Monday, February 27, 2017

ABDUL HALIM ISMAIL: KARAMAH INSAN



KARAMAH INSAN DALAM KEBANGKITAN ISLAM MASA DEPAN

Karamah Insaniah Sebagai Anugerah Ilahi


Karamah Insaniah (Kemuliaan Insan) adalah  takrim al-ilahiyy, anugerah kemuliaan yang bersumber dari Allah. Ini membawa maksud bahawa anugerah ini adalah divine origin. Dia mencipta manusia dan Dia memberi manusia kemuliaan (karaa-mah). Allah mengisytiharkan bahawa,


Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak cucu Adam dan Kami angkut mereka di daratan dan di lautan dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna” - (al-Isra’ 17:30).


Ayat ini menjadi asas yang tegas dan tidak berubah tentang Karamah Insaniah. Karamah Insaniah adalah sesuatu yang 'melekat' pada diri manusia secara semulajadi (inherent), lahir bersamanya sejak penciptaan Adam dan bukanlah hasil dari perjuangan atau PROSES kematangan dan sejarah pengalaman yang ditempuh oleh manusia. Karamah Insaniah adalah fitrah dan fitrah ini kekal, tidak berubah, sekalipun berlalunya masa. Allah menegaskan bahawa,


 “…Dia telah mencipta manusia menurut (fitrah) itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah” - (al-Rum 30:30).  


Allah telah memuliakan manusia dan mengangkat darjat manusia dengan menciptanya dalam rupa bentuk yang terbaik (al-Tin 95:4), dicipta mengikut rupa-Nya (al-Hadis), dicipta dengan tangan-Nya (Sad 38:75) dan ditiup dari roh-Nya (al-Sajdah 32:9). Maka penghormatan harus diberikan kepada jiwa manusia ciptaan Allah ini, sama ada dia beragama atau tidak, sama ada dia Islam atau bukan Islam.


Islam adalah risalah ilahi yang bertujuan membawa kebahagiaan hidup kepada manusia dengan menunjukkan kepada mereka jalan-jalan yang membawa kebaikan, memandu mereka ke arah  apa yang memberi manfaat dan menghindar mereka dari segala yang membawa mudharat. Ini adalah tujuan dari syariat atau maqasid syariah. Namun maqasid ini hanya mampu direalisasi kiranya berlaku pengiktirafan terhadap kesucian dan kekudusan Kemuliaan Insan. Sebagaimana Allah memuliakan anak cucu Adam maka demikian juga yang harus dilakukan oleh anak Adam sesamanya. Allah memerintah “Wa ah-sin ka-ma ah-sanallahu ilay-ka ” – ‘Berbuat baiklah kamu sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu’ (al-Qasas 28:77).  


Seiring dengan kemuliaan ini ialah hak-hak dan kebebasan yang perlu dipertahankan termasuk hak seseorang sebagai individu atau hak bagi suatu kelompok manusia. Manusia tidak boleh dihina, direndah-rendahkan, didiskriminasi dan dizalimi kerana perbedaan bangsa, kaum, etnik, warna kulit, jantina, agama, usia, keupayaan mental dan fizikal. Mereka berhak untuk hidup aman tanpa gangguan, untuk bebas menjalankan pekerjaan bagi menyara dan membina kehidupan, mereka perlu diberi hak untuk memberi pendapat dan menyuarakan ketidakpuasaan, hak agar pandangan, rungutan dan protes mereka didengari, hak untuk mendapat perhatian, pertimbangan dan pelayanan yang saksama. Setiap orang manusia harus diiktiraf sebagai memiliki identiti, jiwa dan perasaan dan keunikan masing-masing. Mereka adalah diri yang mempunyai maruah yang perlu diiktiraf dan dihormati. Setiap orang dari mereka adalah entiti yang bermakna untuk masyarakatnya. Ini memberi implikasi bahawa sebarang usaha menafi dan mengenepi hak-hak ini bererti menafikan kemuliaan yang telah ‘dipakaikan’ Allah kepada mereka sejak penciptaan insan pertama iaitu Adam lagi.  Selagi seseorang itu bergelar insan, selagi itu dia memiliki kemuliaan anugerah ilahi ini. Rasullulah s.a.w. pernah berdiri menghormati jenazah Yahudi yang dibawa melewati Baginda. Para sahabat memaklumkan Baginda s.a.w. bahawa jenazah adalah seorang Yahudi.  Baginda mempersoalkan: alay-sat naf-san, tidakkah dia juga satu jiwa (yang harus dihormati)? Para sahabat sendiri turut mengiringi jenazah ibu bapa mereka walaupun mereka Yahudi atau Nasrani.  


Ada di kalangan ulama dan pemikir Islam menghujah bahawa al-‘irdh iaitu kemuliaan dan maruah adalah antara maqasid syariah selain dari al-kulliyat al-hams; pemeliharaan agama, jiwa, aqal, harta dan nasab. Kepentingannya dibuat berdasarkan besarnya kemurkaan Allah dan azab amat pedih yang akan bakal ditimpakan ke atas mereka yang terlibat dalam peristiwa hadith al-ifk yang melibatkan fitnah, yang menggugat kehormatan Saydatina Aishah (al-Nur 24: 1115, 19, 23-25). Juga berasaskan penegasan Rasulullah s.a.w. sewaktu Hajjatul Wada’ bahawa, “In-na di-maa-a-kum wa am-wa-la-kum wa a’raa-dha-kum alai-ku haraa-mun” (Sesungguhnya, darah, harta dan kehormatan kamu haram dicerobohi). Tuduhan zina dan qazaf adalah serangan terhadap kemuliaan seorang insan dan ayat-ayat Quran yang berkaitan tidak memberi ruang untuk berkompromi terhadap mereka yang membuat tuduhan sedemikian.

Karamah atau kemuliaan (dignity) berbeza dari penghormatan (respect), kerana kemuliaan adalah nilai yang sedia ada pada diri manusia sedang penghormatan adalah kesan atau natijah dari perilaku atau akhlak seseorang. Karamah insan juga bukan terhasil dari undang-undang yang digubal. Undang-undang boleh digubal bagi melindungi dan mempertahankan Kemuliaan Insan tetapi undang-undang tidak boleh merungkai atau mencabutnya dari diri manusia. Hak-hak asasi (human rights) yang digubal oleh manusia adalah bukti perakuan manusia terhadap kemuliaan insan yang secara tabi’i sebati dengan diri manusia (human rights are the recognition of inalienable dignity of human beings).


Allah menegaskan realisasi tertinggi Kemuliaan Insan di sisi-Nya ialah apabila seseorang mencapai darjat Taqwa. Firman Allah, yang mafhumnya,


Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa” - (al-Hujurat 48:13).


Sementara beriman dan beramal salih pula menjadi syarat mengelak dari jatuh kepada kehinaan. Al-Quran mengungkap,


Sungguh telah Kami ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (as-falas sa-filin), kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan kebaikan, maka mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putus.” -  (al-Tin 95:4-6).


Ini bermakna seorang muslim perlu mengangkat kemuliaan dirinya melampaui batas-batas standard yang dianugerah secara tabi’i oleh Allah. Kemuliaan tertinggi di sisi Allah adalah kemuliaan yang mesti diusahakan oleh manusia dengan cara beriman dan beramal salih. Kemuliaan yang dicapai kerana ketaqwaan akan memberi implikasi yang melampaui batas dunia. Allah menjanjikan balasan terbaik dan darjat yang tinggi di Hari Akhirat nanti.


Kemuliaan Insan Dalam Masyarakat Barat


Dalam konteks masyarakat Barat, Aristotle, Cicero, Albert the Great dan Thomas Aquinas adalah nama-nama awal yang menyinggung konsep dignitas humana atau dalam istilah yang dipakai kini Human Dignity. Dari segi sejarah, perkataan dignity yang berasal dari perkataan latin, dignus yang bermaksud wajar dan disanjung (worthy), digunakan sebagai menggambarkan kedudukan dan kemuliaan seseorang dalam masyarakat. Immanuel Kant (1724-1808), seorang ahli falsafah German, dianggap sebagai sumber idea kontemporari tentang Human Dignity. Dari sekian perspektif perbahasan tentang konsep ini, perspektif Christo-centric mempunyai banyak kesamaan dengan Islam kerana perspektif ini turut melihat manusia memiliki kemuliaan kerana dia dicipta oleh ‘Tuhan dalam imej-Nya’. Bagaimanapun, kerangka falsafah post-modern mengenai Human Dignity dilihat lebih banyak pengaruh dalam membentuk asas bagi demokrasi moden dan hak-hak asasi manusia.  Deklarasi Hak-hak Asasi Manusia, 1948, turut menerima prinsip ‘human dignity’ dan menganggapnya sebagai inherent dan inalienable. Prinsip ini  telah diguna sebagai rasional bagi pengubalan hak-hak asasi.


Pencerobohan Terhadap Kehormatan Insan


Realiti kehidupan manusia menghadapkan kita kepada pencabulan terhadap Kemuliaan Insan dalam pelbagai bentuk. Termasuk antaranya ialah penghinaan dan tindakan-tindakan menjatuhkan maruah dan harga diri (humiliation). Penyiksaan dan penghinaan yang dilakukan oleh tentera US dan CIA terhadap tahanan Penjara Abu Ghraib di Iraq, March 2003, atau di Guantanamo Bay atau seperti ‘squatgate’ atau ‘gadis lokap’ di balai polis Petaling Jaya pada tahun 2005, adalah termasuk dalam kategori ini. Langkah mewujudkan bahagian khas bagi bagi pemeriksaan keselamatan terhadap orang-orang Islam dan penggunaan full body scanner di lapangan-lapangan terbang merupakan suatu bentuk humiliation yang tidak wajar sama sekali. Demikian juga tindakan melampau Donald Trump untuk membina pengkalan data yang melibatkan seluruh orang-orang Islam di US serta saranannya untuk a total and complete shutdown of Muslims entering the United States”.

Pencerobohan terhadap Kemuliaan Insan juga boleh berlaku apabila manusia diperalatkan (instrumentalization) seperti objectification of women iaitu penggunaan wanita-wanita cantik dengan daya tarik seks bagi mempromosi events atau mengiklankan barangan atau menjadikan mereka penghias majalah bagi melariskan jualan atau menjadikan mereka alat untuk majalah atau filem pornografik.  Degradation pula ialah tindakan-tindakan yang menurunkan maruah dan menjejaskan kehormatan diri manusia. Hal seperti ini boleh berlaku apabila hak dan kebebasan seseorang untuk membuat keputusan dan menentukan nasib diri ‘dirampas’ dan berada di tangan orang lain. Degradation boleh berlaku walaupun tanpa disedari dan walaupun dengan persetujuan (consent).  Sistem perhambaan (slavery) sebagai contoh, menafikan autonomi atas diri dan merampas rasa memiliki diri (sense of ownership) yang menjadi ciri  manusia yang merdeka. Lihat bagaimana Bani Israel hampir hilang harga diri dan tidak berdaya untuk bangun sebagai akibat dari perhambaan yang dipaksa ke atas mereka oleh Firaun.


Kemuliaan Insan boleh terhakis kerana tindakan-tindakan dehumanisasi atau penyahinsanan (dehumanisation). Hal seperti ini berlaku apabila tindakan-tindakan yang diambil menjadikan manusia seolah-olah not fully human or less human. Pembersihan etnik (ethnic cleansing), pembunuhan kaum (genocide) dan penyiksaan (torture)  adalah tindakan-tindakan dehumanisasi yang masih berlaku di dunia hari ini.  Hal ini berlaku di Bosnia Herzegovina di tahun-tahun 1992-95 dalam bentuk siksaan, pencabulan kehormatan serta pembunuhan sehingga 100,000 jiwa dan apa yang berlaku akhir-akhir ini di Arakan, Burma, yang mengakibatkan perogolan wanita-wanita dan penyembelihan orang-orang Islam Rohingya adalah contoh-contoh dehumanisasi yang keterlaluan. Demikian juga kes klasik Adolf Hitler dengan projek ‘final solution’  yang membawa kepada tragedi Holocaust (1941-45) yang terkenal itu.


Kebangkitan Islam dan Masa Hadapan


Sejak kebangkitan Islam tahun 1970-an hingga kini terdapat tiga fasa yang mungkin boleh membantu kita memahami fenomena perubahan yang telah terjadi. Fasa pertama mulai awal 1970-an hingga 1980-an ditandai dengan landaan kesedaran agama yang amat kuat. Kesedaran baru ini mendorong sikap keras menolak faham dan cara hidup sekularistik dan menganggap dunia kini adalah jelmaan jahiliah yang tidak banyak bezanya dari jahiliah pra-Islam. Istilah al-jahiliyyatu qanul ‘isyrin menjadi sebutan yang popular dalam ceramah para pendakwah waktu itu. Ini mendorong sesetengah pihak bersikap menolak secara total sistem hidup yang ada dan berusaha membina kehidupan alternatif. Pemikiran-pemikiran pokok tentang agama ditekuni oleh para aktivis dan kemudiannya dikongsi dengan masyarakat terbanyak. Istilah-istilah seperti Islam: Nizam al-Hayah. Islam Yang Syumul, Islam: Din wa al-Daulah, Islam: Penyelesaian Masalah, begitu memukau masyarakat. Satu revolusi kesedaran merempuh tidak hanya mahasiswa dikampus-kampus tetapi juga masyarakat umum di bandar maupun di kampong. Seminar-seminar tentang konsep pendidikan Islam dan teori ekonomi Islam menjadi acara yang tidak asing bagi masyarakat. Tahap ini memberi impak besar mengembalikan harga diri dan keyakinan umat terhadap potensi diri dengan agama sebagai kekuatan. Semangat ke arah penghayatan agama melanda hampir setiap sektor masyarakat. Perubahan ketara di kalangan wanita muslimah termasuk pelajar di universiti dan sekolah-sekolah. Bahkan tidak sedikit yang berani mencabar the establishment yang cuba mempertahankan status quo, termasuk dalam soal pakaian. Hampir tidak ada sektor yang tidak menerima pengaruh dari kesedaran baru ini.

Selepas 1980-an, kesedaran yang melanda masyarakat menjadi real dan tidak dapat ditolak lagi. Masyarakat menghendaki perubahan yang lebih konkrit khususnya dalam pendidikan, ekonomi dan undang-undang. Pemerintah dan kelompok the establishment yang resah dengan dakwah dan Islam akhirnya terpaksa akur lalu bersikap lebih lunak, akomodatif terhadap tuntutan masyarakat. Fasa kedua ditandai dengan kemunculan institusi-institusi yang menyantuni kehendak umat seperti penubuhan Bank Islam (1983), Universiti Islam (1983), Takaful (1984) dan diikuti dengan berbagai institusi lain termasuk sekolah-sekolah menengah agama telah ditubuhkan. Kini terdapat Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan berbagai panel syariah yang memastikan urusan jual beli yang berlaku mematuhi kehendak syariah. Pasaran sukuk telah berkembang pesat dalam pasaran modal dan menjadi penyumbang terbesar pasaran sukuk global. Kini terdapat hampir 40 entiti perkhidmatan profesional yang berperanan dalam pembangunan kewangan Islam. Perkembangan ini tidak akan berhenti kerana penggubalan polisi-polisi yang berasaskan Islam serta pembangunan institusi-instusi bagi merealisasi polisi-polisi ini akan terus berlaku dengan perkembangan masa. Usaha-usaha turut dibuat bagi menaiktaraf Mahkamah Syariah dan memperkasanya dengan pindaan-pindaan akta yang baru di samping kelengakapan, imej dan prasarana yang lebih baik.


Sementara pemerataan kesedaran melalui program dakwah seperti dalam fasa pertama akan terus berjalan dan demikian juga polisi dan institusi berasaskan Islam akan terus berkembang sebagai lanjutan dari fasa dua, masyarakat memasuki kini memasuki fasa ketiga dengan isu-isu yang lebih kompleks. Masyarakat mulai menyedari bahawa terdapat isu-isu yang vital dan crucial yang perlu dihadapi dengan berani sekiranya kita benar-benar ingin menghayati Islam seutuhnya. Isu-isu ini lebih dari sekedar kesedaran dan kefahaman dan lebih dari semata-mata polisi dan institusi. Perkara-perkara ini memerlukan jihad iaitu kegigihan dan perjuangan yang jauh lebih sukar. Dalam konteks Malaysia (dan juga dunia umumnya) persoalan-persoalan seperti keadilan sosial, kesamarataan, kesejahteraan hidup, hak-hak asasi dan demokrasi semakin menjadi terjejas dan perlu ditangani segera. Ketegangan kaum, sikap rasis dan chauvanistik nampaknya semakin tidak terkawal. Budaya feudalistik yang tebal, kepimpinan negara yang tidak bertanggungjawab serta kurang prihatin dan mementing diri, kegagalan pemerintah memastikan tatakelola negara yang baik (good governance), ahli-ahli politik yang kurang akhlak, politik adu domba dan fitnah serta justifikasi penerusan politics of fear, intimidasi dan tindakan keras terhadap mereka yang berbeda pandangan dan penggunaan akta-akta sewenang-wenang terhadap pengkritik ‘whistleblowers’ adalah resipi yang memundurkan masyarakat. Isu-isu keruntuhan akhlak, rapuhnya institusi-institusi keluarga adalah juga isu-isu real perlu segera ditangani. Media yang sepatutnya mendidik dan mencerdaskan umat sebaliknya telah memecahbelah dan memperbodoh dan merosakkan akhlak masyarakat. Tanpa kesedaran yang mendalam dan meluas stentang isu-isu ini dan tanpa disertai keberanian dan kegigihan perjuangan menangani isu-isu ini, negara sebenarnya dibiar menapak ke arah failed state. Masa depan adalah untuk gerakan Islam yang memahami isu-isu ini dan sedia tampil menggembleng dan memimpin masyarakat dan umat untuk perubahan yang berkesan.


Pencerobohan Terhadap Kemuliaan Insan


Sebahagian besar dari isu-isu yang berbangkit dalam masyakat adalah berkaitan dengan kehilangan kesedaran tentang kehormatan, maruah dan harga diri manusia. Masyarakat dan negara perlu mengiktiraf kemuliaan diri manusia – sama ada sebagai seorang individu maupun masyarakat – dan melayani mereka sewajarnya dengan menghormati dan memberi ruang untuk mereka berperanan dan berpartisipasi secara sihat. Kepelbagaian dalam apa bentukpun, harus dira’i sewajarnya bagi mewujudkan keharmonian hidup bersama. Mereka yang berkuasa perlu mengikutsertakan pihak-pihak lain seperti NGOs dan badan-badan yang mewakili rakyat (civil societies) termasuk parti-parti pembangkang dalam proses membuat keputusan dengan menganggap mereka sebagai rakan (partners) dalam rangka membangun masa depan negara dan mereka wajar didorong untuk memberi pandangan  dan saranan yang konstruktif. Mengenepikan masyarakat dan menyisihkan mereka dari terlibat dalam proses pembangunan adalah pencabulan  terhadap kehormatan mereka sebagai manusia. Menakut-nakutkan rakyat dan mengongkong mereka dengan akta dan tindakan undang-undang yang tidak wajar adalah pencerobohan terhadap nilai dan kemuliaan diri insan. Ini akan memaksa mereka menarik diri dari proses demokratik yang sihat dan merendahkan kedudukan mereka sebagai manusia yang mempunyai kemuliaan.


Rakyat di zaman lampau merupakan pacal yang hina, sedia menjunjung perintah dan pantang menderhaka. Ciri-ciri feudalisme demikian telah membentuk minda hamba yang menebal dalam masyarakat Melayu. Kini ketaatan demikian rupa berpindah dari raja kepada pemimpin dan parti politik lalu membentuk feudalisme baru. Sikap demikian telah menghalang mereka dari bangun memperkembang potensi diri sebagai masyarakat moden yang demokratik dan mampu bersaing. Sikap taat membuta tuli terhadap pemimpin, tidak kisah tentang apa yang benar dan apa yang adil, enggan berfikir, diperkukuhkan dengan budaya menakut-nakutkan mereka dengan akta dan tindakan undang-undang, telah memandulkan akal dan kreativiti masyarakat. Akal yang aktif dan hidup ialah akal yang kritis, mampu merenung dan berfikir mencari kebenaran dan sedia mengungkap kebenaran  dan menyanggah kebatilan. Akal seperti ini akan mengangkat darjat kemuliaan diri manusia dan masyarakat. Sebaliknya akal yang mati akan merendahkan martabat manusia dan menjadikannya hina. Allah menggambarkan kedudukan mereka yang gagal menggunakan fakulti yang diberikan, sebagai makhluk yang rendah dan hina sebagaimana rendah dan hinanya haiwan ternak,


Dan sungguh Kami akan isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tapi tidak mahu berfikir dengannya, mereka mempunyai mata, namun enggan melihat dengannya,  mereka mempunyai telinga, tapi tidak mahu mendengar dengannya. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah” - (al-A’raf 7:179).


Dakwah baru perlu memberi tumpuan perhatian kepada usaha mencerdaskan pemikiran masyarakat, melalui wacana dan dialog, perbincangan dan diskusi, perbahasan dan polemik yang mengangkat keupayaan berta’akkul. Dakwah baru mesti berupaya membangun kesedaran umat tentang kemuliaan diri mereka sebagai manusia. Manusia yang menpunyai kesedaran kemuliaan tidak akan merelakan diri mereka diremeh, dihina, diperbodoh dan diperhambakan. Hanya mereka yang memiliki kesedaran akan kemuliaan diri mampu membuat perubahan dan mengangkat martabat umat.


When people are taught to be aware of their ‘conscious dignity’, they are less likely to let themselves be held slavery of any kind.
                                                 
Mette Lebech, On The Problem of Human Dignity.



Sekian.



(Cikgu Abd Halim Ismail adalah Naib Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH.  Kertas kerja dibentang di Tamrin SALWA Kebangsaan, di Anjung Rahmat, Bangi, 9 Disember 2016)

1 comment:

  1. Assalamu 'alaikum, terdapat kesilapan pada ayat "Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam... ". Yang betul ialah surah al-Isra, 17:70. bukan ayat 30.

    ReplyDelete