Thursday, December 22, 2016

AIR MATA SYRIA




Contengan Dinding di Daraa

Pada Mac 2011 di bandar kecil Daraa, sekumpulan anak-anak remaja berumur di antara 10 hingga 15 tahun secara nakal menconteng dinding sekolah mereka. Contengan tertera dalam bahasa Arab, ‘Kini giliran kamu, wahai doktor!’ Mereka tidak sangka bahawa contengan ini menjerumuskan mereka ke kancah kesengsaraan dan bakal pula meledakkan kebangkitan rakyat. Slogan-slogan yang bergema di Syria dan di negara-negara Arab waktu itu adalah tentang perubahan regim, ‘Rakyat mahu regim pemerintah turun’ sebagai protes serta kebangkitan rakyat menuntut kebebasan, keadilan, kehormatan, hak asasi dan kehidupan lebih bermakna. Rata-rata negara-negara Arab diperintah secara kuku besi oleh autokrat menggunakan keadah-kaedah tirani, menindas rakyat sementara regim serta konco-konco korup mengaut harta kekayaan. Rakyat jelata merasakan kehinaan dan keperitan berada di bawah pentadbiran korup dan mereka tidak melihat harapan yang cerah tanpa perubahan.

Syria sejak rampasan kuasa Hafez Al Assad pada 1970 mengamalkan pemerintahan autokratik tanpa belas kasihan. Sebarang kritikan, bangkangan atau suara penentangan akan dipatahkan dengan penangkapan tanpa bicara dan siksaan teruk di penjara-penjara Syria yang digeruni hingga sekarang. Apabila berlaku kebangkitan rakyat Homs pada 1982 menentang pindaan perlembagaan yang menyentuh kedudukan agama, Hafez mengepung dan meranapkan bandar itu serta membunuh 20,000 orang penduduknya. Israel sering menggunakan contoh peristiwa hitam ini bagi menunjukkan kezaliman Arab sendiri ke atas rakyat dan memburukkan psikologi bangsa Arab.

Apabila Bashar Al Assad menggantikan bapanya, banyak pihak mengharapkan era perubahan akan berlaku kerana dia muda dan seorang doktor gigi lulusan United Kingdom. ‘Doktor’ yang dimaksudkan pada contengan dinding di Daraa. Walaupun Bashar menjanji pembaharuan, namun penangkapan penentang-penentang terus berlaku. Pengintipan oleh mukhabarat – agensi perisik yang ditakuti menjadi-jadi. Setiap panggilan telefon akan mempunyai ‘time lag’ – kesenggangan waktu yang bermakna agen mukhabarat sedang mendengar perbualan satu persatu.

Angin kebangkitan rakyat Tunisia, Mesir dan Libya tiba ke Syria. Demonstrasi bermula tetapi ditindas oleh regim secara ganas. Pada suasana itulah, sekumpulan anak-anak remaja berkenaan yang membuat contengan di dinding diburu oleh pasukan keselamatan Syria dan dilaporkan seramai 15 orang  ditahan secara rambang serta dipenjarakan. Di penjara, mereka telah didera dan disiksa dengan amat brutal. Apabila diketahui oleh kaum keluarga dan kerabat, mereka bergegas ke penjara merayu kepada ketua perisik wilayah berkenaan menawarkan agar anak-anak mereka dibebaskan dan tidak lagi didera. Ketua perisik itu telah mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina, ‘’Lupakanlah saja anak-anak kamu. Buatlah anak-anak baru. Jika tak mampu, hantar isteri-isteri kamu ke sini untuk kami ajarkan.”

Keluarga kerabat dan orang ramai mula berkumpul dan menunjuk perasaan secara aman menuntut pembebasan anak-anak berkenaan. Salah seorang anak remaja itu, Hamza al ­Khateeb berusia 13 tahun mati setelah menjalani deraan brutal. Pasukan keselamatan menggunakan tembakan bagi meleraikan orang ramai. Ada kematian dan kecederaan. Regim menangkap lebih ramai penentang di Daraa. Perarakan jenazah juga diserang oleh tentera regim. Orang ramai pun membalas dengan tunjuk perasaan besar-besaran, rusuhan dan menyerang pasukan keselamatan serta bangunan-bangunan perisikan serta polis. Regim berusaha mengawal keadaan dan akhirnya membebaskan anak-anak berkenaan untuk cuba menenangkan keadaan. Namun rakyat Daraa telah bangkit dan membakar bangunan-bangunan regim. Kebangkitan rakyat merebak semacam api marak kepada bandar-bandar lain termasuk Hos, Hama, Idlib, Aleppo dan Damsyik.

Apa yang bermula sebagai perarakan protes aman di bandar-bandar tersebut disambut dengan tindakan ganas regim menghantar kereta-kereta kebal dan menembak secara rambang mengakibat ramai kematian dan kecederaan. Tindakan menembak ini seolah-olah menurut para pemerhati sengaja diada-adakan supaya mengapikan lagi tindakbalas rakyat supaya menjadi eskalasi ganas. Ramai pula dipenjarakan. Itulah permulaannya. Kebangkitan kemanusiaan agar dikembalikan hak asasi, kebebasan, keadilan dan maruah diri disambut dengan peluru hidup.

Turki telah berusaha mendampingi Bashar al Assad dengan cuba menyakinkannya tentang perubahan zaman serta aspirasi rakyat menginginkan kebebasan dan demokrasi. Turki telah memberikan cadangan penyelesaian-penyelesian teliti sehingga bagaimana mengurus tunjuk perasaan serta memberi ruang bagi kebangkitan aman. Namun demikian,  tidak beberapa lepas itu tentera Assad mula menembak semula.

Pada Julai 2011, Tentera Pembebasan Syria (FSA) dutubuhkan. Sebelum itu daerah-daerah yang bergolak menubuhkan militia sendiri tanpa penyelarasan atau kawalan berpusat. Militia terdiri daripada kabilah-kabilah tempatan, askar-askar yang berpaling tadah dan orang ramai yang marah. Ribuan askar berpaling tadah apabila enggan mematuhi arahan menyerang rakyat mereka sendiri. Assad bertambah ganas dengan menggunakan helikopter penyerang, jet pejuang dan bedilan artileri ke atas bandar-bandar dan wilayah yang bangkit. Senjata paling digeruni adalah bom barel yang digunakan regim Assad ke atas penduduk awam mengakibat kematian dan kecederaan ngeri. Assad juga melancar peluru berpandu Scud ke atas bandar-bandar. Pada Disember 2011, perang saudara meletus.

Pada Februari 2012, Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu mengundi mengutuk tindakan kejam Assad, tetapi Rusia dan Cina menghalang semua usaha di Majlis Keselamatan PBB. Obama mengutuk keras Assad dan seperti ramai pemimpin dunia menggesa Assad supaya letak jawatan. Liga Arab melucutkan keanggotaan Syria daripada badan itu. Berjuta-juta pelarian Syria membanjiri Lebanon, Iraq, Turki, Jordan dan negara-negara lain termasuk Eropah.  Setelah konflik lama  berlalu, muncul kumpulan-kumpulan pejuang radikal jihadi dan aliran garis keras yang mula berperanan di kawasan-kawasan yang mereka berjaya kuasai.

Pada 2013, senjata kimia telah digunakan oleh tentera Assad dan disahkan oleh PBB walaupun Obama terang-terang telah memberi larangan keras agar tidak melintasai ‘garis merah’ penggunaannya. Namun Obama teragak-agak dan tidak langsung bertindak atas janjinya. Penyelesaian kompromi diusahakan oleh Rusia dan Rusia mula menguasai diplomasi serta rentak politik konflik itu. Amerika tidak mempunyai sebarang keperluan atau kepentingan untuk campurtangan di Syria atas dasar geo-politiknya walaupun menyedari pelanggaraan dan pencabulan hak asasi dan krisis kemanusiaan angkara regim. Begitu juga pendirian Barat. Senator John Mccain ditugaskan  menilai konflik serta kesediaan pejuang pembebasan tetapi gesaannya supaya FSA dibekalkan senjata berat ditolak bulat-bulat oleh pentadbiran Washington.


Daesh Muncul

Daripada huru-hara konflik dan peperangan, ISIL muncul di Syria membawa wajah teroris baru, serba lengkap dan lebih ganas tanpa langsung berperikemanusiaan. ISIL menakluki utara dan barat Iraq serta timor Syria. ISIL menunjukkan keanehannya apabila bertembung dengan FSA dan pejuang-pejuang pembebasan lain serta merampas kawasan-kawasan mereka. Amerika dan Barat mula mengebom ISIL dan Jabhat Nusra, yang dikaitkan dengan al Qaeda. Rusia juga memula serangan udara tetapi sasaran mereka lebih kepada FSA dan pejuang-pejuang pembebasan bukan ISIL. Pada September 2015, Rusia terlibat sepenuhnya dalam peperangan.

Konflik ini sudah semestinya mencerminkan pertelingkahan sektarian. Assad, regim dan tenteranya terdiri daripada minoriti Alawiyah atau Nusayri serpihan ajaran Syiah. Regim Assad disokong secara militari oleh Iran, Hezbollah, Iraq serta bala tentera militia Syiah daripada Pakistan dan Afghanistan. Manakala Saudi Arabia, UAE dan Qatar menyokong pejuang-pejuang pembebasan. Jika dikira bilangan pejuang asing  Syiah yang datang ke Syria, mereka jauh lebih ramai daripada pejuang Sunni.  Media lebih menumpukan kepada kehadiran pejuang-pejuang berasal daripada Eropah dalam laporan-laporan. Tiada sesiapa pun menyatakan sokongan kepada ISIL malah kewujudan ISIL mencemarkan kredibiliti pejuang pembebasan Syria dan menjejaskan sokongan antarabangsa kepada mereka yang semakin dikaitkan dengan aliran radikal jihadi. ISIL memberikan alasan bagi Rusia menglibatkan diri dalam peperangan secara total. Persekongkolan Rusia dengan serangan pesawat udara, kapal laut, peluru berpandu Cruise dan helikopter menjadi ‘game changer’ yang telah mengubah haluan peperangan. Pejuang-pejuang pembebasan tidak  lagi mempunyai kelebihan di medan tempur.

Konflik perang saudara Syria adalah krisis kemanusiaan terburuk sejak Perang Dunia Kedua, 250,000 orang terbunuh, 250,000 lagi cedera atau hilang, dan 12 juta menjadi pelarian.  


ALLEPO DAN LARI MENCARI ALASAN

Terdapat pelancaran dakyah dan propaganda memutarbelitkan maklumat secara licik dan tersusun oleh Rusia, pakatan jahat mereka dan juga lain-lain pihak yang ingin memesongkan hakikat rasa bersalah, salahlaku dan persekongkolan dalam kekejaman ke atas Allepo dan penduduknya, dengan cuba menyembunyikan dan mengaburkan brutaliti yang terang nyata. Inilah kaedah normalisasi – pembiasaan, menyamakan mangsa dengan teroris sepertimana lazim dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin.  Seolah-olah Allepo dan penduduknya memang patut ditimpa pembunuhan dahsyat dan ngeri. Adalah amat hina apabila pihak bukan saja tidak menolong malah menyalahkan mangsa yang sengsara. Begitu pihak yang sungguh naif dan bebal tanpa rasa bersalah sehingga masih berbaik-baik dengan pembunuh kejam. Mereka mungkin mengharapkan umat manusia akan melupakan Allepo lama kelamaan. Jangan sekali-kali terpedaya. Kita semua dipertanggungjawabkan dan dihisab.

Normalisasi adalah menyamakan semua teroris, menganggap dengan mudah semua pejuang adalah terroris ‘reduce them all to mere terrorists not resistance fighters anymore’. Barat ingin lepas tangan dan alih perhatian supaya mereka tidak boleh dipersalahkan lagi atas kekejaman dan pembunuhan dibiarkan selama 5 tahun tanpa apa-apa mereka lakukan. Umat Islam pun jika mahu lari daripada rasa bersalah pun boleh pilih jalan ini dengan cabut lari daripada kenyataan.

Difahamkan ada berpandangan bahawa di Syria, pertimbangan geo-politik menjadi hujah utama dengan rela berdamping dengan Iran serta sekutunya. Begitulah juga pendirian geo politik Amerika, kerana pada Obama tidak ada apa-apa kepentingan bagi campurtangan US, tidak ada apa-apa keperluan Barat bagi mengambil risiko berdepan dengan Assad, diperkuatkan oleh Rusia, Iran, Hezbollah dan bala tentera militia sektarian yang dibawa daripada Pakistan dan Afghanistan. Pertimbangan krisis kemanusiaan dan kekejaman dahsyat tidak dapat mengatasi kepentingan geo-politik. Padahal atas dasar kemanusiaanlah, rakyat Syria bangkit dan atas dasar kemanusiaanlah, kita menyokong mereka dan terasa amat sedih dengan nasib mereka. Naratif lain hanya bagi melepaskan diri dan lari daripada kenyataan kedaifan umat dan kegagalan kepimpinan Islam serta pemimpin dunia menyelamatkan manusia yang terkepung dan terbunuh di negara mereka sendiri.

Seperti berlaku ke atas bandar Hama pada 1982 apabila seluruh bandar diranapkan serta 20,000 orang penduduknya dibunuh oleh Hafez Assad, kini anaknya Bashar sedang memusnahkan Allepo dan membunuh penduduknya yang kesemuanya adalah rakyat Syria belaka. ISIS atau Daesh tidak berada di Allepo. Mereka berada di Raqqa tetapi regim Assad tidak peduli pun dan tidak pernah merasai tergugat oleh pelampau-pelampau ini. Kemunculan Daesh di Syria adalah talian penyelamat bagi Assad dan persekongkolan total Rusia merubah halatuju peperangan. Obama dan Amerika, hanyalah omong kosong dan kebaculan Barat di peringkat dunia. Bagi negara Islam dan umat Islam pula menadah tangan dalam serba penghinaan.



No comments:

Post a Comment