Tuesday, October 17, 2017

DR SIDDIQ FADZIL: ASPIRASI DEMOKRAT MUSLIM






ISLAM DAN DEMOKRASI:  MEMAHAMI ASPIRASI
MUSLIM DEMOCRATS

Siddiq Fadzil




Mukadimah

Muslim Democrat bukan hanya suatu citra peribadi Dato’ Seri Anwar Ibrahim,   tetapi  ia juga adalah suatu aspirasi  yang dikongsi  bersama  oleh tokoh-tokoh kaliber dunia seperti B.J. Habibie,  Abdullah Gul dan Rashid al-Ghannushiy.    Aspirasi bersama itu telah melahirkan sebuah wadah bernama World Forum for Muslim Democrats.    Menurut pengasasnya,  Dato’ Seri Anwar Ibrahim,  idea forum tersebut tercetus pada Mac 2012,  ketika beliau menghadiri persidangan tentang perubahan landskap politik Dunia Islam,  di Dubai.  Dalam kertas konsep yang dikemukakannya di Mesyuarat Persiapan di Jakarta pada 22 Mei  2014,  Anwar menyebut forum tersebut sebagai  a common platform for leaders, intellectuals and professionals of the Islamic faith,  together with their non-Muslim associates,  to articulate their progressive views on matters pertaining to freedom, democracy and justice.     Ternyata forum tersebut adalah sebuah wadah yang bersifat inklusif,   menerima keanggotaan dari pelbagai latar  yang berkongsi komitmen memperjuangkan nilai-nilai sejagat   -   kebebasan, demokrasi dan keadilan.


Islam dan Demokrasi
          
Dengan memakai label Muslim Democrats,    bererti mereka tidak mempermasalahkan lagi sama ada  demokrasi sesuai atau tidak dengan ajaran Islam.  Ketika ini kebanyakan gerakan Islam di dunia telah berpatisipasi dalam proses  demokrasi.    Sementara itu ulama-ulama besar seperti al-Qaradawiy dan al-Raysuniy juga telah menerima demokrasi berasaskan keyakinan bahawa tidak ada perbezaan yang mendasar antara prinsip-prinsip umum demokrasi dengan ajaran Islam.    Dengan demikian tidak ada masalah untuk menjadi Muslim yang baik dan sekali gus demokrat yang komited.

Demokrasi  yang diperjuangkan oleh Anwar adalah prinsip-prinsip dan nilai-nilai dasar dalam bingkai ajaran Islam.  Demikianlah seperti yang disebut oleh Charles Allers,  “In the case of Islam,  Anwar addressed the theological misperception that Islam’s  divine monism eliminated personal freedom,  and thus democratic principles.  In referencing the Qur’an, the Prophet Muhammad and the shariah (particularly the maqasid al-shariah, or higher objectives of the shariah),  Anwar built a framework for democratic principles within Islam,  and stated ‘there can be no question  that several crucial elements of constitutional democracy  and civil society  are also moral imperatives  of Islam:  freedom of conscience,  freedom of expression,  and the sanctity of life and property.’ ”.  (Allers, C. 2014:172).


Pembudayaan Demokrasi

Selain harus diletakkan dalam perspektif Islam, demokrasi juga harus difahami dalam pengertiannya yang luas,  tidak hanya sebagai suatu bentuk pemerintahan,  tetapi juga sebagai suatu cara hidup.   Menukil  kata-kata Dewey, Peter Jarvis menyebut “...democracy was both a form of government and a way of life:  ...”. (Jarvis, P. 2008: 164).    Pengertian inilah juga yang dipromosikan oleh Malik Bennabi  apabila beliau menyebut demokrasi sebagai suatu budaya (thaqafat al-dimuqratiyyah).   Keberkesanan demokrasi hanya mungkin tercapai apabila prinsip-prinsip dan nilai-nilainya telah membudaya dalam segala ranah kehidupan rakyat.   Andainya demokrasi hanya diertikan sebagai membuang undi dalam pilihan raya, sekali dalam empat atau lima tahun,   ia tidak akan banyak membawa erti kepada  rakyat.   Kerana itu,  untuk  memaknai demokrasi yang setulennya,  harus ada gerakan pembudayaan demokrasi dalam kehidupan rakyat.

Penguatan budaya demokrasi dalam kalangan rakyat memang sangat penting demi menjamin terlaksananya demokrasi yang sihat.  Justeru, rakyat yang berbudaya demokrasi akan memiliki kepedulian yang tinggi terhadap segala yang berlaku  dalam proses dan amalan demokrasi.  Mereka akan bangkit dan menjerit apabila berlaku pelanggaran terhadap prinsip dan nilai demokrasi,  kerana itu bererti pelanggaran terhadap prinsip dan nilai hidup mereka.   Rakyat sendiri yang akan memprotes jika berlaku pilihan raya yang tidak bersih.   Mereka juga yang akan menggugat jika didapati Suruhanjaya Pilihan Raya tidak bebas, dalam pengertian menjadi alat pihak tertentu untuk kepentingannya.   Demikian juga apabila berlaku persempadanan curang gerrymandering untuk memenangkan parti yang berkuasa.  Rakyat yang berbudaya demokrasi juga akan menolak politik wang dan politik media yang berat sebelah. 

Pembudayaan demokrasi memerlukan dukungan pendidikan kerakyatan yang mencerdaskan dan dapat membina effective citizens.   Demokrasi hanya akan dapat hidup subur dalam masyarakat  yang sedar, peduli dan kritis.  Memang demokrasi tidak hanya untuk dipakai empat atau lima tahun sekali apabila diadakan pilihan raya.  Ia adalah prinsip dan nilai hidup yang perlu dipelajari dan dihayati.   Strategi pembodohan rakyat harus dilawan  dengan gerakan percerdasan dengan objektif utamanya untuk membina kemampuan berfikir dan kesedaran tentang maruah.   Justru   orang yang berfikir tidak akan rela diperbodoh,  dan orang yang bermaruah akan malu ditipu dengan demokrasi palsu.



Demokrasi dan Kebebasan                     

Memperjuangkan demokrasi bererti juga memperjuangkan kebebasan yang merupakan hak kemanusiaan.   Kebebasan lahir bersama kelahiran setiap anak manusia.  Kerana itu sebahagian ulama masa kini mengangkat kebebasan sebagai sebahagian daripada maqasid al-shari`ah.  Mereka berpendapat bahawa dalam konteks hari ini,  kebebasan (al-hurriyyah)  perlu diberi penekanan khusus,  bersama dengan keadilan (al-`adalah) dan persamaan (al-musawah),   tidak cukup sekadar dimasukkan dalam salah satu daripada lima maqasid induk (al-daruriyyat al-khamsa).   Isu kebebasan telah dibahas oleh `Abd al-Rahman al-Kawakibiy,  ulama pejuang islah awal abad lalu dalam bukunya Taba’i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad,   yang kemudian dilanjutkan oleh al-Shaykh Muhammad al-Ghazaliy lewat bukunya,   al-Islam wa al-Istibdad al-Siyasiy.

Derita kemanusiaan yang dialami umat kita selama berabad-abad,  bukan hanya penindasan politik,  tetapi juga penindasan ekonomi,  baik yang dilakukan oleh penjajah mahu pun bangsa sendiri.   Keadaan ini diperparah pula dengan justifikasi “keagamaan” oleh para ulama penguasa yang disebut oleh al-Kawakibiy sebagai fuqaha’ al-istibdad.  Anwar Ibrahim membicarakan isu kebebasan ini di bawah tajuk kecil the rule of law.   Beliau mengungkapkan sejarah kebebasan setelah mencapai kemerdekaan,  yang bermula dengan jaminan kebebasan-kebebasan asasi (fundamental liberties) di bawah demokrasi berperlembagaan,  tetapi pada masa yang sama dibenarkan pula badan perundangan meluluskan undang-undang yang menyekat kebebasan-kebebasan tersebut.      

Dalam demokrasi yang baik,  badan perundangan tidak akan meluluskan undang-undang seperti itu kecuali dengan alasan yang cukup kuat,  dan andainyanya terpaksa meluluskannya akan ada kawalan yang efektif bagi mencegah penyalahgunaannya.   Dalam kaitan inilah pentingnya rule of law.  Beliau menegaskan bahawa benteng pertahanan bagi prinsip-prinsip tersebut ialah badan Kehakiman,    In a good democracy, the Judiciary deliberates  without fear or favor.  It will play the role of an effective check against the excesses of the Executive and the Legislature.  Above all, it will maintain the rule of law to ensure that legal and judicial processes will not be hijacked by the powers that be for their political agenda.”  (Anwar Ibrahim, 2014:9).  


Pembaharuan Fiqh Politik

Untuk menjamin berlakunya rule of law,   kita juga perlu menyemak kembali warisan fiqh politik yang sebahagiannya memang menguntungkan pemerintah zalim.  Kerana itu sesungguhnya sangat beralasan apabila al-Raysuniy mengatakan bahawa peninjauan semula tersebut tidak sekadar wajar,  malah wajib,

          فمن هنا تكون المراجعة الداءىمة والاجتهاد المتجدد للفقه السياسي امرا واجبا،
          وليس فقط ساءىغا ومقبولا.
                                                                     
                                                     (Al-Raysuniy, A. 2014:13)
Oleh itu ulangkaji yang berterusan dan ijtihad yang sentiasa diperbaharui pada fiqh siasiy adalah perkara yang wajib dan bukan lagi perkara yang harus dan diterima.

Bertolak dari kenyataan al-Raysuniy tersebut,  kita seharusnya berani mulai memikirkan penggagasan fiqh politik baru yang berpaksi pada prinsip kebebasan.   Penghasilan fiqh al-taharrur (fiqh pembebasan)  adalah suatu tuntutan zaman yang wajib dipenuhi.  Perjuangan demokrasi dan kebebasan memerlukan dukungan fiqh al-taharrur,  fiqh politik liberatif-emansipatif.    Demokrasi yang Islami memang selamanya mendukung emancipatory politics.   Pada zaman leluasanya pencabulan terhadap martabat insan,  isu karamah insaniyyah perlu dijelaskan semula dalam bahasa semasa seperti siyadat al-sha`b atau daulat rakyat.  Rakyat tidak seharusnya dilayani sebagai hamba penguasa,  sebaliknya mereka (rakyat) adalah sumber kekuasaan (al-sha`b masdar al-sultah).   Merekalah yang berhak mengangkat penguasa, dan mereka jugalah yang berhak menurunkannya.  Demokrasi hanya akan mendapat erti dan esensi hakikinya apabila rakyat menyedari kedaulatan dirinya.

Islam yang sejatinya adalah agama pembebasan telah banyak tercemar apabila ia digunakan untuk menjustifikasikan penindasan dan ketidakadilan lainnya.   Islam harus dikembalikan kepada hakikat dan citra aslinya sebagai agama pembawa misi  tahririy-tanwiriy dan penyebar rahmat sejagat (rahmatan li al-`alamin).   Kebangkitan Islam (Islamic resurgence) harus dimaknai sebagai gerakan pemugaran misi tersebut.  Hakikat inilah yang diperingatkan oleh Anwar Ibrahim apabila beliau mengatakan, “To talk of an Islamic resurgence without freedom of speech, or freedom from arbitrary arrest is pointless.”  (Anwar Ibrahim, 2015:7). Kerana itu kebangkitan Islam perlu terus disemarakkan agar segala kebaikan Islam (mahasin al-Islam) tidak hanya sekadar retorik,  tetapi hakikat nyata yang dirasai dan dinikmati oleh umat dan warga alam seluruhnya.   Untuk itu kebangkitan Islam harus diberikan erti yang luas dan substansial meliputi makna  rule of law,  keadilan sosial dan tatakelola yang baik (good governance).


Pemugaran Maqasid al-Shari`ah  

Kebangkitan Islam (al-sahwah al-Islamiyyah) dengan ruang lingkupnya yang luas harus meliputi kebangkitan maqasidi (al-sahwah al-maqasidiyyah).   Kerana itu Anwar Ibrahim sangat menekankan kepentingan maqasid al-shari`ah sebagai asas perjuangan menegakkan demokrasi yang dipakejkan dengan kebebasan, keadilan, hak asasi manusia dan tatakelola yang baik.  Di bawah tajuk kecil,  Forging ahead with the Maqasid,  beliau mengatakan, “Based on the maqasid al-Shari`ah,  there are sufficient imperatives for Muslim leaders to get on with the task of establishing the institutions of governance  for juslice, democracy and human rights.  That is the way forward for the resurgence of the umma.” (Anwar Ibrahim, 2015: 7).

Segala yang disebut dalam pakej demokrasi tersebut tidak lain adalah masalih al-`ibad (maslahah atau kepentingan umat manusia) yang menjadi matlamat asasi syari`at.   Memang,  antara matlamat utama syari`at ialah untuk memelihara segala aturan yang membawa kebaikan kepada umat.  Hakikat inilah yang dimaksudkan oleh al-Imam Muhammad al-Tahir ibn `Ashur yang merumuskan kembali  maqasid al-shari`ah dengan pendekatan yang ummatik,

                   حفظ نظام الامة واستدامة صلاحه بصلاح المهيمن عليه، وهو نوع الانسان. ويشمل صلاحه
                  صلاح عقله، وصلاح عمله، وصلاح ما بين يديه من موجودات العالم الذي يعيش فيه   ...
                    والشارع ... اراد صلاح احوال الناس وشؤونهم في الحياة الاجتماعية،  ...

                      (Al-`Awwa,  Muhammad Salim, 2006:37)


Pendekatan ummatik  Ibn `Ashur menekankan pemeliharaan aturan, sistem dan institusi serta pelestarian kebaikannya.   Untuk itu manusia yang menguasai dan mengendalikannya harus baik dalam pengertian  akalnya (cara berfikirnya), perilakunya dan persekitarannya harus baik.   Semuanya itu perlu demi merealisasikan  kehendak Tuhan (al-shari`),  iaitu kebaikan bagi manusia dan seluruh aspek kehidupan sosial mereka.    Mungkin ungkapan Ibn `Ashur tersebut dapat menyerlahkan lebih jelas justifikasi  penegakan demokrasi dari sudut padang maqasid al-shari`ah.

Anwar Ibrahim menyebut tuntutan maqasid al-shari`ah  ke atas pemerintah agar memastikan  terlaksananya maslahah kesejahteraan rakyat dengan mengatakan, “The Higher Objectives of the Shari`ah enjoin those in charge  of the state to ensure society’s sustained  well-being.” (Anwar Ibrahim, 2014: 16).   Memang ada kaedah fiqh yang menetapkan pertimbangan maslahah sebagai asas pelayanan pemerintah terhadap rakyat:
         
                                        تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة

Tindak tanduk pemimpin ke atas rakyat perlu diikat dengan maslahah

Kaedah tersebut mensyaratkan keterikatan dasar pemerintahan dengan maslahah atau kepentingan rakyat.  Ia adalah kaedah fiqh (qa`idah fiqhiyyah) yang harus difahami pula kaitannya dengan maqasid al-shari`ah.       Sa`id al-Shawiy yang menulis buku,  Maqasidiyyat al-Qawa`id al-Fiqhiyyah  menyatakan bahawa kaedah-kaedah fiqh sebenarnya sangat berorientasi maqasid, dalam pengertian bahawa maqasid al-shari`ah adalah roh yang menjiwai al-qawa`id al-fiqhiyyah.  Selain itu al-qawa`id al-fiqhiyyah pula memainkan peranan instrumental untuk merealisasikan maqasid al-shari`ah.  Contoh terbaik tentang hubungan erat  kaedah fiqh dengan maqasid al-syari`ah ialah kitab Qawa`id al-Ahkam fi Islah al-Anam oleh al-`Izz ibn `Abd al-Salam (w.660H).  Judul kitabnya sudah membayangkan  hubungan erat tersebut.  Qawa`id al-Ahkam  tidak lain adalah kaedah fiqh, sementara Islah al-Anam pula jelas merujuk maqasid al-shari`ah.  (Al-Shawiy, Sa`id, 2015:294).


Keadilan Sosial

Maslahah sebagai paksi maqasid al-shari`ah yang wajib diaktualisasikan terutamanya adalah maslahah keadilan sosial.   Tanpa keadilan sosial, yang lemah akan bertambah lemah, sementara yang kuat bertambah kuat;  yang miskin akan bertambah miskin, sementara yang kaya bertambah kaya.    Kesenjangan sosial yang bertambah luas ini akan membawa pelbagai akibat yang berangkaian hingga melewati daerah yang bersifat kebendaan,  dan akhirnya manusia kehilangan martabat keinsanannya.   Kesenjangan sosial dengan segala akibatnya itu adalah mafsadah yang wajib dihindari berasaskan maqasid al-shari`ah.  Kerana itu Pemerintahan demokratik yang baik harus melaksanakan dasar keadilan sosial yang menyeluruh,   terutama pendemokrasian ekonomi, pendemokrasian pendidikan,  upah minimum yang menasabah,  perkhidmatan kesihatan yang baik, perumahan yang selesa, dan pelayanan yang adil terhadap seluruh warga terutama kaum wanita.

Memang,    sesebuah masyarakat tidak akan menjadi benar-benar demokratik tanpa pendemokrasian ekonomi.   Dalam Pengantar buku The Human Economy,  para editornya (Hart, Laville dan Cattani) mengatakan, “We know now that society will not become democratic unless we can find ways of democratizing the economy.”  Antara kaedah pendemokrasian ekonomi yang kini mulai banyak dibicarakan ialah pelaksanaan human economy,   sejenis ekonomi kemanusiaan yang komited kepada idea pemerataan agar kemakmuran ekonomi tidak hanya dinikmati oleh sekumpulan individu,  tetapi dikongsi bersama secara adil oleh seluruh rakyat.    Untuk merealisasikan idea tersebut,  tidak hanya diperlukan komitmen pemerintah,  tetapi juga penglibatan dan partisipasi rakyat  masyarakat madani.    Ekonomi kerakyatan dan kemanusiaan yang partisipatif seperti itulah maksud Hart, Laville dan Cattani apabila mereka mengatakan,  “Building a human economy presupposes renewed public engagement.  Regulation by the political authorities must be balanced by the public expressions of a civil society focused on attaining the common good.”  (Hart, Keith dkk. 2014: 11).

Ekonomi kemanusiaan disebut oleh Anwar Ibrahim dengan istilah humane economy  yang diberikan muatan nilai al-`adl wa al-ihsan.  Dengan demikian ekonomi tidak hanya bererti mencari dan memiliki harta,  tetapi ia juga mengandungi tuntutan keagamaan  -  melakukan keadilan dan membuat kebajikan.   Selain wajib membayar zakat,  masih ada tuntutan lain,  iaitu amal kebajikan menyantuni mereka yang memerlukan.  Ekonomi Islam adalah ekonomi yang berpaksikan manusia dan bersifat needs-oriented.      

Ekonomi kerakyatan dan kemanusiaan yang dijayakan bersama oleh pemerintah dan masyarakat madani  akan dapat merapatkan kesenjangan sosial dan seterusnya mengentaskan rakyat dari kemiskinan.   Andainya aspirasi demokrasi hendak dicapai, masalah kemiskinan harus segera ditangani,  kerana kemiskinan adalah kendala besar kepada proses demokrasi.  Perut yang kosong tidak meminta demokrasi,  tetapi meminta  nasi dan roti.    Selain itu kemiskinan juga merupakan lahan yang subur bagi politik wang.   Kemiskinan menyebabkan orang bergantung kepada pihak tertentu,  dan ketergantungan itu pula menyebabkan ia kehilangan kebebasan.  Demikianlah yang terjadi di mana-mana,   sikap dependent  mengakibatkan kehilangan independence.

Maslahah yang menjadi paksi dasar-dasar pemerintahan hanya akan terlaksana jika didukung oleh tatakelola yang baik,   iaitu tatakelola yang berteraskan ketelusan, pertanggungjawaban,  kepedulian dan keadilan.    Tatakelola yang baik akan dapat mengawal jenayah rasuah yang semakin leluasa dan dilakukan secara “berjamaah”.    Rasuah adalah fasad yang multi-dimensi (akhlaqiy-ijtima`iy-iqtisadiy),  suatu kezaliman, pengkhianatan dan kecurangan yang mendera rakyat, dan mengikis kepercayaan terhadap pemerintah.       


Menyikapi Kepelbagaian

Semangat demokratik seterusnya membentuk sikap akomodatif, toleran, terbuka dan menghargai kepelbagaian   -    kepelbagaian ras, aliran pemikiran dan parti politik.   Islam  pada asasnya memang bersikap positif terhadap kepelbagaian  kerana ia adalah sebahagian daripada ayat atau tanda kebesaran Ilahi yang mengandungi hikmah tersendiri.    Manusia dengan segala kepelbagaian warna dan bahasanya tetap menyatu dalam ikatan kesatuan kemanusiaan.   Kepelbagaian aliran pemikiran adalah jelmaan kebebasan berfikir yang mengakar pada ajaran Islam.   Demikian juga kepelbagaian parti  adalah jelmaan hak berbeza pendapat yang seterusnya membawa kepada perbezaan agenda dan program politik.    Hak berbeza pendapat  dalam politik seterusnya berimplikasi kebebasan memilih parti atau menubuhkan parti.  Ini bererti setiap warga  boleh menyertai sesebuah parti dan boleh pula meninggalkannya.    Sebagai pengundi dalam pilihan raya,  rakyat bebas memilih calon atau menolaknya berasaskan pertimbangan maslahah.  Rakyat boleh menolak calon dari parti mana pun, termasuk parti Islam, jika pada pertimbangannya ia tidak layak atau berprestasi buruk.  Menolak calon parti Islam tidak bererti menolak Islam kerana parti Islam tidak sama dengan agama Islam.  Demikian mesej al-Raysuniy ketika mengatakan,

            اما حين يرفض الناس حزبااسلاميا، او مرشحين اسلاميين، لسوء اداءىهم،                
            اولضعف اهليتهم، او حين لايقبلون اجتهاداتهم الفقهية، او برامجهم الاجتماعية،
              او مواقفهم  السياسية، ويقبلون غيرها من الداءىرة الاسلامية، او من غير
              الاسلاميين، فان هذا لا يكون – ابدا – رفضا للاسلام او لشيء منه، فالاسلام
               وشريعته شيء، والجماعات والاحزاب الاسلامية واجتهاداتها وتصرفاتها
               شيءاخر، ...              
                                                  (Al-Raysuniy, A., 2014:92-93)           


Sistem demokrasi membolehkan rakyat menukar pemerintah secara aman.  Ia bukan al-baghy atau penderhakaan terhadap uli al-amr.   Parti yang telah tamat tempoh mandat memerintah harus bertanding semula sebagai parti,  seperti parti-parti yang lain,  bukan sebagai kerajaan.


Khatimah

Demokrasi memerlukan fiqh politik baharu yang berbeza daripada fiqh politik abad ke-8H.   Realiti politik abad ke-15H sudah banyak berubah,  maka demi maslahah umat abad ini,  fiqh politik kita harus berubah.  Ketika ini rakyat menjadi sumber kekuasaan,  dan ini bererti sokongan dan kepercayaan rakyat menjadi syarat legitimasi pemerintah.   Pemerintah yang merebut kekuasaan dengan cara yang curang pada hakikatnya telah kehilangan legitimasi.   Perubahan zaman menuntut pengemaskinian cara dan gaya pengungkapan hakikat ajaran Islam demi mempertahankan kerelevanannya.  Untuk itu para ilmuwan Islam harus cukup mampu mengungkapkan al-khitab al-Islamiyy al-mu`asir (wacana Islam kontemporari).          



Rujukan

Al-`Awwa, Muhammad Salim.  2006. Dawr al-Maqasid fi al-Tashri`at al-Mu`asirah.
                                      London: Mu’assat al-Furqan.

Al-Raysuniy, Ahmad.  2014.  Fiqh al-Thawrah:  Muraja`at fi al-Fiqh al-Siyasiy al-Islamiy.
                                      Kaherah:  Dar al-Kalimah.

Al-Shawiy, Sa`id.  2015.  Maqasidiyyat al-Qawa`id al-Fiqhiyyah min Khilal Kitab Qawa`id
                                     al-Ahkam fi Islah al-Anam li al-`Izz ibn `Abd al-Salam.  Kaherah: Dar al-
                                    Kalimah

Allers, Charles.  2014.  Anwar Ibrahim:  Evolution of a Muslim Democrat.  Singapore:
                                       Monsoon.

Anwar Ibrahim. 2014.  World Forum for Muslim Democrats  Concept Paper,  presented for
                                       the Preparatory Meeting organized by the Sasakawa Peace
                                       Foundation in Jakarta on 22nd May 2014.

-------------------- 2015.  Muslim Democrats Must Lead the Umma in aTurbulent World.
                                       Opening address at Its Second International Conference in Jakarta,
                                       on 23rd November 2015.

Hart, Keith dkk (ed.). 2014.  The Human Economy.  Cambridge: Polity Press.

Jarvis, Peter. 2008.  Democracy, Lifelong Learning and The Learning Society.  London:
                                      Routledge.

      

  
IHWAP

Ucaptama pada Seminar Politik Islam dan Demokrasi sempena Ijtima' Harakiy ke 5 WADAH-ABIM-PKPIM



KDH/IDE/UISEL: 14102017


No comments:

Post a Comment