Thursday, October 4, 2018

DR SIDDIQ FADZIL: HIJRAH KE MALAYSIA BAHARU




HIJRAH KE MALAYSIA BAHARU:  MENCARI MAKNA DI BALIK KATA
Siddiq Fadzil

(Teks syarahan sempena penerimaan Anugerah Tokoh Ma`al Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun 1440H/2018H)


Mukadimah

Secara peribadi saya merasakan anugerah ini terlalu besar, sehingga saya menjadi takut-takut dan malu-malu menerimanya. Takut-takut andainya termasuk dalam golongan yang disebut oleh al-Qur’an, “mereka yang suka dipuji atas amal yang sebenarnya tidak mereka lakukan” (Ali `Imran:188). Malu-malu andainya termasuk orang yang tidak tahu diri; bakti setitik mahu laba selaut, amal sekepal ingin untung segunung. Tetapi secara simbolik anugerah ini sangat bermakna. Ia adalah penghargaan bagi seluruh para ilmuwan da`i dan pendidik umat. Izinkan saya mewakili mereka menerima anugerah ini, meskipun saya tahu mereka telah mengikhlaskan segalanya tanpa mengharap apa-apa selain keredaan Allah.

Memang ia adalah suatu penghormatan, tetapi penghormatan yang membawa pesan. Pesan di balik penghormatan itulah yang memberatkan, iaitu pesan ketekalan menghayati semangat hijrah, dan pesan perjuangan menghijrahkan umat ke Malaysia Baharu, Malaysia yang lebih baik. PRU-14 telah menghantarkan kita ke gerbang Malaysia Baharu, tetapi Malaysia yang lebih baik baru bermula dan belum dimaknai secara tuntas. Penciptaan Malaysia baru adalah hasil suatu perjuangan panjang dengan pengorbanan yang tidak terperi. Demikian sukarnya meruntuhkan suatu sistem, tetapi lebih sukar lagi melakukan rebuilding.

Transformasi Kemanusiaan dan Kebudayaan

Membangun sistem baru di atas kerosakan sistem lama bukan pekerjaan mudah, apa lagi jika yang rosak adalah manusia dan budayanya. Dalam membangun Malaysia Baharu, yang paling kritikal adalah manusia dan budayanya. Justeru, itulah yang pertama harus baharu dalam Malaysia Baharu. Apalah erti Malaysia Baharu jika sekadar menggantikan si A dengan si B, sedang mentalitinya, mind-setnya, nilai-nilai hidupnya, karakternya dan budayanya masih tetap sama. Kerana itu yang seharusnya menjadi agenda utama Malaysia Baharu ialah transformasi kemanusiaan dan kebudayaan (human and cultural transformation).

Sebenarnya telah lama isu transformasi kemanusiaan diwacanakan, sejak Za`aba mengangkat tema kemiskinan Melayu yang berpangkal pada “kemiskinan perangai” (1927) hinggalah ke zaman Mahathir Mohamad menggagaskan “Melayu Baru” (1992). Tetapi tidak pernah ada agenda transformasi kemanusiaan yang serius dan berterusan.

Kali ini kita tidak boleh mengabaikannya lagi. Malaysia Baharu harus melaksanakan agenda transformasi kemanusiaan dan kebudayaan dengan objektif membina jiwa dan minda baharu, atau meminjam ungkapan Franzt Fanon (ahli falsafah terkenal dari Martinique dan pemikir ulung perjuangan anti-kolonial di Algeria), the invention of new souls.

Memang demikianlah sunnatu ‘Llah dalam perubahan nasib bangsa seperti yang terungkap dalam al-Qur’an. Ayat 11 surah al-Ra`d menyebut syarat Tuhan merubah keadaan sesuatu kaum, “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri merubah apa yang ada pada dirinya ”. Yang berkuasa merubah nasib sesuatu kaum adalah Tuhan. Tetapi dengan syarat, perubahan harus dimulai oleh kaum itu sendiri dengan merubah jiwa dan minda mereka. Demikianlah, Tuhan meletakkan syarat taghyir al-nufus (perubahan jiwa dan minda) untuk merubah nasib bangsa. Ini bererti transformasi kemanusiaan harus berpangkal dari perubahan jiwa bangsa dengan membina jiwa yang beriman dan jiwa yang menyerap nilai-nilai luhur akhlak mulia.

Transformasi kebudayaan pula harus dimaknai sebagai internalisasi set nilai yang dapat mengangkat martabat kemuliaan dan daya maju bangsa, terutama nilai agama, nilai akhlak, nilai ilmu dan nilai ekonomi. Antara nilai agama dan nilai akhlak yang perlu ditegakkan ialah nilai malu yang merupakan nilai teras ajaran Islam sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi s.`a.w., “Setiap agama mempunyai akhlak, dan akhlak Islam ialah malu”. Sifat malu adalah kekuatan moral yang dapat mengawal seseorang dari melakukan perbuatan keji. Sifat malu juga adalah ciri orang bermaruah. Justeru, orang bermaruah malu berperilaku tidak bermoral, malu melakukan korupsi, malu menganggotai organisasi korup, malu diperintah kerajaan korup, malu dipimpin ketua korup, malu ditipu dan diperbodoh, malu menjadi bangsa yang ketinggalan, malu negaranya disebut kleptocracy at its worst.

Selain terkait dengan maruah, nilai malu juga terkait dengan nilai ekonomi. Dalam pemikiran Melayu tradisi, ekonomi disimbolkan dengan “emas” sebagaimana hari ini emas masih menjadi ukuran nilai mata wang. Hubungan nilai malu dengan nilai ekonomi terungkap dalam kata pusaka, “kain pendinding ruangan, emas pendinding malu”. Maksudnya, emas dalam erti kekuatan ekonomi adalah penutup malu. Orang Melayu malu kalau tidak memilki kemampuan ekonomi. Kekuatan ekonomi bagi orang Melayu adalah soal survival dan maruah bangsa. Hakikat inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan “hilang rupo dek penyakit, hilang bangso dek tak beromeh”.

Malu adalah nilai teras budaya Melayu, dan kerana itu Melayu sebagai satu bangsa sejatinya adalah bangsa yang pemalu. Dalam perbendaharaan bahasa Melayu tradisional terdapat ungkapan “sehina semalu” yang bererti sama-sama hina dan sama-sama malu. Ungkapan tersebut menunjukkan bahawa malu adalah sifat kolektif bangsa Melayu. Apabila kita menjadi bangsa yang kehilangan sifat tahu malu atau sense of shame, itu bererti telah terjadi suatu malapetaka moral dan budaya.

Penyair ternama Taufiq Ismail mengungkapkan tragedi moral dan budaya yang menimpa negerinya lewat puisinya MALU AKU JADI ORANG INDONESIA. Antara bait-bait puisi tersebut:

Di negeriku budi pekerti mulia di dalam kitab masih ada,
tapi dalam kehidupan sehari-hari bagai jarum hilang
menyelam di tumpukan jerami selepas menuai padi.
Langit akhlak rubuh, di atas negeriku berserak-serak,
Hukum tak tegak, doyong berderak-derak.
Berjalan aku di Roxas Boulevard, Geylang Road, Lebuh Tun Razak.
Berjalan aku di Sixth Avenue, Maydan Tahrir dan Ginza.
Berjalan aku di Dam, Champs Elysees dan Mesopotamia.
Di sela khalayak aku berlindung di belakang hitam kacamata
Dan kubenamkan topi baret di kepala
Malu aku jadi orang Indonesia.
(1998)

Dengan nurani kepenyairannya yang peka, Taufiq Ismail meluahkan rasa malunya dengan bencana keruntuhan “langit akhlak” di negaranya. Kedaulatan undang-undang diinjak-injak oleh hakim-hakim korup yang bermain mata dengan penjenayah, para elit penguasa yang leluasa melakukan korupsi, memperkaya diri dan kroni tanpa sedikit pun berasa malu. Semua bentuk kebejatan moral itu terbuka dan terdedah di hadapan mata dunia sehingga para budayawan moralis yang diwakili oleh penyair Taufiq Ismail menjerit “malu aku jadi orang Indonesia!”. Nilai-nilai moral: malu, amanah, kejujuran, keadilan hanya ada dalam kitab-kitab akhlak dan tasawuf, tetapi sudah tidak ada dalam kehidupan nyata.

Kebejatan moral sebenarnya adalah fenomena yang telah menyejarah. Dalam khazanah kepujanggaan Melayu kita menemukan gambaran kebejatan perilaku yang terumus dalam ungkapan-ungkapan berikut:

Beriman di mulut, hati berlumut
Beriman di lidah, hati menyalah
Lidah bercabang, langkah menyilang
Tamak harta, mabuk dunia
Loba pangkat, lupa akhirat
Kemaruk puji, lupa diri.
Ke tengah memfitnah, ke tepi mendengki
Ke laut menghasut, ke darat mengumpat
Ke hulu menipu, ke hilir menyindir
Ke atas mengampu, ke bawah melapah
Ke gunung menyombong, ke lurah menyumpah.
Berkawan dengan setan, berguru pada nafsu
Beraja pada selera, bersahabat pada maksiat.
Dalam musyawarah berbantah-bantah
Dalam berunding tuding-menuding
Dalam helat cacat-mencacat.
Sesama keluarga laga-melaga
Sesama kawan makan-memakan
Sesama sahabat sebat-menyebat
Sesama bangsa paksa-memaksa.

Demikianlah hikmah kebijaksanaan dan ketajaman daya renung pujangga silam dalam melukiskan sebuah gambaran moral deficit yang merentas zaman, dari dahulu hingga sekarang. Ternyata personifikasi sosok manusia yang digambarkan dalam ungkapan-ungkapan puitis tersebut memang wujud, hadir di tengah kita, terutama dalam kalangan elit politik dan elit ekonomi masa kini. Segalanya berpunca dari krisis rohaniah, kedangkalan iman yang hanya sebatas lidah dan bibir, tidak tembus menyerap ke pedalaman jiwa. Justeru, jiwa yang tidak dibersihkan dengan siraman iman adalah jiwa yang sakit, tempat bersarangnya segala penyakit rohaniah: nifaq, hubbu ‘d-dunya, hubbu ‘l-jah, kibr, riya’, hasad dan lain-lain sejenisnya. Ekspresinya yang paling jelas ialah kemunafikan budaya. Di mana-mana ada kepura-puraan: berwajah ganda, bermuka dua, pura-pura memberi, diam-diam mencuri; pura-pura menyantun, tahu-tahu menyamun; pura-pura warak, alih-alih merompak; pura-pura membela, tiba-tiba memperkosa.

Budaya serakah dan tamak telah mewabak, lalu menyuburlah gaya hidup bermewah-mewah, berlumba-lumba mempamerkan kekayaan, melakukan pembaziran yang melampau-lampau, sombong dengan kekayaan dan angkuh dengan kekuasaan. Di mana-mana menggejala sikap mementingkan diri, mengampu yang di atas, sambil menginjak rakyat kecil yang di bawah. Sementara itu budaya politik kita sudah tercemar parah dengan politik fitnah, politik pecah-belah dan politik memaksa dan menekan.

Penegakan Moral Politik

Betapapun kerosakan yang telah berlaku, Malaysia Baharu harus dijayakan dengan membangun semula moraliti bangsa. Antara yang utama ialah penegakan moral politik dan moral ekonomi. Pada masa lalu pencemaran budaya politik memang cukup memprihatinkan. Ramai ahli-ahli politik yang sudah mengalami kematian idealisme. Politik “siapa dapat apa” telah lama membudaya. Politik mereka bukan lagi politik maslahah rakyat, tetapi politik kepentingan diri. Yang penting bukan lagi nilai-nilai kebenaran dan keadilan, tetapi kekuasaan dan kekayaan. Yang dirasakan bukan beratnya tanggungjawab, tetapi sedapnya menjadi orang besar. Untuk itu mereka rempuh nilai-nilai agama dan mereka langgar norma-norma budaya: bujur lalu melintang patah.

Ramai ahli politik yang dengan leluasa mencabul budaya kehalusan dan kesantunan. Politik sudah menjadi lahan subur bahasa caci-maki, sumpah-seranah dan carut-marut. Lihat sahaja Parlimen kita yang biasa disebut “dewan yang mulia”, tetapi selalu ribut perang mulut dengan bahasa yang tidak selayaknya. “Dewan yang mulia” tempat bersidangnya ahli-ahli “Yang Berhormat” seringkali dicemari ucapan-ucapan dangkal, emosional, kasar dan kesat. Malaysia Baharu tidak seharusnya menerima budaya berbahasa sedemikian. Dalam rangka penegakan moral politik, kita perlu membangun ragam bahasa politik yang santun, dan membina komunikasi politik melalui wacana yang sopan. Dengan semangat Malaysia Baharu, atas nama pengundi-pengundi PRU-14 kita menginginkan sebuah parlimen yang cerdas, rasional dan santun.

Memang parlimen adalah gelanggang debat. Adu kekuatan hujah memang wajar, tetapi seharusnya didasari semangat saling hormat dan saling menghargai. Orang Melayu juga biasa berdebat, malah kadang-kadang berkelahi. Tetapi Melayu mempunyai gaya tersendiri dalam berkelahi. Seperti yang diungkapkan oleh S.N. Usman Awang: Berkelahi cara Melayu, menikam dengan pantun, menyanggah dengan senyum. Kita telah sepakat menerima sistem demokrasi berparlimen, tetapi tentunya bukan tanpa syarat. Ia tidak seharusnya menghakis nilai-nilai kesantunan dan kehalusan yang menjadi bahagian daripada jati diri Melayu-Muslim. Lewat puisinya MELAYU, S.N. Usman Awang dalam nada gurauan memberikan pemerian tentang kesantunan Melayu dengan bait-bait berikut:

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Agenda transformasi kemanusiaan dan kebudayaan harus dapat membina bangsa yang berkarakter, beradab dan berintegriti. Dalam pemikiran Melayu, manusia unggul disebut “orang budiman”. Memang kata “budi” adalah istilah kunci yang merangkumi seluruh nilai luhur Melayu. Pencitraan orang budiman terumus dalam ungkapan-ungkapan tradisional berikut:

Dada lapang fikiran panjang
Pantang berbual memburukkan orang
Pantang bercakap lidah bercabang
Pantang menumit dari belakang
Hati bersih fikiran jernih
Sayang tidak memilih kasih
Marah tidak mencari selisih
Bila duduk, duduk berguru
Bila tegak, tegak bertanya
Bila bercakap, cakap beradat
Bila diam, diam berisi
Bila berjalan mencari kawan
Bila musyawarah, mencari muafakat
Bila menghukum mencari adil.
Hidup memegang wakil
Matinya memegang amanah
Ke laut tidakkan hanyut
Ke darat tidakkan sesat
Ke hulu tidak berseteru
Ke hilir tidak membazir
Ke gunung tidak bertarung
Ke lembah tidak terhina.
Yang sakit dijenguk-jenguk
Yang senang dijelang-jelang
Yang dekat diingat-ingat
Yang jauh ditinjau-tinjau
Yang kaya disapa-sapa
Yang susah dipapah-papah.
Yang berat sama dipikul
Yang ringan sama dijinjing
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicecah
Sekuku sama dibagi
Setitik sama dipalit.


Ungkapan-ungkapan puitis tersebut memuatkan kearifan lokal, pancaran hikmah kebijaksanaan kolektif umat Melayu silam. Ia tidak hanya mendiskripsikan watak individu budiman, tetapi juga masyarakat budiman yang memiliki kekuatan akal budi dan kemuliaan budi pekerti. Barangkali seperti itulah gaya Melayu dahulu mengungkapkan idealisme politik santun, masyarakat bertamadun dan beradab, dan masyarakat penyayang yang berkeadilan sosial. Demikianlah ideal politik Melayu budiman yang diungkapkan pada tataran normatif.

Harus diakui bahawa ideal tidak sentiasa sama dengan realiti. Tradisi politik yang kita warisi tidak semuanya menepati prinsip dan nilai kebenaran, keadilan dan kebebasan. Sejarah politik zaman dinasti dan monarki berkuasa mutlak banyak mencatatkan pelbagai penyimpangan sehingga rakyat rata-rata hidup terbelenggu dan tertindas. Sementara itu fiqh politik zaman tersebut pula umumnya mengambil pendekatan mengharamkan perlawanan terhadap kezaliman penguasa demi menghindari bahaya yang lebih besar.

Pada era demokrasi dan kuasa rakyat, keadaan tersebut seharusnya berakhir. Tetapi ternyata kesewenang-wenangan terus berlaku apabila trias politica dirosakkan dengan menundukkan semua: eksekutif, lagislatif dan kehakiman di bawah pengaruh dan kuasa kerajaan. Nasib malang tersebut ditambah lagi apabila sebahagian ulama menerapkan fiqh politik prademokrasi dengan mengharamkan protes rakyat terhadap kezaliman penguasa, meskipun protes tersebut dilakukan secara aman (silmiyyah) yang sah di sisi syarak, undang-undang dan amalan demokrasi.

Umat harus dibebaskan dari cengkaman pemikiran ulama yang diistilahkan oleh al-Kawakibiy sebagai fuqaha’ al-istibdad (ulama fiqh penindasan). Kita memerlukan fiqh politik baharu yang membebas dan memerdekakan umat. Memang politik kita dalam era Malaysia Baharu harus politik pembebasan atau emancipatory politics. Politik pembebasan adalah bahagian daripada politik maqasidi, iaitu politik yang disemangati objektif khidmat pelayanan demi maslahah dan manfaat bagi umat keseluruhannya.

Maslahah umat dalam konteks Malaysia Baharu harus diertikan secara luas dan inklusif, tidak terbatas hanya dalam kalangan umat Muslim, tetapi meliputi seluruh rakyat -- Muslim dan bukan Muslim. Untuk merealisasikan objektif rahmat sejagat (rahmatan li al-`alamin) Islam harus berperanan aktif mewujudkan kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya. Maslahah yang inklusif bererti pemerataan khidmat dan manfaat kepada warga kemanusiaan seluruhnya. Memang kaum Muslimin adalah umat ukhrijat li al-nas, umat yang ditampilkan untuk berbakti kepada manusia sejagat. Seterusnya, Islam juga harus mempelopori pembentukan bangsa Malaysia dalam pengertian ummah siyasiyyah (umat politik) mengikut acuan Sahifah Madinah, berasaskan formula “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”. Politik merealisasikan semangat Perlembagaan Madinah dalam masyarakat majmuk adalah politik mulia. Demikianlah sebahagian daripada moral politik yang seharusnya mencirikan era Malaysia Baharu, era berakhirnya politik adu domba perkauman sempit.

Politik di mana-mana banyak dikaitkan dengan budaya berbohong. Pemerintahan bentukan politik bohong tidak lain adalah regime of lies, kerajaan penipu yang tidak mengamalkan ketelusan, menyembunyikan fakta, memalsukan fakta dan memutarbelitkan fakta. Keadaan ini semakin dianggap normal walaupun hakikatnya abnormal, kerana pada dekad-dekad kebelakangan ini kebenaran (truth) sudah tidak bernilai lagi. Tragedi yang menimpa kebenaran ini diisyaratkan oleh gejala percambahan istilah dan kata-kata seperti truth decay, post-truth, the truth has died dan lain-lain yang semakna. Seiring dengan itu tumbuh pula istilah-istilah yang merujuk makna penafian kebenaran seperti fake news, fake science, fake history, alternative facts dan sebagainya. Keadaan ini diperparah oleh pemikiran pascamodenisme yang menolak adanya kebenaran sejagat (universal truths). Yang ada hanya kebenaran kecil yang personal dalam pengertian persepsi peribadi yang dibentuk oleh budaya dan perkembangan sosial semasa di lingkungannya.

Apabila kebenaran sudah tidak dihormati dan dihargai, politik bohong pun menjadi-jadi. Michiko Kakutani dalam bukunya The Death of Truth menyebut betapa dahsyatnya politik bohong Presiden Trump,

Trump, the forty-fifth president of the United States, lies so prolifically and with such velocity that The Washington Post calculated that he’d made 2,140 false or misleading claims during his first year in office -- an average of nearly 5.9 a day. His lies -- about everything from the investigations into Russian interference in the election, to his popularity and achievements, to how much TV he watches -- are only the brightest blinking red light of many warnings of his assault on democratic institutions and norms. (Kakutani, M. 2018: 13-14).

Kebenaran, termasuk yang sifatnya objektif, empirikal dan berasaskan bukti (evidence-based) sudah tidak diiktiraf lagi. Autoriti sudah tidak penting, yang penting populariti. Segalanya sudah menjadi serba subjektif. Kebenaran harus diselamatkan segera sebelum terkubur dalam politik bohong. Untuk itu Malaysia Baharu harus mengamalkan politik moral yang komited terhadap misi pendaulatan nilai kebenaran dan kejujuran.

Sikap benar dan jujur sedang terancam di segala ranah kehidupan masyarakat. Ketidakjujuran tidak hanya wujud di ranah politik, tetapi sudah menggejala di mana-mana, di mahkamah, kepolisan, institusi akademik dan keusahawanan. Harian KOMPAS, 16 Oktober 2017 memuatkan makalah jajak pendapat (survey) tentang seriusnya masalah kebohongan di Indonesia dengan judul besar “Kebohongan Publik Semakin Mencekik”. Jajak pendapat tersebut mendapati bahawa “kebohongan yang berakibat fatal bagi orang lain dan masyarakat itu dipandang publik sudah dalam kondisi sangat parah (50,7 persen) dan kondisi parah (43,1 persen).” Antara sebab utamanya ialah tindakan undang-undang yang tidak tegas, hukuman yang kurang berkesan, kerenah birokrasi yang berbelit-belit, dan sikap masyarakat yang terlalu mudah memaafkan. Keadaan ini menimbulkan kekhuatiran bahawa berbohong akhirnya akan menjadi budaya. Memang ada kajian antropologis yang menemukan bahawa bagi budaya tertentu berbohong sudah dianggap lazim. Ia tidak lagi dilakukan oleh individu, tetapi telah menjadi budaya masyarakat keseluruhannya (JA Barners, A Pack of Lies: Towards a Sociology of Lying, 1994). Tanpa langkah-langkah penanganan yang serius, “kebohongan publik bakal mengoyak sendi-sendi kejujuran fondasi bangsa.” (KOMPAS, 16 Oktober 2017, hlm. 5).

Penegakan Moral Ekonomi

Hikmah kepujanggaan bangsa dalam kata-kata pusaka yang dipetik di atas juga memberikan gambaran tentang distributive justice dan pengagihan kueh negara yang saksama dalam masyarakat tradisional. Ternyata Melayu tradisi sudah mengenal ekonomi yang bermoral: ekonomi gotong-royong, ekonomi timbang-rasa dan ekonomi manusiawi yang kini disebut human economy, ekonomi kerakyatan yang dibina dengan peranserta rakyat demi maslahah dan kepentingan rakyat. Justeru, ekonomi yang humane adalah ekonomi maslahi-maqasidi. Memang antara maqasid ekonomi Islam ialah realisasi maslahah, terutama maslahah kaum dhu`afa’ (fakir-miskin). Dengan kata lain, ekonomi maqasidi adalah ekonomi needs-oriented, bukan ekonomi kapitalistik yang hanya menjadi urusan eksklusif orang kaya demi kepentingan orang kaya.

Agar harta itu tidak hanya berkisar hanya dalam lingkungan orang-orang kaya dari kalangan kamu. (Al-Hashr:7).

Maslahah tidak terlaksana jika ekonomi diserahkan sepenuhnya kepada mekanisme pasar yang selalu dimanipulasi oleh segelintir manusia super kaya yang rakus dan mementingkan diri. Untuk merealisasikan maslahah, pemerintah harus berperanan seperlunya sesuai dengan kaedah:

تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة
Bahawa pelayanan pemerintah terhadap rakyat terikat dengan maslahah.

Demikianlah yang dilakukan oleh khalifah `Umar ibn `Abd al-`Aziz sebagaimana yang dicatat oleh al-Shaykh Yusuf al-Qaradawiy dalam bukunya Mushkilat al-Faqr. Dikatakan khalifah yang terkenal adil, zuhud dan bijaksana itu telah melaksanakan dasar pemberdayaan petani-petani kecil melalui skim kredit pertanian yang didanai oleh khazanah negara. Ternyata skim pemberdayaan petani kecil telahpun dilaksanakan dalam sejarah ekonomi Islam ratusan tahun sebelum dunia mengenal bank kredit pertanian. (Al-Qaradawiy, Y. 1994: 153).

Ekonomi bukan cuma urusan orang kaya, dan bukan cuma urusan para ekonomis. Hakikatnya, ekonomi adalah bidang pelbagai dimensi. Ada dimensi kuantitatif dan kualitatifnya, di samping ada pula dimensi kemanusiaan dan kebudayaannya. Kerana itulah saya berani ikut berbicara untuk mempertanyakan posisi dan peranan manusia dan budayanya. Pembangunan ekonomi sebenarnya sangat terkait dengan budaya dan watak sesuatu bangsa. Tetapi dimensi inilah yang selalu diabaikan. Budaya telah mengalami pendangkalan semantik sehingga ia banyak ditanggapi hanya sebagai hiburan semata-mata. Sistem pendidikan kita juga belum cukup berjaya menerapkan nilai-nilai unggul yang merupakan esensi kebudayaan.

Pengabaian terhadap dimensi budaya dalam pengertian tersebut akan berakibat kegagalan membina bangsa yang berwatak dan berakhlak. Bahaya dan bencana kehilangan watak atau karakter yang utuh dan tangguh diungkapkan dalam peribahasa Inggeris: When wealth is lost, nothing is lost; when health is lost, something is lost; when character is lost, everything is lost. Malang sekali andainya dimensi budaya (nilai-nilai hidup, karakter dan mind-set) terus-menerus diabaikan dalam konteks pembangunan dan perubahan ekonomi. Mungkin para pemimpin dan perancang pembangunan perlu membaca buku Lawrence Harrison dari Harvard Center for International Affairs yang berjudul Underdevelopment is a State of Mind: The Latin American Case. Buku tersebut menyerlahkan fakta bahawa budayalah yang menjadi kendala kemajuan Amerika Latin.

Ekonomi tidak dapat dibangun semata-mata dengan institusi, teknologi dan infrastruktur. Pembangunan ekonomi memerlukan dukungan the right culture atau budaya yang tepat. Ia memerlukan dukungan etos kerja yang kuat, nilai-nilai motivasi yang kuat dan nilai-nilai moral yang kuat. Malah lebih daripada itu semua ia memerlukan kekuatan rohaniah keagamaan yang tentunya lebih bererti daripada spiritual capital dalam wacana pengurusan ekonomi konvensional. Memang, kekuatan dan kekayaan rohaniah adalah pembawa barakah hasanatan fi al-dunya dan hasanatan fi al-akhirah.

Ahli-ahli ekonomi seharusnya berjiwa besar, mengakui bahawa sesungguhnya ilmu ekonomi ketika ini sedang bermasalah. Ronald Coase, Profesor Emeritus dari University of Chicago yang pernah memenangi hadiah Nobel itu telah menulis makalah berjudul Saving Economics from the Economists. Beliau meluahkan kekecewaannya terhadap ilmu ekonomi yang kini semakin terpisah dari pengajian tentang manusia, dan malah semakin terpisah dari dunia nyata praktik perekonomian. Menurutnya, ilmu ekonomi yang tadinya merupakan both a study of wealth and a branch of the study of man, kini sudah tercabut, bukan sahaja dari kajian kemanusiaan, tetapi juga dari the working economy. Mungkin kerana kekecewaan itulah Ronald Coase kemudiannya menerbitkan jurnal Man and the Economy. Semangat tersirat di balik nama jurnal tersebut ialah keinginan mengembalikan manusia ke dalam ilmu ekonomi. (Coase, R. 2012:36).

Hijrah ke Malaysia Baharu harus dimaknai sebagai hijrah ke pentadbiran maslahi, iaitu pelayanan pemerintah terhadap rakyat menerusi dasar-dasar yang sejalan dengan maslahah, termasuk dasar ekonomi yang berkeadilan, yang membebaskan rakyat kecil dari belitan lingkaran setan kemiskinan. Orang miskin tidak memilih menjadi miskin, tetapi dipaksa miskin oleh sistem yang memeras dan menindas. Hakikat inilah yang cuba diungkapkan oleh Muhammad Yunus, pengasas Bank Grameen (Bangladesh) dan pemenang hadiah Nobel keamanan, apabila beliau mengatakan, “Poverty is not created by the poor. It is created by the structures of society and the policies pursued by society.” (Yunus, M. 2007:205). Demikian juga halnya dengan negara-negara miskin. Bukan mereka tidak mempunyai keinginan untuk membangun dan maju, tetapi seperti yang disebut oleh Jason Hickel, mereka dihalang daripada membangun, “... they are being actively prevented from doing so.” Ini bererti kemiskinan memang sengaja dicipta oleh negara-negara maju, lalu beliau menyimpulkan, “After all, as we will see, poverty doesn’t just exist. It is created.” (Hickel, J. 2017:23).

Malaysia Baharu harus diisi dengan perjuangan menangani segala faktor penyebab kemiskinan yang menggejala di mana-mana. Demikianlah kenyataannya, kemiskinan tidak hanya wujud di pedalaman desa terpencil, kemiskinan juga wujud di tengah gemerlap kota. Pembangunan bandar tidak semestinya bererti keadilan sosial. Seperti yang disebut oleh Gunnar Myrdal tentang pembandaran dan kemiskinan di Asia Selatan, “Instead of symbolizing growth, as it did in the West, urbanization in South Asia is an aspect of continued poverty.” (Myrdal, G. 1977:68-69). Nama Gunnar Myrdal dan bukunya Asian Drama mungkin sudah jarang kedengaran. Tetapi itu tidak memadam kebesarannya sebagai autoriti klasik dalam kajian kemiskinan sehingga Profesor Emeritus dari University of Stockholm itu disebut sebagai the Adam Smith of poverty. Jika Adam Smith menulis tentang the wealth of nations, Myrdal sebaliknya menulis tentang the poverty of nations.

Sama seperti yang kita nyatakan sebelum ini, Myrdal juga mengatakan bahawa isu pembangunan dan kemiskinan tidak dapat ditangani tanpa mengkajinya dalam kerangka politik dan sosial yang lebih luas, kerana menurutnya gejala kemiskinan sangat terkait dengan pelbagai faktor seperti pendidikan, nilai-nilai budaya, dasar ekonomi dan politik. Biar bagaimanapun kompleksnya, kemiskinan bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan. Malaysia Baharu adalah kesempatan bagi kaum dhu`afa’ merubah nasib. Dalam karya monumentalnya Asian Drama, Myrdal mengatakan bahawa nasib manusia  dalam drama pentas tidak sama dengan nasib manusia dalam sejarah. Dalam drama pentas segalanya sudah ditetapkan dalam skrip, tetapi dalam sejarah dan kehidupan sebenar, manusia masih mempunyai pilihan dan alternatif, “... it is within the power of man to shape it. And the drama thus conceived is not necessarily tragedy.” (Myrdal, G. 1977: 15-16).

Malaysia Baharu juga seharusnya menjadi era baharu bagi Islam untuk berfungsi sepenuhnya sebagai agama rahmat pembebasan dari segala belenggu, termasuk belenggu penjajahan ekonomi, baik penjajahan kuasa luar mahupun penjajahan oleh bangsa sendiri. Dalam bukunya Mushkilat al-Faqr wa Kayfa `Alajaha al-Islam, al-Qaradawiy mengungkapkan “teori Qaruni” yang merujuk pemikiran kapitalistik ala-Qarun. Intinya adalah individualisme ekstrem dengan segala kebejatan moralnya, bahawa setiap orang bertanggungjawab ke atas nasib dirinya sendiri, bebas dalam segala tindak-lakunya, dan bebas memperlakukan segala harta kekayaan miliknya. Ertinya, si miskin sendirilah yang bertanggungjawab atas kemiskinannya. Ia bukan salah sistem, bukan salah negara, bukan salah kapitalis, dan bukan salah masyarakat. Orang kaya – sekaya mana pun – tidak memikul tanggungjawab sosial menolong orang miskin – semiskin mana pun, dengan dalih bahawa orang kaya boleh menjadi kaya bukan kerana bantuan sesiapa, tetapi semata-mata kerana keunggulan dan kehebatan dirinya (personal merit).

Memang demikianlah pola fikir Qarun dan kaum hartawan sejenisnya sebagaimana yang dipaparkan dalam surah al-Qasas: 77-78. Qarun tidak mempunyai rasa tanggungjawab berbakti kepada masyarakat kaumnya, kerana tidak merasa terhutang budi kepada siapa-siapa. Ia mendabik dada, bangga menjadi kaya hasil pengetahuan dan kepintarannya sendiri.

قال انما اوتيته على علم عندى

Sikap egois, individualistik dan sombong sedemikian memang menjadi watak kaum kapitalis yang terjelma dalam sosok seorang Qarun. Al-Qur’an mendedahkan hakikat sebenar bahawa jutawan kroni Fir`aun itu menjadi kaya raya dengan menindas dan memeras kaumnya. Kerana itu padanlah Qarun menjadi simbol abadi penjajahan ekonomi oleh bangsa sendiri. (Al-Qaradawiy, Y. 1994:9-10). Malaysia Baharu harus dibangun dengan moral ekonomi berasaskan nilai dan hukum agama, di samping nilai budaya warisan bangsa.

Malaysia baharu juga seharusnya bererti era baharu bagi demokrasi. Proses demokratisasi perlu diperhebat di segala ranah kehidupan berbangsa dan bernegara. Demokrasi harus segar dan subur membudaya dalam kehidupan rakyat. Yang kita maksudkan bukan sekadar demokrasi-demokrasian, tetapi esensi hakikinya. Esensi demokrasi seperti yang disebut oleh Prof. Dr. Sri-Edi Swasono ialah partisipasi dan emansipasi, yang apabila diterjemahkan dalam agenda pendemokrasian ekonomi bererti rakyat mendapat ruang berpartisipasi aktif dalam kegiatan ekonomi, dan seterusnya teremansipasi atau terbebas daripada penindasan, diskriminasi dan ketidakadilan. Pendemokrasian dalam pengertian tersebut akan mengangkat martabat rakyat dari mangsa menjadi peserta. Dengan demikian demokrasi partisipatif-emansipatif akan mewujudkan kesetaraan kemanusiaan, dan mengakhiri hubungan “tuan – hamba” atau “taoke – koelie” dalam kalangan sesama rakyat yang merdeka dan berdaulat. (Anwar Abbas, 2010:vii-xvi).

Hijrah ke Malaysia Baharu hanya akan bererti apabila keadilan sosial terlaksana. Setelah 61 tahun merdeka, ternyata masih ada rakyat yang belum menikmati agihan kueh negara secara saksama. Ertinya, distributive justice atau pemerataan keadilan belum berlaku sebagaimana mestinya. Kerana itu agenda pendemokrasian ekonomi harus menjadi keutamaan untuk membela nasib mereka yang diabaikan selama puluhan tahun. S.N. Usman Awang dalam puisinya Pak Utih, mengungkapkan kisah derita petani miskin di desa pedalaman yang telah sekian lama diabaikan. Pak Utih adalah simbol mangsa janji kemakmuran yang tidak ditepati. Puluhan tahun menanti keadilan ekonomi, namun nasib Pak Utih semakin memburuk:

Pak Utih punya lima anak
Teratak tua dan sebidang tanah huma
Di kota pemimpin teriak-teriak
Pilihan raya, kemerdekaan rakyat
Kemakmuran dari dunia sampai akhirat.

Dua puluh tahun kemudian kehidupan ekonomi Pak Utih tidak bertambah baik, malah sebaliknya menjadi lebih buruk. Tanah sebidangnya telah lama tergadai, lalu hidup terlonta-lonta, setiap hari mencari upah untuk menghidupi sepuluh orang cucunya. Setiap pagi Pak Utih menimang cucu-cucunya dengan menyanyikan lagu “timang tinggi-tinggi”, tetapi liriknya telah diubah. Aslinya adalah:

Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Sudah pandai baca kitab.

Entah kerana kecewa, entah kerana putus asa, Pak Utih merubah lirik lagu pusaka tersebut,

Pak Utih punyai sepuluh cucu
Ditimangnya tiap pagi
Dinyanyikannya lagu;
Timang tinggi-tinggi
Dapur tak berasap
Bila besar nanti
Duduk dalam lokap.

Siapakah Pak Utih sebenarnya? Pak Utih mungkin bapa saudara anda, mungkin sepupu anda, atau mungkin juga sanak saudara anda. Kerana itu Pak Utih dan rakan-rakannya yang senasib menjadi mangsa ketidakadilan mesti dihijrahkan ke Malaysia Baru yang berkeadilan sosial.

Khatimah

Di balik kata Malaysia Baharu tersirat makna segunung harapan terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjaminnya keselamatan. Segala harapan tersebut hanya akan dapat direalisasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya. Malaysia Baharu harus benar-benar suatu departure, suatu anjakan mendasar dari era sebelumnya, era yang tercedera dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pelanggaran hak asasi manusia dan keruntuhan nilai-nilai moral. Memenuhi harapan tersirat di balik ungkapan Malaysia Baharu adalah misi besar yang amat mencabar. Sejarah mencatatkan ada tokoh dunia yang sangat berjaya menghancurkan suatu sistem, tetapi gagal melakukan rebuilding. Mudah-mudahan ini tidak akan berlaku dalam Malaysia Baharu.

Bacaan

Al-Qaradawiy, Yusuf. 1994. Mushkilat al-Faqr wa Kayfa `Alajaha al-Islam. Beirut:
Mu’assasat al-Risalah.
Anwar Abbas. 2010. Bung Hatta dan Ekonomi Islam: Menangkap Makna Maqasid al-
Syari`ah. Jakarta: Kompas.
Coase, Ronald. 2012. Saving Economics from the Economists, dlm. HARVARD BUSINESS
REVIEW, December 2012.
14
Effendy, Tenas. 1989. Ungkapan Tradisional Melayu Riau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Hart, Keith dan rakan-rakan (ed.). 2014. The Human Economy. Cambridge: Polity Press.
Hickel, Jason. 2017. The Divide: A Brief Guide to Global Inequality and its Solutions.
London: Windmill Books.
Kakutani, Michiko. 2018. The Death of Truth. New York: Tim Duggan Books.
Myrdal, Gunnar. 1977. Asian Drama. London: Pelican Books.
Othman Puteh (penyt.). 1999. Tongkat Warrant Seniman Agung. Kuala Lumpur: Utusan
Publications.
Sayuti, Suminto A. 2005. Taufiq Ismail: Karya dan Dunianya. Jakarta: Grasindo.
Siddiq Fadzil, 2016. Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan. Shah
Alam: Institut Darul Ehsan (IDE).
Yunus, Muhammad. 2007. Banker to the Poor. New York: Publicaffairs.
------------------------ 2007. Creating a World Without Poverty. New York: Publicaffairs.
KOMPAS, 16 Oktober 2017.


KDH/IDE/UNISEL/JAKIM
4 Oktober 2018.



No comments:

Post a Comment