Monday, October 16, 2017

Abd Halim Ismail: Politik: Jalur Kecil di Jalur Lebar Dakwah



Politik: Jalur Kecil di Jalur Lebar Dakwah

Ada yang beranggapan bahawa gerakan Islam (WADAH, ABIM dan PKPIM) telah mengkesampingkan dakwah dan tarbiyyah yang menjadi teras gerakan selama ini. Gerakan ini dilihat ‘lebih banyak berpolitik’ dari berdakwah. Bila Ijtimak Haraki ke 5 (2017) memilih tema seminar ‘Politik Islam dan Demokrasi’ dan menampilkan para penalis yang sebahagiannya adalah tokoh-tokoh politik pembangkang, maka ini dianggap sebagai bukti yang mengukuhkan sangkaan mereka. Prinsip ‘non-partisan’ yang dilaung-laungkan, pada mereka, tidak lagi bermakna. Pandangan-pandangan seperti ini, perlukan disemak supaya pendirian dan sikap kita berada dalam perspektif yang benar.
Kita harus sedar betapa politik memberi kesan yang besar ke atas kehidupan masyarakat. Dalam demokrasi, politik menjadi saluran parti-parti politik bersaing satu sama lain bagi mendapatkan kepercayaan rakyat dan kuasa politik. Pemimpin parti yang mendapat mandat rakyat, sama ada secara sah dan adil, atau menerusi penipuan dan manipulasi, akan menjadi pemerintah dan menentukan polisi-polisi penting yang akan dilaksanakan. Kita dapat saksikan banyak negara yang diperintah secara totalitarian oleh para diktator, dengan polisi-polisi yang mengakibatkan bukan sahaja penderitaan tetapi ketakutan yang menyelubungi hidup rakyat.
Kini kita juga dapati, demokrasi yang dimanipulasi juga memungkinkan terangkatnya pemimpin-pemimpin buruk yang menjadi punca penderitaan dan kesengsaraan rakyat. Banyak pemimpin-pemimpin negara demokratik mengambil kesempatan dari kekuasaannya untuk hidup bermewah-mewah dengan mengorbankan kepentingan rakyat terbanyak. Kedudukan dan kemewahan menjadikan mereka hilang sensitiviti terhadap masalah rakyat. Kita lihat bagaimana pemimpin-pemimpin yang buruk ini memperkenalkan polisi-polisi yang menambahkan penderitaan rakyat seperti mengenakan cukai baru, menghapuskan subsidi, mengurangkan peruntukan biasiswa, bahkan mengurangkan peruntukan untuk hospital dan universiti-universiti. Perkara lebih buruk mungkin berlaku apabila apparatus negara seperti perundangan dan kepolisian diguna untuk menakut-nakutkan dan  ‘memaksa’ rakyat menerima apa sahaja kehendak pemerintah.  Para pemimpin demikian tidak lagi memiliki rasa bersalah atas apa yang mereka lakukan bahkan tampil tanpa segan dan silu dan megah memberi pelbagai justifikasi bagi mengabsahkan tindakan mereka.
Pemerintah yang bertanggungjawab akan berusaha memenuhi sekurang-kurangnya dua kriteria untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat.
Pertama: Memastikan keperluan asas fizikal, biologikal dan intelektual iaitu makan minum, tempat tinggal, pendidikan dan rawatan kesihatan yang mencukupi untuk semua rakyatnya.
Kedua: Keperluan psikologikal dan spiritual iaitu rakyat memiliki rasa aman dan selamat (peace of mind) dari dianiaya dan diintimidasi, dilindungi dari diskriminasi dan dari perbuatan-perbuatan jenayah. Inilah yang disimbolkan oleh maksud al-lazi ath-‘ama-hum min juu`in wa aa-mana-hum min khauf dalam Surat Quraish (106).

                                             فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَٰذَا الْبَيْتِ
                            الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ
Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan (pemilik) rumah ini (Ka’bah) [3]. Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan memberi rasa aman kepada mereka dari rasa takut [4].

Sebagai sebuah gerakan Islam yang bertanggungjawab, peranan yang harus dimainkan bukan hanya mendidik umat supaya memahami Islam sebagai agama yang membangun kehidupan yang sejahtera, tetapi juga bekerja bagi menyediakan suasana yang kondusif untuk perubahan Islami yang diharapkan. Dalam rangka mendorong perubahan-perubahan inilah gerakan Islam perlu tampil dengan program-programnya sendiri di samping membantu mana-mana pihak yang mengongsi cita-cita yang sama.
Melihat kesan akhir yang terjadi dari proses politik dan peranan pemimpin-pemimpin politik yang dipilih ke atas nasib rakyat, maka gerakan Islam tidak boleh mendiamkan diri dari terlibat dalam proses mendidik masyarakat mengenai amalan politik yang sihat lagi Islami demi kebaikan semua pihak. Memilih untuk absen sepenuhnya dari politik memberi makna menyerah sepenuhnya kepada nasib dan untung: untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Sedang apapun yang berlaku (dalam politik) akan memberi kesan besar dan berjangka panjang kepada kehidupan kita dan masyarakat seluruhnya. Jadi tidak wajar hal-hal politik diserah sepenuhnya kepada parti-parti politik, kerana natijahnya mungkin ‘batu yang menenggelamkan dan melemaskan kita semua’.
Masyarakat yang memahami politik dalam perspektif Islam akan mengangkat pemimpin dan parti politik yang lebih prihatin dan bertanggungjawab, iaitu mereka yang berakhlak, berintegriti dan sedia bekerja keras untuk kebaikan rakyat. Maka hasilnya adalah kebaikan dan manfaat untuk rakyat serta generasi akan datang. Membiarkan rakyat dalam kejahilan tentang politik dan demokrasi yang sihat, bermakna membiar mereka untuk dimanipulasi oleh pemimpin-pemimpin yang berkepentingan. Akibatnya mungkin membawa kepada terpilihnya pemimpin-pemimpin yang buruk dan jahat.  Bagi membendung hal ini, wacana-wacana yang merakyat tentang politik Islami yang bersih berasaskan sumber-sumber al-Quran dan al-Sunnah dan pandangan-pandangan bermakna para pemikir Islam tentang siasah shar’iyyah, perlu diketengahkan seluas-luasnya ke tengah masyarakat.
Gerakan Islam juga perlu bekerjasama dan memanfaatkan pihak-pihak yang menunjukkan kesungguhan untuk tujuan-tujuan yang sama iaitu membangun konsep dan amalan perpolitikan yang sihat dan beretika. Ini termasuklah kerjasama, dalam batas-batas tertentu, dengan parti-parti politik. Penglibatan gerakan Islam dengan parti-parti politik pada dasarnya adalah di tahap pembangunan idea-idea penting seperti yang berkaitan dengan siasah shariyyah, pemikiran maqasidi dan kajian-kajian pelbagai isu sosio-ekonomi dan politik. Ini adalah dalam rangka mendidik dan mencerdaskan pemikiran umat dan mengangkat keupayaan berfikir mereka ke tahap yang lebih tinggi. Peranan yang dimainkan oleh gerakan bukan dalam konteks berkempen dan membujuk orang ramai untuk mengundi parti-parti tertentu. Hasil usaha dan peranan ini, tanpa dinafikan, mungkin memberi keuntungan politik kepada pihak-pihak tertentu, tetapi mungkin juga sebaliknya.
Gerakan Islam atau jamaah bukan sayap kepada mana-mana parti politik dan bukan berada di bawah naungan mereka. Dengan demikian gerakan Islam tidak bekerja berdasarkan arahan dari parti politik, sama seperti gerakan Islam juga tidak memberi arahan kepada mana-mana parti politik. Bagi sebuah gerakan Islam peranan politik hanyalah adalah sebahagian dari agenda besar dakwah dan islah yang terpikul di bahunya. Gerakan Islam yang terikat dengan hanya agenda politik, dengan politik dan kuasa sebagai matlamatnya, adalah mengkhianati erti dan maksud perjuangan yang sebenarnya.
Agenda dakwah adalah warisan para nabi yang berkait dengan misi membangun kesedaran umat tentang kekuasaan Allah s.w.t. dan pengabdian mutlak kepada-Nya, sama ada dalam ibadah ataupun kehidupan. Sementara agenda islah adalah juga warisan kenabian yang bermaksud membenteras mafsadah (perkara-perkara yang merosakkan) dan di sebaliknya membina, membangun dan mengembangkan kebaikan-kebaikan yang boleh memberi kesejahteraan kepada manusia seluruhnya. Demikian yang disebut dalam Surah al-Bayyinah [98] dan Surah Hud [11].

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
Padahal mereka hanya diperintahkan menyembah Allah, dengan ikhlas mentaati-Nya semata-mata (kerana) menjalankan agama, dan juga agar melaksanakan salat dan menunaikan zakat; dan yang demikain itulah agama yang lurus (benar) [5]
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Aku (Syu’aib) hanya bermaksud (mendatangkan) perbaikan (islah) selama aku masih sanggup. Dan petunjuk yang aku ikuti hanya dari Allah. Kepada-Nya akyu bertawakkal dan kepada-Nya (pula) aku kembali [88].

Tiada yang lebih tinggi dan besar nilai dari tugas-tugas dakwah dan islah. Gerakan dan jamaah masih setia dengan dakwah, tarbiyah dan islah. Teras gerakannya masih tetap dakwah, tarbiyah dan islah. Politik adalah satu jalur kecil di jalur lebar dakwah.


Ab Halim Ismail
Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH

26 Muharram 1439
16 Oktober 2017.


No comments:

Post a Comment