Wednesday, August 30, 2017

DR SIDDIQ FADZIL: HIKMAH DALAM DIALOG QUR’ANI

MENANGKAP HIKMAH DALAM DIALOG QUR’ANI: YANG TERSURAT DAN TERSIRAT DALAM AYAT 57 – 73 SURAH TAHA

Siddiq Fadzil





Mukadimah

Apabila al-Qur’an disebut hakim (...wa ‘l-Qur’ani ‘l-hakim) bererti ia adalah khazanah hikmah paling kaya. Al-hikmah, termasuk hikmah Qur’aniah sebenarnya dapat dipelajari menerusi tadabbur, perenungan yang serius dan berterusan dengan akal yang jenih dan hati yang bersih. Al-hikmah ada pada setiap ayat, termasuk ayat-ayat dialog yang memang banyak sekali terdapat dalam al-Qur’an. Demikian banyaknya sehingga ada ulama yang menebutnya kitabu hiwar atau kitab dialog yang memuatkan dialog antara pelbagai pihak: dialog Allah s.w.t. dengan para malaikat, dialog Allah s.w.t. dengan iblis, dan dialog para nabi dengan Tuhan. Malah al-Qur’an juga banyak memaparkan pemikiran yang bertentangan dengannya secara yang sangat objektif, dan setelah itu dibahas berasaskan hujah dan keterangan. Banyaknya ayat-ayat dialog diindikasikan oleh banyaknya kata qala (berkata) dan kata-kata terbitannya yang berjumlah lebih 1700 patah kata. Apabila al-Qur’an menyebut tujuan penciptaan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku ialah untuk saling mengenal (...lita`arafu), jelas tidak mungkin berlaku ta`aruf tanpa dialog. Dengan demikian dialog adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan insan. Sebagai khalifah Allah, manusia melaksanakan misinya dengan bahasa yang dipakai untuk dialog, kerana ia diamanahkan untuk menyebar dan memartabatkan kalimatu ‘Llah.


Dialog Qur’ani (al-Hiwar al-Qur’aniy)

Antara dialog menarik dalam al-Qur’an ialah dialog tiga segi: Musa – Fir`aun – Tukang sihir dalam surah Taha. Dialog ini terjadi berikutan kedatangan Musa dan Harun `a.s. menuntut pembebasan Bani Isra’il dari penderaan dan cengkaman kekuasaan Fir`aun. Yang tersirat dalam tuntutan tersebut ialah maksud untuk membina bangsa yang merdeka. Musa dan Harun mendatangi Fir`aun atas sifat mereka sebagai utusan Allah dengan bukti mukjizat (tongkat dan tangan). Demikianlah latar yang menyebabkan Fir`aun melenting, “Dia (Fir`aun) berkata, ‘Apakah engkau datang kepada kami untuk mengusir kami dari negeri kami dengan sihirmu, wahai Musa?’ “ ayat 57. Demikianlah kata-kata Fir`aun yang tersurat. Tetapi di balik kata-kata tersebut terungkap mentaliti para penguasa zalim, yang sangat takut kehilangan kuasa. Apa pun tuntutan, apa pun perbezaan dan apa pun gerakan pembaharuan, semuanya dianggap ancaman kepada kekuasaannya.

Gerakan yang membawa aliran pemikiran yang berbeza harus ditumpaskan dengan menghancurkan punca-punca kekuatannya seperti kekuatan ekonomi, kekuatan moral atau sebagainya. Dalam konteks Nabi Musa, antara punca kekuatannya ialah mukjizat yang dipersepsikan oleh Fir`aun sebagai “sihir”. Kerana itu yang ia ingin hancurkan ialah “sihir” Nabi Musa. “Maka kami pun pasti akan mendatangkan sihir semacam itu kepadamu, maka buatlah suatu perjanjian untuk pertemuan antara kami dan engkau yang kami tidak akan menyalahinya dan tidak (pula) engkau, di suatu tempat terbuka yang sesuai bagi kedua pihak.” - ayat 58. Demikian cabaran Fir`aun kepada Musa a.s, untuk bertanding dengan tukang-tukang sihirnya di suatu  gelanggang terbuka yang letaknya sama jauh (jaraknya) bagi kedua-dua pihak. Dengan tidak menyebut secara spesifik tempat, hari dan waktunya, bererti dengan keangkuhannya ia mencabar untuk bertanding di mana-mana dan bila-bila sahaja. Cabarannya segera disambut oleh Musa `a.s. dan sekali gus menentukan hari dan waktunya, “Dia (Musa) berkata ‘(Perjanjian) waktu (untuk pertemuan kami dengan kamu itu) ialah pada hari raya dan hendaklah orang-orang dikumpulkan pada siang waktu dhuha.’ “ - ayat 59. Hari raya (yawmu ‘z-zinah) ialah hari kelepasan am, ketika seluruh warga menghias diri dan berhimpun di lapangan. Waktu dhuha pula ialah ketika matahari mula memancarkan sinarnya agar semua orang dapat menyaksikan pertandingan itu dengan jelas di tengah benderang siang. Natijahnya nanti, berita kemenangan yang hak mengalahkan yang batil akan tersebar ke seluruh pelusuk negeri. Demikianlah terjadinya suatu yang luar biasa apabila golongan minoriti (Musa dan Harun `a.s.) dapat membuat penentuan peristiwa besar dalam pemerintahan otokratik yang menguasai segala-gala.

Fir`aun segera beredar untuk mengatur strategi dan tipu daya bangaimana mengalahkan Musa `a.s., “Maka Fir`aun meninggalkan (tempat itu), lalu mengatur tipu dayanya, kemudian dia datang kembali (pada hari yang ditentukan).” - ayat 60. Dalam satu ayat yang demikian singkat, terungkap pelbagai usaha persiapan Fir`aun untuk menghadapi hari pertandingan yang telah disepakati. Usaha tersebut tentunya meliputi pengerahan tenaga seluruh kaki tangan pentadbirannya, terutama para penasihatnya dan utusan-utusannya untuk menghimpunkan tukang-tukang sihir yang berserakan di seluruh negeri. Setelah itu ialah membinaan semangat dan daya lawan tukang-tukang sihir yang telah berhimpun, serta tawaran hadian lumayan jika mereka menang. Setelah segalanya siap, Fir`aun bersama seluruh pendukung-pendukungnya datang ke lokasi pertandingan.

Sebelum pertandingan dimulakan, Musa `a.s. mengingatkan tukang-tukang sihir yang hadir tentang akibat buruk tindakan mereka melawan kebenaran dari Tuhan, “Musa berkata kepada mereka (para pesihir) ‘Celakalah kamu! Janganlah kamu mengada-adakan kebohongan terhadap Allah, nanti Dia membinasakan kamu dengan azab’. Dan sungguh rugi orang yang mengada-adakan kebohongan.”. - ayat 61. Amaran dan nasihat Musa `a.s. yang terbit dari iman dan keikhlasan itu ternyata telah menggoyahkan tekad para tukang sihir Fir`aun sehingga mereka bersengketa sesama sendiri dan terpaksa mengadakan perundingan sulit, “Maka mereka berbantah-bantah tentang urusan mereka dan mereka merahsiakan percakapan (mereka).” - ayat 62. Setelah saling membangkitkan semangat sesama mereka, akhirnya mereka kembali sepakat untuk melawan. Mereka mesti melawan dan mesti menang, tidak boleh kalah. Ini adalah pertandingan hidup-mati. Kalah bererti mereka dan sihir mereka tidak akan laku lagi. Orang akan meninggalkan mereka, dan semuanya akan menumpu pada Musa.

 Mereka sepakat mempertahankan Fir`aun, sistem pemerintahannya dan seluruh budaya hidupnya, “Mereka (para pesihir) berkata ‘Sesungguhnya dua orang ini adalah pesihir yang hendak mengusirmu dari negerimu dengan sihir mereka berdua, dan  hendak melenyapkan adat budayamu yang unggul.’ “ - ayat 63. Tuduhan konon Musa dan Harun `a.s. bercita-cita mengusir mereka dari negeri kediaman mereka memang sengaja dibesar-besarkan untuk membangkitkan kemarahan orang ramai. Demikian juga tuduhan bahawa mereka berdua akan menghapuskan segala adat budaya warisan mereka. Semua bangsa berbangga dengan adat budaya mereka. Rasa bangga itulah yang dieksploitasi agar mereka melawan Musa dan Harun `a.s.

Tukang-tukang sihir itu telah siap dengan segala tipu daya sihir masing-masing dan tampil dengan gaya yang memperlihatkan kehebatan, “Maka kumpulkanlah segala tipu daya (sihir) kamu, kemudian datanglah dengan berbaris, dan sungguh beruntung orang yang menang pada hari ini.” - ayat 64. Ayat ini adalah kata-kata tukang-tukang sihir sesama mereka agar masing-masing menggunakan segala kemampuan (sihir) yang mereka miliki. Tampil ke gelanggang dalam perbarisan adalah untuk memberikan kesan kehebatan yang boleh menggentarkan lawan agar terganggu konsentrasinya. Pertandingan bermula dengan pihak tukang-tukang sihir menawarkan pilihan kepada Musa, siapa yang hendak memulakannya, “ Mereka berkata, ‘Wahai Musa! Apakah engkau yang melemparkan (dahulu) atau kami yang lebih dahulu melemparkan?’ “ - ayat 65. Kata-kata tersebut terasa lunak dan beradab. Mungkin memang begitu bahasa yang standard dalam pertandingan sihir zaman itu. Tafsiran lain menyebut bahawa ungkapannya memang lunak dan beradab, tetapi isinya adalah suatu cabaran yang angkuh.

“Dia (Musa) berkata, ‘Silakan kamu melemparkan! Maka tiba-tiba tali-tali dan tongkat-tongkat terbayang olehnya (Musa) seakan-akan ia merayap cepat, kerana sihir mereka.’ “ - ayat 66. Tampaknya semua berlaku dengan cepat, mendadak dan mengejutkan. Semua tali dan tongkat tukang-tukang sihir itu tiba-tiba menjadi ular-ular yang liar dan buas. Segala yang tampak di sana memang dahsyat dan menyeramkan kerana ia adalah puncak kehebatan segala sihir yang ada di Mesir ketika itu. Memang luar biasa, sehingga menimbulkan sedikit rasa takut di hati Musa `a.s., “Maka Musa merasa takut dalam hatinya.” - ayat 67. Rasa takut dalam hati bererti rasa yang tidak kelihatan pada zahirnya. Yang ditakuti ialah andainya Tuhan memberikan kemenangan kepada mereka sebagai istidraj walaupun seketika, yang akhirnya mereka tetap akan kalah. Rasa takut yang dialami oleh Musa `a.s. ketika itu samalah seperti yang dirasakan oleh Nabi Muhammad s.`a.w. ketika menghadapi perang Badar sehingga Junjungan s.`a.w. bermunajat, “Andainya kaum Muslimin kalah, maka tidak ada lagi orang yang akan menyembah-Mu ya Allah.”. Tafsiran lain menyebut bahawa rasa takut dalam suasana sedemikian adalah suatu yang manusiawi. Keadaan yang memang menakutkan, ditambah dengan gemuruh sorakan penyokong-penyokong Fir`aun yang menyangka mereka akan menang, menyebabkan Musa `a.s. lupa sesaat bahawa Allah bersamanya - mendengar dan menyaksikan. Kerana itu Tuhan segera mengingatkannya, “Kami berfirman, ‘Jangan takut! Sungguh engkaulah yang unggul (menang)’“ - ayat 68.

“ Dan lemparkan apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka buat. Apa yang mereka buat itu hanyalah tipu daya pesihir (belaka). Dan tidak akan menang pesihir itu, dari mana pun ia datang. “ - ayat 69. Tidak terbayang perubahan suasana yang berlaku di gelanggang pertandingan apabila tongkat  mukjizat Musa `a.s. menelan dan melahap ular-ular tukang sihir itu satu demi satu. Ketika semua orang terpegun menyaksikan apa yang berlaku, tiba-tiba mereka dikejutkan oleh tindakan dramatik tukang-tukang sihir yang sujud sambil menyatakan iman mereka kepada Allah, “ Lalu para pesihir itu merunduk bersujud, seraya berkata, ‘Kami telah beriman kepada Tuhan Harun dan Musa.’” - ayat 70. Mereka menyedari hakikat yang mereka lawan bukan sihir, tetapi kuasa Tuhan. Sebagai orang-orang yang benar-benar ahli dalam ilmu sihir, mereka tahu batas jangkauan sihir. Yang mereka lawan tadi memang jelas di luar jangkauan sihir. Kerana itu mereka beriman dengan Tuhan Musa dan Harun. Mereka menyebut Allah dengan cara demikian kerana konsep Allah belum difahami secara meluas ketika itu. Mungkin sekali keputusan untuk beriman itu ada kaitannya dengan peringatan Musa `a,s. Ketika pertandingan hendak dimulakan tadi. Yang jelas ia adalah kuasa Allah yang boleh memberikan sentuhan iman kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Tuhan adalah muqallib al-qulub, Maha Kuasa membolak-balikkan hati manusia. Tetapi hakikat inilah yang tidak difahami oleh Fir`aun.

Dengan itu bermulalah dialog Fir`aun dengan tukang-tukang sihir. “ Dia (Fir`aun) berkata, ‘Apakah kamu telah beriman kepadanya (Musa) sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya dia itu pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu. Maka sungguh, akan aku potong tangan dan kakimu secara bersilang, dan sungguh akan aku salib kamu pada pangkal pohon kurma dan sungguh, kamu pasti akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih kekal siksaannya.’ “ - ayat 71. Keputusan pertandingan dengan Musa sudah muktamad. Musa menang, Fir`aun kalah. Fir`aun marah sekali, tetapi kemarahannya disasarkan kepada tukang-tukang sihir atas alasan beriman sebelum mendapat keizinannya. Seolah-olah ia akan mengizinkan jika mereka memohonnya lebih dahulu. Fir`aun tetap tidak menerima hakikat bahawa yang dimiliki oleh Musa adalah mukjizat, bukan sihir, lalu menuduh Musa sebagai guru besar sihir dan tukang-tukang sihirnya adalah murid-muridnya. Apa yang berlaku dalam pertandingan hari itu, menurutnya adalah persekongkolan guru dengan murid-muridnya. Kemarahan yang sudah tidak terkawal lagi menyebabkan Fir`aun mengancam akan menyiksa tukang-tukang sihirnya dengan cara yang sangat mengerikan. Fir`aun tidak menyangka bahawa tukang-tukang sihirnya berani menjawab kata-katanya. Perubahan mendadak, keberanian yang tiba-tiba, itulah jelmaan the power of iman yang tidak difahami oleh Fir`aun.

“ Mereka (para pesihir) berkata, ‘ Kami tidak akan memilih (tunduk) kepadamu atas bukti-bukti nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami dan atas (Allah) yang menciptakan kami. Maka putuskanlah yang hendak engkau putuskan. Sesungguhnya engkau hanya dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini.’ “ - ayat 72. Iman yang telah menyerap ke dasar hati akan menciptakan transformasi diri menjadi kuat, tabah dan berani. Hikmat al-iman itulah hakikat di sebalik keberanian tukang-tukang sihir menolak Fir`aun dan meremehkan ancamannya. Mereka tidak merayu agar dilepaskan dari hukuman, tidak juga meminta keringanan, sebaliknya menyerahkan kepada Fir`aun apa yang ingin ia lakukan. Mereka tahu batas kuasa Fir`aun yang hanya selama hidup duniawi, dan berapa lamalah yang namanya al-hayat al-dunya itu.

“ Kami benar-benar telah beriman kepada Tuhan kami, agar Dia mengampuni kesalahan-kesalahan kami dan sihir yang telah engkau paksakan kepada kami. Dan Allah lebih baik (pahala-Nya) dan lebih kekal (azab-Nya).’ “ - ayat 73. Demikianlah yang namanya orang beriman, mereka menginsafi dosa-dosa yang telah dilakukan. Menggunakan sihir untuk menafikan mukjizat dari Allah adalah dosa, walaupun dipaksa (oleh Fir`aun). Ungkapan “Dan Allah lebih baik (pahala-Nya) dan lebih kekal (azab-Nya) “ adalah jawapan yang tepat kepada kata-kata Fir`aun, “ ...kamu pasti akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih kekal siksaannya.”


Khatimah

Hikmah dalam pelbagai pengertiannya terserlah dalam dialog-dialog yang terakam dalam ayat-ayat di atas. Hikmah dalam erti kebijaksanaan dapat ditemukan pada Nabi Musa `a.s., juga pada tukang-tukang sihir setelah beriman. Hikmah dalam pengertian rahsia di sebalik sesuatu seperti iman (hikmat al-iman) juga terdapat pada tukang-tukang sihir tersebut. Selain itu hikmah dalam erti hakikat yang tersirat di balik yang tersurat juga terdapat pada ayat-ayat tersebut. Mungkin banyak lagi hikmah yang boleh ditangkap dengan tadabbur yang lebih mendalam.



Rujukan

Al-Zuhayliy, Wahbah. 1991. Al-Tafsir al-Munir. Juz. 15-16. Beirut: Dar al-Fikr alMu`asir.
Departemen Agama RI. 2005. Al-Hikmah: Al-Qur’an dan Terjemahannya. Bandung: Deponegoro.
Ibn `Ashur, Muhammad al-Tahir. T.t. Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir. Jil. 7. Tunis: Dar Sahnun.
Mahjub, `Abbas. 2006. Al-Hikmah wa al-Hiwar: `Ilaqah Tabaduliyyah. `Amman: Jidaran li al- Kitab al-`Alamiy.
Qutb, Sayyid. T.t. Fi Zilal al-Qur’an. Jil.5. 
Yusuf Ali. A. 1983. The Holy Qur’an: Text, Translation and Commentary. Maryland: Amana Corp.


No comments:

Post a Comment