Sunday, April 1, 2018

DR SIDDIQ FADZIL: INTI DEMOKRASI DAULAT RAKYAT: MAQASID AL-SHARI`AH






MAQASID AL-SHARI`AH:  REALISASI MASLAHAH
DALAM MASYARAKAT PLURAL-DEMOKRATIK

Siddiq Fadzil


Mukadimah

Malaysia ditakdirkan menjadi sebuah masyarakat plural.   Ia berpotensi menjadi masyarakat misali  yang progresif dan damai dalam kesalingan dan kebersamaan.  Andainya pluraliti kemalaysiaan ini ditangani dengan waras dan bijaksanaan,  dunia boleh belajar dari model  masyarakat plural ala Malaysia  yang dibangun berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan sesuai dengan semangat Sahifah Madinah.  Tetapi pluraliti  juga berpotensi menjadi lahan silang-sengketa yang berhujung dengan  tragedi kehancuran.    Malaysia juga ditakdirkan menjadi sebuah negara demokratik yang menjanjikan  kehidupan bernegara berasaskan kuasa dan daulat rakyat yang tersalur menerusi sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan jurdil (jujur dan adil).  Tetapi  demokrasi tidak sentiasa setia kepada aspirasi aslinya, sehingga demokrasi tidak lagi menjadi alternatif ideal kepada kediktatoran otoriter.  Justeru, manusia yang tidak berjiwa demokrat selalu mencurangi prinsip dan nilai demokrasi.   Pilihan raya yang menjadi ciri penting demokrasi seringkali dicemari penipuan, rasuah dan pelbagai permainan politik kotor lainnya.


Fungsi Maqasid al-Shari`ah

Syari`at Islamiah  selalu disebut sesuai untuk sepanjang zaman dan di semua tempat.  Kenyataan tersebut memang benar andainya syari`at dilaksanakan dengan mengambilkira realiti (tempat dan zaman)  untuk mempastikan pelaksanaannya membawa maslahah kepada masyarakat.   Kata maslahah memang merupakan kata kunci yang menjadi bahagian integral daripada syari`at  sehingga disebut bahawa syari`at adalah maslahah, dan maslahah adalah syari`at.     Justeru,   syari`at bermatlamat  demi maslahah manusia (li masalih al-`ibad).   Matlamat  syari`at sedemikian itulah yang disebut maqasid al-shari`ah (objektif tertinggi syari`at)  yang terumus pada daruriyat yang lima (pemeliharaan  agama, jiwa, akal, zuriat dan harta). 

Untuk mempastikan realisasi maslahah dalam kehidupan masyarakat,  termasuk masyarakat plural-demokratik,  maqasid al-shari`ah tersebut harus  diertikan dan difungsikan  sesuai dengan realiti zaman dan lingkungan.   Pemeliharaan agama (hifz al-din)  harus diertikan tidak hanya mengawalnya daripada penyimpangan,   tetapi juga pembinaan masyarakat yang religius (mutadayyin).    Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs) harus diertikan tidak hanya sebagai larangan membunuh,  tetapi juga pencapaian kualiti hidup (terhormat, berdaulat dan bermartabat) sesuai dengan darjat kemuliaan insaninya.  Pemeliharaan akal (hifz al-`aql)  harus diertikan tidak hanya pengharaman minuman yang memabukkan atau yang merosakkan akal,  tetapi juga pembinaan daya fikir masyarakat,  pembangunan budaya keintelektualan,  perlawanan terhadap pembodohan  dan apa sahaja yang meracuni pemikiran masyarakat.   Pemeliharaan  zuriat (hifz al-nasl) harus diertikan tidak hanya sebagai pengharaman zina dan pensyari`atan nikah,  tetapi juga sebagai  penguatan institusi keluarga dan pembinaan generasi berkualiti.   Pemeliharaan harta (hifz al-mal) pula tidak harus diertikan hanya sebagai pengawalan harta agar tidak hilang atau penggantiannya jika hilang,  tetapi juga sebagai  pembangunan ekonomi manusiawi-maslahi (kerakyatan) dan pemerataan kemakmuran.     

Perumusan lima maqasid tersebut dianggap memadai untuk zaman mula-mula ia diungkapkan.  Memang ia sudah cukup inklusif dalam pengertian telah meliputi segala daruriyat.   Bagaimanapun ia bukan suatu pembatasan yang mutlak.  Tidak ada halangan untuk menambahnya sesuai dengan perkembangan zaman.   Kerana itu ulama masa kini menyarankan  beberapa maqasid  tambahan,  yang meskipun sudah terangkum secara tersirat dalam maqasid yang lima tersebut,  tetapi dirasakan perlu disebut berasingan sebagai penyerlahan dan penegasan untuk menjadikannya lebih relevan dengan keperluan semasa.  Dalam konteks sedemikian itulah terungkapnya  maqasid seperti  akhlak, kebebasan, keadilan, persamaan dan hak asasi manusia.      

Maqasid al-shari`ah yang berpaksi pada realisasi maslahah harus difungsikan sebagai faktor pemersatu masyarakat plural.    Justeru, melalui formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, maqasid al-shari`ah dapat dijadikan salah satu bingkai kesatuan apabila ia diungkapkan sebagai nilai-nilai sejagat yang dikongsi bersama oleh seluruh warga.    Memang hakikat kesejagatan nilai-nilai maqasid tersebut  sudah dinyatakan dengan jelas dan tegas oleh Shaykh al-Maqasid Abu Ishaq al-Shatibiy dalam mukadimah ketiga al-Muwafaqat-nya. (Al-Shatibiy, Abu Ishaq, 2014:20).  Masyarakat plural-demokratik memang memerlukan suatu set nilai hidup sebagaimana yang terkandung dalam maqasid al-shari`ah,   iaitu daruriyat yang lima di samping nilai akhlak (integriti moral),  kebebasan, keadilan,  persamaan dan hak asasi kemanusiaan.    


Pluraliti:  Perspektif Maqasidi

Maslahah yang menjadi paksi maqasid al-shari`ah hanya akan dapat direalisasikan apabila pluraliti dipersepsi dan disikapi secara positif berasaskan prinsip-prinsip berikut:

1.      Kepelbagaian terwujud dengan kehendak Allah.  Sebagai perwujudan dari iradah Ilahiyyah,  kepelbagaian pastinya mengandungi  hikmah rahmat dan manfaat bagi warga kemanusiaan seluruhnya.  Tuhan sendiri yang mencipta manusia berbangsa-bangsa,  dan Tuhan sendiri yang menghendaki manusia berbeza agama.  Dasar tidak ada paksaan dalam agama memberikan kebebasan kepada manusia memilih sendiri agama yang diyakininya;  dan seterusnya ini melahirkan kepelbagaian agama, budaya dan pemikiran.

2.      Kemuliaan manusia kerana kemanusiaannya, tanpa mengira apa pun bangsa,
agama, bahasa dan budayanya.   Kemuliaan mutlak kemanusiaan adalah anugerah Tuhan (al-takrim al-Ilahiy)  kepada seluruh anak manusia.  Kerana itu manusia tidak berhak menghina atau merendahkan manusia lain.  Semua harus dilayani dan dihormati sebagaimana layaknya makhluk yang dimuliakan Tuhan.
  
3.      Kepelbagaian diciptakan Tuhan dengan tujuan untuk saling mengenal (al-ta`aruf) yang menghasilkan maslahah saling memanfaatkan, saling menghargai dan saling menyayangi.  Semangat kesalingan yang tumbuh dari ta`aruf akan menghasilkan kekayaan ilmu dan budaya yang menjadi asas pembinaan tamadun kemanusiaan.

4.      Prinsip persaudaraan kemanusiaan sejagat (ukhuwwah insaniyyah) yang merentasi  perbezaan agama dan bangsa.  Persaudaraan seagama tidak menjadi penghalang kepada persaudaraan yang lebih luas dan inklusif meliputi seluruh warga kemanusiaan yang pada hakikatnya berasal dari baka yang sama. 

5.      Perdamaian (al-salam) sebagai dasar hubungan antara manusia yang akan memberikan rasa selamat kepada semua dan seterusnya menciptakan kehidupan yang aman,  sentosa dan sejahtera.    Kekuatan warga tidak terbuang sia-sia dalam silang-sengketa,  sebaliknya tercurah sepenuhnya dalam perjuangan kolektif merealisasikan cita-cita bersama.

6.      Tuntutan melayani orang lain dengan kebaikan dan keadilan (al-birr wa al-qist) sesuai dengan misi umat terunggul (khayra ummah) untuk menyumbang amal bakti  kepada warga kemanusian sejagat (ukhrijat li al-nas).    Perintah bekerjasama dalam melakukan amal kebajikan  (al-ta`awun `ala al-birr) tidak dibataskan hanya dalam kalangan kaum Muslimin sahaja.  Konteks ayat 2 surah al-Ma’idah  tersebut  jelas dalam rangka hubungan dengan  kaum bukan Muslim.  Demikian juga dengan keadilan (al-qist)  yang menjadi asas pelayanan terhadap semua,  Muslim dan bukan Muslim.

7.      Pengamalan etika debat dan dialog dengan memilih  cara terbaik (ahsan),  terutama jika berhadapan dengan kaum bukan Muslim (ahl al-kitab).  Cara “yang baik”  sahaja tidak cukup,  tetapi  harus “yang terbaik” dari segala segi  -  adab, hujah dan gaya penyampaiannya.  Yang penting dapat meyakinkan tanpa menyakiti pihak lain.

8.      Penguatan semangat  kebersamaan yang meliputi penyegaran  nilai-nilai sejagat, kerjasama dalam  kegiatan kemasyarakatan dan amal bakti kemanusiaan.   Ketika ini telah wujud pelbagai institusi dan organisasi  amal sosial  yang menangani pelbagai masalah bersama seperti  bencana alam,  pencemaran alam sekitar,  gejala penyimpangan sosial,  keruntuhan moral dan lain-lainnya.


Untuk merealisasikan maslahah bersama,  prinsip-prinsip tersebut harus mendasari segala bentuk kepelbagaian yang wujud dan tumbuh dari masa ke masa  seperti kepelbagaian kaum,  kepelbagaian agama,  kepelbagaian parti politik dan seterusnya.    Dalam kaitan inilah relevannya saranan al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawiy dalam tulisannya Khitabuna al-Islamiy fi `Asr al-`Awlamah,  tentang pelunakan bahasa dalam masyarakat global.  Istilah  kafirun (orang-orang kafir) seharusnya digantikan dengan kata ghayr al-muslimin (bukan Islam/non-Muslim) dan istilah dhimmiyyun (kafir dhimmi) digantikan dengan kata muwatinun (warganegara).    Untuk mencapai maslahah kerukunan hidup berdampingan (al-ta`ayush al-silmiy) dalam kalangan umat pelbagai bangsa dan agama,  ada pula saranan agar umat bukan Muslim disebut ummat al-da`wah (umat yang harus didakwah), sedang umat Muslim disebut ummat al-ijabah (umat yang telah menerima dakwah).


Maqasid al-Shari`ah dan Masyarakat Demokratik    

Inti demokrasi adalah daulat rakyat (siyadat al-sha`b) dalam pengertian rakyat sebagai sumber kekuasaan (al-sha`b masdar al-sultah).  Sesebuah kerajaan mendapat legitimasinya dari mandat yang sah dari rakyat.   Dalam era demokrasi, mandat tersebut diperolehi menerusi pilihan raya yang bersih, jujur dan adil.    Rakyat yang berkedaulatan melaksanakan hak pilihnya dengan bertanggungjawab, bebas dan cerdas.  Justeru,  mengundi dalam pilihan raya  seperti yang dinyatakan oleh al-Qaradawiy bererti memberikan kesaksian.   Yang namanya saksi, ia wajib hadir apabila dipanggil, dan seterusnya memberikan kesaksiannya dengan amanah, bebas, jujur dan adil.  Demi menjunjung prinsip demokrasi berkedaulatan rakyat,  maka kata daulat rakyat dalam erti yang seluas-luasnya harus dihormati oleh semua pihak,  terutama parti-parti yang bertanding.

Apabila dikatakan “rakyat memilih” bererti ada pilihan yang berupa sistem pelbagai parti (ta`addud al-ahzab),  bukan sistem satu parti.   Kepelbagaian parti seharusnya disikapi secara positif  berasaskan prinsip kebebasan berfikir yang memang diakui oleh syari`at.  Natijah kebebasan berfikir ialah perbezaan pendapat,   sebagaimana terjelma dalam rupa perbezaan mazhab fiqh.  Jika wujudnya kepelbagaian mazhab fiqh dapat diterima sebagai wajar,  maka demikian pula wujudnya pelbagai parti.   Justeru,   mazhab-mazhab pada hakikatnya adalah parti-parti dalam fiqh  (al-madhahib ahzab fi al-fiqh),  sementara  parti-parti pada hakikatnya adalah mazhab-mazhab dalam politik (al-ahzab madhahib fi al-siyasah).

Sesuai dengan prinsip kebebasan berfikir yang terpancar dari objektif  syari`at hifz al-`aql (memelihara akal) dan prinsip daulat rakyat  yang terjelma dari kurnia karamah insaniyyah,    rakyat memiliki hak demokrarik menubuhkan parti, memilih parti, masuk parti dan keluar parti.  Seseorang yang keluar meninggalkan sesebuah parti politik  tidak boleh ditafsirkan atau dikategorikan sebagai al-mufariq li al-jama`ah dalam hadith tentang murtad.  Ungkapan al-mufariq li al-jama`ah tidak berdiri sendiri,  tetapi sebagai sifat penguat (sifah mu’akkidah)  kepada ungkapan al-tarik li dinihi (yang meninggalkan agamanya, yakni murtad).  Meninggalkan jama`ah dalam hadith (r.Abu Dawud) tersebut bererti meninggalkan jama`at al-Muslimin seluruhnya.  (Hidayat, Surahman., 2012: 200-201). Ia sama sekali tidak ada kaitannya dengan meninggalkan parti politik bikinan dan kendalian manusia dengan segala kerenahnya.  Dengan kata lain, keluar parti bukan keluar agama,  kerana parti memang bukan agama. 

Kebebasan berfikir memberikan setiap rakyat hak demokratik menerima atau menolak sesebuah parti, parti apa pun, termasuk “parti Islam” jika pada pertimbangannya pendirian politik  parti tersebut, programnya,  ijtihad fiqhnya atau calonnya tidak dapat diterima.   Mengenai isu ini Dr.Ahmad al-Raysuniy mengatakan,  ”Apabila orang menolak parti Islam atau calon-calon Islam kerana prestasi buruk mereka,  atau kurang kelayakan mereka,  atau kerana tidak dapat menerima ijtihad-ijtihad fiqh mereka,  atau program sosial mereka, atau pendirian-pendirian politik mereka,   sesungguhnya ini sama sekali tidak bererti menolak Islam atau mana-mana bahagian daripada Islam,  kerana hakikatnya Islam dan syari`atnya itu suatu hal, sementara  orang-orang Islam, ijtihad-ijtihad mereka dan peri laku mereka adalah suatu hal yang lain.”  (Al-Raysuniy, A. 2014:81).             

Parti-parti politik boleh bersaing secara sihat  dari segi penawaran khidmat dan program, di samping kualiti calon yang dikemukakan, bukan bertarung hancur-hancuran.  Justeru, hubungan antara parti seharusnya didasarkan pada persefahaman  bahawa semuanya adalah rakan-rakan peserta yang sama-sama komited untuk menghidupkan demokrasi.    Parti-parti yang pelbagai boleh pula bergabung  untuk melawan parti saingan  sebagaimana  gabungan  Hilf al-Fudul di Makkah  pada zaman sebelum Islam,   sebuah pakatan untuk melawan kezaliman dan membela para korban kezaliman.  Nabi s.`a.w. yang ikut serta dalam pakatan tersebut mengenangnya  semula pada zaman Islam dengan berkata, “Andainya aku diajak menyertainya lagi pada zaman Islam, nescaya aku sambut.”  Tahaluf dalam konteks demokrasi berpilihan raya tentunya meliputi juga kesepakatan untuk saling menyokong dan saling memenangkan.  Janji harus ditepati,  dengan siapa pun, termasuk dengan yang bukan Muslim.  Yang menjadi perkiraan adalah maslahah dengan segala syarat-syaratnya sebagaimana yang dibahas oleh Sa`id Ramadan al-Butiy dalam bukunya Dawabit al-Maslahah.


Mewaspadai kecurangan

Di mana-mana demokrasi menghadapi bahaya pengkhianatan.  Demi kekuasaan orang sanggup menginjak-nginjak prinsip dan nilai demokrasi.   Demikianlah jika hanya sistemnya sahaja yang demokrasi tetapi manusianya bukan manusia demokrat.   Demokrasi hanya dapat hidup subur dalam masyarakat yang berbudaya demokratik.   Dengan kata lain,  hanya apabila  demokrasi telah menjadi budaya masyarakat  dalam pengertian telah menyebati dalam kehidupan sehari-hari.  Dalam masyarakat seperti itu masyarakat sendiri yang akan menjerit apabila berlaku sebarang pelanggaran terhadap prinsip dan nilai demokrasi.  Budaya demokrasi inilah yang tampaknya belum wujud secara nyata.      Keadaan inilah yang membuka ruang keleluasaan mencurangi demokrasi dengan pelbagai cara yang tidak demokratik, tidak beretika dan tidak bermaruah.

Demokrasi berkedaulatan rakyat telah kehilangan erti apabila rakyat  diperbodoh, dirosak, diremehkan dan dilumpuhkan.  Mungkin kenyataan pahit itulah yang cuba diekspresikan oleh W.S.Rendra dalam konteks Indonesia menjelang abad 21 lewat puisi Kesaksian Akhir Abad:

                       O, Indonesia! Ah, Indonesia!
                        Negara yang kehilangan makna!
                        Rakyat sudah dirusak asas tatanan hidupnya      
                        Berarti sudah dirusak dasar peradabannya
                        dan akibatnya dirusak pula kemanusiaannya
                        Maka sekarang negara tinggal menjadi peta
                        Itu pun peta yang lusuh
                        dan hampir sobek pula.

                        Pendangkalan kehidupan bangsa
                        telah terjadi
                        Tata nilai rancu
                        Dusta, pencurian, penjarahan
                        dan kekerasan halal.

                        Manusia sekadar semak belukar
                        yang gampang dikacau dan dibakar
                        Paket-paket pikiran murah dijajakan
                        Penalaran amarah yang salah
                        mendorong rakyat terpecah belah.

Demokrasi yang berkedaulatan rakyat tidak berlaku kerana kedaulatan telah hilang dengan hilangnya kemerdekaan.   Rakyat tidak lagi berkuasa, sebaliknya menjadi korban pihak berkuasa.   Dalam bait-bait seterusnya, Rendra membuat kesaksian:

                        Dengan puisi ini aku bersaksi
                        bahawa rakyat Indonesia belum merdeka
                        Rakyat yang tanpa hak hukum
                        bukanlah rakyat merdeka
                        Hak hukum yang tidak dilindungi
                        oleh lembaga pengadilan yang mandiri
                        adalah hukum yang ditulis di atas air.

                        Bagaimana rakyat bisa merdeka
                        bila polisi menjadi aparat pemerintah,
                        dan tidak menjadi aparat hukum
                        yang melindungi warganegara.

                        Bagaimana rakyat bisa merdeka
                        bila birokrasi negara menjadi aparat pemerintah
                        dan tidak menjadi aparat rakyat
                        yang otonom mandiri
                        sebagaimana layaknya
                        di negara yang berdaulat rakyat.

                        Bagaimana rakyat bisa merdeka
                        bila hak pilih mereka dipasung
                        tidak boleh memilih secara langsung
                        camat mereka, bupati, wali kota, gubernur
                        dan jaksa tinggi mereka.
                                          …………
                        Dengan puisi ini aku bersaksi
                        bahawa sampai saat puisi ini aku tandatangani
                        para elit politik yang berkedudukan
                        atau pun yang masih di jalan
                        tidak pernah memperjuangkan
                        sarana-sarana kemerdekaan rakyat.

Puisi tersebut menggambarkan rosaknya trias-politica apabila pemerintah menjadi terlalu berkuasa sehingga menguasai segalanya termasuk kehakiman, kepolisan, perkhidmatan awam dan lain-lainnya.  Apabila ini sudah terjadi, tidak ada lagi kebaikan yang dapat diharapkan.   Pemerintahan yang hanya mementingkan  maslahah penguasa,   tidak lagi memenuhi persyaratan kaedah fiqh bahawa pelayanan pemerintah terhadap rakyat terikat dengan maslahah mereka (rakyat).   Melanggar kaedah fiqh, tasarruf al-imam `ala al-ra`iyyati manutun bi al-maslahah,   bererti juga melanggar maqasid al-shari`ah kerana kaedah-kaedah fiqh pada dasarnya memang berorientasikan maqasid al-shari`ah.   Hakikat inilah yang diungkapkan oleh Dr.Sa`id al-Shawiy dalam bukunya, Maqasidiyyat al-Qawa`id al-Fiqhiyyah.    Beliau mengangkat karya al-`Izz ibn `Abd al-Salam, Qawa`id al-Ahkam fi Islah al-Anam,  sebagai  teks kajiannya.         

Dalam masyarakat yang sudah didominasi oleh kuasa dan dana, pilihan raya tidak lagi menjadi pesta demokrasi,  tetapi telah menjadi pasar jual beli undi, kenduri rasuah duit berkampit-kampit.    Dalam masyarakat yang mengimani “cash is king”,  daulat rakyat telah mati dicekik daulat ringgit.   Wang memang memiliki kuasa yang sangat sakti.  Kuasa kesaktian inilah yang diungkapkan oleh K.H.Mustofa Bisri dalam puisinya  Amplop:

                        Orang bicara bisa bisu
                        orang mendengar bisa tuli
                        orang alim bisa nafsu
                        orang sakti bisa mati.

                        Di negeri amplop
                        amplop-amplop mengamplopi
                        apa saja dan siapa saja.

Demikian yang kita saksikan dalam politik demokrasi di mana-mana,  termasuk di negara-negara yang mendakwa berjati diri demokrasi.  Demokrasi sudah di”hijack” secara senyap oleh korporasi-korporasi besar yang mendanai ahli-ahli politik dan parti-parti politik. Akibatnya ahli-ahli politik dan kerajaan mereka lebih mengutamakan kepentingan pihak korporasi dan golongan elit ekonomi berbanding kepentingan rakyat.  Nasib demokrasi yang tergadai itulah yang diserlahkan oleh Noreena Herzt dalam bukunya The Silent Takeover dengan sub-judul Global Capitalism and the Death of Democracy.  Tentang betapa dahsyatnya cengkaman korporasi terhadap politik dunia,   Noreena Hertz menyatakan, “As we enter the new millennium, arguably the entire world is of (international) corporations, by (international) corporations, and for (international) corporations.  The problem is the same,  its geographical extent significantly worse.  Corporations have, in effect, begun to lay down with force what is and what is not permissible for politicians all over the world to do. (Hertz, N., 2003:120).

Korporasi-korporasi penyumbang dana politik  telah menjadikan ahli-ahli politik semakin tidak berdaya dan semakin kehilangan wibawa.   Mengenai gejala ini Noreena Hertz mengatakan, 

                   Politicians are increasingly seen as impotent, irrelevant, and dishonest.
                   People  see  their  government  as unable  to deliver what they promise,
                   obsessed with unimportant issues and internal politicking, riddled with
                   corruption, clinging to outmoded notions of authority, and increasingly
                   in the pockets of businesspeople.  The distinction between incompetence
                   and dishonesty is becoming blurred as, in country after country,  senior
                   politicians are discovered to have engaged in corrupt practices.  (Hertz,
                   N., 2003:121).

Demokrasi, korporasi dan orang-orang politik seperti yang digambarkan oleh Noreena Hertz itu tentu sahaja ada pro dan kontaranya.  Demikian juga halnya dengan tulisan-tulisan tentang demokrasi di Malaysia  seperti yang termuat dalam majalah The Economist (March 10th-16th 2018) yang lalu.  Terlepas dari kontroversi pro dan kontranya, semua yang prihatin dengan nasib demokrasi di Malaysia menjadi sangat resah setelah membaca liputan tentang Malaysia dalam majalah tersebut.  Dalam ruangan Leaders,  majalah antarabangsa tersebut memuatkan  tulisan tentang  Corruption in Malaysia dengan judul besar Stop, thief !,  yang diikuti dengan sub-judul A prime minister accused of stealing millions from the state prepares to steal an election from voters.    Tulisan tersebut tidak hanya memaparkan butir-butir di sekitar isu  yang disebut  “…stealing millions from the state”,   tetapi  memaparkan juga trick penipuan dalam pilihan raya yang berlaku di Malaysia di bawah tajuk How to rig an election.   Trick menipu seperti yang diserlahkan dalam tulisan tersebut  terfokus pada dua cara,  iaitu gerrymandering dan malapportionment. 

Dua cara penipuan tersebut dibincangkan lagi dalam liputannya tentang rantau Asia yang menyorot isu Malaysian Politics di bawah judul Tilting the playing field.   Sekali lagi trick penipuan  dalam pilihan raya menjadi fokusnya sebagaimana yang tersirat dan tersurat dalam sub-judul Electoral tricks are afoot even before the election campaign begins.  Gerrymandering berkaitan dengan pensempadanan, ”drawing constituency boundaries so that lots of opposition voters are packed into a few seats, while ruling-party supporters form a narrow majority in a larger number.”,  sementara malapportionment pula berkaitan dengan kepadatan penduduk (pengundi), “creating districts of uneven populations, so that those which support the opposition are much bigger than those that back the government.  Kedua-duanya dianggap sangat tidak adil,  malah menyalahi peruntukan perlembagaan yang menyebut bahawa keluasan kawasan-kawasan  pilihan raya seharusnya “approximately equal”.  

Sama ada gerrymandering atau malapportionment,  kedua-duanya adalah ketidakadilan, dan kedua-duanya adalah tidak demokratik.   Seperti yang disebut oleh Wong Chin Huat dari Penang Institute, “If an election is voters choosing politicians, gerrymandering is politicians choosing voters.”   Ada pihak yang dirugikan dan ada pihak lain yang diuntungkan tanpa justifikasi.  Jelas, ia tidak dapat diterima kerana bertentangan dengan maqsad al-`adl (objektif keadilan) yang menjadi bahagian daripada maqasid al-shari`ah.


Khatimah

Dalam situasi sekarang ini maqasid al-shari`ah sebagai nilai-nilai sejagat harus difungsikan sepenuhnya untuk memelihara kerukunan hidup masyarakat plural,  dan sekali gus menyelamatkan demokrasi.  Kesedaran maqasidi dapat membangkitkan rakyat melawan politik racist dan sentimen keagamaan yang salah tempat.  Untuk merealisasikan maslahah sesuai dengan matlamat maqasid al-shari`ah, yang harus dibina  bukan konflik antara kaum atau antara agama,  tetapi  kerukunan hidup berdampingan atau al-ta`ayush al-silmiy.   Umat Islam sebagai golongan majoriti harus memimpin proses pembentukan bangsa Malaysia dalam pengertian ummah siyasiyyah yang inklusif berasaskan formula dasar kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.  Golongan bukan Islam harus dilayani dengan adil sebagaimana layaknya  warganegara penuh berasaskan prinsip:  mereka mendapat apa yang kita dapat, dan memikul (tanggungjawab) yang sama kita pikul (lahum ma lana wa `alayhim ma `alayna).                               

Nilai-nilai sejagat: moral dan etika,  kebebasan, keadilan, persamaan dan hak asasi manusia sebagaimana yang terkandung dalam maqasid al-shari`ah harus dijelmakan menjadi kekuatan massa  melawan politik curang yang ingin membunuh roh demokrasi sehingga demokrasi hanya tinggal raga tanpa jiwa.    Apa ertinya raga demokrasi, jika jiwanya diktator-kleptokrat.   Roh demokrasi ialah hak pilih di tangan rakyat (memilih dan dipilih),   yang bererti  hanya yang mendapat mandat dari rakyat sahaja yang sah menjadi pemerintah.   Dengan demikian demokrasi juga menjamin berlakunya peralihan kuasa (tadawul al-sultah) dengan aman.    Manusia demokrat akan menerima peralihan kuasa sebagai  suatu yang normal dan wajar.   Kerajaan hari ini boleh menjadi pembangkang esok,  dan pembangkang hari ini boleh menjadi kerajaan esok.  Demikianlah proses peralihan dan penggiliran kuasa yang mencirikan demokrasi yang sihat.    Kuasa rakyat harus dihormati  dengan memberikan mereka hak memilih dengan bebas dan cerdas,  tanpa ancaman dan ugutan,  tanpa ditakut-takutkan dengan sebarang tahyul politik yang memperbodoh dan menyesatkan.


Rujukan

Al-Ghadban, Munir Muhammad.  1988.  Al-Tahaluf al-Siyasiy fi al-Islam.  Kaherah: Dar
                   al-Salam.

Al-Raysuniy, Ahmad.   2014.  Al-Fikr al-Islamiy wa Qadayana al-Siyasiyyah al-
                   Mu`asirah.  Kaherah: Dar al-Kalimah.

Al-Shatibiy, Abu Ishaq. 2014.  Al-Muwafaqat fi Usul al-Shari`ah (ed. Muhammad Abd
                   al-Qadir al-Fadiliy).  Beirut:  Al-Maktabah al-`Asriyyah.

Al-Shawiy,  Sa`id.  2015.  Maqasidiyyat al-Qawa`id al-Fiqhiyyah.   Kaherah: Dar al-
                   Kalimah. 

Hertz, Noreena.  2003.  The Silent Takeover.  New York: HarperBusiness.

Hidayat, Surahman.  2012.  Al-Ta`ayush al-Silmiy bayna al-Muslimin wa ghayrihim
                   Dakhila Dawlatin Wahidah.  Kaherah:  Dar al-Salam.

Jabr, Dandal. 2006. Al-Ta`addudiyyat al-Siyasiyyah wa Tadawul al-Sultah fi al-Siyasat
                    al-Shar`iyyah.   `Amman: Dar `Imar.

Siddiq Fadzil.  2012.  Islam dan Melayu.  Kajang:  Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej
                   Dar al-Hikmah.

Majalah  The Economist (March 10th  -  16th 2018).  






IDE/UNISEL/KDH
31032018

No comments:

Post a Comment