Monday, February 27, 2017

ABDUL HALIM ISMAIL: Hidup Bersama Secara Aman




Islam dan Prinsip al-Ta`ayush al-Silmi

Abdul Halim Ismail



Kepelbagaian Bangsa dan Agama Sebagai Sunnah Allah


Allah s.w.t. menjadikan manusia dalam kepelbagaian; berbagai bangsa, kaum, warna kulit, bahasa dan budaya.  Dengan kehendak-Nya, tidak dijadikan satu umat yang seragam, walaupun Allah s.w.t. Yang Maha Berkuasa berupaya berbuat demikian (Yunus 10:99, Hud 11:118). Dengan kehendak-Nya juga tidak dijadikan semua manusia beriman, lalu dibiar-Nya sebahagian manusia beriman dan sebahagian yang lain tidak beriman (al-Taghaabun 64:2, al-Kahfi 18:29). Dari sini kita memahami bahawa kepelbagaian atau ta’addudiyyah, termasuk dalam soal kepercayaan dan agama adalah bersifat tabi`ii dan merupakan sunnatullah yang telah ditentukan Allah s.w.t.


Di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi dan perbezaan bahasa dan warna kulit-mu. Sungguh pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui – Al-Rum 30:22.


Allah s.w.t. menegaskan bahawa Dia dengan kehendak-Nya menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan berpuak-puak, berbagai bahasa dan berbeza warna kulit, bagi memboleh berlakunya interaksi yang menjadikan mereka saling mengenali hingga menwujudkan persefahaman dan kesediaan untuk saling membantu bagi membina kesejahteraan bersama.


Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu saling mengenali -  al-Hujurat 49:13.


Rasulullah s.a.w. diutus ke seluruh umat manusia untuk mengajak mereka beriman kepada Allah s.w.t. Namun realiti beragama dan reaksi manusia terhadap seruan Baginda adalah berbeza-beza mengikut ketetapan Allah s.w.t. Di samping Islam, Dia juga membiarkan munculnya berbagai kepercayaan dan agama di berbagai belahan dunia. Sekalipun Islam merupakan agama samawi terakhir yang memansuhkan syariat Nabi Musa dan Isa `alayhimas-slam, namun kenyataannya sejumlah manusia tidak menerima Islam dan masih kekal berpegang kepada agama tersebut. Islam mengakui realiti ini. Bahkan Al-Quran menghormati mereka dengan mengkategorikan mereka sebagai ahl al-kitab dan memanggil mereka sebagai al-Nasara dan al-Yahud serta menggariskan panduan dan tatacara bagaimana kaum muslimin harus bermu`amalah dengan mereka. Ini menjadikan Islam satu-satunya agama yang menetapkan cara berhubung dan berinteraksi dengan mereka yang menganut kepercayaan dan agama yang lain di luar dari lingkungannya. Panduan serta tatacara ini menjadi sebagai sebahagian dari syari`at Islam sendiri. Di samping ahl al-kitab dengan agama Yahudi dan Nasrani, terdapat berbagai lagi kepercayaan dan agama yang dianut oleh berbagai bangsa di dunia.


Hidup Bersama Secara Aman (al-Ta`ayush al-Silmi/peaceful co-existence).



Menghadapi realiti kepelbagaian bangsa, warna kulit, budaya, agama dan kepercayaan, Islam tampil dengan gesaan agar umatnya sentiasa berbuat baik dan berlaku adil sekalipun terhadap mereka yang kafir atau musyrik (ahl al-syirk).


Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampong halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil – al-Mumtahanah 60:8.


Berdasarkan ayat dari surah al-Mumtahanah di atas, Allah s.w.t. tidak menegah penganutnya dari berbuat baik (an-tabarruu-hum) dan berlaku adil (an-taqsithu ilay-him) terhadap orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi orang-orang Islam dan tidak bertindak mengusir mereka keluar dari tempat tinggal. Bahkan Allah s.w.t. menegaskan bahawa Dia mengasihi mereka yang berlaku adil terhadap mereka yang bukan-Islam. 


Islam telah meletakkan prinsip-prinsip yang jelas sebagai asas pembinaan masyarakat yang sejahtera iaitu prinsip hidup bersama. Prinsip ini mampu menyediakan kerangka bagi menampung keragaman yang wujud dalam masyarakat manusia termasuk kepelbagaian agama, bangsa dan budaya. Ketegasan Islam dalam mendokong konsep dan prinsip kesatuan manusia sejagat, kemuliaan insan, kebebasan beragama, keadilan dan pemeliharaan hak-hak insan perlu digarap bersama naratif kegemilangan masa lalu yang telah membuktikan kejayaannya dalam membina kerukunan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama.  Dasar-dasar penting yang digariskan oleh al-Quran yang seharusnya menjadi asas perhubungan antara kaum dan menjadi panduan bagi membina kehidupan bersama secara aman. Selain dari al-Mumtahanah 60:8, beberapa prinsip utama dinyatakan  dalam ayat-ayat berikut:


Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil peringatan (Al-Nahl 16:90).


Wahai manusia! Sungguh telah Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti (al-Hujurat 49:13).


Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas perbedaan antara petunjuk (yang benar) dari kesesatan (al-Baqarah 2:256).


Antara yang terpenting dapat difahami dari ayat-ayat tersebut ialah asas-asas keadilan, kesatuan insan, hidup bersama, saling menghormati dan tiada pemaksaan dalam agama dan kepercayaan. Ghanushi dalam Huquq al-Muwatinah berpandangan bahawa hukum-hukum umum yang terdapat dalam ayat-ayat ini adalah pendirian de jure Islam tentang kesaksamaan kewarganegaraan mereka yang bukan Islam.


Wujudnya kategori bukan-Islam sebagai ahl al-dhimmah atau dhimmiy dalam sejarah awal Islam bukan bertujuan mendiskriminasi warga bukan-Islam yang berada di bawah pemerintahan Islam.  Pengkategorian tersebut muncul sebagai komitmen pemerintah Islam untuk melaksanakan amanah perlindungan terhadap golongan bukan-Islam dan bagi memastikan keadilan dan hak-hak mereka dijamin dan terhalang dari berlaku sebarang ketidakadilan.  Bagaimanapun dalam dunia hari ini, bukan-Muslim bukan lagi dhimmiy yang memerlukan perlindungan. Mereka bukan hamba-hamba atau tawanan akibat perang atau penaklukan atau natijah dari perjanjian-perjanjian damai seperti yang berlaku dalam sejarah. Mereka lahir di negara-negara yang dihuni oleh majoriti orang-orang Islam, dan di negara tersebut juga mereka membesar dan mencari rezeki untuk penghidupan. Mereka kini adalah warga negara yang sah dengan segala hak dan tanggungjawab seperti orang-orang yang lain.  Banyak pemikir Islam kontemporari menerima kenyataan bahawa tiada lagi justifikasi pengkategorian dhimmiy atau bukan-dhimmiy dan menegaskan istilah-istilah demikian sudah tidak relevan lagi.  Inilah yang dikemukakan oleh Fahmi Huwaydi apabila beliau menulis bukunya Muwatinun la Dhimmiyyun (Warganegara Bukan Lagi Dhimmiy).


Sahifah Madinah Sebagai Model Membina Hidup Bersama 


Dalam mendepani zaman moden, Islam mempunyai prinsip-prinsip yang kuat dalam membina bentuk hubungan antara warga Islam dan bukan Islam yang mampu menjamin kehidupan yang sejahtera dalam sesebuah negara. Dalam hal ini rujukan terpenting ialah Sahifah Madinah atau Piagam Madinah iaitu satu gagasan politik bernegara oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang meletakkan dasar-dasar penting hubungan warga Islam dengan warga bukan-Islam. Piagam ini mengandungi 47 artikel dengan bahagian pertama (artikel 1 hingga 23) mengenai hak dan tanggungjawab orang-orang Islam yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar. Sementara bahagian kedua (artikel 24 hingga 47) berkaitan dengan hak dan tanggungjawab orang-orang Yahudi. Piagam yang didahului dengan perundingan dengan pihak-pihak yang terlibat, diterima tanpa bantahan oleh semua warga Madinah.


Beberapa artikel dari piagam ini wajar dirujuk. Antaranya Artikel 1 yang memulakan pernyataan dengan basmalah dan penegasan bahawa piagam tersebut dari Nabi Muhammad sebagai Rasul iaitu Utusan Allah, yang dibuat antara orang-orang mukmin dan muslim dari Quraisy (Muhajirin) dan ahli Yathrib (Ansar dan Yahudi) dan “orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka”.  Artikel 2 menjelaskan, “Bahawa mereka adalah satu umat yang berbeza dari manusia lain (ummatun wa-hidah min du-nin-nas)”. Artikel 25 versi Ibn Hisham menyebut secara jelas tentang kaum Yahudi yang didahului dengan Yahudi Bani 'Awf bahawa, “kaum Yahudi Bani ‘Awf adalah satu umat bersama orang-orang mukmin” (wa-annal-yahuda bani-‘auf ummatun ma’almu’minin) dan diikuti Yahudi-Yahudi Bani Najjar, Bani  al-Harith, Bani Saidah, Bani Jusham, Bani al-Aus, Bani Tha’labah, Jafna dan Bani Shutaybah. Ini memberi makna bahawa piagam ini mengiktiraf semua kelompok yang berada di Madinah sebagai warga masyarakat Madinah (citizens of Medinan society). Nabi s.a.w. menyebut dengan jelas tiap kelompok Yahudi yang terlibat serta tanggungjawab individu dan tanggungjawab kemasyarakatan yang harus mereka penuhi. Mereka diberi kebebasan mengamal ajaran agama masing-masing tanpa diganggu, namun mereka memikul tanggungjawab bersama ketika negara diancam iaitu berkewajipan menyediakan bantuan fizikal dan kewangan bagi mempertahankan Madinah. Artikel 39 pula menyebut bahawa, “Kota Yathrib adalah wilayah yang terpelihara aman bagi mereka yang mendokong Piagam ini”, yang membawa erti jaminan keamanan Kota Yathrib bagi semua warganya. Sementara Artikel 40 menyebut bahawa, “Jiran hendaklah diperlakukan sebagai satu jiwa, tidak boleh dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan dosa”. Ini memberi jaminan keselamatan dan keamanan yang diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Tentang kehormatan wanita, Artikel 41 mengingatkan, “Tidak boleh dihampiri kehormatan wanita melainkan dengan izin keluarganya sendiri”.


Jelas melalui sahifah ini satu kontrak sosial (social contract) telah terbentuk lalu melahirkan sebuah komuniti baru yang pluralistik, dikenali sebagai ummah yang menggabungkan kaum Muslimin (orang-orang Muhajirin dan Ansar) dan berbagai kelompok kaum Yahudi yang berada di Madinah. Ini membuktikan kesatuan yang dibina atas dasar agama (ukhuwwah diniyyah) dan kesatuan yang dibina atas dasar negara (ukhuwwah wataniyyah) tidak menimbulkan konflik dan tidak menghalang proses pembinaan satu bangsa yang bersatu. Sahifah mengandungi asas kehidupan bersama secara aman (peaceful co-existence) yang jelas, berdasarkan prinsip keadilan, saling menghormati dan pengiktirafan hak-hak asasi semua pihak. Sahifah berjaya menyatukan kota yang dihuni oleh pelbagai kelompok dan kabilah, pelbagai agama, budaya dan bahasa.  Hasilnya ialah ‘sebuah komuniti tunggal’ (one single community) yang berjaya menutup ruang untuk sebarang usaha diskriminatif dan menghalang sesiapa dari merasai diri sebagai ‘warganegara kelas dua’. Demikian kita mendapati bagaimana Risalah Ilahi yang dibawa Baginda s.a.w. diterjemahkan secara praktis memenuhi maqasid al-syaria’ah iaitu memelihara dan menwujudkan kesejahteraan hidup manusia.


Piagam ini menjadi perlembagaan demokrasi pertama dalam sejarah pemerintahan demokrasi dunia. Dengan piagam ini undang-undang (rule of law) mengambilalih wewenangan ketua-ketua kabilah. Lahir dari konstitusi ini negara Islam pertama yang terbentuk berasaskan masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya. Secara jelas piagam ini meletakkan kebebasan, keadilan dan persamaan sebagai asas utama dan ini adalah refleksi dari ajaran-ajaran utama al-Quran dan membuktikan bahawa Islam menolak sebarang bentuk pemaksaan, ketidakadilan dan diskriminasi. Ini adalah contoh bagaimana sebuah piagam bagi mengatur kehidupan manusia yang digubal berasaskan petunjuk dari wahyu ilahi.


Gagasan yang terkandung dalam Sahifah menggambarkan keterbukaan dan toleransi Islam dalam mendepani dan menyelesaikan masalah-masalah berat berkait dengan isu-isu kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang kini dihadapi oleh hampir semua negara moden. Model Sahifah yang jelas, mudah dan tanpa kekaburan ini seharusnya menjadi rujukan asas yang didahulukan tentang model Islam mengenai hubungan Islam dan bukan-Islam serta prinsip-prinsip hidup bersama.  Harus diingat bahawa Sahifah mendahului undang-undang tentang dhimmah. Hal ini disetujui oleh Syed Sikandar Haneef bila beliau menyebut dalam tulisannya Non-Muslims’ Citizenship in Islamic Law, “constitutional precedent of the Prophet (Sahifah al-Madinah), predating the law of dhimmah is an ipso facto evidence of the original position on non Muslim’s equal nationality status in Islam.” Sekiranya orang-orang Yahudi Madinah tidak khianat..


Sebahagian dari semangat dan ciri-ciri Sahifah tergambar dalam Perlembagaan Malaysia termasuk kebebasan agama, kewarganegaraan, hak dan kesamarataan, peranan Parlimen selaku badan musyawarah dan tanggungjawab bersama mempertahankan kewibawaan dan maruah negara. Bagaimanapun perlembagaan harus didokong dengan kesedaran bersama secara tulus bagi membangun kesejahteraan untuk semua berasaskan perkongsian hidup sebagai satu keluarga besar Bangsa Malaysia yang mengutamakan sikap toleransi, hormat menghormati dan saling memahami serta mengenepikan prejudis dan sikap chauvanistik. Kesediaan untuk bertolak ansur, berkorban dan berakomodasi mesti menjadi ciri bangsa yang menginginkan kesejahteraan hidup yang menyeluruh dan berpanjangan. Politik komunalisme yang biasanya ditandai emosi dan dan kebencian akan menggagalkan apa juga usaha ke arah keharmonian dan kesejahteraan hidup antara kaum, sekalipun perlembagaan yang digubal amat baik.


La Convivencia Model Andalus


Andalus atau Spain di zaman kegemilangan pemerintahan Islam, khususnya semasa pemerintahan Abd al-Rahman III (912-961) berjaya membangun masyarakat cemerlang (an enlightened society) dengan model la convivencia (hidup bersama secara aman) yang menakjubkan. Kebebasan penuh diberikan kepada penganut agama Kristian dan Yahudi untuk mengamalkan ajaran agama dan budaya serta cara hidup mereka masing-masing tanpa diganggu. Ini diperkukuh dengan kesedaran bahawa agama-agama Islam, Kristian dan Yahudi mempunyai pertalian kerana bersumber dari Nabi Ibrahim a.s. (Abrahamic faiths). Orang-orang Yahudi dan Kristian turut memainkan peranan penting dalam mengembangkan ekonomi, perniagaan dan perdagangan.  Mereka turut  diberi jawatan-jawatan yang penting dan strategik termasuk dalam urusan pemerintahan, pentadbiran dan diplomatik. Andalus kemudiannya muncul sebagai sebuah negara yang terkenal tidak hanya dari segi kemajuan ekonomi dan pembangunan yang mendahului Eropah, tetapi juga masyhur kerana perkembangan ilmu pengetahuan dan budaya termasuk bidang-bidang falsafah, metafizik, seni bina dan kesusateraan dengan tokoh-tokoh dari berbagai agama.  Lebih 400 tahun, Muslim, Kristian dan Yahudi dapat hidup bersama secara aman dan penuh harmoni. Tempoh gemilang itu dianggap sebagai zaman keemasan (golden age) dan menjadi model terbaik bagaimana masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama boleh hidup bersama secara aman (peaceful co-existence atau al-ta’aa-yus al-silmi).


Malaysia: Prospek Membina Hidup Bersama


Di akhir-akhir ini hubungan antara kaum dan agama di Malaysia berada di tahap membimbangkan. Ini tergambar ekoran seringnya muncul kenyataan berbaur perkauman dan berunsur rasis diungkap dengan nada kebencian dan dendam, sama ada datangnya dari kalangan orang-orang Melayu yang beragama Islam atau dari kalangan bukan-Islam yang kebanyakannya berbangsa Cina dan India.  Sebahagian dari kenyataan ini dibuat atas nama agama (Islam) dengan hujah mempertahankan kepentingan Melayu dam Islam. Sebahagian dari tokoh-tokoh Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu Islam pula cenderung memposisi diri sebagai ‘pembela Melayu’ dan golongan bukan-Islam (Cina dan India) pula sebagai ‘musuh yang berniat jahat’ yang siap siaga dengan segala tipu muslihat bagi merampas hak-hak orang-orang Melayu-Islam dan menyekat peluang untuk mereka maju serta akhirnya bertujuan mengambilalih pemerintahan negara dari tangan orang-orang Melayu. Ini menjadikan pendekatan yang digunakan dalam mendepani golongan bukan-Islam sering diselubungi prejudis yang tebal, kebencian dan permusuhan.  Sikap ini mendorong terbitnya kenyataan-kenyataan rasis dan berlakunya berbagai insiden provokatif. Kelihatan semacam adanya kesengajaan kelompok tertentu mengeksploitasi isu-isu sensitif, mencemuh kepercayaan dan amalan kaum tertentu, memberi label dan gelar yang menimbulkan kemarahan penganut agama-agama yang lain. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila ada parti-parti politik yang secara langsung atau tidak langsung mengeksploitasi isu-isu perkauman bagi kepentingan survival atau kelangsungan hayat parti politik mereka.


Adalah realiti dan ketentuan ilahi bahawa orang-orang Islam akan hidup berdampingan dengan mereka yang bukan-Islam. Dalam apa keadaan sekalipun tidak mungkin orang-orang Islam boleh hidup terpisah atau mengelak diri dari berinteraksi dengan mereka yang bukan-Islam. Pendekatan keras dan sikap permusuhan serta emosi kebencian akan menjadikan hubungan orang-orang Islam dengan bukan-Islam sentiasa tegang dan boleh bertukar menjadi lebih buruk bahkan mungkin mencetuskan pergaduhan kaum yang memakan korban. Sebahagian dari sikap negatif orang-orang bukan-Islam terjadi sebagai reaksi terhadap sikap dan tindak tanduk orang-orang Islam sendiri yang  provokatif dan emosional.  Dalam banyak keadaan, sikap, pandangan dan tindak tanduk mereka sebenarnya jauh menyimpang dari pendirian Islam yang benar.  Allah s.w.t. mengingatkan agar jangan sampai kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong berlakunya kezaliman ke atas mereka.

Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu melakukan ketidakadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan – al-Maidah 5:8


Hubungan sesama Islam adalah atas dasar persaudaraan keimanan (ukhuwwah imaniyyah). Sebaliknya orang-orang Cina dan India, walaupun tidak beragama Islam tetapi mereka adalah warga negara Malaysia yang sah dan mereka merupakan rakan senegara. Dan atas dasar persaudaran kerana tanahair (ukhuwwah wataniyyah), mereka adalah rakan senegara yang mempunyai hak yang mesti dihormati dan dipertahankan. Hasrat untuk cita-cita membina Bangsa Malaysia yang diwar-warkan, tidak akan tercapai kecuali dengan perpaduan dan kesatuan semua bangsa yang ada; Melayu, Cina, India dan lain-lain. Semua bangsa yang ada perlu mempunyai matlamat yang jelas serta tekad yang kuat untuk membina hidup bersama secara aman. Pemerintah perlu menjadikan ‘membina hidup bersama secara aman’ sebagai asas yang terkandung dalam semua dasar yang dirumusnya. Untuk itu keutamaan mesti diberi kepada memperkukuhkan sistem musyawarah yang melibatkan pimpinan dan cerdik pandai semua kaum. Sikap terbuka dengan dialog dan positive engagement yang dibuat dengan jujur akan menyumbang kepada persefahaman yang lebih baik serta penyatuan matlamat yang diperlukan dalam usaha membina Bangsa Malaysia.


Para pemimpin politik seharusnya berfikiran jauh dan bertindak sebagai statesman yang memikirkan masa depan negara dan kepentingan jangka panjang. Mereka perlu mengelak diri dari memainkan isu-isu bangsa dan kaum dan berhenti dari menggunakan strategi menakut-nakut satu kaum dari kaum yang lain. Mungkin tindakan seperti ini, untuk suatu tempoh,  membantu memanjangkan hayat politik seseorang atau sesebuah parti politik namun akhirnya akan menimbulkan perbalahan kaum yang akan memporakperandakan negara. Sekiranya para pemimpin negara tidak mengambil pendirian tegas berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan, sementara masyarakat terbanyak pula tidak dididik agar menghormati satu sama lain, belajar menghargai perbezaan dan kepelbagaian serta bersedia bertolak ansur, keadaan akan menjadi lebih buruk dan negara sekali lagi akan berdepan dengan bencana yang pernah menimpanya. Sejarah yang kita lalui memperlihat berbagai ketegangan dan konflik perkauman berlaku sejak tahun 1945 termasuk peristiwa terburuk yang terjadi pada 13 Mei 1969.



Sekian.




(Cikgu Abd Halim Ismail adalah Naib Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH. Artikel ini diterbitkan di dalam majalah PENCERDASAN Edisi Januari-April 2017)

No comments:

Post a Comment