Thursday, October 11, 2018

KEMBALIKAN ANWAR IBRAHIM KE PARLIMEN




PENYATAAN MEDIA

MARI KITA KEMBALIKAN ANWAR IBRAHIM SELAYAKNYA KE PERSADA PARLIMEN MALAYSIA


Langkah Port Dickson adalah strategi politik yang sah dan normal untuk kembali ke Parlimen dalam keadaan seperti yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim kerana langkah ini menepati undang-undang serta cara rakyat sebagai pemilih dapat dengan sah mengembalikan seorang pemimpin pilihan mereka ke Dewan Rakyat yang mulia. Ini adalah tatacara yang demokratik yang telah pernah dilalui dan terbukti sebelum ini.

Anwar Ibrahim merupakan seorang ahli parlimen dan ketua pembangkang sebelum dia dipalit dengan tuduhan palsu yang mengakibatkan hukuman penjara yang lama serta telah membatalkan statusnya sebagai Ahli Parlimen.

Dia telahpun dibebaskan dan diberi pengampunan sepenuhnya oleh Kebawah DYMM Yang di Pertuan Agong yang telah membebaskannya daripada sebarang kesalahan dan juga telah menghapuskan semua catatan kesalahan jenayah daripada rekodnya.

Anwar Ibrahim adalah bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) , iaitu rakan kongsi dalam Pakatan Harapan (PH), parti pemerintah sekarang ini. Beliau adalah ketua perunding dan pendamai dalam usaha untuk membentuk pakatan politik yang berkesan dan berjaya memenangi PRU14 pada 9 Mei 2018.

Dia juga Perdana Menteri menunggu yang telah dipersetujui dalam perjanjian secara rasmi oleh Tun Dr Mahathir dan semua rakan-rakan PH serta dia diterima secara umum oleh rakyat. Tempat dan tanggungjawab Anwar Ibrahim adalah untuk berada di persada sana untuk memimpin negara ke arah kejayaan jika rakyat mengundi dan memilihnya.

Anwar Ibrahim adalah seorang rakyat Malaysia, seorang Muslim yang komited, seorang Melayu, seorang demokrat dan dia berjuang untuk keadilan dan kebebasan bagi semua rakyat Malaysia, dan tidak ada sebarang masalah atau percanggahan dalam semua ini.

Kita perlu mendedahkan dan menghentikan pengkritiknya yang melampau, yang pada satu sisi, mahu melukisnya sebagai 'liberal' dan 'menggadai prinsip', sementara yang pada sudut ekstrim yang lain pula memfitnahnya sebagai ‘Taliban’.

Anwar Ibrahim telah dengan konsisten sepanjang hidupnya sebagai seorang yang gigih berusaha serta berkorban untuk reformasi dan pembaharuan, memerangi rasuah, bekerja keras untuk akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, memperjuangkan politik idealisme, menekankan pentingnya moral dan etika dalam mempertahankan demokrasi serta menegakkan keadilan yang merentas bangsa dan agama, demi untuk semua rakyat Malaysia .

Kemenangan Anwar Ibrahim bermakna meletakkan politik negara dalam keadaan stabil serta pelaksanaan terancang dan teratur pelan penggantian kepimpinan negara justeru menjaminkan penerusan kerajaan pasca Tun Mahathir.

Kami menggesa rakyat untuk keluar beramai-ramai dan mengundi serta memberikan kemenangan besar kepada Anwar Ibrahim.


AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

29 September 2018/19 Muharam 1440H


WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA
No 23A-2-2A, Tingkat 2, Jalan Medan Pusat Bandar 2A,Seksyen 9,
43650 Bandar Baru Bangi Selangor Darul Ehsan
(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142 (Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

No comments:

Post a Comment