Sunday, December 4, 2016

MUHAMMAD NUR MANUTY: ANWAR IBRAHIM DAN KARAMAH INSAN


DR MUHAMMAD NUR MANUTY: PENDIDIKAN KARAMAH INSAN DALAM PEMIKIRAN ANWAR IBRAHIM

Mukaddimah

Anwar Ibrahim tokoh pejuang rakyat yang istiqamah kepada perjuangannya menegakkan negara Malaysia berteraskan kebenaran, keadilan, ketelusan, berintegriti dan berakhlak mulia. Sewaktu memimpin gerakan Islam selaku Presiden ABIM 1972-1982 dan kemudian berkecimpung dalam arena politik 1982 sehingga kini, Anwar menjadikan usaha memartabatkan karamah insan – kemuliaan insan sebagai suatu objektif terpenting perjuangan reformasi.

Metodologi Pemikiran Pendidikan Karamah Insan

Susur galur dan minat Anwar Ibrahim kepada dunia keilmuan dapat dilihat sejak dia berada di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Keaktifannya menggerakkan Badan Revolusi Ugama MCKK telah mendekatkannya dengan pembacaan buku-buku agama yang ditulis oleh ulama’ dan ilmuan tempatan serta antarabangsa. Semasa Anwar memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Kebangsaan (PKPIM), dia mula membahaskan persoalan karamah insan dengan memaparkan idea-idea tokoh-tokoh gerakan dakwah antarabangsa seperti Imam Hasan al Banna, Sayyid Abul ‘Ala Maududi, Sayyid Qutb dan lain-lain. Perbincangan karamah insan kupasan tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa adalah dirujuk dan diambil daripada al Qur’an dan al Sunnah. Ini menjadikan asas pemikiran Islam Anwar lebih kental.

Anwar menetapkan Tafsir al Qur’an berbahasa Inggeris karya Abdullah Yusuf Ali sebagai salah sebuah rujukan utama usrah-usrah awal ABIM. Anwar bersama rakan-rakan pengasas ABIM menelaah kitab ihya’ ulum al din, karya penting Hujjatul Islam Imam al Ghazali r.h. bersama seorang guru pembimbing kerohanian.

Kitab ihya’ ulum al din membicarakan persoalan karamah insan secara komprehensif. Anwar juga mempelajari kitab minhaj al salihin min ahadith wa sunnati al khatami al anbiya’ wal al mursalin karangan ‘Izzudin Baliq (Beirut: 1978). Kitab ini rujukan penting selain daripada tafsir fi zilal al qur’an karya Sayyid Qutb.

Anwar mengupas dan mengemukakan idea-idea ‘Allamah Muhammad Iqbal, failasuf dan penyair terkenal dengan sentuhan-sentuhan karamah insan pada sya’ir-sya’ir Iqbal seperti The Secrets of the Self dan The Mysteries of Selflessness. Selanjutnya, kupasan pemikiran guru dan mentornya di UM dan ABIM, Sayyid Muhammad Naquib al Attas. Karya al Attas, Islam and Secularism diterbitkan oleh ABIM menjadi rujukan penting pada wacana-wacana ilmiah anjuran ABIM. Anwar menggunakan karya Syed Hossein Nasr, The Encounter of Man and Nature: The Spiritual Crisis of Modern Man (1968) yang banyak membahaskan tema insan dan persoalannya dengan modenisme.

Anwar Ibrahim juga menyorot pemikiran Malek Bennabi, tokoh ilmuan Algeria yang banyak membicarakan persoalan tamaddun. Malek Bennabi mengolah kepentingan manusia dengan Allah swt dalam konteks tamadun (al hadarah) yang baru di dunia Islam dengan menggunakan prinsip insan, tanah dan zaman. Metodologi pemikiran Anwar juga memperlihatkan hubungannya yang rapat dengan dia orang tokoh ilmuan Universiti Al Azhar, Syaikh Muhammad al Ghazali dan Syaikh Yusuf al Qaradawi. Anwar juga gemar merujuk kepada figur Islam di Amerika, Malcolm X atau nama Islamnya al Hajj Abdul Malik Shabbaz. Dia menekankan betapa tingginya konsep karamah insan dalam Islam melalui peristiwa dan pengajaran apabila Malcolm menyaksikan dengan matanya sendiri himpunan raksasa jemaah haji dari seluruh dunia bersidang di ‘Arafah dengan hanya memakai kain ihram berwarna putih menandakan persamaan manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit atau status sosial.

Suatu keunikan pemikiran Anwar Ibrahim adalah dia bukan sahaja membahaskan subjek dengan rujukan-rujukan Islam tetapi juga merujuk pemikiran tokoh-tokoh kemanusiaan aliran Konfusius, Kristian dan Marxis. Anwar juga menggunakan ideal Paulo Freire, tokoh pendidik Brazil yang membicarakan tentang A Pedagogy of Liberation.

Asas-asas Karamah Insan dan Kemanusiaan Sejagat

Keprihatinan Anwar Ibrahim tentang perjuangan memartabatkan insan bertunjang kepada dua khazanah terpenting Islam iaitu al Qur’an dan al Sunnah.

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. (al isra’: 70)

Islam mengiktiraf perbedaan bahasa dan warna kulit bukan sebagai unsur perpecahan. Sebaliknya perbedaan tersebut adalah tanda kekuasaan Allah swt.

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui. (al ruum:22)

Perbedaan untuk saling berkenalan di antara satu dengan yang lain.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujuraat:13)

Lantaran umat manusia dijadikan daripada sumber yang satu dengan anugerah penghormatan dan peranan yang sama maka Islam memupuk  semangat kesatuan manusia (wihdah insaniyyah) yang disatukan oleh semangat kemanusiaan. (Anwar Ibrahim, 1978)

Islam menentang keras amalan diskriminasi bangsa dan kaum. Sebaliknya Islam menganjurkan toleransi, persahabatan dan timbang rasa sesama manusia. Islam meletakkan nilai taqwa serta ta’awun (tolong-menolong dalam kebaikan) sebagai nilai tertinggi hubungan sesama manusia.

Islam meleburkan faham fanatik (‘asabiyah qaumiyyah) ekstrim kerana kemudaratannya kepada manusia. Hadith junjungan kita Muhammad s.a.w. menjamin karamah insan berlaku sesama manusia.
Semua kamu berasal dari Adam dan Adam berasal dari tanah. Tidak ada kelebihan seorang Arab ke atas seorang bukan Arab kecuali ketaqwaannya.”

Abu Dhar al Ghifari r.a. seorang yang terkenal dengan kezuhudannya pernah tiba-tiba memanggil Bilal ibn Rabah r.a., ‘’Ya Ibnu Sauda” (Wahai anak orang hitam). Rasulullah s.a.w. segera memberikan teguran keras dengan nada kemarahan, “Sungguh sungguh terlalu; sungguh terlalu; sungguh terlalu. Tidak ada kelebihan anak orang hitam daripada anak orang putih. Tidak ada perbedaan dalam memuliakan manusia, baikpun yang hidup ataupun yang telah mati.”

Penghormatan tinggi Islam ke atas manusia berlainan agama dapat disaksikan pada contoh teladan junjungan kita Muhammad s.a.w. yang menunjukkan tanda hormat ke atas jenazah seorang Yahudi yang secara kebetulan dibawa lalu di hadapan Baginda s.a.w. Apabila sahabat yang bersamanya mempersoalkan, Rasulullah s.a.w. menegur mereka dengan berkata: “alaysat nafsan!”(bukankah dia juga manusia (bernyawa)).

Anwar Ibrahim mengukuhkan hujahnya tentang kemuliaan darjat insan dengan memetik pemikiran Syaikh Yusuf al Qaradawi bahawa asas tasamuh (toleransi) dalam Islam adalah ‘ I’tiqad seorang Muslim tentang karamah insan’. Keduanya, I’tiqad Muslim bahawa perbedaan agama adalah kekuasaan Allah swt.

Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia jadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih (pendapat), kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. (Hud: 118-119)

Anwar  menegaskan keperluan melaksanakan prinsip keadilan  dan akhlak mulia bagi semua manusia serta tindakan yang adil diambil jika orang Muslim menzalimi orang bukan Muslim.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum membuatmu tidak berlaku adil. Berbuat adillah karena ia lebih mendekati ketakwaan.” (al ma’idah: 8)

Jaminan tegas mempertahankan hak asasi rakyat berpaksi kepada prinsip kemuliaan insan yang begitu jelas diisytiharkan oleh junjungan kita Muhammad s.a.w. pada rapat wada’ yang dihadiri 100,000 umat Islam dengan sabda keramatnya: “Sesungguhnya nyawa, harta dan kehormatan kamu adalah suci sepertimana kesucian hari Hajj.”

(Anwar Ibrahim, 1978)

Pelaksanaan Karamah Insan dalam Sistem Pendidikan Negara

Sejarah mengangkat martabat insan secara praktis di negara ini terpahat kukuh dengan penubuhan Yayasan Anda Akademik (YAA), Jalan Daud, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada awal 70’an. Anwar Ibrahim bersama rakan-rakan ABIM dan PKPIM mendirikan institusi pendidikan rakyat dengan bertujuan mengangkat posisi anak-anak muda Melayu yang terpinggir kerana kemiskinan terutama masyarakat luar bandar. Yayasan Anda mencernakan semula anak muda agar menjadi insan beridealisme tinggi serta berketrampilan dari segi ilumu pengetahuan. Pada dasarnya, Yayasan Anda berjaya memanusiawikan sebahagian besar pelajarnya.

Pelantikan Anwar menjadi Menteri Pendidikan di dalam kabinet Dr Mahathir sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat. Mereka prihatin dengan hasrat kejelasan hala tuju falsafah pendidikan negara serta isi kandungan sistem pendidikan. Apabila Anwar mengambil tampuk kementerian, dia telah melaksanakan beberapa perkara penting. Dia menukar nama kementerian pelajaran kepada kementerian pendidikan kerana ada perbedaan bahawa pendidikan lebih komprehensif sifatnya.

Anwar Ibrahim beruzlah bersama para ilmuan dan pegawai-pegawai kementeriannya di IAB bagi mengemukakan suatu pandangan baru tentang kurikulum sekolah. Kurikulum baru dinamakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Justeru penekanan menangani integrasi ilmu pengetahuan berasaskan tawhid dan insan.

Suatu falsafah baru pendidikan negara (FPN) dikemukakan iaituPendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah  memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan’.

Anwar berusaha melihat keberkesanan karamah insan dalam sistem pendidikan negara dengan iltizamnya mewujudkan dasar pendemokrasian pendidikan. Semua rakyat tanpa mengira bangsa, warna kulit, bahasa dan agama hendaklah dijamin peluang secara adil dan saksama mendapat tempat di bangku sekolah, kolej dan universiti. Hak ini menepati prinsip Hak Asasi Manusia PBB dan Pengisytiharan Hak Asasi Islam OIC. Anwar sangat mengambil berat kaum mustadh’afin di negara ini dibela dengan jaminan mendapat pendidikan sama baik dengan golongan berada. Anwar sering merujuk pemikiran Paola Freire, penulis buku A Pedagogy for Liberation: Dialogues on Transforming Education. Pendidikan mesti menjadi satu wahana meningkat kesedaran hakiki manusia (human consciousness)

Karamah Insan dalam konteks Renaissance (al Nahdah) di Negara-negara Asia

Anwar Ibrahim meluaskan daerah wacana karamah insan bukan sahaja pada dunia Islam. Pada karya terpenting Anwar, The Asian Renaissance (1997), dia membicarakan keperluan tasawur – world view Asia sepadu dengan menerima hakikat bahawa masyarakat madani hendaklah menjadikan konsep insan sebagai makhluk yang berakhlak dengan memiliki prinsip-prinsip ketuhanan yang tinggi (transcendence), bukan sahaja dianugerahkan dengan hak-hak yang tidak terpisah, tetapi mempunyai tanggungjawab yang tidak tergugat dengan Allah, keluarga, manusia dan alam tabi’i. Anwar memugarkan semula idealisme dan nilai-nilai sejagat kehormatan insan seperti yang telah diperjuangkan oleh tokoh-tokoh kemanusiaan ternama sperti Rabindranath Tagore, Muhammad Iqbal, Jose Rizal, Sun Yat Sen dan Mahatma Gandhi. Kesemua mereka menjadikan Asia dan ‘keasianan’ sebahagian struktur dunia yang terbina di atas paksi maruah insan. Suatu idea yang selama ini hanya dimonopoli oleh dunia Barat. (Anwar Ibrahim, 1997)

Karamah Insan dalam konteks Dialog Agama dan Ketamadunan

Anwar Ibrahim adalah pelopor awal dialog antara agama dan tamadun di Malaysia sejak dekad 70’an. Ucapannya pada  Muktamar Senawi ABIM 1978 di DTC UKM dapat dicatat sebagai sangat bernilai tentang Islam dan hubungannya dengan masyarakat majmuk negara ini. Dia menekankan prinsip karamah insan sebagai asas terpenting bagi mewujudkan persefahaman di antara pelbagai agama dan tamadun.

Impak daripada ucapan tersebut difahamkan Anwar diundang hadir ke retreat kepimpinan DAP di Cameron Highlands waktu itu. Mereka berpeluang mendengar tawaran Islam tentang konsep kemanusiaan sejagat demi kerukunan hidup bersama di dalam negara jamak bangsa, agama dan budaya di Malaysia.

Selaku Timbalan Perdana Menteri, Anwar berjaya menganjurkan sebuah Persidangan Antarabangsa tentang Islam and Confucianism, anjuran Pusat Dialog Peradaban UM pada 1997. Inilah julungkalinya di dunia Islam, sebuah seminar penting diadakan yang dapat menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuan daripada dua tamadun besar dunia Islam dan Cina dengan fokus perbahasan mengenai isu kemanusiaan dalam tradisi Islam dan Cina.

Pendidikan Karamah Insan dalam Siasah

Anwar Ibrahim memilih jalur siasah bagi menterjemahkan idealisme kependidikan insan dalam dirinya. Ini jelas kelihatan pada 17 perkara perjuangan Parti KeAdilan Rakyat 1999 dan Pengiystiharan Permatang Pauh 1998. Anwar menegaskan tunjang kepada demokrasi dan masyarakat madani ialah konsep karamah insan – kemuliaan darjat insan seperti yang ditegaskan oleh Allah swt pada surah al isra’ ayat 70.

Anwar sentiasa merujuk keperluan melakukan islah (reformasi) ke atas dirinya sendiri sebagai makhluk Allah swt yang dicipta dengan segala keistimewaannya. Inilah ketegasan al islah mastata’tu yang diisytiharkan Nabi Syu’ib a.s.

Syu'aib berkata: "Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku dari pada-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali. (Hud: 88)

Kesimpulan

Perjuangan mengangkat karamah insan bagi menghadapi cabaran getir pada saat ini menjadi semakin mendesak. Pencabulan hak asasi oleh pemerintah semakin berwewenang. Meskipun kedengaran suara-suara pihak berkuasa melaungkan keinginan dasar wasatiyyah Islam, nampaknya semakin deras proses ‘nyah-manusiawi’ (dehumanisation) berlaku. Kita wajar bersatu fikrah dan bersatu tindakan bagi menyelamatkan masyarakat dan negara Malaysia daripada mengalami kerosakan parah di tangan orang-orang yang merosakkan bumi Allah ini (al mufsiduna fi al ard).

Dan apa bila di katakan kepada mereka ‘janganlah berbuat kerosakan di bumi’  mereka menjawab, ‘sesungguhnya kami justru orang-orang yang melakukan perbaikan’. Ingatlah, sesungguhnya merekalah yang berbuat kerosakan tetapi mereka tidak menyedari. (al baqarah: 11-12)



(Disunting dan diadaptasi daripada kertas kerja asal YB Senator Dr Muhammad Nur Manuty di Seminar Pemikiran Pendidikan Anwar Ibrahim 22 November 2016)

No comments:

Post a Comment