dan perjuangan. Barangkali 365 ini juga, sewajarnya beliau diangkat menjadi seorang mahaguru ummat yang sedang bertapa dan dijauhkan dari nista fitnah yang kita sahaja tahu betapa geringnya Negara kita ketika ini. Kita ketandusan pimpinan adiwira yang benar-benar memperjuangkan keadilan dan kebenaran.

365 telah genap kiraannya pada 10 haribulan Februari, 2016. Perjalanan intelektual dan kerohanian beliau serta jiwa daienya sangat gagah terpasak. Dhamir yang sangat mengasihani ummat terpancar di sanubarinya kerana bicaranya setiap kali dalam pertemuan kami adalah kepeduliannya terhadap kehidupan ummat yang kian ditekan sarat.

Usai 365, maka hari 366 adalah klimaks untuk menghentikan kebobrokan dan penindasan tirani. Membebaskan beliau tidak cukup dengan slogan-sloganan dan sentimental pidatonya. Ia mesti diisi dengan conviction yang padu dan keyakinan terhadap perjuangannya. Perjalanan intelektualnya mesti ditulis. Penolakannya yang keras terhadap rasuah dan kezaliman mesti diangkat. Akhlaqnya sebagai seorang daie ketika dihenyak tanpa belas dan difitnah secara terancang oleh konspirator keji mesti diperlihatkan. Kepimpinannya semenjak usia belia dan memimpin negara adalah catatan historikal yang anggun. Sejarah Malaysia akan kelam tanpa kelibat beliau dalam paparan sebenar dinamika kepimpinan negara.

365 adalah kesaksian kita semua bahawa menjadi penakut itu akan menjadi penyesalan yang sangat hina ketika mati. Sebagaimana yang diungkapkan oleh penyair ulung Rendra dalam puisinya “Kesaksian Bapak Saija”, “….Hidup tanpa daya, sebab daya ditindih ketakutan. Setiap hari seperti mati berulang kali…Sekarang setelah aku mati, baru aku menyadari bahawa ketakutanku membantu penindasan, Dan sikap tidak berdaya, menyuburkan ketidakadilan”.

Semoga beliau dipelihara Allah dan kembali dengan lebih sakti lagi.

Anwar Ibrahim, 365.



(Nukilan Fadhlina Sidek)

No comments:

Post a Comment