Friday, February 21, 2014

KESALAHAN KASSIM



Kassim Ahmad mengulang-ngulangi kepercayaan kelompok Quraniyyun bahawa hanya Quran yang autentik dan boleh dipakai, sedang Hadith harus diketepikan kerana Hadith tertakluk kepada kesilapan manusia (human errors). ‘Percanggahan-percanggahan’ Hadith-Quran dan Hadith-Hadith serta kepalsuan-kepalsuan dalam Hadith, dilihat menjadi sebab perpecahan umat Islam yang berterusan dan menjadi punca keterbelakangan umat. Nama orang lain tergolong dalam ahl al-Quran atau munkir al-hadith ialah seperti Rashad Khalifa di Tucson, Arizona.

Sejak dulu lagi hujjah kelompok ini telah dijawab dengan tegas seperti yang dilakukan oleh al-Shafi'i dalam kitab Jima'al-'Ilm dan juga oleh Ibn Qutaybah dalam Ta'wil Mukhtalif al-Hadith. Kassim sendiri telah berdialog dalam sesi yang dianjur oleh ABIM pada tahun 1986 ekoran penerbitan buku kontroversial beliau ‘Hadith: Satu Penilaian Semula’. Hujjah-hujjah beliau telah dipatahkan satu persatu dan hasilnya sebuah buku diterbitkan berjudul ‘Islam dan al-Hadith: Dialog Bersama Kassim (1991). Sekalipun demikian, pendirian beliau tidak berubah. Pegangan beliau dengan Kod 19 Rashad Khalifa dan pendewaan terhadap aqal yang keterlaluan, masih kekal (termasuk dalam menentukan Hari Akhirat yang dijangkanya akan berlaku tahun 1710 Hijrah atau 2280 Masehi). Saya tidak fikir dialog baru akan membawa apa-apa faedah.

Kesalahan beliau yang fatal ialah menolak Hadith sebagai sumber hukum yang otoritatif dan berpegang hanya dengan al-Quran. Muhammaad s.a.w., dalam konteks ini, dilihatnya bagaikan seorang ‘posmen’ yang hanya menjadi penyampai yang tidak penting – didakwanya tanpa Muhammad sekalipun, risalah Islam boleh disampaikan dengan sempurna. Kerana itu Hadith dan Sunnah tidak mempunyai tempat yang signifikan dalam Islam menurutnya. Satu persoalan timbul: Bagaimana menentukan bahawa kata-kata itu dari Allah kalau tidak berdasarkan kenyataan Muhammad s.a.w. Seperti yang dihujjahkan oleh Gibril Haddad dalam ‘The Sunnah as Evidence: The Probativeness of the Sunna’, bahawa dasar Islam iaitu al-Quran, dan al-Quran tidak dapat dipastikan sebagai ‘Firman Allah’ kalau seseorang itu menolak Sunnah, kerana yang menegaskan bahawa Quran itu benar dari Allah, adalah berdasarkan kenyataan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Katanya lagi, “Tidak dapat kita bayangkan seseorang yang menolak wibawa Sunnah tetapi boleh kekal sebagai seorang Muslim”.

Muhammad s.a.w., tidak seperti Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s. Baginda adalah Khatam al-Nabiyyin (Penutup Para Nabi dan Pembawa Risalah Terakhir). Nabi Musa dan Nabi Isa telah ditentukan Allah hanya menyampaikan nasihat dan ajaran dari tampil sebagai manusia contoh yang lengkap. Tetapi Baginda Rasulullah s.a.w. bukan sekedar menyampaikan ajaran dan risalah tetapi juga tampil sebagai contoh ikutan (role model) yang menterjemah dan memperinci perintah-perintah al-Quran dalam bentuk Sunnah termasuk hadith-hadith. Selain al-Quran sebagai sumber utama, hadith-hadith Baginda, yang dikumpul dan diriwayat berdasarkan kaedah-kaedah yang standard dan ketat, telah menjadi asas pembinaan masyarakat Islam dan tamaddunnya yang gemilang.

Kesalahan kedua Kassim Ahmad ialah penghinaan yang dituju kepada para ulama’ yang dianggapnya satu kasta paderi seperti dalam agama Kristian dan Hindu. Mereka dituduh melantik diri sendiri sebagai penafsir agama. Imam Shafi’e dituduhnya sebagai orang pertama yang mereka-reka doktrin baru menjadikan Hadith sebagai sumber hukum. Dia melihat ulama’ dengan pandangan yang amat jelik. Ulama’ baginya adalah para penipu yang memanfaat kedudukan bagi kepentingan diri, dengan menafsir agama menurut nafsu. Betapa sempitnya tempurung akalnya.

Majoriti umat mengenal sejumlah besar para cendekiawan dan ulama’ yang berwibawa, menekuni ilmu dengan penuh keikhlasan, demi membimbing umat. Mereka berusaha membersihkan kehidupan umat dari khurafat dan pemikiran-pemikiran yang menyesatkan. Mereka mewacana secara mendalam pelbagai aspek ajaran Islam dan memikirkan kaedah mengaplikasinya sesuai dengan perubahan masa dan keadaan. Mereka menulis, berdialog, mewacana bagi memperkembangkan ilmu berdasarkan semangat keilmuan yang didorong oleh al-Quran. Hasil usaha mereka terbangun revolusi intelektual yang mendorong kebangkitan kebudayaan tamadun Islam yang hebat. Ilmu, pemikiran dan nasihat-nasihat mereka, berjaya mempertahan kedudukan Islam sekalipun di saat-saat paling lemah. Sebahagian besar dari Ilmu dan Hikmah yang dibangunkan oleh mereka menjadi khazanah berharga yang tetap segar dan applicable walaupun masa telah berubah.

Dalam konteks kita, ulama’ yang bertaqwa, tulus dan tekun, setia kepada kebenaran dan keadilan, akan dihormati selayaknya. Mereka mempertahankan kesucian agama dengan mempertaruhkan jiwa raga mereka. Mereka mengorbankan seluruh kehidupan mereka demi agama dan umat. Tuduhan bahawa umat Islam adalah bodoh lalu mendewa-dewakan ulama’ dan menganggap mereka sebagai maksum, adalah keterlaluan dan menggambarkan akal yang cetek dan sempit. Membuang ulama’ dan para cendekiawan Islam bermakna membuang separuh dari khazanah ilmu dan tamaddun Islam yang tidak ternilai dan mnggelapkan separuh dari dunia. Kehebatan para ulama’ dan peranan mereka dalam menjaga (safeguarding) umat adalah ciri yang terang, jelas dan menonjol. Kemunculan segelintir pseudo-ulama’ di mana-mana dalam sejarah adalah fenomena biasa, namun itu tidak akan mampu memadam jasa sejumlah besar ulama' tulen yang telah mengorbankan seluruh hidup mereka demi agama dan umat sejagat.

Kesalahan ketiga ialah pendewaan terhadap kemampuan akal manusia (baca: akal dirinya). Ulama’ dilihat memonopoli penafsiran agama. Tanpa kita menafikan adanya ulama’ jadi-jadian yang menafsir agama sesuka nafsu, umumnya ulama’ mempunyai disiplin tertentu dalam membahaskan isu-isu yang berkaitan dengan agama. Ulama’ biasanya/seharusnya memiliki keupayaan bahasa Arab yang baik (sewajarnya bersama bahasa Inggeris dalam konteks hari ini), menguasai dan memahami ilmu-ilmu berkaitan al-Quran dan al-Sunnah, dan memiliki persyaratan untuk berijtihad. Dari sini muncul istilah-istilah qawa’id fiqhiyyah, siyasah syar’iyyah, maqasid al-syari’ah yang memandu mereka membuat keputusan. Mereka perlu mengambilkira pengetahuan berkaitan fiqh al-awwaliyyat, fiqh al-muwazanah, fiqh al-waqi’ dan lain-lain.

Barangkali dengan pensyaratan yang ketat ini, tidak ramai mereka yang melayakkan diri untuk berijtihad dan membuat tafsiran. Maka sebagai jalan mudah, mereka tidak mengiktiraf lalu mengenepikan semua syarat ini. Bagi mereka cukup dengan hanya menggunakan aqal rasional. Dengan cara begini ‘monopoli ulama’ dapat dipecahkan, hingga sesiapa sahaja boleh menafsirkan apa sahaja dari agama (Islam). Al-Quran pun boleh diterjemah menurut apa yang difikirkan ‘tepat’ mengikut fikiran masing-masing. Dalam banyak hal mereka biasanya akan menggunakan kaca mata golongan liberal-modernis bagi menafsir termasuk ayat-ayat al-Quran. Sebab itu mereka selalunya mengongsi pandangan yang sama dalam soal hijab, hudud, murtad, faraid dan hak-hak wanita.

Kelompok Quraniyyin (anti-Hadith) boleh pergi lebih jauh dalam kesesatannya. Kassim Ahmad misalnya, menafsir sendiri dengan menggunakan Kod 19 dan ‘petunjuk’ dari al-Quran bahawa alam Akhirat itu akan berlaku bila berakhir tempoh kerasulan Nabi Muhammad iaitu pada tahun 1710 Hijrah bersamaan 2280 Masehi, walaupun di tempat yang lain dia menyebut bahawa ‘tarikh Kiamat tidak diketahui, kecuali Tuhan’. Syurga dan neraka, katanya ‘bukan tempat, tetapi keadaan mental, emosi dan kejiwaan yang berlaku di dunia ini juga’. Demikian juga penyebutan frasa kedua dalam syahadah, ‘Muhammad al-Rasulullah’ ditafsirkan sebagai pendewaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Sekalipun mereka ini mempercayai keesaan Allah, tapi mereka menolak untuk mengikuti Muhammad, sedang Allah sendiri memerintah supaya mengikuti Baginda. Al-Quran menegaskan ‘Katakan: kalau kamu mengasihi Allah, ikutlah daku (Muhammad), nescaya Allah akan mengasihi kamu’ - Aali Imran 3:31.

Kita tidak mengetahui penghujung seseorang, termasuk diri kita sendiri. Sewajarnya kita mendo’akan mereka yang terpesong kembali sedar dan balik ke pangkal jalan. Mendekati beliau secara intelektual telah dilakukan menerusi dialog dan wacana, tetapi tidak banyak membawa perubahan. Selagi ego orang yang memanggil dirinya sebagai ‘Malaysia’s foremost thinker and philosopher’ tidak merendah ke bawah, ‘mendekatinya’ atau berdialog dengannya mungkin membuang masa. Al-Quran mengingatkan bahawa ‘Apabila orang-orang bodoh menyapa, mereka berkata: Salam (lalu beredar, tidak melayani mereka lagi) - Al-Furqan 25:63.


(disunting daripada nukilan Hj Abd Halim Ismail, Setiausaha WADAH Pencerdasan Umat)


Nota Glosari:-

The Probativeness of the Sunna’ - Hujjiyya al-Sunna – bukti kesahihan Sunnah.

Syariah- segala perintah Allah s.w.t. dalam bentuk hukum atau peraturan yang bersifat menyeluruh dan sangat luas bidangkuasanya. la merangkumi seluruh titah perintah dan ketentuan Allah yang diwahyukan samada yang ditegaskan di dalam al-Quran ataupun yang berasaskan kepada al-Sunnah. Di dalamnya terdapat aspek-aspek itiqadiyyah atau batiniyyah (hal-hal yang berkaitan dengan aqidah dan keimanan), amaliyyah (hal- hal yang berkaitan dengan ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah iaitu hal-hal yang menyentuh mengenai perbuatan atau perlakuan lahiriah manusia dalam konteks hubungan atau interaksi mereka dengan Allah s.w.t., sesama manusia, dan alam lain) dan juga aspek akhlakiyyah (yang membahaskan mengenai budi pekerti atau moral manusia sebagai individu dalam bermasyarakat dan bernegara).

qawa’id fiqhiyyah - Prinsip amali syar’ie yang menyeluruh dan meliputi semua juzu’ di bawahnya dengan nyata

Siyasah syar`iyyah ialah ilmu yang membincangkan mengenai pentadbiran sesebuah kerajaan Islam yang terdiri daripada undang-undang dan sistem yang berasaskan kepada asas-asas Islam atau mentadbir urusan umum daulah Islamiah dengan cara yang membawa kebaikan kepada manusia dan mengelakkan mereka daripada kemudharatan, tanpa melanggar sempadan syarak dan asas-asas kulliyyah walaupun dalam perkara yang tidak disepakati oleh ulama mujtahidin.

maqasid al-syari’ah - fokus utama maqasid atau tujuan syariah untuk menjamin kemaslahatan atau kebaikan kepada semua manusia dan pada masa yang sama menghindarkan kemudharatan atau keburukan yang mungkin menimpa mereka.

Fiqh - bermaksud keilmuan atau kefahaman mengenai hukum-hakam syariah yang bersifat amali yang difahami melalui dalil-dalllnya yang terperinci.

fiqh al-awwaliyyat – (Fiqh Urutan keutamaan amal) -  meletakkan sesuatu pada urutannya dengan adil, dari perkara hukum, nilai dan amalan, kemudian mendahulukan yang lebih utama berdasarkan kepada timbangan syarak yang tepat, maka tidaklah perkara remeh didahulukan dari perkara penting, tidak pula perkara penting mendahulu perkara yang lebih penting, tidak juga perkara marjuh(lemah) mendahului perkara yang rajih, tidak juga perkara yang kecil keutamaannya mendahului perkara yang besar keutamaannya, bahkan hendaklah didahulukan yang berhak didahulukan serta dikemudiankan yang berhak dikemudiankan, tidak dibesarkan perkara yang kecil, tidak dipermudahkan perkara yang penting, hendaklah diletakkan setiap sesuatu ditempatnya dengan timbangan yang tepat tanpa tindakan yang melampau dan merugikan

fiqh al-muwazanah – merujuk kepada pertimbangan di antara masalih (kebaikan) dan mafasid (keburukan) di dalam menentukan keutamaan hukum.

fiqh al-waqi’ - ilmu yang membincangkan bagaimana dapat memahami keadaan semasa, faktor-faktor yang mengesani serta kuasa-kuasa yang sedang mendominasi perjalanan masyarakat. Ilmu ini melibatkan satu proses untuk mengenalpasti, menganalisis dan mentafsir isu, trend, anjakan paradigma, sentimen dan fenomena yang wujud dalam masyarakat bagi memenuhi tuntutan kontemporari syariah.



Sunday, February 9, 2014

DR SIDDIQ FADIL: MENANGANI KONFLIK SESAMA MUKMIN: TAFSIR MAUDU’IY SIRI 68


DR SIDDIQ FADIL:  TAFSIR MAUDU’IY SIRI 68
MENANGANI KONFLIK SESAMA MUKMIN (Ayat 9 & 10 surah al-Hujurat)

9. Dan apabila ada dua golongan orang Mukmin yang berperang, maka damaikanlah
antara keduanya. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlakulah adil. Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.

10. Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.


Latar Penurunan Ayat:

Penurunan ayat 9 di atas dikaitkan dengan beberapa peristiwa, termasuk yang diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari, Muslim, ibn Jarir dan lain-lain dari Anas ibn Malik r.`a. , “Bahawa seseorang menyarankan agar Rasulullah s.`a.w. mendatangi `Abdullah ibn Ubay. Junjungan s.`a.w. pun berangkat dengan menaiki keldai, sedang kumpulan Muslimin yang lain berjalan kaki. Di suatu tempat (Ard Sabikhah), keldai yang dinaiki Rasulullah s.`a.w. kencing. `Abdullah ibn Ubay lalu berkata, “Menjauhlah engkau dari aku, demi Allah, bau busuk (kencing) keldaimu mengganggu aku‟. Kata-kata itu dijawab oleh `Abdullah ibn Rawahah, “Demi Allah, bau kencing keldainya lebih harum daripada kamu!‟. Kejadian berbalas-balas kata itu sudahnya berhujung dengan perkelahian antara penyokong-penyokong kedua belah pihak, mereka saling memukul dengan pelepah (tamar), tangan dan kasut (mujur tidak sampai menggunakan pedang)”, lalu turun ayat 9 surah al-Hujurat tersebut dan Rasulullah s.`a.w. pun segera mendamaikan mereka (catatan: `Abdullah ibn Rawahah dari suku Khazraj, sementara `Abdullah ibn Ubay dari suku Aus).


Huraian Maksud Ayat:

Mesej yang terungkap dalam ayat 9 di atas adalah suatu kaedah atau formula praktikal untuk memelihara keutuhan masyarakat Islam dari ancaman perpecahan akibat gejolak emosi dan dorongan nafsu yang tidak terkawal. Memang sesuai ayat ini ditempatkan berurutan dengan pesan tabayyun atau mendapatkan kepastian tentang berita fasiq demi menghindari kegopohan bertindak tanpa dasar bukti yang pasti. Bertindak terburu-buru kerana didorong rasa marah, sebelum melakukan tabayyun selalu berakibat buruk, memangsakan orang tidak bersalah, dan akhirnya membawa penyesalan. Formula memelihara keutuhan umat dalam ayat ini terumus pada kata islah, iaitu usaha pendamaian (antara pihak-pihak yang berkonflik) dengan didasari prinsip kebenaran dan keadilan menurut hukum Allah. Lewat ayat ini al-Qur‟an mengantisipasikan kemungkinan berlakunya perang antara dua golongan mukminin. Sifat mu’minin kedua-duanya masih tetap kekal, dengan kemungkinan salah satu golongan (mukmin) itu telah berlaku zalim ke atas yang lain, atau berkemungkinan juga kedua-duanya saling menzalimi. Apabila konflik sedemikian itu terjadi, kaum mukminin yang tidak terlibat, harus segera bertindak melakukan islah, mendamaikan kedua-dua pihak yang berkonflik itu. Sekiranya salah satu pihak berlaku zalim, enggan kembali kepada kebenaran; atau jika kedua-dua pihak sama-sama berlaku zalim, berkeras tidak mahu menerima perdamaian (sulh), tidak mahu menerima hukum Allah dalam isu yang dipertikaikan, maka seluruh umat mukminin yang lain harus memerangi golongan yang zalim sehingga mereka kembali kepada perintah dan ajaran Allah iaitu menghentikan permusuhan dan menerima ketetapan Allah dalam isu yang menjadi punca permusuhan. 

Apabila golongan yang zalim itu telah bersedia untuk menerima hukum Allah, proses islah harus dilaksanakan berasaskan prinsip keadilan yang murni dan disemangati ketaatan kepada Allah demi mencapai ridha-Nya. Perintah melakukan islah dan memerangi golongan yang zalim dalam ayat 9 ini terutamanya ditujukan kepada golongan penguasa (wulat al-umur). Merekalah yang seharusnya bertindak cepat mendamaikan dengan menasihati dan menyeru mereka kembali kepada hukum Allah, serta menyelesaikan masalah-masalah yang menjadi punca pertikaian. Kecepatan bertindak melaksanakan islah bertujuan untuk mengembalikan keadaan normal dalam masyarakat Islam iaitu damai. Bagi masyarakat Islam konflik adalah suatu kekecualian, bukan kebiasaan. Kata in (jika) pada pangkal ayat 9 tersebut mengisyaratkan bahawa konflik atau perang tidak seharusnya terjadi dalam kalangan sesama muslimin, dan jika terjadi juga ia adalah suatu kekecualian yang jarang berlaku. Kerana itu pula memerangi golongan mukminin yang berlaku zalim (allati tabghi) dilakukan seperlunya, boleh dengan menggunakan senjata (jika perlu), atau tanpa senjata. Yang penting adalah (al-fay’ah) mengembalikan mereka kepada hukum Allah, bukan menghabisi mereka. Justeru, mereka adalah al-mu’minin, bukan kafirin dan bukan mushrikin.

Peranan orang tengah dalam sebarang konflik memang sangat penting, dan ayat 9 ini pun sebenarnya ditujukan kepada mereka. Selain diperintahkan agar bertindak cepat melakukan islah, orang tengah juga diperingatkan agar berlaku adil, memberikan hak kepada yang berhak, bukan mengambil kesempatan untuk kepentingan diri - mencari publisiti atau keuntungan politik. Segalanya harus dilakukan dengan ikhlas semata-mata demi meraih ridha dan cinta Ilahi menerusi amal keadilan (sungguh, Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil). Pada ayat 10, perintah islah (mendamaikan pihak-pihak yang berkonflik) diulangi lagi dengan mengingatkan semangat yang mendasarinya, iaitu ukhuwwah imaniyyah dan taqwa kepada Allah. Persaudaraan kaum mukminin diasaskan pada perkongsian prinsip iman. Justeru, kepada prinsip yang dikongsi bersama itulah mereka harus kembali ketika bersengketa. Selain itu segala urusan yang menyangkut hubungan sesama mukmin harus berdasar pada taqwa, rasa takut kepada Allah yang membangkitkan ghairah mentaati perintah-Nya dan kewaspadaan terhadap larangan-Nya. Asas persaudaraan dan taqwa sedemikian itulah yang akan mendorong sikap adil, tidak berat sebelah, tidak pilih kasih dan tidak pandang bulu kerana semuanya adalah saudara yang harus sama-sama didamaikan dan diselamatkan daripada kezaliman. 

Jika ayat 9 mengantisipasikan konflik antara dua golongan mukminin (ta’ifatani min al-mu’minin), ayat 10 pula mengantisipasikan konflik antara dua individu mukmin (bayna akhawaykum). Konflik pada tahap antara dua individu juga harus segera didamaikan (fa ‘aslihu…) agar tidak melarat dan meningkat ke tahap yang lebih parah. Taqwa kepada Allah yang mendasari segala urusan perhubungan sesama mukmin ketika berkonflik dan ketika berdamai akan membawa harapan curahan rahmat dari Allah s.w.t. Ternyata mesej utama ayat 9 dan 10 surah al-Hujurat adalah islah (mendamaikan). Kata fa ‘aslihu…(maka damaikanlah…) disebut tiga kali pada dua ayat yang berurutan itu. Hukum al-Bughah Pada ayat 9 terdapat kata baghat dan tabghi yang seakar dengan kata baghy dan baghin. Kata al-baghyu selalu diertikan sebagai kezaliman atau melampaui batas, sementara pelakunya disebut baghin yang kata jamaknya ialah bughah (t). Kitab al-Muharar (al-Rafi`iy) memuatkan perbahasan tentang al-bughah yang diawali dengan ayat 9 surah al-Hujurat tersebut. Memang, seperti yang disebut oleh Muhammad Hamidullah (Muslim Conduct of State) ayat tersebutlah satu-satunya asas pijakan hukum bughah. Golongan al-bughah dalam definisi kaum fuqaha‟ seperti yang dirumuskan oleh Dr. Ibrahim ibn `Aliy Sandaqjiy (pentahqiq Kitab Qital ahl al-Baghy oleh al-Mawardiy) ialah mereka yang melawan imam (pemerintah) adil, yang ingkar mematuhinya dengan enggan melaksanakan kewajipan tanggungannya (al-mukhalif li al-imam al-`adil, al-kharij `an ta`atihi bi al-imtina` an ada’i ma wajaba `alayhi). Sementara itu M. Abdul Mujieb dkk dalam Kamus Istilah Fiqih memasukkan kata bughat dengan pengertian “Bentuk jamak dari kata mufrad baghin, artinya: seorang penentang atau pemberontak yang bersenjata. Bughat berarti: Orang-orang yang mengadakan perlawanan terhadap pemerintahan yang sah kerana terjadinya kesalahfahaman politik. Pihak pemerintah wajib memerangi mereka dengan syarat: (1) Mereka memiliki kekuatan yang memungkinkan mereka mengadakan perlawanan fisik yang dapat mengancam keamanan negara; (2) Bahwa mereka bersikap memusuhi pemerintah dan tidak mengakui lagi kekuasaan pemerintah yang sah; (3) Bahwa sebab utama pemberontakan kerana terjadinya salah faham tentang politik pemerintahan”.

Al-Shaykh Muhammad al-Khatib al-Sharbiniy dalam Mughni al-Muhtaj (sharah matan Minhaj al-Talibin oleh al-Nawawiy) mengatakan bahawa ayat 9 surah al-Hujurat tersebut memang tidak menyebut secara eksplisit tentang isu melawan al-imam (al-khuruj `ala al-imam), tetapi ia bersifat umum dan inklusif yang meliputi persoalan bughah. Jika umat diperintahkan perang terhadap kezaliman suatu kumpulan orang (mukmin) ke atas kumpulan orang (mukmin) yang lain, maka lebih-lebih lagilah jika mereka menzalimi (melawan) imam (ketua negara) yang sah. Ketika menghuraikan makna mukhalafat al-imam (melawan imam), al-Sharbiniy mengatakan bahawa ia terjadi dengan salah satu daripada dua perkara: pemberontakan terhadap diri imam itu sendiri, atau dengan keengganan tunduk patuh kepadanya. Tetapi boleh juga berlaku selain dengan dua cara tersebut, iaitu keengganan melaksanakan sesuatu hak tertentu (man’i haqqin) yang memang menjadi kewajipan mereka. Misalnya, golongan yang enggan membayar zakat (mani` al-zakah), yang diperangi oleh Abu Bakr al-Siddiq r.`a., walhal mereka tidak memberontak terhadap diri peribadi khalifah tersebut. Dalam huraian selanjutnya al-Sharbiniy menyatakan bahawa mereka yang melawan imam itu menjadi bughah jika mereka memenuhi tiga syarat. Pertama, mereka memiliki shawkah atau kekuatan (jumlah yang ramai dan senjata yang banyak) yang memungkinkan mereka melawan imam, dan memaksa imam menggembleng kekuatan (persenjataan, kewangan dan tenaga manusia) untuk menghadapi mereka. Kedua, mereka berpegang pada suatu ta’wil yang mereka yakini mengharuskan pemberontakan terhadap imam atau mengharuskan mereka tidak menunaikan sesuatu hak yang menjadi kewajipan mereka. Ta’wil dalam konteks ini disyaratkan bahawa ia adalah fasid, tetapi mereka yakini sebagai justifikasi yang mengharuskan mereka memberontak. Misalnya ta’wil golongan peserta perang Jamal dan Siffin yang memberontak terhadap Imam `Aliy k.w. bahawa beliau (`Aliy) tahu siapa pembunuh-pembunuh `Uthman r.`a. dan mampu mengambil tindakan ke atas mereka, tetapi tidak melakukannya. Demikian juga ta’wil golongan yang enggan membayar zakat (mani` al-zakah) kepada Abu Bakr r.`a., bahawa mereka tidak membayar zakat kecuali kepada orang yang do`anya (membawa) kedamaian jiwa bagi mereka, iaitu Nabi s.`a.w. (al-Tawbah:103). Ketiga, adanya muta`un fihim iaitu seorang pemimpin yang dipatuhi oleh semua warganya, kerana tidak mungkin tercapainya kekuatan (syawkah) tanpa pemimpin yang dipatuhi. Golongan bughah (yang memenuhi syarat-syarat tersebut) wajib diperangi untuk mengembalikan kesetiaan mereka kepada imam. Tetapi sebelum sampai ke tahap perang, ada satu proses yang wajib dilaksanakan lebih dahulu iaitu islah. Dalam kaitan ini al-Mawardiy dalam Kitab Qital Ahl al-Baghy (sebahagian daripada karya ensiklopediknya al-Hawiy al-Kabir) menyatakan, apabila syarat-syarat yang muktabar untuk memerangi mereka telah dipenuhi, al-imam tidak boleh memulai (perang) hingga setelah menanyakan mereka tentang sebab penentangan mereka. Jika mereka menyebut tentang sesuatu kezaliman, hendaklah ia dihentikan; jika mereka menyebut sesuatu shubhah atau kekeliruan, hendaklah ia dijelaskan sehingga nyata kebenaran di pihaknya, kerana Allah s.w.t. memerintahkan islah dahulu dan kemudiannya barulah perang.

Demikianlah tahapan proses yang harus dilalui, islah dahulu perang kemudian, dan tidak sebaliknya. Memang tidak siapa pun yang berhak mendahulukan apa yang dikemudiankan oleh Allah (taqdim ma akhkharahu ‘Llah). Dalam isu memerangi kaum bughah yang selalu menjadi rujukan adalah cara Sayyidina `Aliy k.w. menangani kaum bughah Khawarij. Sebelum memerangi mereka `Aliy k.w. lebih dahulu mengutus Ibn `Abbas r.`a. kepada kaum al-Khawarij di Nahrawan untuk meminta penjelasan tentang sebab penentangan mereka dan membetulkan kekeliruan ta’wil mereka. Ibn `Abbas r.`a. berkata, “`Ali ibn Abi Talib adalah sepupu Rasulullah s.`a.w. yang juga menantunya (suami puterinya). Kalian tahu kemuliaannya, lalu apa yang kalian tentang?” Mereka menjawab ada tiga isu yang menjadi punca penentangan mereka. Pertama, `Aliy (k.w.) bertahkim dalam urusan agama Allah sedang Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya sudah lebih daripada cukup (tidak memerlukan tahkim). Kedua, ketika memerangi lawannya, `Aliy (k.w.) hanya membunuh tetapi tidak mengambil harta rampasan dan tidak menawan wanita serta anak-anak mereka. Ketiga, `Aliy (k.w.) telah memadam namanya sebagai khalifah. Ibn `Abbas r.`a. menjawab ketiga-tiga isu tersebut dengan hujah-hujah al-Qur‟an dan al-Sunnah. Pertama, tentang isu tahkim dalam agama Allah, Ibn `Abbas menyebut bahawa Allah s.w.t. sendiri bertahkim dalam agama sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Nisa’ ayat 35, “Dan jika kamu khawatir terjadi persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang juru damai dari keluarga laki-laki, dan seorang juru damai dari keluarga perempuan.” Demikian juga firman-Nya dalam surah al-Ma’idah ayat 95, “…menurut putusan dua orang yang adil di antara kamu…”. Jika isu seekor arnab yang harganya cuma satu dirham diputuskan secara tahkim, apa lagi isu besar seperti ini. Kedua, tentang sikap `Aliy (k.w.) yang hanya membunuh, tetapi tidak menawan (wanita dan anak-anak), Ibn `Abbas berhujah bagaimana andainya (dalam perang Jamal) `Aishah r.`a. (isteri Nabi s.`a.w.) menjadi tawanan salah seorang dalam kalangan mereka, apa yang akan ia lakukan? Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman, “…dan tidak boleh (pula) kamu menikahi isteri-isterinya selama-lamanya setelah (Nabi wafat)…” - al-Ahzab:53. Dalam al-Majmu` Imam Nawawiy (sharah al-Muhadhdhab) ayat yang dibaca oleh Ibn `Abbas ialah, “…dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka…” – al-Ahzab:6. Ketiga, mengenai kesediaan `Aliy k.w. memadam namanya dari khilafah ketika menulis dokumen tahkim dengan Mu`awiyah, Ibn `Abbas r.`a. berhujah bahawa Rasulullah s.`a.w. juga telah memadam namanya dari nubuwwah dalam perundingannya dengan Suhayl ibn `Amr ketika menuliskan teks perjanjian al-Hudaybiyyah. Dengan penjelasan Ibn `Abbas r.`a. tersebut, sebahagian kaum Khawarij telah kembali kepada `Aliy, sementara sebahagian lagi (sekitar empat ribu orang) tetap berkeras tidak mahu kembali. Merekalah yang kemudiannya diperangi oleh Khalifah `Aliy ibn Abi Talib k.w.

Demikianlah cara yang benar dalam menangani isu golongan bughah, iaitu dengan mendahulukan pendekatan islah, dialog, debat dan tindakan korektif. Hanya setelah usaha islah gagal barulah boleh diambil tindakan ketenteraan (perang) dengan mematuhi aturan-aturan khusus memerangi kaum bughah yang berbeza daripada cara memerangi kaum musyrikin. Justeru, mereka (al-bughah) adalah kaum mukminin, dan mereka juga adalah saudara seiman seperti yang disebut oleh Sayyidina `Aliy k.w. tentang kaum Khawarij, bahawa mereka adalah ikhwanuna baghaw `alayna (saudara-saudara kita yang memberontak terhadap kita). Dr. Wahbah al-Zuhayliy dalam kitabnya al-`Uqubat al-Shar`iyyah wa al-Aqdiyat wa al-Shahadat mengatakan bahawa memerangi kaum bughah harus dengan maksud menginsafkan mereka, bukan membunuh mereka. Kerana itu mereka yang lari tidak boleh dibunuh, yang luka tidak boleh dihabisi, yang tertawan tidak boleh dibunuh, harta mereka tidak boleh diagih sebagai ghanimah, wanita dan anak-anak mereka tidak boleh dijadikan tawanan.


Para Demonstran dalam Sistem Demokrasi

Bagaimana pula kedudukan mereka yang berdemonstrasi membantah atau menyokong sesuatu isu dalam konteks sistem demokrasi? Bughah-kah mereka? Yang pertama harus dicatat ialah hakikat bahawa kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan hak untuk berbeza (membangkang) adalah bahagian daripada sistem demokrasi moden yang telah disepakati untuk diamalkan di negara ini. Jika rakyat turun ke lapangan membantah kenaikan harga barang keperluan, sebenarnya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, mereka hanya mengamalkan hak demokratik yang sah. Jika yang mereka tuntut hanya penurunan harga barang, bukan penurunan ketua negara, lalu apa kaitannya dengan bughah dan segala implikasinya termasuk penghalalan darah?

Yang jelas para demonstran tersebut tidak memenuhi persyaratan bughah. Mereka tidak bermaksud menjatuhkan pemerintah, mereka tidak memiliki kekuatan (shawkah), mereka tidak mengingkari tanggungjawab menunaikan zakat, membayar cukai dan mematuhi undang-undang; mereka juga tidak mempunyai imam atau pemimpin rasmi yang dipatuhi segala arahannya (muta’un fihim), yang ada hanya badan penganjur yang menyelaras proses demonstrasi selama beberapa jam; dan pemerintah pun tidak pula perlu menghadapi mereka dengan kekuatan ketenteraan bersenjata canggih. Selepas beberapa jam - setelah perasaan disuarakan - mereka bersurai sendiri secara aman, tanpa melakukan sebarang kerosakan yang bererti. Pada dasarnya mereka tetap menjadi rakyat yang normal, patuh dan bertanggungjawab.

Dilihat dari perspektif agama, demonstrasi aman untuk membantah kemungkaran seperti pemborosan dan pembaziran wang rakyat dapat dianggap sebahagian daripada jihad al-kalimah (jihad menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim). Dr. Subhiy `Abduh Sa`id dalam bukunya al-Hakim wa Usul al-Hukm fi al-Nizam al-Islamiy menyebut jihad al-kalimah dalam pengertian inkar al-lisan (menolak kemungkaran secara lisan) yang diucapkan di hadapan penguasa yang zalim adalah jenis jihad yang paling utama. Bantahan dalam pengertian inkar al-lisan menurut Dr.Subhiy harus dilakukan dengan kata-kata yang dapat didengar, dibaca atau dilihat (bi kalimatin masmu`atin aw maqru’atin aw mar’iyyah). Menurut beliau lagi inkar al-lisan (memprotes kemungkaran dengan suara lantang) sedemikian itu hukumnya wajib kifa’iy bagi orang awam, dan wajib `ayniy ke atas golongan al-khasah iaitu para mujtahidin dalam kalangan ulama dan pemikir Islam. Mereka tidak boleh membisu terhadap kemungkaran kerana kebisuan mereka akan ditafsirkan oleh masyarakat awam sebagai persetujuan dan penerimaan (terhadap kemungkaran). Demonstrasi yang diniati dan disemangati menolak kemungkaran adalah amar makruf-nahi munkar bi sawtin masmu` (dengan suara yang dapat didengar secara luas). Justeru, ia adalah suatu yang sah secara syara‟ dan undang-undang (shar’an wa qanunan).


TM68 8/2/14

Kolej Dar al Hikmah

Friday, January 31, 2014

CELEBRATING THE VEIL: COMMEM0RATING WORLD HIJAB DAY


In 1981, a Palestinian student in the UK related the story of how he saw outside Yarmouk refugee camp in Syria, Muslim women had their veils ripped off by Hafez Assad’s security forces. He told of young men being held and rounded up because of having beards on their faces. Veils and beards were signs of Islamists, something which were frightening totalitarian regimes in the Arab world then.

In Malaysia in the 70’s the daughter of the foremost government leader on holiday from her studies in the UK was counseled and cajoled by religious advisers into taking off her veil which she had started to wear only after going to the UK. In the early seventies, women wearing the veil, prominent among them were University students were being mocked as ghosts, as backward people, with deriding slants such as “Kum Kum ghost”, “ghost with stockings”. One profession which vehemently opposed to the veil was the health and hospital services but faced with public pressure and greater Islamic awareness, the veil became the norm for Muslim nurses and most Muslim doctors. Recently, female artistes and celebrities marked their move in managing their appearances – their “hijrah” - by shedding their “free hair” for donning the veil, gaining praise, a larger fan base and even social status for some.

The phenomena riding the globe, Islamic resurgence, was too great and too overwhelming especially with the young and the idealists, persistently championing its symbols, for its women was the ubiquitous veil or the hijab. The hijab spread throughout campuses, streets, the countryside, schools, TV, hospitals and all over. The hijab came to stay, became mainstream, with its various forms and fashion, with its creativity and evolution. The hijab was a symbol of change for the ummah especially for Muslim women.

The hijab brought the ire of extremist secular regimes, which old Turkey was among the most notorious. Turkey had banned the hijab in public institutions, government facilities, government schools and universities. It had even unceremoniously removed a vociferous member of its parliament for wearing the veil in session. Its generals were so fanatical in their opposition that in a press conference in Washington, a reporter pointedly asked Turkey’s generals who were there on a visit, “Why do Turkey’s armed forces fear a veil on a woman’s head?”, drawing awe and surprise among the generals. But Turkey’s proud society, its social movements and changing politics made inroads in being more democratic and accommodating, including the increasing relevance of religion and its practices. In the beginning both the prime minister’s and president’s wives were being shut out of the public limelight because of their veils but it came to pass that this position was untenable and the hijab came to the fore. More democratic reform meant more freedom and restrictions to the hijab were being lifted in Turkey.

However, not all geo-political forces are ready to accept religious diversity and the freedom to dress. Old Europe seems scrambling to top the Islamophobe rankings by making discriminatory legislations, banning minarets in Switzerland, banning the veil in schools in France and others including the UK are mulling restrictions on the hijab, and the way Muslim women prefer to dress. The conservative Italian interior minister begged to differ by quipping, “How can you ask me to ban the veil, because all the pictures of Our Lady Virgin Mary show her wearing a veil!”. Down over the causeway, Singapore which has already banned the veil in schools and made restrictions on Islamic displays and rituals such as the call to prayers – the azan, it is publicly contemplating more prohibition of the veil. They appear not to take heed of US President Obama’s groundbreaking Cairo speech, where he addressed the issue, probably aimed at his European allies, questioning them on “why must there be discrimination against a woman who chooses her own way to dress and covering her head?”


There has been instances of misunderstanding and conflicts in the local scene concerning the veil but by the community keeping calm and pressing ahead to celebrate the hijab, common sense prevails. It remains a jihad – a cause - for some minorities in economically advanced nations, as it comes to unfortunately and unnecessarily symbolize a cultural clash as it reflects on the inability of modern democracies to accept plurality, cultural diversity and the freedom of women to choose their own way, their rights and personal identity. Old Europe and extremist secular nations tend to want to bar religious expressions in the public sphere, for they are unwilling to engage and debate, they seem to deny the right to an alternative world view and a religious narrative, a basic human right.

Tuesday, January 21, 2014

DR SIDDIQ FADIL: PERJALANAN MENDEKATI ALLAH

    


Gagasan Sa`id Hawwa Tentang Al-Sayr Ila 'Llah (Perjalanan Mendekati Allah): Rumusan Dan Ulasan

Dr. Siddiq Fadil

Berdasarkan huraian Sa`id Hawwa tentang al-sayr ila ‘Llah atau perjalanan mendekati Allah, dapat dirumuskan bahawa ia adalah perjalanan transformatif, iaitu anjakan dari al-iman al-`aqliy kepada al-iman al-dhawqiy. Dengan demikian iman yang tadinya hanya sebatas tahap mental-konseptual ditingkatkan ke tahap citarasa dan pengalaman rohaniah yang aktual. Memang iman bukan hanya sejenis sikap mental, tetapi juga suatu pengalaman indah yang disebut halawat al-iman (kemanisan iman).

Dalam kaitan inilah relevannya tasawwuf dalam erti tadhawwuq al-`aqidah (pencitarasaan `aqidah) dengan cara yang menepati nass dan kefahaman yang benar.

Perjalanan rohaniah mendekati Allah harus memenuhi dua rukun asasi: ilmu dan zikir. Tanpa kedua-duanya perjalanan tersebut tidak mungkin berlaku. Ilmu diperlukan sebagai penyuluh jalan, sementara zikir diperlukan sebagai bekal sepanjang perjalanan di samping sebagai alat pendakian rohaniah. Dengan kata lain, kita memerlukan ilmu (tentang al-Kitab, al-Sunnah dan segala yang berkaitan dengan keperluan-keperluan dalam perjalanan) bagi mengetahui perintah-perintah Ilahi dan segala hikmah yang tersirat untuk dilaksana dan diaktualisasikan. Kita juga memerlukan zikir (yang ma’thur atau yang disunatkan) agar Allah berkenan untuk bersama dalam perjalanan kepada-Nya sebagaimana yang diisyaratkan dalam sebuah Hadith Qudsi, “Dan Aku bersamanya apabila ia menyebut dan mengingati Aku” (Muttafaqun `alayh).


Dari segi praktiknya, memang tidak mudah melaksanakan kedua-duanya (memperdalam ilmu dan memperbanyak zikir) secara seimbang dan proportionate. Maksudnya, terdapat kalangan yang lebih menumpu pada kegiatan keilmuan, namun tetap mengamalkan zikir secukupnya; di samping terdapat pula kalangan yang lebih menumpu pada zikir, namun tetap menambah ilmu semampunya. Keadaan seperti itu sebenarnya lumrah dan tidak menjejaskan pencapaian matlamat.


Ilmu:  Asas  Ma`rifah  dan  `Ibadah

Mengenai bidang ilmu yang perlu dikuasai, Sai`id Hawwa menekankan keperluan membuat pilihan secara kontekstual dengan mengambil kira realiti zaman dan lingkungan. Ada ilmu yang wajib dipelajari oleh semua orang, dan ada pula yang tidak semua orang wajib mempelajarinya. Generasi sahabah misalnya, tidak perlu mempelajari bahasa Arab kerana ia adalah bahasa ibunda yang memang mereka kuasai dan fahami dengan baik. Mereka juga tidak perlu mempelajari tajwid kerana sebagai penutur peribumi mereka dapat membaca al-Qur’an tepat sebagaimana yang diajarkan oleh al-Rasul (s.`a.w.). Tetapi bagi generasi kini (terutama yang bukan Arab) perlu sekali mempelajarinya di samping ilmu-ilmu lain yang terabai.

Memang seluruh kehidupan Islami (al-hayat al-Islamiyyah) berpangkal pada ilmu. Demikianlah proses perubahan dari jahiliah kepada Islam telah bermula dengan iqra’ (baca!), kalimat yang mengandungi tenaga transformatif yang luar biasa. Kata iqra’, perintah pertama yang mendahului segala perintah itu jelas membawa implikasi ilmu. Hakikat peri pentingnya ilmu diberi penegasan sedemikian rupa sejak wahyu pertama: kata iqra’ diulang dua kali dalam tiga ayat, sementara kata `ilm diulang tiga kali dalam lima ayat. Selain itu disebut pula kata al-qalam, alat terpenting dalam urusan keilmuan. Demikianlah sebutan kata `ilm dan yang seakar dengannya dalam surah al-`alaq itu bukanlah yang pertama dan terakhir, tetapi terus-menerus sepanjang tempoh penurunan al-Qur’an. Sejak awal lagi, ilmu seperti yang disebut dalam surah al-`alaq itu dikaitkan dengan al-Rabb dan al-Khaliq. Dengan menyebut nama Tuhan sebagai al-Rabb dan al-Khaliq dalam konteks keilmuan, bererti bahawa ilmu seharusnya dapat membawa manusia mengenali dan seterusnya mengabdi Ilahi.

Yang dimaksudkan dengan iqra’ (baca) dalam ayat tersebut adalah pembacaan kedua-dua ayat al-Qur’an dan ayat al-kawn. Alam ciptaan Tuhan (al-kawn) selalu disebut sebagai al-kitab al-maftuh, sebuah kitab terbuka yang menyerlahkan tanda-tanda kemahakuasaan dan kemahaesaan Tuhan. Memang tujuan penciptaan alam adalah untuk mengenalkan Penciptanya, Tuhan Yang Maha Esa sebagaimana yang disebut dalam ayat 12 surah al-Talaq:

Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus-menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmu-Nya akan tiap-tiap sesuatu.

Demikianlah hikmah di sebalik penciptaan alam - langitnya dan buminya, adalah untuk lita`lam...., (agar manusia mengetahui dan mengenali) Penciptanya Yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki segala sifat kebesaran dan kesempurnaan yang antaranya seperti yang disebut dalam ayat di atas: kuasa yang tidak berbatas dan ilmu yang serba meliputi. Dengan mengenal Pencipta akan timbullah kesedaran untuk mengabdi. Dengan demikian kontroversi di sekitar makna kalimat liya`budun dalam ayat 56 surah al-Dhariyat (Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia selain untuk mengabdi kepada-Ku), sama ada bererti mengabdi atau mengenali (liya`rifun) dapat diselesaikan, iaitu `ibadah sesudah ma`rifah (mengabdi setelah mengenali).

Ilmu yang dituntut dengan memohon petunjuk dan pertolongan al-Rabb al-Khaliq, Tuhan Yang Maha Pencipta, akan menemukan tanda-tanda kekuasaan dan keesaan Tuhan, lalu menumbuhkan keyakinan bahawa Dia dan segala ajaran-Nya adalah benar. Dengan kata lain, ilmuwan yang menghayati semangat surah al-`alaq akan melihat Tuhan di mana-mana. Demikianlah maksud ayat 53 surah fussilat.

Ilmu yang menghasilkan keyakinan terhadap hakikat tawhid itulah yang mengangkat martabat kesaksian tauhidik para ilmuwan sehingga layak dideretkan bersama kesaksian Allah dan para malaikat (Ali `Imran:18)..


Zikir: Wahana Ma`iyyatu ‘Llah

Perjalanan menuju Allah (al-sayr ila ‘Llah) pada dasarnya adalah usaha penyihatan hati demi mencapai matlamat al-qalb al-salim. Hati yang sihat sebagaimana yang disebut dalam hadith riwayat al-Bukhariy yang terkenal itu adalah punca kesihatan diri - jasmani-rohani - seseorang. Hati yang sihat juga adalah titik tolak ke arah kehidupan Islami (al-hayat al-Islamiyyah) yang utuh dan menyeluruh, istiqamah dalam melaksanakan hak-hak Allah sebagai realisasi `ubudiyah yang setulusnya. Dalam kaitan inilah pentingnya zikir sebagai wahana penyihatan hati dan kesedaran batin tentang kehadiran Allah di mana pun dan bila-bila pun. Hati yang berpenyakit, jika dibiarkan tanpa penyihatan akhirnya akan mati. Hati yang mati seperti yang disebut oleh Ibn `Ata’i ‘Llah al-Sakandariy dalam al-Hikamnya, “… tidak berasa sedih atas luputnya amal ketaatan, dan tidak menyesal dengan maksiat yang telah dilakukan.”

Zikir secara literal bermakna menyebut dan mengingat. Dhikru ‘Llah adalah manifestasi cinta hamba terhadap Tuhannya. Demikianlah resam orang bercinta, sentiasa mengingat dan menyebut yang dicintai. Manusia secara fitri memang menyenangi kesempurnaan dan keindahan. Kedua-duanya, al-Kamal dan al-Jamal ada pada Allah, malah pada hakikatnya Allah adalah puncak segala kesempurnaan dan puncak segala keindahan sebagaimana yang terungkap lewat Nama-Nama Indah-Nya yang 99 itu. Penghayatan erti hakiki al-Asma’ al-Husna akan memberikan rasa nikmat berdampingan dengan (Tuhan) Yang Maha Sempurna lagi Maha Indah.

Mencintai Allah adalah cinta yang timbal balik, mencintai dan dicintai sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Ali `Imran:31 yang menyebut kenescayaan cinta Allah buat mereka yang mencintai-Nya dengan cara mentaati dan meneladani al-Rasul (s.`a.w.). demikian juga dengan surah al-Ma’idah: 54 yang menyebut tentang kualiti umat yang ditampilkan sebagai ganti golongan yang murtad. Mereka disebut sebagai kaum yuhibbuhum wa yuhibbunahu (Allah menyintai mereka, dan mereka demikian pula, sama-sama saling menyintai). Memang demikianlah berlakunya kesalingan yang juga meliputi dhikr sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah:152 (Ingatilah Aku, nescaya Aku mengingati kamu pula). Apabila Allah mengingati seseorang, tentunya bukan sekadar ingat, tetapi ingat yang membawa rahmat. Dengan kata lain, seseorang yang diingati oleh Allah bererti berada dalam bimbingan dan perlindungan-Nya. Demikianlah betapa beruntungnya orang yang berzikir, kerana zikir adalah pembawa rahmat dan kurnia. Sebagaimana berlakunya kesalingan dalam dhikr, demikian pula sebaliknya jika lupa terhadap Allah yang berakibat dilupakan oleh Allah dalam erti tersingkir dari rahmat-Nya (al-Hashr:19).

Menyedari peri pentingnya dhikru ‘Llah seperti yang diungkapkan di atas, para ahli rohaniah berusaha menyebatikannya dalam kehidupan harian mereka menerusi kaedah-kaedah tertentu yang dirasakan berkesan. Imam al-Ghazaliy r.`a. misalnya, menganjurkan zikir dan do`a tertentu untuk diamalkan pada waktu-waktu yang menyelangi antara sembahyang-sembahyang fardhu. Zikir yang juga meliputi du`a, membaca al-awrad dan tilawah al-Qur’an biasanya dipelbagai untuk mengelak kejemuan. Kejemuan mengingati Allah memang seharusnya dihindari, kerana ia akan mengundang kejemuan Tuhan terhadap hamba-Nya. Masalah yang selalu dialami dalam zikir ialah ketidakhadiran hati bersama Allah. Dalam kaitan ini Ibn `Ata’i ‘Llah r.`a. menyarankan agar hal itu tidak usah dijadikan halangan untuk terus berzikir, kerana sesungguhnya melalaikan zikir (tidak berzikir sama sekali) itu lebih buruk berbanding lalai dalam keadaan berzikir.

Zikir yang dihayati dan disebatikan dalam kehidupan akan membentuk sikap dan watak yang selayaknya sebagai hamba dan khalifah Allah. Sikap dan watak mereka yang mengamalkan zikir al-Asma’ al-Husna misalnya, akan mencerminkan sifat-sifat al-Asma’ tersebut dalam konteks dan batas kemanusiaan. Ia akan terdorong untuk bersikap adil, berilmu, penyayang, pemurah dan seterusnya. Kerana itu zikir dengan dampak perwatakan sedemikian itu disebut sebagai `ibadah ijtima`iyyah yang menjelmakan kepedulian sosial dengan semangat kebaktian yang tinggi.


KDH: 17052007


(ihsan Minda Madani, sila layari  http://www.mindamadani.my/  )

Monday, January 20, 2014

BERSEMPENA HARI HIJAB SEDUNIA DAN CATATAN KEBANGKITAN UMAT



HARI HIJAB SEDUNIA:  ASAL USUL  TUDUNG 

Satu sumbangan besar ABIM melalui usaha pendidikan adalah menubuhkan Yayasan Anda Akademik, sebuah sekolah menengah persendirian yang menawarkan ruang dan kesempatan menyambung pelajaran bagi pelajar-pelajar Melayu kebanyakannya yang telah gagal mencapai gred sewaktu berada dalam sistem sekolah kerajaan biasa (memberikan peluang kedua kepada pelajar tercicir ini). Yayasan Anda ditubuhkan pada 1971 dan Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ketika itu menjadi pengetua pertamanya. Ramai ahli-ahli ABIM juga menjadi guru-guru pengajar di situ. Yayasan Anda dianggap unik pada masa itu. Di samping mengendalikan pendidikan sekular lazim menurut kurikulum menengah kebangsaan, Yayasan Anda juga memperkenalkan kursus-kursus pendidikan Islam, termasuk tasawur Islam dan Islam sebagai cara hidup, kebangkitan Islam dan pergerakan Islam, perbandingan agama, ekonomi Islam dan sistem politik Islam. Kod etika berpakaian Islam dipatuhi, dengan pelajar-pelajar wanita diminta memakai mini telekung - tudung -  atau hijab. Penulis, Zainah Anwar memerhatikan bahawa pelajar-pelajar wanita ini yang kemudiannya berjaya melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Malaya merupakan wanita Malaysia yang pertama memakai tudung di kampus. (Zulkifly Abdul Malek 2011, tesis Georgetown University)



WORLD HIJAB DAY: ORIGINS OF THE TUDUNG

One of the most important contributions made by ABIM vis-à-vis education was the establishment of Yayasan Anda Akademik, a private secondary school that provided the means for continuing education to the mostly Malay students who could not make the grade at government schools (offering dropouts a second chance at the system). Yayasan Anda was established in 1971 and Anwar Ibrahim, ABIM’s President at the time became its first headmaster. Many ABIM members were also its first teachers. Yayasan Anda was considered unique at the time. While it provided conventional secular education which students would receive in line with the national secondary curriculum, Yayasan Anda also introduced courses on Islam such as Islam as a way of life and worldview, Islamic renaissance and movements for reform, comparative religions, Islamic economics and Islamic political systems. Islamic dress codes were observed, where female students were asked to cover their heads in a mini telekung - tudung - the Islamic headscarf or hijab. Writer, Zainah Anwar noticed that these girls, who proceeded to successfully pursue their tertiary education at the University of Malaya became the first veiled Malaysian women on campus. (Zulkifly Abdul Malek 2011, Georgetown University thesis)


Catatan:-

Yayasan Anda Akademik

Yayasan Anda Akademik merupakan satu institusi pendidikan persendirian yang telah diasaskan oleh sekumpulan siswazah universiti-universiti tempatan dan dipelopori oleh. Anwar Ibrahim, pada bulan Mac 1971. Penubuhan institusi ini antara lainnya untuk menyediakan peluang belajar kepada pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan yang tidak bernasib baik untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebagai satu institusi yang mempunyai faslsafah pendidikan yang tersendiri, maka semua aktiviti kurikulum dan kokurikulum digembelingkan ke arah melahirkan seorang insan yang akademis dan bertaqwa. Sesuai dengan motto penubuhannya yang berusaha untuk memberikan pendidikan di segenap peringkat lapisan masyarakat terutama di kalangan mereka yang berpendapatan rendah, maka sudah pasti YAA bertindak dengan mengenakan yuran pengajian yang paling minimum, tetapi mutu pendidikan yang disediakan sudah teruji keberkesanannya.

Sambutan masyarakat terhadap institusi ini amatlah menggalakkan. Suatu yang perlu dibanggakan ialah institusi ini telah berjaya mencapai objektif penubuhannya iaitu dengan bertambahnya bilangan bekas lulusannya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negeri. Tidak syak lagi bahwa kejayaan-kejayaan yang dicapai sama ada di bidang akdemik atau kerohanian di masa yang lalu, adalah hasil dari beberapa program yang telah dirancang dan dijayakan dengan amat berkesan. Di antara program yang dipercayai telah membantu YAA dikenali ramai ialah dengan lawatan-lawatan sambil belajar dan program bersama masyarakat yang telah dianjurkan di masa lalu. Di antara institusi gandingan dan seumpamanya adalah Institut Sofa yang berpusat di Ipoh yang juga diasaskan ahli-ahli ABIM para siswazah lepasan universiti yang beridealisme tinggi bagi berkhidmat untuk masyarakat.
(Wikipedia)



Saturday, January 18, 2014

Dr Siddiq Fadil: Nasihat dan Peringatan Gerakan Islam di Jalan Da’wah


Jika kita melihat semula kepada kekuatan kita pada masa lalu, apakah kita boleh mempertahankan kekuatan itu. Kekuatan yang menjadikan ABIM berupaya membidani, menangani fenomena kebangkitan Islam. ABIM telah mencipta sejarah.

Tiada sarjana yang membincangkan fenomena kebangkitan Islam tanpa menyebut nama ABIM dan Anwar Ibrahim. Sarjana yang mahu membicara tentang Islam dan Malaysia akan menyebut perihal ini pada tahun 70’an. Babak ini merupakan babak terpenting sejarah Islam di Malaysia pada hujung abad ke 20.  Pada awal abad ke 20 berlaku fenomena kebangkitan Kaum Muda. Tetapi kebangkitan Islam pada tahun 70’an lebih fenomenal dan lebih signifikan berbanding pergerakan Kaum Muda.

Kitalah yang menciptanya. Itulah kekuatan anugerah Allah swt. Kekuatan yang kita sendiri tidak mengetahui. Kalau dibincang, dianalisa, kita juga tidak tahu akan kekuatan kita miliki. Tidak boleh tidak disebutkan ABIM jika menilai secara aktual dan faktual. Jadi kita mempunyai kekuatan dan mudah-mudahan kita berdoa supaya kita terus memilikinya.

Dari mana datangnya kekuatan kita?


Kekuatan Kepimpinan

Barangkali ditakdir kita dianugerahkan pemimpin yang karismatik. Pemimpin yang tidak dilahirkan pada setiap masa. Anwar Ibrahim adalah paling berjasa dan bertanggungjawab membawa gagasan dan konsep harakah Islamiyyah – pergerakan Islam kepada masyarakat. Pemimpin seperti ini jarang ada pada setiap ketika.

Kita beruntung kerana memiliki kualiti kepimpinan yang tidak dimiliki oleh wadah-wadah lain. Ada badan yang mempunyai ramai ahli-ahli. Ahli-ahli mereka mungkin highly educated and professionally qualified tetapi mereka tidak mempunyai pemimpin yang karismatik. Kita beruntung kerana kekuatan kepimpinan – leadership of the movement


Kekuatan Tradisi Ilmu

Kebangkitan Islam bukan ledakan semangat atau sentimen semata-mata, tetapi Profesor Qaradawi menyebutnya sebagai al sahwah al ilmiah – kebangkitan keilmuan. Ianya adalah kekuatan intelektual, kekuatan ilmu dan tradisi ilmu.

Tiba-tiba melonjak aktiviti menelaah, mendalami ilmu melalui percambahan usrah, tamrin, seminar, forum, program-program dan pembacaan buku-buku. Membeli buku, menjual buku, menjadi agen buku, pengedar buku, sembang buku. Sembang buku bukan macam sekarang sembang picisan, sembang poligami. Dulu kita bersembang buku-buku, kitab-kitab baru, karya-karya Hasan al Banna, Mawdudi, Sayyid Qutb, Said Hawwa, Fathi Yakan, Al Buti dan banyak lagi. Begitu kita ghairah dengan tradisi ilmu sehingga kita menubuhkan syarikat-syarikat buku – Dewan Pustaka Islam, Tradisli Ilmu. Kita juga giat menterjemah buku-buku baru.

Kitalah pada itu mempelopori pembaharuan, mengarusperdanakan Islamisasi. Sebelum 70’an, sekularisasi tidak dibincang, dibahaskan dan disanggah. Wacana tentang sekularisme itu dimulakan oleh kita.

Kita mula membahaskan isu-isu besar seperti ini dan kita tampil di pentas dan forum peringkat nasional. Dulu, menteri-menteri pun turun menyertai forum dan berdiskusi dengan kita. Sekarang kita tidak lagi melihat kesanggupan berwacana seperti ini, mereka bukan lagi seperti Dr Mahathir yang turun berdebat sewaktu dia menjadi menteri pelajaran pada tahun 70’an.

Kita tampil di peringkat nasional membawa perspektif Islam. Kita terpaksa mencari modal baru, berceramah dengan kelainan, ceramah-ceramah yang membawa semangat kebangkitan. Ceramah yang bukan seperti penyampaian tradisional kerana penceramah tradisional  tidak membaca Mawdudi, Qutb atau Fathi Yakan. Ada kelainan pada ceramah kita dan semangat mencari bahan baru memaksa kita membaca lebih banyak lagi.

Apakah kita masih mempunyai kekuatan ini? Apakah kita mampu mewariskan kekuatan ini kepada generasi berikutnya?

Memang tidak semua ahli generasi awal menjadi ilmuwan tetapi cukup untuk menjadi lambang ketokohan. Memang ada yang menjadi dan ada yang tak menjadi langsung!

Adakah kita sendiri meneruskan tradisi ini dan apakah kita mewariskan sehingga penyusulannya?

Ada sarjana memerhati dan menyoal perkara yang sama. Memang ada badan lain yang kurang menguasai tradisi dan bahan keilmuwan tempatan kerana para pengasasnya berada lama di seberang laut dan kurang pendedahan kepada kesusasteraan Melayu dan Nusantara.

Kita telah meletakkan satu tanda aras – benchmark. Bolehkah tanda aras ini dicapai oleh generasi akan datang. Rupa-rupanya ada pemerhati luar yang menilai dan ikut rasa bimbang. Adakah kita mampu teruskan tradisi ilmu yang kita telah bina dengan penuh susah payah?

Jika kita masih berusrah dengan kekerapan hanya sekali sebulan, maka ini bukan tradisi keilmuan. Jika kita menghayati matlamat usrah, pengisiannya dan kekerapan mingguannya, barulah kita boleh mempertahankan tradisi keilmuwan.


Kekuatan Tarbiyah Kerohanian

Dulu kita menekuni tarbiyyah bersandarkan kepada harakiy, kepada gerakan. Dulu kita hadir usrah pada waktunya. Kita datang sebelum Maghrib menepati masa. Lepas Maghrib, kita membaca al ma’thurat wazifah kubra bersama. Sekarang pembacaannya wazifah sughra. Dulu ada qiamulayl terancang, tarbiyyah masajidiyyah – ziarah masjid ke masjid.
Itulah kekuatan. Sekarang dipersoalkan apakah kita masih mempertahankannya?


Kekuatan Organisasi

Kita adalah di antara juara yang cukup berencana – well organized dan mempunyai sistem yang kemas. Faktor ini jangan diremehkan. Di antara faktor kekuatan Ikhwan Muslimin adalah keampuhan organisasinya. Itulah tema besar yang kini kita bicarakan dan kita mesti pertahankan wadah ini sebagai the most well organized Islamic movement.

Kenapa?

Faktor kekuatan fizikal kita tidak lagi seperti dulu. Kita telah berusia walaupun ada yang masih belum mengakuinya bahawa stamina tidak lagi seperti dulu. Bila aktif di program pagi , kita kurang bertenaga pada program petang.

Bagi menyelesaikan dan menangani keadaan ini kita memerlukan sekretariat yang kuat dan efektif. Sekretariat mesti kuat dan mestilah muda. Asalkan kita mempunyai keazaman  memperbaiki diri, segala kelemahan organisasi boleh ditangani.

Kita perlu mengadakan pertemuan dan bermesyuarat dengan lebih kerap. Jangan sampai kita kalah kepada tungkus lumus pentadbiran kerajaan yang beroperasi, berjumpa, mengendali kertas-kertas penting, dossier dan cabinet papers yang banyak.

Dana adalah penting bagi gerakan Islam dan pergerakan di peringkat nasional perlulah padan dan sentiasa ada peningkatan. Kita perlu bersikap seperti bapa yang bertanggungjawb di dalam jamaah besar ini. Kita perlu biayai staf sepenuh masa. Kita perlu lihat dan menjaga anak-anak buah kita, pelajar-pelajar, pelapis-pelapis dan kader-kader.

Kita perlu lihat kepada projek-projek dan program bagi mengekalkan bakat bersama kita. Banyak pihak yang ingin memancing bakat-bakat, pelajar, pimpinan pelapis kita melalui bantuan bersyarat. Negeri-negeri perlu melihat pelajar-pelajar pelapis mereka dan mesti ada perancangan kewangan untuk mereka. Jika bakat kita merosot, merosotlah jamaah dan gerakan akan terkesan. Pungutan dana, kestabilan kewangan dan audit harakah semuanya perlu dilakukan supaya kita dapat pertahankan kekuatan sebagai gerakan Islam berencana.

Kita ingat kepada pesanan Hasan al Banna supaya segala-galanya terurus dengan baik - munazaman fi syu’unih.

Saingan-saingan semakin banyak bukan seperti dulu. Dulu pesaing senang dikenalpasti tetapi sekarang pesaing semakin canggih, sengit dan berorganisasi. Kita mesti kompeten dalam segenap hal.

Kadang-kadang kita semacam tersudut, terpelanting dalam pesaingan seperti itu. Kadang-kadang pesaing-pesaing kita tidak beretika dan bertindak agresif. Ada yang bersifat oportunis dan mengambil kesempatan. Kita masih teringat cabaran tahun 80’an akibat pergolakan politik. Badan-badan dalam dan luar negara menghimpit kita, samada untuk mematahkan, percubaan mengambil alih, meratah dan menangguk di air keruh.

Kita terkenang kata-kata perangsang al marhum Ustaz Abd Wahab Zakaria apabila melihat keresahan kita pada waktu itu, keresahan yang sangat menyakitkan. Himpitan ke atas gerakan kita itu boleh dimaafkan tetapi tidak akan dilupakan. Hati kita telah tergores. Al marhum Ustaz Abd Wahab berkata, “Ya akhi, kita hadapilah segalanya. Yang penting kita ikhlas dalam perjuangan. Itulah yang akan menjadi penentuan kemenangan.” Inilah yang dapati mengubati keresahan dan kita yakini kebenarannya.

Keikhlasan bekerja dalam gerakan itu hendaklah dipastikan. Tak guna kompetensi dan being well organized jika tiada keikhlasan. Kita perlu tangani penyakit-penyakit kerohanian yang merosakkan organisasi. Al qanabil al ruhiy – bom-bom rohani yang boleh menghancurkan organisasi.

Penyakit-penyakit rohani yang boleh meruntuhkan gerakan adalah:-


Kebakhilan yang dituruti

Memang ada kecenderungan bakhil tetapi kita perlu kawal dan jangan kita turuti. Jika kita bakhil wang, masa, tenaga dan berkira-kira, habislah gerakan kita. Jamaah kita unggul sebab kita tidak berkira. Dulu kita tidak menuntut  claim dan kita tidak mengeluh kepenatan.  Pantang bagi gerakan Islam untuk mengeluh dan mengadu penat. Penat bukan alasan kerana jika kita berani pegang jawatan, kita mesti berani penat. Seperti teladan ‘Umar al Khattab r.a. pada siang hari dia melayani rakyat, pada malam dia turun memantau keadaan rakyat dan selepas itu dia beribadah di baki malam.


Hawa Nafsu yang dituruti

Kita ada saksikan orang harakah mengikuti hawa nafsu. Dia mungkin tidak mencuri duit harakah tetapi kesilapannya adalah dia ingin menang sentiasa mengikuti nafsu. Sifat malas itu juga adalah nafsu.


Kagum dengan pendapat sendiri

Jika ada penyakit ini di dalam jamaah, maka tidak guna lagi diadakan syura kerana jika “tewas” di syura akan mengamuk. Jangan pandang mudah – don’t take it for granted - dengan menyangka bahawa di dalam harakah tidak ada perkara semacam ini.

Apa yang penting adalah kita mempertahankan faktor-faktor kekuatan yang ada sejak dahulu. Jangan dirisaukan pesaing-pesaing yang tidak tulen yang tidak mempunyai tradisi tarbiyyah rohaniah dan tiada tradisi keintelektualan. Kita berwaspadalah dengan kerohanian yang tidak sihat – hati yang berpenyakit – fi qulubihim maradun.

Ketakutan kita adalah apabila kita hilang barakah, apabila kita kehilangan keikhlasan. Apabila kita kehilangan akhlak, kehilangan ketaqwaan, kehilangan pekerti terpuji sebagai pekerja untuk Islam. Sebalik disuburkan sifat-sifat tercela pula, kesombongan, takabbur.
Kita survive selama ini adalah dengan keberkatan ini dan Allah swt boleh mencabutnya bila-bila kerana penyimpangan-penyimpangan kita. Kita hendaklah berhati-hati agar jangan kita hilang keberkatan ini.


Bagaimana untuk kekal Relevan dan Trampil

Gerakan ini perlu kaya dengan wawasan, idea dan fikrah baru. Ini akan hanya berlaku melalui tradisi ilmu yang kuat dan tradisi berfikir yang kuat. Kita tidak boleh malas dan lemah berfikir dan cuma mahu gelak ketawa sahaja. Jika hanya ingin gelak ketawa sahaja, mengadaplah Maharaja Lawak -  jika kita bosan dengan keintelektualan dan kita hanya inginkan yang menghibur.

Gerakan ini perlu kaya idea dan gagasan. Dulu kita arusperdanakan wacana sekularisasi, sekarang kita harus mengenengahkan political Islam, mengkaji hubungan di dalam sebuah negara - konsep kewarganegaraan – muwatinun, menjelaskan maqasid shariah – supaya tidak hanya terlalu obses dengan pematuhan hukum tanpa memikirkan objektif shariah tercapai, dan  bagaimana membentuk, membina, mencorak Bangsa Malaysia yang plural – mengutarakan idea sahifah Madinah – Piagam yang memberi kerukunan perhubungan Muslim dan Non Muslim.

Kita bukan kekeringan idea tetapi idea yang kita punyai itu lemah jentera penyebarannya dan kurang pemerataan di masyarakat. Kita juga bimbang jika terdapat kelesuan intelektual di kalangan kita. Contohnya, apabila Ucapan Dasar tidak dibahaskan dengan sepatutnya. Apabila isi pemikirannya tidak dihadam dan dibahas dengan adil. Kita harapkan berlaku perbahasan pemikiran kita secara ilmiah dan intelektual, yang jarang terjadi, dan kita tidak perlukan perbahasan sekadar ucapan terima kasih. Apakah ada kelesuan budaya ilmu pada gerakan kita dan ke mana tumpuan kita, ini perlu muhasabah.

Tarbiyyah rohaniah mesti diberikan tumpuan. Pembacaan tetap adalah “Tarbiyyah Ruhiyyah” karya Sa’id Hawwa– kita pelajari qalbun salim, pelajari mujahadah. Kita mengaji bukan membaca sahaja. Buku begini bukan untuk pembacaan di waktu lapang dan santai. Buku ini, tazkiyatunnafs perlu dipelajari dengan tunjuk ajar dan panduan.

Usul tentang tarbiyyah ruhiyyah ini penting dilaksanakan pada program dan latihan, ia perlu diberikan perhatian khusus. Anak-anak muda kita sekarang berhadapan dengan segala macam godaan-godaan. Mereka memerlukan pedoman dan panduan serta dibina daya ketahanan rohani.

Apa yang telah terjadi dulu pun ada kegagalan, dropouts yang gugur dari segi kerohanian, ketagihkan  kehidupan mewah dan mengejar pangkat. Jika belum diuji, kita belum tahu dan bencana ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.




(Catatan Ucapan Amanat Kepimpinan oleh Dr Siddiq Fadil, Presiden WADAH Pencerdasan Umat pada MPPW 2 di Teras Jernang)

SEGERA LAKSANA AMALAN BAIK: ABD HALIM ISMAIL




Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa. (Surah ali Imran 133)

Walaupun manusia berkali-kali dingatkan, dia terlupa, dan dinamakannya insan kerana dia kelupaan. Dalam gerakan kita lupa mengingati supaya bersegera, cepat-cepat, sepantas mungkin beramal supaya mendapat keampunan dan memperolehi syurga. Syurga yang amat luas dan penuh kehebatannya. Kesegeraan melaksana amal kebaikan ini gesaan Al Qur’an, Sunnah Rasulullah s.a.w. dan amalan para Sahabat r.a.a. Jangan ditunggu-tunggu dan jangan dinanti-nanti.


Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. (57:10)


Tidak sama mereka yang berjuang dan menyumbang di jalan Allah sebelum fathul Makkah dengan mereka yang datang selepasnya. Mereka yang lebih awal, lebih cepat menyumbang kepada Islam mendapat pahala yang lebih banyak.


Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar. (Surah al Hadid)


Bukan hanya bersegera tetapi dituntut kita supaya berlumba-lumba. Berlumba-lumba melebihi rakan-rakan lain. Amalan mesti dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan. Ikhlas dalam beramal itulah nilai untuk mendapat keridhaan Allah s.w.t. Laksana sebaik-baiknya, prestasi terbaik – best performance – dengan keberkesanan. Bersegera dan jangan ditangguh tanpa alasan. Jangan layani percakapan diri supaya menangguh sesuatu kebaikan.


(yaitu) orang-orang yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah ali Imran 134)


Budaya infaq, selain daripada dilaksana dengan segera, pantas dan bergegas, hendaklah dilakukan samada ketika susah ataupun senang. Inilah tanda orang-orang bertaqwa. Inilah menunjukkan semakin dekat dengan Allah s.w.t., bersedekah, berinfaq samada secara terang atau tersembunyi, dalam keadaan senang atau susah.


‘Umar al Khattab r.a. pernah bertekad pada suatu ketika bagi menyahut seruan jihad bagi menentang kemaraan tentera Rum. Dia berazam untuk melebihi Abu Bakr r.a. dalam berinfaq kerana sebelum itu, sentiasa Abu Bakr r.a. yang melebihinya. Setelah dia menyerahkan harta sumbangannya kepada Rasulullah s.a.w., apabila ditanya oleh Rasulullah s.a.w. apa yang tinggal padanya, dia menjawab separuh daripada apa yang telah diinfaq. Tetapi apabila giliran Abu Bakr r.a. pula menyumbang, dia telah menyumbang sepenuhnya kesemua hartanya, dan apabila ditanya, Abu Bakr menjawab yang tinggal baginya, “Allah dan Rasul”. ‘Umar mengakui dia tidak lagi dapat menandingi kelebihan Abu Bakr.

Itulah contoh perlumbaan –perlumbaan sihat, konsep sebenar musabaqahcompetition – atau apa  selalu disebut sebagai fastabiqul khayrat..

Rasulullah s.a.w. mengajar supaya berdoa memohon yang terbaik, memasuki syurga tertinggi, memasuki syurga dengan tanpa dihisab.

Inilah konsep kecemerlangan atau culture of excellence.

Budaya segera beramal dalam gerakan belum kelihatan walaupun bertahun-tahun dididik dengan tarbiyyah jika budaya sadaqah belum menjadi amalan.

Dalam konteks gerakan Islam, apa-apa yang diputuskan dan dipersetujui bersama, dikehendaki organisasi hendaklah dilakukan dengan segera. Kita perlu laksanakan dengan serious dan komited supaya membolehkan kita terus memperolehi keberkatan Allah s.w.t. dan jangan terputus keberkatan.


(Catatan Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Cikgu Abd Halim Ismail, Setiausaha Agong WADAH Pencerdasan Umat pada program MPPW 2 di Teras Jernang

Ihsan sebahagian catatan oleh sdr Asri Haron)