Wednesday, October 18, 2017

DR SIDDIQ FADZIL: PENDIDIKAN ISLAM DAN SUMBER MANUSIA



PENDIDIKAN ISLAM ASEAN DAN DAYA SAING SUMBER DAYA MANUSIA
Siddiq Fadzil

Mukadimah

Tulisan al-Qaradawiy tentang misi al-Azhar, Risalat al-Azhar bayna al-Ams, wa al-Yawm wa al-Ghad (Misi al-Azhar: kelmarin, kini dan nanti) membayangkan hakikat bahawa misi institusi pendidikan mungkin berubah sesuai dengan tuntutan perubahan zaman. Justeru, pendidikan harus responsif terhadap realiti perubahan. Bagaimanapun, keharusan mengambil kira tuntutan zaman, tidak bererti institusi pendidikan mengkompromikan fungsi asasinya: pembinaan, penyempurnaan dan pengutuhan insan, di samping pengislahan masyarakat lingkungannya. Fungsi asasi inilah yang seringkali dilupakan dalam ghairah melayani pelbagai tuntutan baru. Demikianlah yang terjadi kepada banyak universiti di dunia ini. Mungkin kerana menyaksikan fenomena kecelaruan arah dan orientasi universiti-universiti hari ini, Stefan Collini, Profesor Sejarah Intelektual dan Kesusasteraan Inggeris di Universiti Cambridge, menulis buku What Are Universities For?, yang mengingatkan kita semua, universiti itu sebenarnya untuk apa, atau apa perlunya universiti?

Pendidikan Islam dan Definisi Manusia

Ketika ini di mana-mana banyak pembicaraan tentang universiti dan hubungannya dengan isu sumber daya manusia atau human resource. Memang banyak negara yang kekuatannya bergantung pada sumber daya manusianya. Ini bererti manusia menempati posisi sentral dalam wacana sumber daya. Masalahnya, banyak kalangan yang tidak memahami manusia dalam konsep dan definisi hakikinya. C. John Sommerville membahas isu ini dalam bukunya, The Decline of the Secular University. Antara bab dalam buku tersebut berjudul Trouble Defining the Human. Memang institusi-institusi pendidikan sekular mempersepsikan manusia tidak lebih daripada makhluk homo sapiens yang sama dengan haiwan-haiwan lain, tidak memiliki sebarang keistimewaan. Meminjam ungkapan Seyyed Hosein Nasr, manusia hanya dipersepsikan sebagai an earthly bound man, makhluk ketanahan, tanpa roh yang menjadikannya lebih istimewa daripada makhluk-makhluk lain.

Bagaimana membangun sumber daya manusia sangat terkait dengan persepsi tentang manusia itu sendiri. Dalam hal ini manusia seperti yang dipersepsikan oleh Islam lebih kaya potensi dan dayanya kerana Islam melihat manusia sebagai ahsani taqwim, makhluk istimewa yang tidak hanya berdimensi jasmani dan akli, tetapi juga berdimensi rohani. Manusia adalah makhluk penerima hembusan Ilahi (al-nafkh al-Ilahiy) dan dicipta sebagai makhluk pembawa citra ketuhanan (the image of God). Manusia sebagai sumber daya terkait pula dengan faham amanat al-istikhlaf, manusia sebagai makhluk penerima amanah khalifatu ‘Llah untuk mengimarahkan bumi dengan segala daya kemanusiaan yang dikurniakan Tuhan. Bertolak dari persepsi sedemikian, pendidikan Islam seharusnya lebih berjaya dalam persaingan membangun sumber daya manusia.

Pendidikan Islam untuk Maslahah Kemanusiaan


Dalam era leluasanya politisasi dan komersialisasi pendidikan, kita menyaksikan eksploitasi pendidikan untuk kepentingan kelompok tertentu, penguasa politik dan kaum kapitalis. Memang masih ada sisa kesedaran tentang misi pendidikan untuk merealisasikan kepentingan umum kemanusiaan, sebagaimana yang diungkapkan oleh Stefan Collini, Universities as a Public Good. Tetapi yang disebut public good itu seringkali dipersempit dengan pengertian hanya terbatas pada bidang ekonomi. Kefahaman public good sedemikian itulah yang cuba dikoreksi oleh Collini dengan mengatakan, “Instead of this, we need to show that there is a public, not merely private, benefit from higher education that can be characterized in various, not merely economic, terms”. Dalam konteks pendidikan Islam, apa yang disebut public good itu harus diertikan sebagai maslahah `ammah sesuai dengan maqasid al-shari`ah yang terumus pada ungkapan masalih al-`ibad.

Sumber daya manusia dalam acuan pendidikan Islam harus diorientasikan ke arah realisasi maslahah umum keumatan dan kemanusiaan, dengan mewaspadai bahaya kehilangan misi moral dan sosialnya. Tragedi kematian misi moral dan sosial ini banyak dialami oleh sekolah-sekolah bisnes, termasuk Harvard Business School yang terkenal dengan ijazah MBA-nya yang sangat berprestij itu. Philip Delves Broughton, seorang graduan HBS, yang menulis buku What They Teach You at Harvard Business School, mengatakan bahawa institusi tersebut sudah menjadi sebuah kawah besar kapitalisme. Para lulusan MBA-nya ramai yang menjadi khadam kapitalis, where capitalism goes, the MBA follows.

Untuk melahirkan sumber daya manusia dalam konteks realiti zaman yang sedemikian, pendidikan Islam perlu memberikan penekanan khusus pada orientasi maslahiy, di samping membina karakter yang kuat, seimbang dan berdaya saing. Justeru, persaingan global ketika ini tidak terbatas hanya pada bidang ilmu dan ketrampilan, tetapi lebih daripada itu ialah persaingan kekuatan karakter bangsa. Bangsa-bangsa di dunia sedang berlumba mencari kekuatan dari nilai-nilai budaya dan agama. Bangsa Jepun mendapatkan kekuatannya dari nilai-nilai kepahlawanan Bushido-Samurai. Bangsa China juga sedang mencari akar keagamaan mereka - Buddhisme, Taoisme, Confucianisme, Shamanisme dan kepercayaan-kepercayaan warisan lainnya. Hannah Beech yang melakukan pemerhatian terhadap fenomena keagamaan di China, memetik kata-kata Ye Xiaowen, seorang pegawai tinggi agama di China, “religion is one of the important social forces from which China draws strength,” (Beech, H., TIME, May 1, 2006, p.38). Di Barat juga sedang berlaku perkembangan yang sama, menggali nilai-nilai kekuatan dari ajaran Kristian dan Yahudi. Banyak sekali tulisan tentang Isa dan Musa `a.s. yang menyorot nilai-nilai kepemimpinan mereka dan hubungannya dengan sumber daya manusia.

Sumber Daya Manusia dan Pembinaan Karakter

Pendidikan Islam mempunyai sumber yang cukup kaya untuk membina karakter yang kuat dan seimbang, terutama Asma’u ‘Llahi ‘l-Husna. Nama-Nama Indah Allah itu pada hakikatnya adalah sumber nilai pembentukan karakter sebagai hasil komitmen al-takhalluq bi akhlaqi ‘Llah (berakhlaq dengan akhlaq Allah). Apabila Nama-Nama Tuhan dihayati sejauh yang termampu oleh kudrat keinsanan, akan terbentuk karakter unggul yang disebut oleh al-Ghazaliy sebagai manusia rabbaniy, iaitu manusia yang dekat denganTuhan. Tidak dapat diragukan bahawa sumber daya manusia yang terbentuk dari penghayatan al-Asma’u ‘l-Husna adalah yang terunggul.

Tuntutan meneladani Tuhan (menghayati Nama-Nama dan SifatSifat-Nya) sebenarnya tidak hanya wujud dalam Islam, tetapi wujud juga dalam ajaran agama-agama samawi lain seperti agama Yahudi. Rabbi Levi Brackman dan Sam Jaffe dalam buku mereka, Jewish Wisdom for Business Success: Lessons from the Torah and Other Ancient Texts, mengatakan bahawa kitab Torah menuntut manusia meneladani Tuhan, “...that humans are commanded to emulate God to the best of their abilities. This means that we are obliged to imitate the good deeds and lofty attributes by which God is metaphorically descibed. We must learn from the beautful, merciful, and kind ways of God, and we are commanded to imitate them. However, there is more to it than that. Inherent in this commandment is useful wisdom for business and management.” (Brackman, R.L. dan Sam Jaffe, 2008:195).

Kelemahan karakter bangsa akan berakibat kelemahan sumber daya manusianya. Isu ini telah lama dibahas oleh para cendekiawan bangsa. Di Malaysia, seawal tahun 1927 Pendeta Za`aba, ketika membahaskan isu kemiskinan orang Melayu, menyenaraikan sejumlah sifat negatif masyarakat Melayu yang beliau rumuskan sebagai “kemiskinan perangai”. Di Indonesia, pada tahun 1977, Mokhtar Lubis menyorot wajah “manusia Indonesia” dengan menyebut sejumlah sifat bangsa Indonesia, termasuk sifat munafik, feudal, percaya tahyul, tidak mahu bertanggungjawab dan seterusnya. Untuk membangun sumber daya manusia yang unggul, diperlukan gerakan melaksanakan agenda besar pembinaan karakter bangsa. Para pemimpin harus memprioritikan agenda ini kerana ia adalah kayu ukur sebenar kejayaan mereka. Justeru, pemimpin adalah a human transformer and a culture builder.

Integriti Sebagai Kekuatan Daya Saing

Karakter dalam konteks pendidikan Islam adalah al-akhlaq al-karimah yang meliputi segala sifat terpuji, termasuk apa yang sekarang disebut integriti. Persaingan sumber daya manusia ketika ini tidak terbatas hanya pada kecanggihan teknologi atau kadar produktiviti, tetapi juga pada tahap integriti - kejujuran, ketelusan, keadilan dan seterusnya. Justeru, integriti sangat menentukan trust atau kepercayaan yang seterusnya akan menentukan pula kelancaran proses urus niaga dan kerjasama antara institusi dan organisasi. Dalam dunia yang sedang mengalami moral deficit - kecurangan, penipuan, korupsi dan pelbagai kejahatan lainnya, orang merasa lebih senang dan selamat berurusan dengan dengan organisasi atau institusi yang berintegriti, yang memiliki reputasi baik dan dapat dipercaya. Hakikat inilah yang dibicarakan oleh Stephen R. Covey dan Rebecca R.Merrill dalam buku mereka, The Speed of Trust: The One Thing That Changes Everything. Mengenai kesan positif trust dalam pelbagai urusan antara negara, organisasi atau institusi, mereka mengatakan, “Low trust slows everything - every decision, every communication, and every relationship. ... On the other hand, trust produces speed.” Lebih daripada itu, mereka juga mengatakan bahawa trust adalah faktor penentu kelangsungan atau survival segala sesuatu:

There is one thing that is common to every individual, relationship, team,family, organization, nation, economy and civilization throughout the world - one thing which, if removed, will destroy the most powerful government, the most successful business, the most thriving economy, the most influential leadership, the greatest friendship, the strongest character, the deepest love.
On the other hand, if developed and leveraged, the one thing has the potential to create unparalleled success and prosperity in every dimension of life. Yet it is the least understood, most neglected and most underestimated possibility of our time.
That one thing is trust. (Covey, S.R. dan Rebecca R.Merrill, 2006:1).

Dalam bahasa agama, trust disebut amanah yang menjadi salah satu sifat keunggulan para Nabi. Nabi Muhammad s.`a.w. sejak muda sudah mendapat pengiktirafan masyarakat sebagai al-amin, yang dapat dipercaya. Sifat tersebut ternyata memberikannya kelebihan daya saing dalam masyarakat bisnes yang memang selamanya sangat kompetitif. Sayyidatina Khadijah r.`a. terbukti seorang ahli bisnes brilian yang tahu nilai integriti dalam dunia dagang. Kerana itu beliau sanggup membayar dua kali lipat kepada Muhammad al-Amin untuk menjadi “fund manager”-nya. Demikian juga dengan Nabi Musa `a.s. yang diterima bekerja dengan Nabi Shu`ayb `a.s. kerana sifat al-qawiyyu ‘l-amin (perkasa dan dapat dipercaya).

Dilihat dari perspektif Islam, persoalan trust, amanah dan integriti sebenarnya sangat terkait dengan iman dan taqwa yang merupakan tonggak utama pendidikan Islam. Jika tonggak ini dapat ditegakkan, bererti pendidikan Islam dapat menyumbang daya saing yang sekarang disebut spiritual capital, suatu kekuatan yang kini semakin diperlukan. Modal material dan intelektual sahaja tidak cukup untuk unggul dalam persaingan hari ini. Melihat betapa seriusnya kemelut keruntuhan integriti dan moral deficit ketika ini, ramai yang mulai mempertanyakan keberkesanan subjek business ethics yang diajarkan di sekolah-sekolah bisnes. Dalam situasi sedemikian, pendidikan Islam seharusnya dapat berperanan secara yang lebih bererti dalam memastikan keberkesanan pendidikan akhlak berasaskan iman dan taqwa. Untuk membina daya saing spiritual capital, institusi-institusi pendidikan Islam tentunya lebih mampu berbanding institusi-institusi pendidikan sekular.

Sumber Daya Manusia Pada Abad Kreativiti

Pembangunan sumber daya manusia harus responsif terhadap tuntutan realiti abad 21 yang disebut abad kreativiti. Persaingan pada abad ini bukan lagi persaingan menjadi the first to know, tetapi menjadi the first to do something about it. Menjadi yang pertama tahu tidak membawa erti apa-apa, tanpa berbuat sesuatu atau mencipta sesuatu berasaskan apa yang ia tahu. Dunia hari ini, dengan segala masalahnya - politik, ekonomi, sosial, alam sekitar dan lain-lainnya - memerlukan idea-idea baru untuk menemukan jalan keluarnya. Di tengah timbunan masalah yang semakin kronik, ramai yang mengimpikan wujudnya a healthy marketplace of ideas, sebuah pasar besar idea-idea baru yang segar dan bernas, hasil sumbangan kolektif masyarakat manusia yang berdaya fikir dan kreatif.

Demikian perlunya sumber daya manusia yang memiliki kemampuan berfikir dan berkarya. Tetapi dunia hari ini tampaknya sedang mengalami kemarau idea dan kreativiti. Malah negara sekuat Amerika Syarikat pun tidak terkecuali daripada krisis ini. Majalah Newsweek 19 Julai 2010 mengangkat isu kemerosotan kreativiti di Amerika lewat makalah panjang Po Bronson dan Ashley Merryman berjudul, The Creativity Crisis: for the first time, research shows that American creativity is declining. What went wrong and how we can fix it. Penulis-penulis makalah tersebut belum dapat mengenalpasti sebab sebenar kemerosotan tersebut. Tetapi mereka membuat andaian bahawa antara sebabnya ialah jumlah masa yang dihabiskan oleh anak-anak menonton TV dan bermain videogames, sedang rentang waktu sepanjang itu seharusnya digunakan untuk melakukan kegiatan-kegiatan kreatif. Sebab lain yang mereka sebut ialah ketiadaan creativity development di sekolah-sekolah. Kemampuan berkreasi hanya bergantung pada nasib, “there’s no concerted effort to nurture the creativity of all children.

Sementara itu umat Islam pula terbelit dalam krisisnya sendiri. Sudah sejak lama mereka mengalami masalah nilai yang disebut suqut qimat al-`amal wa al-intaj wa al-ibda` (kemerosotan nilai kerja, produktiviti dan kreativiti). Yang paling jelas di antara ketiga-tiganya ialah kemerosotan nilai al-ibda` atau kreativiti. Persekolahan kita rata-rata sangat mementingkan hafalan sehingga mengabaikan pembinaan daya fikir dan kreativiti. Untuk memenuhi tuntutan daya saing sumber daya manusia abad 21, diperlukan suatu anjakan orientasi ke arah mewujudkan keseimbangan antara hafalan dengan kreativiti. Dalam konteks yang lebih luas, sikap taqdis al-turath (membeku dan mensakralkan turath) harus dikoreksi menjadi menjadi taqdir al-turath (menghargai turath), kerana yang dimaksudkan dengan turath itu adalah al-turath al-bashariy (turath kemanusiaan). Ini akan membuka jalan yang lebih luas kepada kelahiran al-khitab al-Islamiy al-Mu`asir (wacana Islam kontemporari).

Kesuburan kreativiti memerlukan suasana yang kondusif, khususnya kebebasan. Kreativiti tidak mungkin subur di tengah kehidupan yang penuh dengan kekangan, belenggu dan cengkaman budaya takut. Untuk mewujudkan suasana kondusif, pendidikan Islam harus mewaspadai jebakan orientasi pendidikan yang lebih berupa brainwashing daripada educating. Pendidikan seharusnya dapat melaksanakan proses memanusiakan dan membebaskan (humanizing and liberating). Pendidikan memang suatu bidang strategik yang seringkali dieksploitasi oleh pihak-pihak berkepentingan untuk meraih keuntungan (politik dan ekonomi) dengan melakukan dehumanisasi dan pembelengguan. Kerana itu dalam sejarah perjuangan kependidikan telah timbul pelbagai usaha penyelamatan seperti yang dilakukan oleh Paolo Freire. Lewat pendidikan kesedaran kritis yang menggunakan kaedah dialog, Freire cuba menyelamatkan kaum tertindas yang telah dihilangkan kemanusiaannya, dilemahkan dan dibenamkan dalam budaya bisu (submerged in the culture of silence).

Model pendidikan pembebasan lainnya, termasuk eksperimen Rabindranath Tagore di Santiniketan yang merupakan jelmaan pendiriannya yang tidak mengenal kompromi terhadap kepentingan kemerdekaan minda (his uncompromising belief in the importance of freedom of mind). Seperti yang dicatat oleh Amartya Sen, ciri penting persekolahan model Tagore ialah, “lively and enjoyable... The emphasis here was on self-motivation rather than on discipline, and on fostering intellectual curiosity rather than competitive exclellence. (Sen A. 2005:114-115). Demikianlah sekadar contoh pendidikan alternatif yang menekankan kebebasan berfikir dan pembinaan daya intelektual. Pendidikan Islam harus memiliki keberanian melakukan pembaharuan sesuai dengan tuntutan era kreativiti dan pembinaan daya fikir.

Sumber Daya Manusia dan Pembinaan Ilmu Ekonomi

Pembinaan sumber daya manusia dalam konteks pendidikan Islam seharusnya mendukung idealisme pembinaan generasi khayra ummatin ukhrijat li ‘n-nas...., generasi terunggul yang ditampilkan untuk berbakti dan berkhidmat kepada kemanusiaan sejagat. Ketika dunia dilanda pelbagai krisis, umat Islam sebagai sumber daya yang terbina dalam sistem pendidikan Islam seharusnya mampu tampil memberikan jawapan dan penyelesaian (al-hall al-Islamiy) yang tuntas. Tetapi itu tidak terjadi kerana masalah sumber daya manusia Muslim. Pada tahun 2008, ketika dunia terbelit dalam krisis ekonomi yang parah gara-gara kegagalan dan kejahatan kapitalisme, Reich yang disebut sebagai mantan U.S. Secretary of Labour dilaporkan berkata, “There are still two kinds of capitalism. There is authoritarian capitalism, as in China and Singapore, and there’s democratic capitalism, as in the U.S. and Europe. If there’s anyone out there who has a better idea, I’m sure the world would love to hear about it.” (Newsweek, 13 October 2008).

Ternyata ilmu ekonomi Islam belum cukup siap untuk menjawab cabaran (tantangan) masalah perekonomian dunia. Ilmu ekonomi Islam masih dalam proses Islamisasi, dan kerana itu jumlah ahli ekonomi Islam masih sangat terbatas. Yang ramai ialah ahli-ahli bidang syari`ah (mu`amalat) yang tahu sedikit sebanyak tentang ekonomi, atau ahli ekonomi yang tahu sedikit sebanyak mengenai shari`ah. Dengan kata lain, projek Islamisasi ilmu ekonomi masih menghadapi kendala sumber daya manusia, sedang dunia sangat memerlukan ilmu ekonomi baru yang lebih manusiawi, bermoral dan beretika.

Kerosakan yang sedang terjadi kepada ilmu ekonomi konvensional ketika ini digambarkan oleh Seyyed Hossein Nasr, “... when economics becomes a science almost independent of human beings, dealing only with quantity without any regard for the qualitative aspects of life.” (Nasr, S.H., 1993:244). Ilmu ekonomi yang kini hanya berisi angka-angka setelah mengenyahkan manusia, tidak lagi dapat memberikan khidmat kepada kemanusiaan. Kerana itu Ronald Coase, Profesor Emeritus dari University of Chicago yang pernah memenangi hadiah Nobel itu telah menulis makalah berjudul Saving Economics from the Economists (Menyelamatkan ekonomi dari ahli-ahli ekonomi). Tampaknya beliau telah hilang kepercayaan terhadap ilmu masa kini yang semakin terpisah dari pengajian tentang manusia, malah semakin terpisah dari praktik perekonomian (the working economy), walhal dahulu ilmu ekonomi merupakan “...both a study of wealth and a branch of the study of man.” Ronald Coase memperjuangkan agar ilmu ekonomi diorientasikan semula menjadi ilmu tentang kajian manusia dan sistem ekonomi sebagaimana yang berlaku (...if economics can be reoriented to the study of man as he is and the economic system as it actually exists.). Untuk menghadirkan semula manusia dalam ilmu ekonomi, R.Coase mempelopori penerbitan Jurnal Man and the Economy. (Harvard Business Review, December 2012).

Kesedaran tentang pengabaian manusia dalam ilmu ekonomi kontemporari tampak makin meluas. Mungkin hakikat inilah yang melatari penulisan buku The Human Economy yang disunting oleh Keith Hart dkk. Sementara itu kapitalisme juga sedang cuba menyesuaikan diri dengan perkembangan baru tentang kesedaran kemanusiaan dalam ekonomi lalu tercipta istilah seperti creative capitalism dan yang seumpamanya, yang pada hakikatnya tidak lebih daripada recycled neo-liberal capitalism. Ekonomi Islam harus mampu tampil sebagai ekonomi kemanusiaan yang setulennya, dan untuk menghasilkannya diperlukan sumber daya manusia yang berkompetensi tinggi.

Sumber Daya Untuk Amal Kemanusiaan

Dalam era semakin berkembangnya kesedaran tentang pentingnya penguatan masyarakat madani (civil society), perhatian mulai diberikan kepada peranan NGO dan badan-badan kebajikan. Badan-badan ini banyak menangani masalah-masalah seperti penyimpangan sosial, keruntuhan moral, pendidikan, hak asasi manusia, pencemaran alam sekitar, bencana alam dan lain-lain, yang umumnya menggunakan khidmat tenaga sukarela. Suatu masa dahulu, perkhidmatan sukarela seperti telah mati sehingga ada yang telah mengisytiharkan the death of volunteerism, iaitu apabila orang semakin menjadi sangat materialistik dan mementingkan diri.

Perkembangan mutakhir menunjukkan bahawa minat terhadap khidmat sukarela untuk kemanusiaan semakin meningkat dalam kalangan anak-anak muda lepasan institusi pengajian tinggi. Perkembangan positif tersebut dicatat oleh Fareed Zakaria,

The numbers who volunteer for programs like the Peace Corps and AmeriCorps have risen substantially. In 2014, Teach for America received over fifty thousand applications, more than twice the number received in 2008. Many talented and highly credentialed students choose to work at nonprofits for a while. It’s true that nongovernmental organizations have become cool, but that is the point. They have become cool precisely because young people today view them as a valuable and worthwhile way to spend part - or all - of their lives. (Zakaria, Fareed, 2015: 158).

Pendidikan Islam seharusnya mempersiapkan sumber daya manusia sukarelawan yang cukup dan kompeten untuk diterjunkan ke lapangan khidmat kemanusiaan. Mereka perlu dibekali dengan kesedaran dan kepedulian kemanusiaan yang tinggi, di samping ketrampilan yang sesuai.

Pendidikan al-Hikmah dan The Age of Wisdom

Alaf ini dikatakan sebagai the age of wisdom. Demikian menurut Stephen R. Covey yang mendefinisikan wisdom sebagai “...when information and knowledge are impregnated with purpose and principles.” (Covey, S.R., 2004:295). Bagi umat Islam, wisdom dalam pengertian hikmah bukan baru bermula sekarang. Ia adalah sebahagian daripada misi para Nabi, khususnya Nabi Muhammad s.`a.s. (...wa yu`allimuhum al-kitab wa al-hikmah). Kata al-hikmah mempunyai pelbagai erti, tetapi semuanya tidak terkeluar dari makna kebenaran dan ketepatan (al-sawab wa al-sadad). Apabila al-Qur’an memerintahkan agar berdakwah dengan berhikmah (al-Nahl:125), tidak bererti hanya dakwah yang harus dilakukan dengan berhikmah, tetapi semua perlakuan dan tindakan harus dilaksanakan dengan berhikmah, bertolak dari kefahaman yang mendalam diikuti kata-kata yang tepat dan tindakan yang tepat, penuh kearifan dan kebijaksanaan. Bagi umat Islam sumber hikmah adalah al-Qur’an al-Hakim dan al-Sunnah al-Nabawiyyah. Andainya pendidikan Islam diorientasikan kepada penyerlahan dan penghayatan al-hikmah, tuntutan kepada sumber daya manusia yang berhikmah akan dapat dipenuhi.

Khatimah

Pendidikan Islam memiliki potensi yang sangat besar untuk melahirkan generasi yang berdaya saing dan berkompetensi internasional. Justeru, ajaran Islam mengandungi segala nilai yang diperlukan untuk membina etos kerja yang kuat dan berintegriti. Nilai ilmu, nilai hikmah, nilai moral, nilai ekonomi dan nilai inovasi (al-ibda`) yang sejatinya sangat kuat dalam ajaran Islam, menjanjikan kekayaan sumber daya manusia yang berdaya saing andainya digarap dengan serius dan terancang. Pembangunan sumber daya manusia tidak harus terpisah daripada agenda besar pembinaan karakter bangsa berasaskan nilai-nilai unggul Asma’u ‘Llahi ‘l-Husna.


Rujukan:

Al-Qaradawiy, Yusuf. 2009. Risalat al-Azhar: bayna al-ams wa al-yawm wa al-ghad. Kaherah: Maktabah Wahbah.
Barom, Mohd Nizam dkk. (ed.). 2013. Islamic Economics Education in Southeast Asian Universities. Kuala Lumpur: Centre for Islamic Economics, IIUM.
Brackman, Rabbi Levi & Sam Jaffe. 2008. Jewish Wisdom for Business Success: Lessons From the Torah and Other Ancient Text. New York: Amacom.
Collini, Stefan. 2012. What Are Universities For?. London: Penguin Books.
Covey, Stephen R. 2004. The 8th Habit - From Effectiveness to Greatness. New York: Free Press.
Covey, Stephen R. & Rebecca R. Merrill. 2006. The Speed of Trust. New York: Free Press.
Hart, Keith dkk. (ed.). 2014. The Human Economy. Cambridge: Polity Press.
Nasr, Seyyed Hossein. 1993. A Young Muslim’s Guide to the Modern World. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust.
Sen, Amartya. 2006. The Argumentative Indian. London: Penguin Books.
Sommerville, C. John. 2006. The Decline of the Secular University. New York: Oxford University Press.
Zakaria, Fareed. 2015. In Defence of a Liberal Education. New York: Norton.



(Kertas Kerja Dr Siddiq Fadzil di Halaqah Ulama ASEAN 2017 Jakarta)

KDH/IDE/UNISEL: 17102017


No comments:

Post a Comment