Wednesday, August 30, 2017

MEMBANGUN JIWA MERDEKA, BERKORBAN DEMI AGAMA DAN NUSA

Pernyataan Wadah sempena Hari Kemerdekaan ke-60 dan Perayaan Eidul Adha al Mubarak 1438H




MEMBANGUN JIWA MERDEKA, BERKORBAN DEMI AGAMA DAN NUSA


Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) menginsafi dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT sempena Ulangtahun Kemerdekaan negara kali ke-60 pada tahun 2017 ini.

Sesungguhnya kemerdekaan adalah nikmat dan anugerah yang amat bermakna bagi seluruh rakyat. Kemerdekaan bererti bebas dari kongkongan penjajah. Kemerdekaan bererti kita mempunyai kuasa untuk memerintah dan menentukan masa depan negara dengan cara dan pendekatan kita sendiri. Atas dasar itu kemerdekaan adalah hak milik amat berharga, yang harus dipertahankan sekalipun dengan darah dan nyawa. 

Kemerdekaan, bagaimanapun tidak terhenti dengan kejayaan membebaskan negara dari cengkaman penjajah. Apa yang jauh lebih penting ialah bagaimana kita mengisi kemerdekaan tersebut dengan usaha yang sungguh-sungguh bagi mengangkat rakyat menjadi rakyat yang berdaulat dan bermartabat berasaskan prinsip keadilan, kesaksamaan dan nilai-nilai murni. Akan lebih bermakna sekiranya pembangunan negara dilaksanakan secara seimbang dan lestari dengan kemakmuran yang diperolehi dinikmati bersama secara adil. Dalam masa yang sama rakyat menikmati kebebasan dan peluang untuk bekerja dan meningkatkan kemampuan diri. Mereka juga memiliki kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan kritikan bagi kebaikan bersama. Tidak ada makna kemerdekaan kalau kekayaan negara hanya dinikmati oleh sebilangan kecil kelompok elit dan para pemodal, sedang rakyat terbanyak tertekan dengan kemiskinan dan kos hidup yang tinggi. Tidak juga bermakna kemerdekaan sekiranya rakyat tidak mempunyai kebebasan untuk bersuara dan menyatakan pandangan sesuai dengan prinsip-prinsip demokrasi. Apa ertinya kemerdekaan sekiranya nilai dan perbuatan buruk seperti rasuah dan pembaziran, pornografi dan kerusakan akhlak, politik kebencian (politics of hate) dan politik menakut-nakutkan (politics of fear) menular menjadi budaya yang diterima masyarakat?

Penghayatan kemerdekaan harus menjulang tema pembebasan dari belenggu kejahilan, pembodohan, budaya rasuah dan pembohongan serta kebobrokan akhlak yang melibatkan bukan hanya rakyat biasa tetapi juga mereka yang berada di tampuk kekuasaan. Kemerdekaan sebenar bererti kejayaan mengangkat kemuliaan insan dan martabat umat selaras dengan prinsip-prinsip agama yang murni.

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) juga menyedari bahawa waktu ini jutaan umat Islam sedang berada di Tanah Suci bagi menunaikàn Rukun Islam yang kelima. Perhimpunan tahunan ini menjunjung falsafah pengorbanan dan sebagai bukti kemerdekaan jiwa daripada memperhambakan diri kepada makhluk manusia, nafsu dan dunia, kepada perhambaan mutlak kepada Allah SWT.
 
Sesunģguhnya pensyariatan Ibadah Haji adalah kemuncak pembuktian Iman dan Taqwa yang melahirkan warga negara dan warga dunia yang benar-benar bebas dan merdeka.
Moga semangat merdeka yang ditanam dalam jiwa sanubari rakyat dapat diperteguh dengan semangat pengorbanan demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanahair.


Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-60 dan Salam Eidul Adha al-Mubarak.


Ahmad Azam Abd Rahman
Presiden


www.wadah.org.my

wadahpusat@gmail.com

No comments:

Post a Comment