Friday, December 2, 2016

ANUAR TAHIR: ANWAR IBRAHIM DAN MASYARAKAT MADANI


ANWAR IBRAHIM: PENDIDIKAN DEMOKRASI DAN MASYARAKAT MADANI
(Catatan Ringkas)

Anwar Ibrahim adalah sosok yang amat komited kepada perubahan sosial. Anak kelahiran Bukit Mertajam ini sejak awal lagi menjadikan social change sebagai agenda utama perjuangannya. Itulah tema bicara percakapannya sejak zaman muda sehinggalah dia menduduki tangga teratas negarawan rantau ini. Anwar Ibrahim mula memberikan perhatiannya kepada persoalan ini sejak dia berada di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sekolah berasrama penuh bersejarah dan alma mater. Di situ lagi dia memupuk minat kepada bahan bacaan ilmiah serius dan meminati tokoh-tokoh ilmuwan dunia yang tersenarai sebagai pejuang-pejuang sosial.

Pembacaan

Anwar Ibrahim yang telah digelar Tokoh Pembaca 1988 dipengaruhi oleh banyak tulisan-tulisan seluruh dunia serta persahabatannya dengan tokoh-tokoh besar seperti Syed Hussein al Attas, Sayyid Naquib al Attas, Abul Ala al Mawdudi, Muhammad al Ghazali, Yusuf al Qaradawi dan Muhammad Natsir. Rakan-rakannya di dalam ABIM dan Yayasan Anda Akademik (YAA) diajak bersama menekuni karya-karya Hasan al Banna, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, Muhammad Iqbal, Hossein Nasr, Toshihiko Izutsu, Ali Shariati, Muhammad Asad, Ivan Ilich, Paolo Freire, Malek Bennabi hingga kepada penulis-penulis seperti Franz Fanon, Herbert Marcuse dan lain-lain. Kadang-kadang ada di kalangan para aktivis ABIM dan YAA tidak menjangkau betapa panjangnya senarai buku-buku yang perlu dibaca dan diwacanakan. Rasanya masih segar dalam ingatan sebahagian daripada aktivis-aktivis itu betapa buku Myth of the Lazy Native, Syed Hussein al Attas dan Reconstruction of Religious Thought, Muhammad Iqbal menjadi bacaan wajib aktivis ABIM dan penggerak YAA ketika itu.

MCKK

Osman Bakar, rakan karib Anwar Ibrahim di Kolej Melayu Kuala Kangsar menceritakan tentang kesedaran begitu tinggi sekali Anwar Ibrahim yang bermula di bangku sekolah menengah lagi membantu pelajar-pelajar miskin di bidang pendidikan dan pembelajaran. Ketika di Tingkatan 6, Anwar mengasaskan dan mengetuai Badan Revolusi Ugama (BRU) MCKK.

Anwar berkata bahawa penduduk tempatan di pekan Kuala Kangsar menganggap MCKK amat feudal – para pelajarnya angkuh dan sombong. Ketika bersiar – outing , para pelajar melaram keluar ke pekan Kuala Kangsar memakai tali leher dan hanya makan di restoran-restoran kerana dilarang makan di gera-gerai rakyat oleh pihak Kolej. Menurut Anwar, selama 5 tahun berada di Kolej dia langsung tidak mengenali orang-orang kampung di sekitar maktab itu dan dia merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena kepada sistem MCKK. Pelajar Kolej dilatih untuk berkhidmat kepada negara tetapi berada terpisah daripada masyarakat. Ini menyebabkan Anwar bertindak menyusup keluar memanjat pagar melepasi sempadan Kolej untuk bergaul dengan penduduk sekitar. Melalui BRU pelajar-pelajar MCKK banyak menganjurkan kelas-kelas tambahan akademik dan kelas-kelas sivik-motivasi untuk pelajar-pelajar sekitar Kuala Kangsar.

Anwar telah bersungguh-sungguh mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah Arab di atas Bukit Chandan berhampiran istana yang indah. Di sanalah Anwar, Osman Bakar dan rakan-rakan mereka mula mengenali dan mempelajari istilah-istilah Arab daripada guru-guru sekolah itu. Pada masa yang sama, Anwar Ibrahim mula mendapat perhatian dan minat penduduk setempat. Di samping menganjurkan kelas-kelas bimbingan pelajar sekolah, Anwar turut diundang berceramah di surau-surau dan dewan orang ramai. Ucapan dan ceramah Anwar sentiasa membawa tema dan mesej taghyir - islah dan perubahan. Semua ini berlaku sewaktu usia Anwar masih belasan tahun dan seorang pelajar di sekolah elit jolokan ‘Eaton of the East’ kerana kebanyakan pelajarnya terdiri daripada kalangan anak-anak bangsawan. Bagi Anwar, ‘menyusup keluar pagar MCKK’ itu suatu yang memberangsangkan dan berbaloi sekali. Dari situlah dia membina jati diri, dan dari situ juga kelak dilihat kepeloporannya dalam bidang pendidikan golongan terpinggir. Al marhum Desmond Muzaffar Tate, seorang guru yang rapat dengannya di Kolej mengungkapkan bahawa Anwar memiliki ‘a strong religious conviction’ – keyakinan agama yang teguh.

Mahasiswa

Kegiatan yang Anwar tekuni sewaktu di MCKK, kemudiannya diteruskan dengan lebih berkesan sebagai mahasiswa di Universiti Malaya (UM) bermula pada 1967. Setelah setahun menjadi mahasiswa, Anwar diberi kepercayaan mengambil alih kepimpinan Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan dia telah memberikan wajah baru kepada kedua-dua organisasi berkenaan. Kempen Gerakan Kesedaran yang dia cetuskan telah membawa para mahasiswa ke desa dan kampung-kampung pendalaman, menjadi anak-anak angkat dan tinggal bersama-sama orang kampung. Orang kampung telah ketinggalan di dalam serba-serbi arus pembangunan negara. Misi mahasiswa adalah mendekati orang kampung agar meningkatkan kesedaran dan membawa perubahan kepada kehidupan terutamanya persoalan pendidikan anak-anak.

Yayasan Anda Akademik

Penubuhan ABIM pula dikatakan selari dengan pengasasan sekolah swasta bernuansa Islam, Yayasan Anda Akademik (YAA) yang dipelopori pada 1971. Sekolah yang diwujudkan berpusat di Kg Baru, di tengah-tengah kota raya serta jantung kependudukan Melayu Kuala Lumpur. Kemudian YAA berpindah ke Jalan Pantai Baru, di bangunan rumah kedai 4 tingkat milik UDA. Tempat ini dipilih kerana berada di Lembah Pantai berdekatan dengan daerah menara gading Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Maktab Perguruan Bahasa dan Institut Bahasa.

YAA adalah sebahagian usaha Anwar dan rakan-rakan aktivis dengan sokongan beberapa orang tokoh akademik bertujuan untuk menerapkan Islam ke dalam sistem pendidikan kebangsaan. Penubuhannya juga merupakan permulaan sebuah pusat perkaderan generasi baru. Guru-gurunya masih muda membawa nyalaan obor idealisme yang tinggi mendidik para remaja Islam yang mendapat ‘peluang kedua’ di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur yang dilingkari pelbagai masalah.

Anwar menjadikan pendidikan berasaskan tarbiyah dan tadrib – latihan sebagai pilihan untuk menyediakan pelapis dan kader-kader Islam yang berpotensi. Sistem pendidikan kebangsaan konvensional dan sistem peperiksaannya tidak menjadi penghalang kepada kreativiti dan inovasi graduan dan mahasiswa dalam menerapkan kefahaman Islam kepada pelajar mereka. Menerusi sekolah swasta bernuansakan Islam ini, YAA telah melakukan eksperimen yang menarik dengan membina kefahaman dan menerapkan tasawur Islam kepada para pelajar remaja Islam. Pelajar yang sebelum ini tidak cemerlang dan tercicir semasa belajar di sekolah kerajaan. Kebanyakan pelajar adalah lepasan SPM yang menyambung ke Tingkatan 6 dan pelajar yang menduduki semula SPM, berasal daripada seluruh negara. Pelajar datang dari luar Kuala Lumpur ditempatkan di tingkat 16 dan 17 Flat PKNS Kg Kerinci yang disewa khas. Peluang pembelajaran kedua ini telah menghasilkan calon-calon mahasiswa yang cenderung kepada Islam, suatu fenomena baru pada waktu itu.

Guru-guru muda YAA bukan sahaja menerima imbuhan yang rendah bahkan tidak berada pada kelas kedudukan yang tinggi pada pandangan mata masyarakat umum. Namun semua pengorbanan ini telah menjadikan mereka lebih terhormat pada perspektif menjunjung idealisme perjuangan. Anwar Ibrahim telah melahirkan sebuah legasi perjuangan pendidikan dan pengkaderan Islam dalam sistem pendidikan sekular warisan zaman kolonial. Tidaklah menghairankan apabila mahasiswa, graduan universiti dan para pensyarah menara ganding pun turun dan tampil mengajar di YAA.

Memperkenalkan mata pelajaran Prinsip Islam sebagai subjek teras di luar peperiksaan adalah kemuncak eksperimen Anwar dan rakan-rakannya. Mata pelajaran ini diajar secara progresif oleh para aktivis Islam yang selama ini berhempas pulas berjuang membawa perubahan di kalangan para mahasiswa di kampus-kampus.

Aktivisme

Anwar telah lama menggagaskan pendidikan politik dan masyarakat madani sebelum 1971 lagi. Dia ditakdirkan mengumandangkan sebuah fenomena kebangkitan yang dia sendiri mempelopori di rantau ini. Kebangkitan yang dikenali sebagai nahdah Islami, al wa’yul Islami, Islamic Resurgence – kebangkitan baru Islam yang menggejala sejak tahun 1970 ‘an. Pidato Anwar Ibrahim benar-benar mempengaruhi anak-anak muda  dan ungkapan-ungkapan al Qur’an, istilah-istilah khayra ummah, ummatan wasatan, al amar bil ma’ruf wa nahyu ‘anil mungkar dan konsep Islam sebagai ad din yang dilantuninya begitu memikat mereka pada waktu itu. Ceramah dan ucapan disampaikan denagn karisma secara menarik dan berkesan bagi seorang yang berasal latarbelakang pendidikan sekolah kebangsaan dan aliran Inggeris. Pendirian politiknya amat terbuka meletakkannya sebagai pejuang dan pendidik demokrasi ampuh sejak awal lagi.

Sebagai Presiden ABIM, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan kemudiannya Pengarah IIFSO serta wakil WAMY Asia Pasifik, Anwar menyampaikan dakwahnya dengan membicarakan tentang hutang, kemiskinan, penderitaan golongan miskin dan terpinggir. Ungkapan popular exploitation de l'homme par l'homme – penindasan manusia ke atas manusia dan kata-kata menyengat Anwar sendiri ‘yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana’ membuatkan pidato-pidatonya sangat mengesankan.

Frasa-frasa kata membicarakan tentang perubahan, Islam, reformasi yang Anwar laungkan sejak zaman pelajar hingga diangkat menjadi tokoh politik negara tidak berubah. Inilah tema sosial politik dia sejak menggerakkan kesedaran mahasiswa di sudut-sudut pidato – speaker’s corner, di seminar, tamrin dan persidangan antarabangsa. Karyanya ‘Menangani Perubahan’, buku koleksi berisi kertas-kertas kerja dan ucaptama di pelbagai persidangan dan forum mendokumentasi dan membuktikan bahawa itulah pendidikan politik Anwar. From Things Changing to Changing Things: Planning for the Ummah dibentangkan pada Persidangan Masa Depan Ummah di Makkah al Mukarramah 1987. Managing Change in Political Leadership dibentangkan pada Persidangan sempena 100 Tahun International Herald Tribune di Singapura 1987 dan juga di Asian Institute of Management Manila 1988 adalah monumental.

Tema-tema perubahan yang berat ini dibawa olehnya ke mana-mana dan menjadi asas pendidikan politik kepada semua. Buku karangannya,  The Asian Renaissance terbitan 1996 amat perlu dihalusi bagi memahami pemikiran politik dan masyarakat madani Anwar Ibrahim.

Penglipur Lara

Istilah-istilah yang dipopularkannya sejak zaman muda seperti agent of change, catalyst for change dan jurubicara umat mungkin kesan pengaruh pemikiran Ibn Khaldun. Ketika Anwar Presiden ABIM, dia pernah mengarahkan supaya dianjur sebuah seminar di Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk Ibn Khaldun and Social Change dengan menjemput pembicara utama Dr Fathi Osman seorang ilmuwan kelahiran Mesir yang menetap di England. Seminar yang membicarakan  isu ilmiah dan topik seberat itu sudah tentu tidak menarik ramai peserta lalu Anwar meminta supaya sebanyak mungkin mahasiswa dan para pensyarah hadir. Ahli-ahli ABIM beramai-ramai dikerahkan bagi menyertai seminar dengan pengisian yang berat ini.

Peristiwa yang berlaku lebih 30 tahun lalu masih segar di dalam ingatan kerana ABIM disaman polis lalu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengadakan perhimpunan tanpa permit polis. Penganjur menerima panggilan seorang pegawai polis berketurunan Punjabi. Pegawai polis mula bertanya, “Bolehkah saya bercakap dengan Encik Ibnu Khaldun?” Lalu dijawab, “Maaf Encik. Ibn Khaldun sudah meninggal lebih 700 tahun dulu.” Pegawai itu terus mengemukakan soalan keduanya, “Kalau begitu bolehkah saya bercakap dengan Encik Fathi Osman?” Lalu dijawab, “Maaf Encik. Fathi Osman sudah lama berlepas pulang ke England.” Kemudian, pegawai polis menelefon lagi dan kali ini dia bertanya tentang seorang yang bernama Kamaruddin. Lalu dijawab, “Di sini banyak Kamaruddin. Ada Kamaruddin Mohd Nor, ada Kamaruddin Jaafar.” Pegawai itu memilih Kamaruddin Mohd Nor lalu sapina dihantarkan kepada Kamaruddin Mohd Nor. ABIM telah menang kes perbicaraan itu. Penganjur seminar Kamaruddin Jaafar bukan Kamaruddin Mohd Nor.

Anwar adalah orang terawal di negara ini membincangkan tokoh pemikir dan membicara isu perubahan oleh pemikir kelahiran Algeria Malek Bennabi. Anwar membawa karya Malik Bennabi ke usrah, karya yang berbahasa Arab diterjemah daripada Perancis asal. Naqib usrah waktu itu, al marhum Ustaz Fadzil Noor mengakui bahawa karya itu amat berat lalu mencuba menterjemahkan dalam bahasa Melayu secara lisan halaman demi halaman kitab itu. Hampir semua ahli usrah terlena kecuali Anwar Ibrahim yang tekun mendengarnya dengan penuh minat dan perhatian. Malah dia mengulas dan memberikan pandangan tentang kitab itu.

Masyarakat Madani

Oleh kerana minatnya kepada gagasan ini, Anwar Ibrahim memperkenalkan istilah ‘Masyarakat Madani’ bagi menterjemahkan Civil Society. Namun gagasan ini tidak disambut oleh cendekiawan di sini. Tetapi apabila istilah itu diperkenalkan buat pertama kalinya di Jakarta, pada Simposium Festival Istiqlal, para cendekiawan Indonesia memberikan sambutan hangat. Sejumlah judul buku dan makalah atas nama masyakarat madani diterbitkan di negara buluh runcing itu.

Anwar Ibrahim seorang pengamal civil society sejak zaman mudanya. Dia mengalakkan agar warga negara boleh berbeda pandangan menggunakan semua saluran bagi mengutarakan pendapat, bantahan dan bertunjuk rasa.

Persahabatannya dengan pelbagai golongan berlainan pegangan dan merentas kepercayaan telah menjadi amalan keterbukaannya sejak zaman muda lagi. Banyak pengajaran dan contoh teladan dapat dipelajari daripada sikap Anwar. Contohnya, persahabatannya dengan Gus Dur, Nurcholis Majid dan Sujak Sivaraksa yang memperjuangkan faham co-existence mungkin disalah tafsir dengan menuduhnya liberal walhal ia menggambarkan seorang ahli politik yang mengamalkan dasar inklusif dalam persahabatan dan perjuangan.

Anwar sejak berusia muda telah berinteraksi dan bekerjasama dengan badan-badan seperti YMCA, Young Christian Workers, Hindu Sangam, Tamil Bell, Hindu Youth Organisation, Young Buddhist Association dan banyak lagi pertubuhan-pertubuhan. Dia berhubung dengan WAY, WFDY, Friedrich Naumann Stiftung dan Konrad Adeneur Stiftung. Politik kerjasama telah lama berada di sepanjang perjalanan perjuangan Anwar sejak tahun 60’an lagi.

Anwar digelar ‘pemimpin politik jalanan’ kerana penglibatannya di dalam tunjuk perasaan sejak 60’an sehinggalah siri-siri protes terbaru kini. Ada yang sangat marah dengan penglibatan Anwar sehingga mengeluarkan kata, “Nanti bila dia mati, kita tanam saja dia di tepi jalan.” Kata-kata begini terjadi kerana salah faham terhadap prinsip dan pegangan hidup Anwar yang bersungguh-sungguh memperjuangkan demokrasi dan civil society.

Sebagai seorang yang menghormati dasar civil society dan menamakannya masyarakat madani, Anwar sangat meraikan perbedaan pendapat. Tidak ramai yang mahu menjadi penggerak masyarakat madani. Anwar memilih menjadi penggerak dan kekal sebagai seorang pencinta damai yang menolak kekerasan. Anwar menerima sebarang aksi atau protes aman sebagai ekspresi sesiapa pun selagi tiada unsur kekerasan. Pengarang Charles Allers menggelarkan Anwar Ibrahim sebagai ‘Muslim Democrat’ yang difikirkan tepat sekali. Barangkali gelaran ini sejajar dengan gelaran yang pernah diberikan kepada  Bung Hatta di Indonesia sebagai Pengeran Demokrasi.

Perjalanan peribadi bersama Anwar menunjukkan bahawa di dalam sekecil-kecil perkara pun dia tidak pernah merestukan sebarang unsur keganasan. Bagaimana mungkin dikenangkan tentang apa yang pernah terjadi ke atas diri Anwar, sesuatu yang ironis sekali apabila seorang pencinta damai ini dipukul hingga pengsan oleh Ketua Polis Negara semasa ditahan di lokap Bukit Aman satu ketika dulu. Ini adalah sejarah hitam penganiayaan yang berlaku terhadap mantan pemimpin nombor dua negara dan tokoh masyarakat madani. Inilah episod yang memalukan seluruh negara.

Demikianlah catatan ringkas tentang Anwar dalam pendidikan demokrasi dan masyarakat madani untuk kita kaji dan meneliti bersama. Benarlah kata-kata sahabatnya Dr Siddiq Fadzil, “Sesungguhnya Anwar Ibrahim itu bukan sekadar aktor politik, tetapi dia ada;ah pemikir dan tokoh kemanusiaan yang hebat sebenarnya.”




(Disunting dan diadaptasi daripada kertas kerja asal Mohd Anuar Tahir di Seminar Pemikiran Pendidikan Anwar Ibrahim 22 November 2016)

No comments:

Post a Comment