Sunday, October 30, 2016

RAIMI: KEBANGKITAN ISLAM 2.0


Ucapan Dasar Muktamar Sanawi Kali Ke-45 ABIM
Mengemudi Gelombang Nahdah, Memartabatkan Khayra Ummah
Mohamad Raimi Ab. Rahim
Presiden ABIM

Yang Dihormati Profesor Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman,
Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan
Yang Dikasihi Dato’ Profesor Dr. Siddiq Fadzil,
Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmad Azam Ab.Rahman,
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
Yang Berusaha Saudara Muhammad Khair Sujud,
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Yang dimuliakan tetamu-tetamu kehormat,
Ahli-ahli Majlis Syura Kebangsaan (MSK),
Ahli-ahli Majlis Perundingan Kebangsaan ABIM (MPKA),
Teman-teman seperjuangan; Saf Pimpinan dan Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM peringkat Pusat, Negeri dan Daerah,
Ketua-ketua Agensi ABIM dan kaum kerabat besar pendukung 
Wadah-ABIM-PKPIM,
Para Petugas dan Penggerak Seminar dan Muktamar Kali Ke-45 ABIM,
Muktamirin dan Muktamirat, perserta Seminar Masa Depan Kebangkitan Islam yang dirahmati Allah sekalian,


Assalamu’alaykum Warahmatul’Lahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

Saya mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (AJKP) mengalu-alukan dengan penuh takzim kehadiran muktamirin dan muktamirat serta hadirin yang dimuliakan ke Muktamar Sanawi ke-45 Angkatan Belia Islam Malaysia dan Seminar Masa Depan Kebangkitan Islam. Alhamdulillah, setinggi-tinggi puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia-Nya, dapat kita meneruskan tradisi harakah tercinta untuk berhimpun, bermuktamar dan berseminar buat ke sekian kalinya.

Selawat dan salam buat junjungan tercinta, penghulu para anbia dan sekalian para mujaddidin; baginda Nabi Muhammad SAW, para sahabat riḍwanu ALlāhi ‘alayhim serta seluruh para pewaris risalah nubuwwah, pelaksana amanātu al-da‘wah yang telah pergi mendahului kita. 


ABIM: 45 TAHUN MEMBANGUN UMAT

Bagaikan baru semalam rasanya sebahagian daripada kita hadir menyaksikan majlis penuh gemilang Sambutan 40 tahun ABIM di Dewan Pro Canselor, Universiti Selangor ini. Dalam acara bersejarah yang turut diserikan dengan kehadiran ulama tersohor Sheikh Mustafa Wahbah al Zuhayli, para hadirin pendukung dan kerabat besar jemaah berpeluang mendengar pencerahan secara langsung akan pengkisahan dan pensejarahan ABIM oleh tiga orang presiden terawal di pentas yang sama.

Tidak ada yang lebih membahagiakan buat generasi pewaris baru saat itu apabila mendengar sendiri penggerak-penggerak utama ABIM mengungkapkan sejarah perjuangan, jatuh bangun dan hempas  pulas generasi pengasas dalam membina wadah, menyebar risalah dan  mempelopori gelombang kebangkitan Islam aṣ-ṣaḥwah al-Islāmiyah di Malaysia.

Ternyata ABIM, seperti yang dirakamkan dengan tinta emas oleh begitu ramai pengkaji fenomena kebangkitan semula Islam  (Islamic Resurgence) telah menjadi pelopor utama aliran tersebut di  Malaysia.  Dalam menjelaskan fenomena global kebangkitan Islam yang digerakkan oleh generasi muda waktu itu, Prof. Emeritus Dr. Osman    Bakar (UNESCO, 2015) menyimpulkan bahawa “Many academics, scholars and political observers of the Muslim world identify the 1970s as the beginning of the new global Islamic resurgence or revival that has impacted the global ummah (community) in practically every aspect of its contemporary societal life, particularly the educational, political and intellectual.”

Dalam konteks tersebut, Osman Bakar melanjutkan, “the most influential and significant of the national Muslim youth movements in the 1970s was perhaps the Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM).” Beliau telah menggariskan lima elemen kepeloporan ABIM yang memungkinkannya dilihat sebagai wahana menghidupkan semangat zaman tersebut:

1.     Penggabungan generasi anak muda Islam daripada aliran tradisi pendidikan agama dan aliran berorientasikan barat dalam satu wadah melalui pendekatan mengintelektualkan ulama dan mengulamakan intelektual;

2.     Sebagai sebuah gerakan generasi muda yang bersifat  intelektual,  ABIM sentiasa bersikap terbuka dan reseptif terhadap idea-idea dan pemikiran dari pelbagai aliran;

3.     Sebagai sebuah organisasi yang menyeluruh sifatnya,   keahlian dan sasaran dakwah (mad’u) ABIM merentas latar perbezaan politik, agama dan ideologi pemikiran. Wanita pula merupakan elemen integral dalam proses syura ABIM;

4.     Kepeloporan ABIM dalam penganjuran dan penyuburan Dialog Antara Agama di Malaysia; dan

5.     Pendekatan seimbang (wasatiyyah) yang dipelopori oleh ABIM antara idealisme dan pragmatisme serta nilai intelektualisme dan legalisme disampaikan pula secara      interaktif dengan daya penarik tersendiri melalui rangkaian usrah yang dipeloporinya. 

Sejarah kita adalah sejarah kepeloporan: merintis gerakan kebangkitan Islam (Islamic Resurgence) yang berintikan kesedaran al-wa‘y al-Islāmī, iaitu Islam adalah “the way of life”, cara hidup yang serba sempurna. ABIM muncul sebagai agen perubahan di Malaysia,  membetulkan fahaman dan amalan sekularistik, lalu menyalakan ghairah keagamaan di tengah-tengah umat, khususnya generasi muda.  Sepanjang 45 tahun ini, sejarah telah mencatatkan perihal kepeloporan ABIM secara konsisten; dari Taski ke universiti, dari Islamisasi ke Reformasi!

Sesungguhnya, bukanlah niat kita menyebut kebesaran sejarah gerakan ini untuk meraih pengiktirafan di mata manusia kerana hakikatnya dengan nikmat Islam itulah jua yang membentuk watak dan jati diri kita, yang menjadikan kita sebagaimana kita pada hari ini. Suatu hari, Amirul Mukminin Khalifah ‘Umar Abdul Aziz r.a. didatangi seorang rakyat yang memuji jasa beliau kepada Islam lantas mendoakan ganjaran Allah SWT terhadapnya. Beliau lantas menjawab “…bal jazā ALlāh al-Islāma ‘annī khayrān” - Bahkan sebaliknya, moga-moga Allah mengganjari Islam atas jasanya kepadaku! 

Bertitik tolak dari kesedaran inilah kita memanjatkan setinggi- tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang mengurniakan nikmat  Islam kepada kita melalui wasilah Angkatan Belia Islam Malaysia ini  yang dengannya dapat kita fahami kesempurnaan Islam dan menggabungkan diri sebagai penerus mata rantai perjuangan para  anbiya’ dan mursalin dalam menyebarkan risalah Ilahi. 
مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُواْ مَا عَاهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُواْ تَبْدِيلاً
Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).
 (Surah Al-Ahzab: Ayat 23)


Kelangsungan wadah yang telah dibina dengan susah payah oleh generasi pengasas dan penerus perjuangan harus dipertahankan sekaligus dilanjutkan dalam mengisi gelombang baharu Kebangkitan Islam Jilid II yang kita sepakati dalam Ijtimak Harakiy yang lalu.  Sesungguhnya kesinambungan gerakan kebangkitan Islam dengan penampilan yang relevan menurut cabaran dan realiti semasa  merupakan suatu amanah besar buat generasi masa kini. Kesetiaan kepada prinsip dan idealisme perjuangan berasaskan islah dan tajdid menuntut gerakan ini untuk sentiasa bersifat contemporaneous  dalam memahami realiti persekitaran yang pantas berubah, selari dengan  tuntutan dakwah bi al-hikmah dan alā baṣīrah yang disarankan oleh  Al-Qur’an.
قُلْ هَـٰذِهِ سَبِيلِيۤ أَدْعُوۤاْ إِلَىٰ ٱللَّهِ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِي
Katakanlah (wahai Muhammad), inilah jalanku, aku dan orang yang mengikutku menyeru (manusia umumnya) kepada agama Allah dengan bukti keterangan yang nyata...
(Surah Yusuf: Ayat 108)


Menuju Revolusi Global 

Abad 21 terus menyaksikan penerusan hegemoni projek kemodenan yang direka bentuk semula oleh peradaban Barat sejak zaman Pembaharuan (Renaissance) dan Pencerahan (Enlightenment). Dunia moden pada suku pertama abad ini yang dicirikan oleh aliran dominan berasaskan falsafah humanisme-sekularisme, sistem politik Negara-bangsa bertunjangkan demokrasi dan sistem ekonomi liberal- kapitalis terus mencorakkan tatakelola dunia sejak lebih dua kurun yang lalu. Hasilnya, sebarang wacana berhubung kebangkitan dan kejatuhan peradaban atau mundur bangunnya negara-bangsa dalam konteks dunia moden tidak mungkin terlepas dari kaitannya dengan dinamika hegemoni Barat dan belenggu ikatan modenisme. Barat sering memomokkan reaksi umat Islam sebagai jumud, mundur dan terkebelakang dalam persaingan mengejar kemajuan peradabannya yang bersandar kepada ketangkasan menghasilkan ledakan-ledakan teknologi revolusioner yang mendepani zaman.

Dalam fasa-fasa mutakhir atau era kecairan kemodenan (liquid modernity) seperti yang diungkapkan oleh sosiologis Zygmunt Baumann (2000), dunia dirasakan berubah begitu pantas dan merubah segala keadaan. Justeru, satu tinjauan terhadap beberapa trend dunia dalam aspek sosioekonomi, sosiobudaya dan sosiopolitik dapat membantu kita untuk memahami semangat zaman (zeitgeist) dan menyediakan peta hala tuju (road map) untuk mengisi Kebangkitan Islam Jilid 2.

Revolusi Industri 4.0

“There has never been a time of greater promise, or one of greater potential peril.”
(Klaus Schwab, Ketua Pegawai Eksekutif, Forum Ekonomi Dunia).

Revolusi Industri merupakan salah satu elemen terpenting yang merancakkan kemajuan dan mencorakkan landskap dunia moden.  Fenomena yang bermula seawal abad ke-18 itu giat menampilkan kelangsungan inovasi penciptaan dan ketangkasan kapitalisme. Namun, ia bukan sahaja membawa impak sosioekonomi rentas benua seperti industrialisasi, urbanisasi dan budaya konsumerisme, malah telah mengakibatkan berleluasanya aktiviti penjajahan dan perhambaan di bawah naungan imperialisme-kolonialisme sebagai warisan terpenting sejarah awal revolusi tersebut.

Revolusi Perindustrian Keempat dikenali melalui sifatnya yang menggabungkan elemen teknologi sehingga menyebabkan kaburnya jurang antara lingkungan fizikal, digital dan biologi. Revolusi ini menandakan kemunculan “sistem fizikal siber” yang melibatkan keupayaan baharu sepenuhnya bagi manusia, dan mesin serta kaedah baharu teknologi. Ia menjadi sebahagian dari masyarakat dan tubuh manusia; suntingan genom, pembentukan kepintaran mesin baharu, bahan perintisan dan pendekatan terhadap tadbir urus yang bergantung pada kaedah kriptografi seperti blok rantaian. Potensi ini diperkuatkan lagi dengan penemuan teknologi baharu dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan, robotik, ‘Internet of Things’, kenderaan elektrik, pencetakan tiga dimensi, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan, penyimpanan tenaga dan pengkomputeran kuantum.

Revolusi ini dilihat dapat mengatasi masalah kebergantungan terus kepada sumber tenaga berupa bahan mentah terutamanya petroleum dan gas asli yang kini dilanda krisis global. Namun di sebalik peluang dan manfaat besar perkembangan teknologi terbaru ini kepada kemajuan manusia, revolusi ini. Revolusi Industri 4.0 secara signifikan akan merubah masa depan dunia pekerjaan serta keseimbangan perolehan dan agihan pendapatan. Ketika kumpulan tertentu, pelabur, pemegang syer, inovator dan pekerja berkemahiran tinggi mendapat laba terbesar dari arus perubahan revolusioner ini, kelompok yang paling terjejas dari sudut sosioekonomi seperti kehilangan pekerjaan, pengangguran massa dan kemiskinan relatif ialah kelas pertengahan, pekerja berkemahiran rendah-sederhana serta golongan wanita.

Walhasil, dampak terpenting gangguan perubahan (disruptive change) yang mengiringi ketangkasan revolusi ini ialah hakikat bahawa jurang ketidaksamaan (inequality) ekonomi sedia ada semakin meluas dan mendalam merentas benua, kelas dan gender. Dalam dunia hari ini, dan masa depan terdekat, ketidaksamaan telah dikenal pasti sebagai trend global yang utama. Oxfam misalnya, melaporkan bahawa pada  18 Januari 2016, bahawa 64 orang jutawan terkaya di dunia memiliki jumlah aset kekayaan yang bersamaan dengan separuh populasi dunia yang lebih miskin! Sementelahan, Bank Dunia melaporkan bahawa 767 juta orang dari populasi dunia masih terus hidup dalam kebuluran dan kemiskinan dengan pendapatan kurang USD 1.90 sehari.

Petunjuk daripada kajian dan laporan mutakhir institusi-institusi antarabangsa yang mengukur kekayaan dan jurang ketidaksamaan ekonomi seperti Credit Suisse,  Bank UBS Switzerland, Forbes dan   Forum Ekonomi Dunia sendiri tambah meyakinkan kita terhadap keparahan krisis ketidaksamaan dalam tadbir urus ekonomi global. Hal yang sama turut dikemukakan sebelum ini oleh pakar ekonomi antarabangsa seperti Thomas Piketty dan Joseph Stiglitz. Di Malaysia sendiri, naratif dan keleluasaan ketidaksamaan sosioekonomi tanah air telah dinyatakan dengan penuh yakin oleh Muhammed Abdul Khalid melalui karyanya The Colour of Inequality (2014). 

Ketika krisis ketidaksamaan dan kelompok Ekonomi 1% semakin parah dan mewabak, persoalan dasar dan cabaran utama yang menjadi keprihatinan kita ialah penghakisan nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan dalam order ekonomi kapitalis yang dominan pada saat ini. Situasi ekonomi tidak berperikemanusiaan (inhumane economy) dipandu oleh rasa tamak haloba (incessant greed), nilai, prinsip serta polisi yang hilang sifat manusiawinya. Keadilan sosial, pengagihan berkeadilan, pembasmian kemiskinan dan yang terpenting; dimensi akhlak jelas semakin tempang, teruntai dan terabai.  Yang pasti, pemborosan, rasuah, ketirisan dan monopoli terus berleluasa seiring dengan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar. Dalam kaitan inilah, wajar sekali kita mengamati kembali peringatan yang disebut oleh Anwar  Ibrahim dalam Nahdah Asia bahawa matlamat kegiatan ekonomi tidak lain tidak bukan adalah pembangunan manusia itu sendiri, iaitu manusia mulia menurut pandangan tradisi besar Timur dan Barat, yang dalam Islam diungkapkan sebagai insan salih.

Revolusi Sosial

Ketangkasan era baru revolusi industri turut menatijahkan gangguan    perubahan (disruptive change) terhadap nilai dan hubungan kemanusiaan dalam konteks sosiobudaya. Fenomena komunikasi dan interaksi era kesalinghubungan digital (hyperconnected) telah memberikan impak yang juga bersifat revolusioner dalam mentakrifkan semula realiti sosial-kemasyarakatan dunia global saat ini. Tanpa menafikan sama sekali sisi natijahnya yang bermanfaat, revolusi media sosial ternyata telah merubah secara radikal gaya hidup masyarakat dan interaksi manusiawi dalam kehidupan seharian daripada Uber hinggalah ke Pokemon Go!

Berselindung di sebalik peranti komunikasi mendekatkan yang jauh dan merapatkan yang dekat, manusia zaman ruang siber kelihatannya menjadi semakin individualistik, narsisistik, dan sarkastik dalam lingkungan awam (public sphere) yang diselubungi toksik beracun. Institusi tradisi seperti keluarga, perkahwinan, kejiranan, komuniti dan masyarakat sedang melalui proses nyahinsani (dehumanization) dalam bentuk sindrom ketagihan media sosial dan kemabukan teknologi yang dirangkul seerat-eratnya. 

Dari sudut lain, gelombang limpahan pengguna Internet yang meningkat secara mendadak merupakan satu liberation technology yang kini perlu diperhitungkan oleh kerajaan dan pemerintah. Interaksi antara rakyat dan pemerintah di Asia misalnyanya, telah memasuki satu fasa baharu, iaitu era yang diistilahkan oleh Nikkei Asian Review (edisi September 2016) sebagai Revolusi Sosial: “The social revolution is not new, but it is a gathering storm… It spreads naturally through a wired generation that does what it does without consciously being revolutionary.”

Dalam perjuangan menangani isu-isu baharu yang dibawa oleh arus yang tidak dapat dibendung ini, pihak kerajaan juga dapat mendengar dengan lebih jelas berbanding sebelum ini apa yang rakyat rasai dan fikirkan. Dalam keadaan ini, kerajaan yang tidak stabil dan takut akan berlakunya kekacauan, biasanya tidak akan menyukai apa yang sedang dihadapi oleh mereka.

Di Asia Barat dan Afrika Utara, Arab Spring dan Revolusi Jasmin telah membuktikan betapa besarnya pengaruh dan kuasa media sosial yang diistilahkan oleh Manuel Castells (2014) sebagai gerakan sosial versi baharu (new networked social movement) dalam realiti geopolitik hari ini. Namun akhirnya, teknologi hanyalah sebuah alat dan wasilah. Yang menentukan baik buruknya ialah pertimbangan manusiawi.

Persoalan pokoknya kini ialah bagaimana kerajaan dan pemerintah dalam era media sosial hari ini memilih untuk memanfaatkan fenomena teknologi tersebut. Ia menjadi wahana untuk kerajaan pendengar (listening government) sama ada terus mendukung proses pendemokrasian ataupun sebaliknya, iaitu memilih jalan gelap, berundur ke belakang menuju kediktatoran seperti yang dilakukan oleh rejim Abdel Fattah el-Sisi di Mesir.

Politik dan Krisis Kepercayaan 

Seperti yang diamati oleh Francis Fukuyama dalam karyanya Political Order and Political Decay: From the Industrial Revolution to the  Globalization of Democracy,  dunia hari ini sedang mengalami kemerosotan politik (political decay) yang bercirikan dua elemen penting, iaitu ketegaran institusi (institutional rigidity) dan penguasaan kelompok elit dalam aspek kepimpinan (capture of the state by elites).

Akibat dari itu, tiga elemen tonggak yang mendukung dan menentukan kejayaan demokrasi dalam tatacara negara moden, iaitu kerajaan, kedaulatan undang-undang dan akauntabiliti menjadi semakin tegar di negara maju, manakala terus merosot integritinya di negara membangun. Institusi asasi yang sepatutnya mewakili suara dan kepentingan rakyat dalam sistem demokrasi sebaliknya lebih cenderung mewakili suara dan menjaga kepentingan sekelompok elit penguasa yang rakus memanipulasi institusi pseudo-demokratik untuk kepentingan sendiri.

Rumusan Fukuyama ini diperkukuhkan lagi oleh Larry Diamond melalui artikel beliau “Democracy in Decline” (Foreign Affairs, edisi Julai-Ogos 2016) dan dalam buku terbarunya In Search of Democracy (2016).  Beliau menyimpulkan bahawa punca utama kepada kemerosotan tahap demokrasi dan kebebasan secara mendadak sejak 2006 disebabkan oleh “…weak rule of law and the abuse of power by ruling executives who originally came to office via competitive democratic elections”.
Natijah kepada kemerosotan politik (political decay) telah menyumbang kepada satu trend global yang utama, iaitu peningkatan krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat. Laporan strategik Outlook on the Global Agenda (2015), telah menyenaraikan krisis kepimpinan (lack of leadership) sebagai salah satu trend utama dalam senarai 10 trend utama global. 86% peratus daripada responden kaji selidik laporan bersetuju bahawa dunia hari ini sedang mengalami krisis kepimpinan. Kegagalan pemimpin negara menangani isu-isu domestik dan kebuntuan dalam menyelesaikan isu global seperti konflik Timur Tengah, ISIS, krisis pelarian Syria, pencemaran alam sekitar dan pemanasan global tambah mengesahkan krisis keyakinan ini.
 
Tambah mengukuhkan, laporan Elderman Barometer Trust 2016 yang mengukur tahap kepercayaan di 28 buah negara merumuskan bahawa tahap kepercayaan umum rakyat kepada institusi kerajaan berada di tahap paling rendah berbanding dengan tiga institusi lain, iaitu badan bukan kerajaan (NGO), dunia perniagaan dan media. Dalam konteks Malaysia, tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan hanyalah 39% dalam kalangan rakyat awam.  Sebaliknya, badan bukan kerajaan (NGO) terus mencatatkan tahap kepercayaan tertinggi menurut konteks “melakukan apa yang betul” (to do what is right) dengan meraih 71% kepercayaan dalam kalangan rakyat awam.

Krisis kepimpinan ini membawa kepada melemahnya konsep demokrasi berpewakilan. Laporan yang sama turut menyenaraikan demokrasi berpewakilan yang lemah (the weakening of representative democracy) di tangga kelima dalam senarai trend global.  Menurut Jorge Soto, pendedahan kepada potensi ledakan Internet telah memungkinkan rakyat awam mengenal pasti kelompok yang mempunyai nilai dan ketakutan yang sama dengan mereka, bertukar-tukar fikiran, menjambatani hubungan dan membina kepercayaan sesama mereka pada kadar yang jauh lebih cepat, iaitu sesuatu yang gagal dilaksanakan oleh birokrasi kerajaan. Daripada perspektif generasi muda, Jorge Soto merumuskan “Our government are  elected,  dissolved and re-elected only to pursue short-term agendas, yet the cycles that innovate and build trust with voters require long-term investment. It’s little wonder that people see them as broken”.

Kebangkitan Kuasa Baru 

Gejala merosotnya institusi politik dan kekuasaan di tangan kerajaan, yang disusuli dengan fenomena beralihnya kepercayaan rakyat kepada institusi lain yang mempunyai kredibiliti lebih meyakinkan disentuh lebih awal dan dengan lebih mendalam oleh Moises Naim dalam karyanya End of Power (2013).  Menurut beliau, bukan sahaja kuasa politik, bahkan “kuasa” itu sendiri sedang melalui proses perubahan yang dicetuskan oleh gelombang revolusi “More, Mobility, Mentatily” yang menyebabkan “kuasa” merentas pelbagai bidang sedang mengalami proses kemerosotan. Pemegang kekuasaan secara tradisi seperti pemerintah, birokrat dan konglomerat (yang diistilahkan sebagai pemain utama) tidak lagi memiliki konsentrasi kuasa dan limpahan pengaruh sepertimana abad-abad lalu. Moises Naim menyimpulkan bahawa realiti dunia masa kini menyaksikan kebangkitan gelombang “kuasa” dalam bentuk baharu;
“These are the micropowers: small, unknown, or once-negligible actors that have found ways to undermine, fence in, or thwart the megaplayer, the large bureaucratic organizations that previously control their fields.”

Jika mengikut prinsip terdahulu, kuasa mikro (micropowers) adalah sesuatu yang tidak normal. Oleh sebab mereka tidak mempunyai skala, sumber penyelarasan atau reputasi sedia ada, mereka tidak sepatutnya turut serta dalam permainan ini, atau sekurang-kurangnya, tidak berada terlalu lama sebelum dihapuskan atau diambil alih oleh pesaing dominan. Sebaliknya, kuasa-kuasa mikro ini telah merebut banyak peluang yang selama ini dipandang ringan oleh pemain sedia ada. Dalam beberapa keadaan, kuasa mikro telah menguasai persaingan menentang pemain utama (megaplayers).

Barangkali penawanan Gulliver oleh gerombolan liliput kerdil dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang fenomena ini.  Dalam dinamika baharu inilah kita harus melihat bagaimana gerakan masyarakat sivil antarabangsa seperti Occupy Movement berjaya menghasilkan impak gerak kerja advokasinya pada skala global. Ketika legasi WikiLeaks dianggap sudah terbenam bersama Julian Assange dalam Kedutaan Equador di London, potensi kuasa gerakan ini telah mendayai kemampuan jaringan komuniti media rentas sempadan seperti International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) membocorkan skandal kewangan pesisir pantai melalui isu Panama Papers. Kesannya antara lain menyaksikan Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson terpaksa meletak jawatan lantaran terpalit skandal. Dinamika baharu “kuasa” ini turut menyaksikan tumbuh suburnya generasi baru inovator Startup dan empayar usahawan sosial ala Elon Musk, Seth Godin dan Jack Ma.

Namun begitu, dinamika baharu “kuasa” ini juga mempunyai sisi gelapnya. Pengintipan data peribadi, pemindahan wang haram dan jenayah siber turut berkembang jauh lebih pantas dengan ruang lingkungan pengaruh yang jauh lebih luas. Penyebaran pengaruh dan propaganda gerakan pengganas ISIS-Daesh yang meracuni pemikiran segelintir generasi muda Islam turut dikaitkan dengan fenomena “kuasa mikro” ini.

Perubahan lewat kemodenan yang dicirikan oleh revolusi global yang lebih tangkas berserta trend semasa dalam bidang ekonomi, sosiobudaya dan politik yang disentuh secara sepintas lalu telah mencorakkan semangat zaman (zeitgeist) ini yang penuh dengan percanggahan, kesamaran dan ketidaktentuan.

Islam dan Masa Depan

Di sebalik kerancakan arus perubahan yang mencorakkan masa  depan peradaban manusia, dunia Islam masih lagi dilihat mundur selain dibelenggu pelbagai polemik dalaman yang melelahkan. Negara- negara Islam masih jelas ketinggalan dan tercorot merentas pelbagai aspek-dari ekonomi hinggalah ke sains teknologi.

Kesemboronoan menyangkal laporan sedemikian atas alasan western contruct sementelahan umat terus kaku membatu sama sekali tidak membantu menebus maruah dan harga diri. Ini merupakan persoalan besar yang menghantui fenomena kebangkitan Islam sejagat yang dirintis semenjak awal abad ke-20 yang lalu. 

Ucapan Dasar ini akan menyentuh empat wacana utama yang melingkari umat Islam dalam interaksi dan reaksinya dengan peradaban moden abad ke-21 ini; Sekularisme, Demokrasi, Ekstremisme dan Islamophobia. 

Islam dan Sekularisme

Karya Islam and Secularism oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas yang diterbitkan oleh ABIM pada tahun 1978 merupakan respon penting yang menerangkan kesan sekularisme sebagai falsafah suatu aliran pemikiran yang cuba menafsirkan realiti dan kebenaran hanya berasaskan rasionalisme murni.

Walaupun tafsiran, sifat dan kondisi sekularisme di Barat itu sendiri telah melalui proses perubahan seperti yang dihuraikan oleh Charles Taylor dalam adikaryanya A Secular Age (2007)¸ sekularisme yang difahami dalam konteks hubungan peradabannya dengan Islam ternyata terus bermasalah.

Sekularisasi mengandaikan bahawa dengan berkembangnya masyarakat menjadi moden dan demokratik - it must secularize. Tafsiran homogeneous yang dipaksakan ini jelas tidak serasi dengan sifat, nilai asasi dan etika Islam yang bersifat sejagat serta tidak memisahkan urusan keagamaan dan duniawi seperti yang dialami oleh agama Kristian di Barat. Kebangunan Islam (aṣ-ṣaḥwah al-Islāmiyah) dan agenda Islamisasi-deWesternisasi dari sudut pandang ini dilihat sebagai manifestasi penolakan terhadap moderniti dan hegemoni Barat.  Walhasil pertembungan pandangan alam dan nilai-nilai asasi ini lantas diterjemahkan pula dalam naratif ‘pertembungan antara tamadun’versi Samuel Huntington.

Justeru jika diamati, isu-isu seputar pemikiran, politik, ekonomi dan budaya yang sering menjadi polemik dalaman dunia Islam dan interaksinya dengan Barat masih berlegar sekitar penerimaan dan kesesuaian Islam dengan faham-faham asas sekularisme-humanisme moden seperti individualisme, liberalisme, pluralisme, hak asasi, kebebasan dan demokrasi.  Tambah parah, wujud kelompok fundamentalis sekularis-militan sebagai gerakan radikal anti-agama dan anti-clerics yang tampil alam bentuknya seperti gerakan di sebalik majalah satira Peranchis Charlie Hebdo.

Hari ini, sekularisme tidak hanya sinonim dengan Barat. Sekularis berada di mana-mana: Barat, Timur, Utara dan Selatan.  Persoalannya, apakah masa depan naratif pertembungan Islam dan sekularisme?
 
Islam dan Demokrasi

Salah satu perkembangan terpenting dalam sejarah perkembangan demokrasi abad-21 ialah fenomena Arab Spring yang tercetus pada tahun 2011. Tatkala dunia berdepan sindrom kereputan dan kemerosotan amalan demokrasi, Arab Awakening telah mencetuskan harapan dalam kalangan penganalisis bahawa gelombang keempat demokratisasi bakal berlaku. Berbeza dengan tiga badai gelombang sebelumnya yang bermula sejurus Revolusi America dan Peranchis (Samuel Huntington, 1991), gelombang keempat melibatkan negara-negara majoriti Muslim di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Bagi sekelompok pengkaji, perkembangan ini merupakan sesuatu yang mengejutkan kerana buat sekian lama, Islam umumnya dan negara Arab khususnya ditanggap sebagai tidak serasi dengan nilai-nilai demokratik seperti kebebasan, keadilan dan hak asasi. Maka satu-satunya jalan yang tinggal dan selayaknya untuk umat Islam ialah untuk terus berada di bawah cengkaman pemerintah otoriter. Dalam konteks inilah siri kebangkitan rakyat menentang rejim tentera dan penguasa elit-otoriter yang selama ini berwenangan menindas dengan kuku besi dilihat memberikan sinar baharu terhadap prospek berlangsungnya demokrasi di negara Islam.

Namun terjadilah apa yang telah terjadi. Arab uprising telah dibantutkan dan gagal membawa gelombang demokratisasi yang dijangkakan kecuali di tempat ia bermula – Tunisia.  Kembalinya rejim militer di Mesir hanya setahun selepas Presiden yang pertama dipilih menerusi pilihanraya yang bebas dan adil seolah membenarkan andaian bahawa negara Arab sememangnya tidak bersedia dan layak untuk menikmati demokrasi. Gerakan Islam yang disinonimkan dengan gerakan ‘politikal Islam’ telah menjadi sasaran utama yang dipersalahkan.  Politikal Islam, atau Islamisme dalam konstruk ini merujuk kepada wacana kelompok Muslim yang dilabel sebagai fundamentalis-radikalis yang memperjuangkan Negara Islam, hukum syariah dan juga cara hidup Islam yang mereka percaya hanya dapat diterapkan melalui jalan kekuasaan. 

Di Mesir, gerakan Ikhwan al Muslimun telah dilanyak sehabisnya pasca-Arab Spring. Operasi pembersihan saki-baki rangkaian gerakan Islam yang disinonimkan dengan ‘gerakan politikal Islam’ di dunia Arab berlangsung dengan begitu rancak hasil biaya besar dari Timur dan Barat. Di benua Indo-Pak, pimpinan-pimpinan utama Jamaat-e Islami di Bangladesh telah dan masih dihantar ke tali gantung di bawah rejim Sheikh Hasina.  Telahan Olivier Roy yang terkandung dalam buku The Failure of Political Islam (1994) semacam telah mencapai kesempurnaan pasca-Arab Spring.  Benarkah politikal Islam telah gagal?  Bagaimanakah perkembangan demokrasi selepas Arab Spring?

Dalam analisa akhir terhadap perkembangan demokrasi pasca Arab Spring di tujuh buah negara Islam and Democracy after the Arab Spring (2016) Esposito, Sonn dan Voll menyimpulkan bahawa perkembangan politik merentas dunia Islam menunjukkan kemahuan yang tinggi terhadap tatakelola yang lebih demoktarik. Hasrat, keinginan dan ikhtiar untuk menghirup udara kebebasan, keadilan, hak asasi, kedaulatan hukum dan akauntabiliti bukanlah baru bermula sewaktu Arab Spring, bahkan terus berkesinambungan dari gerakan Islah sejak lebih satu abad yang lalu. Justeru dalam rumusan terakhirnya, penulis menyimpulkan:
“The basic question is not if Islam is compatible with democracy. Most Muslim have already answered that question affirmatively. The question now is what forms a democratic state can take in a Muslim-majority society. The variety of vision and program from North and West Africa to Southeast Asia shows that Muslim are actively engaged in this task”

Justeru timbul satu wacana baharu Islam (al-khitāb al-Islamī al-jadīd)  dalam pencarian model yang paling cocok dengan semangat demokrasi sekaligus realistik terhadap kehendak zaman.  Pemimpin Parti Ennahda Tunisia, Sheikh Rached Ghannouchi telah mengetengahkan terma Muslim Demokrat ketika menyampaikan ucaptama sempena dengan konvensyen An Nahdah pada Mei 2016. Deklarasi terhadap anjakan dan orientasi baharu parti pimpinan beliau kemudiannya diperkukuhkan melalui rencana From Political Islam to Muslim Democracy dalam Foreign Affairs edisi September/Oktober 2016.  “Justeru parti ini tidak lagi menerima label Islamisme- satu konsep yang telah dicemarkan beberapa tahun kebelakangan ini oleh ekstremis radikal- sebagai citra pendekatannya.”  Sebagai seorang idealog dan aktor utama gerakan politikal Islam, kenyataan Ghannouchi ini memberikan impak yang besar dalam menentukan arah baharu pergerakan dan pendekatan gerakan Islam sedunia. 

Berbanding wacana post-Islamisme yang lebih bersifat teorikal, Muslim Demokrat merupakan satu gerakan evolusi pembaharuan politik yang semakin meraih momentum. Sejak tahun 2014, Forum Sedunia Muslim Demokrat (WFMD) yang dipelopori oleh  Anwar Ibrahim, B.J. Habibie, Surin Pitsuwan, Abdullah Gul, Tariq Ramadan dan pemimpin masyarakat madani telah menggariskan halatuju platform Muslim Demokrat bagi melaksanakan reformasi menyeluruh, menegakkan keadilan sosial, membanteras korupsi dan tatakelola yang baik.

Di Malaysia, perkembangan baharu ini telah disambut dan diwacanakan atas platform Generasi Kedua Politikal Islam (Maszlee, Zulkiflli, 2016).   Sesungguhnya wacana ini diungkapkan tepat pada masanya, di saat dan ketika gerakan-gerakan Islam di Malaysia sedang dihadapkan dengan realiti politik semasa yang membingungkan umat.  Telah tiba masanya khazanah kekayaan turath siyāsī dalam tradisi ilmuwan Islam dan rantau Alam Melayu ini digali, dikaji kembali dan ditampilkan dalam ijtihad-   ijtihad baru berasaskan maqasid yang sesuai waqi‘ dan realiti politik kontemporari yang dinamik.


Islam dan Wabak Ekstremisme

إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ ، فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ
Hindarilah sifat melampau dalam agama. Sesungguhnya, orang-orang yang dibinasakan pada zaman dahulu adalah mereka yang melampau dalam agama

Kekecewaan terhadap penindasan politik, penipuan, korupsi dan salah guna kuasa oleh rejim autokratik di negara-negara Islam telah dikenalpasti sebagai salah satu punca berleluasanya gejala ektremisme keganasan atau terrorisme (irhāb). Hilangnya keyakinan terhadap amalan demokrasi tempelan sebagai wasilah yang absah untuk rakyat memilih wakil pemimpin telah memberikan impak sosiopsikologi yang besar kepada sekelompok anak muda yang terlalu idealistik-simplistik namun bersemangat melampau melaksanakan perubahan cenderung menukar haluan dari mekanisme demokrasi ke radikalisme – from ballot to bullet!

Setelah terbunuhnya Osama Ben Laden dan terungkainya jaringan global militan Al Qaeda, Islam terus dikaitkan dengan keganasan bentuk baharu. Hari ini, Daesh, Boko Haram, al Shabab dan gerakan milita yang lain seolah bermaharajalela melakukan tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan, mendera, menyeksa dan membunuh musuh tempur dan orang awam sewenang-wenangnya. Memang itulah tujuan aksi teror atau irhāb yang dikaitkan dengan pendekatan propaganda by deeds oleh anarkis Mikhail Bakunin. Mangsa bukan sekadar didera atau dibunuh, tetapi haruslah dipastikan tindakan terror tersebut dilaksanakan dengan penuh kejam untuk diwar-warkan sebagai propaganda.

Berleluasanya terrorisme-ektremisme telah merancakkan kembali War against Terrorism melalui insiaitif Countering Violent Extremisme (CVE) oleh kerajaan dan masyarakat sivil di seluruh dunia dalam rangka kerjasama mencegah dan membasmi terorisme. Namun di sebalik inisiatif sekuriti dan fatwa-fatwa yang mengekang dan mengharamkan terrorisme, bilangan kumpulan militan dan kader-kadernya terus meningkat.  Sebagai non-state actor, rangkaian keganasan global ini - dari Brussels ke Mogadhisu - benar-benar merupakan potensi ancaman keselamatan yang besar. Pengalaman lalu mengajar kita bahawa keganasan tidak dapat diatasi dengan keganasan.

Dalam konteks ini, pendakwah Amerika Syarikat, Shaykh Hamza Yusuf menolak pendekatan problem-solution yang bersifat mekanikal untuk menangani keganasan. Dalam tradisi kelimuan Islam, gejala melampau taṭarruf dan ghuluw ditanggapi sebagai sejenis penyakit (al-da’) yang perlu diubati dengan penawar (al-dawa’) yang tepat. Justeru khalal (kecatatan) yang paling utama disebalik ideologi puak pelampau ialah masalah ilmu iaitu kegagalan dan kekeliruan berinteraksi dengan nass sebagai sumber hukum - al-ta‘āmul ma‘ā an-naṣ bi ma‘zilin ‘an ghayrihi. Kelompok neo-khawarij ini gagal memahami bahawa dalil-dalil dalam
Al-Qur’an tidak boleh difahami secara juz’iyyah, sebaliknya harus difahami secara holistik dan lengkap kerana seluruh juzuk-juzuk kecil yang terpisah itu sebenarnya terangkai dan berhubung seumpama satu surah yang panjang – kulluhu kasūratan wāḥidah

Dalam kaitan ini, kekeliruan utama pemikiran mereka ialah kesalahfahaman terhadap konsep dan tuntutan Jihad.  Inilah yang mendorong Syekh Yusuf Qaradhawi untuk menghasilkan karya pentingnya Fiqh al-Jihād. Penyelesaian kepada gejala irhāb menurut beliau ialah dengan menumpukan usaha memperkukuh dan mengarusperdanakan manhaj Wasatiyyah. Kita hendaklah menolak dengan tegas sikap melampau golongan ekstremis yang memahami konsep jihad dengan memerangi seluruh alam, merangkumi golongan yang memerangi Islam dan menyeksa orang Islam termasuk yang menghulurkan perdamaian kepada orang Islam dan tidak memusuhi Islam. Manhaj Wasatiyyah juga menolak kelompok yang cuba membuang langsung perkataan Jihad dalam kamus Islam. Keutamaan yang wajib dilakukan ialah memberikan kefahaman yang benar dan tuntas tentang konsep jihad dalam Islam sekaligus menjelaskan kebatilan tafsiran jihad yang diselewengkan.

Komitmen membanteras naratif keganasan atas dasar keselamatan awam harus pula seiring dengan komitmen terhadap hak kebebasan asasi individu. Penderaan tahanan ala Abu Gharib dan extraordinary rendition ala Teluk Guantanamo oleh aparat keselamatan dan pengintipan adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh manusia berperadaban. Telah ramai orang awam yang tidak berdosa dipenjara dan didera secara salah sebagai pengganas hanya kerana tersilap identiti dan kesemberonoan aparat.  

Gelombang Islamophobia

Walaupun istilah Islamophobia mula dikesan seawal tahun 1922 melalui esei orientalist Peranchis Étienne Dinet, istilah tersebut hanya digunakan secara meluas pada 1990an dalam mentakrifkan  diskriminasi yang dihadapi Muslim di Eropah Barat.  Islamophobia merujuk kepada tindakan tidak toleran, diskriminatif, ketakutan tidak rasional, rasisme dan kebencian terhadap Islam dan Muslim. Menurut Cesari (2011), Islamophobia dengan sifatnya sebagai wacana dan praktik moden, sekular dan anti-Islam memuncak pasca serangan 11 September 2001.  Setelah lumpuhnya al-Qaeda dan terbunuhnya Osama bin Laden, siri letupan oleh ISIS, penculikan kanak-kanak oleh Boko Haram dan kekejaman Al-Shabaab telah memberikan momentum terhadap gejala Islamophobia. Kekerapan saluran-saluran media antarabangsa memaparkan kekejaman militan bertopengkan Islam beserta serangan-serangan ke atas Brussels serta Paris telah mengaburkan sisi Islam sebagai agama yang mempromosikan keamanan.  Situasi semakin dirumitkan dengan kebanjiran pelarian-pelarian dari Syria serta Libya sehingga ia menjadi bahan perbahasan politik dalam Kesatuan Eropah.

Polemik ini berkembang selari dengan kemunculan semula aliran politik nasionalis kanan yang memainkan sentimen Islamophobia dan ‘Eurabia’. Dapatan European Islamophobia Report (EIR) 2015 yang diketengahkan oleh agensi pemikir Turki, SETA adalah salah satu amaran penting betapa Islamophobia semakin menggejalanya di Eropah. Merentas Atlantik, fobia terhadap Islam dan imigran Muslim terus semarak dalam propaganda murahan Donald Trump dan Tea Party sepanjang kempen piliharanraya Presiden Amerika Syarikat. Dalam  kaitan inilah, Ibrahim Kalin (2011) mengkritik keras sikap berat sebelah Barat dan menyifatkan bahawa mewabaknya Islamophobia sebagai testimoni kegagalan multikulturalisme dan pluralisme Barat yang galak dipromosikan sebagai nilai sejagat.

Namun Islamophobia seperti yang dibahaskan oleh Zulkifli Hasan (2016) boleh tumbuh subur dan berlaku di mana-mana, termasuk di Malaysia. Gambaran yang salah dan provokatif oleh media, kurang keberkesanan institusi agama, kelemahan political will, salah faham terhadap Shariah serta kemunculan elemen militan dan keganasan telah menyumbangkan kepada berleluasanya skeptisisme dan penghinaan terhadap Islam di Malaysia. Ternyata Islam sebagai agama Rahmat dan keamanan telah mengalami pencemaran citra yang dipalitkan dengan imej negative keganasan, extremisme, tidak rasional, marah-marah, jumud dan mundur. Dalam desa global, setiap letupan, serangan, penyembelihan dan penculikan yang dilakukan atas nama Islam pasti akan memberikan impak terhadap imej Islam dan penganutnya di mana-mana pun, termasuk di tanahair.

KEBANGKITAN ISLAM JILID 2.0

Era kepeloporan gerakan aṣ-ṣaḥwah al-Islāmiyah – kebangkitan Islam seawal dekad 1970-an dan agenda Islamisasi yang menurutinya selama lebih empat dekad hingga saat ini telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada perkembangan Islam dalam sejarah dunia  moden. Berbeza dengan gerakan Kaum Muda sebelumnya yang lebih berorientasikan gagasan idea dan penumpuan kepada isu-isu rantingan, gelombang kebangunan Islam 1970an memberikan impak yang besar kerana orientasi gerakan massa yang inklusif serta diperkukuhkan melalui pembangunan institusi yang merakyat (Mohammad Redzuan,2015).

Reformasi tajdīdi-iṣlahi yang berlangsung hampir separuh abad ini telah mencetus sekaligus meratakan al-wa‘y al-Islāmi – kesedaran tentang hakikat bahawa Islam merupakan cara hidup yang lengkap lagi sempurna - al-Islām al-niẓām al-ḥayāh. Di sepanjang liku perjalanannya, lahirlah generasi pemuda-pemudi Islam yang bertindak sebagai agen perubahan dalam masyarakatnya. Di Malaysia, impak Islamic resurgence tampak terserlah dalam realiti kehidupan seharian masyarakat seumpama budaya bertudung dan berdirinya institusi bercitra Islami seperti perbankan-kewangan dan universiti Islam. 

Sementelahan keadaannya secara umum ternyata jauh lebih baik daripada zaman pra-kebangkitan Islam, turut sama terzahir nyata ialah gejala yang disebut oleh Fahmi Huwaidi sebagai al-tadayyun al-manqus atau keberagamaan yang tidak holistik, utuh dan sempurna sebagaimana yang diprihatinkan oleh Dr. Siddiq Fadzil lewat Amanat Pimpinannya bersempena Ijtimak Harakiy yang lalu,

Demikianlah hakikatnya, masih ramai yang setiap tahun menunaikan haji dan umrah, tetapi tidak sensitif terhadap derita kemanusiaan, dan tidak peka terhadap gejala kemungkaran - kezaliman, penindasan, rasuah, penipuan dan sebagainya.  Malah tidak sedikit yang mati- matian dan tanpa malu-malu mempertahankan koruptor dan orang zalim. Begitulah antara realiti masa kini yang perlu ditangani oleh para ilmuwan-da`i. Perubahan dari al-tadayyun al-manqus kepada al-tadayyun al-shamil (keberagamaan yang utuh dan sempurna) memerlukan komitmen pendakwahan dan pendidikan massa  yang bersifat intensif-korektif”  (Siddiq Fadzil 2015:3) 

Ketika menyentuh fenomena dwi-wajah ini lewat karyanya Milad Mujtama’, Malek Bennabi telah merumuskan bahawa berlaku pemisahan antara aspek kerohanian dengan sosial dalam watak dan kehidupan umat Islam lantaran kegagalan melanjutkan kesalehan dan pesan kebenaran yang begitu mempengaruhinya di dalam masjid agar mengiringinya dalam realiti kehidupan awamnya bersama masyarakat. Ketidaksempurnaan dalam faham beragama seperti inilah yang dimaksudkan oleh K.H. A Mustafa Bisri sebagai “saleh secara ritual, namun tidak saleh secara sosial”. Yang sebenarnya dituntut oleh agama, tegas Gus Mus ialah - kesalehan total! 

Satu lagi gejala yang memprihatinkan kita dalam menilai semula tahap keberagamaan di tanah air ialah pencemaran citra Islam di tanah air kita. Islam ditampilkan dengan wajah yang menakutkan, agama yang marah-marah, dan cenderung bersifat menghukum. Rupa-rupanya ada kebenaran pengamatan bahawa Islamophobia starts at home. Imej umat Melayu-Islam yang cukup dikenal sebagai bangsa penyantun, halus dan sopan kini tampak lebih tampil mempromosikan budaya samseng dan gangsterisme.  Gejala samseng atas nama maruah bangsa dan nasionalisme palsu yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, mencerminkan wabak kebobrokan akhlak dan kemuflisan moral yang semakin parah dan berleluasa. Lebih malang lagi, berleluasanya budaya samseng, mengugut dan memukul insan sekonyongnya atas nama memelihara maruah bangsa dan umat Islam seolah mendapat restu dan perlindungan pihak berkepentingan. Faham taksub perkauman sempit yang dicairkan dan dimurnikan oleh gerakan Islam seperti ABIM sejak awal era kebangunan Islam 1970an kini muncul kembali dengan sikap rasis dan chauvinis yang semakin menjadi-jadi. Dulu, kini dan selamanya, Islam tidak akan sama sekali membenarkan ‘asabiyyah dalam erti melindungi kemungkaran dan mempertahankan kezaliman atas nama perkauman, kronisme mahupun nepotisme.

Fenomena extremisme-takfir (zahiratu ‘l-ghuluw fi t-Takfir) yang seketika waktu begitu menggejala di tanah air juga kini kembali subur menanam benih ideologi dan menyebarkan dakyahnya. Yang terkait dengan aliran radikal dalam bentuk ghuluw, taṭarruf dan irhāb ini bukan cuma mereka yang didakwa atau ditangkap aparat keselamatan kerana mengangkat senjata di bumi Syam.  Ternyata yang lebih sukar dibendung dan mewabak lebih pantas ialah fenomena irhāb al-fikr (terrorisme pemikiran) - sejenis operasi mendera, menyakiti dan menghukum pemikiran mereka yang berbeda pandangan dengan kabilahnya walaupun dalam perimeter yang dibenarkan syarak.

Sebagai gerakan dakwah pelanjut misi pembebasan dan rahmatan lil ‘alamin, adalah menjadi amanah ABIM untuk menampilkan Islam dalam wajahnya yang tulen – ‘taqdim al-Islam bi surah al-Asliyyah’­-dalam menyikapi fenomena kemajmukan yang tampak semakin berkecamuk dan pencitraan Islam yang dicemari radikalisme.

Justeru, gagasan Kebangkitan Islam Jilid 2 seharusnya ditanggapi sebagai detik penting buat gerakan dakwah untuk melancarkan gelombang kebangkitan baharu secara intensif untuk menganjak tahap keberagamaan (al-tadayyun) umat menuju kesempurnaan.

GELOMBANG NAHDAH

Mengambil semangat pemurniaan nilai dan amalan keberagamaan inilah kami mengagaskan pada Muktamar Sanawi ke-45 yang bersejarah ini agenda baharu ‘Gelombang Nahdah‘ sebagai pelanjut gerakan kebangkitan Islam di Malaysia.   Nahdah yang kita maksudkan merujuk kepada akar kata bahasa Arab yang bermaksud bangkit (Lisanul Arab). An-nahdah pula adalah bermaksud bangkit dari kekaburan atau kegelapan. Nahdah juga ditakrifkan sebagai harakah iaitu gerakan membangkitkan manusia daripada kekaburan. Dalam erti kata lain; nahdah yang kita hajati merupakan satu proses membangkitkan kesedaran dan potensi umat dari tahap sedia ada ke satu tahap yang lebih baik, tinggi dan sempurna sesuai dengan martabatnya, sepertimana yang digambarkan oleh Almarhum Ismail Raji al Faruqi’.

Nahdah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud bangkit. Unsur esensinya masih kekal sama. Cuma, perkara tersebut, sama ada seorang kanak-kanak atau sebuah masyarakat, pada suatu ketika, tidak berfungsi, tidak berkesan, tidak mampu untuk menggunakan potensi diri untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi, dan kemudian, melalui Nahdah, perkara atau orang yang sama memperoleh kecekapan dan mampu menggunakan kekuatan potensinya. Nahdah bererti penghakikian potensi terpendam kanak-kanak. Hal ini terpakai kepada masyarakat Islam dengan tepat. Perkara pokoknya, iaitu ummah dan agama Islam, masih sama. Potensi mereka bagaimanapun sebelum ini tidak digunakan. Sebagai masyarakat atau individu, umat Islam sebelum ini tidak cekap dalam mengenal pasti apatah lagi menggunakan kekuatan diri mereka. Kini, berdasarkan konsep Nahdah, umat Islam menentukan nasib mereka dan membimbing pembangunan mereka dengan tangan mereka sendiri. Mereka sedar akan potensi mereka sendiri, dan mereka mula menggunakannya dalam menangani masalah yang dihadapi. (Ismail Raji al Faruqi, 1978:16).

Bertitik tolak dari kefahaman ini, gelombang Nahdah Islam ialah lanjutan dan kesinambungan fasa aṣ-ṣaḥwah al-Islāmiyah yang telah berlangsung sedari awal penubuhan ABIM. Walhasil, agenda Nahdah Islam bukanlah suatu rekayasa baharu yang bermula dari sifar tanpa sebarang asas pijakannya. Ia merupakan satu proses revisiting dan reinventing yang merupakan sebahagian dan proses muhasabah ke arah pengislahan.
Bahkan ingin kita tegaskan bahawa ath-thawabit dalam gerakan ini berupa Visi, Misi, Budaya serta watak dan jati dirinya sebagai sebuah harakah Islamiyyah dengan orientasi tajdidi-islahi berteraskan wahana dakwah dan tarbiyyah kekal seutuhnya. ABIM masih kekal, dan akan terus istiqamah menjunjung aliran wasatiyyah-waq’iyyah melalui pendekatan Manhaj Maliziy, sementelahan memelihara sifatnya sebagai sebuah gerakan kebeliaan dan masyarakat madani yang non-partisan.


Aṣ-ṣaḥwah al-Maqāsidiyyah

Justeru perubahan mendasar yang menjadi paksi utama Nahdah Islam ialah bingkai pemikiran dan metodologi berinteraksi dengan nass dan realiti serta hubungannya dengan al-waqi’, antara al-aṣalah dan al-mu’asarah, atau dalam ungkapan Tariq Ramadan, antara teks dan konteks.  

Dalam kaitan inilah gagasan transformasi pendewasaan kebangkitan Islam oleh Syekh Yusuf Qaradhawi yang dituangkan dalam karya pentingnya aṣ-ṣaḥwah al-Islāmiyyah min al-murahaqat ila ar-Rushd amat bermanfaat untuk dijadikan panduan. Yang terpenting dari urutan al-Khutut al-‘Asharah li Tarshid aṣ-ṣaḥwah - sepuluh garis besar fasa pendewasaan yang dirumuskan beliau ialah anjakan dari ‘simbol dan bentuk kepada hakikat dan intisari’ min al-Shakl wa al-mazāhir ila al- Haqiqah wa al-jawāhir.

Melatari proses anjakan pola fikir baru Nahdah ialah fenomena aṣ-ṣaḥwah al-maqāsidiyyah - perkembangan fenomenal dalam pemikiran Islam masa kini iaitu minat dan keghairahan mewacanakan isu maqasid al-shari‘ah.  Telah bangkit satu kesedaran baharu yang dipelopori oleh para ilmuwan maqasidiyyun kontemporari tentang peri pentingnya maqasid al-shari‘ah, iaitu tujuan-tujuan Syariah dan rahsia-rahsia yang diletakkan Allah pada setiap hukumnya, sepertimana yang ditakrifkan oleh Állal al-Fasi. Tujuan terutama Syariah menurut Muhammad Tahir Ibn Áshur dalam karyanya Maqasid al-Shari‘ah al-Islāmiyyah ialah mendatangkan kebaikan untuk para hamba di dunia dan di akhirat dan menggelakkan keburukan dari mereka di dunia dan di akhirat.

“Shari’ah aims at the acquisition of what is good and beneficial (jalb al masalih) and the rejection of what is evil and harmful (dar’u al-mafasid). We can consider this as a fundamental universal rule of the Shari’ah. Thus, it is firmly established that the all-purpose principle of the Shari’ah is to achieve righteousness and goodness (salah) in the world and remove corruption from it. This can happen only by setting humankind’s affairs to rights and removing the corruption that it produces” - Treatise of Maqasid (M. el Tahir el Mesawi 2006:94)

Justeru maqasid al-shari‘ah yang terumus dalam al-kulliyyat al-khamsa menggariskan pemeliharaan unsur-unsur asasi berikut dari sebarang pencerobohan: hifz al-din (memelihara agama), hifz al-nafs (memelihara nyawa/jiwa), hifz al-`aql (memelihara akal), hifz al-nasl (memelihara keturunan) dan hifz al-mal (memelihara harta).

Seperangkat nilai ini pada hakikatnya adalah nilai-nilai dasar sejagat yang dapat diterima oleh semua agama dan budaya. Justeru menurut Jasser Auda (2014) pendekatan berasaskan maqasid merupakan satu bingkai dan wasilah (instrumen) yang sesuai digunapakai untuk pelbagai keperluan: penggubalan dasar, projek pembangunan dan hak asasi manusia, elemen pemerataan nilai-etika sejagat, pemangkin kebangkitan peradaban Islam dan jambatan penghubung antara pelbagai mazhab, agama dan tamadun.

Maka dengan kefahaman terhadap keterikatan Syariah dan Maqasidnya, penegakan Syariah yang kita perjuangkan secara komprehensif dalam fasa Nahdah Islam bukan cuma aspek ‘bentuk’ pelaksanaan hukumnya semata, tetapi turut merangkumi ‘hakikat dan intisarinya’ iaitu yang pertama - al-Qiyam (nilai/values) dan yang kedua Maqasid yakni objektifnya. 


MEMARTABATKAN KHAYRA UMMAH

Gelombang Nahdah yang dikemudi ini akan memberi penekanan kepada agenda memartabatkan khayra ummah. Sejak awal penubuhannya, ABIM amat menginsafi peranannya sebagai gerakan pewaris misi profetik dan penerus risalah Nubuwwah yang membawa agenda pencerahan, pembebasan, pemberdayaan dan pemerkasaan umat manusia keseluruhannya. Memang khayra ummah itulah martabat yang selayaknya ditempati oleh umat Islam seperti yang dinyatakan lewat
firman Allah SWT;
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.”

(Surah Ali Imran: Ayat 110)

Sebagai pemegang gelar khayra ummah, umat Islam harus disedarkan dan digerakkan agar menepati martabat dan fungsinya sebagai umat terbaik yang diutus bagi sekalian umat manusia. Dalam konteks ayat ini, huraian Taha Jabir al-Alwani yang diungkapkannya sebagai ummat mukrajah mukrijah begitu relevan untuk difahami. Umat mukhrajah adalah umat yang ditampilkan dengan misi berbakti kepada masyarakat manusia (ukhrijat li al-nas). Umat ini menjadi ummah mukhrajah kerana hasil usahanya ke arah mencapai syarat khayriyyatul ummah seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas iaitu melaksanakan amar ma‘ruf, mencegah kemungkaran, serta beriman kepada Allah SWT. Penegasan ini adalah selari dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Muhammad ‘Imarah dalam memahami konsep khayriyyatul ummah. Menurut beliau, keunggulan umat ini ialah keunggulan bersyarat, bukan keunggulan yang diwarisi atau berasal daripada keturunan - khayriyyatul ummah shurūt muktasabah la ‘unsuriyyah mawrūthah.

Umat mukhrijah pula adalah umat pembebas manusia dari segala bentuk belenggu musibah yang terliput dalam kata al-zulumat untuk dibawa ke tengah benderang cahaya kebenaran dan keadilan (litukhrija al-nās min al-zulumāt ila al-nūr). 

الر ۚ كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

Inilah Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.  (Surah Ibrahim: Ayat 1)

Dengan mengambil maknanya daripada pelbagai tafsiran para ulama’, al-Alwani merumuskan bahawa umat mukhrijah membawa maksud umat terbaik yang ditampilkan kepada seluruh manusia untuk    memberikan khidmat kepada manusia (li khidmatin naas) dan manfaat kepada manusia (li naf’in naas).  Justeru gerakan dakwah harus memainkan peranannya sebagai gerakan ummatik yang diutus untuk memberikan khidmat dan manusia keseluruhannya tanpa mengira warna kulit dan latar bangsa, meliputi ummah al-ijābah dan ummah al da‘wah, yang sedia Islam dan bukan Muslim keseluruhannya.

Ini selari dengan tafsiran Abdullah Yusuf ‘Ali yang merumuskan; “The logical conclusion to a Universal Religion is a non-sectarian, non-racial, non-doctrinal religion, which Islam claims to be. For Islam is just submission to the Will of Allah.” 

Ilmuwan Indonesia, Kuntowijoyo telah menjadikan ayat 110 Surah Ali Imran ini sebagai asas kepada gagasan ‘Ilmu Sosial Profetik’ - sebuah upaya menterjemahkan ajaran Islam dalam aktivisme membangun umat. Menurutnya, umat Islam tidak secara automatik menjadi umat terbaik.  Selain berusaha memenuhi syarat-syaratnya, umat Islam mestilah bekerja di tengah-tengah manusia (ukhrijat li’l nas), bukan beruzlah mengasingkan diri dari bergelut dengan permasalahan umat. Maka yang harus menjadi tumpuan aktivisme Islam ialah penjelmaan nilai-nilai Ilahiah yang terkandung di dalam amar ma’ruf nahi mungkar dalam masyarakat. Justeru menurut Kuntowijoyo, komitmen utama Paradigma Ilmu Sosial Profetik sebagai sebuah gerakan intelektual danaktivisme ialah Umat - yang meliputi masyarakat, komunitas, rakyat, kaum, bangsa. 

Justeru agenda memartabatkan khayra ummah akan menumpukan usaha penghayatan nilai-nilai amr bi al-ma‘ruf dan an-nahy ‘an al –munkar dalam masyarakat sehingga ia sebati menjadi apa yang diistilahkan sebagai watak dan jati diri bangsa. Secara konsekuensial, bangsa dan masyarakat yang sedemikian akan memiliki kepedulian kolektif yang tinggi terhadap tanggungjawab mendaulatkan nilai-nilai kemakrufan dan memerangi gejala-gejala kemungkaran. Kawalan sosial yang terhasil dari kepedulian kolektif tersebut dengan sendirinya akan mendorong kehidupan masyarakat agar sentiasa terpelihara dalam persekitaran al-ma‘ruf dan terhindar dari pencemaran al-munkar dan kefasadan.

Dengan terbinanya masyarakat khayra ummah yang berpesan-pesan dengan kebaikan dan kebenaran, peranan melaksanakan amar makruf nahi mungkar tidak lagi hanya terbeban di pundak penguasa. Memang umatlah sebenarnya yang merupakan induk dan diberikan kedudukan yang sentral dari sudut tumpuan syarak (khitab syarie) secara prinsip atau umum, juga dari sudut bidang kuasa, tanggungjawab atau keutamaan. Dinamika umat yang dimartabatkan peran serta dan penglibatannya dalam ruang awam kontemporari harus diterjemahkan dalam bentuk gerakan massa kerakyatan atau masyarakat madani yang melaksanakan misi Islah.

Dan Tuhanmu tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya adalah orang yang berbuat kebaikan.  (Surah Hud: Ayat 117)

KEDAULATAN RAKYAT  
         
Islam mengutamakan kedudukan umat atau rakyat sebagaimana yang dibahaskan oleh al-Raysuniy dalam bukunya, al-Ummah Hiya al-Asl. Demikianlah hakikatnya, ayat-ayat al-Qur’an secara umumnya menumpukan perhatian yang sangat besar pada umat berbanding yang ditujukan kepada pemerintah. Dalam erti kata lain, umat (rakyat) adalah tonggak yang mempunyai peranan yang sangat besar jika dibandingkan dengan kerajaan, yang hakikatnya hanya berfungsi sebagai alat pelaksana kemahuan umat. Hakikatnya; demokrasi pada dasarnya adalah kuasa rakyat yang merealisasikan pemerintahan rakyat untuk rakyat.

Al-Raysuni menyimpulkan bahawa dengan mengiktiraf pemusatan untuk ummah sebagai induk dan mengakui kebebasan ummah untuk berinisiatif, berfikir, bersuara dan bertindak, maka ummah akan bergerak maju ke hadapan. Inisiatif-inisiatif yang digerakkan Ummah ini akan menyumbang secara positif kepada dawlah (negara) terutama sekali dalam aspek kepimpinan dan pengawasannya. Susulan daripada inisiatif tersebut daulah akan menjadi lebih teguh, harmoni dan maju ke hadapan.  

Mohamad Hashim Kamali dalam kajian pentingnya Citizenship and Accountability of Government berhubung konsep dan amalan akauntabiliti kerajaan menurut Islam (muhasabah) telah menggariskan 10 prinsip asas.  Kemuncak pada urutan garis-garis akauntabiliti yang dirangkumi menerusi prinsip shura, amanah, nasihah serta haqq ialah hakikat bahawa umat merupakan masdar al-sultat (locus of all authority) – yang membentuk sumber kekuasaan.  Dalam teori perlembagaan dan kenegaraan Islam, tegas beliau “……the community, or ummah is the locus of political authority and the head of state represents that authority in his capacity as representative (wakil) of the community.”.

Konsep rakyat sebagai akar tunjang negara adalah asas penting yang dikongsi dalam wacana-wacana politik kenegaraan dan pentadbiran negara, tamadun dan peradaban sejagat. Sebagai contoh, faham mengenai konsep small government tidak hanya unik dalam amalan demokrasi ala-Amerika Syarikat atau statecraft acuan Barat.  Dalam kajiannnya, John C.H.Wu telah merumuskan falsafah politik Cina seperti berikut; “The Chinese philosophy of political authority may be summed up in a few words. The political authority is a Mandate of Heaven upon the government for the welfare of the people. The government is created by the people, not people for the government” (John C.H. Wu, 1968, hal.214-15).  Beliau seterusnya mengemukakan pepatah hikmah tradisi yang menjadi inspirasi kepada Lao Zu dan sarjana Konfucius;

Rakyat harus dihargai
Dan tidak seharusnya ditindas
Rakyat merupakan akar tunjang sesebuah negara
Dan, andai akar-tunjang itu teguh, maka negara akan aman bahagia.

Kita juga tidak dapat bersetuju apabila dikatakan yang punya daulat itu diekslusifkan hanya untuk para pemimpin dan pemerintah, dengan mengesampingkan peranan rakyat. Adalah wajar untuk kita sama-sama menghayati pesan Bapak Mohammad Hattta, pahlawan proklamator kemerdekaan dan Wakil Presiden Republik Indonesia yang pertama ketika mengungkapkan konsep Daulat Rakyat;

Saya mempunyai keyakinan bahawa tidak pemimpin, berapa juga pintarnya dan mampunya, melainkan rakyat sendiri yang cakap memperbaiki nasibnya…Negeri hanya dapat maju, kalau rakyat turut menimbang mana yang baik dan mana yang buruk untuk orang banyak. Pendeknya, rakyat yang tahu memerintah diri sendiri, tahu mempunyai kemauan dan melakukan kemauan itu. Rakyat yang tidak mempunyai kemajuan, yang hanya tahu menerima perintah, rakyat yang demikian tidak akan pernah merdeka”.   (Nina Pane ed., 2015)


Istibdad dan Pembebasan

Salah satu tuntutan penting misi pemberdayaan umat ialah mengangkat kemampuan umat. Umat perlu diberdayakan agar mereka bebas dari belenggu kejahilan, kemiskinan dan kebergantungan. Umat perlu diyakinkan untuk bangun mandiri di atas kaki mereka sendiri. Kedaulatan rakyat haruslah dijelmakan melalui kemandirian ekonomi dan pembangunan institusi-institusi kerakyatan dan masyarakat madani sebagai agen transformasi sosial untuk memenuhi keperluan rakyat di  akar umbi.

Gerakan pencerahan umat turut meliputi perjuangan mewujudkan budaya berasaskan konsep pembebasan dan pencerdasan, kerana dinamika intelektual akan hanya tumbuh apabila rakyat dibebaskan dari budaya takut dengan memberikan ruang yang secukupnya untuk berfikir, bersuara, berwacana dan berkarya. Sebelum tersentuh dengan cahaya pembebasan dan pencerahan Tauhidik, ternyata secerdas-cerdas manusia seperti ‘Umar al-Khattab turut terbelenggu dengan kejumudan yang dicorakkan persekitaran dari budaya Arab Jahiliah. Justeru gerakan pencerahan dan pemberdayaan umat seperti yang digerakkan Nabi Musa a.s, perlu membebaskan umat dari cengkaman penindasan dan segala belenggu kegelapan akibat dari penyakit jiwa hamba,   keterkongkongan minda dan budaya takut. 

 وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَذَكِّرْهُمْ بِأَيَّامِ اللَّهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ

Dan sesungguhnya Kami utuskan Nabi Musa dengan membawa ayat-ayat Kami dan berkata: Keluarkanlah kaummu dari kegelapan kepada cahaya iman dan ingatkan mereka akan hari Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi setiap orang yang sabar, lagi kuat bersyukur.      (Surah Ibrahim: Ayat 5)

Dalam kaitan inilah penting kita ketengahkan fiqh al-taharrur iaitu Fiqh Pembebasan yang mampu membebaskan umat dari belenggu ketakutan dan penindasan.   Ini termasuk sekali  keupayaan untuk mengenalpasti punca utama di sebalik mereputnya potensi umat dalam leluasa budaya takut dan alergik terhadap apa yang dikatakan sebagai perubahan dan kebebasan.  ‘Abdul Rahman al-Kawakibiy, ideolog dan antara tokoh  terpenting Nahdah Arab telah mengenalpasti bahawa punca kepada penyakit umat ialah penindasan politik - al-Istibdad al-Siyāsiy. Ia merupakan penyakit utama, di sebalik lingkaran berantai dalam bentuk penindasan yang membelenggu umat. Justeru lewat karya pentingnya yang didedikasikan khas buat generasi, Tabai’ al-Istibdad wa Masari’ al-Isti’bad, Al-Kawakibi menumpukan penulisannya kepada penindasan  (Istibdad) yang merangkumi perbincangan mengenai punca, kemunculan, perkembangan, tabiat serta pengaruh tirani ke atas mereka yang ditindas.

Istibdad atau despotisme merujuk kepada individu atau pemerintah yang merampas dan menyalahgunakan hak rakyat tanpa ada rasa takut terhadap sebarang pembalasan dan hukuman akibat perbuatannya. Sesebuah kerajaan akan berubah menjadi despotik apabila ia bertindak tanpa mengikut lunas undang-undang.  Hatta jika wujud undang-undang sekalipun, kerajaan yang berbentuk despotik ini akan menggunakan kuasanya untuk melangkaui atau membentuk kerangka perundangan yang ditetapkan mengikut keinginan hawa nafsu! Dalam kata lain  pemimpin dan kerajaan despotik memerintah dengan “iradat”nya, bukan berasaskan kepada iradat al-umma (kehendak rakyatnya).

Rakyat disuruh mengikut kemahuan Sang pemimpin, walhal kemahuan rakyat yang diwakilinya tidak disantuni. Inilah wajah pemimpin curang yang digambarkan dalam sastera Melayu.

Istibdad merupakan epidemik yang mem’bongkang’kan secara sistemik seluruh aspek kehidupan rakyat – meliputi aspek urusan agama, bidang ilmu, ekonomi, akhlak, pendidikan dan pembangunan – dari yang di atas sampailah yang paling bawah, merentas yang baik mahupun yang durjana.

Al-Kawakibiy mengungkapkan bahawa keburukan yang paling sedikit dibudayakan oleh istibdad terhadap akhlak rakyatnya, iaitu dengan menjadikan yang “terbaik” dalam kalangan mereka hipokritik – yakni memiliki nilai dan agama tanpa kebenaran. Yang durjana dalam kalangan mereka pula akan aman dari kritikan kerana rakyat yang ditindas takut mendedahkan hakikat penyelewengan mereka. Justeru beliau menyimpulkan bahawa usaha merubah dan menghapuskan al-istibdad al-siyāsiy harus bermula dengan kesedaran umat. Umat yang tidak langsung merasa “kesakitan” akibat ditindas, sebenarnya tidak berhak menikmati erti kebebasan hakiki.

Al-Kawakibiy juga mengingatkan bahawa istibdad sebagai suatu penyakit tidak akan sembuh dengan sekadar menggantikan penindas sedia ada, hanya untuk terus ditindas oleh Sang penindas yang baru!  Yang perlu dirubah untuk merealisasikan cita-cita besar ke arah Memartabatkan Khayra Ummah ialah budaya penindasan keseluruhannya, oleh sesiapapun, dan dari kelompok mana pun ia datang!

Dalam merangka reformasi-Islahi dan pemberdayaan rakyat ini,gerakan dakwah harus mampu membentuk kekuatan pembebas dari istibdad dan budaya takut. Tanpa keberanian, tidak akan berlaku sebarang perubahan. Maklumat berupa pendedahan terhadap kebobrokan yang berlaku    -   dalam bentuk sebanyak mana dan hatta selengkap mana pun -  tidak akan dapat merubah sikap rakyat selagi mereka masih terbelenggu dalam budaya takut.

Misi Islam sebagai agama pembebasan juga tidak akan terlaksana di tangan pendakwah yang penakut dan ilmuwan yang khianat.  Seseorang daíe-ilmuwan sejati  tidak perlu takut kepada sesiapa dan apa-apa pun selain Allah S.W.T.   Atas kesedaran yang mendalam terhadap ‘amanah ar-Risalah dan amanah al-da’wah inilah kita mengimbau peringatan yang diberikan tokoh para tabi’ien Sa’id bin Jubayr Radhia’alLahu‘anhu kepada Amir al- Sya’bi,  teman sepenjaranya menjelang saat-saat kematiannya di tangan Hajjaj bin Yusuf at-Tsaqafiy yang masyhur dengan kezalimannya. Sa’id bin Jubayr tidak meninggalkan dunia menemui penciptanya sebelum meninggalkan amanat penting yang dikongsi dengan catatan tinta emas oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawiyy menerusi karya sasteranya ‘Alim wa Taghiyyat.

يَا شَعْبِي كَمَا يَحْتَاجُ النَّاسُ اِلَى مَنْ يُعَلِّمُهُمُ الْفِقْهَ ،
يَحْتَاجُونَ الى مَنْ ُعَلِّمُهُمُ الثَّبَاتَ عَلَى الحَقِّ فِي وَجْهِ الجَبَائِرَةِ الطُغَاةِ

Wahai Sya’bi! Sebagaimana halnya manusia memerlukan orang yang dapat mengajari ilmu fiqh, maka mereka juga memerlukan orang yang dapat memantapkan hatinya untuk menghadapi penguasa-penguasa tirani.

Islam dan Kerahmatan Sejagat  

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi  rahmat bagi sekalian alam. (Surah al-Anbiyaa: ِِِAyat 107)

Surah al-Anbiya’ (para nabi) membentangkan mengenai kisah para nabi dan peranan mereka dalam menghadapi kaum masing-masing dalam usaha mengislah dan mengajak kepada Allah SWT dan risalah Tauhid. Menurut para mufassirin, ayat 107 yang diturunkan di penghujung surah ini merupakan penegasan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW bahawa sebagai pelanjut risalah nubuwwah,  baginda tidak diutuskan “kecuali untuk menjadi rahmat kepada manusia dalam urusan dunia dan akhirat mereka”.  Ibn ‘Ashur menyatakan rahmah tersebut didatangkan dalam dua bentuk. Rahmat yang pertama dizahirkan melalui sifat dan akhlak junjungan baginda itu sendiri, sepertimana dalam sabdanya;

ِنِّي لَمْ أُبْعَثْ لَعَّانًا وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً
Sesungguhnya aku tidak diutuskan untuk laknat-melaknat, tetapi sesungguhnya aku diutuskan untuk membawa rahmat.
(Diriwayatkan oleh Abu Hurayrah seperti dalam Sahih Imam Muslim.)

Yang kedua, rahmat terkandung dalam kesempurnaan Syariat Muhammadiyyah berbanding syariat para nabi sebelum baginda dengan sifatnya khususnya yang memudahkan, bukan menyulitkan Rahmat Allah meliputi segala sesuatu wasiát kulla syai’ dan melimpahi sekalian kehidupan (zaatal hayah).  Manusia, sama ada Islam ataupun bukan Islam, alam sekitar, haiwan,  flora dan fauna kesemuanya berada dalam naugan kasih sayang Allah SWT.  Dalam konteks yang lebih luas, rahmat Allah bererti belas dan kasih yang melimpah, bakti kemanusiaan yang menyejagat, khidmat kebajikan yang inklusif meratai seluruh warga bumi Ilahi.

Oleh itu, menurut Abdullah Yusuf ‘Ali, “Islam hidup bukan untuk dirinya sendiri, tetapi untuk seluruh kemanusiaan”. Rahmat Allah dan Islam adalah untuk disebarkan kepada sekalian manusia merentas bangsa, agama dan ideologi, bukan untuk dibolot sendirian oleh umat Islam.   Manusia bermentaliti Arab badawi sebeginilah yang ditegur oleh junjungan baginda SAW ketika mendoakan rahmat hanya untuk dirinya dan Muhammad, tidak selainnya!
لَقَدْ حَجَّرْتَ وَاسِعًا يُرِيدُ رَحْمَةَ اللَّهِ

“...Engkau menyempitkan yang luas!” Maksud baginda adalah rahmat Allah.  (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Bab Adab)

Maka sebagai penerus risalah para anbiya’, gerakan dakwah haruslah tampil dengan penuh wibawa bagi menampilkan kembali citra Islam sebagai agama rahmat dan kasih sayang sekaligus menjelmakannya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. 

Islam dan Masyarakat Majmuk:  Ke Arah Pembinaan Bangsa Malaysia

Rekod kepeloporan ABIM dalam menyikap dan menuangkan gagasan Islam dalam masyarakat majmuk telah diungkapkan secara jelas dan tegas seawal 1978 lewat Muktamar ABIM ke-7 melalui Pengisytiharan 24 Syaaban 1398H bersempena Muktamar ABIM ke-7 pada 30 Julai 1978.

Pendirian ABIM ini telah diperkukuhkan melalui melalui Ucapan Dasar Sdr. Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ketika itu yang telah mengangkat tema Islam – “Penyelesaian kepada Masyarakat Majmuk” pada Muktamar Sanawi ke-8.  Beliau menegaskan,
Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, langkah utama haruslah ke arah penghakisan aliran perkauman sempit dan cauvinisma.”

Ternyata seruan yang dikumandangkan sejak empat dekad lalu masih relevan dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Bahkan kita dapati hari ini - di sebalik riang-riuh perpaduan ‘superficial’ 1 Malaysia; kita menyaksikan bahawa polarisasi perkauman antara masyarakat Malaysia semakin jauh dan menjarak. Bukan sahaja lewat perpolitikan dan bidang sosio-ekonomi, bahkan isu rasisme dan perkauman sempit telah mewabak ke dalam hampir segenap dimensi kehidupan rakyat Malaysia, termasuklah dalam bidang sukan tanah air yang sebelum ini merupakan lahan subur perpaduan setiap lapisan bangsa di Malaysia.

Di sebalik arus kesedaran Islam yang dirasakan semakin meningkat dalam kalangan Umat Melayu, adalah sesuatu yang menjengkelkan; tatkala melihat semangat perkauman sempit dan aliran rasisme diberi ruang yang luas oleh penguasa untuk berleluasa. Islam yang sepatutnya tampil sebagai agen pembebasan: membebaskan manusia dari diskriminasi dan ketidakadilan berlandaskan kasta, ras, kelas dan perkauman; bahkan telah sebaliknya ditampilkan di tangan sekelompok kecil pemuka asabiyyah dan syu’ubiyyah faham perkauman sempit. Hal ini menyebabkan Islam disalahtafsirkan seolah-olah membenarkan peremehan, penghinaan dan bersikap diskriminatif lagi tidak adil terhadap bangsa atau penganut agama lain.

Justeru sekali lagi ingin kita tegaskan, bahawa keyakinan kita sejak dahulu, bahawa yang memiliki formula menangani persoalan kemajmukan dan pluraliti adalah Islam, bukan cauvinisme, bukan nasionalisme sempit, dan pastinya bukan samseng-isme.

Dalam Syarahan Perdananya di Kuala Lumpur yang bertajuk A Muslim Century: Myth or Reality?  In Search of Modern Pillars of Wisdom, Ali  Al-’amin Mazrui menitipkan satu pengamatan yang tajam tentang keunikan umat Melayu di rantau ini. Menurut beliau, kelihatannya seolah-olah Allah yang Maha Berkuasa menggunakan sejarah orang Melayu sebagai ujian untuk menguruskan kemajmukan budaya. Dengan memetik firman Allah di dalam ayat 13 Surah al-Hujurat berkaitan konsep kemajmukan, beliau mengacukan persoalan yang wajar direnungi secara mendalam,
Was it part of God’s grand design that the history of the Malay people has included a naturalist phase, a Buddhist phase, a Hindu phase, and finally a Muslim phase? Was this multi-religious evolution of the Malay people intended to be a preparation for future multi-cultural leadership? (Ali Mazrui, 2010:5)

Formula penyelesaian yang ingin kita tawarkan sebagai bahagian penting gelombang baru Nahdah ini ialah gagasan pembinaan Bangsa Malaysia. Merekayasa pembentukan suatu bangsa yang terdiri dari pelbagai suku dan penganut agama; sebenarnya bukanlah suatu yang sama sekali asing dalam sejarah politik Islam. Dalam kaitan inilah rujukan kepada konsep pembentukan dokumen Sahifah Madinah, yang mengandungi garis-garis besar pembentukan suatu Ummah yang terdiri daripada kaum Muslimin dan kaum Yahudi, seperti yang terungkap dalam Fasal 25, “wa anna Yahuda bani Áwf ummatun ma’a al-Muslimin”. Ungkapan ‘ma’a al-Muslimin’ (bersama kaum Muslimin) dan bukannya ‘min al Muslimin’ (sebahagian dari kaum Muslimin); membawa implikasi bahawa masyarakat Yahudi menjadi sebahagan daripada ‘Ummah siyasiyah’ (Umat politik) Madinah yang inklusif bersama-sama dengan Umat Islam. Ini dibezakan dengan konsep ‘Ummah dinniyah’ iaitu Umat keagamaan Islam.

Dalam konteks inilah, Siddiq Fadzil (2016) merumuskan bahawa kemajmukan atau istilah Arabnya yang dipakai secara meluas oleh sarjana Muslim kontemporari – at-taáddudiyyah -  sebagai fakta dan kenyataan yang selamanya diterima dan diakui oleh Islam. Dalam hubungan ini, satu lagi istilah penting yang melibatkan hubungan antara Islam dan bukan Islam ialah konsep ukhuwwah yakni persaudaraan.

Dalam menghuraikan makna kalimah ‘li akhihi’ dalam hadis di atas, Syeikh Abdullah Ben Bayyah telah mengenengahkan pandangan Ibn Rajab al-Hanbali, al-Shabrakhiti  yang menafsirkannya sebagai ‘persaudaraan kemanusian’ dan tidak terbatas kepada ukhuwwah Islamiyyah. Imam al-Nawawi dan íbn al- Imad, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Muhammad Afifi al-Akiti – menafsirkannya ‘…to include of all humanity i.e brotherhood of mankind’. Bahkan beliau mengenengahkan tafsiran Imam Najmuddin at-Tufi dalam al-Ta’yin fi Sharh al-Arba’in bahawa persaudaraan itu membawa maksud mahabbat al-Insan – the love of mankind. Dengan kefahaman ini, jelaslah bahawa perasaan kecintaan seperti yang terkandung dalam hadis ini amat terkait dengan persaudaraan kemanusiaan - ukhuwwah insaniyyah – yang universal merentas batas bangsa dan agama. 

Fenomena kemajmukan ini telah ditangani dalam bentuknya yang realisitik-pragmatik; berasaskan neraca keadilan oleh Baginda Rasulullah SAW sendiri, melalui prinsip-prinsip perlembagaan yang tercatat dalam Sahifah Madinah.  Yang terpenting, perlembagaan tersebut jelas memberikan kewargenaraan penuh (al-muwatanah al-kamilah) kepada masyarakat Yahudi dengan status, hak dan tanggungawab yang sama dengan Umat Islam, dan bukannya warganegara kelas dua.

Dalam kaitan ini, Muhammad Salim el-Awa menegaskan bahawa kewarganegaraan yang terhasil dari Sahifah Madinah tersebut sebenarnya bukanlah berasaskan mana-mana agama. Bahkan, muwathanah haruslah bersandarkan kepada kesaksamaan (equality) di antara Muslim dan bukan Muslim, selari dengan konsep ‘karamah insaniyyah’ lewat firman ALLAH SWT dalam Surah 17:70: ‘wa laqad karramna bani Adam’.

Justeru, tanggungawab bersama setiap warganegara berasaskan model Sahifah Madinah terkandung dalam konsep ‘nasrah wa-taáwun’ (bantu-membantu dan berkerjasama) Penghuraian kepada Sahifah Madinah bukanlah bermakna ABIM mencadangkan pemaikaiannya dalam bentuk asalnya dalam konteks hari ini. Sebaliknya, yang perlu dicontohi dan diaplikasikan ialah prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan nilai universal Islam yang tertuang di dalamnya. 

Agenda pembinaan Bangsa Malaysia yang didasari oleh semangat persaudaraan tanahair dan ukhuwwah insaniyyah sekaligus bebas dari chauvinisme, rasisme, kecurigaaan dan kecemburuan sosial memang sulit dan berliku. Namun kita tidak punya pilihan selain mengambil jalan kepeloporan yang sememangnya menjadi watak dan jati diri gerakan ini. Jika bukan kita, siapa lagi?

ABIM JURUBICARA UMMAH
Penyataan sikap yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja Melayu pada 7 Oktober 2015 yang lalu berkenaan  skandal  1 MDB, adalah  bukti kekhuatiran yang nyata terhadap impak skandal ini terhadap negara. Kekhuatiran ini semakin berasas setelah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan berlakunya kelemahan tadbir urus di dalam badan tersebut pada 7 April 2016 lalu di sebalik klasifikasi ‘rahsia’ ke atas laporan 1MDB oleh Ketua Audit Negara.  Kemuncaknya ialah pendedahan yang dikemukakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) bahawa negara ini telah terjerumus ke kancah kleptokrasi.  Skandal besar ini telah mencalarkan maruah negara serta rakyat Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

Skandal kewangan yang diakibatkan oleh syarikat pelaburan 1MDB ini telah memberikan kesan besar terhadap kelestarian ekonomi negara. Berdasarkan keadaan ini, ABIM telah menggesa proses siasatan serta tindakan perundangan secara bebas dan telus, termasuklah pendakwaan ke atas individu yang bertanggungjawab. Tindakan penting dilakukan bagi membina semula bibit keyakinan terhadap sistem urus  tadbir, perundangan, dan pengurusan ekonomi negara yang semakin  pudar integritinya.

Krisis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara tambah merosot dengan penemuan dan rampasan menjolok mata wang ringgit berjumlah RM 112 juta membabitkan pegawai-pegawai tertinggi di Jabatan Air Sabah. Skandal korupsi, rasuah dan penyelewengan juga telah memalitkan agensi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Bank Rakyat. Korupsi yang telah nyata mewabak di tanah air tercinta kita pada hari ini semakin menyebati dan kian dianggap sebagai satu lumrah kebiasaan dalam masyarakat.

Kebimbangan terhadap pembudayaan korupsi inilah yang dikeluhkan oleh pemuisi Indonesia Taufik Ismail   dalam sajaknya ‘Mungkin Sekali Saya Sendiri Juga Maling’

Penamaan koruptor sudah tidak menggigit lagi kini,
istilah korupsi sudah pudar dalam arti.
Lebih baik kita memakai istilah ”malling”.
Malling dengan dua el, membedakannya dari maling dengan satu el.
Lihatlah para maling itu kini mencuri secara berjamaah.
Mereka bersaf-saf berdiri rapat, teratur berdisiplin dan betapa khusyu’.
Begitu rapatnya mereka berdiri susah engkau menembusnya.
Begitu sistematiknya prosedurnya tak mungkin engkau menyabotnya.
Begitu khusyu’nya, engkau kira mereka beribadah.
Kemudian kita bertanya, mungkinkah ada maling yang istiqamah?
Lihatlah jumlah mereka, berpuluh tahun lamanya,
membentang dari depan sampai ke belakang,
melimpah dari atas sampai ke bawah,
tambah merambah panjang deretan saf jamaah.
Jamaah ini lintas agama, lintas suku dan lintas jenis kelamin.
Bagaimana melawan maling yang mencuri secara berjamaah?
Bagaimana menangkap maling yang prosedur pencuriannya malah dilindungi dari atas sampai ke bawah?
Bagaimana ini?
Tangan kiri jamaah ini menandatangani disposisi MOU dan MUO (Mark Up Operation),
tangan kanannya membuat yayasan beasiswa, asrama yatim piatu dan sekolahan.
Kaki kiri jamaah ini mengais-ngais upeti ke sana ke mari,
kaki kanannya bersedekah, pergi umrah dan naik haji.
Otak kirinya merancang prosentasi komisi dan pemotongan anggaran,
otak kanannya berzakat harta, bertaubat nasuha dan memohon ampunan Tuhan.
Bagaimana caranya melawan maling begini yang mencuri secara berjamaah?
Jamaahnya kukuh seperti diding keraton,
tak mempan dihantam gempa dan banjir bandang,

Keprihatinan terhadap latar sosio-ekonomi semasa dan kedaulatan ekonomi negara turut mendorong ABIM untuk memfailkan semakan  kehakiman bersama-sama beberapa rakan NGO pada 4 November 2015 bagi untuk menghalang perlaksanaan Perjanjian Perdagangan Trans-    Pasifik  (TPPA) di antara Malaysia, Amerika Syarikat dan 11 negara lain. Semakan ini dibuat bersandarkan premis bahawa sistem kehakiman  negara harus berperanan sebagai “ultimate interpreter” yang  melindungi kepentingan rakyat serta negara berdasarkan ketetapan-ketetapan Perlembagaan Persekutuan.  Tatkala calon-calon utama piliharanraya Presiden Amerika Syarikat secara terang-terangan menentang dasar pelaksanaan TPPA, ABIM telah meneruskan proses   semakan kehakiman di peringkat Mahkamah Persekutuan rentetan  keputusan Mahkamah Rayuan yang menafikan permohonan ABIM dalam kes Mohamad Raimi & 2 Others v Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak & 2 Others bertarikh 26 Julai 2016.

Pada awal tahun 2016, kita telah dikejutkan dengan perlaksanaan Dasar Dwi-Bahasa (DLP) di 300 buah sekolah di seluruh negara. ABIM bersama-sama dengan para pejuang Bahasa telah ke hadapan untuk menyatakan bantahan sekeras-kerasnya ke atas DLP menerusi pelbagai medium diplomasi serta advokasi. Kemuncaknya adalah ketika Perhimpunan Keranda 152 yang diadakan di hadapan Masjid Jamek Kuala Lumpur pada 26 Mac yang lalu. Sesungguhnya perlaksanaan DLP adalah satu penghinaan yang mencabar kedaulatan Bahasa Melayu sepertimana ditetapkan di dalam Perkara 152 (Perlembagaan Persekutuan).

MEMACU AGENDA KEPELOPORAN ABIM

Gelombang Nahdah bakal menumpukan pada agenda Islah dan pemberdayaan umat secara bertahap dan mengambil pendekatan menyeluruh.  Gerakan ini akan merangkumi usaha membangkitkan kesedaran, membina ketahanan dan membangunkan kemampuan umat. Projek pemerkasaan umat juga akan menumpukan kepada  pembinaan tiga elemen tunggak dalam proses perubahan iaitu kepimpinan yang    berwibawa, faham agama yang benar dan budaya yang kuat. Justeru bagi mengemudi gelombang Nahdah ini dan iltizam memartabatkan Khayra Ummah, ABIM akan menumpukan awlawiyyat kepada enam agenda   kepeloporan berikut yang meliputi beberapa aspek penting dalam pemberdayaan umat:

Pendidikan al-Hikmah

Pendidikan model al-Hikmah, seperti yang terumus dalam prinsip-prinsip pendidikan Luqman al-Hakim kepada anaknya adalah sistem yang menekankan hubungan kasih-sayang sesama warga, pendidik dan anak didik sehingga wujud iklim yang nyaman dan menyenangkan.      
       
Pendidikan merupakan agenda utama gerakan ABIM dan sekaligus our deepest conviction. Kita berkeyakinan penuh bahawa sebarang proses perubahan dan gelombang kebangkitan haruslah bermula dari pendidikan yang bersifat profetik dan bercirikan Rabbaniyyah.  Atas kesedaran itulah ABIM mempelopori rangkaian pendidikan  alternatifnya yang sehingga kini masih bertahan. Alhamdulillah, institusi-institusi pendidikan yang kita tawarkan dari pendidikan pra persekolahan ke pengajian tinggi disambut baik oleh umat.

Pemohonan masuk ke taski dan sekolah ABIM seringkali melebihi tempat terhad yang mampu ditawarkan. Dari segi pencapaian akademik pula, ternyata sekolah-sekolah kita berada di kelasnya tersendiri. Namun itu semua tidak mewajarkan kita untuk berpuas hati dan berhenti berikhtiar untuk maju ke hadapan bagi  meningkatkan prestasi dan menyuntik nilai tambah. ABIM sedang dan akan terus komited membina lebih banyak sekolah baru di negeri-negeri selain mengembangkan kembali rangkaian Taski ABIM di seluruh Negara.
           
Belia dan Keberanian Zaman

Belia sinonim dengan perubahan dan pembaharuan. Dengan jumlah belia dianggarkan seramai 50% daripada 28.4 juta rakyat Malaysia pada tahun 2016,  tidak menghairankan seandainya belia menjadi tumpuan pelbagai pihak berkepentingan, dari promoter bisnes atas talian hinggalah ke politikus yang menagih undi!  Tinjauan terhadap kajian- kajian terkini berkaitan belia di institusi penyelidikan belia dan universiti menjurus kepada tema besar iaitu aspek kesejahteraan hidup belia. Indeks Belia Malaysia misalnya mengukur tahap 12 domain kesejahteraan meliputi pembangunan kendiri, hubungan sosial dan tingkah laku devian. Dapatan Indeks Belia tahun 2015 menunjukkan   bahawa dua domain dengan skor terendah, dan untuk itu   harus diberikan perhatian ialah domain sosialisasi politik dan kesejahteraan ekonomi.  Inilah dua bidang yang akan diberi tumpuan oleh ABIM dalam tahun- tahun mendatang, khususnya aspek kesejahteraan sosio-ekonomi belia.

Hakikatnya, tanpa merujuk statistik sekalipun, kita dapat dengan mudah mengenalpasti permasalahan dan keluhan yang dihadapi oleh belia hari ini seperti pengangguran, komitmen kewangan dan beban hutang yang tinggi, kemuflisan, rumah tidak mampu milik, dan peningkatan kos sara hidup yang tinggi. Inilah masalah- masalah yang menjadi keluhan generasi muda. ABIM akan mengambil pendekatan membangunkan sepenuhnya potensi dan kreativiti generasi muda dalam rangka menyelesaikan sendiri masalah yang dihadapi. Sudah tiba masanya anak muda yang berjumlah hampir 14 juta orang membentuk keberanian zamannya sendiri, bebas dari sindrom kebergantungan dan mentaliti subsidi.

Sebagai sebuah organisasi yang menghargai bakat dan kreativiti orang muda, ABIM menjemput dengan tangan terbuka para belia yang mempunyai wawasan dan cita-cita besar di luar sana untuk berkongsi dan berkolaborasi bersama-sama kami dalam gelombang perubahan baharu ini. Teknologi dan kepercayaan masyarakat merupakan dua aset terpenting generasi muda yang harus digembeleng sepenuhnya ke arah perubahan. Berbekal keyakinan yang tinggi masyarakat terhadap NGO, para penggerak ABIM akan tampil lebih bertenaga bagi menggerakkan inisiatif-inisiatif inovasi sosial untuk memberdaya umat. Projek rintis yang digerakkan oleh ABIM Selangor, menerusi rangkaian pusat sehenti sosial Adab Youth Garage (ADAB) dan konsep Sekolah Masa Depan akan mengembangkan lagi peranan ABIM memberdayakan generasi muda di lapangan. 

Gerakan Amal Kemasyarakatan

Di antara ciri-ciri asas bagi gerakan Islam (min al-khasāis al-Asasiyah lil Harakah al-Islamiyyah) seperti ABIM ialah  sifatnya  sebagai sebuah    gerakan kemasyarakatan. Ciri-ciri ini telah  dipertegaskan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawiyy menerusi Awlawiyat  al-Harakah al-Islamiyyah fi Marhalah al-Qadimah, gerakan Islam tidak boleh sama sekali mengasingkan diri dari masyarakat, apatah lagi tercabut dari akar umat lalu menjadi gerakan yang bersifat elitis serta eksklusif. Justeru, adalah amat penting untuk para penggerak ABIM harus terus menyelami sehingga ke dasar dhamir dan suara hati umat.

ABIM akan terus membela golongan du’afa’, menyantuni kelompok fuqara’ wa al-masakin tanpa mengira latarbelakang kaum serta agama.  Kemiskinan dan kemelaratan tidak mengenal warna kulit atau faham agama dan ideologi. Inisiatif menghindarkan pelajar sekolah dari jebak masalah sosial telah dirintis menerusi program Dirimu Amat Berharga (DERMAGA). Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), Skuad Prihatin, khidmat nasihat guaman ABIM serta Biro Kesihatan ABIM (BKA) akan terus dikembangkan ke seluruh pelusuk negara. ABIM akan bangkit sebagai sebuah gerakan amal bakti kemasyarakatan yang sinonim membantu memenuhi keperluan fizikal, emosi, ruhaniah dan sosio-ekonomi umat, selari dengan mafhum peringatan Al-Qur’an di dalam Surah al Ma’un.

Pencerdasan Rakyat dan Pendemokrasian
Semenjak penubuhannya, ABIM tidak pernah absent dari mempelopori agenda pencerdasan dan pendemokrasian rakyat. Fokus akan ditumpukan kepada program-program pendidikan demokrasi dan kewarganegaraan dan pembelaan prinsip-prinsip al hurriyah (kebebasan), keadilan, hak asasi, kedaulatan  undang-undang dalam rangka membela dan memartabatkan kedaulatan rakyat dan karamah insaniyyah. ABIM akan turut ke hadapan dalam menggali tradisi fiqih dan pemikiran Islam dengan tumpuan khusus kepada pengajian turath siyāsiy. Kemahiran-kemahiran asas advokasi seperti pemikiran kritis, berpidato, menulis serta membina jaringan menerusi perhubungan awal (PR) akan turut dipergiat. Para penggerak ABIM harus berperanan proaktif bagi mendidik umat menerusi pelbagai saluran media sosial kontemporari seperti Facebook, Instagram, Whatapps, Telegram, Twitter, dan saluran-saluran lain yang bakal muncul pada masa akan datang.

ABIM dan Agenda Ummatik

Peranan ABIM sebagai global player di peringkat  antarabangsa perlu dikembangkan oleh para aktivisnya. Keprihatinan kita terhadap kemelut yang dihadapi umat Islam seluruh dunia dan isu-isu hak asasi sejagat akan terus disuarakan menerusi saluran diplomasi dan advokasi yang berkesan dalam pelbagai bentuk.

Jaringan antarabangsa ABIM dalam organisasi global seperti UNIW dan IIFSO jaringan perlu dimanfaatkan ke arah mencorak masa depan Islam secara proaktif.  ABIM sedang memberikan tumpuan khusus sebagai gerakan pelopor di kalangan masyarakat madani dalam  inisiatif Countering Violent Extremisme (CVE), komitmen yang kita  zahirkan melalui siri-siri persidangan meja bulat dan dialog.  Pada masa yang sama, rekod cemerlang ABIM dalam bidang kemanusiaan dan kesukarelawanan antarabangsa bakal diteruskan melalui agensi Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) serta Global Peace Mission (GPM) dengan tumpuan di Syria, Rohingya, Palestin serta Mindanao. Kami menyeru partisipasi serta sokongan yang luas dari para penggerak ABIM untuk terlibat sama menjayakan agenda Ummatik ini.

Membugar Budaya Dialog 

ABIM komited untuk memimpin gerakan pemugaran budaya dialog di Malaysia. Pendekatan dialog sebagai gaya pendekatan Quráni dirasakan pendekatan yang paling sesuai dan utama dalam interaksi masyarakat majmuk di Malaysia. Sebagai sebuah gerakan inklusif yang mengetengahkan gagasan Al-Islam Rahmatun Lil Alamin menerusi pendekatan kesederhanaan – Wasatiyyah, ABIM akan memainkan peranan yang instrumental dalam Friendship Group of  Inter Religious  Services (FGIS), Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA), Jabatan  Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan pelbagai platform lain di peringkat global dalam mempromosikan solidariti dan kebersamaan penganut agama dalam isu-isu etika dan kemanusiaan sejagat. Inisiatif dan siri kunjungan serta dialog FGIS melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Archbishop of Kuala Lumpur, Julian Leow Beng Kim, dan tokoh-tokoh agama dengan semangat persaudaraan insaniah merupakan amanah dakwah yang akan terus dipelopori oleh generasi muda ABIM.

Revolusi Intelektual dan Pembaharuan Pemikiran

Pembudayaan nilai ilmu dalam masyarakat merupakan  agenda ABIM sejak awal penubuhannya ABIM. Menerusi dunia penerbitan buku dan bahan ilmiah, ABIM cukup terkehadapan dalam memperkenalkan pemikiran tokoh-tokoh Islam kontemporari seperti Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, An-Nadwiy, Buya Hamka, Muhammad Iqbal, Badizuzzaman Said Nursi. Selari dengan semaraknya aṣ-ṣaḥwah  al-maqāsidiyyah,  ABIM akan mengorak langkah bagi memperkenalkan pemikiran tokoh – tokoh utama dan teks-teks pentingnya kepada  masyarakat. Penerbitan buku ‘Memahami Maqasid Shariah’ karya Jasser Auda sebelum ini dan ‘Kebebasan dan Pembebasan’ karya al-Raysuniy pada Muktamar ini akan diteruskan dengan penulisan, penterjemahan dan penerbitan yang lebih prolific dalam maudhuk tersebut.        

Sehubungan dengan itu juga, ABIM telah merintis kerjasama dengan Institut Darul Ehsan dan Kolej Dar  al-Hikmah untuk menganjurkan siri telaah karya Maqasid Shariah yang dimulakan dengan kitab Maqasid al-Shariah bi Ab’Ad al-Jadid karya Abdul Majid al-Najjar dan Uṣūl al-niẓām al-ijtimāʻī fī al-Islām karya ‘Ibn Ashur.  Justeru ABIM membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi agamawan muda dan para mahasiswa turut menyertai insiatif ABIM memperkukuh harakah al-fikr dengan menekuni kekayaan khazanah turath melalui siri pengajian yang dianjurkan.

HELWA dan Pemberdayaan Keluarga

Kepimpinan serta peranan wanita adalah “vital” dalam meneruskan kesinambungan gelombang baru kebangkitan ini. Seiring dengan cabaran pada masa akan datang, penggerak HELWA (Hal Ehwal Wanita) ABIM akan berperanan lebih proaktif demi menjayakan agenda pemberdayaan wanita khususnya dan umat keseluruhannya.  Komitmen dan kesungguhan barisan penggerak, aktivis dan sukarelawan HELWA akan digarap dan digembeleng dalam bentuk advokasi dan aktiviti bagi mengukuhkan institusi keluarga, pembelaan hak wanita, kebajikan kanak-kanak dan merangka penyelesaian kepada gejala dan permasalahan sosial. Program Literasi Undang-undang Keluarga Islam asas-asas undang-undang keluarga Islam yang mendapat sambutan hangat akan diteruskan manakala Modul Keluarga Mawaddah wa Rahmah (KAMAR) HELWA yang meliputi modul cakna  diri, keselamatan remaja, kesihatan keluarga dan kesejahteraan komuniti akan dikembangkan ke kumpulan sasaran yang lebih besar, termasuk di kalangan pelajar-pelajar sekolah di seluruh negara. 

Membangun Generasi Al-Qur’an yang Rabbaniy
ABIM komited untuk melahirkan generasi Al-Qur’an yang menghayati nilai-nilai Rabbaniy sepertimana dalam firman Allah SWT; 
وَلَٰكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ              
“……Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya (Surah Ali’Imran: Ayat 79)

Imam Fakhruddin al-Razi ketika mentafsirkan ayat ini telah  mengenengahkan pandangan Abu ‘Ubaydah bahawa yang dimaksudkan dengan Rabbaniy merujuk kepada insan yang berilmu dan  mengamalkannya serta sibuk mengajarkan manusia ke jalan kebaikan. 
فَهِيَ تَدُلُّ عَلَى الإِنسَانِ الذي عَلِمَ وعَمِلَ بِمَا عَلِمَ ، وَاشْتَغَلَ بِتَعْلِيْمِ طُرُقِ الخَيْر

Inilah sifat dan kualiti generasi yang ingin kita ingin lahirkan melalui  sistem tarbiyyah harakah. Misi pengislahan dan kebangkitan umat yang kita cita-citakan tidak akan lengkap tanpa membina generasi safwatul muktarah yang komited untuk berjuang di jalan dakwah. Inilah jalan  yang telah ditempuhi dan ditauladankan kepada kita oleh junjungan Rasulullah SallalLahu ‘alayhi wasallam melalui pembinaan generasi para sahabat yang diistilah sebagai generasi terbaik.

Generasi al-Qur’an yang Rabbaniy menghayati dan menterjemahkan tuntutan Al-Qur’an dalam kehidupan peribadi, keluarga dan lingkungan sosialnya. Objektif-objektif Al-Qur’an, atau al-Maqasid al-Qur’aniyyah seperti yang dihuraikan oleh Syeikh Taha Jabir Al-Alwani (2005)  menuntut kepada pelaksanaan tiga matlamat akhir iaitu pengukuhan faham Tauhid, pemurniaan masyarakat dan kemanusian (tazkiyyah) serta ‘Umran - iaitu pembinaan tamadun yang berasaskan nilai.  Justeru, ABIM akan terus menggilap potensi yang ada dalam kalangan generasi muda dan melatih para daie muda melalui usrah, tamrin, serta program kerohanian dan siri-siri latihan yang konsisten sebagai persiapan melaksanakan matlamat tawhid, tazkiyyah dan ‘umran yang dituntut oleh Al-Qur’an. 

AYUH BANGKIT

Sebagai wadah pewaris dan pelanjut risalah para anbiya’, ABIM cukup menginsafi bahawa agenda menjayakan misi Islah dan perubahan hendaklah memenuhi syarat-syaratnya. Kejayaan mengemudi gelombang Nahdah dan memartabatkan khayra ummah yang kita gagaskan hendaklah berpangkal dengan kekuatan ruh al-Islamiy dalam jiwa para daié. Perubahan yang dicita-citakan tidak akan menepati hakikat sebenarnya tanpa dimulai dengan keutuhan Iman dan kekentalan ruhaniah yang telah membina generasi para sahabat.

Justeru dalam semarak muktamar dan iltizam perjuangan yang membara ini, marilah kita mulakan langkah awal kita dengan tekad untuk membangkitkan dhamir dan ruh al-Islamiy dalam diri menerusi pesan Allah SWT yang terakam dalam Surah al-Muzammil
يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ (۱) قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا (٢) نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا (٣) أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا (٤) إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا (٥)

Wahai orang yang berselimut! (1) Bangunlah (sembahyang Tahajjud) pada waktu malam, selain dari sedikit masa (untuk berehat). (2) Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu. (3) Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Qur’an dengan Tartiil. (4) Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah-perintah yang berat). (5)
(Surah al-Muzammil, Ayat 1-5)

Sesungguhnya inilah jalan yang dilalui oleh junjungan baginda Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wasallam yang kita kasihi dalam mencari kekuatan bagi melaksanakan amanah dakwah yang cukup berat itu, menebarkan kalimah Tauhid membina peradaban manusawi ke seluruh alam. Sebagai bekalan pulang buat para muktamirin dan muktamirat, hadirin dan hadirat yang dimuliakan sekalian, saya titipkan nukilan oleh  Syed Qutb, pengarang Tasfir fi Zilal al-Qur’an ketika menghuraikan kesan mendalam seruan kebangkitan dalam Surah al-Muzammil terhadap kegigihan perjuangan baginda Rasulullah Sallalallahu ‘alayhi wasallam.

Dengan panggilan itu Junjungan mula mengerti bahawa zaman “tidur” sudah berakhir, bahawa Junjungan sedang berhadapan dengan tugas besar dan perjuangan sengit yang panjang, bahawa telah menjelang zaman kebangkitan – zaman hempas-pulas, kerja keras terus-menerus yang tidak akan mengizinkannya untuk tidur lagi.
Rasūlu’Llāh s.’a.w. telah menerima perintah “Qum! Bangun!” lantas Junjungan pun segera bangun, dan terus bangun untuk selama  lebih dua puluh tahun – berjuang terus-menerus tanpa mengenal rehat. Junjungan bangun dan terus bangun dengan da’wahnya kepada Allah.  Dengan gigih dipikulnya beban berat itu di atas bahunya tanpa keluhan, tanpa rintihan. Dengan setia didukungnya beban amanah terbesar di bumi Allāh ini – beban kemanusiaan seluruhnya, beban ‘aqīdah dan seutuhnya, beban jihād dan perjuangan di segala gelanggangnya.”

Selamat Bermuktamar! Allahu Akbar, Allahu Akbar! Allahu Akbar!


(Mohamad Raimi Ab. Rahim, Presiden ABIM)





No comments:

Post a Comment