Wednesday, December 28, 2016

AHMAD AZAM: NASIHAT KEPADA SI KAYA



Nasihat ku kepada orang kaya tika ekonomi gawat menghimpit si miskin!

Ketika negara dilanda krisis ekonomi,

Harga barang keperluan melambung tinggi,

Pendapatan si miskin bertambah kecil dan bertambah kecil,

Institusi perbankan terus-terusan menyedut darah si miskin tanpa belas,

Lelong kalau tak mampu bayar tunggakan.

Yuran sekolah, keperluan sekolah,

Semuanya naik, kerana harga minyak naik,

Restoran juga tiada pilihan kerana alasan yang sama,

Namun engkau wahai orang kaya !

Tidak engkau peduli akan semua ini.

Percutian mewah engkau sekeluarga, mencecah ratusan ribu ringgit, tidak pernah engkau berkira demi keluarga tercinta,

Makan mewah mu di Hotel ternama, mencecah ribuan ringgit, juga tidak engkau peduli demi mera'ikan sahabat yang engkau kasihi,

Hobi bermain golf di merata dunia, menelan ratusan ribu ringgit juga engkau tidak peduli kerana ini adalah duit aku, titik peluh aku sendiri,

Hubaya-hubaya hai orang kaya,

Tika sampai ke pengetahuanmu akan nasib si miskin,

Engkau begitu menunjukkan simpati yang mendalam,

Engkau membantu juga,

Tetapi engkau begitu berkira,

Setiap sen engkau persoalkan,

Engkau layan simiskin dengan penuh curiga,

Penipu atau sindiket ?

Engkau memberi dengan ala kadar, duit lebihan atau sisa yang tidak engkau kehendaki!

Engkau tahu tak, sikap bakhil mu itu, langsung tidak bermanfaat di sisi ALlah?

Engkau tahu tak, amalan sadaqah mu itu langsung tak dipandang ALlah?

Kerana ALlah hanya menerima sadaqah dari harta yang terbaik dan dari harta yang engkau sayangi.

Cuba engkau renung akan ayat ini, kalau engkau ada masa dan kalau engkau percaya akan Al-Quran.




Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (Ali Imran 3:92)


Ingatlah, bukanlah aku dengki atau iri hati dengan kekayaan mu itu,

Aku ingin supaya agar kita semua berjaya melepasi siratulmustaqim, mendiami syurga dengan segala kemewahan dan keindahan yang kekal abadi.

Ini saja niatku, hai orang kaya.

Semoga engkau segera kembali ke pangkal jalan.




Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. (Al Baqarah 2:267)




(Hj Ahmad Azam Abd Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH)       


                                                                                                                               

1 comment:

  1. Saya hayati gerak hati Bpk. Presiden yg seakan menujukan keluhannya buat teman seperjuangan...

    ReplyDelete