Tuesday, October 17, 2017

KHAIR SUJUD: PERTEGUH GERAKAN, TERAJU KEBANGKITAN MAHASISWA



MEMPERTEGUH DINAMIKA GERAKAN, MENERAJUI KEBANGKITAN MAHASISWA
Muhammad Khair Bin Sujud
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)


Yang Dihormati Prof Dato’ Dr Mohamad Redzuan Othman,
Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan (MSK),
Yang Dihormati Dato’ Prof Dr Siddiq Fadzil,
Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH),
Yang Dihormati Saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsudin,
Pengerusi Majlis Kebangsaan Pelajar Islam (MKPI),
Yang Dikasihi Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman,
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH),
Yang Dikasihi Kekanda Haji Mohamad Raimi Ab Rahim,
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat PKPIM Sesi 2016/2017,
Pimpinan PKPIM Kampus, dan Pimpinan Badan Gabungan Negeri,
Para Tetamu Kehormat dan Tetamu Jemputan,
Para Muktamirin dan Muktamirat
Serta Para Peserta Seminar Politik Islam dan Demokrasi.


Mukadimah

Alhamdulillah kita merafakkan setinggi rasa tasyakkur kepada Allah SWT atas kesempatan dan peluang terindah berintima’ dalam keluarga besar jamaah WADAH-ABIM-PKPIM yang dicintai ini. Melalui perjalanan dakwah yang panjang, kebersamaan ini memberikan kekuatan dan motivasi untuk terus membina ketahanan dakwah. Ujian, tribulasi dan mehnah yang dilalui dihadirkan dengan rasa keinsafan dan kesyukuran.

Perhimpunan kita pada hari ini dijelmakan dengan semangat, iltizam dan tekad menyubur ukhuwah fillah, bermuhasabah dalam memperbaiki amal Islami dan memperteguh tanzim harakiy memaknakan taklifan kita sebagai penyambung risalah Al Rasul SAW.

Generasi muda Islam mesti terus diperingat dan dipertegaskan kembali peranan sebagai “agen perubahan “(agent of change)”. Idealisme perjuangan terus disegarkan dengan mencermati situasi semasa yang senantiasa berubah, dinamik dan unik yang memerlukan “hikmah” dan “kesedaran dhamir” untuk terus bangkit dan berjuang. Ayuh kita memahami dan merenung Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحاً وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).
(Surah Fussilat Ayat 33)

Almarhum Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilal Al Quran membahaskan bahawa ucapan dakwah merupakan sebaik baik ucapan yang dilafazkan di bumi ini. Ucapan dakwah mengepalai ucapan-ucapan yang baik yang naik ke langit, tetapi ucapan itu pastilah disertakan dengan amalan-amalan yang soleh membuktikan kebenaran kata-kata yang telah diucapkan itu. Seterusnya disertakan dengan menyerah diri kepada Allah. Dengan demikian jadilah dakwah itu bulat dan ikhlas kepada Allah SWT semata-mata, yakni pendakwah tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam dakwah itu selain daripada menyampaikannya kepada manusia seluruhnya.

PKPIM 56 TAHUN DALAM GERAKAN DAKWAH

PKPIM bukan sekadar persatuan biasa. PKPIM merupakan sebuah harakah Islamiyyah yang ditandai dengan sejarah panjang, pelbagai peristiwa dan pahit getir perjuangan dalam konteks melestarikan citra dan aspirasi Islam dalam kalangan pelajar. Sebagai sebuah gerakan pelajar Islam yang dinamik, perencanan khittah dan strategi perjuangan diadun dan disesuaikan dengan semangat zaman tanpa mengabaikan aspek tanzim haraki. Tentunya, perjuangan 56 tahun ini menghadirkan kenangan tersendiri dan gerakan ini sangat berjasa dalam melahirkan tokoh dan ilmuwan dalam pelbagai latar belakang. PKPIM antara madrasah terbaik dalam pembinaan jati diri dan menyubur semangat ummatik dalam kalangan pelajar.

Tidak dinafikan bahawa antara cabaran besar PKPIM ialah bagaimana memposisikan gerakan ini untuk terus diyakini kewibawaannya dan kekal releven. Dasawarsa ini, generasi muda terdedah dengan kepelbagaian jamaah. Masing-masing dengan tekad dan matlamat yang sama memastikan Islam terus tertegak di muka bumi.

Menghadapi kepelbagaian ini, PKPIM melihat hal ini perlu diurus dan disingkapi dengan kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan pandangan. Menyingkapi isu-isu luaran dan dalaman gerakan, kekuatan akal dan ruh sangat penting dalam memastikan PKPIM terus memainkan peranan yang sebenar di lapangan umat.

PKPIM mengambil pendekatan inklusif dengan meraikan kepelbagaian latar belakang dan pandangan dalam kalangan ahli mahupun mad’u yang dihadapi bersesuaian dengan semangat Islam Rahmatan Lil ‘Alamin. Kekuatan dan kepakaran setiap ahli digembleng sepenuhnya secara utuh dan berpadu. Citra kepelbagaian ini mengambil semangat “Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan” seperti yang pernah dinukilkan oleh Dr Muhammad Imarah, seorang pemikir ulung Mesir dalam karya “Al Islam Wa Al-Ta’addudiyyah: Al Ikhtilaf Wa al Tanawwu fi Itar al Wihdah”.

Sebagai generasi penerus Risalah Nubuwwah, kami rasa beruntung dan berbahagia kerana dapat berteduh dan mendapat manfaat di bawah payung keluarga besar jamaah WADAH-ABIM-PKPIM. Semangat dan keghairahan anak muda yang berjuang dipandu dengan hikmah orang lama yang berpengalaman dalam lapangan dakwah yang sebenar. Benar apa yang diungkap oleh Syeikh Umar al Tilmisani, mantan Mursyidul Am Ikhwan Al Muslimin, “Hikmah al Syuyukh fi Hamasati al Syabab” (Hikmah orang tua pada semangat orang muda). Moga dengan didikan dan pentarbiyahan yang berpanjangan, kita mampu untuk terus cekal dan tekal berdepan cabaran mendatang yang lebih getir. Walau bagaimanapun, dengan paduan ketiga tiga entiti jamaah ini tidak menyekat kebebasan dan kreativiti anak muda dalam berkarya. Semoga hubungan dan gandingan kekeluargaan ini terus utuh dan memberi impak yang bermakna kepada umat.

Kami menginsafi dan menyedari dengan beban sejarah yang ditanggung. Walau bagaimanapun, kami optimis untuk langkahan ke hadapan menjunjung prinsip dan adab dalam gerakan. Keberadaan kami dalam gerakan yang berjasa ini bukan satu kebetulan tetapi anugerah dan takdir Allah SWT yang perlu dimaknakan dengan menyemai sifat ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam memartabatkan tamadun khayra Ummah.

REVOLUSI INDUSTRI 4.0

Dalam era "Revolusi Industri Keempat" ini, manusia semakin hilang sifat kemanusiaannya dek kerana sindrom "technological intoxication" yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan anak muda. Ilmuwan Indonesia, Kuntowijoyo menyebut ini sebagai satu proses dehumanisasi yang disebabkan pengaruh keterlaluan yang dimiliki oleh teknologi ke atas manusia. Dengan kelahiran sebuah generasi yang diberikan telefon pintar sebagai candu menggantikan peranan ibu bapa sebagai peneman dan pendidik, kita amat bimbang bahawa trend sebegini akan membina generasi yang tidak manusiawi. Kehilangan sifat kemanusiaan merupakan natijah yang amat buruk sekali kerana ia ternyata menjauhkan lagi manusia daripada fitrahnya yang asal sebagai "hamba dan khalifah" di muka bumi dan menjadikan manusia hanya sekadar narcissist, pencinta teknologi dan diri sendiri.

Gejala kerosakan dalaman masyarakat Islam ini telah lama dijelaskan oleh seorang pemikir Islam terkemuka, Malik Bennabi, sebagai gejala al-fikr al-mayyit (pemikiran dan nilai positif yang mati) yang akhirnya menyebabkan kemandulan mentaliti umat yang siap untuk dijajah (colonizability). Cendekiawan Mesir, Fahmi Huwaidi pula menyifatkan perkara ini sebagai penjajahan yang terselubung; sebuah gejala penjajahan minda dan jiwa anak-anak muda umat Islam tanpa perlunya sebuah penjajahan fizikal seperti yang pernah dilalui umat kita pada abad-abad yang lepas.

Revolusi Industri keempat merupakan suatu fenomena baharu yang telah, sedang dan akan memberikan impak yang amat besar kepada dunia. Berteraskan pembangunan teknologi digital, revolusi industri keempat ini telah menghubungkan berbilion manusia melalui media sosial, manakala ekonomi dunia dikatakan telah menjadi lebih efisien melalui ‘automation', di mana kerja-kerja manusia kini diambil alih oleh robot yang dikawal melalui perisian pintar. Revolusi ini dijangka akan terus berlaku dalam kadar yang amat pantas. Terbaru, sebuah robot telah mulai memainkan peranan sebagai pakar bedah dengan mengadakan pembedahan penggantian buah pinggang ke atas seorang pesakit di United Kingdom.

Namun, sepertimana revolusi-revolusi industri sebelum ini, revolusi terbaru ini turut akan menatijahkan kesan-kesan buruk sekiranya tidak mampu dikawal secara baik oleh manusia. Di samping kesannya ke atas gaya hidup dan cara fikir manusia, fenomena ini juga akan memberikan impak yang maha dahsyat ke atas ekonomi sesebuah komuniti. Berdasarkan contoh-contoh yang berlaku di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat, sesebuah komuniti yang bergantung kepada industri pembuatan adalah antara yang paling terdedah kepada ketidakstabilan ekonomi akibat trend ‘automation' yang menggantikan manusia dengan robot yang dikawal secara automatik di kilang-kilang serata dunia. Alhasil, terjadilah pengangguran massa yang menghilangkan mata pencarian keluarga-keluarga di samping mengurangkan peluang pekerjaan untuk belia-belia seluruh dunia.

Implikasi pengangguran massa ini adalah perubahan politik radikal yang akan melahirkan pemimpin-pemimpin dan parti politik populis seperti yang telah berlaku di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Perancis, antara lain. Kemunculan puak-puak populis ini sememangnya disertakan dengan gaya politik yang memusuhi dan menebar kebencian atas nama nasionalisme. Hasilnya, polisi-polisi anti-imigran dan anti-Islam diperkenalkan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan diutarakan oleh beberapa pemimpin parti di negara-negara seperti Perancis (Marine Le Pen).

Umat Islam adalah sasaran mudah bagi sentimen kebencian ini, hanya disebabkan oleh identiti dan rupa wajah mereka yang berbeza daripada penduduk asal negara-negara terbabit, selain daripada ‘terorisme’ yang sering kali dikaitkan dengan komuniti Islam. Keadaan politik yang rencam dan tidak stabil ini dijangka akan terus mengakar dalam keadaan politik semasa di negara-negara demokrasi, terutamanya di Barat. Jika perkara ini tidak diatasi sebaiknya oleh pemimpin-pemimpin negara, maka tanpa diragui fenomena ini akan merebak dan mempengaruhi struktur sosial dan ekonomi negara pada masa akan datang.

Sejarah telah merakamkan dengan jelas bagaimana perubahan sosial dan ekonomi yang berlaku secara mendadak akibat Revolusi Industri Pertama di negara-negara Barat telah menyaksikan jurang kemajuan peradaban semakin melebar di antara kuasa-kuasa besar Barat dan Empayar Turki Uthmaniyah. Dinamisme sosial, intelektual dan ekonomi hasil daripada revolusi pertama berkenaan telah dimanfaatkan sebaiknya oleh tamadun Barat, manakala Empayar Turki Uthmaniyah terus mundur dan membeku setelah mendominasi politik dunia selama berkurun lamanya. Mempelajari kesilapan lampau, pemimpin negara-negara Islam harus memainkan peranan aktif dalam menerajui dan memanfaatkan revolusi digital yang sedang kita lalui untuk memastikan umat Islam kembali menjadi ‘trend-setter’ dalam peradaban moden dan bukannya hanya menjadi pengikut kepada trend yang sedang mencorak masa depan kita.

Walau bagaimanapun, usaha menerajui arus perubahan dunia moden sememangnya tidak mudah, apatah lagi dengan jurang perbezaan yang tinggi antara kemampuan teknologi yang dimiliki oleh negara-negara Islam dan negara-negara Barat. Di samping usaha-usaha membasmi permasalahan sosial dan ekonomi yang diketengahkan oleh perkembangan dunia digital, umat Islam juga harus membina kapasiti intelektual yang dinamik agar dapat terus meningkatkan keupayaan umat Islam dalam membina peradaban yang maju.

Sebarang usaha anti-intelektual seperti pengharaman buku-buku yang tidak mematuhi sudut pandang dominan dan konservatif di negara harus diketepikan demi memastikan kelangsungan usaha pembangunan intelektual umat. Tidak layak bagi sebuah komuniti yang pada suatu ketika dahulu menyaksikan perdebatan yang harmoni antara kelompok-kelompok berbeza aliran menjadi sebuah komuniti yang takut menghadapi hujah-hujah yang berbeza daripada sudut pandang mereka. Bayangkan betapa ruginya kita sekiranya kita dihalang merasai kemanisan perdebatan antara dua tokoh pemikir Islam, Ibn Rushd dan Imam Al-Ghazali jika tiada ruang dibuka seluasnya untuk mereka membentangkan hujah masing-masing!

Maka tidak hairanlah jika kita melihat umat Islam lebih mencintai media massa yang bersifat ‘sensationalist’ berbanding ‘educational’. Kelemahan intelektual ini telah menjadi dinding penghalang terbesar yang memastikan umat Islam kekal tidak relevan dalam menerajui perubahan dunia moden. Sepertimana Martin Luther mengejutkan dunia intelektual Barat dengan ‘100 Theses’ beliau, para intelektual Islam harus berani memainkan peranan yang penting dalam mengejutkan umat Islam daripada ‘tidur mati’ demi kelangsungan peradaban kita.

Dalam kita mendepani penuh dengan cabaran ini, kita juga harus memperluas horizon pemikiran dan cakupan kita agar tidak hanya menyelesaikan permasalahan-permasalahan lokal, tapi juga kita harus menyantuni isu-isu global yang sedang berlaku kini. Daripada isu-isu kemanusiaan yang sedang berlaku - dan tidak kelihatan jalan penyelesaiannya - di bumi Palestin, Syria, Rohingya, Libya, Afrika dan sebagainya. Isu kesenjangan ekonomi dan taraf sosial juga merupakan satu perkara yang sangat membimbangkan, bukan hanya di Malaysia, tapi juga di seluruh dunia. Sehinggakan sudah dilaporkan bahawa separuh kekayaan yang terdapat di bumi ini dimilik oleh - hanya - seramai 1% penduduk penduduk bumi. Ini menunjukkan kekayaan sebenar dimilik oleh para kleptokrat dan para kapitalis yang bertujuan hanya mengumpulkan kekayaan tanpa menyumbangkan kembali kepada masyarakat sekeliling.

Klaus Schwab ada mencirikan perubahan-perubahan yang bakal berlaku pada dunia akan datang di bawah Revolusi Perindustrian 4.0 dimana revolusi ini meramalkan perubahan drastik dan memberi kesan dalam lima sektor; 1) Ekonomi, 2) Bisnes, 3) Kebangsaan dan Global, 4) Masyarakat, dan 5) Individu. Revolusi Perindustrian 4.0 juga menjanjikan satu era dimana pertukaran informasi dan terkadang disalah erti sebagai ilmu - itu berlaku dengan pantas, tanpa halangan dan tiada batasan. Ini bertentangan dengan tradisi kebudayaan Islam di mana terdapat tiga sumber pengetahuan bagi seseorang individu; 1) Pengalaman Spiritual, 2) Alam Semesta, dan 3) Sejarah. Jadi sebetulnya, dalam era yang penuh dengan kemajuan dan kepantasan informasi ini, aspek jati diri, moral dan nilai ethos yang akan dipersoalkan kembali dan harus dicari erti semula.

Rentetan daripada perubahan drastik yang bakal berlaku melalui Revolusi Perindustrian 4.0, pada sisi yang lain juga harus kita amati bersama ramalan yang dibuat oleh Thomas L. Friedman dalam buku beliau “The World Is Flat”. Dalam buku tersebut beliau ada menyebut di samping revolusi perindustrian, terdapat juga tiga era globalisasi yang besar; Globalisasi 1.0, Globalisasi 2.0, dan Globalisasi 3.0. “Daya dinamik Globalisasi 1.0 merupakan pengglobalisasian negara dan daya dinamik Globalisasi 2.0 merupakan pengglobalisasian syarikat, daya dinamik Globalisasi 3.0 merupakan kuasa baharu terhadap individu untuk bekerjasama dan bersaing secara global” (Friedman, 2006:10). Di mana mengikut Friedman, beliau juga menjangkakan bahawa Abad ke-21 menandakan permulaan kepada satu abad di mana batasan antara negara itu akan dihapuskan dan ini akan “level the playing field”.

Beliau juga meramalkan bahawa dalam era Globalisasi 3.0 ini adalah era pengupayaan hak individu untuk bergiat dalam medan dunia global. Secara umumnya, apa yg diramalkan oleh Klaus Schwab dan Thomas L. Friedman beserta dengan beberapa futurist yang lain lagi adalah akan wujudnya satu zaman di mana kepantasan adalah segala-galanya. Benda ini disokong oleh Mufti Pulau Pinang, Dato’ Dr Wan Salim Mohd Noor yang menyatakan bahawa zaman ini akan memperkenalkan doktrin individualisme, materialisme, konsumerisme, dan hendonisme yang bertentangan sama sekali dengan ajaran-ajaran Islam. Jadi gerakan Islam harus lebih proaktif dan kreatif dalam menghadirkan solusi-solusi yang bertepatan dengan masyarakat semasa, bersesuaian dengan kehendak zaman, tanpa meminggirkan prinsip-prinsip dan semangat perjuangan yang sudah lama kita imani secara bersama.
Dalam konteks kemahasiswaan, PKPIM perlu tampil sebagai salah satu gerakan pelajar yang, tanpa berhenti, turun ke kancah perjuangan mahasiswa, dan sentiasa mendekati mahasiswa dalam memahami konteks kehidupan mahasiswa semasa. Kami yakin dengan pengalaman selama 56 tahun PKPIM beraksi di ganggang kemahasiswaan, kita mampu untuk mara dengan lebih efektif lagi jika berbekalkan tiga perkara; 1) Ketetapan Prinsip 2) Kesamaan Visi 3) Pergerakan yang kolektif. Kita harus perjelas prinsip kita berada dalam gerakan kita ini, dan harus teguh dengan prinsip kita. Daripada prinsip yang kita imani, pemerhatian dan pengamatan kita akan lebih berfokus dan akan lebih jelas aspek apa yang kita boleh dan patut perjuangkan. Visi akan terlahir daripada situ dan kesamaan visi itu akan terhasil bilaman semua berfikir untuk mencapai dan menggapai perkara yang sama. Pada akhirnya, pergerakan kita harus diselarikan agar tiada tindakan yang bertindihan dan lebih banyak kerjasama yang dapat kita laksanakan.

SENARIO DUNIA SEMASA

Seperti yang telah disebut di atas, terdapat banyak “real crisis” yang sedang berlaku tapi belum ada yang berjaya menangani dengan efektif. Dari sini kita harus insafi dan teladani semula pergerakan kita selama 56 tahun, gali semula sejarah-sejarah lama, pelajari daripada semangat dan jiwa reformasi mereka, agar kita dapat melahirkan gerakan pelajar yang sentiasa komited dalam medan antarabangsa ini. Zaman di mana gabungan-gabungan bersifat antarabangsa seperti European Union (EU), ASEAN, United Nations (UN), dan sebagainya yang kelihatan kini hanya mampu bersidang dan memberikan kata putus tanpa punya satu tindakan akhir yang boleh membuat perubahan yang kekal dan untuk kebaikan masyarakat umum.

Mulai terjadinya Perang Dunia Pertama, terdapat banyak kebangkitan yang telah kita amati dan lalui. Daripada perluasan kawasan jajahan setiap kuasa besar, kepada kebangkitan kecil-kecilan untuk menentang penjajahan. Sehingga kini, walau tiada lagi negara yang kira dijajah, tapi kebanyakan masih lagi dijajah mindanya oleh sistem dan pemahaman asing yang tidak mengandungi unsur kebudayaan dan jati diri asal mereka. Daripada situlah munculnya gagasan dan kebangkitan yang kita perhati seperti Arab Spring dan gagasan Revolusi Mental yang tujuan utamanya untuk membebaskan masyarakat mereka daripada kecaman pemikiran asing. Kebangkitan itu berterusan sehingga sekarang sehinggakan apa yang kita sedang saksikan sendiri di medan antarabangsa merupakan satu kebangkitan yang lain daripada yang sebelum ini. Iaitu kebangkitan yang berasaskan semangat nasionalisme atau semangat kebangsaan. Kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya Amerika dengan motonya “Make America Great Again’”, Pelan Penaiktarafan Status Kehidupan penduduk Perancis yang dijanjikan Emmanual Macron yang pada akhirnya menjamin kemenangan beliau, kejatuhan undian bagi Theresa May, dan kenaikan undi bagi parti (AFD) Alternative for Germany (Deutschland) merupakan antara contoh arena geopolitik antarabangsa yang menunjukkan kebangkitan semangat manusia untuk mempertahankan hak-hak yang sepatutnya mereka peroleh.

Sebagai gerakan pelajar, lebih lagi sebagai gerakan Islam, semangat perjuangan kita harus menjangkau semangat untuk mempertahankan hak sendiri sahaja, tetapi juga setiap perjuangan kita harus pertama sekali mengutamakan untuk menyebarkan syiar Islam di muka bumi ini dan seharusnya fokus utama kita adalah untuk membangunkan rantau Asia - lebih spesifik lagi rantau Asia Tenggara - dahulu dalam kita hendak memperjuangkan nasib umat Islam di rantau lain. Seiring dengan itu, harus kita terapkan semula jati diri kita sebagai umat Islam, terutamanya, dan sebagai kaum Melayu yang keduanya. Sejarah harus digali semula. Wacana harus dikerapkan semula. Pengamalan harus dikuatkan semula. Kaum Arab kekal bangga dengan jati diri dan nilai ethos; 1) Hospitaliti 2) Kemurahan 3) Keberanian 4) Maruah diri 5) Hormat diri.

Mereka walau sebelum kedatangan Islam lagi dan tatkala Islam datang, Islam bukan merubah sikap mereka, tapi pemahaman tauhidik mereka. Jadi bagi kita, apakah jati diri yang mendefinisikan orang Melayu? Dan bagaimanakah kedatangan Islam merubah pemahaman tauhidik kita dalam masa yang sama memperkuat semangat kita?

Ada diungkapkan bahawa “secara luhurnya insan Asia pada hakikatnya ialah insan beragama (Persona Religiosus)” di mana kebangkitan dan kejatuhan atau kemunduran insan Asia ini terletak pada kekuatan keagamaan mereka.8 Dari sini kita dapat lihat bahawa kebanyakan agama banyaknya muncul di rantau Asia. Agama-agama seperti Islam, Hindu, Buddha, Confucianisme, Taoisme, semangat Shinto, dan Sikhisme antara contoh yang menggambarkan kebenaran kata Anwar Ibrahim - insan Asia ini fitrahnya inginkan kepada satu agama Prof Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas juga ada menteorikan bahawa kebudayaan Melayu sudah mencapai satu tahap yang lebih tinggi lagi pasca daripada kedatangan Islam ke Tanah Melayu ini - melalui agamawan-agamawan daripada Indonesia. Dari sini kita dapat menanggapi bahawa gelombang Kebangkitan Asia yang diimpikan oleh Anwar Ibrahim hanyalah dapat menjadi kenyataan tatkala masyarakat Asia hidup dengan suasana yang religius dan harmoni hasil daripada pemahaman setiap daripada penduduk berkenaan kebudayaan dan keagamaan yang dianuti oleh sekeliling mereka.

GENERASI AL-QURAN YANG UNIK (JIL QURANIY AL FARID)

Setiap kebangkitan zaman, diutuskan seorang mujaddid yang akan melakukan perubahan(islah). Perubahan meliputi aspek keseluruhan termasuk kesedaran dan perubahan masyarakat menuju redha Ilahi. Imam Hasan al Banna adalah sosok yang menggerakkan kesedaran dan melakukan perubahan persekitaran dengan cukup dinamik. Perjuangan dalam Ikhwan melahirkan ramai pejuang dan tokoh yang ikhlas dan berpandangan jauh.

Generasi Al Quran yang Unik merupakan suatu gambaran yang diungkap oleh Syed Qutb di mana masyarakat diasuh dan dididik dengan penghayatan Al Quran. Inilah rahsia kegemilangan generasi awal sahabat yang menjadikan Al Quran bukan sekadar dibaca tetapi diamalkan kandungan Al Quran dalam segenap aspek kehidupan. Al Quran dijadikan pedoman penting dalam melakukan amar makruf dan nahi munkar dalam kehidupan. Pedoman Al Quran yang dibawakan menjadikan masyarakat mengamalkan Islam dengan sebaiknya biarpun dengan cabaran dan dugaan yang mendatang.

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا ۚ مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَٰكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا ۚ وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): Apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: Cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.
(Surah al Syura Ayat 52)

REJUVENASI INSTITUSI MASJID DAN PEMBERDAYAAN PEMUDA

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
(Surah al-Taubah ayat 18)

Muktamirin muktamirat sekalian,

Hijrah merupakan satu peristiwa yang menjadi satu “turning point” paling bermakna dalam sejarah Islam. Bermula dari hijrah, umat Islam mengalami perubahan yang sangat luar biasa dari hidup merempat di bumi sendiri, diseksa, dipulau dan di halau bangsa senndiri kepada hidup berpunya, maju jaya, bekerjasama dan bernegara.

Dalam peristiwa bersejarah ini, tidaklah Nabi Muhammad SAW mendahulukan pembangunan negara Madinah akan tetapi mendahulukan pembangunan masjid sebagai pusat kemajuan dan pembangunan masyarakat. Hal ini dibuat dengan kesedaran bahawa umat hanya akan kuat dengan adanya kesatuan yang bukan berbasis pada ukhuwwah semata-mata tetapi ukhuwwah yang diikat dengan dasar akidah yang tulus kepada Allah semata-mata.

Keutamaan membina akidah dalam pembinaan ketamadunan juga difahami dan disedari oleh ilmuan Islam silam seperti Imam al-Ghazali apabila menggariskan kefardhuan ilmu yang fardhu ‘ain adalah bermula dengan mempelajari akidah. Seterusnya kita melihat hal yang sama ditekankan oleh para ulama’ dalam pelbagai kitab seperti Sirrus Salikin, Ta’lim Muta’alim dan juga diikuti oleh ilmuan masakini seperti Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas. Hal yang sama juga dilakukan oleh pendiri gerakan dakwah sebagaimana Imam Hassan al-Banna dalam menggariskan muwasafat tarbiyyah yang mendahulukan kesejahteraan akidah sebagai sifat yang pertama.

Begitulah signifikannya masjid dalam memulakan perubahan terbesar dalam sejarah Islam, dari masjidlah terbentuknya generasi terbaik yang mengembangkan Islam hingga hampir 2/3 bumi ini disinari dengan cahaya Islam. Tetapi persoalan yang muncul adalah masjid yang bagaimana yang membangunkan umat Islam suatu ketika dahulu? Jawapan yang kami dapati adalah masjid yang berfungsi sepenuhnya dalam menyatukan umat baik muda mahupun tua, lelaki mahupun perempuan sehingga kesemuanya dibangunkan dan disatukan hatinya, akalnya dan fizikalnya. Laksana hadis Baginda:

Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan saling berempati bagaikan satu tubuh. Jika salah satu anggotanya merasakan sakit, maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga dan merasakan demam.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Masjid merupakan inkubator terbaik bagi melahirkan umat yang bersatu dan maju, oleh itu kami menggesa muktamirin muktamirat yang hadir agar mendekati dan merejuvenasi masjid agar menjadi pusat pembangunan umat sebagaimana yang digesakan oleh ulama’ dan tokoh pendakwah seperti Syeikh Yusuf Qaradhawi, Pak Natsir dan lain-lain. Masjid perlu dibugarkan
dengan kehadiran pemuda di dalamnya, pemuda yang mengimarahkannya dengan solat berjemaah, kegiatan ilmiah, kegiatan kesukarelawanan, kemanusiaan dan lain-lain.
Dengan adanya rejuvenasi masjid yang baik, maka akan terbinalah pemuda-pemuda yang berupaya untuk berfungsi di dalam masyarakat sekaligus memangkinkan lagi kegiatan dakwah ke tahap yang baru. Tahap di mana umat Islam dapat bersaing dengan bangsa-bangsa dan agama-agama lain, terlebih lagi pada zaman revolusi industri ke-4 yang sedang kita hadapi.

PENGUKUHAN TARBIYAH DAN KADERISASI

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

“Dan Hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka generasi yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.”
(Surah Al Nisa’ Ayat 9)

Sahabat seperjuangan yang kami kasihi,
Apakah kaitan rejuvenasi masjid dan pemberdayaan pemuda dengan perihal tarbiyyah dan kaderisasi? Jawapannya adalah, rejuvenasi masjid akan memudahkan kaderisasi dan proses tarbiyyah. Bukan itu sahaja, dengan kita mendekati masjid dan memberi nafas yang baru, kaderisasi akan lebih mengakar ke akar umbi masyarakat dan berkembang menaungi kawasan-kawasan yang berdekatan.
Hal ini adalah sangat penting untuk dilaksanakan bagi menghadapi revolusi industri ke-4 yang akan mengubah landskap dunia. Kami melihat pemilihan masa depan yang strategik adalah amat berguna bagi menghadapi masa depan yang sentiasa berubah, oleh itu usaha merejuvenasi masjid merupakan satu langkah yang kukuh bagi menghadapi perubahan-perubahan ini.

Mengapa kami katakan sedemikian? Hal ini kerana di dalam revolusi industri ke-4 akan menyebabkan perubahan dalam manusia berkomunikasi, bersosial dan bermasyarakat. Landskap pendidikan juga akan berubah dengan adanya cara-cara baru dalam mengumpul maklumat dan mempelajari kemahiran. Adakah institusi pengajian tinggi akan kekal releven? Selari dengan itu, aspek ekonomi juga akan berubah sama terutamanya dalam transaksi pembeliaan atas talian, penggunaan mesin-mesin yang menghasilkan produk dengan lebih baik dan lebih banyak lagi. Perlukah lagi manusia keluar bermasyarakat dan bekerjasama? Kesemuanya ini perlu difikirkan agar generasi muda masakini disediakan untuk menghadapi perubahan ini.

Jadi bagaimana masjid dapat dimanfaatkan untuk proses tarbiyyah dan kaderisasi? Masjid hanya dapat difungsikan semula apabila pemuda pemudi mula mendekati dan membangunkan masjid
sesuai dengan kemajuan zaman. Sejajar dengan keberanian tersebut, orang yang lebih tua perlulah memberi kepercayaan dan bimbingan bagi menjayakan misi membangun umat ini. Masjid perlulah dilengkapi dengan kemudahan dan teknologi yang mesra masyarakat serta orang muda. Penyediaan pusat kegiatan pemuda yang dilengkapi dengan teknologi terkini, bengkel-bengkel kemahiran, kawasan riadhah dan lain-lain adalah perlu bagi menarik minat para pemuda serta membangunkan diri mereka menjadi orang yang berguna.

Setelah masjid berjaya menarik dan memanfaatkan mereka, pasti para pemuda ini akan menjadi golongan yang dimaksudkan di atas itu, iaitu orang muda yang memakmurkan masjid Allah. Dari situ, mereka secara tidak langsung dikaderkan menjadi kader-kader dakwah yang lengkap diri mereka dalam menyumbang dan berjasa kepada masyarakat. Kaderisasi sebegini yang kami lihat lebih kukuh dan akan lebih releven di masa akan datang. Pendekatan sebegini dapat membantu Badan Gabungan Negeri (BGN) dalam meningkatkan kaderisasi di peringkat lokal dan membantu menjalinkan hubungan dengan masyarakat di sekitarnya.

PENGUKUHAN TANZIM HARAKI

Dalam memastikan langkah sesebuah organisasi tetap istiqamah dan konsisten terhadap apa yang ingin dicapai, elemen pengukuhan tanzim harakiy harus diutamakan. Pengabaian terhadap pengurusan keorganisasian bakal memberi barah kepincangan terhadap gerak kerja berjemaah sekaligus akan menyebabkan matlamat utama yang menjadi tunjang kepada gerakan hanya sebagai retorika yang menjemukan. Dilaung hebat namun lesu pada daya praktikalitinya.

Berdasarkan nadi pengukuhan tanzim haraki ini, semua ahli perlu senada dalam memperjuangkan matlamat jemaah bergantung kepada keupayaan serta kemahiran yang mampu disumbangkan. Di sini, menjadi kewajipan bagi para pimpinan untuk mengatur dan memanfaatkan potensi yang ada pada setiap ahli demi mengupayakan gerak kerja yang lebih kemas dan berkesan. Kelompongan dalam seni mengatur ahli pada kedudukan yang tepat bakal merugikan sumber manusia yang sedia ada.

Selain itu, sistem syura yang menjadi amalan penghayatan kepada gerakan keorganisasian ini perlulah disemangati rohnya oleh semua ahli. Sejajar dengan sifat alami setiap insan, pasti akan ada kelemahannya yang tersendiri. Maka, berdiskusi dan berbincang secara berkumpulan dalam meraih keputusan yang bakal memberi manfaat besar kepada gerakan serta pengurusan dalam organisasi. Setiap keputusan yang telah diputuskan melalui syura harus diterima dan dilaksanakan sebaik mungkin. Kepercayaan terhadap kualiti serta keberkatan keputusan yang disepakati melalui syura sebaiknya perlu disemai dalam kalangan kepimpinan dan juga ahli dibawahnya.

Setiap ahli yang meletakkan dirinya bersama gerakan jemaah harus memahami bahawa gerakan ini adalah gerakan secara bersama dan bukannya gerakan yang bersifat peribadi (ananiyah). Oleh itu, dalam memaknai nilai kebersamaan ini, semua harus terbuka dan saling bantu-membantu dalam memastikan garapan hasil kerja bersama yang terhasil mampu memberi impak kepada pencapaian keorganisasian. Sikap menuding jari, punyai kepentingan diri dan mahu meraih populariti harus diketepikan dalam memastikan tonggak utama gerakan tidak terhambat dalam usaha mencapainya.

Menurut Prof Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, mujaddid pada zaman kini berkonsepkan mujadid kolektif yang dijalankan oleh sebuah kekuatan organisasi yang mempunyai ciri-ciri dan semangat tajdid itu. Oleh demikian, setiap individu boleh turut menyumbang terhadap usaha tajdid dan memenuhi cita-cita islami tersebut. Seseorang tidak mampu untuk bekerja seorang diri dalam skala yang besar. Kekuatan dan keteguhan diperoleh secara kolektif, bukan secara individu. Manusia akan menjadi lemah apabila berseorangan tetapi akan menjadi kuat apabila berjemaah. Oleh itu, walaupun Nabi Musa seorang yang kuat dan terpercaya masih berdoa kepada Tuhan agar diberi keteguhan dan kekuatan dengan bantuan saudaranya, Nabi Harun.

MENCIPTA MASA DEPAN UMMAH YANG GEMILANG

Jamaluddin Al-Afghani pernah menyebutkan sikap umat Islam yang hanya bermegah tentang kejayaan datuk nenek mereka dalam mencipta tamadun dan sejarah. Tetapi malangnya mereka sendiri tidak pernah berusaha untuk mencapai tahap sedemikian. Shakib Arsalan pernah menceritakan kepada Jamaluddin Al-Afghani bahawa bangsa Arab dahulu pernah berjaya menyeberangi lautan Atlantik dan menjumpai benua Amerika sebelum dijumpai oleh orang Eropah. Lalu dijawab oleh Jamaluddin Al-Afghani: “Memang benar datuk nenek kamu dahulu orang yang berjaya. Tetapi kamu adalah kamu, tidak layak kamu mengingatkan kemegahan masa lalu tentang keturunan kamu tanpa sebarang usaha gigih seperti mereka.” Itulah realiti kehidupan umat Islam kini yang hanya mengulangi babak-babak sejarah datuk nenek mereka tanpa memikirkan masa depan sendiri dan umat Islam.

Menurut Prof Syeikh Yusuf al Qaradhawi, Umat Islam tidak dapat bangun kecuali mereka mempunyai pemikiran masa depan (Fikr al-Mustaqbal) dan cipta masa depan untuk ummah (Sina’at al-Mustaqbaliyyah). Kita leka dengan puji-pujian dan sanjungan orang lain tentang nenek moyang kita. Kita dibuai dengan mimpi-mimpi indah tanpa ada usaha untuk merubah diri dan menerima perubahan.

Kita harus memahami bahawa kekuatan musuh kita adalah dari kelemahan diri sendiri. Kewujudan kekuatan mereka adalah kerana kelemahan dunia Islam dalam mengenali dirinya sendiri. Pada awal abad ini, telah bangun reformis-reformis Islam yang membawa slogan kemajuan dan membebaskan pemikiran yang terlalu terikat dengan tradisi silam. Lahirnya Muhammad Iqbal, Muhammad ’Abduh, Syeikh Rashid Rida dan al-Maududi yang mempelopori kebangkitan umat dan membebaskan umat dari dibelenggu taqlid, tasawuf yang menyeleweng dan budaya barat yang keterlaluan. Umat Islam perlu mengubah cara hidup dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, mengikut sunah yang betul serta memahami ajaran Islam secara mendalam. Kita tidak akan berjaya dalam persaingan dunia hari ini dengan hanya berbekalkan kemunduran. Oleh yang demikian, umat Islam harus menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi di samping bekerja dengan segala kesungguhan dan berkualiti dalam segenap bidang.

Dalam mencipta masa depan umat, keseimbangan antara ruhiyyah dan jasadiyyah, antara wahyu dan akal, antara kekuatan ilmu dan kekuatan ekonomi amat perlu bagi merealisasikan nikmat Tuhan yang telah dikurniakan untuk manusia. Mencipta masa depan umat dengan berteraskan nilai-nilai kemanusiaan dan alam sejagat serta megikut manhaj Ilahi. Allah telah menjanjikan bahawa orang yang mewarisi bumi adalah golongan yang sentiasa beramal soleh, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, bekerja penuh ikhlas, gigih dan beramanah. Firman Allah:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
(Surah al Haj Ayat 41)

Almarhum Syeikh Muhammad al-Ghazali, seorang tokoh mujaddid abad ini, sentiasa menggesa umat Islam sekarang menumpukan perhatian kepada agenda besar bagi membangunkan umat yang beriman serta berilmu. Beliau mahu umat Islam mengenepikan isu remeh-temeh kerana ini akan merugikan kedudukan umat Islam. Umat Islam perlu menguasai kekuatan iman yang disokong oleh ilmu dan hikmah kerana inilah prasyarat bagi kejayaan hakiki di dunia dan akhirat. Umat Islam harus bersedia menghadapi masa depan dengan menumpukan agenda-agenda besar dengan persiapan yang sungguh rapi dan penuh strategi dengan mengambil kira realiti dan kedudukan umat Islam masa kini. Kita perlu mempunyai kesedaran yang tinggi bagi mencipta masa depan generasi mukmin yang baru yang berhak diberi gelaran “jil al-nasr al-hakiki al-multazim”. Menurut tokoh gerakan kebangkitan Asia abad ini yang juga penyair ulung Pakistan, Muhammad Iqbal, umat Islam kini perlu sedar untuk memahami Islam secara menyeluruh dan tidak menerima kebudayaan barat secara keseluruhannya. Malahan umat Islam mempunyai al-Quran dan al-Sunah yang merupakan nilai yang amat berharga untuk dijadikan panduan hidup bagi mencapai kejayaan. Apresiasi dan keprihatinan Iqbal kepada pemuda didedikasikan dalam sebuah puisi:

Harapan Kepada Pemuda

Aku harapkan pemuda inilah yang akan sanggup
Membangunkan zaman yang baru
Memperbaru kekuatan iman
Menjalankan pelita hidayat.
Menyebarkan ajaran khatamul-anbiya’
Menancapkan di tengah medan pokok ajaran Ibrahim
Api ini akan hidup kembali dan membakar.
Jangan mengeluh jua, hai orang yang mengadu
Jangan putus asa, melihat lengang kebunmu
Cahaya pagi telah terhampar bersih
Dan kembang-kembang telah menyebar harum narwastu
Khilafatul-Ard akan diserahkan kembali ke tanganmu
Bersedialah dari sekarang
Tegaklah untuk menetapkan engkau ada
Denganmulah Nur Tauhid akan disempurnakan kembali
Engkaulah minyak atar itu, meskipun masih tersimpan dalam
kuntum yang akan mekar
Tegaklah, dan pikullah amanat ini atas pundakmu
Hembuslah panas nafasmu di atas kebun ini
Agar harum-harum narwastu meliputi segala
Dan janganlah dipilih hidup ini bagai nyanyian ombak
Hanya berbunyi ketika terhempas di pantai
Tetapi jadilah kamu air-bah, mengubah dunia dengan amalmu
Kipaskan sayap mu di seluruh ufuk
Sinarilah zaman dengan nur imanmu
Kirimkan cahaya dengan kuat yakinmu
Patrikan segala dengan nama Muhammad

Abu Hassan al-Nadwi telah mengarang buku “Apa Derita Dunia Apabila Umat Islam Mundur” menjelaskan bahawa kemunduran umat Islam bukan sahaja merugikan umat Islam sahaja tetapi dunia sejagat mengalami derita yang sama. Barat mampu mencipta pelbagai jenis alat-alat yang canggih dan berteknologi tinggi sehingga mampu terbang di udara seperti burung dan berenang seperti ikan di dalam lautan tetapi mereka gagal bagaimana hendak berjalan di atas dunia ini.

Menerusi perspektif dan pandangan hidup Islam terhadap landskap pemikiran moden inilah para pemikir Islam seperti Sayyed Hossein Nasr mengatakan bahawa generasi muda Islam perlu mengetahui secara mendalam agama dan akar budaya mereka dan perlu pula memahami ciri dunia moden kini dari perspektif Islam. Di dalam tulisan beliau, A Young Muslim’s Guide to The Modern World, Sayyed Hossein Nasr menyatakan bahawa umat Islam sama ada generasi muda atau dewasa, tidak mungkin dapat survive sebagai Muslim secara individu atau sebahagian dari sebuah tamadun gemilang dan umat nabi Muhammad SAW sekiranya tidak dapat menangani cabaran yang dihadapkan oleh dunia moden kepada mereka. Mereka perlu memahami dunia moden kini dengan mendalam dan secara bijak, dan menangani perubahan dan cabaran tanpa pengaruh emosi, tetapi di atas asas ilmu yang sahih dan benar tentang dunia moden ini bersandarkan tradisi keilmuan Islam secara menyeluruh.

AGENDA PENGANTARABANGSAAN DAN ADVOKASI MASSA

Muktamirin-muktamirat sekalian,

Menyingkapi kepantasan yang bakal terjadi, merenungi perubahan yang sedang berlaku, ianya seakan terdapat terlalu banyak cabaran yang harus kita hadapi dan tangani. Namun harus juga kita sedar bahawasanya terdapat banyak peluang dan jaringan yang boleh dimanfaatkan dalam peringkat lokal, peringkat serantau dan peringkat antarabangsa. Metode pergerakan kita juga harus ditambah baik untuk mengikuti trend kelajuan semasa tanpa mengorbankan prinsip-prinsip yang kita imani. Kelajuan pergerakan kita yang akan menentukan kerelevenan kita pada masa mendatang. Justeru itu, sangat penting bagi kita untuk berfikiran futuristik dalam perancangan strategik semasa.

Dewasa kini, kita juga sedang melihat kemunculan gabungan-gabungan baru seperti perbincangan kerjasama ASEAN-EU dan ASEAN-UN ataupun pertubuhan blok ekonomi baru seperti Brazil - Russia - India - China - South Africa (BRICS). Terdapat banyak inisiatif baru yang ditubuhkan yang boleh dimanfaatkan oleh gerakan setempat seperti PKPIM untuk membantu mengolah pergerakan kita pada zaman yang baru ini. Di samping itu, jaringan sedia ada seperti jaringan antarabangsa; Union of NGOs of the Islamic World (UNiW) dan World Assembly of Muslim Youth (WAMY), jaringan serantau; Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT), Regional Islamic Da’wah Council of Southeast Asia & the Pacific (RISEAP) dan International Islamic Federation of Student Organisations (IIFSO), dan jaringan setempat; Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), KESATUAN, dan Friendship Group of Interfaith Services (FGIS), harus dijalin dan diperkuat semula hubungan bersama-sama dengan mereka. Gerakan setempat yang lain seperti Gabungan Mahasiswa Islam (GAMIS), Persatuan Belia Harmoni (HARMONI), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Persatuan Sosialis Malaysia (PSM), dan gerakan-gerakan lain, yang sifat dan perjuangannya seiring dengan apa yang kita perjuangkan, harus juga kita santuni dengan rapat.

Zaman ini merupakan zaman di mana jalinan kerjasama dan jumlah perhubungan yang dimiliki itu akan menjadi satu ukuran. Pergerakan individu atau pergerakan minoriti tidak akan mendapat tempat dan melaksanakan perubahan yang substantif pada zaman yang serba pantas ini. Oleh sebab itu, kita harus perkuat jaringan yang sedia ada, dalam masa yang sama cuba mencari ruang dan peluang baru untuk memperluas jaringan kita. Perkongsian jaringan juga harus digalakkan dalam kalangan Badan Gabungan Negeri mahupun Kampus PKPIM kerana ini akan merancakkan lagi pertumbuhan kalian di lokaliti masing-masing. Tidak kita lupa juga jaringan sedia ada WADAH-ABIM-PKPIM seperti Pusat Infaq WADAH (PIW), Global Peace Mission (GPM), Malaysia Lifeline for Syria (MLLFS), Jaringan Rohingya Education Centre (JREC), Institut Darul Ehsan (IDE), Hospital Pakar Al-Islam, Islamic Outreach ABIM (IOA), Koperasi Belia Islam (KBI), SERI dan SEMI ABIM, Yayasan Takmir Pendidikan (YTP), dan banyak lagi yang boleh dimanfaatkan untuk berikan latihan pada ahli-ahli PKPIM sama ada yang baru mahupun yang lama.

Dalam kita hendak beraksi di arena antarabangsa, dan untuk menjadi “big player” di arena tersebut, kami sarankan beberapa langkah ini:
1. Perkukuh jaringan sedia ada sepertimana yang dinyatakan di atas. Harus diteliti semula kerelevenan setiap jaringan dalam mencapai “target” yang disasarkan.
2. Mengadakan latihan bagi yang berkebolehan dan berpotensi. Harus ditapis yang ingin dilatih. Jangan dilatih kelompok yang bersikap individualistik dan narsistik. Dalam masa yang sama, tidak semua yang punya kebolehan dan kemampuan untuk beraksi di pentas antarabangsa.
3. Mewakilkan yang betul-betul sudah dilatih. Yang mewakili akan membawa nama gerakan kita. Jikalau dihantar yang belum bersedia dan tidak terlatih, akan terjadi antara dua; Memalukan nama gerakan atau tidak mendapat manfaat daripada aktiviti antarabangsa yang disertai.

Sahabat-sahabat seperjuanganku sekalian,

Dalam kita mencari definisi bagi perkataan “massa”, yang semakin sering diguna pakai untuk menjustifikasi perbuatan dan tindakan, bagus juga jika kita melihat definisi yang diberikan oleh José Ortega y Gasset, “The mass is the average man” terjemahannya “massa itu adalah manusia biasa”. Dari sini harus kita perbetulkan bahawa setiap tindakan dan gerakan kita, harus untuk masyarakat umum, kepada masyarakat umum, dan permasalahannya timbul daripada masyarakat umum. Setiap masyarakat pula terdiri daripada dua kelompok utama; 1) Minoriti 2) Massa, yang saling melengkapi antara satu sama lain. Kelompok minoriti punyai kuasa dan kemampuan untuk menentukan dasar dan hala tuju untuk sesuatu masyarakat. Manakala kelompok massa pula punyai hak dan kekuatan tenaga untuk menyuarakan apa yang sepatutnya dilakukan mengikut kepada konteks sosioekonomi dan kebudayaan setempat. Daripada ini dapat kita lihat bahawa kecelaruan sebenarnya berlaku tatkala kelompok minoriti menyalahgunakan kuasa yang mereka punya dan kelompok massa pula menyalahgunakan hak mereka untuk memperoleh apa yang mereka mahukan. Apa yang masyarakat global mahukan sekarang ini? Kurangkan lontaran-lontaran retorika dan perbanyakkan kerja-kerja kebajikan untuk menaik taraf tahap sosioekonomi masyarakat setempat. Pasca daripada kenaikan taraf sosioekonomi baru boleh dibincangkan untuk perubahan dan pengamalan budaya yang lebih bermanfaat.

Kenapa kami anjurkan khusus kepada sosioekonomi? Kerana seperti yang dinukilkan di perenggan-perenggan atas, kebanyakan masyarakat dunia sekarang hidup dalam serba kekurangan. Ada yang punya wang, tapi tidak punya kenderaan. Ada yang punya kenderaan, tapi tidak punya tempat kediaman. Ada yang punya tempat kediaman, tapi tidak punya wang pula. Jadi masyarakat sekarang sangat tersempit dengan keadaan sosioekonomi mereka sehinggakan mereka hanya mampu mengimpikan kekayaan yang dilihat di drama-drama sahaja. Dalam masa yang sama, harus kita telusuri semula hasil kejayaan senior-senior kita pada zaman dahulu kala, dengan kerjasama beberapa pihak yang lain, dalam memperjuangkan isu-isu nasional dan berjaya melakukan perubahan yang bersifat “permanent” atau kekal. Antara yang menjadi fakta sejarah merupakan pemakaian tudung yang dimulakan oleh Allahyarhamah Prof Dr Khalijah Salleh, Setiausaha Wanita ABIM (Ketua Helwa ABIM), 1973-1974, yang sehingga kini menjadi satu kebiasaan dan sudah menjadi satu perindustrian. antara lain termasuklah pemansuhan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012 yang bermula pergerakannya daripada tahun 2002 sehinggalah tahun pemansuhan. Sekarang ini PPSMI sudah diberi nafas baru dengan nama Dual-Language Programme (DLP) dan ini wajar untuk kita tantangi dengan penuh strategis.
Contoh di atas merupakan antara contoh yang banyak perubahan kekal yang berjaya dilakukan oleh senior-senior kita. Pada masa kini, adalah satu keperluan untuk kita menilai semula pergerakan kita dan memastikan bahawa setiap aktiviti berskala besar yang dilakukan adalah diniatkan untuk perubahan:

1. Perkampungan Menara Gading (PMG) harus dinilai semula fokus dan matlamat penganjuran. Jikalau hanya dianjurkan sekadar memenuhi almanac tahunan, lebih baik tenaga itu difokuskan untuk menembusi sekolah-sekolah yang ada di lokaliti masing-masing. Agenda PMG harus diteliti dengan lebih terancang supaya kaderisasi yang dihasilkan memberikan dampak positif kepada gerakan.
2. Kita harus lebih banyak buat aktiviti lapangan dan turun ke masyarakat untuk lihat realiti yang sedang berlaku dalam kita mewaspadai gerakan-gerakan yang cuba menafikan kewibawaan gerakan-gerakan Islam.
3. Pergerakan harus disusun dengan lebih kemas dan diselarikan. Buat sekadar yang termampu, dan sentiasa berusaha untuk menambah baik daripada aktiviti yang sebelum dan budaya selalu merujuk harus dihidupkan semula.
Kami yakin dan percaya, dengan potensi yang ada pada ahli-ahli PKPIM semasa, hasil daripada penggemblengan tenaga yang padu, kita mampu untuk melakukan perubahan drastik dan kekal - moga-moga perubahan untuk ke arah kebaikan - yang akan kita warisi pada pelapis kita kelak.

PENDIDIKAN DAN PEMBINAAN GENERASI

Education should aim at the balanced growth of the the total personality of Man through the training of Man’s spirit, intellectmthe rational self, feelings and bodily senses. Education should therefore cater for the growth of man in all aspects : spiritual, intellectual, imaginative, phsyical, scientific, linguistic, both individually and collectively and motivate all these aspects towards goodness and the attaintment of perfection.
(Recommendations of First World Conference on Muslim Education 1977)

Dunia kini sedang menghadapi krisis kemandulan pendidikan, tidak lagi membina elemen keinsanan dan membangun potensi diri secara holistik sebaliknya terperangkap dalam dilema bebanan pencapaian berdasarkan muntahan ilmu di atas kertas dan diukur berdasarkan grad pencapaian. Pendidikan dilihat sebagai suatu perkara yang membebankan, punca kepada stress dan tekanan dan membawa maut (bunuh diri). Sampai bila pendidikan kita harus mendera nilai keinsanan sedangkan pendidikan yang sebenarnya adalah bertujuan membangun pertumbuhan seimbang dalam personaliti manusia sebagai makhluk yang punyai emosi dan perasaan.

Ditambah dengan rempuhan gelombang Revolusi Perindustrian Keempat yang dikenali sifatnya menggabungkan elemen teknologi sehingga mengganggu ruang lingkungan fizikal, digital dan biologi. Begitu juga dengan jangkaan pendidikan masa depan yang lebih menfokuskan kepada STEM (Sains, Tekonologi & Matematik) dan teknikal-vokasional yang akan mengenepikan pendidikan berasaskan social science dan liberal arts sekaligus mendampakkan krisis de-humanisasi (nyah insanan) mengakar dalam kalangan manusia sejagat. Tidak harus dinafikan perkembangan artificial intelligence (AI) yang dijangka terus pesat berkembang yang mampu menggangu ekologi pendidikan manusia.

Perkara ini dibimbangi mengiakan telahan Professor Harry R. Lewis lewat karya beliau Excellence Without Soul yang menggambarkan kekecewaan beliau terhadap institusi Harvard yang dilanda krisis pendidikan yang kehilangan nilai kejiwaan manusiawi.

Pendidikan Keinsanan

Pendidikan harus diberi nilai keinsanan! Saranan dan komitmen Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh yang berusaha memanusiakan pendidikan di era Revolusi Perindustrian Keempat haruslah disambut baik dan disokong secara bersama. Keperluan untuk golongan intelektual dan akademik universti untuk sama-sama merangka sebuah road-map pendidikan yang mempunyai nilai keinsanan harus disegerakan.

Adaptasi baharu sistem pengajian tinggi negara seperti kewujudan sistem I-CGPA yang berusaha menilai pencapaian pelajar berasakan lapan nilai holistik iaitu knowledge, practical skills, social skills and responsibility, ethics and values, communication, problem solving, information management dan entrepreneurship. Juga tidak dilupakan komitmen Presiden UIAM, Tan Sri Dato Sri Utama Dr Rais Yatim melalui pembentukan silibus “BUDI” di UIAM sebagai antara nilai tambah buat mahasiswa dalam membangunkan karakter keinsanan.

Latar institusi pengajian tinggi negara harus bertunjangkan universiti sebagai pusat penyempurnaan insan sebagaimana ditegaskan Dato’ Dr Siddiq Fadzil lewat Pidato Kependidikan sempena Konvokesyen ke-19 Kolej Darul Hikmah ,

Institusi ini harus memikul tanggungjawab melaksanakan pendidikan keinsanan dalam erti pengembalian insan kepada kemurniaan dan keunggulan fitri sebagai makhluk sebaik-baik kejadian (ahsani taqwim) yang dimuliakan Allah (at-takrim al-Illahiy) dengan hembusan ruh penciptaan-Nya. Ia telah diangkat darjatnya dengan hembusan ruh ilahin yang kerananya para malaikat rela sujud menghormatinya.”

Menjadi Ilmuwan Ensiklopedik
Dewasa ini, ledakan maklumat yang pelbagai hingga meruntuhkan autoriti ilmu. Sikap acuh tidak acuh dengan hanya mencari rujukan di internet semata-mata tanpa merujuk kepada sumber berautoriti menyebabkan semakin ramai lahirnya ilmuwan “segera” yang bercakap mengikut selera dan kemahuan mereka dan akhirnya kian mengelirukan Umat. Oleh yang demikian, disiplin ilmu dan penumpuan kepada kepakaran sangat penting di samping kita menyedari bahawa “autoriti ilmu” mesti dipelihara dengan baik. Salah satu ciri penting kesarjanaan ilmuwan Islam adalah ciri “encyclopedic” yang ada pada ilmu mereka. Mereka bukan sahaja mempunyai kefahaman Al Quran dan Al Hadis yang kukuh, Fiqh, Syariah dan lain-lain lagi malah menguasai ilmu-ilmu kontemporari. Penguasaan bahasa yang pelbagai seperti bahasa arab, inggeris, turki dan lain-lain akan menyerlahkan lagi dampak dakwah. Imam Al Ghazali antara tokoh yang menguasai pelbagai bidang. Sarjana Muslim silam juga jelas membuktikan ciri penghayatan pengukuhan tradisi ilmu. Dalam proses pengumpulan hadis sebagai contoh, dilakukan dengan cukup teliti dan diperiksa hingga ke latar belakang perawi-perawinya. Begitulah dalam pengembangan ilmu-ilmu yang lain, ciri terpenting ialah kesediaan menyelidik, membanding, menganalisis, mengasingkan yang benar dan yang tidak benar berdasarkan kerangka Islam dan kemudiannya barulah diterima. Atas sikap inilah para sarjana Islam mampu memanfaatkan ilmu dan teknologi yang telah dicapai oleh Yunani, Parsi dan India tanpa merosakkan asas falsafah yang telah dibina.

Dalam menyoroti hal ini, Almarhum Prof Ismail Faruqi berpendapat bahawa:
Pemanfaatan dan usaha menggali khazanah tamadun masa lampau adalah salah satu cara yang praktis dalam menimba ilmu. Para sarjana Islam sedar akan hakikat hilangnya asas-asas kerohanian dalam tamadun tersebut, tetapi atas kesedaran pentingnya sains yang sedia ada, para sarjana silam cuba memanfaatkannya secara bijak, tidak sekadar menceduknya bulat-bulat seperti yang banyak berlaku sekarang ini dalam kalangan sebahagian sarjana Muslim terhadap tamadun Barat

Bahasa Melayu, Tulisan Jawi dan Bahasa Inggeris

Menguasai bahasa lain memang digalakkan dalam ajaran agama. Namun demikian, kebimbangan dalam kalangan para pencinta bahasa ialah bila mana bahasa sendiri tenggelam disebabkan oleh sanjungan bahasa asing secara keterlaluan. Dr. Hassan Ahmad menyifatkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai dasar adalah satu pengaruh Barat ke atas negara untuk mengikis jati diri masyarakat. Bahasa adalah asas pembinaan tamadun, termasuk tamadun Melayu. Menurutnya, pada hari ini pihak yang menentukan dasar bahasa di Malaysia, misalnya, dengan bangga mengisytiharkan bahawa mereka hendak menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu (dalam Bahasa Inggeris) di rantau ini. Oleh sebab itu, ratusan institusi pengajian tinggi swasta yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya ditubuhkan begitu banyak.Akibatnya segala usaha yang dilakukan sejak 43 tahun untuk membina dan mengembangkan korpus Bahasa Melayu, nampaknya seakan sia-sia sahaja. Korpus ini tidak akan menjadikan bahasa kita sebagai alat pembentuk kemajuan di rantau kita ini jika dasar budaya bahasanya tidak jelas dan tidak tegas.

Berdasarkan pandangan ini, pernahkah kita bertanya, apakah identiti orang Melayu.? Jati diri Melayu terletak pada bahasa dan tulisannya (jawi), namun berapa ramaikah yang boleh membaca dan menulis jawi yang menjadi identiti asas belia remaja Islam?

Dewasa ini, Institusi tahfiz “tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan”. Fenomena ini dilihat suatu yang positif dan wajar diberikan perhatian yang signifikan. Kita dikejutkan dengan kes pembakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang sangat mengusik dhamir kemanusiaan kita. Pelbagai iktibar dan pengajaran yang dapat digarap terutama dalam keseriusan kita dalam pendidikan dan pembinaan generasi. Institusi tahfiz yang semakin mekar tumbuh harus dilihat bukan sekadar pada bilangan semata-mata tetapi mesti juga dilihat daripada aspek kualiti yang diharapkan. Kualiti yang dibina hendaklah seimbang daripada aspek idealisme, intelektualisme, aktivisme dan spirtualisme. Ciri-ciri kebitaraan ini mesti diperhalusi dan diperkemaskan melalui sistem dan pentadbiran yang dijalankan. Kita meyakini bahawa generasi yang berkualiti dan terpilih (sofwah al Mukhtarah) mampu dilahirkan seterusnya tampil berjasa dan memimpin umat. Perkara berkaitan kuantiti sama sekali tidak dikesampingkan.

Usaha yang lebih serius dan pelan yang lebih sistematik mesti terus diberdayakan supaya mampu menghasilkan kuantiti yang ramai dan kualiti yang terbaik. Dalam sebuah kajian ilmiah tulisan Dr Majid Irsan Kailani berjudul “Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Jurusalem ke Pangkuan Islam” salah faham terhadap pemahaman teori kebangkitan dan kejayaan generasi Salahuddin al Ayyubi diberi suatu penilaian semula. Menerusi tulisannya, beliau memperihalkan bahawa kejayaan Jurusalem ditawan generasi Salahuddin dan penyebaran Islam bukan sahaja menjadi asbab daripada kehebatan dan ketokohan Salahuddin dalam menyusun strategi semata-mata tetapi hakikat aturan Allah dalam memberi kejayaan kepada perjuangan Umat Islam. Melalui dampak tarbiyah daripada Imam al-Ghazali setelah beruzlah daripada kerajaan pimpinan Nizam al-Muluk inilah proses kebangkitan yang diharungi menjadi saksi kepada keperibadian generasi itu.

Dalam masa mempersiapkan generasi yang terus bangkit, madrasah tarbiyah dibangunkan dengan iltizam beliau kerana kelemahan Umat Islam pada masa itu akibat fanatisme mazhab dan penyimpangan falsafah. Keruntuhan ekonomi dan masalah batiniah juga menjadi faktor kepada kejatuhan Umat Islam sekaligus menyebabkan kelemahan kepada sosial dan politik ketika itu. Syeikh Abdul Qadir al Jailani menggabungkan madrasah-madrasah dari tanah arab sebagai usaha menyahut seruan itu dari tahun 546H-550H. Generasi muda seperti Salahuddin al Ayyubi dan Nurudin Zenki yang kukuh dan seimbang dari segala aspek datang dari madrasah-madrasah ini yang menjadi tapak kepada suatu pembangunan jiwa kepada kejayaan Islam. Sosok hebat seperti Salahuddin al Ayyubi memberi suatu gambaran kepada keunggulan yang telah bangkit sejak sekian lama.

PKPIM DAN POLITIK SEMASA

Mempersada Politik Kemanusiaan

MPAT 56 PKPIM hadir di tengah kecamukan perhitungan politik dan simpang siur kekalutan dalam negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang dianggap sebagai raja segala pilihanraya. PRU 14 yang dijangka berlaku pada bila-bila masa, dijangka menghantarkan dalam satu kondisi yang dianggap menjadi titik penting kewujudan negara Malaysia dalam merealisasikan wawasan 2020. Kemandulan integriti kepimpinan dalam skandal kewangan terbesar yang melanda pimpinan tertinggi negara, penyalahgunaan kuasa dalam institusi pentadbiran, barah salah laku rasuah pemimpin syarikat berkaitan kerajaan, pembunuhan karakter tokoh oposisi dan pemenjaraan tokoh reformis ke penjara, Saudara Anwar Ibrahim adalah antara coretan sekian banyak isu yang melatari perjalanan politik tanah air pasca pilihan raya umum ke-13. Sang kleptokrat terus tanpa peri kemanusiaan menekan rakyat baik nelayan di Pontian, pesawah di lembah Tanjung Karang hinggakan mahasiswa di universiti menderita dek kerana kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang saban hari terus meningkat. Segala peri laku salah guna kuasa dan krisis yang melanda negara ini mengingatkan kita pada kritikan Lord Acton, sejarahwan dan moralist Inggeris lewat surat beliau kepada Bishop Mandell Creighton pada 1887:
"Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely.”

Kemelut yang berkecamuk dalam negara seakan satu seruan untuk gerakan mahasiswa bersama seluruh ketumbukan rakyat meliputi politikus, sasterawan, budayawan, civil society untuk bersama menggembleng tenaga bagi mempertahan kestabilan negara. Hak rakyat harus dipertahankan dan tiada kompromi jika prinsip keadilan dan kebebasan diragut para politikus. Era “authority know everything is over” telah berakhir dan langkah membangkang tanpa alternatif penyelesaian juga sudah pasti tidak menguntungkan rakyat.

Dr Muhammad Imarah menukilkan “kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan” yang menekan kepentingan meraikan kepelbagaian yang diadun secara harmoni dalam konteks masyrakat plural negara. Idea ini sejajar dengan “politik powersharing” yang mana menekan soal perkongsian kuasa antara seluruh komponen kaum dalam negara ini untuk sama-sama menyumbang dalam usaha memajukan dan menyejahterakan negara. Sentimen perkauman harus dijauhi bagi menjaga kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk dalam negara dengan mengelakkan penggunaan label-label seperti “Kafir Harbi”, “Apa Lagi Cina Mahu” dan apa jua langkah provokatif yang mampu menyuntik bibit perpecahan.

Menjunjung Demokrasi Kerakyatan

Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan menggunakan kaedah pembuangan undi melalui Pilihan Raya Umum (PRU) dalam proses memilih pihak yang bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Proses demokrasi ini harus diambil serius oleh segenap masyarakat termasuklah mahasiswa yang layak mengundi sebagai satu kewajiban dalam mencorak struktur negara ke arah pentadbiran yang lebih baik.

PKPIM berharap medan demokrasi ulung ini tidak dikotori oleh salah laku pilihan raya seperti penipuan undi, kewujudan pengundi hantu dan ketirisan daftar pilihan raya yang sering kali didakwa saat berlakunya pilihan raya. SPR sebagai sebuah badan pilihan raya bebas yang terpelihara di bawah perlembagaan seharusnya memainkan peranan secara adil dan saksama dalam menjalankan amanah sebagai badan yang diberi kepercayaan menyelia urusan pilihan raya.

Seterusnya, PKPIM secara tegas menolak sebarang bentuk politik wang dan salah guna kuasa oleh mana-mana parti politik ketika pilihan raya diadakan. Pemimpin yang punyai rekod tidak bersih seperti rasuah dan terlibat dengan skandal penipuan seharusnya tidak dibenarkan bertanding dan tidak dipilih bagi mewakili suara terbanyak.

Kesedaran pendidikan politik (political education) dalam kalangan rakyat harus meningkatkan pemugaran kefahaman siasah syar’iyyah dan politik maqasidi yang mendalam. Nilai politik berasaskan nilai kemanusiaan dengan meletak prioriti umat sebagaimana dihuraikan secara terperinci Sheikh Dr Ahmad Raisouni lewat karya beliau “Al-Ummah Hiya Al-Asl” sewajarnya menjadi teras utama pemugaran politik baru.

Kebangkitan Suara Mahasiswa

Kebangkitan mahasiswa di Tanah Melayu pada penghujung abad ke-20 telah membawa perubahan besar kepada kesedaran terhadap kepentingan pendidikan dan demokrasi. Kebangkitan mahasiswa ini membawa kepada kemunculan masyarakat belajar (learning society) atau suatu masyarakat ilmu pengetahuan (knowledge society) sehingga membawa kesedaran yang besar terhadap masyarakat tentang kepentingan politik, isu semasa dan hak mereka. Hal ini telah membentuk struktur politik dan kesedaran menguasainya di Tanah Melayu.

Dalam masyarakat ilmu pengetahuan (knowledge society), mahasiswa dianggap sebagai masyarakat yang memiliki integriti dan intelektual yang diharapkan untuk cakna dan peka terhadap isu semasa. Mereka juga dianggap cepat bertindak balas terhadap segala bentuk perubahan sekali gus memberikan jawapan terhadap persoalan yang muncul daripada kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi.Sehinggakan mahasiswa di universiti pada hari ini tidak lagi dianggap sebagai masyarakat yang hanya mendengar dan menonton isu tetapi mampu menjadi masyarakat yang efektif (effective citizenship) yang menjadi pelaku dalam membentuk negara dan tamadun bangsa.

Menganggapi situasi ini, PKPIM merasakan inilah detiknya suara mahasiswa dimartabatkan kembali sebagai independent political force dan kumpulan pendesak di jalur suara ketiga dengan menjunjung tinggi nilai kebenaran dan keadilan demi memastikan segala kerosakan yang berlaku dalam negara tidak tinggal diam. Keterlibatan PKPIM jelas berasaskan prinsip “non-partisan” di mana tidak memihak kepada mana-mana parti politik sewajarnya dijadikan asas penetapan pendirian yang akan dibuat menjelang PRU-14 nanti.

MEMBANGUN WIBAWA PKPIM DI KAMPUS

Lain Lubuk Lain Ikannya, lain padang lain belalangnya, lain gelanggang lain cabarannya
Alang kepalang berbicara soal gerakan mahasiswa, lubuknya harus di universiti. Dalam menjayakan agenda Kebangkitan Islam Jilid 2 yang diangkat secara bersama PKPIM-ABIM WADAH, kami merasakan kebenaran pesanan Ayahanda Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman akan keperluan untuk menjayakan kebangkitan kolektif di semua peringkat. PKPIM berasa terpanggil bagi meretrospeksi semula teras perjuangan di kampus sebagai bukti serius menjayakan gerakan pembaharuan ini.

Kegencaran Dakwah dan Tarbiyah
Dakwah dan Tarbiyah serta pembangunan watak mahasiswa bitara tetap menjadi keutamaan PKPIM dalam apa jua keadaan sekalipun. Pendekatan tarbiyah yang lebih segar haruslah difikirkan secara bersama dalam usaha memperkukuhkan kembali daya juang aktivis PKPIM dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat. Tarbiyah seharusnya memfokuskan penekanan aspek keinsanan dan membangun aktivis berjiwa ummatik yang bukan sahaja mampu memimpin dalam kalangan rakan-rakan sejemaah namun lebih besar daripada itu mempunyai kompetensi memimpin seluruh mahasiswa Islam dalam konteks menyebar risalah dakwah di kampus seluruh negara.

Nilai-nilai teras tarbiyah seperti usrah, tamrin dan pembugaran fikrah jemaah wasatiy harus dikekalkan bagi memastikan kelangsungan karakter generasi yang mampu memimpin tamadun khayra ummah. Usaha ini haruslah menjadi ‘core business’ setiap kampus dalam segenap aspek pergerakan PKPIM di tempat masing-masing.

Pemantapan Institusi Syura Demi Kelestarian Tanzim

Peningkatan jumlah universiti baharu, kemeriahan mahasiswa ke universiti dan penambahan peserta Perkampungan Menara Gading seharusnya dilihat sebagai peluang terbaik bagi PKPIM menjabarkan pengaruh gerakan ke kampus universiti awam mahupun swasta di seluruh negara. Pembentukan organisasi PKPIM secara lestari di kampus-kampus baharu harus disegerakan sebagai bukti komitmen besar PKPIM menjayakan misi ‘Student As The Partner of University Building’. Tanzim PKPIM harus dikukuhkan dengan memperkasa institusi syura di peringkat kampus dengan memanfaatkan peranan senior-senior yang bertugas sebagai ahli akademik mahupun kakitangan universiti bagi memastikan gerakan PKPIM terus bitara dan mekar di kampus seluruh negara.

Kampus Demokrat

Campur tangan keterlaluan elemen kepartian dalam universiti awam merupakan malapetaka besar yang melanda semua kampus di seluruh negara. Malapetaka ini sangat mengecewakan sepertimana yang diungkapkan oleh Dato’ Dr Siddiq Fadzil sebagai “politicing non-partisan institutions” telah meragut idealisme universiti yang seharusnya bebas daripada belenggu kepartian. Oleh itu, pembentukan amalan dan budaya demokrasi sihat di kampus merupakan satu cabaran baru kerana perkembangan teknologi dan perhubungan telah membuka tirai baharu dalam menghakis minat generasi muda terhadap isu politik dan sosial di kampus.

Kampus demokrasi dan pendidikan demokratik adalah komponen yang penting dalam pergerakan progresif di kampus di mana ianya merupakan punca kepada Pragmatism. Demokrasi di kampus tidak hanya terhad kepada prosedur normal seperti perwakilan fakulti atau kelas atau mana-mana perjumpaan yang demokratik, namun ianya merupakan gaya dan cara kehidupan yang terdapat dalam diri masyarakat di kampus. Demokrasi sebenarnya lebih baik dipelajari melalui pengamalan harian dalam kehidupan, hubungan di kampus dan di kelas kuliah. Justeru itu, pembentukan budaya Kampus Demokrasi ini sememangnya memerlukan masa dan pelan tindakan yang efisyen dan teratur bagi membugar budaya ini.

PKPIM mengusulkan Pelan Tindakan Menuju Kampus Demokrat berdasarkan beberapa fasa iaitu fasa pendidikan politik, fasa latihan dan pembangunan, fasa pembentukan budaya dan persekitaran, dan fasa amalan demokrasi di kampus. Fasa pertama memfokuskan usaha membentuk kesedaran terhadap pentingnya politik di kampus. Proses pendidikan politik juga merupakan asas terpenting bagi mahasiswa untuk mengetahui secara dasar apakah pegangan sistem yang diamalkan semasa dan mengembangkan kemahiran abad ke-21. Kepimpinan abad ke-21 mempunyai ciri yang istemewa yang menjadikan pemimpin itu lebih kompeten, berpengetahuan dan punyai kemahiran yang lebih berkesan. Trilling & Fadel (2009) menyatakan bahawa ciri kepimpinan pada abad ke-21 adalah seseorang yang mempunyai fleksibiliti dan kebolehsuaian terhadap suasana dan persekitaran yang baharu. Hal ini adalah bertujuan untuk membolehkan seseorang itu lebih memahami suasana setempat dan membina hubungan terhadap masyarakat sekeliling mereka disamping mampu untuk memandu diri mereka kepada tindakan yang betul. Seseorang pemimpin pada abad ke-21 juga seharusnya mempunyai inisiatif dan self-direction tanpa memerlukan arahan daripada pihak yang berada di otoriti yang tertinggi (Trilling & Fadel, 2009). Trait kepimpinan baharu seperti ini boleh diterapkan dan dikembangkan melalui pendidikan politik yang direncanakan.

Seterusnya adalah fasa latihan dan pembangunan di mana, mahasiswa yang telah mempunyai kesedaran politik akan diberdayakan dengan membangunkan imej dan keterampilan mahasiswa bitara. Pelatihan dan pembangunan ini adalah usaha memperkaya (enrichment) dan memberdaya (empowerment) bakat dan potensi yang ada pada diri mahasiswa. Sememangnya mahasiswa yang akan menyertai politik di dalam dan di luar kampus itu perlu mempunyai imej kepimpinan yang unggul. Mampu untuk untuk berdepan dengan cabaran dan memberikan tindak balas yang sesuai dengan keadaan (challenge and response).

Fasa pembentukan budaya dan persekitaran akan menfokuskan usaha mewujudkan satu kelompok kumpulan yang dikenali sebagai kumpulan minoriti kreatif. Kumpulan minoriti kreatif (creative minority) ini akan membawa kepada perubahan masyarakat majority (Toynbee). Pembentukan masyarakat majoriti melalui gerak kerja yang dilakukan oleh golongan minoriti kreatif ini adalah melalui interaksi sosial dalam kampus. Sosiobudaya ini dibentuk oleh golongan minoriti kreatif akan membawa kepada impak perubahan kognitif dan pelakuan sosial; golongan yang dominan akan membentuk budaya golongan pasif dan seterusnya membina budaya baharu terhadap perkembangan politik kampus.

Amalan demokrasi di kampus akan dapat direalisasikan apabila penglibatan mahasiswa berlaku berasaskan etika dan pelajaran yang telah dilalui oleh mereka melalui fasa sebelumnya. Mahasiswa perlu mempunyai pengalaman dalam memimpin, sama ada di peringkat kampus mahupun nasional. Mahasiswa tidak seharusnya hanya terpaku di legalisasi kampus, bahkan mahasiwa juga perlu cakna dan peduli terhadap isu politik nasional. Politik nasional juga merupakan cerminan kepada politik di peringkat kampus dan sebaliknya.

Universiti memainkan peranan besar terhadap landskap politik di peringkat nasional dimana universiti seharusnya berani berdepan dengan pelbagai isu dan dekat dengan masyarakat. Penglibatan aktif mahasiswa dalam politik nasional ini sememangnya akan memberikan kesan dan tekanan kepada parti pemerintah dalam pelbagai isu urus tadbir, ekonomi, mahasiswa dan sosial masyarakat. Dengan penglibatan aktif mahasiswa ini, tekanan dapat diberikan oleh mahasiswa kepada pemimpin yang memerintah sebagai salah satu langkah semak dan imbang (check and balance) terhadap isu negara dan sebagai memenuhi status mahasiswa sebagai rakan pembangunan negara.

SURVIVAL EKONOMI MAHASISWA

Kini, kita berdepan dengan fenomena “kemunduran ekonomi seiring keruntuhan manusiawi”. Frasa “mahasiswa lapar” antara yang sering kedengaran di telinga kita. Dalam kegigihan belajar menuntut ilmu, bebanan kewangan ini mengheret mahasiswa untuk melakukan pelbagai kerja demi “survival” mereka di universiti. Beberapa cadangan yang kami lihat boleh dilakukan sebagai alternatif mengurangkan bebanan ini. PKPIM perlu berusaha meluaskan kempen kesedaran tentang keperluan berjimat cermat kepada para mahasiswa.

Selain itu, projek MBM in Business (MIB) yang digerakkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) perlu disahut dan dilaksanakan sebagai medan pelatihan terbaik dalam bidang keusahawanan. Generasi “startup” boleh dibentuk dalam menjayakan inovasi sosial menjadi realiti.

Bengkel dan seminar pengurusan kewangan yang berkesan boleh diadakan untuk membantu dan membimbing anak muda dan mahasiswa menguruskan kewangan dengan baik. Kita memahami realiti kesukaran ini, dan harus berganding bahu menyediakan solusi yang sesuai dan bijak.

PEMBERDAYAAN HEWI

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
(Surah al-Nisa’ Ayat 1)

Maksud Firman Allah SWT di atas menunjukkan Allah menjadikan manusia lelaki dan perempuan bermula dari tanah kemudian dijadikan dari rusuk kiri Adam dan kemudian darinya berkembang biak ke seluruh alam dengan berbagai warna dan rupa. Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas diterangkan bahawa bahagian diri Adam yang dijadikan untuk tubuh isterinya ialah satu dari tulang rusuknya. Namun, apa yang perlu ditekankan di sini jelas tercipta perbezaan antara lelaki dan wanita baik dari rupa bentuk, tanggungjawab dan pembahagian tugas dalam kehidupan ini. Tidak dapat dipertikai bahawa perbezaan ini adalah sunnatullah yang tidak boleh ditolak dan diubah.

Jika kita telusuri kedudukan wanita sebelum kedatangan Islam sama ada di peradaban Rom, Greek, Yahudi dan zaman jahiliyyah, wanita dipandang sangat rendah, hina dan terbiar dalam masyarakat. Yunani meskipun dikatakan mempunyai peradaban yang tinggi dalam bidang falsafah tetapi kaum wanita diperlakukan seperti barang dagangan. Bermula zaman Rasulullah SAW lagi, telah kedengaran suara-suara lantang yang menuntut supaya diberikan beberapa hak, keistimewaan dan peluang yang sama kepada kaum wanita. Perkara ini dirakamkan dalam suatu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ibni ‘Abdul Bar yang menceritakan bagaimana suatu ketika Asma’ Yazid Assakani seorang mujahidah yang memiliki keperibadian yang kental dan dipercayai oleh kaum muslimah, mewakili kaum wanita untuk melafazkan cetusan rasa kurang puas hati kaum wanita terhadap persoalan penglibatan dan ganjaran memperjuangkan Islam.

Di Barat, wanita terdorong untuk bangkit lantaran rasa tersisih dan tertekan dalam masyarakat. Disebabkan itu, beberapa pihak didesak dengan tuntutan untuk membebaskan diri dari apa yang dianggap sebagai situasi yang mengongkong perkembangan peribadi wanita dan pemupukan hasrat mendapatkan hak dan peluang yang lebih bagi perempuan dalam semua sektor kehidupan. Penonjolan idea emansipasi oleh tokoh-tokoh wanita tempatan sendiri menjadi pembuktian masyarakat kita terpengaruh dengan gerakan pembebasan wanita di Barat lantas menyerupai kehidupan wanita-wanita di Barat. Sejarah telah menggambarkan bahawa wanita telah dipergunakan untuk menegakkan sesuatu ideologi. Klara Zelkin, seorang sosialis German telah membuat suatu doktrin bahawa, “real freedom for women is possible only through Communism”. Wanita telah digunakan sebagai agen untuk merubah sejarah bangsa dengan menegakkan ideologi Komunis. Selain itu, menerusi penulisan-penulisan Mary Wollstonecraft (A Vindication of the Rights of Women) dan John Stuart Mill (The Subjection Of Women) telah memperlihatkan perjuangan membebaskan wanita telah menerima galakan yang istimewa. Islam ialah agama yang memberi kebebasan akan tetapi pembebasan yang dianjurkan oleh Islam mempunyai pengertian yang khas.

الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah Al-Taubah Ayat 71)

Ayat ini jelas memaparkan bahawa setiap wanita Islam harus menjadi manusia yang memiliki peranan dalam masyarakat. Wanita Islam mestilah menjadi wanita mujahidah, juga wanita harakah yang sentiasa bersedia menyahut panggilan perjuangan demi masa depan Islam dan cita-cita Islamiyyah. Namun begitu, sejauh mana wanita Islam mampu menggerakkan agenda besar ini dan menggerakkan usaha-usaha dakwah, amar makruf dan nahyi ‘ani al-munkar? Wanita yang mempunyai cita-cita dan idealisme yang jelas tidak akan memberi alasan mengapa mereka tidak boleh mengikut pejuang-pejuang wanita pada zaman Rasulullah yang menanggung perit dan pedih semata mata untuk memperjuangkan agama Allah SWT.

Dalam mendepani arus globalisasi yang kian mencabar kini, Majlis Hal Ehwal Siswi Kebangsaan (MHK) mengambil pendekatan untuk mengakar dalam masyarakat. Hewi PKPIM telah menggerakkan beberapa produk dan projek bagi memberdaya ahli Hewi PKPIM di samping usaha dalam menangani isu sosial yang semakin membarah dalam negara. Wanita sendiri berperanan dalam membasmi masalah keruntuhan akhlak. Justeru, Remaja Sahsiah Berkualiti (ReS-Q) merupakan produk HEWI PKPIM yang memberi penekanan terhadap masalah sosial serta keselamatan remaja secara jasmani dan rohani. Modul ResQ telah dimurnikan menggunakan konsep Rabbani dan Qur’ani yang lebih diperlukan oleh generasi masa kini. ReS-Q telah berjaya dilaksanakan di beberapa buah sekolah dan diharapkan program ini dapat disampaikan kepada masyarakat dengan cara yang paling berhikmah dan terbaik.

Seterusnya projek Ketika Hewi Berbicara (KHB) mensasarkan untuk tampil dan memperlihat sosok keyakinan para Hewi PKPIM berbicara di khalayak ramai. Kemahiran pengucapan awam ini merupakan salah satu kemahiran yang amat diperlukan oleh setiap ahli PKPIM terutamanya muslimah dalam melontarkan hujah, pandangan, serta idea dalam setiap perkara. Selain itu, KHB adalah ruang melahirkan Hewi yang responsif akan isu semasa negara. Gelombang KHB yang pertama telah disambut baik oleh semua Kampus dan Badan Gabungan Negeri.

Tidak dapat dinafikan lagi, tugas memperkasa masyarakat bukan sahaja tugas eksklusif mana-mana pihak, tetapi adalah tugas yang perlu dijalankan peranannya secara bersama. Hewi adalah komponen yang penting dalam gerakan PKPIM secara keseluruhannya sama ada di hadapan atau belakang tabir. Sebaliknya, betapa besar dan kecilnya peranan wanita dalam membentuk sejarah sesuatu ummah itu bergantung kepada peranan dan peluang yang diberikan kepada wanita. Wanita harus melibatkan diri dalam kerja-kerja menyusun Tanzim, Jama’ah, , Jihadiyah dan sebagainya. MHK mengharapkan Hewi di peringkat Kampus mahupun Badan Gabungan Negeri mampu bergerak secara kolektif dalam menggerakkan projek dan produk MHK. Hasrat MHK adalah untuk melihat sosok kepimpinan ahli siswi semakin diberdayakan sehingga keberadaannya dirasai . Justeru itu, sebagai sebuah gerakan pelajar yang unik dan besar di Malaysia, peranan Hewi PKPIM yang lebih dinamik dan proaktif akan memberikan kesan yang besar kepada PKPIM khususnya. Dengan itu juga, pemberdayaan Hewi dari segenap sudut perlu dipergiat lagi bagi merealisasikan misi kebangkitan Islam Jilid kedua. Pemberdayaan yang dimaksudkan ialah bagaimana potensi Hewi dapat digembeling sepenuhnya dari aspek idealisme, intelektualisme, aktivisme dan spiritualisme.

MUHASABAH GERAKAN

Antara sikap terpuji bagi sang pejuang ialah sedia mengakui kelemahan dan sedia memaafkan kesalahan orang lain. Perjalanan panjang dalam perjuangan dakwah memerlukan sang pejuang senantiasa bermuhasabah dan menilai prestasi “amal islami” seharian agar ada peningkatan untuk lanjutan hari-hari seterusnya. Kita sedar bahawa kewujudan keluarga besar jamaah WADAH-ABIM-PKPIM membentuk kekuatan antara setiap generasi. Walau bagaimanapun, kita harus senantiasa punyai inisiatif untuk menyampaikan kefahaman yang tepat tentang peranan ketiga-tiga entiti gerakan ini terutama kepada generasi baharu dan yang baru mengenali jamaah. Kefahaman yang sebenar sangat penting supaya mereka menghargai dan memahami aspirasi sebenar yang diperjuangkan oleh WADAH-ABIM-PKPIM terutama dalam realiti semasa yang kian rencam.

Kita harus meyakini potensi, keupayaan dan bakat setiap ahli kita. Mengakui kelemahan sesuatu perkara adalah sikap yang terpuji tetapi janganlah terlalu membicarakan kelemahan seolah-olah tiada harapan sedangkan kita meyakini sinar kebangkitan akan terus menyala. Manfaatkan setiap kepakaran antara kita sebaik mungkin untuk menatijahkan kebitaraan dalam bidang-bidang yang difokuskan. Ayuh kita menghimbau perjalanan hidup seorang tokoh, Malcolm X yang bermula daripada seorang penjenayah dan pelbagai gelaran buruk yang dihalakan kepadanya, tetapi dengan sinar Islam dan kesantunan pendakwah yang datang kepadanya berjaya membentuk karakter beliau sebagai seorang yang sangat komited dengan ajaran Islam dan menjadi teladan Islam Rahmatan Lil ‘Alamin dalam lingkungan masyarakatnya.

Berdepan dengan pelbagai ujian dalam dakwah, penat lelah dan sebagainya, yakinlah bahawa itu semua adalah lumrah bagi kehidupan seorang pendakwah. Oleh yang demikian, yakinlah dengan janji-janji Allah agar kita terus bersemangat dan tidak lesu di medan yang teruji.

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
(Surah al-Taubah Ayat 111)

Keseriusan dalam hal pendidikan dan keilmuan perlu dititikberatkan. Ini memberi kesan besar kepada generasi penerus perjuangan sebagai bekalan dan persiapan mendatang termasuk menjawab persoalan-persoalan yang melingkari umat. Budaya membaca secara kritis dan analitikal perlu dilakukan dengan lebih serius. Pentarbiyahan generasi juga antara sesuatu yang bersifat proses jangka masa panjang. Kita mesti menyedari bahawa yang dididik dan ditarbiyah itu adalah manusia dan proses memanusiakan manusia perlukan kesabaran, kecekalan dan keikhlasan. Para Nuqaba’ yang memimpin ahlinya perlu berjiwa besar, tidak mudah kecewa dan tidak berputus asa untuk terus komited walaupun berdepan dengan pelbagai ujian. Berbekal dengan iltizam, semangat yang jitu dan perencanaan yang lebih tersusun, agenda mencetak kader dan generasi penerus dakwah akan dapat dihasilkan dengan terbaik.

Akhlak dan adab melambangkan karakter kita sebagai seorang pendakwah. Dalam berdepan perbezaan pandangan perlu diurus dengan bijaksana. Almarhum Syeikh Taha Jabir al Alwani dalam bukunya “Adab al Ikhtilaf fi al Islam” merumuskan beberapa etika perbezaan pendapat. Antarnya ialah:

1. Sikap positif terhadap perbezaan pendapat terutamanya yang bersifat ta’wil.
2. Sentiasa mengamalkan sikap berbaik sangka (husnu al dzan) dan mengelak budaya taksub.
3. Menggunakan perkataan yang baik, mengelakkan perkataan yang kasar dan meneliti satu-satu pemikiran dengan cermat.
4. Mengutamakan prinsip taqwa dan ukhuwah sebagai dasar tradisi ilmu.
5. Ahli ilmu dalam bidang masing-masing saling hormat menghormati antara satu sama lain.
6. Ulama salaf yang berwibawa dalam ijtihad sentiasa dimaafkan oleh rakannya apabila pandangannya kurang diyakini atau berlaku kesilapan.

AYUH BANGKIT, PERJUANGAN MASIH PANJANG!

Menyahut Seruan Motivasi Surah al Muzzammil dan Surah al Muddaththir
Pejuang harus mempersiapkan jiwa dan raga dalam mendepani cabaran, mehnah dan tribulasi dalam perjuangan. Pertautan hati dengan Allah SWT sangat penting dalam membentuk karakter dai’e yang mempuyai kekuatan spiritual yang padu. Ayuh kita bangkitkan jiwa dengan memaknakan seruan ilahi dalam surah al Muzzammil:


يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡمُزَّمِّلُ
قُمِ ٱلَّيۡلَ إِلَّا قَلِيلٗا
نِّصۡفَهُۥٓ أَوِ ٱنقُصۡ مِنۡهُ قَلِيلًا
أَوۡ زِدۡ عَلَيۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا
إِنَّا سَنُلۡقِي عَلَيۡكَ قَوۡلٗا ثَقِيلًا
إِنَّ نَاشِئَةَ ٱلَّيۡلِ هِيَ أَشَدُّ وَطۡ‍ٔٗا وَأَقۡوَمُ قِيلًا

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
(Surah al-Muzzamil, Ayat 1-5)

Kita tidak melupakan juga bagaimana motivasi dan seruan kebangkitan dalam surah al Muddaththir termasuk seruan bangkit dari rasa lemah, rasa hilang motivasi dan rasa serba kekurangan dalam kehidupan. Seruan untuk bangkit dan memberi “peringatan” ini memperlihatkan bahawa seorang pejuang dan pendakwah itu mesti bersungguh-sungguh menghidup dan mengimarahkan waktu siang dengan rutin ibadah sebagai khalifah yang berjasa. “Ruhban fi al Lail Wa Fursan Fi al Nahar”- umpama rahib di malam hari, kuda yang gencar di siangnya”. Semoga kita tetap teguh dengan prinsip, pendirian dan jati diri yang teguh berjuang dalam medan, mengikhlaskan diri setulus dan setelusnya kepada Allah SWT.

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ (١)قُمْ فَأَنْذِرْ (٢)وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ (٣)وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ (٤)وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ (٥)

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
(Surah al- Muddaththir, Ayat 1-5)

Tekad Menjadi Pejuang Subuh Sejati

Sekarang kita telah jelas bahawa hanya orang yang berjaya mengalahkan musuh batinnya sahaja (syaitan dan hawa nafsu) akan diberi kekuatan dan bantuan oleh Allah bagi mengalahkan musuh zahirnya (Yahudi, Nasrani dan orang munafik). Inilah kunci kejayaan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda serta para pejuang Islam terdahulu menewaskan musuh-musuh Islam. Mana mungkin umat yang gagal mengangkat selimut untuk bangun subuh secara berjemaah mempunyai kemampuan untuk mengerahkan tenaga dan seluruh upayanya untuk membangunkan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara?

Ironinya, ramai dalam kalangan Umat Islam pada hari ini begitu bersemangat membakar bendera Yahudi, bertempik-tempik mengutuk Israel, mengeluarkan pelbagai resolusi dan memorandum untuk menyatakan kemarahan kepada pihak Zionis, tetapi lemah dan tidak berdaya menzahirkan
keseriusan mereka melaksanakan solat subuh secara berjemaah.Tindakan itu bukan sahaja kurang berkesan untuk menggerunkan musuh, malah tersasar daripada tertib perjuangan Islam seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW dan para sahabat.
Sepatutnya, agenda menggerakkan Umat Islam untuk melaksanakan Subuh secara berjemaah, kemudian berdoa beramai-ramai atau bersendirian dengan penuh rasa tawaduk, khusyuk, khauf (takut) dan raja’ (harap) kepada Allah pada waktu dinihari dan awal pagi, lebih diutamakan daripada program-program yang lain. Ya, tidak salah menyatakan kemarahan di hadapan musuh Islam dan dunia antarabangsa atas kezaliman mereka terhadap saudara seagama, tetapi dahulukanlah pengaduan dan pengharapan kita kepada Allah Yang Maha Esa.

Dr Raghib al Sirjani, penulis buku Misteri Solat Subuh menukilkan pemerhatiannya ketika berada di Amerika. Beliau menulis: “Sewaktu di Amerika, semasa pergi dan pulang dari masjid selepas solat subuh, sekitar jam enam pagi, di jalan-jalan utama telah dipenuhi kereta. Mereka itu orang Kristian, Yahudi, dan Atheis. Jumlahnya tidak sedikit. Mereka bangun untuk kehidupan dunia, bersamaan waktu solat subuh. Hajat kemanusiaan mampu mendorong mereka untuk bangun awal pagi. Namun mengapa seorang Mukmin tidak mahu mengerah segenap potensinya untuk menyamai mereka bangun pada awal pagi?”

Nampaknya semangat untuk bangun mengerjakan solat subuh berjemaah dalam diri umat Islam telah dikalahkan oleh semangat inginkan kesihatan, kekayaan dan keceriaan hidup oleh bukan Islam. Dr Raghib al Sirjani menulis lagi: “Mereka (bukan Islam) bangun awal pagi supaya anjing mereka boleh dibawa berjalan bagi menghirup udara segar. Bayangkan kerana cinta akan anjing, mendorong pemiliknya untuk bangun awal pagi, sedangkan cinta akan Allah tidak mendorong hambaNya untuk bangun awal pagi?” Realitinya, Umat Islam kini semakin lupa tentang apa yang pernah dikatakan oleh Saidina Umar: “Hakikatnya kita tentera Islam dimenangkan Allah kerana dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera kafir, tetapi sekirannya kita turut berdosa sama dengan mereka, di manakah kekuatan kita?” Carilah kekuatan di sebalik solat subuh. Umat yang menjaga solat subuh akan teguh. Sesungguhnya antara rahsia kekuatan ummah ada pada solat Subuh berjemaah.

KHATIMAH

Setinggi ucapan terima kasih kepada teman-teman seperjuangan menghadirkan diri dengan semangat juang, mengorbankan sesuatu semata-mata untuk berperanserta dalam agenda jamaah yang sangat bererti ini. Marilah sama-sama kita rapatkan dan memperteguhkan saf PKPIM untuk terus berdaya saing, berdaya juang dan berdaya tahan dalam perjuangan kudus ini demi merealisasikan masa depan Islam yang lebih gemilang.

Terus berjuang, terus bitara, terus berjasa!

Hidup Biar Berjasa!


Selamat bermuktamar! Allahu Akbar!

No comments:

Post a Comment