Wednesday, September 9, 2015

Dr Siddiq Fadzil: Gerakan Islam dan Politik Perubahan


Gerakan Islam dan Politik Perubahan – Siddiq Fadzil

Islam tidak bangkit hanya dengan ledakan semangat, emosi dan sentimen, tetapi dengan kekuatan ilmu yang menyedarkan dan menginsafkan.
Demikianlah hakikat gerakan Iqra’ yang mengawal kebangkitan Islam, revolusi intelektual berintikan kesedaran tauhid yang menghasilkan keberanian bersikap — menolak kebatilan dan kezaliman, dan berhujung dengan kepatuhan mutlak kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa (kalla la tuti‘hu wa ‘sjud wa ‘qtarib).
Dalam kaitan inilah perlunya kita melihat semula tarbiyah harakiyah sebagai proses merubah diri (al-taghyir al-nafsiy) yang tidak terhenti sebatas otak, tetapi harus meliputi watak dan akhlak.
Gerakan Islam akan kehilangan wibawa, kredibiliti dan keberkatan apabila para kader aktivisnya gagal menepati ciri-ciri ilmuan berakhlak mulia.

Justeru, gerakan Islam tidak boleh gagal mendidik para kadernya dengan mujahadah melawan sifat egois, angkuh, tamak, dan tidak berdisiplin.
Al-taghyir al-nafsiy, perubahan pedalaman diri (jiwa dan minda, otak dan watak) adalah pra-syarat kebangkitan dan perubahan yang tidak dapat dikompromi.
Untuk menjawab cabaran zaman yang sentiasa berkembang dan berubah, gerakan Islam memerlukan tahap kompetensi keilmuan yang tinggi, di samping daya fikir yang memungkinkannya melakukan ijtihad kolektif (al-ijtihad al-jama‘iy) menangani pelbagai isu kontemporari.
Keterikatan dengan sumber-sumber rujukan klasik, tanpa keupayaan memahami perubahan realiti zaman dan lingkungan, akan menjadikan gerakan Islam tidak relevan.
Untuk melaksanakan misi perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik, gerakan Islam perlu menguasai fiqh al-taghyir (fiqh perubahan) agar matlamat dapat dicapai tanpa harus menciptakan masalah-masalah yang tidak teratasi.
Memang kita harus mengakar pada turath khazanah keilmuan silam, tetapi ia harus dipadukan dengan ilmu kontemporari, di samping pemikiran dan perancangan strategik.
Dengan demikian gerakan Islam akan dapat melaksanakan misi Islamisasinya dengan bijaksana, berhikmah dan penuh kearifan, serta berdasarkan urutan keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) yang tepat.
Politik perubahan dalam pengertian siyasat al-taghyir harus didasarkan pada fiqh al-waqi‘ atau kefahaman yang tepat dan mendalam tentang realiti yang ditangani.
Misi merubah realiti masa kini tidak akan terlaksana dengan hanya membolak-balik kitab-kitab fiqh tradisional al-Mawardiy, Abu Ya‘la atau Ibn Taymiyyah.
Memang karya-karya klasik mengandungi prinsip dan nilai yang universal dan merentas zaman, tetapi penerapannya tidak terlepas dari konteks realiti era pengkaryaannya. Justeru, yang ditangani adalah realiti atau waqi‘ zaman dan lingkungan para fuqaha’ silam, yang jelas berbeza daripada realiti masa kini.
Untuk memahami realiti masa kini kita memerlukan ilmu kontemporasi seperti falsafah, sejarah, kebudayaan, sosiologi, sains politik, ekonomi dan lain-lain yang terliput dalam pelbagai disiplin sains sosial dan humaniora.
Tradisi keilmuan yang tidak berorientasi waqi‘ masa kini tidak mungkin dapat memberikan jawapan dan penyelesaian dengan tepat dan tuntas. Bagaimana mungkin menyikapi pemerintah dan politik masa kini berdasarkan fiqh zaman sebelum mengenal demokrasi.
Kebebasan bersuara, hak membangkang, berhimpun dan berdemonstrasi adalah bahagian daripada proses demokrasi yang pada asasnya tidak bertentangan dengan Islam.
Kebelakangan ini kita sering terganggu dengan suara-suara yang mengharamkan hak-hak demokratik tersebut, fatwa-fatwa yang didasarkan pada pendapat ulama silam yang dipetik secara selektif untuk disesuaikan dengan kecenderungan politik dan afiliasi kepartian “ulama/mufti” yang berkenaan.
Fatwa adalah ilmu dan sekali gus amanah, bukan nafsu mengampu majikan. Warisan fiqh politik Islami harus difahami secara utuh dan menyeluruh, tidak hanya dimensi sam‘an wa ta‘atan (dengar dan patuhnya) sahaja, tetapi juga dimensi oppositional revolusionernya (al-janib al-thawriy al-inqilabiy li al-fiqh al-Islamiy).
Bagi gerakan Islam, membangkang tidak bererti menanggang, dan mendebat tidak bererti menjebat; kita bukan keturunan Si Tanggang, dan bukan juga waris Hang Jebat.
Segala yang kita lakukan (membangkang dan mendebat) adalah pelaksanaan tanggungjawab dakwah: amar makruf nahi mungkar yang merupakan salah satu teras ajaran Islam.
Sebagaimana yang ditegaskan al-Imam al-Ghazaliy bahawa al-amr bi al-ma‘ruf wa al-nahy ‘an al-munkar adalah al-qutb al-a‘zam fi al-din atau paksi utama agama, yang kerananya diutus para rasul dari zaman ke zaman.
Menyatakan pendapat — menyokong atau membangkang — adalah bahagian daripada amalan musyawarah (shura) yang wajib dilaksanakan pemerintah dan rakyat.
Memang dalam istilah shura terkandung makna saran dan teguran, sokongan dan bangkangan.
Berasaskan hakikat itulah Dr Muhammad Muhammad al-Qadiy dalam bukunya al-Siyasat al-Shar‘iyyah Masdaran li al-Taqnin bayna al-Nazariyyat wa al-Tatbiq mengatakan bahawa musyawarah dan pembangkangan adalah dua sisi mata wang yang sama (inna al-shura wa al-mu‘aradata wajhani li ‘umlatin wahidah…). (Al-Qadiy,M.M., 1989:653). 
Demikianlah hak-hak demokratik seharusnya dipersepsikan dari perspektif fiqh kontemporari.

10 September, 2015.

(Dr Siddiq Fadzil adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah)) 

No comments:

Post a Comment