Tuesday, August 20, 2013

ZAYNAB AL GHAZALI DI PENJARA FIR'AUN: MENYINGKAP LEMBARAN IKHWAN AL MUSLIMIN


Zaynab al Ghazali al Jubaili  lahir pada 1917 . Dia kembali ke rahmatullah pada 2005 semasa berusia  88 tahun. Dia mengetuai beberapa institusi Islam termasuk yang termasyhur iaitu Jamiat Al-Sayyidat-ul-Muslimaat (Persatuan Kepimpinan Wanita Muslim). Ramai yang meminati dan terpengaruh dengan kerjanya yang penuh dedikasi di dalam lapangan da'wah. Dia terkenal sebagai penyelaras kebajikan dan kesejahteraan golongan yang mustadh'afin, mereka yang lemah dan memerlukan bantuan dokongan akibat anggota keluarga mereka yang terpenjara di penjara-penjara gelap dan rahsia  Mesir di bawah pemerintahan Gamal Abdul Nasser.

Zaynab al Ghazali dituduh di atas konspirasi dan hasutan serta terlibat dalam percubaan membunuh Presiden Jamal Abdul Nasser. Dia ditahan selama 7 tahun yang menyiksakan di sebuah penjara politik yang rahsia. Lelaki dan wanita Ikhwan al Muslimin telah diburu, ditangkap dan disiksa pada zaman yang bergolak itu. Inilah tahun-tahun 50’an dan 60’an pada waktu wanita Muslim telahpun tampil ke hadapan memperjuangkan idealisme dan cita-cita murni Ikhwan.  Wanita seperti Amina and Hamidah Qutb menyertai abang-abang mereka Muhammad dan Sayyid Qutb, lalu dipenjarakan.  Kesalahan mereka hanyalah semata-mata penyertaan sebuah organisasi da'wah. Ramai anggota Ikhwan melarikan diri ke seberang laut mencari suaka politik. Ada yang meninggalkan pergerakan ini dan ada yang terpaksa bergerak lebih sulit serta jauh di "bawah tanah". Ramai yang terkorban akibat penyiksaan dan pembunuhan serta ada yang dijatuhkan hukuman bunuh. Ramai pemerhati menyangkakan Ikhwan telah hancur dan punah sebagai sebuah organisasi. Ramai juga hairan kenapa tiada keprihatinan atau kebangkitan awam menentang kezaliman dan penganiayaan itu. Rakyat Mesir nampak terpukau dan lemah longlai dengan buaian impian khayalan pimpinan 'agong' Nasser dan diperdaya angan-angan gagasan Arabisme.

Zaynab al Ghazali memiliki kualiti kepimpinan dan  bersemangat dalam merealisasi pelaksanaan Islam secara amali pada tadbir urus dan masyarakat. Ini menjadikan dia dianggap sebagai mengancam kedudukan dan kuasa regim kerajaan autoritarian itu. Pihak regim telah cuba membunuhnya melalui komplot kemalangan jalanraya tetapi Zaynab al Ghazali terselamat.

Selepas kegagalan rancangan pembunuhan itu, regim cuba menyogok rasuah dan mengenakan ugutan supaya Zaynab al Ghazali  menyerahkan pemilikan sekolah-sekolah dan Jamaa'at al-Sayyidaat al-Muslimaat kepada kerajaan, dan meninggalkan kerja da'wahnya dengan digantikan oleh bayaran dan dana peruntukan.  Zaynab al Ghazali  tetap menolak semua tawaran ini. Para pengikutnya bertambah bilangan dan kekuatan mereka, walaupun dianiaya dan ditindas, bilangan penyokong tetap bertambah. Regim takut bahawa rakyat jelata akan menggulingkan kerajaan yang ada. Mukhabarat - pasukan risikan yang jahat itu melemparkan tuduhan palsu bahawa Ikhwan berkonpirasi untuk membunuh Jamal Abdul Nasser. Mereka menjadi amat terdesak untuk melenyapkan orang seperti Zaynab al Ghazali .

Rumah Zaynab al Ghazali diserbu, harta bendanya dirampas dan dia secara mendadak dibawa ke penjara.   


Berikut adalah sebahagian mehnah dan tribulasi yang dia terpaksa harungi di dalam “Penjara Fir'aun” jail:

Dia berjalan ke arah bilik 24, diapit oleh dua orang pengawal yang memegang cambuk. Dia dengan sengaja dibawa melalui tempat-tempat tertentu di penjara itu supaya dia dipaksa melihat kejadian-kejadian yang mengerikan. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya dan dia merasa mual dengan betapa teruk kehilangan keperimanusiaan yang dipamerkan. Apabila dia cuba beralih pandangan, dia disebat bertalu-talu oleh pengawalnya. Dengan senyap, dia dipaksa melihat anggota-anggota Ikhwan tergantung seperti ampaian, badan-badan mereka yang telanjang disebat dengan bengis. Ada yang dibiarkan untuk dibaham oleh anjing-anjing ganas yang dilepaskan yang menerkam badan-badan mereka. Ada yang sedang berdiri dihadapkan ke dinding menunggu giliran penyiksaan masing-masing. Zaynab al Ghazali berasa amat sedih dan pilu kerana dia mengenali dengan rapat ramai daripada pemuda-pemuda yang baik dan bertakwa ini. Mereka dekat dihatinya sepertilah anak-anaknya sendiri. Anak-anak muda ini telah menghadiri usrah - halaqah pengajian Tafsir and Hadith di rumahnya.

Seorang demi seorang pemuda-pemuda Islam, harapan ummah, disiksa. Ada yang mengalirkan darah di dahi-dahi mereka. Dahi-dahi yang Zaynab tahu tidak pernah tunduk atau sujud kecuali kepada Allah. Cahaya  Tawhid terpancar daripada wajah-wajah mereka, bangga bahawa mereka berada di jalan Allah.

Salah seorang daripada mereka berteriak kepada Zaynab: 'Ummi! Semoga Allah memperteguhkanmu!'

Zaynab menjawab: 'Anak-anak ku! Inilah baiah janji kesetiaan. Bersabarlah keluarga Yasir, ganjaranmu Jannah.'

Kemudian, pengawal di sebelahnya memukulnya kepalanya dengan amat kuat sehingga dia  merasakan mata dan telinga berputar seolah terkena kejutan elektrik. Dia terlihat cahaya lampu-lampu di dalam kamar-kamar dan menyedari lebih banyak lagi badan-badan manusia tersiksa yang memenuhi tempat itu.

'Kita berserah kepada Allah!',  dia berkata dengan berani.


Pintu bilik24 dibuka dan Zaynab al Ghazali dicampakkan ke dalamnya, dan pintu ditutup dengan hentaman yang kuat.

'Bismillah, Assalamu'alaikum!', dia ucapkan berulang kali. Kemudian dia terdengar pintu dikunci dan dinyalakan lampu yang terang benderang. Bilik itu dipenuhi anjing-anjing! Dia tidak dapat mengira berapa banyak bilangannya! Dengan penuh ketakutan, dia memejamkan matanya dan meletak kedua tangannya menutupi dada. Berapa saat kemudian anjing-anjing menderam itu menerkamnya dan menggigit menyiat-yiat keseluruhan badannya. Dengan menggenggam rapat kedua tangannya ke bahu, dia membaca nama-nama Allah - Asma al Husna, bermula dengan  'Ya Allah! Ya Allah!'

Anjing-anjing itu tidak henti-henti, menggigit, menokak gigi ke atas kepala Zaynab, bahu, belakang, dada dan apa saja yang belum dicengkam. Dia berulang-kali berdoa kepada Tuhannya, memohon: 'Ya Rabb! Jadikanlah aku tidak tertumpu kecuali kepada Engkau. Jadikanlah seluruh tumpuanku hanya kepada Engkau sahaja, Engkaulah Tuhanku, Yang Ahad, Yang Samad, Yang Satu, Yang Kekal, Yang Abadi. Bawalah aku daripada dunia fana ini. Lalaikanlah aku daripada kejadian ini. Jadikanlah keseluruhan tumpuanku hanya kepadaMu. Tegakkanlah aku di bawah naunganMu. Berikanlah aku ketenangan. Pakaikanlah aku dengan pakaian kasihMu. Jadikanlah kematianku hanya untukMu, kasih hanya untukMu, ridha denganMu. Ya Rabb! Teguhkanlah keimanan kami.'

Dia berdoa berulang-kali dalam hatinya selama beberapa jam lamanya sehinggalah pintu akhirnya terbuka. Anjing-anjing ditarik dan dipisahkan daripada badannya dan Zaynab dibawa keluar.

Dia menyangkakan bajunya akan berlumuran darah kerana dia yakin anjing-anjing itu telah menggigit keseluruhan badannya. Tetapi, ajaibnya, tidak ada setitik darah pun, seolah-olah anjing-anjing itu adalah khayalannya semata-mata. Dia memuji Allah: “Subhanallah! Dia bersama aku”. Dia mula bermuhasabah dirinya samada dia layak menerima  segala rahmat dan nikmat Allah ini. Pengawal-pengawalnya terpegun bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku. Zaynab meninjau  ke arah langit di luar yang mula dipenuhi cahaya senja. Dia menganggarkan bahawa dia telah dikurung bersama anjing-anjing ganas itu selama tiga jam. Dia mengucapkan: “Alhamdulillah di atas segala dugaan!”


Zaynab al Ghazali ditolak, dia berjalan terhuyung hayang dengan berasa sungguh lama perjalanannya. Sebuah pintu dibuka, dan dia merasa bingung berada di dalam sebuah dewan besar. Dia dibawa melalui satu anjung yang panjang, melalui banyak pintu-pintu tertutup. Bilik no 3, bersebelahan Bilik No. 2, dibuka dan dia dihumban ke dalamnya.


Pintu dikunci belakangnya, dan lampu gantung di lelangit bilik terus dinyalakan. Kecerahan lampu itu pun sudah cukup untuk menggerunkan dan menakutkan. Ia hanya tanda bahawa bakal ada lagi kekejaman dan penyiksaan. Beberapa ketika kemudian, Zaynab al Ghazali mengetuk pintu dan sebuah wajah muram berhantu dengan kasar bertanya apa yang dia mahukan. Zaynab meminta izin untuk ke bilik air bagi mengambil wudu'.

Sungguh mengaibkan lagi menggusarkan, dia tidak dibenarkan mengetuk pintu, atau pergi ke tandas, ataupun mengambil wudu' ataupun meminta minuman.

'Kalau kamu ketuk pintu ini lagi, B……, aku akan sebat kamu 50 kali.' Pengawal itu membesit angin dengan cambuknya, menunjukkan kesediaannya untuk melakukan apa yang diancamnya.

Di dalam kamar yang kontang itu, setelah dia penat akibat apa yang harungi di Bilik 24, dia menanggalkan abayanya, dan menghamparkannya ke atas lantai.  Dia mengambil wudu' dengan bertayammum menggantikan air, menunaikan solat Maghrib dan 'Isha dan berdiam diri. Kakinya yang masih kesakitan akibat pembedahan yang baru dijalaninya, mula mengganggunya. Dia meletakkan kasutnya di bawah kepala dan berbaring.

Kesunyian itu diganggu apabila terdengar bunyi hentakan kayu yang dipasang di luar tingkap kecil biliknya. Kemudian seorang demi seorang pemuda Muslim di bawa, diikat secara posisi bersalib dan disebat bertalu-talu dengan ganas. Mereka bergilir-gilir berdoa memohon pertolongan Allah.

Selepas setengah jam, sebatan yang intensif ini, si penyiksa akan bertanya setiap orang pemuda itu, kebanyakannya terdiri daripada jurutera, doktor dan peguam, tentang bila mereka tiba ke situ.

'Hari ini atau semalam', jawapan mereka.

'Bila kali terakhir kamu pergi ke rumah Zaynab al-Ghazali?'

Jika ada pemuda yang menjawab mereka terlupa, si penzalim itu akan meneruskan penyeksaan, memaksa mereka memaki, mencerca Zaynab dengan kata-kata yang jahat dan nista. Jika pemuda itu enggan, sebatan berterusan tanpa henti. Ada yang sangat berani dan sangat teguh sehingga mereka sanggup berkata bahawa mereka tidak lihat apa-apa kepada Zaynab kecuali keikhlasan dan keluhuran budi pekerti, sehingga mereka dipukul sampai pengsan. 

Semua ini dilakukan bagi mematahkan azam dan semangat Zaynab. Dia mula berdoa kepada Allah, memohon belas kasihanNya. Dia memanggil si penzalim itu untuk menyiksanya dan melepaskan pemuda-pemuda itu, kerana biarlah dia merasai kesakitan itu. Dia memohon supaya Allah menggantikan tempat pemuda-pemuda itu dengannya.  Dia merayu kepada pemuda-pemuda itu supaya mengatakan saja apa yang disuruh oleh si penzalim supaya mereka tidak lagi disiksa. Tetapi pemuda-pemuda itu enggan. Pukulan sebatan ditambah berganda, suara-suara meraung kesakitan bertambah dan Zaynab berasa sungguh malu dan tertekan jiwanya terhadap apa yang berlaku.

Dalam duka dan rasa kasihan, dia terus menerus berdoa kepada Allah, saying: 'Ya Allah! Jadikan lah supaya aku hanya tertumpu kepada Engkau dan lalaikanlah aku daripada mereka. Ya Rabb! Ilhamkanlah supaya mereka berbuat amal kebaikan yang Engkau ridha. Ya Rabb! Lindungi aku daripada suara raungan siksaan ini.'

'Ya Rabb! Engkau tahu apa di jiwaku dan aku tidak tahu apa yang Engkau ketahui. Engkau Maha Mengetahui tentang yang ghaib. Engkau Maha Mengetahui rahsia manusia dan apa yang dada-dada mereka sembunyikan. Ya Rabb! Kasihanilah hamba-hambaMu!'

Zaynab memohon kepada Allah: 'Ya Allah! Aku adalah hambaMu, mengikuti jalanMu sedaya upayaku. Aku menyeru kepadaMu kerana kelemahan, kesugulan dan ketidakupayaan ku untuk menentang dosa-dosa orang-orang fasik ini. Lindungilah aku dengan kekuatanMu, dan tolonglah aku menentang kezaliman mereka.'

Dia dikejutkan daripada keadaan pasrah berdoanya oleh suara orang perengus yang telah dihantar untuk mencabul dan memperkosanya.

 'Mak Cik!', orang itu berkata.

Zaynab memandang kepadanya dengan penuh hairan. Rupa wajahnya telah berubah, kini lebih hampir menyerupai manusia, orangnya muda.

'Jangan takut Mak Cik! Saya tidak akan menyentuh Mak Cik walaupun mereka menyiat-yiat badan saya.'

'Semoga Allah berikan kamu petunjuk, anak ku. Semoga Allah kurniakan rahmat ke atas kamu!”

Pintu bilik terbuka dengan kencang dan ketua penyeksa Safwat meluru masuk, menerkam orang baik itu, memukul sambil memaki hamun: 'Anjing sial! Sekarang kamu boleh dikenakan hukuman mati. Kamu jalankan perintah ini atau berhadapan dengan mahkamah tentera. Aku akan datang balik dalam tempoh se jam untuk lihat apa kamu lakukan. Selamatkan diri kamu, patuhi arahan aku!'

'Ya,  tuan.'

'Ya Allah!', Zainab berkata. 'Ini adalah risalah Engkau dan kami adalah tentera dan shuhada risalah ini. Lindungilah tenteraMu dan maruah mereka. Jadikanlah kami lebih kuat daripada kezaliman dan kekejaman mereka.' Dia juga berdoa semoga Allah memberi hidayah kepada orang baik itu. Zaynab menyangkakan setelah diberi amaran keras orang ini akan menjadi takut dan berubah balik kepada haiwan yang mereka harapkan untuk membahamnya. Tetapi anehnya, orang itu masih berlemah lembut dan berani.

'Kenapa mereka menyeksa kamu begini, Mak Cik?', orang ini bertanya seolah seorang anak kecil yang suci fitrahnya.

'Anak ku, kami berda'wah menyeru orang kepada Allah dan kami mahu pemerintahan Islam untuk negara ini. Jangan salah faham, kami bukan mahukan kuasa untuk diri kami.'

Zaynab terdengar suara Adhan Zuhr, dan bersuci secara bertayammum pada dinding bilik dan bersolat. Orang itu meminta dia berdoa untuknya, dan Zaynab memenuhi permintaannya. Apabila Zaynab berdiri semula untuk menunaikan solat sunat, orang itu berkata: 'Pohonlah kepada Allah untuk membantu aku memulakan solat, Mak Cik. Anda semua orang baik-baik , semoga laknat Allah menimpa Nasser!'

'Tahukah kamu bagaimana untuk mengambil wudu'?'

'Sudah tentu. Saya pernah istiqamah bersolat, tetapi jika angkatan tentera dapat tahu, saya akan dipenjarakan.'

'Bersolatlah, walaupun kamu dipenjarakan, anak ku.'

'Inshaallah', katanya, cahaya iman menyinari wajah air mukanya.

Pada ketika itu, seorang anggota tentera mengetuk meghentam pintu bilik. 'Kamu anak anjing!', dia menjerit. 'Apa yang kamu buat?'

Orang muda yang berbaik hati ini menjawab, 'Wanita ini belum selesai solatnya.'

'Safwat sedang berjalan ke sini, dia hantar aku ke mari untuk saksikan apa kamu lakukan.'

Safwat menyerbu masuk macam se ekor anjing gila. Dia menyerang orang muda penyelamat diri Zaynab dengan amat kejam sekali, memukul-mukul sehingga orang muda itu tidak lagi mampu mengerang kesakitan. Akhirnya, mereka mengangkatnya dan membawanya keluar. Zaynab tinggal keseorangan memikirkan dan merenungi kesengsaraan orang muda ini alami bagi melindunginya. Allah telah menerangkan hati orang muda itu sehinggalah dia tidak lagi mematuhi kezaliman.


Kemudian, Zaynab di hantar ke kamar yang dipenuhi air, di mana dia ditinggalkan sehingga keesokan harinya. Setiap hari, rutin yang sama dilakukan berulang-ulang sehingga dia hilang pengetahuan tentang waktu dan deria-derianya menjadi kaku. Lagi sekali dia dikeluarkan dari bilik yang dipenuhi air ke bilik lain bersebelahan.

Safwat memasuki biliknya, berteriak: 'Nasser telah hantar setan-setan Nubah [Africa] untuk membaham kamu. Di mana kamu hendak melarikan diri sekarang? Setiap minit yang berlalu membawa kamu hampir kepada tamatnya riwayat kamu!'

Safwat mula menerangkan dengan panjang lebar kepada askar-askar itu apa yang patut mereka lakukan, dengan cara yang hina, lucah tanpa rasa malu atau adab kehormatan diri. Dia menuding jari telunjuknya dengan megah :'Jalankan arahan ini, anjing! Dan apabila kamu selesai, panggil kawan kamu untuk membuat perkara yang sama. Faham!'

Dia pun meninggalkan bilik itu dan mengunci pintu. Askar itu memujuk rayu kepada Zaynab supaya memberitahu apa saja maklumat yang mereka kehendaki, mengatakan bahawa dia tidak ingin mengapa-apakannya. Tetapi jika dia tidak patuhi perintah, dia akan dihukum dengan berat.

Dengan segala kekuatan yang Zaynab mampu kumpulkan, dia memberi amaran kepadanya: 'Kamu datang hampiri aku, cuma satu langkah,  aku akan bunuh kamu. Bunuh kamu, faham?'

Dia dapat mengesan bahawa orang ini keberatan untuk menyerangnya tetapi dia tetap bergerak ke arahnya. Tanpa sedar, Zaynab mencengkam tangan-tangan pada tengok askar itu dan  mencengkeknya.

'Bismillah, Allahu Akbar', dia menjerit, dan menggigit leher askar itu sekuat-kuat hati.

Askar itu terlepas daripada dakapan tangannya, mulut orang itu berbuih putih, semacam buih sabun, berbusa daripada mulutnya. Askar itu jatuh ke lantai tidak bergerak lagi.

Dengan keadaan tidak percaya apa yang terjadi, Zaynab bersandar ke belakang, dengan sedikit tenaga yang masih ada.  Buat masa ini, sekurang-kurangnya, dia terselamat. Allah Maha Suci telah memasukkan suatu daya yang luar biasa. Daya yang mampu menumpaskan manusia buas ini.

“Ya Tuhanku! Betapa pemurahnya Engkau! Betapa besar pemberian Engkau! Engkaulah Rabb kami dan Rabb sekaliannya! Mereka yang mengikuti perintah Allah ditentangi dan dihalangi, tetapi tempat terakhir yang berkekalan nanti  pasti milik orang yang benar dan salih!”

Pintu bilik dibuka dan ketua penyeksa Hamzah al Basuni dan Safwat, berserta kuncu-kuncu berdiri terpegun dengan apa yang mereka saksikan: rakan mereka membuak-buak di atas lantai. Mereka memerhati, senyap sunyi dengan perasaan tidak percaya (. . . lalu hairan terdiamlah orang kafir itu; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. . .) [Quran al Baqarah 2:258]

Mereka membawa mayat askar itu bersama mereka. Kemudian, Zaynab dihantar semula ke bilik yang dipenuhi air.


Zaynab diarah berdiri dan menunggu apa yang bakal menimpanya. Di tengah-tengah bilik dinyalakan api, dan di setiap sudut seorang askar berdiri dengan mempamerkan secara angkuh cemeti-cemeti bergaya ular yang dipegangnya. Seorang menyebatnya dengan pukulan yang sangat kuat sehingga Zaynab dipaksa menghampiri api yang membakar. Apabila dia cuba mengalih diri, seorang lagi menyebatnya. Begitulah diulang-ulangi. Sepanjang masa ini kepanasan api membakar kulitnya. Dia disiksa dengan cara ini selama dua jam, terhuyung hayang di antara api bernyala-nyala yang dia takut terjatuh ke atasnya dan sebatan yang menyelar. Hamzah al-Basyuni datang, dan mengulangi karut marutnya: samada Zaynab mengakui komplot untuk membunuh Nasser, atau disiksa lagi. Walauapapun, Zaynab terjatuh tidak sedar diri dan pitam, dan apabila dia bangun, dia telah berada di hospital semula.


Dia sepatutnya telah ditahan kerana tuduhan jenayah yang spesifik. Jika itulah halnya, kenapakah mereka berusaha memaksanya membuat pengakuan bahawa dia berkomplot untuk membunuh Nasser, bahawa dia merancang jenayah ini? Jika semua bukti jenayah ini telah ada, seperti mana mereka dakwa, kenapa berusaha menuntutkan pengakuan? Kenapa menuntut Zaynab memberikan bukti jenayah yang hanya wujud pada imaginasi mereka semata-mata? Sebabnya jelas: semua usaha penyeksaan ditujukan hanya untuk mencapai satu matlamat - menentang Islam dan memusnahkan asas-asasnya …


Ketua penyeksa al Basyuni menyindir: 'Kamu mahukan kami menjadi seperti kamu, dan gagal seperti kamu! Kamu mahukan kami meninggalkan Kesatuan Soviet yang memerintah separuh dunia dan menyerah serta tunduk kepada kata-kata orang seperti al-Hudaibi, Sayyid Qutb atau Hasan al-Banna?! Kamu gila! Kami bukan macam kamu! Jawab!'

Zaynab merenungkan: '(Sesungguhnya mereka itu (dahulu) apabila dikatakan kepada mereka: "La ilaha illa’llah (Tiada Tuhan melainkan Allah),” mereka menyombongkan diri. Dan mereka berkata: "Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan ilah (tuhan-tuhan) kami kerana seorang penyair gila?"?".[Quran al Saffat: 35-36]

Dia pun berkata: “Tuhan-tuhan ini adalah berhala, dan pemerintah-pemerintah ini adalah khadam-khadam berhala. Merekalah yang menuduh Rasulullah s.a.w.  sebagai gila. Kini, sejarah berulang kembali. Kamu mengatakan kepada mereka yang menyeru kamu kepada Allah sebagai gila.”

'Safwat, gantung dia di atas dan sebat dia!'

Zaynab dipindahkan ke hospital dan dia tidak mengingati apa yang berlaku pada malam itu, kerana dia pengsan tidak sedarkan diri selama tiga hari...


Pernah ketua penyeksa menemplak dengan bengkeng: 'Bukankah aku telah katakan kepada kamu jangan biarkan wanita ini datang ke pejabat aku jika dia masih hidup! Kenapa kamu bawa dia kepada aku dalam keadaan bernyawa?'

Zainab menjawab: 'Persoalan ini bukan menurut kehendak kamu ataupun aku samada aku hidup atau mati, ia kehendak Allah, Dialah Maha Penentu hidup dan mati!'






(disuaipadan, disunting dan diterjemahkan daripada buku book Return of the Pharaoh – Memoirs in Nasser’s Prison)

No comments:

Post a Comment