Wednesday, September 12, 2018

MENANGANI PERUBAHAN DAN MENGISI KEMENANGAN




TEKAD PERUBAHAN POLITIK

Pada pilihanraya yang lalu, majoriti rakyat  telah membuat keputusan, mencapai kesepakatan membulatkan tekad dan menyokong secara terbuka perubahan politik yang dibawa oleh Pakatan Harapan. Bagi gerakan Islam pula harapan kita adalah agar berlaku reformasi-islahiy.

Kita menyokong dan mendokong sistem demokrasi dalam pemerintahan negara dan ingin memastikan pelaksanaan sebenar demokrasi merakyat dengan politik luhur diamalkan serta terlaksana pilihanraya bersih demi maslahah umat dan negara.

Seperti dinukilkan oleh Dr Siddiq Fadzil, demokrasi memerlukan peranserta rakyat secara aktif dan bertanggungjawab, termasuk komitmen pemantauan, pengawalan, teguran dan koreksi (muraqabah dan muhasabah) terhadap dasar dan tindakan para penguasa, sesuai dengan kewajipan amar ma’ruf nahi munkar.

Kita mendokong gagasan sistem dua parti kerana ia memastikan check and balance – ‘saling semak dan imbang’ agar kuasa tidak diboloti dan tidak hanya berlegar di kalangan satu kelompok elit penguasa. Rakyat mempunyai pilihan yang terbaik, daripada pelbagai parti yang berlawanan menampilkan visi, idea dan strategi, kompetensi serta  imej bersih berintegriti. Sistem dua parti yang kuat akan sentiasa menentang salahguna kuasa dan memastikan keadilan sosial diutamakan.

Kita bergerak atas premis ini  untuk mengorak langkah maju ke hadapan agar politik perubahan menjadi realiti demi masa depan negara.

Parti pemerintah yang lalu juga ada kelemahan dan ada kelebihannya. Namun secara zahir Pakatan Harapan memiliki kesungguhan untuk memulih dan membina semula negara manakala Barisan Nasional pula mempunyai pelbagai rekod kefasadan yang nyata serta tidak berdaya untuk berubah. Malaysia amat memerlukan perubahan politik.

Isu kleptokrasi dan rasuah bertaraf mega serta global 1MDB dan skandal-skandal lain telah mengheret rakyat menjadi derita berpanjangan bakal meninggalkan malapetaka kewangan kepada  beberapa generasi akan datang sedangkan elit pemerintah dan kuncu-kuncunya hidup mewah penuh pembaziran yang melampau-lampau. Petanda jelas ditunjukkan bahawa rata-rata rakyat menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa. 
   
Rakyat telah keluar mengundi beramai-ramai pada 9 Mei 2018 yang bersejarah dan merubah kerajaan melalui tindakan demokratik serta aman sehingga menggegarkan dunia.

Itulah rentetan hasil perjuangan dan citra gerakan reformasi Dato Seri Anwar Ibrahim. Pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim sejurus kemenangan sangat simbolik dan melambangkan keadilan itu sesuatu yang pasti. Pengorbanan Dato Seri Anwar Ibrahim telah ditebus dengan pembebasan dan pembersihan nama serta maruahnya. Ini hanya mungkin dengan kemenangan PH dalam PRU14.

Perubahan politik ini juga menunjukkan bahawa tuntutan keadilan merentas kepentingan ras dan agama. Rakyat majoriti tanpa mengira kaum memilih untuk menyokong kompak janjisetia moral – bai’ah moral yang dibawa dan dijanjikan oleh Pakatan Harapan. Kepelbagaian dalam bingkai kesatuan dapat disatukan dengan matlamat moral yang tinggi, harapan masa depan serta cinta kepada tanah air.

Kita telah menyumbang menurut nisbah penglibatan kita kepada kemenangan dan pembaharuan landskap politik yang bersejarah.

Namun pada waktu getir ketika pertarungan politik dan sesudah mencapai kejayaan wajar diingatkan agar semua insaf, bergantung harap dan bersyukur atas pertolongan dan kemenangan yang dikurniakan Allah swt. Maka diantaranya disarankan membaca dan mentadabbur surah Al Fath.


PENGAJARAN SURAH AL FATH

Surah Al-Fat-h - سورة الفتح

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,
Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).
Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya).
 (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
 (Allah melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka);

Menurut tafsir fi zilalil Qur’an Sayyid Qutb, pada waktu surah ini diturunkan perubahan-perubahan penting telah berlaku kepada masyarakat Islam Madinah, perubahan sikap mereka; perubahan sikap para penentang. Paling penting adalah perubahan jiwa dan corak keimanan para sahabat umat Muslimin, tingkatan keikhlasan, iltizam padu dipandu kefahaman matang dan mendalam mereka.

Rasulullah mendapat mimpi memasuki kota Makkah menunai ibadah haji. Sahabat-sahabat Ansar dan Muhajirin gembira menerima perintah rombongan bersama Rasulullah ke Baytul Haram. Arahan kepada suku Arab dan Badawi hanya disambut sebahagian orang Arab tetapi dilengahkan oleh Arab Badawi.

Rombongan Rasulullah dengan bilangan 1400 orang, membawa unta-unta korban dan pakaian berihram bagi menunjukkan bahawa tujuan mereka datang untuk beribadat ke Baytullah bukannya berperang dengan Quraysh Makkah. Di Hudaybiyah rombongan disekat Quraysh yang telah mengerahkan semua warga kota keluar bagi menghalang kedatangannya. Menurut riwayat, 4 orang utusan daripada kabilah-kabilah Arab dikirim oleh Quraysh bertemu Rasulullah s.a.w. dan kesemua mengesahkan rombongan itu hanya datang bertujuan menunaikan ibadah.

Rasulullah mengutus Uthman bin Affan r.a. dan setelah disampai mesej Rasulullah , Uthman ditawarkan untuk tawaf tetapi dia enggan selagi tidak bersama rombongan. Uthman pula ditahan oleh Quraysh.

Berita sampai kepada Rasulullah dan para sahabat bahawa Uthman r.a. telah dibunuh. Rasulullah dan rombongannya mengadakan Bai’atur Ridwan, berjanji di bawah sepohon pokok, untuk setia dan tidak lari daripada perjuangan. Berita sebenar kemudian sampai bahawa Uthman tidak dibunuh.

Quraysh kemudiannya mengutus Suhayl ibn ‘Amr berunding panjang dan bertolak ansur dengan Rasulullah akhirnya tercapai persetujuan damai.

Para sahabat terlalu berdukacita dan tidak berpuashati dengan syarat-syarat perjanjian yang nampak berat sebelah dan menyulitkan Rasulullah Mereka pada mulanya tidak akur perintah untuk menyembelih unta dan bercukur. Sehinggalah Rasulullah mengikut saranan isterinya Ummu Salamah r.a. agar baginda sendiri memulakannya dan barulah turut diikuti oleh semua para sahabat.

Dalam perjalanan pulang ke Madinah turunlah surah al Fath. Surah yang Rasulullah bersabda ‘lebih dicintai daripada dunia dan seluruh isinya.’

Jiwa Rasulullah tenteram dan tenang menerima ilham Allah swt walaupun digugat cabaran Musyrikin Quraysh dan sikap para sahabatnya yang pada mulanya sangat gusar dan resah.

Allah turunkan ketenteraman sakinah pada hati para sahabat lalu mereka kembali ridha, yakin, patuh, ikhlas menerima perintah dan menunjukkan keinsafan mendalam.

Perjanjian dan perdamaian Hudaybiyah merupakan kemenangan da’wah. Dulu berperang, kini berdamai, da’wah tersebar luas tanpa sekatan, manusia berbondong-bondong memeluk Islam. Umat Islam dapat memberi tumpuan dan mengalahkan ancaman Yahudi Madinah.

Surah ini membayangkan kemenangan-kemenangan yang bakal datang, betapa kekuatan umat Islam mengatasi Musyrikin dan kelemahan ketara Munafiqin. Ini berlaku di dalam jangka masa 2 tahun sahaja.

Peringatan juga tentang ada golongan yang ingin harta rampasan ghanimah tetapi tidak mahu turut serta berperang.

Perkembangan ini juga menunjukkan kesan asuhan Al Qur’an dan didikan Rasulullah s.a.w. ke atas kelompok Mu’min yang unik dan bersejarah.

Saranan agar pemimpin-pemimpin da’wah memimpin manusia tidak jenuh, lalai dan bosan dengan karenah kekurangan dan kelemahan manusia; keladak zaman silam dan warisan-warisannya; tarikan duniawi. Pemimpin da’wah melihat dengan kejernihan, pandangan hati yang tinggi dan melihat nur hidayah yang gemilang.


REALITI POLITIK DAN MEWARISI JEJAK KEFASADAN

Menurut Shaykh Yusuf al Qaradawi, fenomena yang berlaku adalah suatu kebangkitan rakyat. Kebangkitan - sahwah bersifat umum mengandungi arus pelbagai aliran, warna, kumpulan, individu samada terarah, berencana ataupun tidak. Gerakan Islam pula pergerakan berorganisasi yang bermatlamat jelas serta terarah khusus. Setiap gerakan adalah kebangkitan tetapi bukan semua kebangkitan adalah gerakan. Sahwah lebih besar dan sepatutnya menjadi pembekal dan pengukuh kepada gerakan dan gerakan berperanan memandu arah kebangkitan itu ke jalan yang benar dan lurus agar memberikan maslahah kepada ummah. Itulah cabarannya.

Dr. Sali Berisha pemimpin pertama dipilih secara demokratik di Albania memberitahu Aliya Izetbegovic  bahawa dia mewarisi pemerintahan yang korup, parah dan jejak-jejak gersang sehingga dia sendiri terpalit. 45 tahun pemerintahan kuku besi dan komunis Enver Hoxha meninggalkan kerosakan parah kepada manusia, sistem dan budaya Albania. Kebangkitan rakyat dan pembebasan tidak menghasilkan perubahan serta pembaharuan yang dihasratkan rakyat sehingga mereka luahkan keinginan untuk balik kembali kepada zaman diktator korup yang lama.
 
Begitulah nasib Dr Morsi di Mesir bertarung bagi mengisi kemenangan thawrah sy’ab yang telah dikecapi dengan harga yang mahal nyawa, darah dan air mata pengorbanan. Rakyat mahukan penyampaian segera penyelesaian kesempitan hidup mereka. Regim fasad dan korup terutama di kalangan tentera dan pegawai-pegawai kerajaan serta kaum elit telah bertapak berakar tunjang selama 60 tahun lama menzalimi negara dan merompak laba rakyat masih menjadi barah deep state – filoof  kembali mengambil kesempatan merampas negara apabila sebahagian rakyat Mesir sendiri masih sarat dengan pemikiran mentaliti rendah, mudah dihasut dan  berfikiran al fikri al mumit bersifat abdan mamlukan.

Kita ambil iktibar pengalaman Indonesia sejurus Reformasi menghadapi ketiadaan ketokohan kepimpinan yang dapat menyatukan, kesenjangan ketara di antara kaya dan miskin, gejala rasuah yang masih parah walaupun nampak ditangani berhadapan pula dengan kelemahan kepimpinan. Keadaan ini semacam sama dengan negara-negara Eropah Timor pasca kejatuhan regim-regim Komunis sehinggakan rakyat di sana mengeluh penderitaan mereka dengan ungkapan, “biar regim korup asalkan ada makanan” – seolah mereka rela kembalinya regim komunis autokrat.

Dalam bahasa Urdu - roti, kapla, makan.. ‘makanan, pakaian, tempat tinggal’ – itu yang rakyat Pakistan marhaen dambakan setelah mencapai perubahan dan pembebasan. Imran Khan dan partinya Pakistan Tehreek e Insaf yang baru saja memenangi pilihanraya membawa imej bersih dan agenda reform, pasti akan diuji oleh rakyat tentang perihal asasi ini.

Itulah nasib negara-negara Islam yang mewarisi 40 tahun atau lebih pemerintahan diktator seperti Libya, Iraq, Afghanistan, Yaman, Tunisia, Syria dan lain-lain yang mewarisi jejak-jejak kefasadan.

Begitulah juga nasib negara warisan kleptokrasi seperti negara kita yang dahulu dipimpin dengan rakus tanpa malu, merompak, bermewah-mewahan dan mengagihkan wang rakyat kepada akaun peribadi, kerabat, kroni dan parti. Memulihkan negara daripada wabak kleptokrasi mengambil masa yang lama dan usaha mengesan wang dicuri, menjejaki leretan wang haram – laundered money trails akan melalui proses yang panjang dan rumit walaupun bertimbun-timbun selundupan telah dtemui di beberapa kediaman.

Kini kleptokrat yang sama kembali menghasut rakyat dengan menyemai kebencian kaum, menyebar ketakutan agama dan menabur fitnah merata-rata. Itulah disebut oleh Bridget Welsh sebagai the same “old” playbook of the ex PM – denial and defensiveness, cash-and-carry politics, ratcheting up race and religious rhetoric and the use of underhanded undemocratic tactics.

Kleptokrat lama kini gigih mencari rakan-rakan bagi menubuh gagasan bagi mencabar PH serta mengembalikan kemaruknya ingin berkuasa semula.


MENANGANI CABARAN KESENJANGAN POLITIK

Menurut Anwar Ibrahim, kesejengangan – political disconnect  berlaku kerana apa yang diandaikan oleh ahli politik tidak semestinya menjadi hakikat di bawah, bukan menjadi realiti di lapangan. Ia tidak mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat. Ini memerlukan satu perubahan, satu kebangkitan lebih bermakna dan lebih bererti. Rakyat resah apabila melihat kebebasan belum boleh menjamin keadilan. Kedua-dua perlu disejajarkan nilai dan polisinya. Bagaimana kebebasan dan keadilan itu diterjemahkan ke dalam kepedulian pasaran dan menginsafi derita rakyat?

Menangani kesenjangan juga adalah  bagaimana untuk mempertahankan prinsip berwacana dalam keadaan pertembungan perbedaan – a serious discourse in a coalition of contentious forces. Wacana perbedaan pandangan di kalangan ahli politik dan masyarakat lebih tajam lagi dengan ledakan maklumat pintar sentuhan jari.

Selepas perubahan, it cannot be business as usual – bukan urusan cara lazim seperti dulu lagi. Kita perlu berwaspada tentang persekongkolan elit ekonomi – politik. Pakatan Harapan akan hanya relevan jika ada pembaharuan nilai dan polisi kepada sistem – supaya tiada lagi berlaku pembaziran dan ketirisan.  Setakat perbandingan dengan UMNO/BN sudah tidak cukup kerana BN/UMNO mewakili sistem yang bobrok dan rosak. PH tidak tertegak kerana ia hanya lebih baik daripada BN tetapi tertegak kerana menjanjikan, mengikrarkan pembaharuan dan reformasi.

Jika masih bergelut dengan pertembungan sengit politik dalaman maka bagaimana dengan kepentingan perjuangan nasib rakyat. Perubahan mestilah bermula dengan mengenepikan persoalan politik kepartaian dari segi pergelutan biasa. PH perlu melihat kerangka besar idealisme perjuangan. Ribut politik singgung negeri, cabang dan ranting seolah-olah memadamkan isu besar yang dihadapi rakyat – kemiskinan, kepapaan, harga barang yang meningkat dan tahap kefahaman yang remeh di kalangan rakyat.

Apa sebenarnya yang dipertahankan dan dijadikan ciri sahsiah kepimpinan yang boleh ditonjolkan? Oleh itu, kita harus mempertahankan tradisi keilmuan dan tarbiyyah bagi mengisi kemenangan. Ini kerana, hendak memimpin ini menuntut kepada sikap yang lebih tegas dan berani. Idealisme yang lebih baik. Ilmu yang lebih mendalam. Perlu menggarap, menanggapi, menilai dan menangkap maksud kerangka perjuangan yang lebih besar agar tidak akan terbawa-bawa dan terheret dengan tuntutan semasa. Jika isu besarnya ekonomi maka isu sebenarnya adalah tentang keadilan, pemerataan, isu keadilan ekonomi atau ekonomi teragih.

Kalau kita tidak faham kerangka ini kita akan terbawa-bawa,  contohnya, kepada isu bagaimana mempertahankan kepentingan kelompok – seolah-olah terseret kepada kancah perkauman bukan lagi kepada kerangka besar keadilan sosial.

Pakatan Harapan mesti mendahului, menerajui dan meletakkan agenda dominan dengan mempamerkan kejayaannya, program dan perlaksanaan, agar menunjukkan dengan cara paling berkesan apa kerjabuatnya serta  melakar naratif tersendiri ‘Malaysia Baharu’. PH tidak boleh membiarkan UMNO serta rakan-rakan barunya serta kepentingan politik sempit menyampuk dan menentukan halatuju.

PH harus mendepani dengan menggembleng semangat patriotisme dan kenegaraan, mengukuhkan kesepakatan moral rakyat dan aspirasi keadilan sosial, menangani dan menjambatani perhubungan kaum agar saling memahami serta hidup bersama berharmoni, melakukan reformasi institusi-institusi dan melaksana transformasi sosial. PH harus tetap dengan agenda besar reform, mengembalikan maruah dan integriti, memulihkan ekonomi dan membawa penjenayah kleptorasi ke muka keadilan bukan melayani setiap angkara picisan serta onar sensasi.


TRADISI ILMU, IBRAH DAN KEPIMPINAN

Nahdah Islamiyyah memerlukan dipupuk dan dibina atas pendidikan Islam yang kuat. Sultan Salahuddin al Ayyubi yang hebat itu adalah suatu contoh teladan terbaik kepimpinan umat. Perubahan tidak akan berlaku jika tiada usaha-usaha persediaan dilakukan melalui pemerataan pendidikan, kesedaran awam dan disiplin tinggi. Pengalaman Salahuddin melakarkan riwayat bersejarah - kecenderungan dan trend untuk melakukan perubahan - untuk islah dan tajdid. Kekuatan Salahuddin al Ayyubi datang daripada tradisi ilmu di nizamiyah, universiti-universiti yang subur berkembang di rantau itu. Salahudin tidak akan muncul sekiranya tidak ada tradisi keilmuwan,  da’wah and tarbiyyah di seluruh negeri  Iraq pada era itu. Kesedaran dan kebangkitan itu datang daripada pendidikan yang mantap.

Bagi memastikan kelestarian dan kemampanan kuasa rakyat dan keupayaan membawa reformasi serta transformasi bermakna, Dr Siddiq Fadil menawarkan formula dengan menyingkap qisasul anbiya’ kisah Rasul-Rasul a.s. dalam al Qur’an dan model Dhul Qarnayn di dalam surah al Kahfi.

Bani Israil berada berkurun lama berhamba dibawah naungan memukau Firaun. Mereka hilang maruah insan, tandus harga diri, menjadi penakut bacul dan tak punya jiwa pejuang maka mereka warisi dan terima perhambaan hina turun temurun. Keadaan ini hasil kefasadan iman menjadikan alpa dan lupa  hingga sorang insan menjadi angkuh dan bongkak mengagongkan diri dan brutal. Manusia yang meletakkan nafsunya sebagai pujaan. Daripada tahap fasad al nufus – kefasadan jiwa kepada fasad sosial - fasad al mujtama. Hubungan  kemanusiaan retak berkecai. Hilang saling hormat menghormati, persaudaraan, kebersamaan, kerjasama dan sifat ingin melakukan kebaikan. Sebaliknya dipupuk saling benci membenci, mementingkan diri sendiri dan permusuhan sepanjang zaman menjadi resam. Mereka yang melampau batas kemanusiaan menjadi dewa bermaharajalela dan mereka yang lemah menjadi hamba diperas dan dipergunakan dewenang-wenangnya.

Nabi Musa a.s. berdepan dengan kedegilan Bani Israil. Musa disifatkan dengan qawiyyul amin – kompeten dan beramanah. Selama 40 tahun Bani Israil merayau dalam buangan di tengah-tengah padang pasir panas dan gersang bagi melangsungkan hidup. Jiwa perjuangan sebahagian watak sesebuah bangsa. Jiwa pejuang tidak dibina secara serta merta setelah teruk luntur dan reput. Tanpa kesedaran sejati, kepekaan dan ruh perjuangan, bangsa jatuh disebabkan fasad dan menjadi pengecut (al jubn) dijangkiti cinta dunia dan takut mati (al wahn). Bayangkan situasi generasi Islam yang terpaksa menerima agama tanpa dimensi jihad.

Menurut Mawlana Abul Hasan Ali an Nadwi, Yusuf a.s. mengetahui bahawa tidak ramai orang pada masa itu yang beramanah serta mereka sering menipu. Mesir memiliki banyak gudang-gudang simpanan jelapang biji-bijian tetapi di dalamnya kosong melompong. Yusuf a.s. menyedari bahawa ada yang mengkhianati rakyat jelata. Yusuf a.s. memerhati orang yang curang dan mencuri khazanah negara yang dikurniakan Allah s.w.t.  Dia melihat betapa banyak, jenuh dan melimpah ruahnya kekayaan negara tetapi ia kian hilang lesap.

Harta kekayaan negara habis lesap di tangan-tangan pemimpin-pemimpin dan para pengelola yang mengurus khazanah itu. Mereka tidak takut kepada Allah s.w.t. Mereka menghidang makanan kepada anjing-anjing mereka tetapi rakyat biasa tidak mempunyai apa pun untuk dimakan. Mereka menghiasi rumah-rumah mahligai kediaman mereka dengan boros dan berlebihan tetapi rakyat biasa tidak mempunyai  sehelai pakaian pun.

Rakyat biasa tidak akan menikmati apa-apa manfaat daripada perbendaharaan negara Mesir kecuali jika seorang Bendahara yang jujur dan berpengetahuan dilantik. Bendahara yang jujur tetapi tanpa berpengetahuan tidak akan tahu bagaimana untuk mengurus dengan bijaksana. Sebaliknya, seorang bendahara yang berpengetahuan tetapi tanpa kejujuran akan menipu rakyat dan menggunakan perbendaharaan untuk tujuan kepentingan diri sendiri.

Yusuf a.s. seorang yang beramanah dan berpengetahuan – hafizun ‘alim. Dia tidak boleh terima atau bertoleransi dengan pemimpin, pengelola dan mereka yang diamanahkan tetapi membohongi rakyat serta mereka merampas menggeledah harta kekayaan milik rakyat jelata.  Yusuf a.s. tidak dapat menerima lagi melihat pihak berkuasa dan autoriti yang menginjak-injak hak rakyat. Yusuf a.s. tidak rela melihat rakyat kelaparan dan mati  kebuluran.

Yusuf a.s. tidak malu kerana memperjuangkan kebenaran dan menegakkan keadilan. Dia memberitahu raja Mesir:
"Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan (hafizun ‘alim)." (Surah Yusuf 12:55)

Begitulah Yusuf a.s. diberikan amanah menjaga dan mentadbir harta kekayaan dan khazanah negara Mesir. Rakyat jelata berasa lega dan sangat gembira, lalu mereka memuji Allah s.w.t.

Al Qur’an ditanzilkan dan menyampaikan kepada Nabi Muhammad – sebuah cerita terindah, kisah terbaik, ibrah yang manis – ahsan al qasas, pada Surah Yusuf. Pengajaran besar kisah ini adalah jika seorang Mu’min beriman mempunyai sahsiah Islamiyyah dan dikurniakan hikmah kebijaksanaan, dia mampu menawan seluruh negara hanya dengan kekuatan keperibadiannya. Ibrah kehebatan Nabi Yusuf a.s. mengajar kita bahawa seorang yang memiliki sahsiah yang tinggi dan mulia akan berjaya walaupun terpaksa mengharungi dugaan berat, mehnah dan fitnah dengan hidayah petunjuk Allah serta pertolonganNya.

Dhul Qarnayn mempamerkan kepimpinan transformasional merubah watak sebuah bangsa yang hidup diancam teroris Yajuj Majuj.  Dhul Qarnayn pemimpin global ulung dan hebat mengurustadbir. Dalam pengembaraannya, dia menemui satu bangsa yang jahil, lemah dan malas diambang ditimpa bahaya. Bangsa ini menawarkan habuan dan upah tetapi Dhul Qarnayn menolak kerana tidak mahu mengeksploitasi orang yang lemah dan terkebawah.  Dhul Qarnayn tidak meminta ganjaran atau ghanimah untuk berkhidmat. Sebaliknya, dia memberdayakan bangsa itu, melibatsertakan mereka dalam projek pertahanan raksaksa. Dengan demikian, mereka menjalani proses perkongsian pendidikan dan menggembling potensi mereka sendiri untuk berjaya. Bersama-sama mereka membina penyelesaian kejuruteraan, tembok menghalang kemaraan Yajuj Majuj, mengatasi kelemahan dalaman mereka sekaligus menangani ancaman luar.  

Shaykh al Qaradawi menegaskan panduan ilmu yang mantap, keperluan fiqh mencapai kefahaman mendalam bagi menangani cabaran-cabaran zaman. Kita amat mengharapkan pimpinan ulama dan zu’ama menekuni saranan ini dalam mencerahkan, mencerdaskan dan memajukan maqasid al shariah, siyasah syar’iyyah dan fiqh al mu’asir. Antaranya fiqh al dawlah, fiqh al awlawiyat, fiqh al muwazanat, fiqh al taghyir, fiqh al sunan, fiqh al aqlanah, fiqh al tahrir dan fiqh al tamkin. Politik kezaliman, al istibdaad al siyasi dan  fiqh al istibdaad hendaklah dibenteras.


ISTIQAMAH DAN IDEALISME PERJUANGAN

Kebijaksanaan Rasulullah dan Harta Ghanimah:

Selepas peperangan  Hunayn harta ghanimah yang banyak dibahagi-bahagikan kepada Muhajirin dan lain-lain tetapi bukan kepada Ansar sehingga mereka berasa tidak berpuashati.

Rasulullah memanggil semua kaum Ansar berkumpul bertemu dengannya. Setiap butir bicara Rasulullah yang tenang dan teratur telah mencetuskan suasana keharuan di lubuk hati para Ansar.

Sabda Rasulullah ,
Kamu marah, saudara-saudara Ansar, hanya karena sekelumit harta dunia yang hendak aku berikan kepada orang-orang yang perlu dijinak hatinya agar mereka sudi masuk Islam, sedang keIslamanmu sudah sedia kukuh.

Tidakkah kamu rela saudara-saudara Ansar, apabila orang-orang itu pergi membawa kambing, membawa unta, sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah ke tempat kamu?

Maka demi jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, apa yang mereka perolehi tidaklah lebih baik daripada apa yang kamu perolehi!

Kalau tidak kerana hijrah, tentu aku termasuk orang Ansar. Jika orang ramai melalui suatu jalan di celah-celah gunung, dan Ansar melalui jalan yang lain, nescaya aku akan melalui jalan orang Ansar.
Golongan Ansar ini seperti pakaian dalamanku, dan orang lain seperti di pakaian luaran. (Menunjukkan betapa dekatnya Rasulullah saw dengan golongan Ansar)

Allahumma ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar dan cucu-cicit Ansar.”

Jawapan yang diberikan Rasulullah telah membuatkan jiwa mereka remuk redam. Mereka menangis sehingga air mata mereka membasahi janggut mereka. Seorang tua daripada Ansar berkata,

Kami telah meredhai Rasulullah sebagai bahagian dan pemberian kepada kami.”


Dr Razali Nawawi pernah berseloroh bertanya kepada kepada sahabat-sahabatnya  samada kita memilih ‘tokoh idealisme perjuangan atau kambing’ setelah kemenangan pilihanraya dan pembebasan.

Satu rahsia kelangsungan Ikhwan al Muslimin terletak pada suatu dimensi aktif organisasi Ikhwan iaitu organisasinya berfungsi bukan sahaja sebagai hiraki tetapi bertindak melenyapkan cita-cita aspirasi peribadi serta ego individu. Perangai mementingkan diri sendiri yang lazim terdapat di dalam masyarakat kita dan masyarakat umum hampir tidak wujud di kalangan anggota Ikhwan al Muslimun. Organisasi ini tidak mengendahkan atau melayani golongan elit. Setiap anggota diseru agar hanya berkhidmat untuk Islam. Ini bermakna berjuang dan berkhidmat bersama Ikhwan tanpa mengharapkan langsung kepada ganjaran atau keuntungan peribadi.


KESATUAN BANGSA MALAYSIA

Dr Siddiq Fadzil merupakan tokoh terulung mempelopori gagasan Fiqh Kewarganeraan dan anjuran citra kesatuan Bangsa Malaysia. Kemenangan PRU 14 menandakan dan mengiktiraf realiti kemajmukan negara adalah sebagai aset negara bukan beban masalah.    Menurut Dr Siddiq Fadzil, Malaysia sebuah negara demokratik dan politik Islam menerima demokrasi yang berintikan prinsip hak rakyat memilih pemerintah, hak rakyat berpartisipasi dalam melaksanakan pemerintahan dan hak rakyat menentukan sistem pemerintahan yang mereka inginkan sejauh yang tidak bertentangan dengan prinsip dan nilai Islam.

Malaysia adalah negara bermasyarakat majmuk di mana Muslim dan bukan-Muslim mendapat taraf kewarganegaraan penuh (muwatinun). Semua kaum dan golongan berhak memelihara dan mempertahankan jati diri keagamaan dan kebudayaan masing-masing dan kepelbagaian ini wujud sebagai ciri khas masyarakat Malaysia.

Dr Siddiq menekankan bahawa kepelbagaian tidak seharusnya menjadi punca silang sengketa. Islam menjadikan damai (salam) sebagai prinsip pelayanan terhadap orang lain. Selama berabad-abad umat Islam telah membuktikan semangat salam dalam interaksi mereka dengan kaum-kaum lain dan ini harus dilestarikan.

Semua golongan dengan jati diri keagamaan dan kebudayaan yang pelbagai itu harus bergabung membentuk satu ummah siyasiyyah yang inklusif dengan memakai acuan Perlembagaan Madinah. Dari perlembagaan tersebutlah terumusnya formula pembentukan bangsa Malaysia, kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Bingkai kesatuan yang berupa persaudaraan kemanusiaan, persaudaraan kenegaraan, kesepakatan komitmen terhadap dasar-dasar kenegaraan seperti rukun negara, bahasa kebangsaan dan lain-lain di samping perkongsian nilai-nilai kemanusiaan sejagat seperti patriotisme, integriti moral, kebebasan, keadilan, persamaan, hak asasi manusia dan sebagainya.


KHATIMAH

Seringkali kita diingatkan bahawa penglibatan dalam politik ini hanya menurut garis panduan umum sahaja dan bersifat ijtihadiy. Kita berpegang kepada prinsip-prinsip asasi Islam dan maslahah ummah. Itulah erti non-partisan. Umat Islam cukup dan padu dengan nilai kukuh dan penghayatan agama berdasarkan prinsip-prinsip murni yang boleh maju berkembang dalam segenap suasana. Penyesuaian kepada keperluan-keperluan konteks semasa tidak bermakna orang Islam menggugur dan meleraikan nilai dan prinsipnya.  Penyuaipadanan bermakna orang Islam boleh menghayati agamanya dengan harmoni bersama masyarakat.

Mafhum hadith “dan jangan jadi seperti orang yang menuruti orang ramai, mengatakan ‘pendapat aku bergantung kepada apa kata orang ramai. Jika semua baik, aku akan baik. Kalau sebaliknya, aku turuti juga.’ Tetapi pegang kepada kebenaran. Jika orang ramai baik, kamu baik. Dan  jika mereka tidak baik, kamu jadikan mereka baik.” (al Tirmidhi)

Demikianlah secebis permasalahan dan cabaran yang muncul bersama perubahan baharu. Warisan regim lama terlalu rosak dan binasa sehingga para reformis yang menempuh jejaknya juga berisiko terjebak dengan padah yang lalu.

Pimpinan negara hendaklah beristiqamah, berkompetensi tinggi dan mengekalkan kewibawaan. Rakyat mesti terus meyakini dan meletakkan harapan mendokong penuh gerakan Islam dan kebangkitan rakyat agar mencapai matlamat tinggi perubahan. Transformasi manusia adalah suatu yang boleh dicapai dan ini mesti diyakini dengan teguh.

Trend dan kuasa-kuasa radikal akan menangguk di air keruh dan berusaha gigih mengucar-kacirkan keadaan.  Musuh luar dan dalam bertungkus lumus bekerja kuat mahu kegagalan dan kemusnahan pembaharuan negara. Pihak yang hilang kuasa tidak akan berhenti menyemai kekeliruan dan mengapi-apikan huru hara. Tidak ada ruang untuk bersikap lalai dan leka.

Ekonomi manusiawi, baru dan adil bagi hendaklah diutamakan dan ditegakkan bagi memastikan kecukupan dan kebebasan daripada rakyat meminta-meminta dan ternanti-nanti. Di antara kritikan ke atas Freedom and Justice Party di Mesir  adalah semacam ketiadaan program ekonomi yang mantap dan begitulah jika dinilai program parti-parti berlandaskan politikal Islam.

Tarbiyyah, pengisian dalaman, pengsucian jiwa, pembaikan watak dan kekuatan kerohanian tidak boleh terpisah daripada landasan dan mesti menjadi pengkalan serta bekalan wajib pimpinan serta aktivis.

Bagi meraih hasil terbaik demokrasi, gerakan Islam hendaklah berupaya mengolah dan mengartikulasi posisi Islam dengan tepat dan penuh bererti. Demokrasi mesti memastikan keadilan untuk semua dan menjamin kualiti hidup rakyat sejahtera.

Seperti pesanan Dr Daud Bakar, sekarang bukan lagi masa slogan “Islam adalah Penyelesaian” tetapi hendaklah “Bagaimana Islam menyelesaikan masalah manusia.”

Perlu juga direnungkan hikmah bidalan seloroh Dr Siddiq Fadzil tentang ‘bagaimana untuk menangkap ikan tanpa mengeruhkan air kerana dengan cara kita sekarang memang berselerakan keruh air seperigi namun semua ikan lepas lari’.




No comments:

Post a Comment