Tuesday, September 18, 2018

DR SIDDIQ FADZIL: ERTI DEKLARASI PERMATANG PAUH




MALAYSIA BAHARU: REALISASI AGENDA REFORMASI
Siddiq Fadzil

Mukadimah

Keputusan PRU-14 rata-rata dirasakan sebagai suatu kejutan. Rasa terkejut dengan kemenangan besar PH pada 9 Mei 2018 itu memang beralasan. Tetapi hakikatnya ia bukan suatu yang tiba-tiba atau mendadak. Ia adalah kemuncak dari suatu rentetan panjang peristiwa ledakan kesedaran rakyat yang menginginkan perubahan besar dan mendasar. Ia tidak terpisah dari latar gerakan reformasi yang berpangkal dari Deklarasi Permatang Pauh 12 September 1998 yang dikumandangkan oleh Anwar Ibrahim. Selama 20 tahun gerakan tersebut membesar dan akhirnya memuncak menjadi gelombang kebangkitan rakyat meruntuhkan rejim UMNO-BN. Dengan latar sedemikian, Malaysia Baharu yang terhasil dari PRU-14 tidak boleh lain selain berintikan realisasi agenda reformasi.

Deklarasi Permatang Pauh (DPP)

Teks DPP seperti yang diungkapkan oleh penggagas dan proklamatornya Anwar Ibrahim mengandungi mukadimah ringkas, diikuti senarai tujuh agenda reformasi dan diakhiri dengan satu ayat penutup:

DEKLARASI PERMATANG PAUH

Menyedari gesaan al-Qur’an yang bermaksud “... tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami.”;

Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat; dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula; maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekad untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:

Gerakan reformasi yang terpancar dari perjuangan hati nurani, dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram dibelenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;

Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;

Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses Demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;

Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi, menjaga menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;

Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan maha kaya;

Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jati diri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;

Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.

Permatang Pauh
12 September 1998
ANWAR IBRAHIM


Memahami Mukadimah DPP

Memang tepat apabila kita menyebut bahawa DPP adalah suatu agenda reformasi-islahi kerana ia jelas bertitik tolak dari ayat 88 surah Hud yang mengabadikan pernyataan tekad perjuangan profetis demi islah, kata yang sarat dengan nilai-nilai rabbani. Dengan menjadikan islah sebagai landasan asasi, bererti ia adalah perjuangan merealisasikan maqasid al-Qur’an dan maqasid al-shari`ah yang terumus pada ungkapan li islah al-`ibad (untuk memperbaiki umat manusia). 

Pada ayat:
ان اريد الا الاصلاح ما استطعت
terkesan makna kemurnian tekad dan ketulusan niat perjuangan semata-mata demi islah. Tidak ada motif sampingan lain. Terkesan juga makna kesungguhan berjuang dengan kekuatan semaksimumnya (sekuat dayaku).

Sebagai perjuangan kolektif rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama, perjuangan ini juga mengambil semangat pembaharuan dari nilai-nilai positif budaya Asia yang mendorong perubahan ke arah yang lebih baik. Menyemaraknya wacana tentang Asian values adalah jelmaan kesedaran bangsa-bangsa Asia tentang kekuatan nilai-nilai yang digali dari tradisi budaya sendiri. Wacana tersebut juga banyak ditafsirkan sebagai ekspresi keyakinan budaya (cultural confidence) bangsa-bangsa Asia untuk membangun dan maju dalam acuan nilai-nilai Asia, dan tidak lagi memakai acuan Barat.

Bagi umat Islam semangat islahi-tajdidi yang terkandung dalam ajaran Islam harus dimanfaatkan untuk menjayakan agenda pembaharuan. Yang penting semangat tersebut harus dipugar dan disegarkan untuk menjana “kekuatan dalaman” yang merupakan pra-syarat terpenting menangani kemelut kezaliman dan kebobrokan moral. Tidak ada “kekuatan dalaman” yang mengatasi kekuatan iman yang murni dan sihat (al-`aqidah al-salimah).

Kemelut dan petaka yang menimpa tidak hanya dirasakan oleh kaum tertentu, tetapi maratai seluruh rakyat tanpa kecuali. Kerana itu ia bukan masalah Melayu atau masalah Cina atau masalah India, tetapi masalah semua. Suatu gerakan kerakyatan yang merentas sempadan kaum, agama dan budaya perlu digembleng demi menjayakan reformasi menyeluruh, meliputi segala ranah kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Demikianlah, sejak detik pertama, DPP sudah terjelma sebagai wawasan dan gagasan nasional yang menampung semua kaum dalam kesatuan tekad dan aspirasi.

Menangkap Semangat Tujuh Agenda Reformasi

DPP menggariskan tujuh agenda besar reformasi menyeluruh yang diungkapkan secara ringkas dengan kalimat-kalimat terbatas, tetapi padat dan sarat dengan makna tersirat. Siapa sahaja yang membaca deklarasi tersebut akan dapat merasakan bahawa yang tersirat jauh lebih luas daripada yang tersurat. Kita harus cuba merenung dan menangkap segala yang tersirat di balik ketujuh-tujuh agenda tersebut:

Pertama: memperjuangkan ketinggian martabat manusia (karamah insaniyah) sebagai makhluk mulia dan merdeka. Kemuliaan insan adalah anugerah Tuhan kepada semua keturunan Adam `a.s. tanpa mengira warna, bahasa atau agamanya. Demikianlah yang disebut al-takrim al-Ilahiy sebagaimana yang ditetapkan dalam ayat 70 surah al-Isra’. Tuhan sendiri yang memuliakan manusia, dan kerananya tidak siapa pun berhak menghina, menzalimi atau mengaibkan manusia. Umat Melayu telah berjaya menangkap mesej ayat tersebut lalu mengabadikannya dalam tradisi politik yang menjadikan kezaliman sebagai justifikasi terbatalnya kesetiaan. Demikianlah yang dimaksudkan dalam ungkapan tradisional, “...raja zalim, raja disanggah.” Demikian juga dengan larangan mengaibkan rakyat yang menjadi teras wa`ad antara Seri Tri Buana dengan Demang Lebar Daun, sebuah dokumen kontrak sosial Melayu tradisi yang diakhiri dengan sumpahan berat,”...Jikalau ada seorang raja-raja Melayu itu memberi aib seseorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa.” Demikian seriusnya kesalahan menzalimi dan mengaibkan orang dalam tatanan hidup Melayu-Islam.

Kemerdekaan adalah bahagian daripada kemanusiaan. Ia bukan sekadar hak yang boleh diambil atau ditolak, tetapi suatu keperluan (darurat) yang tanpanya manusia kehilangan kemanusiaannya. Merampas kebebasan seseorang dengan membelenggu atau memenjaranya tanpa proses perbicaraan yang adil berdasarkan undang-undang adalah suatu pelanggaran serius terhadap hak kemanusiaan. Dalam Islam, kebebasan adalah syarat sah beragama berasaskan prinsip “tidak ada paksaan dalam beragama”.

Bebas dari penjajahan asing tidak dengan sendirinya bererti rakyat telah merdeka. Hakikat inilah yang diungkapkan oleh penyair W.S.Rendra dalam konteks rakyat Indonesia menjelang abad 21:

Dengan puisi ini aku bersaksi
bahawa rakyat Indonesia belum merdeka.
Rakyat yang tanpa hak hukum
bukanlah rakyat merdeka.
Hak hukum yang tidak dilindungi
oleh lembaga pengadilan yang mandiri
adalah hukum yang ditulis di atas air.
Bagaimana rakyat bisa merdeka
bila polisi menjdi aparat pemerintah,
dan tidak menjadi aparat hukum
yang melindungi warganegara.
Bagaimana rakyat bisa merdeka
bila birokrasi negaramenjadi aparat pemerintah
dan tidak menjadi aparat rakyat
yang otonom mandiri
sebagaimana layaknya
di negara yang berdaulat rakyat.
......................
Dengan puisi ini aku bersaksi
bahawa sampai saat puisi ini aku tandatangani
para elit politik yang berkedudukan
atau pun yang masih di jalan
tidak pernah memperjuangkan
sarana-sarana kemerdekaan rakyat.

Lewat puisi tersebut Rendra memberikan kesaksian tentang kerosakan trias politica apabila pemerintah menguasai segala-gala: kehakiman, kepolisan dan perkhidmatan awam. Dengan menundukkan semuanya itu di bawah telunjuk pemerintah, maka yang berlaku bukan lagi rule of law, tetapi kesewenang-wenangan law of the ruler dengan memangsakan rakyat yang telah dilucuti hak kemerdekaannya. Kerana itu kita sering memperingatkan pentingnya fiqh al-tahrir atau fiqh pembebasan atas pertimbangan bahawa selama berabad-abad umat Islam didominasi oleh pemikiran fuqaha’ al-istibdad atau ahli-ahli fiqh penindasan, iaitu fatwa dan ajaran ulama yang bersekongkol dengan kerajaan-kerajaan penindas. Demikian seperti yang dibahas oleh al-Kawakibiy dalam bukunya Taba’i` al-Istibdad, dan dilanjutkan oleh Muhammad al-Ghazaliy lewat bukunya al-Istibdad al-Siyasiy. Idea dan semangat fiqh pembebasan tidak seharusnya hanya sebatas wacana intelektual, tetapi diterjemahkan ke dalam realiti politik. Demikianlah perlunya politik baru, iaitu politik pembebasan atau emancipatory politics.

Kedua: memperjuangkan keadilan untuk semua, Muslim dan bukan-Muslim, kawan dan lawan. Justeru, keadilan tidak boleh dibataskan hanya untuk golongan tertentu, dan kerana itu tidak harus ada amalan diskriminatif dalam menegakkan keadilan. Keadilan adalah objektif tertinggi syari`at seperti yang dinyatakan dalam ayat 25 surah al-Hadid bahawa para rasul diutus dengan keterangan dan diturunkan bersama mereka kitab dan neraca timbangan, dengan tujuan agar manusia melaksanakan keadilan. Ayat tersebut mengisyaratkan bahawa keadilanlah yang menjadi esensi semua agama samawi.

Demikian pentingnya kedudukan dan peranan keadilan dalam kehidupan manusia sehingga Ibn Taymiyyah menyimpulkan bahawa pertolongan Allah bersama negara yang adil, meskipun ia kafir; dan tidak bersama negara yang zalim, meskipun ia Muslim. Katanya lagi, dunia boleh selamat lestari dan berkelanjutan dengan keadilan meskipun bersama kekafiran; tetapi tidak akan selamat dengan kezaliman, sekalipun bersama Islam.

Untuk menjamin tegaknya keadilan, undang-undang harus baik, dan hakim harus jurdil (jujur dan adil). Undang-undang sebaik mana pun tidak menjamin tegaknya keadilan jika hakimnya korup dan khianat. Kerana itu badan kehakiman dan semua badan penegak undang-undang perlu dibersihkan daripada korupsi dan penyalahgunaan kuasa.

Ketiga: pendaulatan kuasa rakyat dalam pengertian rakyat sebagai sumber kekuasaan (al-sha`b masdar al-sultah). Untuk itu sistem demokrasi yang bersih dan adil perlu ditegakkan. Justeru, hanya demokrasi tulen yang dapat menjadi saluran kuasa rakyat mengangkat pemimpin dan kerajaan pilihan mereka. Untuk itu harus ada usaha penyihatan demokrasi dari apa sahaja yang mencacatkan demokrasi. Segala bentuk penipuan dan kecurangan, termasuk penipuan yang disahkan oleh undang-undang seperti gerrymandering dan malapportionment. Demokrasi sebagai penjelmaan kuasa rakyat harus diselamatkan dari di”hijack” oleh mereka yang memiliki modal kewangan bilionan ringgit. Jangan sampai daulat rakyat mati dicekik daulat ringgit. Di mana-mana kedengaran jeritan cemas demokrasi hanya akan tinggal nama. Jeritan seperti itulah yang kita dengar dari Hariman Siregar (mantan aktivis mahasiswa Indonesia tahun 70’an), “kembalikan kedaulatan rakyat, jangan bajak demokrasi” (Hariman, S., 2008).

Demokrasi hanya akan bererti jika rakyat menyedari kedaulatan dirinya, dan kerana itu akan menolak sebarang pelecehan terhadap kedaulatannya seperti penipuan dan kecurangan dalam pilihan raya. Kesedaran tentang daulat rakyat perlu dipupuk, dan demokrasi harus dibudayakan menjadi bahagian daripada cara hidup rakyat. Demokrasi bukan hanya pilihan raya lima tahun sekali, tetapi lebih penting lagi ialah budaya demokrasi yang subur dan merakyat. Prinsip dan nilai demokrasi yang menyebati dalam budaya rakyat akan menjadi kekuatan penghadang kezaliman penguasa.

Keempat: memperjuangkan keadilan ekonomi dalam pengertian penjanaan pertumbuhan yang terpadu dengan pemerataan agihan. Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan economic growth yang beriringan dengan distributive justice. Dengan demikian akan terciptalah keadilan ekonomi dan keadilan sosial apabila seluruh rakyat mendapat agihan yang saksama dari kueh negara. Tanpa keadilan ekonomi jurang miskin-kaya dan super kaya akan bertambah luas. Jurang ekonomi yang terus melebar akan menimbulkan masalah kecemburuan sosial dan akan menjadi bom waktu yang sewaktu-waktu meledakkan konflik yang berakibat fatal.

Demi pemerataan dan kesejahteraan bersama, kita telah lama menuntut pendemokrasian ekonomi. Gerakan reformasi harus mendukung realisasi tuntutan tersebut. Keadilan ekonomi juga sangat terkait dengan gagasan ekonomi manusiawi (human economy) yang semangatnya ialah untuk menyejahterakan umat manusia keseluruhannya. Di tengah dominasi ekonomi kapitalistik yang menindas kaum du`afa’ (golongan lemah) untuk kepentingan golongan kaya, kita memang memerlukan sejenis ekonomi maslahiy yang humane dan needs-oriented. Ekonomi maslahiy adalah kekuatan yang dapat melawan kerakusan dan pembolotan oleh kaum kapitalis yang memang tidak pernah mengenal kepuasan.

Kelima: membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang kian membarah terutama dalam kalangan elit penguasa. Untuk itu para pelaku rasuah harus diburu walau sampai ke lubang cacing untuk diadili dan dihukum, malah kalau perlu harus dimiskinkan kerana merekalah yang menyebabkan kemiskinan rakyat. Selain menghukum pelaku rasuah, rakyat perlu dididik dengan kesedaran integriti yang menekankan nilai-nilai moral amanah, kejujuran, ketulusan dan ketelusan. Malu sebagai salah satu nilai teras agama Islam dan budaya Melayu harus disegar dan disuburkan kembali. Justeru, sifat tahu malu (sense of shame) adalah suatu kekuatan moral yang dapat menghalang seseorang daripada melakukan sebarang kejahatan.

Kuasa adalah amanah dan beban tanggungjawab, bukan habuan dan milik peribadi. Kekuasaan memang selalu menyebabkan orang lupa daratan, mentang-mentang berwewenang lalu menjadi sewenang-wenang. Penyalahgunaan kuasa mungkin dapat dikawal apabila rakyat dididik menjadi effective citizens yang mengawasi dengan peka segala perilaku para pemegang amanah kekuasaan. Rakyat tidak boleh pasif dan naif menyikapi manipulasi golongan yang memiliki kuasa, wang dan pengaruh merosak ekonomi rakyat. Ekonomi tidak boleh menjadi urusan eksklusif segelintir manusia super kaya berbuat semahunya mengaut keuntungan tanpa kepedulian terhadap nasib rakyat. Untuk melawan kerakusan manusia super kaya inilah ekonomi maslahi-manusiawi harus dibangun. Memang antara ciri ekonomi manusiawi ialah bahawa ekonomi adalah suatu yang made and remade by people themselves.

Keenam: memperkukuh jati diri budaya yang dinamis. Jati diri dalam konteks ini dapat diertikan sebagai ciri-ciri khas budaya yang membezakan sesuatu bangsa daripada bangsa lain. Jati diri dalam pengertian tersebut tidak membeku, tetapi dinamis dalam pengertian bersedia dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Namun demikian ia tidak pula cair sehingga hanyut dan larut dalam arus perubahan yang tidak terkendali. Ia adalah jati diri budaya dinamis yang tetap setia kepada nilai-nilai positif warisan budaya yang relevan dengan semangat zaman. Demikianlah, kesetiaan yang diimbangi dengan keterbukaan terhadap segala yang baik dari budaya dan tamadun dunia. Justeru, hikmah kebijaksanaan (wisdom) adalah milik bersama seluruh warga kemanusiaan. Dengan demikian akan terbentuk jati diri yang utuh dan tangguh menghadapi ujian zaman.

Ketujuh: membina bangsa yang bertamadun dan beradab dengan kompetensi masa kini. Justeru, bangsa ini harus menerima pencerahan kemajuan era maklumat dan sekali gus memiliki hikmah kebijaksanaan - memahami segala sesuatu dengan tepat serta bersikap dan bertindak dengan benar. Memang era sekarang tidak lagi terbatas pada kemajuan maklumat, tetapi beriringan dengan era yang disebut the age of wisdom. Bangsa ini juga harus dibina menjadi bangsa yang memiliki keyakinan diri, karakter bangsa yang terbentuk dari keyakinan terhadap keunggulan nilai-nilai agama dan budaya sendiri. Dengan kekuatan karakter sedemikian bangsa ini akan selamat memasuki dunia tanpa sempadan dengan jati diri yang utuh, dan seterusnya mampu menjadi global player dalam persaingan di pentas dunia terbuka. Dalam dunia yang penuh silang-sengketa, bangsa ini harus mampu tampil sebagai kekuatan damai (salam), membina persaudaraan kemanusiaan sejagat di atas prinsip dan nilai murni, kebenaran dan keadilan. Pembentukan pelbagai pakatan antara negara yang didasari kepentingan dan motif curang adalah bahaya kepada kedamaian dan kesejahteraan masyarakat dunia. Kerana itu prinsip kebenaran dan keadilan perlu diperjuangkan menjadi dasar hubungan antara negara. Umat Islam bertanggungjawab melaksanakan misi kemanusiaan dan kedamaian dunia berasaskan hakikat Islam yang insaniyyat al-da`wah wa `alamiyyat al-risalah (dakwah insani dan risalah alami).

Penutup DPP: pernyataan komitmen perjuangan secara damai dan aman sesuai dengan semangat perlembagaan dan selaras dengan aturan rule of law. Reformasi adalah gerakan kerakyatan yang memilih jalan silmiyyah, tanpa kekerasan. Jelas, gerakan reformasi adalah perjuangan yang sah dari segi undang-undang negara dan dari segi hukum syarak.

Khatimah

Ungkapan Malaysia Baharu adalah laungan spontan rakyat Malaysia menyambut pertukaran pentadbiran pada 9 Mei 2018. Dua patah kata tersebut menyiratkan segunung harapan untuk segera menyaksi dan mengalami Malaysia yang lebih baik. Untuk memenuhi harapan tersebut harus segera dilaksanakan agenda reformasi berpandukan kaedah fiqh: tasarruf al-imam `ala al-ra`iyyati manutun bi ‘l-maslahah (pelayanan pemerintah terhadap rakyat terikat dengan prinsip maslahah). Aktualisasi maslahah atau kepentingan rakyat terutamanya ialah penyejahteraan kehidupan yang meliputi jaminan keperluan asas dan jaminan keselamatan. Sama pentingnya dengan itu ialah pengembalian maruah bangsa dan negara yang telah tercedera parah sehingga dunia melihat negara ini sebagai kleptocracy at its worst. Mudah-mudahan dalam era Malaysia Baharu kita akan tampil di masyarakat dunia dengan kepala tegak sebagai bangsa yang bermaruah dan bermartabat.



MUKNAS/KDH/IDE/UNISEL
16092018



No comments:

Post a Comment