Saturday, February 24, 2018

Al Qaradawi: HENTIKAN PEMBUNUHAN DI GHUTAH SYRIA!





الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومَن اتبع هداه، وبعد:

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam keatas Rasulullah serta ahli keluarganya dan para sahabatnya beserta mereka yang mengikuti petunjuk yang dibawa baginda.


Kami di Kesatuan Ulama Sedunia amat kesal dengan tahap getir dan keadaan parah yang sedang dialami oleh umat Arab dan Islam. Penduduk Ghutah di timur Damsyik  dibunuh beramai-ramai dengan senjata serta cara yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Peristiwa ini didalangi oleh rejim zalim Syria beserta pihak-pihak luar yang bersekongkol dengan mereka yang terdiri daripada Rusia serta sekutu yang mempunyai kepentingan tersendiri. Mereka yang terkorban itu adalah rakyat Syria, rakyat Arab, orang Islam, rakyat biasa yang tidak bersenjata, dan di kalangan yang terkorban terdiri daripada kanak-kanak, wanita, dan warga tua. Ratusan terbunuh setiap hari, dan rumah-rumah dihancurkan serta bangunan-bangunan runtuh menghempap penghuni-penghuninya. Tiada yang tampil sebagai penyelamat mereka, tiada yang dapat mengeluarkan mereka dari tragedi ini, bukan kita dan bukan selain kita, tiada tempat untuk meminta pertolongan kecuali kepada Allah swt.

Mereka yang ikhlas di kalangan umat ini beserta mereka yang masih mempunyai saki baki sifat kemanusiaan hanya mampu mengutuk dan mencela, meluahkan perasaan marah dan berdoa ke atas pelaku jenayah yang keji ini, yang telah melakukan massacre (al-majzarah al-murawwa’ah al-mustamirrah) pembunuhan beramai-ramai yang sangat mengerikan lagi berterusan hingga ke saat ini.

Sesungguhnya Islam sememangnya mengiktiraf dan mengangkat nusratal mazlum yakni tindakan menolong orang yang dizalimi dan menolong mereka yang lemah serta mencegah kezaliman yang dilakukan penzalim sebagai sesuatu yang wajib dalam hukum syarak, bahkan ianya juga wajib dari sudut akhlak setiap agama dan bagi setiap masyarakat yang terbina atas nilai-nilai murni dan mulia yang memelihara harkat tertinggi tidak kira samada yang dizalimi itu Muslim atau bukan Muslim. Allah swt berfirman :-

فَلَوْلَا كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِنْ قَبْلِكُمْ أُولُو بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الْأَرْضِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّنْ أَنْجَيْنَا مِنْهُمْ ۗ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا مُجْرِمِينَ


Maka mengapa tidak ada dari umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada (mengerjakan) kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa” (Surah Hud ayat 116)

Al-Barra’ ibn ‘Azib r.a., seorang sahabat Rasulullah pernah meriwayatkan bahawa baginda memerintahkan para sahabat untuk menolong orang yang dizalimi.


Maka kami dari Kesatuan Ulama Sedunia ingin menekankan dan menegaskan perkara-perkara berikut:-

1- Kami amat menghargai perjuangan dan terharu serta menyokong dengan ketabahan dan kecekalan rakyat Syria. Kecekalan inilah juga telah diperjuangkan oleh bangsa Syria pada zaman dahulu ketika rejim Mongol yang zalim mengganas dan menindas mereka pada waktu rakusnya tentera Mongol melakukan penganiayaan tanpa mempedulikan atau ada sebarang keprihatinan terhadap syarak, undang-undang mahupun perjanjian antara negara dan kerajaan.

2- Kami menyeru kerajaan-kerajaan negara-negara Arab dan kerajaan-kerajaan negara Islam serta masyarakat antarabangsa untuk bergerak dan bertindak dengan segala daya upaya demi menghentikan penyembelihan ganas ini dan menyelamatkan rakyat yang menderita itu daripada terus terkorban dan berhadapan dengan kehancuran rumah dan bangunan serta dan dihalau keluar dari tempat tinggal mereka secara paksa.

3- Kami menyeru seluruh rakyat Arab, dan orang Islam serta setiap individu untuk bangun dan tampil menyatakan perasaan mereka dengan menggunakan segala kemampuan mereka demi membantah penyembelihan ini serta menggesa dihentikan tragedi pedih ini.

4- Kami gusar dengan keasyikan dan kesibukan rakyat Arab dengan perkara-perkara kecil dan sia-sia serta perpecahan antara kerajaan negara Arab, perpecahan di antara kerajaan negara Islam dan konflik sesama mereka. Kami juga kecewa dengan  kebisuan masyarakat antarabangsa dan negara-negara kuasa besar kerana mereka mampu menghentikan penyembelihan dan pembunuhan ini.


اللهم إليك نشكو ضعف قوتنا، وقلة حيلتنا، وهواننا على الناس، اللهم منزل الكتاب، ومجري السحاب، وهازم الأحزاب، اللهم اهزمهم وانصرنا عليهم

Ya Allah hanya padaMu kami mengadu akan kelemahan kami, betapa sedikitnya kemampuan kami, betapa hinanya kami pada pandangan manusia. Ya Allah, Engkaulah yang menurunkan al-Kitab, Engkaulah yang menggerakkan awan-awan, Engkaulah yang mengalahkan tentera al-Ahzab, Ya Allah tewaskanlah mereka dan menangkanlah kami keatas mereka!



Setiausaha Agung
Dr. Ali al-Qurrah Daghi

Presiden
Dr. Yusuf al-Qaradawi

Kesatuan Ulama Islam Sedunia
الإتحاد العالمي لعلماء المسلمين


Terjemahan dari teks asal Kesatuan Ulama Sedunia, teks asal di link http://iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=8342



No comments:

Post a Comment