Thursday, January 2, 2014

DI ANTARA KEDAIFAN UMAT DAN KELESUAN ULAMA’



Betul kata-kata Muhammad Abduh bahawa keindahan Islam dihijab, diselubungi oleh amalan meleset umat Islam itu sendiri. Apatah lagi apabila orang yang dianggap ketua ilmuwan di kalangan umat memberikan ‘fatwa’  drastik dan kurang cermat sehingga memberikan isyarat ‘menghalalkan darah’.  Pengisytiharan hukuman berat hendak pula dikenakan ke atas rakyat yang bangkit cuma unutk menyuarakan dengan aman menuntut keadilan, menuntut hak untuk tidak dibebankan dengan kenaikan harga barangan. Ini tuntutan asasi rakyat jelata dan menjadi kewajipan mana-mana pemerintah yang bertanggungjawab mendengarnya. Pernyataan pula menyentuh hukum had, suatu yang serious padahal tiada pendirian seteguh ini ditunjukkan apabila dihadapkan dengan isu lebih besar umat iaitu pelaksanaan hukum syariah secara menyeluruh.

Begitulah para ilmuwan yang terus membenamkan kepala mereka di dalam pasir, tetapi  tetap terdedah jua. Para ilmuwan tidak harus mengabaikan tanggungjawab sosial mereka – they cannot abdicate their moral obligation to commit to social justice.  Samada posisi mereka selaku alim, intelektual akademia, ahli motivasi, pemimpin atau lebih lagi aktivis sosial, keprihatinan dan  kepedulian umat patut ada di hati sunbari mereka. Mereka harus sedar dan membaca semula karya as Syahid Abdul Qadir Audah, Islam: Di Antara Kejahilan Umat dan Kelesuan Ulamak, 1977.

Kenapa kesalahan berat seperti fitnah politik, rasuah kepimpinan, qazaf, pembaziran, ketirisan dan pelanggaran hukum tidak dipandang serious? Kenapa ilmuwan berkenaan tidak mampu menjadi ulama’ umat dan mendepani isu umat. Keperitan hidup angkara kepincangan pengurusan pentadbiran negara dan ekonomi bukan sesuatu yang boleh diketepikan atau diremehkan melalui hembusan ‘fatwa’ sebarangan.

Ilmuwan kontroversi yang terlalu mudah berfatwa harus mengambil iktibar contoh Imam al Nawawi apabila diminta Sultan untuk memberi fatwa menyokong seruan istana supaya rakyat menyumbang mengorbankan harta mereka untuk tujuan pembiayaan peperangan. Imam al Nawawi enggan malah menyarankan dengan tegas supaya Sultan sendiri mengosongkan khazanah hartanya di istananya  terlebih dahulu sebelum memerintah rakyat berbuat demikian. Nasihat dan teguran harus juga diberikan kepada pemerintah terutama apabila dasar dan pentadbiran mereka yang penuh kepincangan serta gaya hidup mereka yang bermewah-mewahan atas titik peluh rakyat.

Ilmuwan tidak harus menerapkan pemikiran orang yang telah mati daya juang – al fikr al mumit. Sepertimana sebuah persatuan pengguna yang menjuarai keIslamannya tetapi mengabaikan tanggungjawab utama dan tujuan kewujudan – memperjuangkan yang halal dan tayyib, menegakkan keadilan sosial …bukan menyuruh golongan bawahan bekerja lebih bagi memenuhi keborosan tuan mereka dan menampung ketirisan tuan mereka. Rakyat  bukan a’bdan mamlukan, bukan budak suruhan. Apabila ilmuwan dan aktivis sosial  mengabai tugasnya membela rakyat  sebaliknya memperlihatkan ciri-ciri  ke macai an, maka mereka telah menyimpang.


Rakyatlah yang akhirnya harus bekerja keras dan berkorban. Jika membantah ketidakadlian, mereka pula yang dihukum. Dengan segala kesusahan dan kepayahan yang sedia ada, rakyat harus berkerja lebih keras dan berkorban lebih banyak. Rakyat yang mesti bersusah payah dan derita akhirnya harus ditanggung oleh rakyat.

Tidakkah lebih wajar seruan ditujukan kepada pemerintah, pihak berkuasa supaya mereka mengutamakan urustadbir baik - good governance, mengambil langkah tegas dan segera menutup 'kebocoran' , menghentikan pembaziran, menyekat aliran keluar 'illegal funds', membendung salah guna peruntukan, penipuan dan rasuah? Jumlah berbillion ringgit yang diselamatkan dari semua ini mampu membina kemajuan yang menakjubkan untuk negara, yang akhirnya mampu mensejahterakan semua orang.

Namun pemerintah tidak dinasihatkan demikian. Yang dinasihat hanya rakyat. Sementara para kapitalis, korporat besar, pedagang dan orang berkuasa yang menjadi mewah hasil dari penipuan, manipulasi dan salah guna kuasa serta 'pemerasan' rakyat, dibiar tanpa diganggu. Mereka seperti biasa 'doing business as usual'.

Begitulah jawapan-jawapan menteri-menteri dan ilmuwan kontroversi, disuruh rakyat keluar dari negara tanah tumpah darah mereka, disuruh tidak makan, disuruh mereka guna jalan lain, disuruh mereka jangan makan gula, dan akhir sekali diancam dihalalkan darah mereka. Murah sungguh nilai nyawa, kerakyatan, maruah dan harga diri manusia semata-mata kerana ketaatan mutlak ilmuwan kontroversi kepada parti yang memerintah.

Ada yang mengatakan mentaliti si penghalau dan yang suka menhamburkan berbagai ancaman adalah mereka yang bankrap berhujah. Mereka sangat  mudah dan gemar menyahkan orang padahal orang cuma menuntut hak keadilan serta nilai maruah diri sebagai warga negara yang mulia. Begitulah keadaan pemerintah yang lemah dan bermasalah bersama konco-konco pendokong mereka – mereka seolah-olah takut menggeletar berhadapan dengan demokrasi bebas. Mereka wewenang dan pantas melabelkan lawan saingan politik mereka sebagai penjenayah sehingga ada yang menghalalkan darah dan menganjurkan pembasmian. Mereka sudah hilang punca dan tiada bermatlamat kecuali semata-mata untuk berpaut kepada kuasa yang mereka miliki.

Kalau bayaran tol dinaikkan dan menyusahkan orang miskin, ini seolah-olah bermaksud: orang miskin jangan guna jalan bertol. Apatah lagi ada anjuran supaya gunakan jalan alternatif, jangan guna lebuhraya.

Bukan orang miskin yang mencipta kemiskinan. Tetapi struktur dan polisi ekonomi yang memiskinkan mereka. Ekonomi yang memenuhi kemahuan golongan kaya - the demand of the rich tetapi menafikan keperluan orang miskin - the needs of the poor.

Seperti buku "Orang Miskin Dilarang Sekolah" yang menyindir biaya pendidikan yang tinggi di Indonesia, adakah 'diskriminasi' yang sama juga di negara kita yang tercinta ini apabila disuruh keluar, disuruh ketepi, diancam diri?

Apa pun risikonya, kebenaran mesti diucapkan kepada sesiapa sahaja, termasuk kepala negara. Imam al Ghazali dalam sejarah hidupnya terkenal dengan tulisan, kritikan dan dialognya bersama penguasa. Beliau mengkritik hebat isu pembaziran, kemewahan dan malangnya nasib rakyat yang ditindas dan dizalimi. Bahasanya juga tidak terkecuali dari nada tegas dan keras. Dia pernah menyebut, " Tengkuk rakyat hampir patah kerana ditimpa musibah membayar cukai, sedang tengkuk pemerintah hampir patah kerana diberati rantai emas."


No one must ever let power or social, economic, or political interest turn him or her away from other human beings, from the attention they deserve and the respect they are entitled to. nothing must ever lead to a person to compromise this principle or faith in favor of a political strategy aimed at saving or protecting a community from some peril. The freely offered, sincere heart of a poor, powerless individual is worth a thousand times more in the sight of God than the assiduously courted, self-interested heart of a rich one  :- Tariq Ramadan.

Kepada Allah kita memohon agar diberikan kekuatan dan ilham membela nasib rakyat.




(Ihsan idea dan tulisan Dr Siddiq Fadil, Abd Halim Ismail dan Fadhlina Sidek)

No comments:

Post a Comment