Sunday, October 30, 2016

Dr Siddiq Fadzil: ABIM 45: MENCARI HIKMAH DI JEJAK SEJARAH



MENCARI HIKMAH DI JEJAK SEJARAH
(sempena 45 tahun ABIM)

Siddiq Fadzil

Sambutan ulang tahun mungkin dapat dimaknai sebagai membuka khazanah kekayaan.   Bagi sebuah gerakan keumatan seperti ABIM, segala peristiwa rebah-bangun 45 tahun di pentas sejarah adalah  kekayaan pengalaman yang tidak ternilai.  Justeru, pengalaman masa lalu -  pahitnya dan manisnya  -  adalah kekayaan `ibrah dan hikmah,  bekal perjalanan mencipta kejayaan masa depan.  Demikianlah, andainya sambutan ini  didasari al-wa`y al-tarikhiy atau kesedaran yang mendalam tentang erti sejarah.    Kenangan masa lalu bukan sekadar  bahan nostalgia yang mengasyikkan,   tetapi sebagai panduan mencipta visi dan menentukan destinasi.   Tanpa kesedaran, dahulu kita di mana,  kita tidak akan tahu, nanti kita akan ke mana,  how can you know where you are going,  if you don’t know where you have been. 

Sejarah  ABIM  bukan sekadar catatan peristiwa routine harian,  pejam-celik selama 45 tahun.  Sejarah ABIM adalah sejarah kepeloporan dan kepahlawanan.   Menjuarai kebangkitan Islam,  yang merupakan babak terpenting sejarah umat sepanjang abad 20,  jelas bukan sekadar  kegiatan pidato-pidatoan di Speaker’s Corner,  tetapi suatu perjuangan serius,  sakit perit merentas ranjau, cedera luka menerjang karang.   Hanya generasi “anak jantan” yang sanggup mengharunginya.  Sempena ulang tahun ke-45 ini,  kita rakamkan penghargaan setinggi-tingginya dan do`a setulus-tulusnya semoga Allah berkenan menerima amal bakti pahlawan-pahlawan kita, yang berjuang dan berkorban tanpa mengharap sanjungan.   Penghargaan dan do`a istimewa  untuk wira umat dan pahlawan rakyat,  Dato’ Seri Anwar Ibrahim,  atas pimpinannya yang mencerahkan,  pengorbanannya yang mengagumkan, daya juang dan daya lawannya yang menginspirasikan. 

Kepeloporan Anwar Ibrahim dalam sejarah kebangkitan Islam adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan dengan fitnah dan propaganda murah.  Mereka yang cuba memadam sejarah kerana nafsu ingin menonjolkan diri sebagai juara adalah “pahlawan-pahlawan” kesiangan.  Akui sahajalah bahawa mereka sudah terlambat,  ditinggalkan oleh babak zaman yang telah berlalu. Usaha memperkecil orang besar adalah sia-sia,  sebagaimana sia-sianya membesar-besarkan orang yang sebenarnya kecil.       

Kualiti kepimpinan Anwar Ibrahim menyerlah dan menonjol sejak zaman kesiswaannya dengan kemampuannya membina generasi baru,  anak-anak muda yang komited (al-jil al-multazim).  Mereka mengekspresikan diri sebagai:  elemen yang sedar dari masyarakatnya, the conscience of the majority, juru bicara umat dan agen perubahan. Demikianlah antara kata-kata  inspirasional yang diartikulasikan oleh Anwar Ibrahim dengan sangat mengesankan,  lalu dihayati secara kolektif oleh rakan-rakan seangkatannya.  Kata-kata tersebut bukan sekadar cliché, dan bukan juga mantra,   tetapi sesungguhnya ia adalah suara hati dan jeritan nurani yang meledak dari pedalaman batin anak bangsa yang diresahkan oleh  kebobrokan suasana zaman dan lingkungan.   

Seperti yang disebut dengan jujur oleh John Funston,  sarjana yang menelusuri  sejarah pertumbuhan dan perkembangan gerakan dakwah di Malaysia pada paruh kedua abad 20, bahawa,  “The movement was started by university students led by Anwar Ibrahim, who later became Deputy Prime Minister.”    ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 menjadi wadah strategik gerakan dakwah dan kebangkitan Islam yang merubah lanskap keislaman masyarakat Melayu.    Dengan pantas dan tangkas Anwar Ibrahim membina ABIM  sebagai gerakan keislaman-kepemudaan  yang besar, kuat  dan berwibawa.  Teras kekuatannya tidak lain adalah idealisme perjuangannya,  integriti moralnya, budaya ilmunya, kepedulian sosialnya dan jaringan globalnya.    Memang ABIM mempunyai jaringan di peringkat antarabangsa, dan banyak mempelajari  pemikiran dan pengalaman sarjana-sarjana dunia dan tokoh-tokoh gerakan Islam luar negara,  tetapi proses pengayaan keintelektualan tersebut dilakukan dengan sikap kritis, selektif dan kreatif. ABIM bukan tajaan kuasa luar, dan kerana itu ia tidak pernah menjadi replika siapa-siapa,  sebaliknya tampil dengan jati diri yang mandiri dan tersendiri.  Sebagai gerakan yang lahir dan membesar di “rumah sendiri” (Malaysia), ABIM selamanya mengakar kuat pada realiti kemalaysiaan  -  sejarah dan budayanya,  mengenal lembah dan lurah bumi yang dipijak,  mengenal awan dan mega langit yang dijunjung.

ABIM tampil pada era menggejalanya the death of idealism,  zaman “edan”  -  gila-gilaan merebut kesempatan di tengah kesempitan,  memperkaya diri dan kroni di tengah kesengsaraan rakyat miskin.   Gejala keserakahan sedemikian itulah yang melahirkan ungkapan sinis “yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana”.  Demikianlah terungkapnya kata-kata yang menyiratkan kesedaran tentang jurang kaya-miskin yang terus-menerus bertambah luas.  Di tengah gejala kesenjangan sosial yang semakin menyolok itulah ABIM bangkit sebagai kekuatan baru pemugar idealisme keadilan sosial,  dengan mempromosikan cita-cita al-`adalat al-ijtima`iyyat fi al-Islam (keadilan sosial dalam Islam),   mencabar hegemoni pemikiran kapitalistik, dan sekaligus memudarkan pengaruh pemikiran sosialis-marxis. 

Idealisme keislaman adalah ciri utama yang mendefinisikan jati diri ke-ABIM-an,  idealisme yang tumbuh segar dari  al-Qur’an dan al-Sunnah,  dua sumber asasi yang sejak awal menjadi paksi tradisi belajar bersama  yang disebut usrah.     ABIM memang idealis dalam pengertian komited terhadap perjuangan cita-cita murni dan unggul,  tetapi ia juga realis dalam pengertian berfikir dan bertindak berasaskan kenyataan data faktual.  Kerana itu pulalah,  ABIM selamanya  konsisten dan tegar mempertahankan prinsip,  tetapi luwes dalam taktik dan strategi pendekatannya.     Keluwesan ABIM dapat disaksikan dari kepelbagaian bentuk pendekatanya: dari nasihat, dialog, kritik,  peranserta korektif (corrective participation)  hinggalah ke demonstrasi di jalan raya.  Tetapi yang pasti ABIM tidak pernah militan.    

Ketika menggejalanya aliran takfiriy dan radikalisme  (pengaruh revolusi Iran),  ABIM bangkit mengangkat wacana wasatiyyat al-Islam, menolak ekstremisme takfir melawan terorisme pemikiran (al-irhab al-fikriy),  menegakkan prinsip dan etika dakwah bi ‘l-hikmah, membina sikap toleransi terhadap perbezaan,  mendidik umat dengan adab al-ikhtilaf (etika berbeza pendapat) dan  mempromosikan faham keseimbangan la ifrat wala tafrit.     Bagi ABIM,  dakwah bukan kegiatan “asal jadi”,  tetapi suatu amanah suci  yang harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab mengikut  prinsip dan kaedah  fiqh al-da`wah  berteraskan pendidikan yang persuasif, ramah dan santun.   Para pendakwah dituntut tampil dengan citra keunggulan akhlaqiyat al-du`ah yang impresif dan penuh wibawa.

Dakwah dan islah dalam tradisi ABIM  bukan sekadar retorika slogan-sloganan, tetapi  kesanggupan tampil di kancah sebagai katalis perubahan,  menepati makna angkatan  al-muslihun yang hadir membawa harapan dan gagasan membina kehidupan baru hayatan tayyibah.  Rakyat harus diberikan harapan dan keyakinan terhadap agenda reformasi-islahi demi masa depan yang lebih baik  -   kehidupan insani yang adil dan beradab,  mulia dan sejahtera.  Perubahan harus bermula dengan menumbuhkan harapan dan membina  keyakinan bahawa rakyat masih memiliki kekuatan melawan segala bentuk kezaliman dan kemungkaran.  Rakyat harus dididik agar berani menjadi orang baik.  Justeru,  tidak sedikit orang yang ragu, apa untungnya menjadi orang baik  di tengah   kehancuran nilai-nilai moral  -  leluasanya sikap opportunist dan permisif,  tamak dan serakah, rakus dan boros, khianat dan curang, ganas dan brutal. Pada zaman aturan edan  “tak gila tak merasa”,  ketika   kebejatan dan kebobrokan  sudah diterima sebagai lumrah  (accepted as normal),  menjadi orang baik memang memerlukan keberanian. 

Sebagai jelmaan al-muslihun,  ABIM harus bertindak sebagai penyelamat umat. Ketika ini kita sedang menyaksikan gejala kerosakan yang sangat memprihatinkan.  Institusi-institusi kenegaraan  -  kepimpinan politik,  pengurusan ekonomi, kehakiman, kepolisan, pencegahan rasuah, pengendalian pilihan raya dan lain-lainnya, telah rosak semuanya. Kita perlu bertindak cepat,  mendukung gerakan kerakyatan “selamatkan Malaysia dengan reformasi-islahi”.   Kata islahi yang kita rangkaikan dengan kata reformasi memberikan pengertian bahawa agenda reformasi harus diisi dengan nilai-nilai islah al-`ibad yang menjadi inti maqasid al-Qur’an,  dan nilai-nilai masalih al-`ibad yang menjadi teras maqasid al-shari`ah.  Ungkapan profetik “Aslim taslam” yang menyerlahkan hubungan erat dan langsung antara keislaman dengan kesejahteraan,  harus diterjemahkan ke dalam realiti kehidupan sehingga terbukti secara real dan nyata, bahawa Islam adalah agama penyelamat  yang menyejahterakan. Maqasid al-shari`ah (objektif-objektif utama syari`at)  yang berpaksikan masalih al-`ibad (kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan  kemanusiaan seluruhnya)  memang sudah sewajarnya diangkat menjadi asas penggubalan dasar-dasar pemerintahan dan pentadbiran kerajaan.   Untuk merealisasikan  objektif masalih al-`ibad,  kita perlu melaksanakan politik maqasidiy, ekonomi maqasidiy, pendidikan maqasidiy,  perundangan maqasidiy dan seterusnya.      

Hanya reformasi beresensi islah yang dapat diharap menjadi penyelamat.  Kita berkeyakinan memang demikianlah yang diaspirasikan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim,  pencetus  gagasan dan agenda reformasi.  Antara ayat yang beliau baca berulang-ulang adalah:
                        Aku hanya bermaksud (mendatangkan) islah (perbaikan)
                        sekuat kemampuanku.

Terkesan bahawa beliau sangat terinspirasi dengan ayat 88 surah Hud tersebut,  yang menyiratkan mesej bahawa motif perjuangan al-muslihun harus selamanya murni, hanya demi islah semata-mata, (in uridu…) tidak harus ada motif lain.  Di samping itu perjuangan islah harus dilaksanakan dengan kekuatan semaksimumnya, (…ma ‘stata`tu…) kerja setengah mati, bukan  setengah hati, asal jadi.

Sebagai gerakan yang mewadahi kebangkitan Islam di Malaysia, ABIM telah berjasa meratakan al-wa`y al-Islamiy (kesedaran keislaman),   dalam pengertian menyedarkan umat tentang hakikat kesempurnaan Islam (shumuliyyat al-Islam)  sebagai cara hidup yang mencakupi segala bidang,   dan sekali gus membangkitkan ghairah untuk menghayati Islam dalam segala aspek kehidupan. Sejarah kepeloporan ABIM harus dilanjutkan dan dilestarikan dengan membina kemampuan mengungkapkan gagasan-gagasan baru yang segar dan viable.  Keunggulan ABIM akan dinilai dari sudut keupayaannya membuktikan kerelevanan Islam dalam menangani permasalahan masyarakat kontemporari,  termasuk permasalahan masyarakat plural.  Ucapan Dasar Presiden ABIM (Anwar Ibrahim) tahun 1979  tentang Islam dalam konteks masyarakat majmuk harus dikembangkan menjadi sebuah gagasan dan wawasan Islam dalam pembinaan  bangsa Malaysia, menepati konsep ummah siyasiyyah yang inklusif   berasaskan formula dasar “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”.   

Kerelevanan Islam juga harus dibuktikan dalam konteks  perjuangan membina pemikiran, sistem dan budaya demokrasi yang sihat.   Di tengah kekecewaan menyaksikan wajah  demokrasi yang semakin hodoh akibat pelbagai pencemaran, terutama rasuah (politik wang) dan penipuan,  kebangkitan Muslim democrats  akan menghidupkan harapan selamatnya demokrasi dari kecurangan politik  -   pemerkosaan nilai dan prinsip demokrasi demi kekuasaan.     Muslim democrats adalah suatu gemblengan  kekuatan politik, intelektual dan professional untuk memperjuangkan aspirasi kebebasan, demokrasi dan keadilan  sebagaimana yang diungkapkan oleh penggagasnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, “…to establish a common platform for leaders, intellectuals and professionals of the Islamic faith, together with their non-Muslim associates, to articulate their progressive views on matters pertaining to freedom, democracy and justice.  

Muslim democrats  harus mampu membina effective citizens dengan melawan segala bentuk penindasan dan pembodohan.  Dengan semangat ummatik  -   cinta, kasih dan sayangkan umat,  kita laksanakan agenda pemberdayaan rakyat  -    membina daya juang, memugar daya lawan, mengobar semangat dan keberanian demi mengembalikan daulat dan martabat.  Untuk menjadi gerakan yang sentiasa relevan sepanjang zaman, ABIM harus selamanya dekat  dengan rakyat, sedekat nabi dengan umat:

                        Sesungguhnya  telah  datang  kepadamu  seorang  Rasul
                        dari  golongan  kamu  sendiri   (iaitu  Nabi  Muhammad
                        s.`a.w.)   yang  merasakan  beratnya  derita  yang  kamu
                        tanggung, yang sangat prihatin dengan untung nasibmu,
                        yang amat mengasihi dan amat menyayangi semua umat
                        beriman.  (Al-Tawbah:128).

Demikianlah kedekatan Nabi dengan umat, terpadu dalam kebersamaan,  derita umat adalah deritanya,  duka rakyat adalah dukanya juga.  ABIM tidak boleh menjadi kelompok elit yang tercabut dari rakyat,  sehingga tidak lagi dapat merasakan pahit getir kehidupan rakyat,  lalu menjadi golongan yang disebut “merasa bisa, tetapi tidak bisa merasa.”.   Ungkapan Qur’ani “…bi ‘l-mu’minina ra’ufu ‘rahim” dalam ayat tersebut  menyerlahkan hubungan belas kasih pejuang islah terhadap rakyat.    Andainya kita ingin jujur dan setia dengan  misi rahmatan li ‘l-`alamin, maka ia harus direalisasikan  dalam bentuk gerakan membela dan menyelamat rakyat yang tertindas dan teraniaya.    Di mana rahmah-nya Islam, dan di mana li ‘l-`alamin-nya rahmat keislaman   apabila tiada lagi kasih sayang, dan tiada lagi  kepedulian terhadap derita kemanusiaan?    

Sambutan ulang tahun ke-45,  seharusnya dapat membangkitkan ghairah seluruh warga ABIM untuk mempertahankan kerelevanan wadah tercinta ini berhadapan dengan perubahan zaman.  ABIM harus mampu menjadi gerakan hari ini dan hari esok,  bukan gerakan kelmarin yang hanya menggilap-gilap the glory of the past.   Sejarah jatuh-bangun 45 tahun harus dimaknai secara bijaksana  Kejayaan masa lalu harus dilanjutkan kerana hakikatnya kejayaan adalah suatu yang tidak berhujung,   success is never ending.   Kegagalan masa lalu pula,   bukan penamat segala-gala, kerana hakikatnya  failure is never final.    Kita harus mampu berfikir positif,  menerima kegagalan sebagai peluang untuk bangkit semula dengan lebih bijaksana,  failure is the opportunity to begin again, more intelligently.

Lima belas tahun yang lalu (31 Mac 2001),  sempena sambutan ulang tahun ke-30 ABIM,  saya telah diberikan kesempatan mendeklamasikan puisi yang saya tulis sendiri.  Izinkan saya membacanya kembali sempena ulang tahun ke-45 ini:


                                 TIGA DASAWARSA
                     
                        Terjadi dari mimpi suatu generasi,
                        terjelma dari nyala suatu cita-cita,
                        mengota serangkai kata mulia,
                        litakuna kalimatu ‘Llahi hiya ‘l-`ulya.

                        Setulus niat, setelus munajat,
                        ya Tuhan pencurah rahmat, pelimpah barakat,
                        Rabbana ahyina bima`rifatik,
                        wa amitna `ala ‘shahadati fi sabilik,
                        ya Ilahi, kurniai kami,
                        hayat dalam makrifat, wafat dalam syahadat.

                        Tiga dekad
                        sepakat setekad
                        demi  matlamat daulat syari`at,
                        martabat umat, rahmat sejagat.

                        Hadirnya dalam ribut kemelut,
                        ketika wibawa manusia sirna, tanpa sisa.
                        Yang tinggal hanya sandiwara
                        lakon ceritera sang serbapura
                        raja benua Munafika.

                        Di sana,
                        segalanya berwajah ganda, bermuka dua,
                        pura-pura memberi,  diam-diam mencuri,
                        pura-pura menyantun, tahu-tahu menyamun,
                        pura-pura warak,  alih-alih merompak,
                        pura-pura membela,  tiba-tiba memperkosa.

                        Tiga dasawarsa
                        tergesa dewasa, tak sempat bermanja,
                        cendekia  dengan tinta bicara pujangga,
                        perkasa bersama cedera luka kesatria.

                        Kumandang genderang perjuangan,
                        mengundang pahlawan
                        reformasi-islahi
                        mengakhiri lagu kompromi
                        tiada lagi irama basa-basi.
                       
                        Getar  Allahu Akbar menggegar
                        semua terpanggil tampil
                        dalam serba tiada,
                        hanya bekal tawakkal kental,
                        wira-wira muda membelah samudera gelora,
                        meredah belantara bahaya.   

                        Bersilat di darat,
                        bergelut di laut,
                        bertarung di gunung,
                        terpanggang api kezaliman
                        terhumban di padang karang
                        lawan tetap lawan.

                        Kelam malam takkan memanjang,
                        esok, benderang siang pasti datang,
                        dan Angkatan akan pulang    
                        dalam laungan lantang
                        takbir kemenangan
                        Allahu Akbar!  



Dr. Siddiq Fadzil,
Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
UNISEL:29102016.




No comments:

Post a Comment